DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 7



Kini keadaan lebih tenang. Aku bawa Emir ke kafe berdekatan bagi menenangkan dirinya yang masih teresak-esak menangis. Macam  budak-budak. Tak pasal-pasal aku yang kena pujuk dia. Tapi bila mengingatkan pengakuannya sebentar tadi, otak aku mula berfikir berat. Bagaimana untuk aku memberikan dia jawapan di atas ‘lamaran’nya itu tadi. Emir melamar aku menjadi teman wanitanya. Sungguh aku tak menyangka sebegini berani Emir si nerd ini. Ingatkan lelaki nerd sangat pemalu dengan perempuan. Mungkin Emir benar-benar terdesak dengan tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Sebab itu dia memberanikan diri berterus terang tentang perasaannya pada aku.
       “Emir dah okey sikit? Hmm?” Aku tanya Emir apabila Emir yang sedari tertunduk mula mendongakkan muka memandang aku. Dia angguk kepala seraya tersenyum kelat.
       “Emir malu. Emir malu dengan Suri. Belum apa-apa lagi Emir dah luahkan perasaan yang tak sepatutnya pada Suri. Maafkan Emir. Suri boleh lupakan apa yang Emir cakap tadi. Kalau Suri tak mampu nak terima cinta Emir, Suri jangan cakap apa-apa. Anggaplah Emir ni masih kawan Suri. Emir tak sanggup kehilangan kawan sebaik Suri…” Aku hanya mampu diam. Entah apa lagi yang aku harus jawab. Untuk menolak, aku terpaksa fikir pasal pertarungan aku dengan Sofiya. Untuk menerima, aku tak sanggup nak pura-pura cintakan lelaki yang aku tak cinta. Hmm…
       “Bagi Suri masa.” Mungkin itu yang terbaik. Bagi aku masa untuk berfikir.
       “Suri perlukan masa. Dan Emir perlu tahu sesuatu. Suri tak nak Emir anggap Suri ni terlalu baik. Suri… Suri sebenarnya jahat. Suri tak sebaik yang Emir sangkakan.” Emir perlu tahu mengenai diri sebenar aku yang playgirl. Mungkin apabila tahu akan hakikat ini dia akan berfikir seratus kali untuk mencintai aku.
       “Suri pernah ada ramai teman lelaki. Tapi satu pun tak bertahan lama. Kawan-kawan Suri cakap, Suri ni suka mainkan perasaan lelaki. Jadi… jadi Emir tolonglah fikir sepuluh kali atau seratus kali untuk mencintai Suri. Suri mungkin akan kecewakan Emir juga suatu hari nanti.” Air muka Emir terus berubah. Pasti dia tak menyangka sebegini rupanya diri aku yang sebenarnya. Bagaikan orang bingung, Emir bangun dari kerusi. Seakan-akannya dia ingin menjauhkan diri dari aku.
Aku tercengang apabila Emir pergi meninggalkan aku. Dia langsung tidak berpaling lagi. Pasti dia tak sanggup untuk meneruskan hasrat untuk bercinta dengan aku. Pasti dia takut hatinya juga dikecewakan.
Kenapa aku rasa kecewa ni. Untuk apa aku rasa kecewa. Baguslah kalau Emir buat keputusan untuk meninggalkan aku sebelum aku tinggalkan dia. Itu bermakna dia masih punya hati dan perasaan. Mampu berfikir mana yang baik dan mana yang buruk.
‘Selamat tinggal Emir. Suri tak mungkin lupakan Emir. Ku Emir Affan akan selamanya ada dalam hati Intan Suriyana. Sebagai kawan, sebagai teman pengganti.’

*********

       So macam mana sekarang? Hmm? Teruskan atau tak teruskan?” tanya Sofiya sambil bercekak pinggang. Pandangan aku kosong memandangnya. Kujungkit bahu lemah. Entah nak teruskan atau tidak pertarungan aku dengan Sofiya tu pun aku dah tak tahu. Kusut!
       “Aku dah cakap dah. Sah-sah kau akan jatuh hati pada dia. Padan muka kau.” Suzi pula bersuara, sinis.
       “Siapa cakap aku jatuh hati dengan dia. Aku cakap, dia pergi macam tu aje bila tahu aku ni playgirl. Kau memang tak fahamlah, Suzi.” Sedikit sentap aku dengan sikap Suzi. Beria-ia benar dia nak ‘kenenkan’ aku dengan Emir tu. Entah apa-apa. Macamlah aku suka sangat kat Emir tu. Ugh!
       “Masalahnya kalau kau tak jatuh hati pada dia, kau takkan sekecewa ni. Come onlah, Yana. Janganlah nak berbohong. Kita berdua bukan baru kenal sehari dua. Dah berbelas tahun kita kenal. Fiya, kalau kau setuju dengan apa yang aku cakap, kau say ‘yes’.”
Suzi dan aku berkalih memandang Sofiya. Lambat-lambat mulut Sofiya bersuara.   
       Y-E-S!”
Suzi terus tersenyum menang. Gembiralah sangat Sofiya sokong dia. Macamlah aku minta buat pertandingan tak berhadiah ni.
       “Yana, baik kita lupakan ajelah pertarungan kita yang entah apa-apa tu. Aku tak sangguplah nak kecewakan Emir yang nerd tu. Kesian dia.” Keputusan Sofiya yang nekad itu buat aku tergamam. Apa ni?! Takkanlah semua orang nak kesiankan Emir.
       “Betul tu, Yana. Kesian mamat tu. Muka dahlah handsome tapi sedikit blur. Tapi aku yakin, lepas dia couple dengan kau, mesti dia takkan seblur tu lagi. Kau jangan sia-siakan peluang ni, Yana. Mungkin Emir adalah lelaki yang kau tunggu-tunggu selama ni. Lelaki sejati yang mampu menghulurkan cinta sejati pada kau. Nanti melepas, kau jugak yang gigit jari.” Suzi berkata dengan cukup bersungguh. Sepertinya dia berminat benar nak tengok aku bersatu dengan Emir tu. Hesy! Apa kes ni.
       “Kalau betul kau tak nak, kita orang tunggu peluang aje nak dekat dengan Emir tu. Kan, Suzi?” Aku terkedu. Ooo… jadi Sofiya dan Suzi juga menyimpan perasaan pada Emir? Apalah yang ada pada si nerd tu. Aku tak fahamlah.
       “Betul, betul, betul. Gila tak nak lelaki kacak macam tu. Lebih kacak dari Jimmy kan, Fiya?” Sofiya mengangguk setuju dengan kata-kata Suzi.
      “Jimmy tu bulu aje banyak. Geli aku. Eee… entah kenapa aku boleh suka dia. Yana, kau janganlah teruskan impian kau nak bercinta dengan Jimmy tu. Dia tu dahlah bajet bagus. Yang paling menyakitkan hati aku dia suka sangat ambil kesempatan. Sengaja nak perempuan tanggung hidup dia.Hampeh! Menyesal aku serahkan cinta aku pada dia.” Penuh kebencian Sofiya berkata-kata. Terkumat-kamit mulutnya mengutuk Jimmy.
Jadi baru sekarang Sofiya nak berterus terang? Jadi begitu perangai Jimmy yang aku admire sangat-sangat tu?
Apa yang harus aku buat sekarang. Kalau Jimmy macam tu, Emir macam ni, habis aku pulak macam mana? Arghh! Stress! Ingatkan kalau aku kongsi masalah ni dengan geng SUSOSU, mereka boleh selesaikan dengan jayanya. Ini tidak. Sengaja nak menambahkan tekanan aku. Boleh kena darah tinggi aku macam ni. Hisy!

***********

Mulutku berat nak menegur Mak Limah. Perempuan tua itu kelihatan sedang sibuk menyediakan makan malam. Macamlah papa dan mama ada kat rumah. Buat apalah nak masak banyak-banyak.
Hmm… Sebenarnya rajuk di hati masih terasa. Walaupun dah beberapa hari berlalu, aku masih tetap rasa marah pada Mak Limah. Nasihat yang dia berikan benar-benar buat aku sakit hati. Tapi… sesungguhnya aku amat memerlukan Mak Limah saat ini. Memerlukan buah fikiran Mak Limah untuk menyelesaikan masalah yang sedang menjerat aku. Pasti Mak Limah ada jalan penyelesaian di atas masalah aku. Mak Limahkan lebih banyak makan garam.
Aku masih berdiri di muka pintu dapur. Langsung tak bersuara. Lama aku perhatikan Mak Limah. Hmm… Biarlah aku selesaikan masalah ni sendiri. Nanti apa pula kata Mak Limah. Karang kalau dia membebel yang bukan-bukan aku juga yang sentap. Biarlah. Lupakan aje.
Baru saja kaki aku nak melangkah, tiba-tiba suara Mak Limah kedengaran memanggil namaku. Aku tak jadi naik ke bilik. Kupandang Mak Limah yang sedang tersenyum ke arahku.
       “Yana, jom kita makan. Erm, ada sesuatu mak nak cakap dengan Yana. Mari sayang…” Mak Limah sudah bersedia di meja makan. Dengan langkah berat aku menghampirinya.Aku duduk sambil mataku dipakukan memandang ke tempat lain. Tak sanggup aku nak tengok muka Mak Limah. Seganlah.
Tanpa kata, Mak Limah menggamit tanganku. Serentak itu aku pandang muka dia.
      “Mak minta maaf. Kalau kata-kata mak buat Yana terasa hati, mak minta maaf,” ujar Mak Limah perlahan. Matanya bergenang. Adakah aku telah melukakan hati mak?
       “Mak tak salah. Tak perlu minta maaf dengan Yana.” Aku terus peluk kemas tubuh tua Mak Limah. Air mata mula menitis jatuh ke pipi. Pantang aku kalau mama dan Mak Limah menangis dan bersedih di sebabkan oleh aku. Aku akan rasa bersalah. Kau dah jadi anak derhaka, Yana. Di sebabkan oleh hal kecil, kau dah buat mak menangis. Hati aku berbisik kesal.
Pelukan kami akhirnya terungkai. Mak Limah usap rambutku penuh kasih. Melihat air mata Mak Limah merembes ke pipi aku pantas menyekanya dengan jari.
       “Mak sayangkan Yana. Sebab tu mak nak Yana berubah. Mak harap Yana faham maksud mak. Yana jangan salah faham. Mak yakin Yana budak baik. Anak yang baik. Mampu menjadi seorang kekasih atau isteri yang baik. Setialah, Yana. Jangan main-main lagi.” Dalam sungguh makna di sebalik kata-kata Mak Limah itu. Dan aku takkan melatah lagi dengan nasihat dari Mak Limah itu.
      “Kali ni Yana tak main-main mak. Yana nak terus terang dengan mak. Yana harap mak percayakan Yana. Hanya mak seorang saja yang sangat percayakan Yana selama ni.” Aku duduk berselimpuh ke lantai sambil memangku kepalaku ke riba Mak Limah. Aku ingin Mak Limah membelai aku seperti dulu-dulu.
       “Cerita pada mak, sayang. Mak percayakan Yana…” ucap Mak Limah sambil mengusap lembut rambutku. Aku hanyut dalam belaian penuh kasih sayang Mak Limah.
       “Mak tahukan kisah Yana dengan dia. Dia yang pernah Yana kenal tujuh tahun yang lalu. Dia yang mengajar Yana erti cinta. Perasaan tu hadir lagi, mak. Yana tak tipu.” Tak semena-mena air mataku bergenang pilu. Mengingatkan kejadian lama itu buat hatiku dirundum sedih. Tak mungkin aku lupakan ‘dia’. Dia lelaki pertama yang mengajar aku erti cinta. Tapi sekarang mungkin dia dah lupakan aku. Siapalah aku ni. Gadis miskin yang tak layak untuknya.
       “Dia? Erm, Yana jumpa dengan dia lagi ke? Hmm?” Pertanyaan dari Mak Limah aku jawab dengan gelengan.
       “Bukan dia yang Yana jumpa. Tapi orang lain. Nama dia Emir. Dia lelaki yang baik. Walaupun baru sekejap kami kenal, Yana rasa selesa berada di sampingnya. Bila dengar suara dia Yana jadi happy. Bila tak nampak wajah dia Yana jadi rindu. Bukankah itu tandanya Yana dah jatuh cinta, mak?”
Lama Mak Limah diamkan diri. Mungkin dia tengah berfikir. Mungkin perempuan tua itu sedang mengimbau kembali kisah lama yang pernah aku ceritakan padanya dulu.
       “Dia sukakan Yana?” tanya Mak Limah tiba-tiba.
Aku angkat kepala memandang wajah Mak Limah. Lantas kuanggukkan kepala sekali.
       “Yana yakin dia sukakan Yana dan Yana yakin Yana sukakan dia?” Agak pelik soalan dari Mak Limah itu. Bagaikan dia tidak mempercayai ceritaku saja.
       “Mak tak percayakan Yana?” Kali ini aku benar-benar yakin dengan perasaan aku. Buat apa aku berbohong dengan diri aku sendiri. Kalau dengan Sofiya dan Suzi bolehlah aku cuba tipu mereka. Tapi hati aku ni, tak mungkin menipu.
Perasaan indah hadir tak semena-mena. Indahnya perasaan ini sehinggakan aku dibuai mimpi. Aku pernah bermimpi bersanding di atas pelamin impianku. Dan yang mengejutkan aku, Emir yang menjadi pengantin lelakinya. Selama aku bercinta dengan beberapa orang lelaki, tak pernah pula aku bermimpi seperti ini. Dan yang lebih penting, aku tidaklah terlalu menyayangi lelaki-lelaki itu sepenuh hatiku. Rindu? Tiada untuk mereka. Cinta? Hanya pura-pura. Kasih? Lagilah takde. Tapi bila dengan Emir lain.
Rindu? Sangat menggebu. Walaupun hanya sehari tak jumpa.
Cinta? Sudah semestinya ada. Kalau tak cinta, takkan lahirnya rindu. Kan?
Kasih? Hanya Tuhan saja yang tahu.
Tiga element ini buat aku yakin bahawa aku dah jatuh hati pada Emir. Mungkin cinta pandang pertama buat kali yang kedua.
       “Yana akan buktikan pada mak yang kali ni Yana betul-betul serius. Kalau mak tetap tak percayakan Yana, Yana pasti akan sangat sedih. Tapi percayalah mak… Emir berjaya buat Yana jatuh cinta lagi. Sebenar-benar cinta, mak. Sebenar-benar cinta…”
Aku segera bangun lalu melangkah naik ke bilik tidur. Mungkin memang patut Mak Limah tidak meletakkan kepercayaan kepadaku lagi. Kerana semakin lama, aku makin hanyut dalam mengungkapkan kata cinta yang palsu. Bulan ini aku cinta si A, mungkin dua bulan kemudian aku sayangkan si B. Tapi tidak lagi selepas aku menyedari perasaan aku pada Emir. Sungguh aku sukakan dia. Tapi… kalau dia tidak mampu lagi membalas cinta aku gara-gara aku ini seorang playgirl, bagaimana? Adakah itu bermakna aku akan dikecewakan lagi dalam percintaan?


*********

Mataku membulat memandang banglo empat tingkat yang tersergam indah di depanku. Fuyoo! Besarnya rumah ni macam istana. Kaya betul keluarga Emir ni. Yalahkan, Aunty Ros cakap keluarga dia orang buat perniagaan hartanah. Memang patutlah rumah dia orang ‘sebapak’ ni.
Berat pula kakiku nak melangkah masuk ke perkarangan rumah. Tak sangka aku jadi senekad ini. Kehilangan Emir selama dua hari sudah cukup buat aku rimas dan cemas. Puas aku telefon dia banyak kali. Tapi dia langsung tak nak angkat. Bersusah payah aku mencari alamat rumah Emir. Akhirnya, berkat bantuan dari Sofiya, aku berjaya dapatkan alamat Emir. Tak menunggu lama aku terus datang ke sini.
Sekarang aku tidak mampu lagi nak menyembunyikan perasaan aku pada Emir. Baik Suzi dan Sofiya, semuanya dah tahu tentang perasaan aku ni. Aku dah berterus terang dengan mereka. Dan mereka menyambut baik berita gembira ini. Mereka menyokong aku seratus peratus untuk bercinta dengan Emir. Hati aku lapang andai kawan-kawan baikku turut menyokong aku.
Tapi masalahnya sekarang Emir pulak yang jual mahal. Dua hari tak jumpa, buat aku rindu padanya. Sekarang aku pula yang terhegeh-hegeh cari dia. Sudah aku sms pada Emir mengatakan bahawa aku sudah ada jawapan di atas lamarannya. Aku ajak dia jumpa. Namun, hampa. Dia langsung tak balas sms aku. Diam tanpa kata. Sepi tanpa bicara. Tiada lagi senyuman menawan Emir. Hmm…
Nafas kutarik dalam. Inilah masanya. Berjuang demi cinta, Yana! Go, go chaiyok!
Butang loceng kutekan bertalu-talu. Beberapa minit menunggu, pintu pagar terbuka secara automatik. Dengan takut-takut aku melangkah masuk ke halaman rumah. Tidak ada satu orang manusia pun yang dapat aku tegur. Rumah ni macam seram aje. Erk…
       “Assalamualaikum… Assalamualaikum…” Aku harap-harap orang kat dalam dengarlah salam aku ni. Kalau tak, sampai ke malamlah aku tercongok kat sini.
       “Assalamualaikum, Emir! Assalamualaikum!” Aku jerit lagi. Dah nak tercabut anak tekak aku ni. Nasib baik aku takde halkum. Kalau tak dengan halkum-haklum sekali yang tercabut.
Dengan agak berani, aku melangkah ke pintu utama banglo itu. Kalau pintu tak berkunci, bolehlah aku masuk. Tapi karang buatnya aku tertangkap basah dengan Emir tak ke naya. Tak pasal-pasal kisah aku jadi seperti kisah Ain Hawani dan Adam Mukhriz dalam drama Adam dan Hawa tu. Erk… Nauzubillah! Tak sanggup aku nak malukan muka aku yang cun ni dek tertangkap khalwat dengan Emir. No, no, no!
       “Assalamualaikum… Assalamualaikum…” Tombol pintu sebesar penumbuk aku pulas perlahan. Erk… tak berkuncilah rumah ni. Nak masuk ke tak ek? Hati aku tiba-tiba berbolak balik.
Setelah berfikir panjang, aku mengundur beberapa langkah ke belakang. Tak mungkin aku berani masuk ke rumah orang sewenang-wenangnya. Lainlah kalau aku ni dah jadi girlfriend Emir ke tunang Emir ke atau isteri Emir ke. Hehehe…
       “Angkatlah phone ni, mangkuk!” Hah, ini yang aku nak marah ni. Dah berpuluh kali aku telefon Emir. Tetap tak berangkat. Entah kenapalah dengan dia. Atau mungkin dia benar-benar dah tak sukakan aku. Hmm…
Sedang aku sibuk menekan telefon cuba menelefon Emir, tiba-tiba sebuah kereta Toyota hitam masuk ke perkarangan rumah. Aku hanya mampu memerhatikan kereta itu dengan diam. Siapa ek? Beberapa saat kemudian, keluar seorang lelaki sambil membimbit sebuah beg.
       “Macam mana keadaan Emir? Awak dah ikut arahan saya tadi, kan? Jom kita masuk.” Erk… Aku pandang ke kiri ke kanan dan belakang. Pak cik berkaca mata ni tengah bercakap dengan siapa? Dengan aku ke?
       “Apa yang awak tunggu lagi tu? Masuk!” Aku makin terkesima dengan tengkingan pak cik bermisai ala-ala Datuk K ni. Tak pasal-pasal nak tengking kita.
 Namun, apabila fikir balik, mungkin inilah kesempatan paling bernilai yang aku ada untuk masuk ke dalam rumah Emir. Sekaligus menemui Emir si nerd tu! Akhirnya, dengan lafaz Bismillah, aku melangkah melepasi pintu utama.
Sebaik saja kedua belah kakiku melangkah masuk ke ruangan rumah, aku terpegun melihat kemewahan ruang tamu banglo empat tingkat ini. Fuuuyoooo! Cantiknya hiasan dalaman rumah dia. Serba mewah. English style. Warna putih yang aku suka. Mataku makin meliar memandang sekeliling ruang tamu yang bersinar disimbahi cahaya lampu yang bergemerlapan. Kaya betul keluarga Emir ni. Dua kali ganda lebih kaya dari keluarga aku.
       “Buatkan saya air minuman. Saya dahaga ni. Bawa naik ke atas. Cepat!” Terkejut aku menerima arahan tegas dari Pak cik Datuk K. Perengus betul. Ugh! Tak pasal-pasal nak arahkan aku itu ini. Ingat aku ni orang gaji ke?
Menyedari kelibat pak cik perengus itu telah hilang dari pandangan mata, aku segera berlari naik mendaki anak tangga mengejarnya. Aku yakin dia dah naik ke bilik. Mungkin ke bilik Emir.
Sebaik saja aku melangkah naik ke tingkat dua, aku mula keliru dengan beberapa pintu bilik yang ada. Yang mana satu bilik Emir ek? Adeh…
Baru saja aku nak melangkah ke bilik pertama yang berdekatan dengan tangga, aku terdengar suara dari tingkat tiga. Kepalaku dongakkan ke atas. Suara seorang lelaki sayup-sayup kedengaran. Hah, mesti kat tingkat tiga. Aku segera naik.
Sampai ke tingkat tiga, aku masih gagal mencari pak cik Datuk K. Hisy! Mana entah pak cik ni. Entah yang mana satu bilik Emir ni. Banyak betullah bilik. Emir ada berapa orang adik beradik ni. Bukan ada seorang aje ke?
Sedang sibuk aku membebel, cuping telingaku menangkap suara orang berbual-bual di tingkat empat. Adoiyai… Kena naik lagilah ni. Satu persatu anak tangga aku daki. Semakin hampir aku dengan tingkat empat, semakin jelas suara seorang lelaki bercakap-cakap. Pasti pak cik perengus tu.
Aku segera mendekati bilik tidur yang terbuka pintunya. Sambil berdiri di balik dinding, aku memasang telinga mendengar perbualan Pak cik Datuk K.
       “Kan saya dah bagi amaran. Jangan bagi dia makan makanan laut. Tengoklah apa yang dah jadi sekarang. Nasib baik tak melayang nyawa dia. Kalau dia mati, awak yang bertanggungjawab, Tina! Faham?!” Keras sekali suara pak cik perengus. Kecut perut aku.
       “Maafkan saya Engku. Saya janji saya tak buat lagi. Maafkan saya…” Kali ini, perempuan yang bernama Tina itu bersuara.
       “Dahlah, uncle. Emir tak apa-apalah. Bukan salah Kak Tina. Emir yang mengada nak makan ketam dengan udang tu. Kak Tina, Emir minta maaf sebab dah menyusahkan Kak Tina.” Kali ini, aku yakin suara macho itu milik Emir. Pantas aku mengangkat kaki masuk ke kamar tidur itu.
       “Emir…” Aku panggil nama Emir perlahan. Saat itu, semua mata mula tertumpu memandang ke arahku. Termasuk anak mata hazel milik Emir.
      “Suri?” Sayu hati aku melihat Emir yang sedang terbaring atas katil dengan selimut tebalnya. Emir sakit ke? Sakit apa?
       “Hah, awak pergi mana lambat sangat. Kan saya cakap sediakan minuman untuk saya.” Pak cik perengus masih bersuara dengan tegas. Stetoskop yang tergantung di telinganya  ditanggalkan perlahan Erk… pak cik perengus ni doktor ke?
Emir cuba bangun mendapatkan aku. Namun, pak cik Datuk K  pantas menghalangnya.
       “Jangan banyak bergerak. Emir rehat banyak-banyak. Dan tolong jaga pemakanan Emir. Emir tahukan alahan Emir ni boleh bawa maut.” Kata-kata pak cik perengus dipandang sepi oleh Emir. Dia tetap berdegil bangun dari katil lalu meminta aku mendekatinya.
       “Tinggalkan Emir dengan Suri,” ucap Emir tiba-tiba. Arahan dari Emir disambut patuh oleh Kak Tina. Cuma kelihatannya pak cik perengus tu aje yang macam susah nak ikut arahan Emir tadi.
Saat Kak Tina melintas di hadapanku, dia menghulurkan senyuman mesranya. Aku membalas senyuman itu seadanya. Mesti Kak Tina tertanya-tanya siapa aku sebenarnya. Tak pernah-pernah muncul, tiba-tiba muncul.
       “Suri mana pulak ni. Bukan perempuan ni orang gaji Emir ke?” tanya pak cik perengus sambil mengemas begnya.
Mataku mengecil memandang pak cik perengus. Orang gaji? Hek!
       Just leave us alone, Uncle Bad. And thanks for coming.” Terpana aku mendengar Emir berspeaking omputih. Selama ni tak pernah pula dia cakap Inggeris dengan aku.
Pak cik perengus aka Uncle Bad hanya tersenyum sinis. Dia akhirnya bergerak meninggalkan Emir. Saat dia berjalan menghampiriku, aku mendapat sebuah renungan tajam darinya. Entah apa-apa pak cik ni. Macam berdendam dengan aku aje. Hisy!
Kini tinggallah aku dengan Emir di ruang kamar itu. Aku masih berdiri di muka pintu sambil memandang ke arahnya yang sedang tersenyum ke arahku. Senyuman yang amat aku rindui. Ah… Gembiranya dapat jumpa dengan Emir.

No comments:

Post a Comment