DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 3



“Kudin! Oh.. Kudin!”
Laungan itu mengejutkan Kudin yang sedang mengenakan baju di biliknya. “Ya, mak..” sambut Kudin agak kuat dari ambang pintu biliknya.
“Dah siap ke belum? Marilah sarapan dengan mak ni,” panggil Mak cik Kunah lantang dari arah dapur rumah papan itu.
“Sekejap. Dah nak siap ni.” Kudin lekas-lekas kembali ke cermin yang melekat di pintu almarinya itu. Bajunya dibetulkan sedikit sebelum menyisir rambut pendeknya. Setelah itu dia terus keluar.
Di atas meja Kudin sudah terlihat hidangan pagi yang disediakan emaknya. Ada pulut kukus dengan sambal ikan bilis yang amat digemarinya. Ada juga nasi goreng ikan bilis, juga kegemarannya. Bekal makanan untuk dibawanya juga sudah tersedia di atas meja itu.
“Mari makan..” ucap Mak cik Kunah tatkala terpandangkan Kudin berdiri di tepi meja menatap penuh nafsu hidangan di atas meja itu.
“Tengahari ni Kudin tak balik makan kat rumah, mak. Kudin ada kerja di ladang. Lagipun lepas zohor nanti peraih nak datang ambil buah yang dah masak tu,” ucap Kudin saat menghadap pulut tanak hasil tangan emaknya itu.
“Iya ke? Kenapa tak cakap awal-awal? Nanti mak tambah sikit lagi bekal tu,” sambut Mak cik Kunah sambil memandang tampang anaknya itu.
“Pulut ni mak letak banyak sikitlah. Sedap!” ucap Kudin sambil tersengih sedikit.
“Yalah.. kamu tu tak bosan ke sarapan pagi dengan pulut cicah sambal ikan bilis ni, Kudin? Mak nak masak yang lain kamu tak suka pulak,” komen Mak cik Kunah sambil menggeleng sedikit. Dia sendiri macam dah nak muntah menghadap sarapan pagi yang sama aja setiap hari. Pulut tanak dan nasi goreng. Wajib!
“Alah.. selalu makan pulut kulit cantik, mak. Tengok model Jepun yang kat dalam tv tu. Pakai produk kecantikan berasaskan pulut. Kulit dia dengan kulit Kudin nak sama lembutnya. Mulus aja! Bagus apa makan pulut ni,” jawab Kudin selamba menyuap pulut itu ke mulutnya.
Mahu tersembur semula pulut tanak daripada mulut mak cik Kunah mendengar itu. Mulus? Ah sudah.. lain macam pulak dengarnya telinga aku ni. Semenjak bila pulak Kudin kisah kulit dia mulus ke tidak? Bisik hati wanita tua itu sambil memandang anaknya itu.
Si Jepun tu eloklah mulusnya.. sebab dia perempuan. Yang depan dia ni lelaki. Nak kulit mulus pulus segala, nak buat apa? Buang tebiat ke apa anak aku ni? Gusar pula hati wanita tua itu. Dah lah anaknya ini memang tak pernah ada teman wanita. Jangan-jangan Kudin ni...
Ya Allah.. mintak simpanglah! Cepat-cepat Mak cik Kunah mengusir bayangan ngeri itu daripada benaknya. Tak mungkin Kudin begitu.
“Alhamdulillah.. Kenyang dah, mak. Pulut mak ni memang terbaiklah. Rasa macam nak tidur balik aja kat dalam bilik tu,” seloroh Kudin setelah dia kekenyangan. Sedar tak sedar dua pinggan dia memulun pulut itu.
“Kamu jangan nak buang tebiat. Ikan keli kamu tu menunggu aja nak tengok muka kamu tu. Tak lalu makan ikan-ikan keli kamu tu kalau tak nampak muka kamu tu di kolam,” getus wanita tua itu tidak senang. Dia menggeleng sedikit memandang Kudin yang sudah tersandar sambil memegang perutnya. Anaknya ini memang makan banyak. Mungkin sebab setiap hari dia kerja berat.
Usai menambah bekalan makanan Kudin, wanita itu menghantar anaknya ke motornya. Kudin terus menyarung kasut bootnya. Sebelum melompat ke atas motor dia sempat mencapai tangan emaknya itu.
“Pergi dulu, mak. Kalau ada apa-apa, mak email aja Kudin ya?”
“Banyak kamu punya email! Aku lempang jugak budak ni karang,” getus wanita itu. Spontan tangannya diangkat mahu menampar anaknya itu. Namun Kudin lebih pantas melarikan diri sambil ketawa.
“Ha.. kalau nampak anak-anak dara tepi jalan tu ngoratlah. Mana tahu boleh buat bini,” ucap Mak cik Kunah separuh menjerit.
“Yalah, mak. Nanti kalau terjumpa Kudin ngorat. Terus Kudin bawak balik jumpa mak.” Kudin segera menjawab patuh.
“Yalah sangat kamu tu!” Menggeleng wanita itu melihat gelagat anak lelakinya itu. Email konon.. Nak email apa kebendanya kalau komputer pun dia tak kenal. Tak pernah seumur hidupnya ada benda alah itu. Kudin kalau moodnya baik memang suka berseloroh dengan dia. Tapi bila dia ada masalah atau sedang sibuk memikirkan sesuatu, anaknya itu kadang-kadang jadi pendiam.
Setiba di kawasan ladang longannya kebanyakan pekerja sudah ada di sana. Longan Brazil yang sedang dalam musim berbuah sudah boleh dituai hasilnya. Menunggu pemborong datang mengambil hasilnya sahaja lagi.
Kudin tersenyum sendiri melihat buah longan yang jarang dilihat di tempat lain itu. Buah longan yang terhasil di ladangnya ini besarnya hampir seperti buah epal. Rasanya hampir sama sahaja dengan longan biasa. Namun lebih manis dan isinya lembut berbanding longan biasa. Itu kelebihan longan Brazil ini walaupun benihnya agak susah untuk didapati. Sebahagian lagi tanah itu ditanam dengan longan biasa. Namun masih belum berbuah. Kebanyakan pokok masih muda. Sebaik sahaja menongkat motornya Kudin didekati seorang pekerjanya.
“Bang Kudin, di sebelah sana itu bisa kita mula petik buahnya? Tadi saya lihat kebanyakkan buah di sebelah sana semuanya sudah cukup masak,” ucap Rudi sambil menunjuk ke satu arah.
“Boleh. Kita kena ambil semua hari ni, Rudi. Lepas zuhur ni tauke Cina tu datang ambil,” jawab Kudin pantas.
“Iya, bang. Nanti saya bagitahu sama semua pekerja lain.” Anak muda bernama Rudi itu terus berlalu. Dia antara pekerja yang paling dipercayai Kudin kerana kejujuran dan kerajinannya.
Seperti selalunya Kudin akan ikut sekali membanting tulang di ladang itu bersama pekerja-perkerja lain. Tiada istilah dia bos dan yang lain itu kuli walaupun dialah pemilik ladang itu. Sikap itu yang menyebabkan ramai pekerja hormat kepadanya. Masing-masing segan mahu mencuri tulang disaat Kudin bertungkus lumus menyudahkan kerjanya. Itulah antara keistimewaan Kudin yang dilihat oleh orang sekelilingnya. Dia seorang yang gigih.
Usai tugasnya di ladang petang itu Kudin terus ke kolam ikan kelinya pula. Mokhtar salah seorang rakan kongsi yang setia menguruskan kolam itu terus datang kepadanya. Termengah-mengah lelaki. Letih dengan kerja-kerja membersihkan kolam ikan mereka.
“Din, tadi Wak Sukiman datang lagi..” ucap Mohktar ringkas.
“Dia buat apa datang sini?” 
 “Macam biasalah..” jawab Mokhtar biasa. Dia tahu Kudin tahu apa yang sedang dimaksudkannya itu.
Kudin diam seketika sambil memandang wajah temannya itu. “Berapa banyak dia ambil kali ni?” soal Kudin dengan suara melantun keras. Geram! Dia ingat tempat aku ni pusat kebajikan ikan keli ke? Main ambil sesuka hati aja, hati Kudin mengomel sendiri.
“Hampir semua ikan yang kat kolam yang belah hujung sana. Nak buat makan kenduri katanya. Budak-budak pekerja tu tak boleh nak buat apa bila dia ugut nak berhentikan budak-budak tu. Terpaksa ikut jugak kehendak dia,” jelas Mokhtar bersungguh.
Kudin mendecit sambil menggeleng kesal. Geram betul dia dengan perangai lelaki tua itu. Mentang-mentanglah lelaki itu juga ada bahagian perkongsian dalam kolam ini.. sedap sahaja datang mengambil ikan-ikan di situ begitu sahaja. Ini bukan kali pertama lelaki itu buat begitu. Kerana sikap lelaki itu dia dan Mokhtar sering kerugian.
“Rugi kita kalau selalu macam ni, Din..” ucap Mohktar perlahan.
“Aku tahu..” sambut Kudin rendah sahaja.
“Apa kau nak buat?”
Kudin memandang tampang Mokhtar. “Aku fikir dulu..” jawabnya perlahan.
Usai meninjau kerja-kerja di kolam itu Kudin terus pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang itu fikirannya sudah mula sarat memikirkan masalah Wak Sukiman itu. Kalau bukan sebab lelaki itu adalah ayah Lisa.. sudah lama dia berjumpa dengan lelaki itu.
“Kenapa muka mendung aja ni, Kudin?” soal Mak cik Kunah hairan melihat anaknya berwajah lain macam. Segelas air diletakkan di hadapan Kudin di atas meja makan itu.
“Takde apa-apa, mak.” Kudin menjawab perlahan. Air itu diteguknya perlahan.
“Kamu tu kalau ada masalah bukannya nak kongsi dengan mak. Suka dok pendam sendiri. Lepas tu dok berkurung dalam bilik,” ucap Mak cik Kunah rendah.
Kudin mengeluh tiba-tiba memikirkan masalah yang timbul buat kesekian kalinya itu.
“Apa masalahnya? Kalau tak mahu bagitahu mak, jangan buat muka keruh depan mak. Jangan mengeluh depan mak. Kamu buat mak ni susah aja, Kudin.”
“Wak ambil ikan lagi di kolam,” ujar Kudin pendek sahaja.
“Astaghafirullah.. banyak ke diambilnya?” sambut Mak cik Kunah dengan mata sedikit terbeliak. Hal itu rupanya yang sedang difikirkan Kudin.
“Banyak..” keluh Kudin perlahan. Sebelum ini lelaki itu sudah mengambil wang hasil jualan ikan-ikan itu. Kemudian ikan itu pula diambilnya sesuka hati. Kalau sudah selalu benar begini memang susah dia dan Mokhtar mahu meneruskan perniagaan kolam itu. Memang susah hendak maju bila ada rakan niaga yang tidak berdisiplin seperti ini.
Mak cik Kunah merenung sahaja wajah Kudin. Kasihan dia melihat anak lelakinya itu. Bukannya dia tidak nampak betapa gigihnya Kudin mengusahakan kolam itu bersama kawannya. Wak Sukiman itu pula tahu mengutip hasilnya sahaja. Pemalas punya manusia!
“Buatlah sesuatu Kudin. Jangan biarkan dia terus pijak kepala macam ni. Kamu kena bertegas sebab kolam tu hak kamu, kamu yang bermodal, kamu yang bersusah payah mengusahakannya. Jangan difikirkan sangat siapa dia tu dengan kita. Itu semua tolak tepi,” ucap Mak cik Kunah setelah dia berdiam seketika. Kudin dilihatnya masih asyik termenung sendiri.
“Masalahnya dia selalu datang waktu Kudin takde. Kalau Kudin ada bolehlah Kudin tegur dia,” jawab Kudin dalam nada kesal.
“Kamu kena berjumpa dengan dia di luar. Bicang elok-elok tentang ini. Takkan nak tengok aja dia buat kamu macam ni, Kudin? Bukan kamu seorang aja yang susah sekarang. Mokhtar pun sama.. pekerja-pekerja kamu tu lagi? Dengan apa kamu nak bayar upah dia orang kalau jualan ikan kamu tu makin lama makin teruk?” ucap wanita tua itu lembut.
Kudin mengangguk setuju dengan pendapat emaknya itu. “Nantilah Kudin fikir macamana. Kudin naik atas dulu ya, mak? Belum solat asar lagi ni,” ucap Kudin perlahan. Dia mula bangun dari situ.
“Yalah..” jawab wanita itu akur. Batang tubuh tinggi sasa anaknya itu dipandang lama sehingga hilang dari pandangannya.
Terbayang oleh Mak cik Kunah lelaki bernama Sukiman itu. Dulu masa zaman sekolah anak Sukiman itu berkawan baik dengan Kudin. Lisa sering datang ke sini sekali sekala walaupun Kudin tiada di rumah. Namun semenjak kebelakangan ini Lisa sudah tidak kemari. Mak cik Kunah tidak tahu apa sebabnya. Dia tahu keakraban itu juga salah satu sebab mengapa Wak Sukiman sering mengambil kesempatan kepada Kudin. Masalahnya dulu ketika Kudin tiada apa-apa, takde pulak lelaki itu rajin mahu menghimpit anak bujangnya. Pelik bin ajaib!
Wanita tua itu menghela nafas perlahan. Harap-harap anak lelakinya tidak terus dipergunakan orang kerana sifat lembut hatinya.

“Tak nak, okay! Papa ni asyik ajak Rina ke sana. papa nak pergi, papa pergilah berdua dengan mama. Jangan ajak Rina,” tegas Edrina dengan muka bosan.
Tengku Ahmad Ehsan mengeluh perlahan. Jawapan itu sudah diagaknya. “Kali ni papa nak ajak Rina sekali dengan kami. Rina pun tak pernah ke sana lagikan? Jomlah kita pergi sekali.” Tengku Ahmad Ehsan cuba memujuk lagi.
“Tak nak! Rina tak suka tempat macam tu.”
“Sampai bila Rina nak macam ni? Rina langsung tak mahu dengar cakap papa,” keluh lelaki itu mula geram dengan kedegilan Edrina.
“Papa janganlah paksa-paksa Rina pergi sana. Rina tak suka pergi tempat macam tu! Rina ni penggeli tau, pa. Papa ni macam tak faham pulak,” degus Edrina siap dengan jelingan tajam.
“Papa tu ajak melawat saudara kita kat sana. Apa salahnya? Rina pun kena berkenalan dengan saudara kita yang masih ada ni. Tak baik buat sombong dengan famili sendiri,” celah Toh Puan Siti Aisyah cuba memujuk anaknya yang degil.
“Bukan Rina nak sombong, ma. Tapi nak pergi kampung macam tu.. tak naklah! Suruh ajalah dia orang datang sini rumah kita.” Edrina segera memberikan cadangan itu sambil menayang wajah selamba kepada emaknya itu pula.
“Apa salahnya pergi kampung?”
“Memanglah tak salah. Tapi Rina tak suka! Nanti kalau Rina kena gigit lintah, papa jugak yang susah,” sambut Edrina lancang. Kalau ajak ke Paris ke.. Milan ke.. mahulah dia. Ada ke ajak pergi kampung yang banyak lintah tu? No way! Dia takut dia histeria kat sana nanti.
“Papa ajak pergi sekejap aja. Jenguk Tengku Emran dengan mak dia,” pujuk Tengku Ahmad Ehsan sambil tersenyum. Dia tahu Edrina memang alergik benar dengan benda-benda begitu. Bukan sekadar kampung.. mana-mana tempat yang sering ada binatang itu dan sekutu-kutunya seperti pacat, memanglah Edrina tidak akan jejak. Sebab itu Edrina tidak akan ikut jika diajak berpiknik ke air terjun atau sungai. Sebab tempat itu memang ada binatang-binatang seperti itu.
“Suruh ajalah Tengku Emran tu datang sini..”
“Mana pulak boleh kita suruh orang yang kita nak ziarah tu datang ke tempat kita? Kitalah kena pergi cari dia kalau kita nak ziarah dia. Apalah Rina ni.” Tengku Ahmad Ehsan tergelak perlahan. Toh Puan Siti Aisyah sudah menggeleng sendiri. Pening kepalanya bercakap dengan Edrina. Ada sahaja konarnya.
Edrina terdiam seketika sambil berfikir sendiri. Dia sendiri tidak pernah lihat rupa dua pupunya itu. Hanya emak dan ayahnya sahaja yang kenal dengan Tengku Emran.
“Tengku Emran tu hensem tak, pa?” soal Edrina tiba-tiba.
“Kalau nak tahu hensem ke tak, kenalah pergi sana jumpa dia sendiri. Papa tengok dia tu memang boleh tahan orangnya. Kalau papa ni perempuan, memang dah lama papa jatuh cinta,” jawab Tengku Ahmad Ehsan macam bersungguh aja. Sengaja dia berkata begitu untuk mengumpan minat Edrina kepada lelaki itu.
“Dia dah kahwin ke?” soal Edrina lagi. Tiba-tiba wajahnya mula berubah teruja pula.
“Amboi.. anak dara siapa ni yang sanggup tanya soalan macam tu? Siap tanya dah kahwin ke belum? Nak tahu butiran peribadi Tengku Emran tu, jom ikut kami ke sana. Tengok sendiri orangnya. Agak-agak kalau ada rasa berkenan cakap dengan mama. Biar mama pinangkan terus!” Toh Puan Siti Aisyah segera mencelah sebelum suaminya itu. Tengku Ahmad Ehsan sudah tersenyum memandang anaknya itu.
Edrina termanggu seketika dia cuba membuat pertimbangan yang wajar tentang itu. Nak pergi ke tak? Buatnya Tengku Emran tu hensem tak alang-alang.. rugi dia nanti! Tapi kat kampung banyak lintah.. takutnya! Edrina sudah mula serba salah untuk memilih antara pro dan kontra yang sedang bermain-main dalam fikirannya ini.
“Esok pagi kita pergi ya? Mana-mana pun sama aja, Rina. Yang penting kita kena pandai sesuaikan diri ikut keadaan. Tengku Emran pun mesti senang dapat berkenalan dengan Rina nanti,” pujuk Tengku Ahmad Ehsan lembut.
“Okaylah. Rina ikut.” Akhirnya kerelaan itu diberikan begitu sahaja. Entah apa anginnya, nama Tengku Emran itu tiba-tiba menggamit dirinya mencemar duli mencecahkan kaki ke selut hina di kampung itu. Dia pun mahu menyiasat bagaimana Tengku Emran itu boleh berselera tinggal di tempat berlintah seperti itu.
We’ll see..






No comments:

Post a Comment