Suasana di meja makan dihiasi oleh kesunyian dan
kebisuan. Masing-masing punya banyak untuk perkatakan namun hanya membiarkan ia
tersimpan dalam hati. Sedari tadi, nasi yang berada dalam pinggan langsung aku
tak jamah. Hanya dikuis-kuis dari tadi. Mak Limah yang duduk di sebelahku ada
menghulurkan gulai itik kegemaranku. Namun, dengan berat hati aku menolaknya.
Selera aku mati. Selagi mama dan papa tidak memberi kata putus mereka, selagi
itulah aku tak mampu nak menjalani rutin harianku seperti biasa.
“Keputusan
papa tetap sama, Yana,” ujar papa tiba-tiba. Aku pantas mendongakkan muka
memandang papa dan mama silih berganti.
“Buat
masa sekarang, papa takkan izinkan Yana berkahwin dengan lelaki tu. Habiskan study Yana dulu. Fikirkan masa depan
Yana dulu. Lepas tu, kalau Yana nak kahwin, kahwinlah. Papa takkan halang
lagi.” Kata-kata papa buat hatiku menangis pilu. Nampaknya papa begitu nekad
untuk tidak merestui hubungan aku dan Emir.
“Tapi
papa… Kali ni Yana betul-betul serius. Yana bersedia nak pikul semua
tanggungjawab ni. Selagi lelaki tu Emir, Yana sanggup. Tolonglah tunaikan
permintaan Yana ni. Yana takkan minta apa-apa lagi dari papa. Please…” Aku pegang tangan papa kemas.
Aku takkan mengalah.
Papa langsung tidak memandang wajahku. Sebaliknya
dia memandang ke arah mama, bagaikan meminta mama menyampaikan sesuatu. Apa
lagi kali ini? Ya Allah…
“Kalau
betul Yana yakin dengan keputusan Yana ni, mama dan papa hanya mampu memberi
izin untuk Yana bertunang dulu dengan Emir. Setakat itu aje yang mampu kami
restukan. Lepas tamat belajar, bila Yana dah dapat kerja, dengan senang hatinya
papa dan mama mengizinkan Yana dan Emir bersatu. Faham sayang?”
Sekali lagi kata-kata mama buat aku terkedu.
Bertunang? Adakah itu jalan terbaik untuk aku dan Emir? Masih ada setahun untuk
aku tamat pengajian di kolej. Satu tahun bukan satu tempoh masa yang singkat.
Macam-macam boleh terjadi dalam tempoh itu. Andai cinta kami tergugat dalam
tempoh satu tahun pertunangan itu, adakah itu bermakna aku dan Emir harus
melepaskan kebahagiaan kami dengan sebuah perpisahan? Ya Allah… Jika ini
satu-satunya cara untuk Engkau kuatkan cinta aku dan Emir, aku mohon Engkau
mempertahankan rasa cinta kami sehingga ke akhirnya. Izinkanlah kami bersatu
dalam sebuah ikatan yang Engkau redhai. Amin…
*********
“Bertunang?”
Suara Emir kedengaran sedikit terkejut. Ada keluhan diluahnya.
“Ha’ah.
Papa dan mama izinkan kita bertunang dulu. Lepas dah habis belajar, dah dapat
kerja, kita terus nikah. Dia orang dah janji. This is good news, right, Emir?” Aku cuba untuk kelihatan ceria
walaupun hatiku juga merasa hampa. Setahun kami harus menunggu, harap-harap
kami berdua saling setia.
“Good news? Bagi Emir, ini bad news, Suri. Suri masih ada lagi
setahun nak tamatkan pengajian. Nak cari kerja lagi lepas tu… Lamanya Suri.
Emir tak sanggup nak tunggu lebih lama.” Emir bangun membelakangkan aku. Dia
memandang jauh Tasik Titiwangsa yang berada di hadapannya. Mungkin ada sesuatu
yang membelenggu hatinya.
Aku berdiri di sebelah Emir. Hampa kurasa apabila
belum apa-apa lagi Emir dah nak mengalah. Dia tidak ingin menunggu lama. Tidak
mustahil, dalam tempoh satu tahun pertunangan kami, dia tinggalkan aku kerana
tak sanggup lagi nak menunggu. Ah… Aku tak boleh fikir yang bukan-bukan.
Kesetiaan Emir sentiasa untukku. Dia pasti akan setia. Aku harus percayakan
dia.
“Emir
sayangkan Suri tak?” tanyaku sambil menatap wajahnya.
Emir berpaling memandangku. Dia angguk kepala. “Sayang
sangat,” jawabnya perlahan.
“Kalau
Emir sayangkan Suri, tolong terima pertunangan ni. Kita sama-sama lalui satu
tahun ni. Kita bukannya berpisah pun. Hari-hari kita jumpa. Hari-hari kita
boleh keluar dating pergi jogging. Kan?” Aku tersenyum kecil. Emir
ikut senyum. Orang lain berdating
pergi tengok wayang, kami pula berdating di taman bunga ni sambil berjogging menyihatkan badan. Cara Emir
menunjukkan kasih sayang dia memang pelik. Emir… Emir…
“Suri
janji, Suri akan setia dengan Emir? Janji?” Pertanyaan dari Emir buat hati
kecilku terasa ingin menangis. Kenangan lama terimbau kembali di kotak fikiran.
Aku dan ‘dia’ juga pernah berjanji dulu. Janji kami, kami akan saling setia dan
saling mencintai. Walaupun ketika itu hanya cinta monyet tapi kami berjanji
untuk mempertahankan cinta itu menjadi sebuah cinta hakiki dan abadi. Janji
tinggal janji. ‘Dia’ tetap pergi tinggalkan aku. Cinta? Setia? Hilang bersama
harga dirinya yang terlalu mahal itu. Seandainya aku bertemu dengan Emir dalam
keadaan aku dan keluargaku masih lagi dipandang rendah oleh masyarat
sekeliling, aku yakin, aku tidak akan menerima kehadiran Emir dalam hidupku.
Jauh sekali menyambut salam cintanya. Pengalaman lama mengajar aku apa itu erti
harga diri.
“Suri
janji. Suri akan setia dengan Emir… selagi Emir setia dengan Suri…” jawabku
sambil memandang tepat ke anak mata Emir.
**********
Kedua-dua belah pihak sudah berbincang menetapkan
tarikh pertunangan. Syukurlah papa dan mama kelihatan teruja menguruskan majlis
pertunanganku dengan Emir. Mereka menerima kehadiran Emir sebagai bakal menantu
dengan hati yang terbuka. Hujung bulan ini, aku dan Emir bakal ditunangkan.
Tempoh setahun pertunangan dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sekarang, aku
dan Emir sibuk membeli hantaran pertunangan. Masing-masing mula boleh menarik
nafas lega. Hilang sedikit rasa ‘sesak’ yang membelenggu jiwa.
Aku masih ralit memilih baju yang bakal aku pakai di
majlis pertunanganku nanti. Aku ingat, nak pakai baju kurung moden aje. Dihiasi
dengan sulaman tangan yang cantik. Warna kegemaranku menjadi pilihan. Apa lagi
kalau bukan warna putih. Majlis bertunang ni ingat nak buat sederhana saja.
Emir pun tak suka buat meriah sangat.
“Emir
yang ni cantik tak?” Kupadankan baju kebaya merah jambu yang penuh dengan
sulaman dan manic itu ke tubuhku. Aku melihatnya di cermin kaca. Cantik juga
baju ni.
“Emir…”
Dari dalam cermin, aku nampak Emir langsung tidak mengendahkan aku. Dia sibuk
membaca majalah pengantin. Aku merengus kecil sambil melangkah ke arahnya.
“Berkenan
ke dengan perempuan tu?” soalku seraya merampas majalah dari tangannya.
Kurenung tajam wajah model perempuan yang mengenakan busana Muslimah itu. Takdelah cantik sangat model ni. Biasa
aje kut.
“Suri
tak terbuka hati ke nak bertudung? Untuk berubah menjadi Muslimah sejati. Hmm?”
Tergamam aku tika itu. Mengapa tiba-tiba timbul pertanyaan itu dari mulut Emir?
Adakah Emir tidak suka dengan cara aku berpakaian? Terlalu seksi ke? Aku rasa
biasa-biasa aje.
“Kenapa
Emir tanya soalan macam ni?” tanyaku agak tak puas hati.
Emir hanya tersenyum. Diambil kembali majalah
Pengantin dari tanganku.
“Sebab
bila kita dah kahwin nanti, Emir yang tanggung dosa Suri. Suri tak kesian ke
kat Emir. Hmm?” Sungguh aku tak sangka Emir akan berbicara seperti ini. Dia
cuba nak kongkong aku? Dia cuba nak ubah gaya penampilan aku? Dia cuba nak ugut
aku dengan dosa pahala? Apa ni?!
“Apa
Emir merepek? Kenapa tiba-tiba cakap pasal ni semua?” Kupandang Emir dengan
pandangan sentap. Lelaki itu hanya tersenyum.
“Tak
salah kalau kita berubah untuk menjadi lebih baik. Sesungguhnya orang-orang
yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, itulah makhluk yang amat baik.”
Senyuman Emir tidak biasa menenangkan hatiku lagi.
Hatiku sakit mendengar dia menyindir-nyindir seperti itu. Sejak bila Emir
pandai memberi tazkirah ni? Dia nak tunjuk pandai kat aku? Dia nak tunjuk yang
dia tu soleh sangat ke?!
“Emir
tak suka bakal isteri Emir berimej macam ni? Emir nakkan seorang isteri yang
tutup seluruh badan? Hah?!” Suara aku mula meninggi. Baju kebaya yang aku
pegang segera aku campakkan ke kerusi. Dengan perasaan sentap, aku bangun
meninggalkan Emir di ruangan butik pengantin itu. Kuatur langkah menuju ke
kereta.
“Suri
tunggu. Suri!” Emir menjerit-jerit memanggil namaku. Aku langsung tidak
berpaling. Jangan bercakap soal ini lagi. Aku tak suka dengar!
“Suri!”
Tak sempat aku membuka pintu kereta, Emir pantas menarik tanganku. Dia memaksa
aku menghadapnya.
“Suri, Emir minta maaf. Emir tahu Suri tak
suka cakap pasal hal ni. Emir janji, Emir takkan cakap benda ni lagi. Emir
terima Suri seadanya seperti Suri terima Emir seadanya. Emir minta maaf.
Maafkan Emir…” Pujukan Emir kali ini langsung tidak berjaya buat aku terpujuk.
Dalam sentap
dengan sindiran dan teguran dari Emir, kata-kata lelaki itu juga mula menimbulkan satu persoalan besar dalam
fikiranku. Sampai bila aku harus hidup dengan penuh dosa seperti ini. Adakah
selama-lamanya aku takkan berubah menjadi lebih baik? Aku seorang wanita Islam.
Sewajibnya aku berpakaian seperti seorang Islam. Tapi, sejak dari baligh, beginilah cara aku
berpakaian. Papa dan mama ada menegurku, namun, aku langsung tidak mahu ambil
kisah tentang semua itu. Mak Limah berulang kali menasihati aku agar menutup
aurat. Dia cakap, berubah sedikit demi sedikit. Dekatkan diri dengan Allah agar
kita nampak dengan jelas tujuan dan motif kita hidup di dunia ini.
Bukankah hidayah itu milik Allah? Dia yang tidak
memberi aku hidayah dan petunjuk untuk berubah. Salah akukah?
‘Kau memang salah. Kau tak pernah menadah tangan
berdoa kepada Allah agar membukakan pintu hati kau untuk berubah. Kau hanyut
dan terus hanyut. Dan sekarang hati kau dah jadi keras. Nasihat yang kau terima
kau anggap ia sebagai satu sindiran. Hakikatnya, kau tahu, Yana. Kau tahu yang
apa yang kau buat selama ni salah dan berdosa. Kau tahu semua tu…’
Sekuat hati aku menepis tangan Emir. Kutolak
tubuhnya ke sisi. Pantas aku membuka pintu kereta dan terus meninggalkan dia
keseorangan di situ.
Dalam kereta, aku hanya mampu menangis. Kata-kata
Emir bagaikan satu tamparan hebat untukku. Kesedaran mula timbul. Adakah Allah
telah memberikan hidayah-Nya kepadaku?
Benar kata Emir. Apabila kami dah bernikah nanti,
dosa aku yang tidak menutup aurat semuanya jatuh ke bahunya. Aku menjadi
penyebab kesengsaraan lelaki yang aku cintai merana di akhirat nanti. Andai aku
benar-benar cinta, tak mungkin aku sanggup lakukan semua itu pada lelaki yang
aku sayang. Itu satu penganiayaan.
Dan aku, lebih lagi akan diseksa oleh Allah di
akhirat nanti. Dengan dosa aku yang menggunung banyak, entah bagaimana nasib
aku di sana nanti. Ya Allah… kuatkan hati aku untuk berubah. Aku takut dengan
segala pembalasan-Mu, ya Allah…
Air mata makin laju menitis. Rasa berdosa mencengkam
sanubari. Dosa-dosa yang pernah aku lakukan dulu, satu persatu bermain di
fikiran. Mungkin hari ini hari terakhir untuk aku hidup. Aku masih bergelumang
dengan dosa. Bagaimana andai aku tidak sempat untuk bertaubat? Adakah selama
hidup aku nanti aku akan menjadi penghuni neraka?
Menggigil tanganku saat itu. Aku tak berdaya lagi
nak memandu. Terus aku berhentikan kereta di pinggir jalan. Tangisan semakin
kedengaran nyaring. Aku tak pernah rasa bersalah seperti saat ini. Aku rasa
berdosa sangat. Dan aku mulai rasa ketakutan memikirkan nasib aku di alam kubur
dan di hari pembalasan nanti.
“Alluakbar Allahuakbar…” Terdengar saja laungan azan
itu, terus aku dongakkan muka. Rupa-rupanya aku berhentikan kereta berhampiran
dengan pintu masjid. Allahuakbar. Ini adalah tanda. Ini adalah salam kasih
sayang dari Allah yang masih menyayangi aku. Dia ingin melihat aku berubah. Dia
masih ingin memberikan kesempatan padaku. Mana mungkin aku sanggup
mensia-siakan peluang terbaik ini.
Aku terus melangkah keluar dari kereta. Dengan
segala dosa dan penuh penyesalan yang terbuku di hati, aku melangkah masuk ke
halaman masjid. Sebelum terlambat, aku ingin memohon taubat dari Allah Yang
Maha Mengampuni. Kau ampunkanlah aku, ya Allah… Aku bertaubat kepada-Mu.
************
Sejak pulang dari masjid, aku terus berkurung dalam
bilik. Langsung tak keluar-keluar. Fikiranku, hatiku, jiwaku… Masih rasa
ketakutan. Andai Allah tidak menerima taubatku bagaimana? Terlalu banyak aurat
yang sudah aku dedahkan selama ini. Aku
bangga apabila semua orang, terutama lelaki melihat kecantikan yang aku miliki.
Aku lupa, kecantikan itu adalah anugerah dari Allah yang seharusnya aku syukuri
bukan untuk aku bangga-banggakan.
Tapi sumpah demi Allah, aku tak pernah minum minuman
keras. Apalagi untuk melakukan penzinaan. Memang aku suka pergi ke pub, lepak
kat sana, cari mangsa baru untuk dijadikan teman lelaki. Tapi mujurlah Allah
masih menyayangi aku. Tak pernah walau sekali aku berzina dengan mana-mana
lelaki. Aku bukan perempuan murahan. Aku cuma ‘sesat’ di kehidupan yang penuh
cabaran ini.
Dan kehadiran Emir, banyak mengubah aku. Walaupun
dia tak pernah memaksa aku untuk berubah, tapi kata-kata dia hari ini buat mata
hati aku terbuka terus. Sungguh aku bersyukur mendapat seorang lelaki seperti
Emir. Pernah apabila kami keluar bersama, bila tiba waktu solat, Emir meminta
diri untuk solat. Aku pula, selalu buat alasan yang aku keuzuran. Ya Allah…
berdosanya aku.
“Ya
Allah, ampunkan aku. Ampunkan aku…” Aku berbaring ke katil sambil lidahku tak
henti-henti beristighfar. Selama ini, aku terlalu jauh dari Allah. Pergi masjid
pun hanya pada hari raya. Sembahyang? Tak pernah cukup lima waktu.
Kadang-kadang tak solat langsung. Tapi Allah tetap beri nikmat untukku teruskan
hidup. Kalaulah Allah ambil nyawaku ketika aku sedang melakukan maksiat dan
dosa, aku yakin, hidup aku takkan selamat di akhirat nanti.
Sedang aku kusyuk beristighfar, tiba-tiba telefon
bimbitku berbunyi nyaring. Aku tak terus angkat sebaliknya aku termangu melihat
pada skrin telefon. Emir yang telefon. Aku malu nak menjawab panggilannya. Aku
tahu, dia nak minta maaf. Dia tak salah. Seharusnya aku yang minta maaf padanya
kerana sudah marahkan dia tadi. Niat Emir murni. Dia nak lihat aku berubah.
Beberapa saat kemudian, panggilan itu terputus. Dan
muncul pula sms dari Emir. Aku segera membaca isinya.
+ Suri please
angkat call Emir. Emir minta maaf.
Aku menangis lagi. Tak Emir. Emir tak salah, bisikku
dalam hati sayu.
= Suri perlukan
masa untuk bersendirian.
Aku harap Emir faham.
+ Mesti Suri
marahkan Emir kan?
= Tak.
+ Habis tu
kenapa tak nak cakap dengan Emir?
= Sbb Suri
segan. Suri segan dengan Emir.
+ Segan? Kenapa
segan? Emir minta maaf.
Terus aku biarkan sms terakhir Emir itu tanpa
jawapan. Tiada apa lagi yang nak aku perkatakan. Aku perlukan ruang untuk
bersendirian. Bila aku dah tenang nanti, aku sendiri yang akan menghubunginya.
Beberapa minit kemudian, Emir masih lagi menelefon
aku. Aku segera meletakkan telefon bimbitku di bawah bantal. Aku ingin
melupakan hal dunia buat seketika.Aku ingin menghiasi hatiku dengan pengakuan
taubatku pada Allah. Segera kuatur langkah menuju ke bilik mandi. Kuambil wuduk
dengan penuh pengharapan agar dosa-dosaku akan gugur dengan setiap titisan air
wuduk yang kuambil itu. Selesai wuduk, aku membentangkan sejadah. Aku ingin
sekali lagi melakukan solat sunat taubat. Taubat nasuha yang selama ini tak
pernah aku lakukan. Kerana keangkuhanku, kerana kebodohanku, kerana kealpaanku…
Aku terus hanyut dengan permainan dunia ini. Fitrah manusia memang sangat lemah dan hina di sisi Allah
swt. Oleh sebab itu, usahlah kita berlengah untuk bertaubat dan memohon
keampunan kepadaNya. Sesungguhnya Allah swt amat gembira apabila hamba-hambaNya
memohon taubat dan keampunan kepadaNya. Allah pernah berfirman,
“Katakanlah:
“Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah
kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa
semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS.
Az-Zumar: 53)
Semoga
Allah mengampuni dosa-dosaku. Amin.
No comments:
Post a Comment