Aaachommm!
Terlontar kuat bersinku memenuhi ruang kereta. Terkeluar habis hingus aku. Saat
itulah Emir menghulurkan sehelai tisu kepadaku. Aku menyambutnya sambil
tersenyum nipis.
“Kalau
Suri tak degil, Suri tak kena selsema macam ni.” Emir mula berleter. Aku hanya
pekakkan telinga. Dah malas nak gaduh pasal hal
tu. Buat sakit hati aje. Penat tau aku cari hadiah tu. Hampir dua jam
aku mandi hujan semata-mata nak cari hadiah tu. Tapi hampa, langsung tak nampak batang hidung. Entah siapa
yang ambil. Aku doakan, siapa-siapa yang ambil, tolonglah jaga elok-elok hadiah
tu. Kalau tak nak, bagilah kat aku balik. Tapi bagaimana dia orang nak bagi,
dia orang bukan ada nombor telefon aku pun. Hmm…
“Suri
masih sedih sebab tak jumpa hadiah tu?” tanya Emir sambil mengeringkan
rambutnya dengan tangan. Habis merencit air ke muka aku. Hisy!
“Mestilah
sedih. Hadiah tu penting sangat. Emir apa tahu. Tahu membebel aje,” jawabku
agak sentap.
Emir yang duduk di tempat pemandu hanya
menggelengkan kepala.
“Hadiah
apa yang penting sangat tu? Boleh Emir tahu? Kalau Emir tahu, mana tahu Emir
boleh cari kat kedai ke. Gantikan yang hilang tu.” Cadangan Emir buat aku
paling muka memandangnya.
“Takkan
ada ganti, Emir. Ada satu aje dalam dunia ni. Sebab hadiah tu Suri buat
sendiri. Eh, dahlah. Penatlah. Please hantar
Suri balik.” Aku segera pasang tali pinggang keselamatan. Kusandarkan tubuh ke
kerusi sambil picit kepala. Pening aku rasa sekarang. Dah mula nak demam
ni. Mesti mama dan papa membebel panjang
nanti. Argh!
“Suri
macam demam aje. Kita pergi klinik dulu ya. Emir risaulah Suri demam macam ni,”
ujar Emir penuh prihatin.
Aku jeling Emir. Takde
mood aku nak pergi klinik. Aku nak balik. Balik!
“Tak
payahlah pergi klinik. Hantar Suri balik dahlah…” Suara aku mula berubah
sentap. Aku rasa kalau Emir tetap berdegil nak ajak aku pergi klinik, jangan
terkejut kalau aku mengamuk dalam kereta ni nanti. Aku dahlah tengah tertekan
hadiah aku hilang. Dia nak over caring
pulak.
“Suri…
Suri demam ni.” Emir tetap berdegil.
“Eh
dahlah! Suri tak demam! Suri nak balik sekarang! Hantar Suri balik. Nanti kat
rumah pandai-pandai mama papa Suri jaga Suri. Yang Emir sibuk-sibuk sangat kenapa?!”
Suasana dalam kereta mula berubah sunyi. Aku terkedu
dengan tengkingan aku pada Emir. Dan Emir pula kelihatannya agak tergamam.
Mungkin tak percaya aku boleh jerkah dia sampai macam tu sekali.
Baru saja aku nak bersuara meminta maaf, Emir pantas
membuka radio bagi mengisi ruang sunyi yang melanda kami. Dia segera
menghidupkan enjin kereta dan bergerak keluar dari tempat parkir. Saat itu
hanya Tuhan saja yang tahu apa yang sedang Emir rasakan dalam hatinya. Adakah
dia terasa hati aku menengkingnya? Sudah pasti. Emir mesti dah merajuk.
Untuk memujuk, aku juga dah tak kuasa. Penat, letih,
kecewa, stress. Semua ada. Biarkanlah
dulu. Esok-esok ajelah aku pujuk dia. Sorry,
Emir. Suri stress sangat tadi. Lemah
hatiku berbisik.
Lima belas minit kemudian, kami tiba di perkarangan
rumahku. Sepanjang perjalanan tadi, Emir langsung tidak bersuara. Apa lagi nak
palingkan muka memandang aku. Dia benar-benar dah merajuk dan terasa hati
dengan tengkingan aku tadi.
Tanpa kata, Emir segera keluar dari kereta. Tanpa
ucap selamat malam, aku lihat dia melangkah laju meninggalkan halaman rumahku.
Dengan bertemankan lampu jalan yang suram cahayanya, Emir menyusuri jalan
menuju ke jalan besar. Pasti dia akan menaiki teksi dan mengambil motosikal
yang ditinggalkanya di taman tadi. Aku dah susahkan Emir. Sepatutnya aku drive sendiri tadi. Ini tidak, sikap
manjaku buat aku menyusahkan dia lagi. Dan sebab sikap baran aku, aku marahkan
dia. Sedangkan aku tahu, dia hanya mengambil berat. Emir… maafkan Suri…
********
“Lepas
makan panadol ni, sayang tidur okey? Jangan nak mengada tak makan ubat. Nanti
demam melarat baru tahu.” Sebaik saja aku siap bersihkan diri, aku terus
merebahkan diri ke katil. Nasib baiklah mama dan papa tak memberi tazkirah
panjang pada aku. Takdelah aku makin
tertekan dengan apa yang sudah aku lalui hari ini. Hari yang ceria berubah
duka. Hadiah hilang, Emir merajuk… Hmm….
“Yana
dengar tak apa yang mama cakap ni? Hmm?” Suara mama membangunkan aku dari
lamunan. Aku angguk kepala lemah. Untuk buat mama cepat-cepat keluar dari
bilik, aku segera mencapai panadol dan air kosong yang sudah tersedia. Aku
segera telan pil yang terasa pahit itu. Aku tak boleh demam. Aku harus
cepat-cepat sihat kerana tugas memujuk Emir masih belum aku selesaikan!
Melihat aku selamat makan ubat, mama tersenyum
sambil usap pipi ku lembut. Dia berpuas hati aku sudah tidak culas lagi makan
ubat.
“Okey
mama keluar dulu. Kalau ada apa-apa, panggil mama. Okey, sayang?” Kepalaku
angguk lagi. Untuk bersuara aku dah tak larat. Matapun dah nak mula layu.
Dengar saja daun pintu ditutup, aku yakin mama dah
keluar. Saat itu mataku juga sudah mulai tertutup rapat. Aku nak tidur dulu.
Selamat malam dunia…
Beberapa minit berlalu, aku masih gagal menidurkan
diri. Mata memang pejam tapi fikiran aku menerawang risaukan Emir. Tak patut
kalau aku langsung tak ucap kata maaf padanya. Entah macam mana keadaan dia
sekarang. Dah sampai rumah ke belum ya?
Walaupun tubuhku terasa berat, aku gagahkan juga
mencapai telefon bimbit yang terletak atas meja sisi di tepi katil. Nombor
telefon Emir kudail perlahan.
Lama aku tunggu, namun panggilan tetap tidak
berangkat. Aku cuba lagi. Walaupun dalam mata terpejam,aku tetap cuba mendail
nombor Emir buat sekian kalinya. Mungkin dia tengah mandi kut. Diakan suka
mandi malam.
Dengan fokus yang masih bersisa, aku cuba menaip.
Satu pesanan ringkas kukirimkan pada Emir. Harap-harap dia baca sms aku ni. Aku
yakin dia sengaja tak angkat panggilan tadi. Dia merajuk. Aku tahu.
+ Maafkan Suri,
Emir.
Hanya itu yang mampu aku taip. Beberapa minit
kemudian, aku terus pejamkan mata dan tak sedarkan diri lagi.
************
Keesokan harinya, jam sebelas pagi barulah aku
bangun dari tidur. Solat Subuh sah-sah dah terlepas. Itupun nasib baiklah Mak
Limah kejutkan aku. Kalau tak, mungkin sampai ke petang aku tidur.
“Lepas
mandi, kita pergi klinik. Yana demam kuat ni. Panas betul badan Yana,” Mak
Limah bersuara sambil melekapkan tangan ke dahi dan pangkal leherku. Aku yang
masih berbaring atas katil hanya diamkan diri sambil membungkuskan tubuhku
dengan selimut. Sejuknya. Macam mana nak mandi ni.
“Bangun
Yana. Papa dah tunggu kat bawah tu. Dia yang akan hantar Yana pergi klinik. Bangun,
sayang. Jangan buat papa menunggu.” Aku menggelengkan kepala. Malaslah nak
mandi. Malas nak pergi klinik.
“Kenapa
geleng kepala pulak? Tak nak pergi klinik ya?” tanya Mak Limah dapat mengagak.
“Yaa…”
Adeh… Sakitnya tekak aku. Nak bersuarapun dah tak boleh.
“Jom-jom.
Biar mak mandikan Yana.” Selimut tebal yang menyelubungi tubuhku diselek
perlahan oleh Mak Limah. Dia membantuku bangun dari katil. Melihat aku
mengeraskan diri, Mak Limah mula menggunakan taktik kotornya.
“Bangun
cepat atau mak geletek pinggang Yana nanti,” ujar Mak Limah sambil sudah
bersedia dengan jari jemarinya. Aku cepat-cepat geleng kepala. Dengan muncung
panjang sedepa, aku segera angkat punggung dari katil.
“Hah,
nak mak mandikan ke?” tanya Mak Limah bila melihat aku masih berdiri bingung di
muka pintu bilik mandi.
Untuk membalas kata-kata Mak Limah memang aku dah
tak berdaya. Tekak aku ni terasa perit sangat. Akhirnya, aku terpaksa mengalah.
Segera kuangkat kaki masuk ke bilik mandi.
Usai mandi dan berpakaian kemas, aku berbaring lagi
ke katil. Sengaja aku tak turun ke bawah. Aku nak papa atau mama atau Mak Limah
yang datang jemput aku. Wah, demand!
Aku bukan apa, time-time demam ni aku
memang suka bermanja dengan mereka bertiga tu. Inilah masanya untuk aku jadi
kanak-kanak kecil semula.
Terlintas di benakku untuk memeriksa telefon bimbitku.
Manalah tahu Emir ada membalas smsku semalam. Segera aku mencari telefon bimbit
di merata tempat. Teraba-raba tanganku mencarinya di bawah bantal. Sebaik saja
kujumpa, terus kuperiksa skrin telefon itu.
Hmm… Hampa. Skrin telefon kosong tanpa ada apa-apa
balasan. Tak sedap hati aku dibuatnya dengan sikap Emir ni. Kut ya pun nak
merajuk, balaslah sms aku. Erk… Tapi orang merajuk mana balas sms.
‘Angkatlah phone
ni.’ Suara hatiku berkata-kata. Risau bila Emir tetap tak angkat panggilan.
Dari semalam aku telefon.
Dengan lajunya, aku menaip satu sms untuk Emir. Aku
harap dia balaslah sms aku kali ni.
+ Kenapa Emir
tak angkat bila Suri call? Are u ok? Plis bls sms Suri. Pasal semalam, Suri
minta maaf. Suri x sengaja marah Emir.
“Yana?
Dah siap ke?” Muncul papa di muka pintu dengan tiba-tiba. Aku pandang muka papa
sambil angguk kepala.
Papa bergerak mendapatkan aku. Dipimpin tangan aku
menuju ke bawah. Telefon bimbit di tanganku kutilik berulang kali. Manalah tahu
Emir balas sms aku tadi.
*********
“Yana
tunggu kat sini okey. Papa pergi bayar bil,” ujar papa sebaik saja aku duduk ke
kerusi. Dia bergerak ke kaunter ubat. Doktor cakap, aku demam biasa aje.
Okeylah tu. Dua tiga hari nanti sihatlah.
Fikiran aku masih lagi serabut memikirkan Emir. Emir
nikan suka sangat menghilangkan diri. Antara banyak-banyak teman lelaki aku,
Emirlah orang pertama yang paling berani tak layan sms dan panggilan dari
aku. Dia memang suka buat aku
terkejar-kejarkan dia. Nasib baiklah aku ni cintakan dia. Kalau tak, mati hidup
balikpun aku takkan menyerabutkan diri aku macam ni. Ugh! Emir sengal!
Sekali lagi, aku tilik telefon. Manalah tahu ada
sms. Dan ternyata memang ada. Yes!
Mesti dari Emir. Cepat-cepat aku buka sms yang baru tiba itu.
= Emir nak jumpa
Suri kat taman semalam. Emir tunggu Suri kat sana. Sekarang.
Mataku membulat. Sekarang? Tapi akukan demam. Papa
mesti tak bagi aku keluar. Ah! Tapi inilah peluang aku jumpa Emir. Mungkin Emir
ada benda penting nak cakap.
Melihat papa masih sibuk berurusan di kaunter, dengan
berhati-hati aku angkat punggung dari kerusi. Terjengket-jengket aku keluar
dari klinik itu. Tiba di birai jalan, aku terus menahan teksi. Sempat aku
hantar sms pada papa mengatakan aku terpaksa keluar jumpa kawan. Aku harap papa
tak marah. Tapi balik nanti, sah-sah aku kena menghadap leteran mama. Ah…
biarlah. Aku sanggup hadapi semua tu semata-mata demi Emir. Emir mesti dah lama
tunggu aku kat sana.
*********
Sampai saja di taman yang dijanjikan, aku terus
mencari kelibat Emir. Melilau-lilau mataku mencarinya hingga kepeningan mula
melanda diri. Hampir aje aku tumbang menyembah bumi. Namun, saat itulah ada
tangan yang memegang bahuku, menahan aku dari jatuh.
Aku berpaling. Mataku terpaku menatap wajah Jimmy.
Jimmy? Apa dia buat kat sini?
“Yana?
Yana, are you okay? Kenapa pucat aje
ni.” Pertanyaan dari Jimmy aku tak segera jawab. Kutepis lembut tangannya yang
masih memegang bahuku. Aku menjauhkan sedikit jarak antara kami.
“Saya
okey. Awak buat apa kat sini?” tanya aku pula padanya.
Jimmy ajak aku duduk di bangku yang terletak tidak
jauh dari tempat kami berdiri. Agak keberatan untuk aku mengikutnya. Entah ke
mana pula Emir ni. Cakap nak jumpa. Tapi batang hidungpun tak nampak.
“Duduklah
dulu. You pun jogging ke?” Jimmy
bertanya lagi sambil meneguk air minuman yang dipegangnya.
Serba salah untuk aku duduk. Tapi akhirnya aku
terpaksa duduk. Yang anehnya aku tidak lagi berdebar berdepan dengan Jimmy.
Kurasakan biasa-biasa saja. Yang mendebarkan aku, kalaulah Emir nampak aku
berdua-duaan dengan Jimmy, entah apa pula tanggapannya.
“Saya
tunggu kawan. Awak jogging ke?” soalku
berbasa-basi. Jimmy menjawab dengan anggukan. Dia tersenyum manis padaku. Aku
membalas senyumannya kelat.
“You
apa khabar? Lama betul tak jumpa kan? Since
I break-up dengan bff you tu. I pun dah lama tak jumpa Sofiya. Tak sangka
dia sanggup curang dengan I. Perempuan…” Tiba-tiba saja Jimmy meluahkan
perasaan tak puas hatinya pada aku. Hello! Aku tak ada masa nak dengar semua
ni.
Sesekali mataku melirik memandang ke sekeliling. Aku
masih mencari kelibat Emir. Jimmy di sebelah langsung aku buat tak layan. Atau
lebih baik kalau aku pergi aje dari sini. Hmm, itu yang terbaik. Kalau dulu aku
teruja nak berbual mesra dengan dia, tapi tidak lagi sekarang. Emir is everything for me. Not Jimmy!
“I think I have to go. Lain kali kita
berborak lagi. Saya pergi dulu, ya. Assalamualaikum.” Aku segera bangun. Namun,
tak sempat aku melangkah, Jimmy dengan beraninya menarik tangan aku. Langkahku
jadi terhenti.
“Lepaslah!
Apa ni pegang-pegang.” Kurentap kasar tanganku darinya. Tajam mataku menatap
muka Jimmy yang kelihatannya seronok bila aku
naik marah macam ni.
“You
nampak cute bila you marah.” Ceh!
Ayat penggoda zaman kuno. Ingat aku termakan ke dengan mulut manis kau tu?Aku
mula bengang dengan Jimmy. Entah kenapa aku admire
sangat dia dulu. Butanya mata aku ni.
“Sorry ya Encik Jimmy. Saya dah berpunya.
Saya tahu awak ada hati dengan saya. But
I’m so sorry. Hati saya dah dimiliki. Okay,
bye!” Puas hati aku kenakan dia. Biar dia sedar sikit. Dia ingat, dia handsome sangat ke sampai perempuan
beratur panjang semata-mata nak jadi teman wanita dia? Sorry! Aku tak termasuk dalam senarai perempuan macam tu.
Nasib baiklah aku cepat sedar. Syukurlah Allah tidak
menjebakkan diri aku dengan Jimmy. Padanlah Sofiya asyik masam aje bila keluar
dengan Jimmy. Rupa-rupanya Jimmy bukanlah seromantik yang perempuan-perempuan
lain nampak. Belum kenal, belum tahu. Sudah kenal, sumpah tak nak tahu lagi.
Sedang aku berjalan melintasi sebatang pohon rendang
di hujung taman, tiba-tiba ada satu tangan menarik lenganku dari tepi. Saat
itu, sumpah aku rasa jantung aku mahu gugur. Kupejamkan mata apabila tangan itu
menolak aku ke batang pokok. Ya Allah, selamatkan aku.
“Siapa
lelaki tu?” Suara si penyoal itu amat aku kenali. Pantas aku bukak mata dan
tersenyum memandang wajah Emir yang sedang
memandangku dengan muka masam.
“Lelaki
mana?” Aku bertanya bingung. Atau mungkin Emir bertanyakan soal Jimmy.
“Lelaki
mana? Lelaki yang pegang tangan Suri tadi. Lelaki yang pegang bahu Suri bila
Suri nak jatuh tadi. Lelaki tulah,” bidas Emir agak bengang.
Dia bergerak duduk ke bangku. Aku membuntutinya
sambil tersenyum. Emir jealous ke?
Hohoho… Macam ni rupanya bila Emir cemburu. Muka dia masam mencuka. Tapi tetap
comel untuk ditatap.
“Dia tu
ex boyfriend Sofiya. Suri setakat
kenal macam tu aje dengan dia. Emir cemburu ke? Comel bila Emir cemburu.” Aku
tertawa kecil.
“Janganlah
cemburu. Suri tak ada apa-apa dengan mamat tu. Hanya Emir di hati Suri. Percayalah…”
Emir berdecit kecil. Kami saling berbalas pandangan. Melihat Emir masih serius,
aku mula mematikan senyumku. Emir tak percayakan aku?
“Selagi
Suri tak jadi milik Emir yang sah, selagi itulah Suri akan digoda oleh ramai
lelaki. Surikan cantik. Menawan. Emir ni apalah sangat.” Kata-kata yang terluah
dari bibir Emir buat aku terpaku. Emir masih tidak percayakan aku? Kan dia dah
janji nak percayakan aku.
Aku memaksa Emir untuk memandangku. Satu soalan
kutujukan padanya.
“Emir
masih curigakan dengan Suri? Hmm? Tak percayakan Suri? Tak percayakan cinta Suri?
Hah?”
“Bukan
curiga. Tapi sebab terlalu sayang. Kalau kita dah saling sayang, buat apa kita
nak bercouple lagi, Suri? Kenapa
tidak kita terus berkahwin aje. Kita jadikan hubungan haram ni menjadi halal.
Bila dah kahwin, hanya Emir yang berhak ke atas Suri.”
Sekali lagi aku terpempam dengan pengakuan Emir.
Keberanian Emir sekarang memang lain macam. Adakah kerana cintanya untukku yang
terlalu mendalam membuatkan dia berubah seberani ini? Emir tidak takut-takut
lagi nak meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Semakin berani dan semakin yakin
meluahkan isi hatinya pada aku. Aku hargai keinginannya. Itu tandanya dia
serius cintakan aku. Tapi masalahnya, masih terlalu awal untuk kami bersatu
dalam sebuah ikatan perkahwinan. Kahwin muda? No way! Aku tak sanggup.
“Suri…
Kenapa Suri diam? Emir lamar Suri ni.” Mahu tergelak aku mendengar kata-kata
Emir itu. Lamar? Tak romantik langsung. Kut ya pun nak melamar, biarlah ajak
aku makan malam ke. Blurlah Emir ni.
“Terlalu
awal untuk Suri fikirkan soal kahwin. Suri tak ready lagi. Harap Emir faham. Kita masih muda. Graduate pun belum. Tunggu kita habis belajar dulu ke. Kerja dulu
ke. Okey?”
Jelas terpancar wajah kehampaan Emir detik itu.
Mungkin dia terlalu berharap aku menerima lamarannya. Tapi aku memang tak boleh
terima dia buat masa sekarang. Aku belum cukup bersedia. Kalau dah kahwin
nanti, kalau ada rezeki mesti dapat anak. Dengan study belum habis lagi, suami, anak… Arghhhh! Berlipat kali gandalah stress aku. Tak sanggup aku.
“Suri
tak cintakan Emir ke?” Terpancul soalan itu dari mulut Emir. Aku tercengang
memandangnya. Untuk apa soalan itu ditanya lagi. Ah! Emir ni memang suka
menguji kesabaran aku.
“Dah
beratus kali Suri cakap, Suri cintakan Emir kan? Tak percaya lagi ke?”
“Kalau
Suri cintakan Emir, Suri kahwin dengan Emir. Emir dah bersedia nak pikul
tanggungjawab sebagai seorang suami.
Suri kena yakin dengan Emir. Memang Emir ni blur dan lambat pick-up bila bab-bab romantik ni, tapi
Emir yakin Emir mampu bahagiakan Suri. Ibu setuju dengan keinginan Emir ni. Dia
galakan Emir kahwin muda. Kahwin muda buat kita lebih matang.”
Aku hela nafas lemah. Entah bagaimana lagi aku nak
buat Emir faham. Bukan soal cinta tak cinta. Tapi ini soal aku belum bersedia.
Kalaupun dia bersedia nak pikul tanggungjawab menjadi suami, aku ni yang tak ready nak pikul tanggungjawab sebagai
seorang isteri. Buatnya aku tak ikhlas layan dia sebagai suami aku, tak ke
berdosa aku nanti. Emir ingat berkahwin untuk sehari dua ke? Kalau mama dan
papa tahu aku nak kahwin sebelum habis belajar, mahu dia orang tak bagi restu
pada aku. Habis tu, takkan nak kahwin lari kut. Hisy! Tak kuasa. Jadi apa yang
harus aku buat sekarang? Apa?!
No comments:
Post a Comment