DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 6



Tubuh penat kuhenyak lemah ke katil. Terluah keluhan berat dari bibirku. Aku rasa bersalah. Sungguh aku rasa bersalah. Rasa bersalahku ini tidak lain kutujukan pada Emir. Baru beberapa hari perkenalan kami berlangsung. Setakat ini, aku rasa Emir seorang kawan yang sangat baik dan penyantun.
Apa yang patut aku buat sekarang. Kata-kata Sofiya dan Suzi bagaikan satu doa. Dan doa itu telah pun dimakbulkan oleh Tuhan. Rasa bersalah makin menghimpit aku. Mana mungkin aku sanggup melukakan hati seorang lelaki sebaik naif dan sebaik Emir. Dia ikhlas berkawan denganku. Dia seorang pendengar yang setia. Aku bagaikan sudah lama mengenalinya. Aku selesa berada di sampingnya.
Dan sekarang, sejak dia sudah berubah menjadi Emir yang baru, aku makin selesa dan tidak dapat tidak aku mula tertarik padanya. Argh! Apa dah jadi ni. Klisenya kisah aku ni. Mula-mula bagai nak rak aku cuba menangkis perasaan aku pada dia. Alih-alih hati aku berdegup lain macam setiap kali aku menerima senyuman menawan darinya.
      “Kenapa dengan aku ni. Akukan cintakan Jimmy. Apasal pulak aku boleh sukakan Emir. Aku baru kenal dengan dia baru tiga hari kut. Takkanlah semudah tu aku suka kat dia. Mengarut, Yana. Kau memang dah gila. Gila!” Kutekup muka dengan bantal. Kalau boleh, aku tidak mahu perkara ini memenuhi ruang fikiranku. Aku tidak ingin dikuasai oleh perasaan gila ini. Seharusnya sekarang aku fikirkan Jimmy. Bukannya Emir!
      “Aku perlu cepat-cepat goda Jimmy. Jimmy perlu tahu perasaan aku pada dia. Lepas aku luahkan perasaan aku pada dia, aku tak perlu lagi pura-pura depan Emir. Mamat tu boleh berambus dari hidup aku. Aku…”

Aku lihat dia di sana
Aku ingin mendekatinya

Lagu Ainan Tasneem berkemundang nyaring dari telefon bimbitku. Itu tandanya ‘dia’ yang telefon. Dia? Ah… Macam tahu-tahu aje aku tengah fikir pasal dia.
      “Hello…” Aku telan liur. Berdebar pula jadinya hati aku saat ini. First time Emir telefon aku tengah-tengah malam macam ni. Ada apa ek?
      “Hello, Suri. Ini Emir ni. Suri tengah buat apa? Dah tidur ke?” tanya Emir dengan nada yang cukup gembira.
Aku cuba membetul-betulkan suaraku sebelum menjawab soalannya. Aduh. Kering pula tekak ni. Ehem-ehem! Testing-testing one two three…
       “Erm… belum tidur lagi. Suri baru sampai rumah ni. Kenapa Emir call? Emir… Emir…” Aduh! Dah tak sanggup aku nak bagi ayat penggoda padanya. Nanti aku pula yang tergoda. Sebenarnya aku nak cakap… Emir rindu Suri ke?
       “Erm, Emir cuma nak beritahu Suri sesuatu. Ibu Emir suka sangat dengan gaya baru Emir ni. Dia nak jumpa Suri. Dia nak ucap terima kasih pada Suri sebab dah pujuk Emir buat perubahan ni.” Suara Emir kedengaran cukup tenang. Aku pula yang jadi gelabah.
       “Apa? Jumpa Suri? Alah tak payahlah. Lagipun Suri tak buat apa-apa. Emir yang nak berubah. Kalau ibu Emir suka dengan perubahan Emir ni, syukurlah.” Aku tak sangka pula ibu Emir sampai nak jumpa aku. Apa dia terharu benar ke dengan transformasi anak dia tu? Tapi… bukankah ini satu peluang keemasan untuk aku mengenali keluarga Emir lebih dekat. Apa lagi kenal dengan adik angkat Emir tu. Nak juga aku tengok muka dia macam mana. Cantik ke idok
       “Hmm… Kalau Suri tak…”
       “Chopp! Tunggu dulu, Emir.” Aku potong cakap Emir laju. Biar aku cakap dulu.
      “Suri sebenarnya bukan tak nak jumpa ibu Emir. Cuma Suri segan. Yalah Surikan baru kenal dengan Emir. Tapi Suri takdelah sampai sanggup kecewakan seorang wanita yang bergelar ibu. Kalau ibu Emir nak jumpa Suri, Suri lagi excited nak jumpa dengan ibu Emir.” Fuhh! Terbaik skrip aku. Yana, Yana. Tadi bukan main lagi kau dah tak nak mainkan perasaan Emir. Sekarang, kau berlakon lagi. Plastik!
       “Kalau macam tu lusa Emir bawa Suri jumpa dengan ibu. Emir harap Suri tak busy lusa ni. Erm, terima kasih ya Suri. Terima kasih sangat-sangat sebab hadir dalam hidup Emir.” Erk… Terbatuk kecil aku mendengar ayat Emir yang last tu.
       “Sama-sama. Small the matterlah. Okey. Kita jumpa lusa ya. Good night, Emir. Assalamualaikum…” Pantas aku putuskan talian. Tak sanggup lagi aku nak dengar Emir berkata-kata. Cair, beb…
Satu lagi keluhan bersalah kuhela berat. Sekarang aku mula menyedari maksud sebenar kata-kata Mak Limah. Emir sangat ikhlas dengan apa yang dia cakapkan. Dia mungkin benar-benar berharap aku mampu menjadi kawan terbaik untuknya. Tapi aku pula tak lebih dari seorang perempuan jahat yang hanya permainkan perasaan lelaki. Dia langsung tak bersalah. Tapi takdir telah memilih aku untuk melukakan hati dia yang suci itu.
Tuala di ampaian kucapai malas. Baik aku bersihkan diri dan segarkan diri. Kusut betul otak aku hari ni. Lusa aku bakal menemui ibu Emir. Entah skrip apa pula yang bakal aku lakonkan nanti. Ah!
Tak sempat kaki aku melangkah masuk ke bilik mandi, tiba-tiba telefon bimbitku bersuara menandakan ada sms baru masuk. Pantas aku menerjah ke katil melihat sms itu. Pasti dari Emir.
+ Selamat malam, Suri. Emir happy sangat hari ni. Harap2 lepas ni kita boleh keluar lagi. Good night, Suriyana. Sweet dream. ;)
Dan aku terus ‘pitamssss’ menerima kenyitan mata dari Emir itu.

************

Aku menunggu dengan penuh debar. Sepuluh minit berlalu. Dan kelibat Emir dan ibunya masih belum kelihatan. Emir nikan. Tak habis-habis nak jadikan aku penunggu. Selalu tak datang on time. Kalau dia tu teman lelaki aku, sah-sah aku dah ceramahkan dia. Hisy!
Aku ni pun satu. Excited sangat kut nak jumpa dengan ibu Emir tu. Janji nak jumpa jam sebelas pagi. Pukul sepuluh setengah pagi aku dah terpacak kat restoran ni. Entah kenapalah aku ‘nebes’ sangat nak jumpa dengan ibu Emir tu. Macam nak jumpa dengan bakal ibu mertua pula. Erk…
Bosan menunggu, aku kirim satu sms pada Emir. Manalah tahu dia sakit perut lagi ke kan.
+ Dah lambat 10 minit ni. Sakit perut lagi ke?
Smiley angkat kening aku bagi padanya. Biar dia tahu aku sekarang tengah bengang tunggu dia.
Sms yang kuhantar tidak dibalas Emir. Dua tiga minit berlalu masih tidak berbalas. Hisy! Ke mana pulak mamat ni pergi. Hati aku mula berfikir bukan-bukan. Entah-entah dia accident ke apa ke. Hisy! Tak baik aku fikir yang bukan-bukan. Aku cuba bertenang. Earphone kukeluarkan dari poket seluar. Baik dengar lagu. Barulah dapat tenangkan otak aku yang tengah kusut menunggu ni.
Kepala kuhayun-hayunkan perlahan. Lagu Teman Pengganti dari Black Mentor aku layan dengan penuh kusyuk. Best jugak lagu ni.
       “Hai, Suri…” Aku yang masih terangguk-angguk sambil tunduk kepala langsung tidak menyedari kehadiran Emir di hadapanku.
      “Suri? Suri…” Bila ada tangan yang melambai-lambai ke muka aku, barulah aku tersedar dan terbangun dengan sendirinya dari kerusi. Pantas kucabut earphone dari telinga. Mataku membulat memandang Emir yang sedang menguntum senyuman memandang ke arahku. Di sisinya ada seorang wanita yang berusia dalam awal 50-an.
       “Suri, sorry Emir lambat lagi. Ibu ada kerja sikit tadi. Suri tak marah, kan?” Aku pantas geleng kepala. Langsung tak jadi marah. Nerveous adalah bila dah ditenung tajam oleh ibu Emir  tu. Takut aku tengok muka mak Emir. Garang.
Kami bertiga melabuhkan duduk ke kerusi masing-masing. Seorang pelayan wanita datang mengambil pesanan. Selesai ambil pesanan, dia meninggalkan kami bertiga di ruang meja bulat yang cukup besar itu. Aku tak sangka pula Emir tempah restoran mahal macam ni. Tempat eksklusif pulak tu.
       “Kenalkan, bu. Inilah Suriyana yang Emir ceritakan pada ibu tu.” Emir bersuara sambil memandang aku dan ibunya. Aku cuba tersenyum. Senyuman nipis kuhadiahkan pada ibu Emir yang entah apa namanya tu.
Ibu Emir memandang aku dengan renungan tajam. Kaca mata yang dipakainya diturunkan sedikit, bagaikan cuba meneliti penampilan aku dari atas ke bawah. Eee… seram aku dibuatnya.
       “Apa khabar, Suri? Salam perkenalan dari aunty,” ucap ibu Emir sambil menguntum senyuman. Saat itu aku mula rasa sedikit lega. Bolehpun ibu Emir senyum.
Aku sambut huluran tangan ibu Emir dengan hormat.  “Salam perkenalan juga dari Suri, aunty. Erm, Aunty…?” Aku bertanya malu-malu.
       “Panggil aje Aunty Ros. Maaflah tadi aunty ada urusan penting kat pejabat. Itu yang lambat tu. Emir dah datang awal nak ambil aunty. Tapi aunty yang lambat.” Penerangan dari Aunty Ros aku jawab dengan anggukan. Okey macam tu ceritanya. Ingatkan mamat tu sakit perut lagi.
       “Banyak yang dah Emir ceritakan pasal Suri pada aunty. Tak sangka Suri sudi berkawan dengan anak kesayangan aunty ni.” Aunty Ros usap rambut Emir perlahan. Aku hanya memerhati tanpa suara. Nampak sangat Emir tu anak mak.
Emir hanya tundukkan kepala, malu. Bila ada ibu dia, dia buat tak layan dengan aku. Langsung tak angkat mula pandang muka aku ni. Hisy!
       “Selama ni pun Emir manalah ada ramai kawan. Kalau ada pun hanya adik angkat dia. Hah, Emir… Mana Ada ni. Cakap nak datang sekali. Semalam pun dia dah janji nak datang,” Aunty Ros sibuk memerhati ke sekeliling ruangan. Mungkin tengah mencari kelibat anak angkatnya itu. Haish… dengan adik-adik dia sekali dia bawa. Emir ni macam dah rancang sesuatu aje. Hati aku jadi tak keruan.
Aku lihat Emir bangun dari kerusi apabila dia ternampak seorang gadis berdressing serba pink masuk ke ruangan eksklusif itu. Dari jauh, sudah aku nampak mereka saling berbalas senyuman. Ugh! Emir ni dengan semua orang dia senyum.
Beberapa saat berlalu, Emir membawa gadis remaja berpakaian serba pink itu datang ke meja kami. Perempuan itu berpelukan buat seketika dengan Aunty Ros. Sambil pandang muka aku, dia bercakap dengan Aunty Ros. Aku yakin. Perempuan yang duk tenung-tenung aku ni adalah Ada yang Aunty Ros cakapkan tadi. Cantik. Matang.  Macam tak logik aje kalau Ada ni budak sekolah menengah.
       “Ada, inilah Kak Suri yang Abang Emir ceritakan tu. Salam dengan kakak.” Arahan dari Aunty Ros Ada sambut dengan patuh. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan aku. Aku tersenyum menyambut jabat tangannya. Dia pula hanya membalas senyuman aku dengan senyuman terpaksa. Erk… ‘bengkek’ hati aku.
       “Suri, inilah anak angkat aunty. Tapi aunty dah anggap dia macam anak kandung aunty. Dari kecil aunty bela dia. Sayang dia. Belai dia… Aunty….”
      “Dahlah, bu. Cerita lama buat apa nak kenang lagi. Apa kata sekarang kita cakap pasal Abang Emir dengan Kak Suri. Korang berdua ni couple ke?” Agak terkedu aku dengan tindakan berani Ada memotong percakapan ibunya. Seteruk-teruk aku, tak pernah pula aku berani memotong cakap kedua orang tuaku. Ini tak, Ada selamba aje memintas percakapan Aunty Ros. Emir pula langsung tak bereaksi apa-apa. Dapat aku lihat air muka Aunty Ros agak berubah mendung. Pasti dia terasa hati dengan Ada.
       “Hai mengelamun pula kawan abang ni. Ingat kat pakwe ke?” Pedas juga ayat-ayat yang keluar dari mulut Ada. Ini yang buat aku nak ‘serang’ ni.
       “Kak Suri manalah ada pakwe Ada. Masih single and available. Erm, Emir cakap Ada akan ambil SPM tahun depan ya. Dah sedia ke? Ke masih sibuk berpacaran dengan pakwe. Atau Ada macam Kak Suri jugak. Takde pakwe. Hmm?” Aku senyum sinis padanya. Saat itu aku sempat juga menjeling Emir. Watak Emir bagaikan tenggelam apabila Ada muncul. Macam Ada seorang saja yang conquer tempat ni.
Dari mimik muka Ada aku yakin dia nak membidas kata-kataku dengan ayatnya yang lebih berbisa. Entah apa-apa budak mentah ni. Harap muka aje cantik tapi hati macam tak berapa nak cantik aje. Dari air mukanya dapat aku baca yang Ada jenis yang sombong dan meninggi diri. Ugh!
       “Dah-dah. Kita makan dulu. Sambil makan, kita sambung borak lagi.” Aunty Ros bersuara lagi apabila pelayan tiba dengan hidangan yang agak mewah. Banyak betul lauk yang Aunty Ros pesan. Macam dah  nak buat kenduri dah gayanya.
Sedang Aunty Ros sibuk mengarahkan pelayan mengatur juadah, aku pula sibuk menjeling Emir. Emir yang duduk di sebelah Ada buat-buat tak layan dengan jelinganku. Mentang-mentanglah adik dia ada.
Tak puas hati dengan layanan Emir, aku pantas menghantar satu pesanan ringkas padanya.
+ Sombongnya orang tu. Langsung tak tegur kita.
Sengaja aku buat smiley sedih. Aku pandang Emir. Menyedari sms itu dari aku, dia dongakkan wajah memandang ke arahku. Sesaat kemudian dia tertunduk kembali.
= Mana ada sombong. Kan Emir dah tegur Suri tadi.
Ugh! Sentap aku dengan jawapan Emir itu. Jujur yang amat. Aku taip mesej lagi.
+ Ooo iya ke? Tak perasan pun. Suri tengok Emir macam bz senyum kat adik Emir tu. Ada apa-apa ke?
Aku jegilkan mata ke arah Emir. Sengaja nak buat dia takut sikit.
= Emir senyum pada semua orang yang Emir sayang. Mana ada apa-apa.
Tak sempat aku membalas sms dari Emir, Aunty Ros menjemput aku makan. Tajam mataku merenung Emir, memberi dia amaran bahawa urusan dia dengan aku masih belum selesai! Jaga dia nanti.

********

       “Baiklah Suri. Aunty balik dulu. Dah penat sangat tubuh ni. Esok ada meeting lagi. Hmm… Macam nilah kehidupan aunty, Suri. Bila Emir dah habis graduate nanti, aunty nak bersara dan serahkan syarikat tu pada Emir. Kalau Suri berminat, Suri pun boleh join sekali. Kerja dengan aunty. Insya-Allah gajinya lumayan.” Aunty Ros tersenyum mesra. Aku senang menerima senyuman wanita separuh abad itu. Mula-mula ingatkan Aunty Ros ni segarang Kak Ros dalam Upin dan Ipin tu. Rupa-rupanya Aunty Ros sama macam Emir. Murah dengan senyuman.
       “Insya-Allah, aunty. Kalau dah rezeki Suri kerja kat syarikat aunty tu, mesti tak ke mana. Suri terima dengan hati yang terbuka.” Aunty Ros hanya angguk kepala mendengar jawapan aku. Aku pantas menghulurkan tangan apabila pemandunya sudah bersedia di depan pintu kereta.
       “Jumpa lagi, Suri. Gembira dapat kenal Suri. Dan…” Bisikan Aunty Ros ke telinga aku buat aku tercengang penuh bingung. Pandanganku terus beralih memandang Emir yang berdiri di sebelahku.
       “Aunty pergi dulu, sayang. Erm, Ada balik dengan ibu ke?” tanya Aunty Ros pada Ada.
       “Tak kut. Sebab lepas ni Ada nak jumpa kawan kejap. Ibu baliklah dulu.” Ada menyalami tangan ibunya acuh tak acuh. Emir juga mengambil kesempatan menyalami ibunya.
Aunty Ros tersenyum ke arah kami semua sebelum melangkah masuk ke dalam kereta. Apabila kereta mewah itu hilang dari pandangan, Ada pula yang meminta diri.
       “Okeylah, Abang Emir. Ada pergi dulu. Jumpa kat rumah tau. Bye!” Menonong Ada pergi dari situ. Langsung tak hiraukan aku ni yang dari tadi duk baik hati senyum padanya. Memang anak hantu betullah Ada ni. Tak ada adab. Hisy! Geram aku dibuatnya.
Kini tinggallah aku dengan Emir. Masing-masing diam tanpa kata. Teringat pada kejadian di restoran tadi, aku terus mengatur tapak meninggalkan Emir seorang diri di situ. Kedengaran suaranya memanggil namaku tapi aku buat tak layan. Padan muka!
       “Suri, kenapa ni?” Emir pegang lengan baju aku. Langkahku jadi terhenti.
       “Suri marah Emir ke?” Aku tersenyum sinis mendengar soalan dari Emir. Baru sekarang lembut gigi dari lidah. Tadi, bukan main lagi dia jual mahal dengan aku. Ada ke patut dia buat tak kenal dengan aku depan ibu dan adik angkat dia tadi. Aku pulak yang banyak cakap tadi. Emir pula membisu terus.
       “Emir ni memang plastik, kan?” Tidak faham dengan maksud aku, Emir tatap muka aku kebingungan.
       “Depan ibu Emir, depan adik Emir, Emir buat tak layan dengan Suri. Okay, fine… Sekarang, Suri faham Emir ni macam mana. Bila hanya ada kita berdua, Emir berubah jadi lebih peramah. Bila ada orang lain, Emir macam tak nampak Suri ni depan Emir. Ah! Dahlah. Malaslah nak cakap dengan orang macam Emir ni.”  Entah kenapa aku rasa sentap pula dengan Emir. Jiwa wanita aku terguris dengan perlakuan Emir tadi.
Aku ingin meneruskan langkah namun Emir berdiri di depan menghalangi aku. Dia pandang muka aku tanpa berkelip mata.
       “Jadi Suri dah tak nak kawan dengan Emir lagi? Suri nak putuskan persahabatan kita?” Ada nada kecewa pada suara Emir.
       “Apa Emir merepek ni, hah? Bila masa pulak Suri cakap macam tu? Orang cakap lain, dia cakap lain. Bencilah macam ni.” Aku tolak tubuh Emir ke tepi. Tak kuasa aku nak menghabiskan masa melayan mamat emo ni. Sikit-sikit nak emo. Ada aku cakap tak nak kawan dengan dia? Aku cakap, aku terasa hati dengan layanan dia tadi. Takkan dia tak faham maksud aku tu. Hisy! Lembap!
       “Semua orang sama aje!” Suara kuat Emir buat aku berhenti melangkah. Aku berpaling ke belakang memandangnya. Tak malu ke jerit-jerit macam tu di tempat orang lalu lalang ni? Ugh!
       “Semua orang sama aje. Layan Emir macam Emir ni tak ada perasaan. Bukan main lagi janji nak kawan dengan Emir sampai bila-bila tapi… bila dah kenal Emir sehari dua terus pergi macam tu aje. Apa teruk sangat ke Emir ni? Tak layak ke Emir berkawan dengan orang lain. Hmm? Tak layak ke?!”
Aku terkesima dengan luahan rasa yang dibuat Emir di tengah-tengah jalan ni. Orang yang lalu lalang mula memandang ke arah kami berdua. Bertambah buruk, Emir yang sedang beremosi terus tertunduk ke lantai sambil menangis-nangis. Adoiyai… Malu sungguh aku.
Pantas aku berlari mendapatkan Emir yang makin kuat menangis itu. Aku paksa dia bangun. Namun, cengkamannya kuat memaksa aku terduduk sama.
       “Emir tak tahu kenapa tak ada seorang pun yang sanggup berkawan dengan Emir. Macam ibu cakap, hidup Emir hanya ada ibu dan Ada aje. Tapi tiba-tiba Suri muncul. Selama seminggu perkenalan kita, Emir rasa cukup gembira. Sebab selama ni Emir memang tak ada kawan. Apa lagi kawan perempuan. Sebab tulah ibu teringin sangat nak jumpa dengan Suri.” Emir mengesat air mata yang bergenang di tebing matanya. Aku pula hanya diam mendengar luahan hati Ku Emir Affan yang emo!
       “Emir bukan tak nak layan Suri tadi. Tapi Emir nak bagi peluang pada ibu kenali Suri lebih dekat. Sebab… sebab Emir dah senaraikan soalan yang harus ibu tanya pada Suri bagi pihak Emir. Sebab tu Emir hanya diam. Emir pasang telinga dengar jawapan Suri. Emir malu nak tanya Suri semua soalan tu. Emir tak pernah rasa macam ni. Rasa rindu bila tak dapat tengok muka Suri. Rasa rindu bila tak dengar suara Suri. Ibu cakap, mungkin Emir dah jatuh cinta pandang pertama. Emir… Emir sebenarnya memang suka pada Suri. Emir dah jatuh hati pada Suri…”
Aku terus terduduk mendengar luahan perasaan dari Emir itu. Dia sukakan aku? Jatuh cinta pandang pertama? Peluang dah terbuka di depan mata. Hasrat aku untuk buat dia jatuh cinta dengaku sudah termakbul. Tapi… sanggupkah aku berpura-pura membalas cintanya? Sanggupkah aku mempermainkan cinta suci Emir yang penuh dengan emosi ini?















No comments:

Post a Comment