Beberapa hari berlalu. Aku tidak langsung berganjak
dari rumah. Kuhabiskan masa dengan membaca kembali buku-buku agama seperti buku
pengajian solat dan buku ilmiah yang lain. Aku mencari kembali diriku yang
hilang. Aku benar-benar ingin berubah. Perubahan aku disambut baik oleh papa,
mama dan Mak Limah. Mereka gembira dengan transformasi yang aku lakukan. Dan
aku mula cuba-cuba untuk bertudung. Tudung pertama yang aku pakai dihadiahkan
oleh mama dan Mak Limah. Mereka sebulat suara menghadiahkan aku sehelai tudung
auwning berwarna merah jambu. Aku cuba pakai. Mula-mula memang rasa agak
janggal. Rasa macam rimas dan lemas. Tapi sekurang-kurangnya aku cuba.
Tidak dapat tidak, perubahan aku yang mendadak ini
berlaku di sebabkan oleh Emir. Ya, memang hidayah milik Allah. Namun Dia
mengirimkan hidayahNya itu melalui perantaraan Emir. Terima kasih Emir.
Sayangnya, Emir masih belum nampak perubahan aku
ini. Selama beberapa hari ini aku menjauhkan diri darinya. Aku malu nak
berdepan dengan dia. Aku takut, aku takut Emir menuduh aku tidak ikhlas untuk
melakukan perubahan ini. Tapi bukankah seharusnya dia bergembira. Dia yang
menginginkan aku menutup aurat.
“Yana…”
Panggilan papa buat aku terjaga dari lamunan kecilku. Pantasku tutup buku agama
yang sedang aku baca dan kuhadiahkan sebuah senyuman kasih sayang untuk papa.
Papa duduk di sebelahku. Dia menggenggam tanganku
tiba-tiba. Pandangannya yang memandangku sukar untuk dimengertikan.
“Selama
ni, papa gagal mendidik Yana dengan betul. Papa sibuk dengan business hingga abaikan tanggungjawab
papa mendidik Yana dengan ilmu agama yang cukup. Maafkan papa sayang…” Papa tertunduk penuh bersalah. Tak
sanggup untuk aku melihat papa dalam keadaan seperti itu.
“No, pa. Papa dah didik Yana dengan ilmu
agama yang cukup. Yana ni aje yang degil tak nak dengar kata. Yana dah buat
papa menanggung dosa yang banyak. Maafkan Yana, ya, pa? Yana harap, papa doakan
perubahan Yana ni berkekalan.” Aku cuba untuk tidak menitiskan air mata. Kalau
pun ada air mata nak dijatuhkan, sudah pasti itu adalah air mata kesyukuran dan
kegembiraan yang tidak terhingga.
“Doa
papa sentiasa mengiringi anak kesayangan papa ni. Yana semakin cantik bila
bertudung. Pasti Emir bertambah sayang nanti.”
Papa tersenyum nipis. Aku juga ikut senyum.
“Papa
malu pada Emir. Dia mampu mengubah Yana dengan kasih sayang dia yang tulus
ikhlas. Itu tandanya dia seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab dan
benar-benar ingin menjadikan Yana suri di hatinya… dunia dan akhirat...”
Kata-kata papa terhenti di situ. Aku hanya diam mendengar ucapan papa.
Kelihatannya ada sesuatu yang ingin papa sampaikan padaku.
“Papa
dah buat keputusan. Majlis pertunangan Yana dan Emir akan dibatalkan.” Aku
terkesima mendengar berita mengejut ini. Dibatalkan? Kenapa?!
Papa menggamit tanganku erat. Aku bingung menanti
papa berkata-kata. Tak mungkin papa nak memungkiri janji!
“Tak
payah tunang. Papa yakin, Emir mampu bahagiakan anak papa dalam sebuah
rumahtangga yang bahagia. Papa izinkan kamu berdua bernikah. Tak payah tunggu
setahun. Bulan depan, papa akan nikahkan kamu berdua.”
Ya Allah… Benarkah apa yang aku dengar ni? Papa nak
kahwinkan aku dengan Emir? Benarkah? Atau aku sedang bermimpi?
“Papa…”
Tangan papa terus aku kucup. Terima kasih atas restu yang sangat bermakna ini. Ini
adalah hikmah terbesar di sebalik penghijrahanku. Aku sangat gembira. Sumpah
aku sangat gembira. Alhamdulillah syukur ya Allah. Akhirnya, impian aku untuk
bersatu dengan Emir dalam ikatan yang sah telah diredhai oleh Allah.
Emir perlu tahu berita gembira ini. Pasti dia akan
sangat gembira nanti. Segera aku meminta diri. Aku perlu bertemu dengan Emir
sekarang jugak!
“Papa,
Yana nak keluar kejap. Nak jumpa Emir. Nak beritahu dia berita gembira ni.” Aku
bangun dari kerusi. Tangan papa sekali lagi aku kucup penuh hormat. Setiba di
kaki tangga, sekali lagi aku bertanya satu soalan untuk papa.
“Papa
tak main-main, kan? Hmm?” Soalan dariku buat papa tersenyum.
“Tak
sayang. Papa ikhlas. Papa redha untuk melepaskan Yana pada Emir. Semoga
berbahagia sayang.” Air mata gembira tidak mampu dibendung lagi. Berita gembira
yang mengejut ini benar-benar kurasakan sebuah rahmat dari Ilahi.
**********
Aku melangkah dengan penuh debaran di hati. Kali
ini, pertemuan kami tidak lagi di taman bunga tapi di tempat awam yang lebih ramai
orang. Kalau di taman, mungkin akan menimbulkan fitnah. Aku dah tak sanggup nak
berdepan dengan dosa. Sudah terlalu banyak dosa yang aku tanggung selama ini.
Sesampai di restoran yang dijanjikan, aku terus
mencari tempat duduk kosong. Namun, sedang anak mataku meliar mencari tempat
duduk, aku terpandang wajah seseorang yang amat aku rindui. Seminggu tak jumpa,
rasa rindu meruntun jiwa.
Dengan penuh debar, aku melangkah ke arah Emir yang
sudah berdiri di meja makan yang terletak tidak jauh dari kaunter. Dia berdiri
sambil tercengang melihat aku. Adakah dia terkejut melihat keadaan aku yang sudah
bertudung litup dan berjubah seperti ini? Pasti dia terkejut.
“Assalamualaikum. Awal Emir sampai hari ni.”
Aku cuba untuk buat seperti biasa. Walhal, keadaan antara kami mulai janggal.
Seperti kami berdua baru pertama kali bertemu. Masing-masing kelihatan kekok.
“Wa-waalaikumusalam.
Suriyana?” Aku tersenyum sambil angguk kepala.
“Subhanallah.
Emir hampir tak cam. Duduk, Suri.” Emir menarik kerusi untuk aku duduk. Aku
mengucapkan terima kasih kepadanya. Mataku meliar tanpa dapat membalas renungan
matanya lagi. Aku dah segan nak pandang anak mata hazelnya itu.
Emir masih tidak melarikan matanya dari menatap
wajahku. Aku jadi tak selesa. Alamak… rasa macam baru first time datinglah pulak.
“Sejak
bila Suri bertudung?” Itulah soalan pertama dari Emir setelah seminggu kami tidak
bertemu. Sebenarnya, Emir ada datang ke rumah mencari aku. Dia nak jumpa aku
tapi aku menolak. Aku langsung tak keluar jumpa dia. Hingga papa dan mama ingat
kami gaduh. Kami bukan bergaduh, cuma aku aje yang tak sanggup nak jumpa dengan
dia dalam keadaan aku masih bermuhasabah diri.
“Sejak
peristiwa hari tu,” jawabku perlahan. Sesekali mataku mengerling memandang
wajah kacak Emir. Sungguh aku rindu padanya.
“Emir
minta maaf pasal hari tu. Emir… Emir bukan…”
“Tak,
Emir. Emir tak salah. Dah berapa kali Suri cakap Emir tak salah. Kata-kata Emir
buat Suri tersedar. Keinginan Emir untuk melihat Suri bertudung, menutup aurat,
buat Suri berfikir. Hidayah ni datang melalui Emir. Terima kasih Suri ucapkan.
Emir dah ubah Suri.” Aku berhenti buat seketika. Emir pula hanya diamkan diri
apabila aku kembali ingin menyambung kata. Dia sentiasa menjadi pendengar yang
setia.
“Selama
ni, semua lelaki yang pernah jadi teman lelaki Suri tak seorang pun pernah nasihatkan
Suri untuk berubah. Mereka bangga dan seronok melihat kecantikan yang Suri
miliki. Mereka suka tengok Suri berpakaian seksi. Mereka langsung tak kisah.
Tapi Emir lain… Emir sangat istimewa. Emir bukan setakat cintakan Suri, tapi Emir
juga tak sanggup nak terus tengok Suri tanggung dosa. Suri…” Tak semena-mena
air mata hangat menitis jatuh ke pipiku. Aku tertunduk menangisi dosa-dosa yang
pernah aku lakukan.
Sekarang baru aku sedar. Dan aku yakin, Emir dah
lama mentarbiahkan aku. Aku saja yang tak nampak semua tu. Patutlah Emir tidak
suka untuk bersentuhan dengan aku. Apa lagi nak berpegangan tangan seperti couple-couple yang lain. Keluar malam
pun Emir tak suka. Dia lebih gemar melepak di perpustakaan. Dengan aku-aku
sekali yang kena ikut dia lepak kat sana. Dia menjaga aku, dia mendidik aku
untuk menjadi seorang wanita yang lebih baik. Aku saja yang tak perasaan semua
tu. Patutlah aku sangat sayang pada dia. Dia lelaki terbaik yang Allah kirimkan
untuk membahagiakan hidupku. InsyaAllah.
“Jangan
menangis Suri. Emir gembira sangat dengan perubahan Suri ni. Dulu, Suri ubah
Emir untuk lebih yakin dan tak lagi jadi lelaki nerd. Sekarang, Suri pulak yang
berubah menjadi Muslimah yang lebih baik. Alhamdulillah. Allah masih sayangkan
kita, kan?” Emir menghadiahkan aku senyuman menawan miliknya. Jelas terpancar
di wajahnya kegembiraan dan kesyukuran dengan apa yang telah berlaku dalam
hidup kami berdua. Aku perlu beritahu dia satu lagi berita gembira. Pasti dia
akan menangis kegembiraan apabila mengetahui berita itu.
“Emir…
Suri ada sesuatu nak beritahu Emir. Sesuatu yang selama ni Emir harap-harapkan.
Impian kita bersama…” ujarku penuh makna. Aku pandang mukanya untuk seketika.
Melihat dia bersedia mendengar ucapanku yang seterusnya, aku segera menyambung
kata. Tak sabar aku nak lihat reaksinya.
“Papa nak batalkan pertunangan kita,” ucapku
sebaris. Aku menanti reaksinya.
Jelas Emir kelihatan sangat terkejut. Dia merenungku
kebingungan.
“Batalkan?
Kenapa?!” Tiba-tiba suara Emir melantun tinggi. Terperanjat aku dibuatnya.
“Dibatalkan
sebab dia nak satukan kita dalam sebuah perkahwinan yang sah. Kita tak perlu
bertunang. Kita terus nikah. Papa dah
bagi restu, Emir. Dia dah restu…” Barulah wajah Emir berubah ceria.
“Suri
tak main-main, kan?”
“Takkan
pernah.”
“Ya
Allah… Alhamdulillah… Emir macam tak percaya. Betul ni? Jadi, bulan depan kita
nikah. Betul?” Aku angguk kepala dengan yakin. Aku gembira apabila melihat Emir
gembira.
Insya-Allah kalau tak ada aral melintang, aku dan
Emir bakal dijodohkan bulan depan. Moga-moga hari itu bakal aku lalui dengan
penuh rasa syukur dan gembira. Episode baru bakal bermula. Kehidupan baruku
setelah mendirikan rumahtanggga dengan lelaki yang amat aku cintai. Aku
berjanji, perasaanku, cintaku, maruahku… semuanya milik Emir. Aku takkan
berfikir lagi mengenai cinta lamaku dengan ‘si dia’. Mungkin sekarang, si dia
juga sedang bergembira dengan kehidupannya. Sayonara cinta pertamaku. Aku tidak
akan mengingatimu lagi. Namun, aku yakin. Kenangan cinta pertama yang tercipta
antara aku dan Emriz takkan pernah aku lupakan sampai bila-bila. Anggaplah itu
satu penghargaan untuk dia yang pernah muncul menceriakan hidupku dulu. Emriz
Asyraf. Lelaki pertama yang mengajar aku erti cinta dan rindu. Ku Emir Affan.
Lelaki terakhir yang bakal aku cintai setulus hatiku. Tanpa ragu.
No comments:
Post a Comment