“Papa
tak setuju!” Sudah kujangka itulah jawapan yang bakal papa berikan padaku.
“Tapi
Yana cintakan dia. Yana… Yana dah bersedia nak jadi seorang isteri,” ujarku
dalam terpaksa. Memanglah aku masih belum yakin seratus peratus yang aku ni
bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri. Tapi, kata-kata Emir berjaya
memujukku. Hati aku terbuka untuk
bersetuju menerima lamarannya.
“You are still young, Yana. Kahwin muda
bukan senang. Ini lelaki mana pulak yang dah racuni fikiran Yana ni. Tak ada
angin, tak ada ribut, tiba-tiba cakap pasal kahwin. Mengarut! Dahlah tadi lari
macam tu aje dari klinik. Sekarang, tiba-tiba cakap pasal kahwin. Yana memang
sakit!” Papa menyandarkan badannya ke sofa sambil picit kepala. Mama yang duduk
di sebelah papa cuba menenangkan papa dengan mengusap lembut dada papa. Aku
kalih pula memandang Mak Limah. Perempuan tua itu hanya diamkan diri. Mungkin
dia juga terkejut dengan keputusan aku ini.
“Mama
harap Yana hanya main-main. Soal nikah kahwin bukan perkara mudah. Sekarang
bukan waktu untuk Yana fikir soal kahwin. But
you have to focus your study. Mama dan papa tak pernah halang Yana
bercinta, tapi untuk kahwin, no.
Belum tiba masanya lagi.” Keputusan dari mama buat hati aku semakin hampa.
Kalaulah Emir ada sekali memujuk kedua orang tuaku. Tapi aku juga yang tak bagi
Emir menemui ibu bapaku. Aku risau kalau-kalau papa dan mama marahkan Emir
dalam soal ni.
“You have to trust me, pa, ma. Yana
cintakan dia. Kami berdua nak halalkan apa yang haram. Bila dah kahwin, kami
bebas lakukan apa saja. Yana janji, Yana akan jadi lebih matang lepas kahwin
nanti. Yana takkan susahkan mama dan papa.” Pujukku masih tidak mahu mengalah.
Kupandang mama dan papa yang tetap membisu. Mereka
berdua langsung tidak termakan pujuk rayuku. Apa yang harus aku lakukan lagi?
Perlukah aku menemukan Emir berjumpa dengan mereka? Mungkin itulah jalan yang
terbaik. Biar Emir sendiri yang meyakinkan kedua orang tuaku.
“Esok
Yana akan bawa Emir datang jumpa mama dan papa. Yana harap, papa dan mama
dengar penjelasan dia. Jangan sakiti hati dia. Dia lelaki yang Yana cinta. Yana
hanya cintakan dia seorang aje. Kalau Yana tak boleh kahwin dengan dia, Yana
tak nak kahwin dengan mana-mana lelaki lain lagi. Titik!” Segera aku berlari
naik ke tingkat atas. Aku juga sebenarnya tidak sanggup untuk menuturkan ugutan
itu. Tapi, ini demi masa depan aku dan Emir. Aku tahu, aku pasti akan bahagia
dengan dia. Emir lelaki baik. Dia seorang yang penyabar dan bertanggungjawab.
Hidup aku pasti akan bahagia dengan dia!
Dalam bilik, aku menangis tersedu-sedan. Kucuba
untuk menenangkan diriku sendiri. Saat ini, aku sangat ingin Emir berada di
sisiku. Aku perlukan dia tenangkan aku. Sepatutnya, perkara ini kami hadapi
bersama-sama.
Rasa bersalah kerana meninggikan suara pada mama dan
papa tiba-tiba menghiasi ruang jiwa. Kerana seorang lelaki, aku bercakap kasar
dengan orang yang telah banyak berjasa dalam hidup aku. Tapi tidakkah mama dan
papa mengerti apa yang aku alami? Kenapa harus susahkan benda senang. Restukan
perhubungan aku dengan Emir. Nikahkan kami berdua. Itu sahaja yang aku mahukan.
Tidakkah mama dan papa mengerti perasaan orang saling cinta mencintai? Bukankah
papa dan mama juga pernah bercinta dulu? Mereka juga kahwin di usia yang agak
muda. Jadi, kenapa nak mempertikaikan keinginan aku untuk kahwin muda?
Tok. Tok. Daun pintu bilik tiba-tiba diketuk dari
luar. Sebaik saja pintu bilik dikuak dari luar, terjengul kepala Mak Limah di
balik pintu. Dia tersenyum memandangku.
“Boleh
mak masuk?” tanyanya, masih berdiri di muka pintu.
Aku yang masih duduk meniarap di atas katil,
menganggukkan kepala lemah. Mak Limah melangkah ke katil. Dia melabuhkan duduk
di birai katil. Tangannya mengusap kepalaku dengan penuh rasa kasih.
“Apa
yang Yana rasa sekarang?” soal Mak Limah tiba-tiba. Aku yang masih menyembamkan
muka ke bantal, hanya diamkan diri. Kenapa pula mak tanya macam tu? Sah-sah
hati aku sedih dan kecewa sebab papa dan mama tak bagi aku kahwin.
“Mesti
Yana sedih dan kecewa, kan? Itulah juga yang papa mama Yana rasa sekarang.
Sedih, kecewa kerana anak gadis mereka yang baru berusia 19 tahun yang selama
ni mereka belai penuh perhatian, tiba-tiba saja cakap soal kahwin. Dalam masa
yang sama dia orang terkejut. Tak menyangka, anak dia orang dah besar rupanya.
Dah matang, dah cakap pasal kahwin.” Kata-kata Mak Limah buat aku palingkan
muka memandangnya. Mak Limah yang tersenyum penuh erti.
“Jangan
terburu-buru Yana. Mak sokong kalau Yana nak kahwin. Itu tandanya, kali ni Yana
benar-benar serius dalam hubungan. Betul-betul cintakan lelaki itu. Tapi…
berbincanglah dulu. Bawa lelaki tu datang ke rumah. Kenal-kenal dengan papa dan
mama. Keluarga kita kenal dulu dengan keluarga dia. Barulah kasih sayang dan
keyakinan dapat dipupuk. Perkahwinan bukan hanya ada Yana dan lelaki tu, tapi…
ada keluarga kedua-dua belah pihak. Yana faham maksud mak, kan?”
Itulah Mak Limah. Sentiasa dapat memberi jalan
keluar untuk aku. Dia berjaya menenangkan aku dengan sikap lemah lembutnya.
Kalau macam tu, aku akan bawa Emir datang ke rumah esok. Kenal-kenal dengan
papa dan mama. Betul kata mak. Perkahwinan bukan hanya ada aku dan Emir
semata-mata. Masih ada papa, mama dan keluarga kami yang lain di sebalik
perkahwinan ini nanti.
“Terima
kasih, mak. Terima kasih…” ucapku penuh makna. Mak Limah hanya tersenyum. Kami
saling berdakapan.
*********
Tak senang berdiri aku menunggu kedatangan Emir.
Sengaja aku terpacak menunggu dia di depan pintu pagar. Aku nak biar aku
sendiri yang menyambut kedatangannya. Semalam, aku bercakap dengan dia.
Keputusan aku untuk membawa dia berjumpa dengan ibu bapaku Emir sambut baik.
Dia lagi excited nak bertemu dengan
bakal ibu bapa mertuanya. Wah, confident nampak!
Seperti biasa, Emir tak pernah nak datang tepat pada
masa yang dijanji. Aku makin gelisah menunggu. Makan tengah hari dah lama siap.
Tunggu Emir aje ni. Adoiyai… Emir, Emir. Dah tahu hari ni ada pertemuan
penting, tolonglah datang awal sikit. Tunjuklah kesungguhan tu sikit. Ugh! Nak
kena call lagilah ni.
Tak sempat aku mendail nombor telefon Emir, tiba-tiba ada sebuah teksi
berhenti di depan rumahku. Keluar seorang jejaka kacak dari tempat duduk
penumpang.
“Kenapa
lambat?” soalku sebaik saja Emir berdiri di depanku. Kupandang hamper
buah-buahan yang dibawanya. Pasti nak diberikan pada papa dan mama.
“Sorry, Suri. Motor Emir buat hal.
Semalam okey aje. Nasib baik dapat teksi tadi. Kalau tak, lagilah lambat.”
Penerangan dari Emir aku buat tak layan. Pantas kutarik lengannya mengikutku
masuk ke dalam rumah. Namun, tak sempat langkah kami bermula, Emir bertindak
menahan aku. Dia bertanyakan satu soalan padaku.
“Emir
kacak tak? Kemas tak? Okey ke baju kemeja yang Emir pakai ni, Suri? Ibu yang
tolong sediakan baju ni.” Ucapan Emir buat aku tergelak kecil. Berdebar sungguh
nampaknya si Emir ni.
Aku buat penilaian. Kupandang Emir dari atas ke
bawah. Perfect 10! Markah penuh aku
bagi padanya. Kasut kilat. Seluar slack putih bergosok dengan cukup sempurna.
Baju pula. Kemeja lengan panjang warna putih ini juga cukup padan di badannya.
Wah, bersih dan suci. Sengaja Emir ni. Tahu-tahu aje aku suka warna putih.
“Jom
masuk. Emir sentiasa kacak di mata Suri. Kalau mama papa tengok Emir, pasti dia
orang akan jatuh hati dengan Emir. You
are so cute. Jom!” Saat itu aku perasan ada senyuman terlakar di bibir Emir.
Mungkin dia gembira apabila aku memujinya seperti itu. Semenjak Emir
bertransformasi, hilang sudah imej lelaki nerd yang dipegang olehnya dulu. Cuma
kadang-kadang, sikap dan kata-kata dia seperti lelaki nerd. Blur aje memanjang.
“Papa,
mama…” Aku bawa Emir ke ruang tamu. Di situ, papa dan mama sudah bersedia
menunggu.
“Papa,
mama… Kenalkan inilah Emir. Ku Emir Affan bin Ku Amir.” Nama penuh aku bagi
tuh! Kukerling wajah Emir, dia kelihatan sedikit gugup. Tertunduk ketakutan.
Adeh…
Papa dan mama menunggu Emir menghulurkan tangan
bersalam. Sedar akan hal itu, pantas aku menyiku lengan Emir. Aku beri dia
isyarat mata. Faham dengan signal yang aku bagi tu, Emir cepat-cepat menyalami
tangan papa. Pada mama Emir hanya tersenyum.
“A-apa
khabar, uncle… aunty…” Tergagap-gagap Emir bersuara. Sekarang Emir sudah layak
dipanggil Emir si gagap. Hahaha…
Aku pelawa Emir duduk di sebelahku. Baik papa dan
mama, masing-masing hanya diam tak berkutik. Nampak sangat yang mereka tak suka
dengan Emir. Hampa aku melihat penerimaan dari papa dan mama. Tidakkah mereka
nampak kesungguhan aku dan Emir? Kami benar-benar mengharapkan restu dari
mereka.
“Erm,
kalau papa dan mama nak tahu, first time
kami berdua bertemu, masa di depan library.
Kan, Emir? Sampai sekarang, Suri tak lupa moment
tu.” Kuukir senyuman untuk Emir. Emir membalas senyumanku dengan senyuman
manisnya.
Keadaan cukup kekok kurasa saat ini. Tak patut kalau
mama dan papa teruskan dengan kebisuan seperti ini. Emirpun satu. Cubalah
berbual mesra sikit dengan mak ayah aku ni. Hisy! Lupa nak ajar semalam.
“Dah
berapa lama kau orang berdua berkenalan?” tanya papa serius. Aku dan Emir
saling berpandangan. Alamak, soalan tu memang kami tak nak jawab. Kalaulah papa
tahu aku dan Emir baru bercinta beberapa minggu, sah-sah makin kuat penentangan
papa nanti. Tak! Aku lebih sanggup berbohong daripada papa tahu kebenaran itu.
“Dah
hampir dua bulan, pa. Usia perkenalan tidak menjamin kebahagiaan seseorang, pa.
Yang penting, saling cinta dan percaya. Betul kan, mama? Itu yang mama selalu
pesan pada Yana, kan?” Aku bangun dari kerusi. Kududuk di sebelah mama sambil
melentokkan kepala ke bahunya. Aku sebenarnya masih berusaha memujuk.
“Kamu
pun masih study lagi kan?” tanya papa
pada Emir. Saat itu aku cuba nak back-up
Emir, namun mama melarangku. Dia tidak mengizinkan aku bersuara.
Kupandang wajah Emir. Dia kelihatan takut-takut nak
jawab soalan dari papa. Come on,
Emirku sayang. Kuatkan semangatmu!
“Err…
masih study lagi, uncle. Tapi Emir dah semester akhir,”
ujar Emir dengan suara perlahan. Dia langsung tak berani nak angkat muka. Pasti
dia benar-benar kecut perut menerima renungan tajam dari papa tadi.
“Study lagi tapi kenapa gatal sangat nak
kahwin? Tak boleh ke tunggu habis belajar atau dapat kerja dulu? Patutkah saya
kahwinkan anak perempuan kesayangan saya pada lelaki yang masih belum jelas masa
depan dia. Hmm?” Kali ini kata-kata papa buat Emir berani memandang muka papa
dan mama.
Kesian aku melihat Emir. Untuk aku tolong dia, aku
juga tak mampu. Aku juga sebenarnya nak tengok sejauh mana kesungguhan dia
untuk memujuk papa dan mama. Adakah dia mampu meyakinkan kedua-dua orang tuaku?
“Keluarga
Emir tubuhkan syarikat hartanah. Dan Emir memang berminat untuk berkerja dengan
ibu Emir lepas habis belajar nanti. Emir yakin, Emir mampu jaga Suri dan
bahagiakan Suri sebagaimana uncle dan
aunty jaga dia. Tolong percayakan
Emir…” Emir mula merayu. Terharu hati aku detik itu. Sekurang-kurangnya, kini
aku semakin yakin bahawa Emir benar-benar bersungguh-sungguh untuk berkahwin
dengan aku. Tidaklah seperti sesetengah lelaki. Kat belakang bukan main berani.
Bila dah berdepan betul-betul, senyap sunyi. Emir tidak. Apa yang dia katakan
pada aku, itulah yang dia cakapkan pada papa dan mama hari ini. Dia memang
bersungguh.
“Jadi
awak nak cakap yang keluarga awak kaya dan awak akan hidup senang di sebabkan
harta keluarga awak tu. Hah? Bahagiakan anak saya dengan kemewahan keluarga
awak? Bila harta keluarga awak dah habis, apa yang tinggal untuk bahagiakan
Yana? Mengemis?”
“Papa!
Kenapa cakap macam tu.” Tak sanggup aku melihat papa ‘menyerang’ Emir dengan
kata-kata sinis seperti itu. Kalaupun tak suka, janganlah sampai nak
merendahkan martabat orang lain.
Emir cuba bertenang. Dia cuba tersenyum memandang
aku. Kali ini, aku lihat senyuman Emir benar-benar terpaksa. Dia cuba untuk
menenangkan perasaan aku. Emir…
“Emir
memang tak pandai nak berkata-kata, uncle,
aunty. Tapi Emir betul-betul sayangkan Suri. Emir bukan seorang yang suka
gunakan harta keluarga semata-mata demi kepentingan Emir. Emir memang anak
orang kaya, tapi Emir tak berharta. Emir akan mulakan dari bawah. Susah senang
Emir, Emir nak kongsi dengan Suri. Emir yakin, Emir takkan sampai mengemis
untuk bahagiakan anak kesayangan uncle
dan aunty. Emir janji, Emir takkan…”
Air mataku bergenang. Tak pernah aku lihat Emir
bersungguh seperti ini. Dia nak bahagiakan aku tanpa memanjakan aku dengan
kemewahan keluarganya. Bukankah itu tanda yang Emir ini seorang lelaki yang
benar-benar bertanggungjawab? Dia lelaki yang low profile dan bukan anak manja! Itu ciri-ciri lelaki sejati yang
benar-benar aku kagumi. Seperti papa. Papa juga mulakan perniagaan dengan hasil
usahanya sendiri. Susah senang papa, dia kongsikan dengan mama. Kepayahan dan
kesenangan membuat cinta mereka makin kukuh lagi hebat.
“Emir
merayu. Lepaskan Suri untuk Emir. Emir akan sayangkan dia sepenuh hati Emir.
Emir akan buktikan pada uncle dan aunty, keputusan kami berdua untuk
berkahwin adalah tepat. Kami takkan sia-sia restu dari uncle dan aunty.” Emir
tertunduk penuh berharap. Mungkin dia juga sudah kehilangan kata untuk
meyakinkan mama dan papa.
Aku tatap muka papa dan mama dengan wajah simpati.
Aku harap, kedua orang tuaku nampak kesungguhan kami. Seharusnya, mereka
menyokong perkara baik ini. Aku yakin, saat ini hati papa dan mama pasti sedang
berbolak-balik.
**********
Aku dan Emir kini berada di taman bunga yang sering
kali menjadi tempat dating kami
berdua. Kami duduk di bangku yang sama namun aku duduk di hujung sebelah kanan,
Emir pula duduk di hujung sebelah kiri. Masing-masing meninggalkan ruang tengah
yang kosong dengan penuh perasaan hampa, resah, gelisah dan kecewa. Bagaimana
untuk kami menyelesaikan masalah ini? Pasti ada satu jalan untuk selesaikan
segala kekalutan ini. Tapi apa?
“Emir
dah cuba Suri.” Tiba-tiba Emir bersuara, lemah. Aku berpaling memandangnya.
“Ya,
Suri tahu. Terima kasih sebab Emir berjuang demi cinta kita.”
“Hmm…
Tapi Emir tak berjaya yakinkan papa dan mama Suri. Mereka tak percayakan Emir. Jauh
sekali nak restukan hubungan kita.” Kata-kata Emir ada benarnya. Dalam keadaan
sekarang, baik aku dan Emir dah gagal untuk mendapatkan keputusan yang pasti.
Keputusan sejauh mana hubungan kami akan bertahan. Adakah sampai ke sudah mama
dan papa takkan memberi restu dan keizinan untuk aku dan Emir bersatu? Ah…
Kalau itulah realiti yang bakal aku hadapi, aku lebih rela kalau dulu aku tidak
menemui Emir daripada aku harus kehilangan dia sekarang.
“Kita
cuba pujuk lagi. Suri yakin, lambat-laun mama dan papa pasti akan restukan
hubungan kita. Kita bukan nak buat benda yang salah Emir. Kita di pihak yang
benar.” Aku cuba menaikkan semangat Emir yang sudah hampir pudar itu. Andai
Emir sudah berputus asa dengan sedikit usaha yang dilakukannya, maka akulah
manusia yang paling merasa kecewa.
Emir menatap ke dalam anak mataku. Dia
tersenyum.
“Demi
untuk mendapatkan Suri, tak mungkin Emir akan mengalah. Demi cinta kita, kita
akan terus berjuang. Mungkin Emir bukan lelaki yang baik, tapi Emir akan cuba
menjadi lelaki yang terbaik untuk Suri. Suri percayakan Emir, kan?” Pertanyaan
dari Emir aku jawab dengan anggukan. Anggukan penuh keyakinan. Aku percayakan
dia. Seratus peratus!
“I love you, Emir,” luahku tanpa
segan-segan lagi.
“I love you more, Suriyana.” Mendengar
ungkapan cinta Emir itu buat aku semakin bersemangat untuk berjuang demi cinta
kami. Akan aku pujuk papa dan mama sehingga mereka bersetuju memberi restu
mereka kepada kami. Bagi aku, restu kedua orang tua amat penting dalam sebuah perhubungan
suami dan isteri yang baru nak bermula. Bukankah redha ibu bapa itu akan
melahirkan redha dari Allah Yang Maha Esa?
***********
Sekembali saja aku dari berjumpa dengan Emir, aku
terus pulang ke rumah. Sesampai di rumah, tak menunggu lama, terus kuatur
langkah menuju ke bilik. Aku nak protes sikit. Biar mama dan papa nampak
kesungguhan dan keseriusan aku kali ini. Aku memang tak main-main. Kurasakan
aku kini makin matang dengan apa yang aku lalui sekarang. Tak pernah walau
sekali aku begini nekad untuk mempertahankan cinta aku. Seharusnya mama dan
papa nampak semua itu!
Aku duduk termenung di birai katil memikirkan
langkah apakah yang harus aku lakukan seterusnya. Nak pujuk macam mana lagi
agaknya ya? Mungkin benar kata Mak Limah. Baik papa dan mama, masing-masing
terkejut menerima berita ini. Anak kesayangan mereka yang selama ini hanya
pandai bertukar teman lelaki, tiba-tiba bercakap soal nikah kahwin. Jangan kata
mereka, aku sendiri terkejut dengan keputusan aku ni. Tak sangka, aku begini berani
untuk mempertaruhkan kebahagiaan dan masa depan aku demi cinta aku pada Emir.
Selama ini, aku hanya main-main saja sukakan
seseorang lelaki. Bila dah jumpa cinta sejati macam ni, tak sangka keinginan
untuk aku menamatkan zaman bujang tiba-tiba menghiasi jiwa. Aku bukannya
tergolong dalam golongan ‘gatal nak kahwin’. Tapi ini mengenai rasa cinta dan
tanggungjawab. Bak kata orang bijak pandai, cinta yang hebat itu bertunjangkan
tanggungjawab.
Dan aku yakin, cinta aku dan Emir adalah cinta yang
hebat. Dan kami ingin memperhebatkan lagi cinta itu dengan memikul
tanggungjawab bersama. Memang tak mudah untuk tanggung semua tanggungjawab itu.
Tapi, pengalaman pasti akan mematangkan usia. Perjalanan hidupku bersama Emir
pasti akan mematangkan kami berdua untuk terus tabah menempuh alam perkahwinan
yang mencabar.
Percayalah
wahai mama dan papa. Yana tak pernah rasa seyakin ini. Yana dah bersedia
untuk lalui fasa kehidupan Yana yang lebih mencabar. Dengan adanya Emir di sisi
Yana, Yana mampu hadapi semua ini dengan hati yang senang dan bahagia. Insya-Allah…
No comments:
Post a Comment