Aduh!
Panasnya.. keluh
hati Edrina tidak selesa dengan keadaan rumah kampung itu. Takde aircond! Pakai
kipas buruk aja.. manalah kulit mulus ala-ala Paris Hiltonnya ini boleh tahan?
Tangannya pun sudah lenguh berkipas sahaja daripada tadi.
“Panas ke, Rina?
Maaflah.. rumah makcik ni memang panas sikit,” ucap Mak cik Kunah dengan senyum
simpulnya. Serba salah dia melihat wajah masam kelat anak gadis itu. Dia tahu
gadis itu tidak biasa dengan rumah kampong seperti ini.
Edrina sekadar
tersenyum tidak ikhlas kepada Mak cik Kunah. Memang panas pun rumah ni! Belilah
aircond lain kali. Kan senang.. jawabnya dalam hati. Mahu menjawab di mulut.
Kurang ajar benarlah tu gayanya. Sedap-sedap aja si Edrina ni nak advice orang
suruh beli aircond khas untuk dia.
“Lambat pulak
balik si Kudin ni. Selalu waktu macam ni dia dah balik makan di rumah. Kalau
lambat benar kita makan ajalah dulu. Tak payah tunggu dia,” ucap Mak cik Kunah
kepada tetamu-tetamunya itu.
“Eh! Takpelah,
kak. Tunggulah sekejap. Lagipun belum zuhur lagi ni,” sambut Tengku Ahmad Ehsan
lembut.
Kudin? Detik hati
Edrina sendiri. Daripada tadi dia terdengar nama Kudin aja yang disebutkan
wanita tua itu. Siapa Kudin? Mana dia Tengku Emran? Dia pun memang dah tak
sabar benar mahu melihat ketampanan lelaki itu.
“Budak tu rajin
betul ya, Kak Nah? Saya kagum betul dengan dia. Ladangnya dah menjadi. Kolam
ikannya dah makin besar nampaknya,” ucap Toh Puan Siti Aisyah pula.
Mak cik Kunah
tersenyum lembut. “Tengoklah keturunannya siapa, Aisyah. Tak ke mana larinya
walaupun dah berpuluh tahun tak jumpa. Masih lagi darah yang sama,” jawab Mak
cik Kunah lembut. Jawapan itu segera dimengertikan oleh Tengku Ahmad Ehsan. Dia
tersenyum bangga mengenang itu.
“Siapa Kudin ni,
pa?” bisik Edrina sambil mencuit ayahnya itu.
“Shhtt..” Tengku
Ahmad Ehsan meletakkan jari telunjuk tidak membenarkan anaknya itu menyampuk
perbualan mereka.
“Bonda saya tu
teringin benar nak berjumpa dengan akak anak beranak. Harap-harap akak sudilah
nak berkunjung ke teratak kami bila ada masa,” ucap Tengku Ahmad Ehsan lembut.
“Apa pulak tak
sudinya, Engku. Kami ni orang kebanyakkan aja. Seganlah nak ke sana kalau tak
berjemput. Insya-Allah.. ada masa nanti sampailah kami ke sana,” sambut Mak cik
Kunah perlahan.
“Saya ni pun orang
kebanyakan jugak, kak. Takde apa yang lainnya kita ni..” Toh Puan Siti Aisyah pula
menjawab.
Edrina sudah
kebosanan mendengar perbualan tiga manusia itu. Takde topik menarik ke?
Akhirnya tanpa meminta diri dia bangun dari situ. Daripada terkepung dalam
rumah yang panas macam dalam mikrovawe itu lebih baik dia mengambil angin di
luar sambil menikmati permandangan.
Perlahan Edrina
mengatur langkah ke bahagian belakang rumah kayu itu. Banyak pokok-pokok yang
entah apa namanya dilihatnya. Daun nya berbentuk seperti jari. Pada batang
pokok itu ada kelihatan ‘mata’ yang timbul-timbul.
Edrina berjalan
lagi lebih jauh ke arah belakang. Ada macam pondok dilihatnya. tapi ada
binatang berkaki dua pula di dalamnya. Semakin dia mendekati pondok itu bau
busuk semakin kuat.
“Owh.. ini reban
ayam kut. Patutlah busuk,” ucapnya sendiri. Ayam-ayam yang sedang mematuk-matuk
makanan di dalam reban itu dipandangnya khusyuk.
Comel jugak anak
ayam ni. Macam nak cuba pegang aja.. bisik hatinya saat terpandangkan satu lagi
bahagian yang menempatkan anak-anak ayam dan emaknya.
Puas memandang
reban ayam itu Edrina berjalan lebih jauh ke belakang. Keralikannya membuatkan
dia terlupa.. tak mati pun dia sebenarnya menjejakkan kaki ke kampung ini.
Takde pulak lintah nak telan dia. Keindahan alam yang tak terdapat di Milan dan
Paris ini benar-benar melekakannya.
Pertengahan jalan
itu langkah gadis itu terhenti. Ada satu lubang sederhana besar dilihatnya.
Macam lubang untuk menanam sesuatu berdasarkan tanah yang berkumpul di
sekeliling kawasan lubang itu. Edrina semakin mendekat sehingga kakinya berdiri
betul-betul di tebing lubang itu. Dasar lubang itu dijenguknya tanpa menyedari
ada seseorang sedang memandang perbuatannya.
Kudin memandang
seketika gelagat gadis itu. Pelik! Anak siapa pulak ni? Sesat pulak kat dalam
kebun belakang rumah aku ni dengan kasut tingginya? Dia tengok apa? hati Kudin
tertanya-tanya sendiri saat memandang belakang perempuan yang tertunduk-tunduk
memandang sesuatu. Perlahan dia mendekati gadis itu.
“Woi! Apa kau buat
kat sini?” tanya Kudin agak kuat.
Sergahan dari arah
belakang itu membuatkan Edrina yang sedang dibaluti kejakunan itu terkejut
besar. Tanpa sengaja dia tergelincir tiba-tiba. Dalam keadaan dirinya tidak
dapat mengimbangkan diri sebelah kakinya terus diterjerumus ke dalam lubang
yang diintainya tadi. Sebelah kaki lagi di atas.
Terbeliak matanya
melihat kakinya sudah tenggelam masuk ke dalam tanah lembik di dasar lubang
itu. Dia terasa benar-benar geli. “Eee.. lembiknya tanah ni,” ucapnya dengan
muka berkerut seribu.
Kudin mahu ketawa
gadis itu sudah terjun ke dalam lubang najis mughalazah itu. “Dulu kecik-kecik
tak pernah masuk dalam lubang ke?” perli Kudin selamba.
“Apa kau cakap?”
tersirap darah Edrina mendengar perlian lelaki itu.
“Kau tengok lubang
macam tu sekali.. macam teringin benar nak masuk dalam lubang tu. Tak pernah
jumpa lubang ke apa?” Kudin berkata sambil menahan gelak. Dia hanya terpacak
tidak membantu gadis itu.
“Kau ni memang
beballah! Habis aku kotor kaki aku!” jerit Edrina hilang sabar. Melihat lelaki
asing itu mahu ketawa dia semakin sakit hati. Merah padam mukanya menahan marah
dan rasa jijik.
“Kau siapa?” tanya
Kudin mula mengeraskan riak wajahnya.
“Kau tu yang
siapa?” jerkah Edrina semula dengan pertanyaaan yang sama. Sibuk aja sergah
orang. Lelaki itu dijelingnya tajam.
Amboi.. kuat
melawan pulak minah ni, getus hati Kudin sendiri.
“Emm.. aku mintak
maaflah. Tapi lubang tu lubang bekas ‘cik B’ korek. Kau kena cuci dengan air
tanah dan air mutlak 6 kali,” ucap Kudin selamba. Malas dia mahu melayan suara
petir gadis itu. Macam bagus aja!
“Cik B?” soal
Edrina sedikit kabur.
“Khinzir hutan..
kat belakang ni memang banyak. Lubang tu cik B yang korek untuk dia beriadah
waktu lapang,” jawab Kudin selamba.
Terbeliak mata
Edrina. Kakinya yang terjerumus ke dalam lubang selut itu cuba ditariknya
sekuat-kuat tenaganya. Namun akhirnya kasut LV dari Amerikanya tertinggal pula
di dalam selut itu. Malah sudah tak nampak langsung kelibat kasutnya itu.
Mungkin dah jauh terperosok ke dalam.
“Kasut aku! Ee..
jijiklah dengan tempat ni!” jerit Edrina semakin sebal. Kembang rasa jari kakinya
yang sudah tebal bersalut tanah lembik itu.
“Siapa suruh kau
datang sini? Ni bukannya kawasan bersantai-santai,” ucap Kudin sambil
mengerling sebelah kaki Edrina yang sudah togel tanpa alas. Mahu tergelak dia
melihat kasut yang dipakai gadis itu. Masuk dalam kebun pakai kasut bertumit..
macamana tak terjerumus dalam lubang cik B? Padan muka kau.. ejek hati Kudin
mula meluat melihat gelagat mengada-ngada gadis itu.
“Tolonglah cari
kasut aku! Eee.. banyak cakaplah mangkuk ni. Kau yang buat aku jatuh dalam tu
tadi,” jerit Edrina semakin sebal dengan lelaki itu.
“Eh! Kasut kau..
carilah sendiri. Tak nak aku pegang tanah dalam lubang tu. Susah nanti nak kena
samak,” ucap Kudin macam orang yang tidak berperasaan.
Semakin menyirap
darah Edrina mendengar jawapan lelaki itu. Melihat lelaki itu sudah berpaling
mahu meninggalkannya dia nekad mencapai sebelah lagi kasut yang masih ada di
kaki. Dengan sekuat-kuat hati dia melemparkan kasut itu ke arah Kudin.
Balingannya tepat mengena ke arah belakang Kudin.
Langkah Kudin
terhenti serta merta. Terus dia memandang ke bawah. Kasut wanita itu sudah
terdampar di atas tanah dekat dengannya. Dia tahu objek yang membuatkan
belakangnya terasa pedih saat ini adalah kasut itu.
Kurang ajar punya
perempuan.. getus hati Kudin bengang. Dia mula berpaling ke arah Edrina yang
terpaku memandang langkahnya.
“Apa kau nak buat
kat aku ha? Aku panggil papa aku nanti,” ucap Edrina mula gentar melihat lelaki
itu kembali semula kepadanya.
“Panggillah nenek
kau sekali pun. Ada aku kisah? Nah! Ambik kau..” ucap Kudin. Dengan sekali
tolakan Edrina terjerumus semula ke dalam lubang itu. Kali ini lebih sadis
lagi. Dia siap jatuh terlentang di tepi lubang itu akibat perbuatan Kudin.
“Kau ni memang
kurang ajarlah!!!!” Edrina memekik dengan dada sudah turun naik menahan rasa
marah yang semakin meluap-luap.
“Siapa kurang
ajar? Kau ke aku? Aku tak pernah jumpa perempuan senget macam kau ni. Datang
tempat orang nak tunjuk lagak pulak. Mulut takde insuran hina tempat aku. Padan
dengan muka kau! Duduklah kau bersantai dalam lubang tu sampai senja karang,”
balas Kudin sambil bercekak pinggang selamba.
Dada Edrina
seperti mahu pecah menahan marah. Ikutkan hatinya lelaki itu mahu diselamnya di
dalam lubang itu sehingga lelaki itu mati kelemasan. Namun dia tahu dia tidak
berupaya melakukan semua itu.
“Apasal muka kau
merah? Nak nangis pulak ke? Berlagak tapi cengeng!” ejek Kudin dengan senyum
jahatnya.
“Papa, tengok dia
ni!!!!!!” Jeritan itu melengking cukup kuat sebelum akhirnya Edrina meraung di
situ mengenangkan sebahagian dirinya sudah kotor tersalut dek tanah lembik itu.
Kudin tergelak
sendiri. Menangis? Memanglah cengeng budak ni!
“Ya Allah, Kudin.. apa kamu buat ni? Kenapa kamu
biarkan Rina ni jatuh dalam lubang tu?” ucap Mak cik Kunah sebal ketika menemui
dua manusia itu di hadapan ambang pintu dapur itu. Kasihan benar dia melihat
rupa Edrina. Separas pinggang ke bawah sudah bersalut dengan tanah. Gadis itu
menangis mengongoi macam budak kecil.
“Lantaklah dia!”
ucap Kudin selamba. Dia terus masuk ke dalam rumah.
“Kudin..” tegur
Mak cik Kunah tidak senang.
Kudin memandang
sekilas emaknya itu. “Apa dia, mak? Kudin dah laparlah..” ucap Kudin bosan mahu
memandang muka cememei Edrina itu. Baru jatuh dalam lubang cik B dah menangis
macam tu. Belum lagi jatuh dalam lubang kubur.
“Pergilah ambilkan
tanah. Biar dia cuci tempat kena kotor tu!” getus Mak cik Kunah mula geram
dengan anak lelakinya itu.
“Alah.. tanah pun
tak kenal ke? Tak boleh nak ambil sendiri?” getus Kudin menyindir Edrina. Namun
permintaan emaknya itu dipatuhinya juga. Saat melintasi Edrina, dia sempat
dijeling tajam oleh gadis itu.
“Elleh..
jeling-jeling aku pulak. Aku selam kau dalam lubang cik B tu lagi, baru kau
tahu,” getus Kudin siap dengan cebikan meluat.
“Kudin..” tegur
Mak Cik Kunah yang terdengar omelan anak lelakinya itu. Menggeleng dia melihat
gelagat dua manusia itu. Baru pertama kali berjumpa dah bergaduh.
“Ya, Kudin nak
pergi ambillah ni..” jawab Kudin sedikit meleret. Orang lain yang kena samak
dia pula yang disuruh cari tanahnya.
Edrina terus
memandang Kudin yang sedang menuju ke hadapan rumah. Rupanya inilah Kudin yang
dipuji-puji oleh emak dan ayahnya tadi. Habis tu mana satu Tengku Emran?
Hatinya tertanya sendiri.
Sudah diambilkan
tanah, Kudin disuruh pulak oleh emaknya membantu Edrina membersihkan kakinya.
Bertambah seballah anak muda itu menghadap muka berlagak Edrina.
“Nama kau Kudin
ya?” tanya Edrina lantas ketawa.
Kudin memandang
tajam gadis itu. “Apasal kau gelak?”
“Kudin nama kau?
Memang sesuai sangat dengan kau,” ucap Edrina selamba mempersendakan lelaki
itu. Matanya menjeling baju buruk yang tersarung di tubuh anak muda itu. “Nama
kau sama buruk dengan baju kau,” ucapnya sengit. Sengaja dia mahu menyakitkan
hati lelaki itu lagi.
“Kalau aku
mandikan kau dengan air tanah ni kau nak?” ucap Kudin.
“Mak cik Kunah,
tengok Kudin ni. Diakan..” belum sempat dia menghabiskan ayatnya Kudin sudah
menutup mulutnya.
“Diamlah,
perempuan!” ucap Kudin meluap-luap rasa geramnya dengan gadis itu.
“Eh! Apa ni? Puih!
Tangan kau ada tanahlah!” tangan kasar lelaki itu terus ditepis Edrina. Tangan
kasar macam jalan tar.. ada hati nak pegang muka aku! hati Edrina mengutuk
sambil menjeling Kudin.
“Kau ni memang
mengada-adalah! Suka mengadu. Sikit-sikit mengadu.” Kudin menggeleng meluat
dengan perangai Edrina. Ikutkan hatinya mahu sahaja dilempang-lempangnya mulut
gadis itu. Menyampah betul!
“Biarlah.. mulut
aku yang suka mengadu. Bukan guna mulut kau pun!” sambut Edrina selamba dengan
muka berlagaknya.
Eeiiii..
macamanalah boleh sesat perempuan sengal ni kat rumah aku? Nak aja aku.. Ish!
Kudin tidak mampu membayangkan apa yang hendak dilakukan kepada gadis itu
sekiranya dia berpeluang.
“Macamana kau
boleh ada kat rumah aku ni? Menyemak aja kat tempat aku ni,” ucap Kudin sambil
memandang Edrina tajam. Perempuan ni eloknya letak kat sarkas dengan singa aja.
Biar dia rasa..
“Papa yang bawak.
Ikutkan hati aku tak ingin aku datang rumah buruk kau ni kalau setakat kena
tolak masuk lubang cik B dengan lelaki poyo macam kau ni. Dahlah tak hensem,”
jawab Edrina sambil menjulingkan matanya ke atas.
Kudin menggeleng
perlahan. “Perempuan macam kau ni memang perasan bagus. Dah takde adab bila
bercakap dengan orang. Datang rumah aku tapi kau sedap-sedap aja kutuk rumah
aku.. kutuk aku tak hensem,” ucap Kudin berbaur kesal.
“Kau yang mulakan
dulu..”
“Bila masa aku
cari pasal dengan kau?” sanggah Kudin tajam.
“Tadi tu? Kau
sergah aku sampai masuk lubang tu. Aku geli, tahu tak! Kau tu lagi kurang ajar
daripada aku. Macam ni kau ke layan tetamu yang datang rumah kau?” jawab Edrina
sengaja menajamkan nada melawan bicara Kudin sebentar tadi.
Kali ini Kudin
terdiam. Wajah Edrina tidak mampu dipandangnya lagi. Sehabis membilas kawasan
najis itu dengan aiar tanah, dia terus bangun.
“Dah! Pergi cuci
kaki kau dengan air kat paip tu. Cuci sampai 6 kali. Lepas tu tukar baju..
pakai baju lain. Baju tu kau buang aja kalau malas nak samak,” arah Kudin
serius.
“Paip mana pulak?
Aku mana tahu,” rengek Edrina sambil menoleh ke sekelilingnya.
“Pair air kat tepi
tu. Buta ke? Hish!” balas Kudin sedikit meninggi sambil menunding ke arah tepi
Edrina. Paip air pun tak kenal ke? Turun dari planet mana dia ni? Menyampah
dengan gadis itu, Kudin terus menapak masuk ke rumahnya melalui pintu dapur.
Dia sudah tidak kuasa mahu melayan Edrina dalam keadaan dia kelaparan begini.
Selesai Edrina
mengganti baju barulah dua keluarga itu dapat bersatu di meja makan. Namun
masam kelat wajah Edrina saat dirinya digelakkan oleh ayahnya atas insiden
terjerumus di dalam lubang tadi. Bertambah sakit hati melihat riak kosong di
wajah Kudin macam takde apa-apa yang berlaku. Bukan main berselera Kudin makan.
Siap bertambah-tambah nasi.
Sepanjang masa itu
Edrina asyik tertanya-tanya sendiri. Mana dia Tengku Emran? Takkanlah si Kudin
ni Tengku Emran kut? Kalau betul dia.. kenapa panggil Kudin?
Ish! Kalau inilah
dia Tengku Emran, memang tak sesuai langsung mamanya mahu meminang Kudin untuk
dirinya. Macam ni pun papa cakap hensem? Tolong sikit, okay.. wajah Melayu
‘totok’ macam Kudin ni memang kurang mendapat tempat di hatinya. Semua bekas
teman lelakinya dulu hot macam Alex Oloughlin. So kirim salam ajalah bab nak
berkenan tu. Jawapannya.. tak berkenan! Hati Edrina terus berkata-kata sendiri
dalam pada dia memandang makanannya.
“Kenapa macam tak
berselera, Rina? Tak suka ke lauk kampung yang mak cik masak ni?” tegur Mak cik
Kunah saat terpandangkan suapan Edrina cukup perlahan. Nasi di dalam pinggan
juga masih banyak.
Kudin terus
memandang gadis yang sedang diperkatakan emaknya itu. “Dia biasa makan steak,
mak. Mak buatkan dia steak petang nanti.” Kudin terus menjawab separuh
menyindir.
Edrina terus
menjegilkan matanya kepada lelaki itu. Ikutkan hatinya mulut celupar lelaki itu
mahu dicilikannya. Mak cik Kunah terus menepuk bahu Kudin.
“Kamu ni suka
sangat menyakat, Kudin. Tengah makan pun nak cari gaduh ke?” Mak cik Kunah
menggeleng tidak senang kepada anak bujangnya itu.
Suka hati akulah
nak makan ke tak? Sibuk aja nak menyampuk cakap orang tua. Padan muka kena
marah dengan mak dia.. getus hati Edrina sendiri.
“Apa pulak tak
suka lauk kampungnya, Kak Nah. Kalau dah lapar lauk kampung ke bandar ke.. dah
takde beza. Telan jugak. Ya tak, Rina?” ucap Toh Puan Siti Aisyah sambil
tersenyum memandang anaknya itu. Biasanya di rumah mereka pun makan masakan
Malaysia juga. Lauk kampunglah tu namanya.
“Tengok muka mamat
sengal tu terus tak selera aku nak makan. Dahlah tak hensem. Makan banyak..
macam badang!” Edrina menceceh sendiri. Mujurlah tiada orang yang mendengar
biji butir kata-katanya itu. Saat itu hatinya melonjak-lonjak mahu lekas pulang
ke ibu kota. Tak sanggup lagi untuk berlama-lama di rumah Kudin itu. Benci!
Sayangnya
impiannya untuk pulang segera ke Kuala Lumpur tidak menjadi kenyataan selepas
ayahnya pulang dari mengikut Kudin ke ladangnya. Entah ladang apa Edrina tidak
tahu. Tapi papanya itu sibuk bercerita keseronokan berada di ladang si Kudin
itu. Tidak habis-habis papanya meluahkan rasa bangga dengan pencapaian Kudin
sebagai petani. Penghabisannya papanya menerima pelawaan Mak cik Kunah bermalam
di rumah itu kerana esok papanya mahu melihat kolam ternakan ikan keli si Kudin
itu pula. Semakin meluatlah dia dengan lelaki itu.
Petang itu dalam
keadaan terpaksa dia melepak sendiri di pankin rumah itu. Emaknya dan emak
Kudin sudah lesap ke kebun di belakang rumah itu. Dia asyik termenung tanpa
menyedari emaknya sudah kembali semula ke situ.
“Rajin betul Kudin
tu menanam. Ada aja ruang kosong habis ditanamnya dengan pokok-pokok. Bagus
budak tu.” Toh Puan Siti Aisyah sengaja mencanang pujian lagi tentang Kudin
untuk memancing minat Edrina kepada lelaki itu.
Hee... bengkaknya
hati ni mendengar nama mamat tu. Kudin itu.. Kudin ini.. Kudin! Kudin! Kudin!
Hati Edrina menjerit nyaring. Bukan setakat hati sakit, telinganya yang
mendengar pun dah macam nak berkudis akibat disogokkan pujian bertangki-tangki
tentang lelaki poyo itu. Rajin tanam pokok aja pun nak puji. Pak cik Selamat
yang rajin tanam pokok di halaman banglo rumah mereka itu takde pulak nak
dipuji bertangki-tangki.
“Makanlah buah tu,
Rina. Sedap tau. Mama dah rasa tadi..” ucap Toh Puan Siti Aisyah kepada anaknya
itu lagi. Buah longan yang diambil dari ladang longan Kudin itu nampaknya masih
tidak luak.
Edrina mencebik.
Tak kuasa nak makan buah yang mamat tu tanam. Baik aku makan longan dalam tin
tu aja.. cemuhnya sambil memandang buah longan Brazil itu dengan sebelah mata.
“Siapa tak cuba,
dia rugi. Bukan senang nak dapat buah ni kat tempat lain.”
“Ma.. Rina nak
baliklah.” Edrina segera merebut peluang itu untuk memujuk emaknya pula.
Tersiksa benar dia memikirkan mereka kena bermalam di rumah papan itu. Mesti
dia susah nak tidur nanti.
“Hish! Nak balik
apanya? Kan papa dah janji nak ikut Kudin pergi kolam ikan keli dia esok?”
Kudin lagi! Edrina
sudah tidak tahan mendengar nama itu. Entah kenapa benci benar dia kepada
sepotong nama itu bersama-sama dengan tuanya sekali!
“Kudin tu Tengku
Emran kan? Kenapa panggil dia Kudin, ma?” soal Edrina tidak faham.
“Lah.. nama penuh
dia Tengku Raden Emranuddin. Mak dia pendekkan jadilah Kudin. Unikkan?” jawab
Toh Puan Siti Aisyah lantas ketawa sendiri.
“Nama bukan main
sedap. Tengok orangnya hempeh! Petani aja pun. Apa yang nak dibanggakan sangat?
Lainlah kalau dia tu CEO..” perli Edrina agak perlahan.
Bicara anak gadis
itu segera menerbitkan rasa tidak senang Toh Puan Siti Aisyah. Tidak berlapik
benar mulut anaknya itu kalau menghina pekerjaan orang.
“Kudin tu ahli
keluarga kita juga, Rina. Cuba-cubalah berbaik dengan dia. Dia tu pun dah
pangkat abang dengan Rina. Kena panggil Abang Kudin,” ucap wanita 50 tahun itu
lembut. Dia tahu anaknya tidak sebulu dengan Kudin semenjak peristiwa tengahari
tadi.
“Eee.. tak kuasa
nak panggil dia Abang Kudin. Nak berbaik apanya kalau dia tu asyik nak sakitkan
hati Rina. Macam bagus aja dia tu. Not my taste, okay!” sambut Edrina siap
dengan jelingan tajam.
Sekali lagi Toh
Puan Siti Aisyah menggeleng. Anaknya ini tidak ingat agaknya. Kudin itu adalah
satu-satunya pewaris lelaki yang mereka ada untuk keluarga ini. Biarpun
bertahun terceruk di kampung ini tetapi Kudin tetap ahli keluarga ini yang
mewarisi susur galur keluarga ini.
“Mama tak nampak
apa benda yang tak kena dengan Kudin sampai Rina benci dengan dia sangat? Mama
suka dia. Baik budaknya si Kudin tu,” ucap Toh Puan Siti Aisyah kesal.
“Baik? Ma.. dia
kurang ajar dengan Rina. Dia tu celupar bila bercakap! Pleaselah.. lelaki macam
tu memang tak masuk dalam senarai. Tak suka!” cemuh Edrina benar-benar tidak
selera mahu bersangka baik dengan lelaki itu.
“Habis tu yang
bercakap tu elok sangat ke mulutnya?” sambut Toh Puan Siti Aisyah selamba
sambil mengerling Edrina.
Edrina menoleh dengan
renungan tajam kepada emaknya. “Ah! Rina tak peduli. Pendek kata Rina tak suka
dia! Rina tak ingin nak berbaik dengan lelaki low class macam tu. Tak kuasa!” Malas
mahu mendengar perlian emaknya lagi, Edrina terus bangun. Kakinya dihalakan
masuk ke dalam rumah segera.
Toh Puan Siti
Aisyah menghela nafas perlahan. Niatnya ke mari untuk mendekatkan Edrina dengan
Tengku Emran. Tapi sekarang? Hai.. susahlah nampaknya nak menjalankan rancangan
itu. Kena tukar plan B pulak lepas ni.
No comments:
Post a Comment