“Malam ni kau tidur dalam bilik aku. Mak aku yang suruh,” ucap
Kudin mendatar kepada Edrina yang sedang menonton tv di ruang tamu itu. Gadis
itu dipandang seketika sahaja dek kerana bengkak di hatinya. Disebabkan Edrina,
dia terpaksa tidur di ruang tamu malam ini. Nak melawan.. itu arahan emaknya.
Patutnya si Edrina yang sesuai tidur di luar. Baru padan muka budak cememei
ni.. kutuk hati Kudin sendiri.
Edrina menoleh kepada lelaki itu. “Katil
kau empuk tak? Ada empuk macam katil aku kat rumah sana?” tanya Edrina sengaja
mahu meniupkan kemarahan lelaki itu.
“Aku tak hempuk kau sekarang ni pun dah
cukup bagus. Jangan banyak cakap. Hilang mood aku, kau tidur bawah rumah
nanti,” ucap Kudin serius. Nak buat perbandingan antara tilam kekabu yang
menjadi alas tubuhnya selama ini dengan tilam harga beribu-ribu di rumah orang
kaya di KL sana, memang tak berakal sungguh gadis ini bila bercakap.
“Alah.. takkan cakap macam tu pun dah
nak marah kut?” ejek Edrina sinis.
“Kau kalau bercakap tak mencari pasal
dengan aku, tak boleh ke?” soal Kudin dengan muka serius. Serius! Dia memang
tak suka dengan perempuan ini. Perangai macam bagus aja!
“Tak boleh. Aku memang sengaja nak
sakitkan hati kau. Aku suka tengok kau naik marah,” sambut Edrina selamba.
Kudin menggeleng kesal. “Buang masa
layan budak perempuan otak senteng macam kau ni. Perasan bagus.. perasan lawa!”
Kudin merengus perlahan.
“Kau ingat aku hairan sangat dengan
mamat kampung yang selekeh macam kau ni?” balas Edrina sebal.
Kudin memandang tajam gadis itu. Berasap
telinganya mendengar kata-kata Edrina tentang dirinya tadi. Biadap sungguh!
Lelaki itu mula mendekati gadis itu yang sedang duduk tersandar di atas kerusi
rotan itu.
“Hey, perempuan.. kau yang datang sini.
Bukan aku yang pergi cari kau di KL sana. Siapa yang hairan dengan siapa
sekarang?” ucap Kudin agak perlahan. Sengaja dia membiarkan kata-kata itu
tertuju kepada Edrina seorang.
Edrina terdiam mendengar bicara yang
kedengaran lain macam itu.
“Perempuan kurang akal macam kau ni aku
nak buat bini? Memang taklah! Lebih baik aku kahwin dengan anak dara lembam kat
kampung ni. Melayan budak lembam tu lebih berfaedah daripada melayan mulut
macam lubang jamban kau ni. Buat banyak dosa aku aja mengata kau,” ucap Kudin
dalam nada tajam.
“Siapa nak jadi bini kau? Tolong sikit
eh? Kau tu tak masuk dalam list aku langsung! Mamat kolot macam kau ni aku tak
pandang sebelah mata. Perasan! Ingat dia tu hensem sangat ke?” balas Edrina
enggan kalah.
Kudin tergelak perlahan. “Kau ni banyak
bermimpilah! Suka hayal. Kau masih tak sedar apa yang berlaku di sekeliling
kau. Dahlah! Malas aku nak layan kau. Berkarat otak aku bercakap dengan kau
ni,” ucap Kudin lantas menghayunkan kaki ke dapur.
Edrina menggigit bibir memandang langkah
Kudin. Sakit hatinya melihat lelaki itu. Berlagak! Macamlah dia tu best sangat!
Tidur gadis itu tidak lena langsung
malam itu. Bukan sebab tidak selesa atau apa. Tidak juga sebab kepanasan kerana
di kampung kedinginan memang cukup terasa bila malam hari menjelma. Tidak perlu
ada aircond segala. Tapi dia tidak dapat tidur sebab dia sakit perut nak
‘membuang’ segera. Puas ditahannya semenjak tadi. Berpeluh-peluh telapak
tangannya.
Akhirnya Edrina nekad. Bilik yang
menempatkan emak dan ayahnya dijejaki dalam keadaan seluruh isi rumah itu gelap
gelita. Terhegeh-hegeh kakinya berjalan macam orang buta.
“Pa..” panggil Edrina kepada ayahnya di
atas katil itu.
"Papa dah tidur.." Toh Puan
Siti Aisyah terus bangun untuk melihat anaknya itu. Suaminya yang sedang
terlena itu dibiarkan sahaja.
"Ma, mana toliet dia ma? Sakit
perutlah, ma." Edrina berkata separuh berbisik.
"Toilet kat luar. Kenapa?”
“Sakit perut..” jawab Edrina resah.
“Pergilah lekas. Toilet kat belakang
sana.”
"What?
Dalam keadaan gelap-gelap macam ni? Takutlah nak pergi, mama.." keluh
Edrina gusar. Dah pukul 1 pagi, siapa sanggup ke jamban di luar sana? Seram..
Patutlah dia tak nampak rupa tandas di dalam rumah ini. Hanya bilik air sahaja
yang ada.
"Upps!
mama pun takut! Rina ajak Kudin temankan pergi toilet tu." Dengan muka
selamba Toh Puan Siti Aisyah memberi cadangan itu kepada anaknya.
Terbeliak
mata Edrina mendengar nama Kudin. "Ma.. ajak dia? Tak naklah!
Malulah.." rengus anak itu resah sendiri.
Toh
Puan Siti Aisyah sudah tersenyum sendiri. Nak malu apa kalau dah terpaksa. Daripada membuang di dalam celana.
Lagilah malu!
"Cepatlah,
ma. Sakit perut sangat ni.." degus Edrina sudah merah muka.
"Okay.
Nanti mama beritahu Kudin.."
"Ma,
tak nak.." ucap Edrina cuba menahan. Namun emak Edrina sudah berlalu
meninggalkan Edrina memegang perutnya yang sakit. Akhirnya mahu tidak mahu
Edrina menyusul juga emaknya tidak lama selepas itu. Nak berdegil pun tak guna
dalam keadaan darurat begini. Kakinya dihalakan ke ruang tamu. Dia tahu Kudin
tidur di atas kerusi panjang di hadapan tv.
Setelah
dikejutkan oleh Toh Puan Siti Aisyah, Kudin bangun juga. Permintaan wanita itu
diturutkan tanpa bantahan. Lampu suluh dicapainya tanpa banyak kira.
“Jom
lekas..” ucap Kudin kepada Edrina yang terpacak macam patung tidak jauh dari
emaknya itu.
“Janganlah
laju sangat. Aku tak nampaklah,” tegur Edrina kepada si lelaki yang berjalan
laju sahaja di hadapannya. Dia sudah teramat seram melihat kesepian dan
kegelapan sekeliling. Hanya ada pohon-pohon ubi dan pisang menemani mereka.
Bunyi burung hantu pula semakin menyeramkan.
Buat
jamban jauh sangat. Kenapa tak buat tandas kat KL aja? Idea siapa entah macam
ni, bisik hati Edrina sebal. Rupanya tandas rumah itu berada di dalam kawasan
kebun di belakang rumah itu.
Kudin terhenti seketika menyuluh ke arah
gadis itu. Setelah gadis itu sampai kepadanya dia kembali berjalan.
“Tu jamban. Kat tepi dinding tu ada
mancis dengan lilin. Pasang dulu baru membuang. Dah! Cepat pergi. Aku tunggu
sini!” ucap Kudin serius sambil menyuluh lampu suluhnya agar Edrina dapat
berjalan dengan selamat ke arah jamban itu.
“Kau jangan pergi mana-mana tau!”
“Pergi ajalah lekas!” getus Kudin malas
mahu mendengar lagi. Dia sedang mengantuk benar sekarang. Satu hal pulak dia
kena menemankan ‘anak Tengku’ yang cengeng ini.
Edrina akur. Dek kerana seruan alam yang
tak mengira tempat dan masa itu.. dia terpaksa membiasakan diri ‘membuang’
dengan ditemani oleh lilin dek kerana tiada sebarang lampu yang disediakan di
dalam jamban percuma itu. Memang rupa jamban itu macam jamban zaman Jepun. Tapi
nasib baiklah ada paip air disediakan.
Tapi yang membuatkan dia benar-benar
sakit jiwa.. seronok benar nyamuk-nyamuk jantan mengintai dia menunaikan hajat
di dalam situ. Sampai naik kebas punggungnya ditampar akibat disengat belalai
nyamuk yang miang. Tak fokus dia dibuatnya.
“Kurang ajar punya nyamuk. Takde tempat
lain ke kau nak gigit. Kau gigitlah mangkuk kat luar tu. Jangan kacau aku,
boleh tak?” bebel Edrina geram. Sekali lagi punggungnya ditampar apabila terasa
diketip nyamuk.
“Woi.. lama lagi ke buat kerja kat dalam
tu? Nyamuk banyak ni,” tegur Kudin setelah lebih 5 minit dia menunggu. Belakang
tubuhnya sudah kerap diserang nyamuk. Tulah.. lain kali pakai baju!
“Kejaplah. Belum habis lagilah,” jerit
Edrina dari arah dalam.
“Lama pulak berak tu. Dah lapan hari tak
berak ke apa dia ni? Ke dia suka sangat duduk dalam jamban uzur tu?” ucap Kudin
sendiri.
Hampir setengah jam barulah Edrina mampu
keluar daripada kamar kecil itu. Barulah dia dapat bernafas dengan selesa.
“Hey.. lama betul. Berak batu ke apa?
Menaun aku menunggu!” bebel Kudin sudah tidak sanggup berlama-lama lagi di
situ.
“Biarlah.. dah sakit perut. Nak buat
macamana?” jawab Edrina selamba. Pedulilah! Yang penting dia dah lega.
Namun baru sahaja mereka mula melangkah
meninggalkan kawasan jamban itu mereka terdengar bunyi sesuatu sedang berjalan
ke arah mereka. Edrina yang berada di belakang Kudin terus melompat ke arah
lelaki itu.
“Apa tu, Kudin?” ucap Edrina meninggi.
Tanpa segan silu lelaki itu dipeluknya dari arah belakang.
Kudin menyuluh ke arah datangnya bunyi
itu. Sebaik sahaja lampunya terhala ke arah pokok ubi beberapa meter dari
tempat mereka berdiri, dia ternampak segerombolan khinzir hutan sedang
memandang ke arah mereka.
“Diam! Cik B tengah korek ubi,” ucap
Kudin separuh berbisik.
Mendengar itu Edrina semakin ketakutan.
“Ee.. ramainya tu, Kudin?” Dia sudah tidak sedar apa yang sedang dilakukannya
kepada Kudin. Matanya sibuk memandang ke arah tempat suluhan Kudin. Bukan
seekor dua yang dia nampak. Tapi puluhan ekor sedang memerhatikan mereka berdua
di situ. Ngerinya!
“Banyak! Ramai tu untuk manusia,” getus
Kudin sambil memandang sekilas Edrina di belakangnya. Namun seketika kemudian
dia mula terperasan. Berderau darahnya saat tersedar tubuhnya sedang peluk
Edrina. Kuat pulak tu! Dahlah dia tak pakai baju. Bahaya sungguh. Patutlah cik
B tu ralik memandang ke arah mereka. Rupanya tayangan free..
“Apasal kau peluk aku ni?” ucap Kudin
lantas meleraikan pautan tangan Edrina di perutnya. Edrina yang mula terpasan
perbuatannya terus meleraikan pelukannya.
“Aku takutlah!” ucap Edrina mula terasa
malu sendiri dengan perbuatannya itu.
“Kut ya pun tak payahlah peluk kuat
sangat.”
“Manalah aku perasan. Itu pun nak
berkira ke? Poyo betullah dia ni!” getus Edrina sebal. Dia sendiri pun boleh
tak sedar apa yang dia buat tadi. Patutlah tangannya terasa geli semacam. Dia
tersentuh sesuatu pada tubuh lelaki itu. Tapi apa bendanya entah..
“Dah! Malas aku nak layan kau. Buang
masa aja..”
Tanpa menunggu gadis itu Kudin terus
berjalan balik ke rumah. Tunggu situ lagi nanti.. entah apa pula yang berlaku
nanti. Takut punya pasal Edrina ikut mengejar langkah Kudin. Itu lebih baik
daripada dia melayan sebal bertemankan Cik B di belakang itu. Tak pasal kena
samak lagi nanti.
“Kudin!!!!! Kudin!!!!” pekikan itu mengejutkan Kudin yang sedang
sibuk dengan kerjanya.
“Apa lagilah minah ni nak?
Terpekik-pekik macam polong,” keluhnya sendiri.
“Apa bendanya?” soal Kudin sambil
menoleh. Peluh di dahinya diseka dengan belakang tangan.
“Apa benda ni. Buang!!! Buang!!!” Edrina
dah macam orang gila di situ. Terkinja-kinja ketakutan. Siapa lagi hero yang
dia nak panggil kalau bukan Kudin? Lagipun dia hanya berdua sahaja dengan Kudin
di situ.
“Apa dia?” Kudin merengus sendiri sambil
mendekati gadis itu.
“Ini... buang cepat!!” Edrina sudah
tidak mampu menjerit. Dia sekadar pasrah melihat binatang kecil itu merayap di
atas jari kakinya.
“Ini pacat daunlah. Pagi-pagi macam ni
memanglah banyak. Alah.. macam kena gigit harimau bisingnya. Tak pernah lagi
ada orang mati kena gigit pacat,” degus Kudin sambil mengambil binatang
penghisap darah kotor itu daripada kaki Edrina. Terus dihumbannya ke arah lain.
“Memanglah. Tapi aku geli!”
“Pergilah masuk sana. Tak senang aku nak
buat kerja kalau aku ada sini,” keluh Kudin sambil menggeleng sendiri. Kerja
mengorek ubu kayu tadi disambungnya semula.
Edrina terdiam. Dia saja mahu melihat
Kudin buat kerja. Salah ke? Sombong betul mamat kampung ni. Namun Edrina tidak
juga masuk ke dalam rumah. Dia bosan duduk di dalam rumah. Lagi baik dia tengok
apa Kudin buat di belakang rumahnya ini.
“Kenapa kau korek ubi tu?” soal Edrina
dengan soalan berilmunya.
“Nak buat makanlah! Sebelum cik B makan
habis semua.. baik ambil dulu,” jawab Kudin selamba.
“Owh..” Edrina memerhatikan lagi lelaki
itu buat kerja. Kudin hanya berseluar jeans tanpa baju. Tak malu sungguh dia ni
dedah body depan orang. Dahlah dada banyak bulu.. menggelikan! Kutuk gadis itu
sendiri.
Tapi body dia seksi sungguh. Banyak otot
berketul-ketul. Tapi sayang.. aku tak minat mamat kampung lagi kolot macam dia
ni. Dahlah selekeh dengan seluar buruk koyak rabak dia tu.. Edrina tergelak
dalam hati sambil berbicara sendiri tentang Kudin.
“Kenapa mak kau tak panggil kau Emran?
Kenapa semua orang panggil kau Kudin?” Edrina bersuara lagi dalam pada Kudin
masih ralik dengan kerjanya.
“Aku tak suka,” jawab Kudin tanpa
menoleh.
“Kau tak suka? Kenapa pulak?” tanya
Edrina cukup hairan. Nama Emran rasanya lebih sedap daripada Kudin. Tapi lelaki
itu tak suka. Memanglah kolot namanya kalau macam tu!
“Tak payah tahulah. Itu hal aku,” jawab
Kudin mendatar.
“Alah.. saja nak tahu. Takkan tak
boleh?” getus Edrina sebal.
Kudin berdiam tidak melayan kehendak
Edrina. Biarlah dia sahaja yang tahu apa sebabnya mengapa dia tidak gemar orang
lain memanggilnya dengan nama itu.
“Kau ada girlfreind tak?” Edrina
melanjutkan lagi sesi temu bualnya.
“Kau jangan kacau aku buat kerja, boleh
tak? Kan aku kata pergi masuk? Menyibuk aja tanya aku benda yang bukan-bukan,”
ucap Kudin serius sambil menoleh dengan pandangan tajam.
“Kau ni sombonglah! Orang nak berbaik
aja pun tak sudi. Macamlah kau tu hebat sangat! Orang tanya baik-baik, dia
marah kita pulak! Menyampah! betul” Edrina merenggus dalam sorotan tajam kepada
lelaki itu.
“Dahlah! Pergi masuk sana. Aku malas nak
layan kau,” ucap Kudin keras.
“Kau ingat aku nak sangat ke layan kau?
kalau bukan sebab mama yang suruh aku berbaik dengan kau, tak ingin aku nak
bercakap dengan kau! Buang masa aku aja berbaik dengan mamat kampung sombong
macam kau ni,” jawab Edrina lantas bangun dari situ.
Kudin terus menoleh kepada Edrina.
“Memang aku ni orang kampung aja. Mana layak nak berbaik dengan perempuan
bandar macam kau, betul tak?” ucap Kudin sebelum sempat Edrina menjauhi kawasan
itu.
Kaki Edrina terkaku tiba-tiba apabila
mendengar suara lelaki itu semula. Wajah Kudin kembali dipandang. Lelaki itu
sedang merenung tepat kepadanya.
“Kenapa dengan nama Kudin? Tak moden?
Nama Emran lagi tak memalukan kau dengan keturunan kau?” ucap Kudin sedikit
sinis. Ada sedikit senyuman hambar tersungging di bibirnya.
“Memanglah! Orang bagi nama sedap-sedap,
Kudin pulak jadinya. Kolot!” balas Edrina selamba.
“Kau nak tahu kenapa aku tak suka orang
lain tahu nama penuh aku?”
Edrina sekadar terdiam tidak menjawab.
Namun pandangannya terus dihantar kepada lelaki itu sebagai isyarat yang dia
sedia mendengar alasan lelaki itu. Hatinya memang terllau ingin tahu benar
mengapa Emran menjadi Kudin dan mengapa Tengku Emran boleh berada di sini.
Mengapa tidak dengan mereka di KL sana.
“Aku tak mahu orang lain selongkar kisah
lama keluarga kita. Semua orang kampung ni pelik kenapa Tengku macam aku ni
boleh ada di kampung ni, hidup sebagai petani. Sedangkan aku bukannya lahir di
sini. Aku anak yatim piatu. Mak aku yang ada dalam rumah tu, bukan mak kandung
aku tapi dia mak saudara aku. Adik kepada arwah ayah aku. Mak kandung aku dah
lama meninggal, Rina. Moyang aku, nenda aku pun dah lama takde. Yang ada dengan
aku hanya mak aku sekarang. Dia yang besarkan aku selepas ayah aku meninggal
lebih 12 tahun dulu dan dia bukan orang berdarah bangsawan macam kau dengan
ahli keluarga kau yang lain. Kerana tu nama aku jadi Kudin sekarang. Sebab aku
anak mak aku. Dia orang kebanyakkan. Arwah ayah aku juga orang kebanyakkan.
Hanya arwah mak aku aja yang ada gelaran Tunku dan takde siapa kenal Tengku
Emran di sini. Aku takkan tinggalkan mak aku dan kampung ni untuk jadi Tengku
di bandar sana. Hidup aku di sini. Selagi aku hidup aku akan jaga mak aku sebab
itu tanggungjawab aku selepas dia bersusah payah besarkan aku dalam keadaan dia
pun dah takde suami,” jelas Kudin agak tenang.
Edrina terdiam mendengar kata-kata
lelaki itu. Dia sebenarnya tidak tahu sangat tentang kisah lama keluarga mereka
itu. Yang dia tahu moyangnya pernah berkahwin dua kali. Tengku Emran adalah
cicit daripada keturunan isteri pertama moyangnya itu. Itu saja!
Melihat lelaki itu tidak mahu bercakap
dengannya lagi Edrina masuk ke dalam rumah. Namun kata-kata Kudin terus bermain
di fikirannya ketika dia duduk tercongok sendirian di ruang tamu.
Kudin tidak akan meninggalkan kampung
ini. Bermakna dia harus mengambil alih syarikat keluarganya sama ada dia mahu
atau tidak. Masalahnya macamana? Dia pun tidak mahu!
No comments:
Post a Comment