DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 4



       “Yana… Mari sarapan dulu, sayang. Mak dah siapkan bihun goreng kesukaan Yana ni.” Teguran Mak Limah buat langkahku terhenti. Aku berdiam diri tanpa berpaling ke arahnya. Rajuk semalam masih bersisa. Beginilah aku setiap kali aku merajuk dengan ibu angkat aku itu. Wajib merajuk sehari atau dua hari. Kadang-kadang melarat sampai seminggu.
       “Yana…” Dapat aku rasa tanganku digamit Mak Limah. Pasti perempuan tua itu ingin menjalankan proses memujuk. Ah! Yana terasa hati benar dengan teguran mak semalam. Macam Yana ni jahat sangat. Aku mengomel dalam hati sendirian.
Tangan Mak Limah aku tepis perlahan. Tanpa memandang wajahnya, aku terus menyarung kasut tumit tinggi yang terletak di atas kabinet. Cepat-cepat aku melangkah keluar dari pintu pagar. Mujurlah saat itu Emir sudah menunggu aku di luar kereta. Dengan gentlemannya dia membuka pintu kereta. Aku menghadiahkan senyuman nipis padanya. Terus aku masuk ke tempat duduk penumpang.
Tak menunggu lama, aku meminta Emir cepat-cepat menghidupkan enjin kereta. Dia hanya menurut. Dari cermin sisi, dapat aku lihat Mak Limah berdiri di hadapan pintu pagar. Dari air muka perempuan tua itu bagaikan tersirat rasa kecil hatinya terhadap sikapku tadi. Ah! Sekarang aku yang merajuk dengan mak. Mak sepatutnya tahu aku yang terasa hati dengan dia. Aku cuba menangkis rasa bersalah yang tiba-tiba muncul dalam hati. Sungguh aku benci  memulakan hari aku dengan tekanan perasaan seperti ini. Stress!
       “Suri okey?” For the first time, Emir terlebih dulu bertanyakan soalan pada aku. Aku paling muka memandang wajahnya.
       “Emir tanya apa?” Hati aku tiba-tiba jadi cair. Suara dia menenangkan aku. Hilang sedikit gundah-gulana yang aku rasai tadi.
       “Suri okey?” tanya dia sekali lagi. Mataku tak lepas menatap mukanya. Kepala aku geleng beberapa kali. Terluah keluhan berat dari bibirku.
       “Suri gaduh dengan mak,” ujarku tanpa berselindung. Kuluahkan masalah yang sedang membelenggu diriku padanya. Pada lelaki yang baru tiga hari aku kenal. Masak-masak. Tak sangka aku boleh kongsi masalah dengan Emir. Entah aura apa yang ada pada mamat nerd ni. Wajah dia, senyuman dia, suara dia… Semuanya bersatu dan menjadi element untuk menenangkan aku. Membuat aku selesa berbicara dengannya.
       “Kenapa boleh sampai gaduh dengan mak? Kan tak baik gaduh-gaduh.” Kata-kata Emir buat aku terkedu. Wah… pandai juga lelaki ni berkata-kata ya. Siap beri nasihat lagi.
Kereta yang dipandu Emir memperlahankan rentak. Aku tak pasti kenapa Emir harus memarkirkan kereta kami di birai jalan. Atau dia nak buat sesuatu yang tak elok pada aku?
        “Cuba cerita pada Emir. Apa yang sebenarnya dah terjadi antara Suri dan mak Suri tu. Kalau Suri keberatan, tak payahlah cerita.” Kali ini kami bertentang mata. Suasana dalam kereta yang dingin disimbahi penghawa dingin tiba-tiba rasa hangat. Bahangnya menyerbu ke mukaku. Tak sanggup aku membalas renungan mata Emir yang ku rasa cukup menggoda itu. Akhirnya aku buka pintu dan keluar dari kereta. Oksigen kuhirup sebanyak mungkin. Ya Allah, apa yang aku rasa ni.
       “Suri okey? Suri tak apa-apa?” Menggelabah Emir keluar mendapatkan aku. Aku cuba menenangkan diri. Senyuman manis yang dibuat-buat kuhadiahkan padanya.
       “Okey. Sangat okey.”
       “Kalau okey kenapa Suri keluar dari kereta? Suri… Suri nak buang angin ke?”
Tawa lucu tiba-tiba meletus dari bibirku. Takku sangka Emir seberani itu membuat andaian. Memalukan betul.
       “Apa Emir ni. Mana ada. Hisy, malulah macam ni. Ada ke cakap Suri nak kentut.” Hati aku lapang kembali. Emir berjaya buat aku hilangkan sedikit keresahan yang melanda hatiku sebentar tadi. Lawak jugak mamat ni.
       “Emir tak guna perkataan kentut tu. Suri yang guna. Jadi betullah Suri nak kentut ya?” Emir tertawa kecil. Aku jengilkan mata ke arahnya.
       “Hisy! Dahlah… Apasal pulak nak cakap pasal kentut-kentut. Tak senonoh. Hmm… tak sangkalah Emir macam ni.” Aku cuba alih topik. Tak kuasa aku nak bercakap mengenai isu buang angin tu. Apa kes?
       “Macam ni macam mana?” Emir bertanya sambil garu kepala.
       “Tak sangka Ku Emir Affan seorang yang pandai buat lawak. Yalah Suri tengok Emir ni macam serius aje. Tapi takdelah serius sangat sebab Suri tengok Emir jugak suka senyum. Entahlah. Suri rasa Suri belajar perkara baru tentang Emir hari ni.” Kata-kata itu lahir dari hati aku yang ikhlas. Takku sangka Emir seorang lelaki yang suka buat lawak dan banyak jugak cakapnya. Takdelah pendiam dan pemalu sangat.
       “Dan Emir juga tak sangka Suri ni seorang yang ramah dan mesra. Ingatkan Suri hanya pilih orang untuk berkawan.” Tak berapa aku nak faham ayat Emir itu.
       “Maksud Emir?” Ku ajukan soalan itu padanya sambil jungkit kening.
Emir sempat membetulkan kaca mata tahap kanta pembesar yang dipakainya sebelum bersuara. Dia senyum lagi. Dan aku sangat suka melihat senyumannya.
       “Maksud Emir, Emir ingat Suri tak sudi berkawan dengan lelaki nerd macam Emir ni. Erm, kita kawan kan? Atau Emir aje yang perasan?” Gulp! Aku telan liur. Aku rasa Emir ni layak jadi peguamlah. Soalan dia memang power-power. Kurasakan seperti aku ini seorang pesalah yang sedang disoalsiasat oleh peguam hebat. Bagaimanalah dia boleh terfikirkan perkara itu. Sedangkan aku mula dah lupa mengenai misi utama aku itu.
Sah-sah aku tak sudi nak berkenalan dengan lelaki nerd macam dia. Aku terpaksa. Terpaksa sebab aku dah terima cabaran dari Sofiya. Ah… Tapi kenapa sekarang aku rasa seronok pula kenal dengan dia. Ada sesuatu dalam diri Emir yang buat aku rasa senang berada di sampingnya sekaligus menjadi sahabatnya. Hmm…
       “Emir memang perasan pun. Emir ingat Suri nak sangat ke kawan dengan Emir? Hmm?” Kata-kataku berjaya buat air muka Emir berubah 360 darjah. Terkejut baboon dia detik itu.
       “Teruknya muka Emir bila terkejut. Hehehe…” Aku tersengih lebar. Aku yakin, sangat yakin dia benar-benar terkejut dengan jawapan yang aku berikan tadi. Tak mungkin aku berterus terang dengannya mengenai perkara yang sebenar. Cabaran tetap cabaran. Misi tetap misi. Misi aku tetap sama. Akan aku gunakan dia untuk dapatkan Jimmy.
       “Suri ikhlas nak berkawan dengan Emir. Selama ni pun Suri tak tahu kenapa lelaki suka pandang Suri ni macam Suri ni memilih kawan sangat. Suri nak aje kawan dengan siapa-siapa.Tak kisahlah macam mana pun keadaan dia.” Aku harap jawapan yang aku berikan berjaya menerbitkan rasa percaya dalam hati Emir. Kalau tak, habislah aku…
Lama Emir pandang muka aku. Malu aku dibuatnya.
       “Betul Suri ikhlas kawan dengan Emir?” Buat sekian kalinya dia bertanya. Aku angguk kepala dengan penuh yakin.
       “Salam perkenalan Ku Emir Affan. Saya Intan Suriyana. Panggil aje Suri.” Tanganku hulurkan padanya. Siap dengan pakej sebuah senyuman paling manis untuknya.
Agak ragu-ragu untuk Emir menyambut huluran tanganku. Dia hanya tersenyum tanda menyahut jabat tanganku.
       “Salam perkenalan Suriyana. Saya Ku Emir. Panggil Emir aje.” Aku sedikit terkedu. OK. Emir tak salam dengan perempuan. Apa-apa ajelah. Aku tak kisah. Yang penting dia dah mula percayakan aku.
Kami akhirnya sama-sama berbalas senyuman mesra. Jalinan persahabatan sudah termetrai. Kini, Emir sah menjadi kawan aku. Tak lama lagi, akan aku goda dia sampai dia sah menjadi teman lelakiku. Dan selepas itu, misi aku akan selesai. Tapi perjalanan masih jauh. Untuk nampak lebih real, aku harus memantapkan lakonanku untuk ‘mencintainya’.
‘Maafkan Suri, Emir. Suri terpaksa buat semua ni. Hati Suri hanya ada Jimmy. Suri sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan dia.’ Hati aku berbisik bersalah.

************

Mata tak mampu kualihkan dari terus memandang ke arah Emir yang sedang beratur panjang untuk membeli sarapan untuk aku. Dia sendiri yang menawarkan diri untuk belikan aku sarapan. Al kisahnya, dalam kereta tadi aku merungut lapar. Yalah semalam dahlah aku makan sikit. Pagi tadi manalah aku breakfast. Jual mahal sangat dengan Mak Limah. Alih-alih perut aku jugak yang ‘bergangnam-style’ sekarang.
       “Hai Cik Suri senyum lebar nampak.” Suara haski yang kedengaran di cuping telingaku itu cukup aku kenal. Pantas aku berpaling ke arah Sofiya yang sudah duduk berdepan dengan aku.
       “Senyum tukan satu sedekah. Apa salahnya aku nak bersedekah pagi-pagi ni. Kedengki? Hek!” Aku cuba menyibukkan diri membelek buku rujukan yang berada di hadapanku. Tiba-tiba aje belek buku. Apa kes Yana oi!
       “Amboi, amboi, amboi… Dah pandai bercakap soal agama sekarang dengan aku. Mesti pakwe kau yang ajar, kan? By the way, dia dah sah ke jadi pakwe kau?” soal Sofiya sambil menjuihkan bibir tebalnya ke arah Emir yang masih beratur panjang di kaunter. Sah! Sah Sofiya tengah buat spotcheck. Mesti dia nak siasat sama ada aku ni dah berjaya pikat Emir atau belum.
Wajah kupalingkan ke belakang memandang ke arah Emir. Kami berdua saling berbalas senyuman mesra.
       Soon, Fiya. Very soon. Nanti aku akan kenalkan kau dengan dia. By that time, dia dah sah jadi bf aku. Kau tunggulah. Kenapa? Dah tak sabar ke nak lepaskan Jimmy pada aku?” Dengan agak berani aku bersuara. Sekarang, aku dah tak berselindung lagi tentang perasaan aku pada Jimmy. Aku harap Sofiya faham apa yang terbuku dalam hatiku.
        “Wow statement berani mati. Sebelum aku lepaskan Jimmy, aku sebenarnya lebih tak sabar nak tengok kau putus dengan budak nerd tu. Come onlah, Yana. Lelaki macam tu pun takkan kau tak boleh masuk jarum lagi. Penatlah aku nak menunggu nanti.” Sofiya tersenyum  mengejek. Matanya galak memerhatikan Emir di hujung sana. Entah kenapa dengan Sofiya hari ini. Kata-katanya seakan-akan ingin mencari gaduh dengan aku. Adakah Sofiya berat hati nak melepaskan Jimmy?
Baru saja aku nak membalas kata-kata Sofiya, kami disapa Emir yang baru muncul. Di tangannya ada sedulang minuman dan sandwich.
       “Ini sandwich Suri. Ini yang Emir punya. Dan ini untuk kawan Suri. Silakan cik…” Agak malu-malu Emir menghulurkan sekeping sandwich dan secawan air kopi untuk Sofiya. Aku sempat memerhatikan riak wajah Sofiya saat itu. Dan matanya terbuka luas apabila melihat muka Emir yang sah-sah kacak lagi cute itu!
       “Terima kasih, awak.” Tak semena-mena suara Sofiya jadi kendur. Bagaikan saat itu dia sudah terpukau dengan Emir. Ceh! Sofiya memang mata keranjang. Pantang nampak lelaki dahi empat segi. Hek!
       “Emirrrr…” Aku panggil Emir dengan manja. Memaksa Emir memandang ke arahku. Hanya aku. Jangan nak mengada pandang Sofiya gedik kat depan ni.
       “Lepas kuliah nanti, Emir temankan Suri pergi shopping eh. Suri nak shopping baju baru. Boleh tak? Kalau tak boleh, Suri paksa jugak Emir ikut Suri.” Lengan Emir ku gongcang kemas. Tak bersentuh kulit pun ya. Emirkan berkemeja lengan panjang. Ngeh!
Jelingan bangga kuhadiahkan pada Sofiya. Kan aku dah cakap, Fiya. Emir akan jatuh dalam genggaman aku very soon. Very-very soon. So, kau jangan nak mengada mengurat bakal teman lelaki aku ni. Ugh! Omelku dalam hati kegeraman.
       “Korang berdua ni ada apa-apa ke? Mesra semacam aje aku tengok,” ucap Sofiya penuh dengan lakonan mantapnya. Dia tersenyum penuh makna pada aku. Mungkin dia sengaja nak uji aku.
Saat itu, Emir tak banyak membantu. Dia hanya tertunduk malu. Mungkin dia segan apabila ada orang salah anggap antara kami. Aku pasti, Emir tak pernah menghadapi keadaan seperti ini. Buktinya dia betul-betul malu-malu kucing sekarang.
       “Teman tapi mesra, Fiya. By the way, Suri lupa nak kenalkan kawan Suri ni pada Emir. Ini Sofiya. Kawan baik Suri. Bestfriend forever Suri…” Laju saja Sofiya menghulurkan tangan nak bersalam dengan Emir. Aku hanya mampu geleng kepala melihat sikap Sofiya. Hesy! Nampak sangat dah terpikat.
Namun, Emir yang penuh dengan ciri-ciri lelaki soleh, hanya tertunduk tersenyum pada Sofiya. Mungkin itulah tanda dia ‘bersalam’ dengan Sofiya. Bukan muhrim mana boleh bersalam, beb!
Aku tersenyum seorang diri. Kesian Sofiya syok sendiri.
       “Aku rasakan Yana. Kalau korang couple, memang gempak habis. Yalah kaukan cantik. Emir pulak handsome. Serius cakap, awak memang cutelah Emir. Tak sangka awak secute ni.” Pergh! Itulah ayat menggoda Sofiya yang paling basic. Aku dah masak sangat dengan perangai kasanova si anak Dato’ Mukhriz ni.
       “Dah,dah,dah… Kau jangan nak mengarut, Fiya. Kita dah lewat nak masuk kelas ni. Nanti Cik Jijah Diva tu naik hantu lagi haru kita. Jomlah masuk kelas.” Aku pantas bangun dari kerusi. Minuman dan sandwich yang dibeli Emir tak lupa aku capai.
       “Emir, Suri masuk kelas dulu ya. Jangan lupa tau. Lepas kuliah nanti kita keluar. Temankan Suri okey? Bye-bye.” Emir tersenyum seraya angguk kepala. Mungkin itulah tanda persetujuan darinya.
Sofiya yang masih duduk terus terpaku memandang Emir. Bagaikan tak dengar langsung ajakan aku tadi. Dengan agak sentap, aku tarik lengan Sofiya memaksa dia mengikut. Dan akhirnya bagaikan orang baru sedar dari kena pukau, dengan bingung Sofiya mengikut. Sempat dia melambai tangan kepada Emir. Dan Emir dengan lurus bendulnya, membalas lambaian menggoda dari Sofiya itu. Tak semena-mena aku rasa cemburu.

********

       “Gila tak handsome! Aku tak sangka mamat tu ada ciri-ciri ‘kehandsomeman’. Hisy, memang tak sangka betullah.” Pujian dari Sofiya yang melambung tinggi buat aku tersenyum bangga. Tengoklah bakal pakwe siapa. Yana gitu!
       “Itulah mula-mula aku pun terkejut macam kau jugak. Aku tak sangka di sebalik rambut Abu Bakar Elah dia tu tersembunyi wajah kacak macam model. Hmm… dah rezeki aku, Fiya. Kau jangan nak jealous pulak.” Seronok betul aku dan Sofiya berborak. Walhal, di hadapan kami sedang berlangsungnya kelas Cik Jijah Diva. Bercakap pun berbisik-bisik dah ni.
       “Bukan jealous cuma aku risaukan kau tu,” ucap Sofiya penuh makna. Dan aku tak berapa nak faham maksud sebenar Sofiya. Risaukan aku? Apasal pulak?
       “Maksud kau? Nak risaukan aku buat apa. Tak fahamlah aku.” Perasan Cik Jijah memandang ke arah kami, aku dan Sofiya buat-buat sibuk menulis. Fuhh! Selamat!
Apabila keadaan mula stabil, Sofiya menyambung kata. Dan aku pasang telinga tanpa memandang ke arahnya.
        “Aku risau takut-takut kalau kau tu betul-betul jatuh hati dengan dia nanti. Kau tu bukan aku tak tahu. Pantang nampak lelaki kacak. Kau dengan aku, dua kali lima aje, Yana.”
Kebenaran kata-kata yang terluah dari bibir Sofiya cuba aku cari. Dan aku menemuinya. Benar kata Sofiya. Aku memang mudah jatuh hati pada lelaki kacak. Kerana itulah kesemua lelaki yang pernah menjadi teman lelaki aku semuanya kacak-kacak. Tapi berlainan dengan kes Emir. Pada mulanya aku ingatkan dia lelaki nerd yang hodoh tapi rupa-rupanya… hmm… Dan kalau gara-gara kekacakannya buat aku jatuh hati padanya, itu pasti akan merencatkan misi aku. Tapi tak mungkinlah aku jatuh cinta pada dia. Aku cintakan Jimmy. Jimmy adalah target aku. Bukan Emir. Bukan sesiapa!
        “Ah, mengarut aje kau ni, Fiya. Kau tahukan aku hanya pergunakan dia. Hati aku ni hanya aku siapkan untuk mencintai Jimmy. Jimmy lagi handsome dari Emirlah.”
Jawapan yang aku berikan jauh menyimpang dari apa yang aku rasa dalam hati kecilku ini. Pertama, sememangnya Emir jauh lebih kacak dari Jimmy. Kerana apa? Kerana Jimmy tu muka ala-ala Bangla aje. Entah tang mana aku minat sangat kat Jimmy tu aku pun tak tahu. Dan yang kedua, betul ke aku ni cintakan Jimmy? Entah-entah aku juga dah tertipu dengan diri aku sendiri. Melihat Sofiya bahagia dengan Jimmy mungkin dah menimbulkan rasa cemburu dalam hati aku. Mungkin sebab itu aku nak rampas Jimmy dari Sofiya. Ah! Tak mungkin. Takkanlah aku jahat sangat?
Tidak! Aku memang betul-betul cintakan Jimmy. Aku cintakan Jimmy. Aku cintakan Jimmy. Aku cintakan Jimmy! Aku….
       “Aku cintakan Jimmy!” Suara jeritanku menghiasi ruang bilik kuliah. Suasana terus berubah senyap sunyi dan semua mata mula terarah kepadaku.  Adeh malunya…
       “Jimmy? Jimmy mana pulak ni, Cik Suriyana?” soal Cik Jijah sambil merenung aku tajam. Saat itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaan aku. Malu gila!
       “Jimmy Palikat kut, Cik Jijah. Tiada keretaku bawa kau jalan-jalan. Rumah ku pun tiada, ada pun bapak punya. Apa lagi belanja mahu bayar berian kawin sama kamu…” Bernanah telinga aku mendengar suara katak puru Puad. Hati aku lagilah sakit. Semua rakan mula bersorak-sorak mengejek aku. Macam kanak-kanak rebina! Ah! Bencinya!
Keadaan mula riuh-rendah. Aku hanya mampu tertunduk malu. Sofiya pula tak banyak membantu. Dengan dia-dia sekali ketawakan aku. Apa kelakar sangat ke? Ingat ni Raja Lawak ke? Ugh!
       “Diam semua!” Kali ini, jeritan Cik Jijah pula yang memenuhi ruang. Puad dan rakan-rakan yang masih bergelak sakan terdiam bisu. Aku harap, Puad betul-betul jadi bisu. Benci betul aku pada mamat bajet bagus tu. Bajet dia tu FTlah. Pergi audition nyanyian selalu tak lepas. Tu pun tak sedar-sedar lagi yang dia tu tiada suara. FT pun gelaklah kalau dengar kau nyanyi, Puad! Ugh!
Setelah keadaan kembali tenang, kuliah disambung kembali. Nasib baik mood Cik Jijah Diva baik hari ni. Kalau tak, aku pasti dia akan membebel panjang dengan aku. Fuhh, selamat! Isu aku dan Emir terkubur begitu saja. Aku malas nak fikir lagi. Bagi aku, tak mungkin untuk aku terlalu mudah jatuh cinta dengan seseorang. Sofiya silap kalau dia ingat aku akan jatuh cinta pada Emir semata-mata Emir tu kacak orangnya.
Untuk menjadi lelaki pilihan aku, harulah memenuhi kreatiria yang telah aku tetapkan. Setakat ini, Emir hanya lulus dua ciri-ciri lelaki idamanku. Ciri pertama, lelaki tu haruslah lebih tinggi dari aku. Dan Emir memang tidak disangkal lagi memang lebih tinggi dari aku. Ciri kedua, lelaki idaman aku haruslah mempunyai senyuman yang menyejukkan mataku yang memandangnya. Emir memiliki senyuman itu. Ciri ketiga next time aku cerita. Hehehe…



No comments:

Post a Comment