“ALAMAK!
Lapan sepuluh minit dah ni. Heshh!
Hari ni pulaklah kau nak bangun lambat Pelangi… Selalunya elok aje
kau bangun pagi-pagi!” Bebel Pelangi memarahi dirinya sendiri, dengan langkah
yang tergesa-gesa dia keluar dari rumah sewanya. “Habis aku hari ni, first day kerja dah lambat!!” sambungnya lagi, kelam
kabut dia menghidupkan enjin skuter pemberian Pak Malik padanya. Pak Malik…
Bicara saja tentang lelaki itu pasti membuatkan Pelangi tersenyum sendiri.
Tukang kebun panti asuhan yang sangat rapat dengannya. Walaupun tiada ikatan
darah, Pak Malik sudah dianggap seperti ayahnya sendiri. Dahulu sebelum dia
mengambil keputusan untuk merantau di Kuala Lumpur Pak Malik lah tempat dia
menumpang kasih. Apa saja yang terbuku di hati pasti akan diluahkan padanya.
Skuter ini pun dia yang belikan, walaupun hanya skuter biasa, Pelangi tetap
berbesar hati untuk menerimanya.
Pak Malik… Rindunya Pelangi dengan Pak Malik…
Hmm…, “Ehh!” Pelangi tepuk dahinya sendiri. “Dah kenapa nak ada flashback
pulak ni!! Teruklah kau ni Pelangiii… Dalam lambat-lambat sempat juga nak buat flashback segala!” Pelangi pandang sekilas jam di tangannya, ada
dua puluh minit lagi untuk dia sampai ke banglo majikannya. Sempatkah??
Sempatkah?? Dia berkira-kira sendiri.
DARI
jauh Pelangi sudah nampak kelibat Irham yang sedang berdiri tegak sambil
memeluk tubuh di hadapan pintu banglonya, mukanya tak usah cakaplah, ketat!
Pelangi gementar. Jam di tangan dikerlingnya sekilas, lambat sepuluh minit!
Pelangi memberhentikan skuternya
betul-betul bertentangan dengan lelaki itu. Dengan lagak bersahaja, dia
mematikan enjin dan berjalan tenang ke arah Irham.
“Morning,
Encik Irham.” ucapnya tatkala briefcase
Irham sudah berada di tangan. Tuan besarnya itu hanya mendiamkan diri. Aaa’ tidak, Eee’ pun tidak. Mukanya masam mencuka!
“Eh, Encik Irham tak baik bermasam muka
pagi-pagi ni. Rezeki tak masuk. Cuba senyum…” akal Pelangi cuba untuk
menghangatkan suasana yang dingin.
Irham masih mendiamkan diri.
Pelangi termalu sendiri bila sapaannya
tidak diendahkan. Malas nak dipanjangkan cerita, dia dengan cepat membuka pintu
belakang kereta yang akan dipandunya. BMW series, fuh! Berdesup aku bawa kejap
lagi. Alas tempat duduk ditepuk-tepuk agar tuan besarnya dapat duduk dengan
selesa. Ah! Time-time macam ni
jugaklah kau nak menepuk Pelangi…
Selang beberapa saat, dia dapat merasakan
tubuh Irham terlalu dekat menghampirinya. Pelangi resah. Nak good morning kiss kah dia ni? desis hati
nakalnya.
“Pelangi… Pelangi…” terasa meremang satu
badan Pelangi bila panggilan itu menyentuh sistem pendengarannya. Kenapa lain
macam sangat ni… Pelangi mula resah. Tubuhnya dan tubuh Irham terlalu rapat
ketika ini.
“Err, er, ya saya, ada apa Encik Irham?” soalnya
terketar-ketar. Matanya dipejam kejap, tak berani langsung untuk menatap wajah
Irham ketika itu.
“Erm, ada apa yer…”
“Err, yer…”
“Kau tahu tak yang kau dah lambat?” soalan
itu masih diajukan dalam itonasi suara yang masih sama. Lembut dan
mengasyikkan.
“Err, tahu Encik Irham. Maafkan saya,
saya…-”
“KAU TAHU TAK YANG KAU DAH LAMBAT SEPULUH
MINIT!? KAU INGAT KAU BOS NAK SURUH AKU TUNGGU KAU LAMA-LAMA MACAM NI!?”
Kuss semangat! Macam nak pecah gegendang
telinga Pelangi bila mendengar pekikan dari majikannya itu. Telinganya digosok
berulang kali, panas berdesing! Dia ni pun tak beragaklah, aku bukannya jauh
sampai dia nak menjerit-jerit macam ni. Suara macam petir! Bukannya aku lambat
sepuluh jam, sepuluh minit aje pun! Rungutnya di dalam hati.
“Maaf Encik, jalan jammed tadi….”
“Jalan jammed
ke, jalan terbakar ke, jalan itu ke, ini ke, aku tak peduli! Aku dah banyak
kali remind kau kan, lapan
se..te..ngah mesti dah sampai sini. Bukannya lapan setengah baru terhegeh-hegeh
nak masuk pintu pagar rumah aku tu! Aku memang pantang kalau nak kena menunggu
ni!”
“Tapi Encik…..
“Ahh! Aku tak kira! Ingat yer, ini last chance aku bagi kau! Cepat masuk!
Kau ingat semua orang nak tunggu kau macam ni ke??” bidas Irham kasar. Tak bagi
peluang langsung untuk gadis itu membela diri.
Cepat-cepat Pelangi masuk ke dalam kereta.
Hamboi, garang betul!
Mentang-mentanglah kau ni bos! Enjin kereta dihidupkan. Lama dia terdiam
sebelum..
“Encik Irham, seat belt,” tegur Pelangi lembut. Dia memang berani dan tak makan
saman.
“Kau siapa nak suruh aku buat
macam-macam!”
Wah! Lagak boss zaman terrorist tau dia ni! Pelangi jeling sekilas pada cermin pandang
belakang. Dia tarik nafas perlahan sebelum mula mengatur kata.
“Encik Irham, jangan macam tu. Encik
sekarang di bawah tanggungjawab saya. Saya tak mahu jadi apa-apa dekat Encik
nanti ((walaupun aku rasa macam nak kick aje
kau keluar dari kereta ni. Huh!))
Irham pura-pura tidak mendengar. Tapi
secara perlahan-lahan tangannya menarik seat
belt dan akhirnya terpasang pada badannya.
Pelangi senyum puas, untuk hari ini dia
belajar, tuan besarnya ini ialah seorang yang sangat ego!
Kereta mula menyusur perlahan. Nak dengar
radiolah. Bisik hatinya. Tangan terdorong ke arah butang buka.
“JANGAN PANDAI-PANDAI KAU NAK BUKA
RADIO!!”
Erk.. Ya Allahh… Pelangi urut dada. Sekali
lagi dia tergamam. Kalau lama-lama aku kerja kat sini, memang sahih mati dalam
keadaan terkejut! Getusnya.
Perjalanan mereka diteruskan lagi, Pelangi
diam tidak terkata apa, dikerling pada Irham yang sibuk membaca surat khabar.
Tiada sebarang bunyi yang keluar selepas itu sehinggalah akhirnya mereka tiba
ke destinasi yang hendak dituju.
“DATIN discharge
wad hari ni, pukul lima petang kau mesti dah ada di sini. Jangan nak terhegeh-hegeh
macam tadi. Ingat!” Irham memberi amaran.
“Err… Maksudnya saya kena tunggu sini
sampai pukul lima petang ke?” soal Pelangi teragak-agak.
Tuan besarnya itu hanya membulatkan mata.
“Aduhhh! Sesak nafas aku dapat driver macam
kau ni Pelangi. Susah sangat ke nak faham arahan aku? Dah berapa lama jadi driver!?” marah Irham makin meluap-luap.
“Err… dua hari.” jawab Pelangi jujur.
“Menjawab! Menjawab! Suka hati kaulah nak
buat apa atau pergi mana lepas ni, yang aku tahu, bila aku perlukan kau, kau
dah kena siap-siap standby untuk aku.
Kalau aku kata kau kena ambil aku pukul berapa pun, kau kena datang
tepat-tepat! Maintenance kereta pun
kau kena jaga. Kalau ada apa-apa, pergi hantar bengkel. Kalau tak ada duit ke
apa, pergi minta dari Safiya. Itu tugas kau, senang kan!?” Irham pandang tepat
anak mata Pelangi yang masih lagi terpinga-pinga. Lama sebelum akhirnya dia
sendiri yang melarikan pandangan matanya.
“Erm, baik Encik.” jawabnya perlahan.
“Bagus! Kau muda lagi kan?”
“Err, ha’ah…”
“Then
kenapa kau sibuk nak kerja?” soal Irham sengaja nak tahu.
“Sebab… Erm, sa..ya, saya perlukan duit.”
“Perlukan duit untuk apa?”
“… Untuk
hidup.”
“Heshh, benci betul aku dengar jawapan kau
tu! Perempuan dan duit memang tak boleh dipisahkan! Jawapan kau tu klise tahu
tak, perempuan macam kau ni mesti sanggup buat apa saja untuk dapatkan duit
kan!?” Irham tiba-tiba naik angin. Dia memang benci kalau ada perempuan yang
cakap dia perlukan duit untuk hidup. Nampak sangat murahnya nilai seorang
perempuan itu di matanya. Bagi Irham, duit bukan segala-galanya. Untuk hidup
manusia tu tak semestinya perlukan duit!
Pelangi buat muka pelik. Salah ke apa yang
aku jawab tadi? Apa yang klise? Dia masih tak dapat menangkap apa yang
dimaksudkan oleh tuan besarnya itu. Memanglah dia kerja ni untuk dapatkan duit.
Kau takpelah, dah kaya. Duit tak pernah habis! Janganlah nak disamakan dengan
dia.
“Eh, tapi saya tak maksudkan…-”
“Ah, sudahlah! End of the story… Conclusion nya aku dah tahu kau ni perempuan
jenis macam mana. Ingat ke muka nerd
macam ni, ada lah sikit lainnya dari perempuan-perempuan yang aku kenal. Tapi
kau pun sama! Betullah orang cakap, zaman sekarang ni memang tak boleh nak
pandang pada luaran saje…” bebel Irham entah marah pada siapa.
Pelangi hanya diam tak terkata apa.
Mungkin lelaki di hadapannya ini sedang ingin meluahkan perasaan tak puas
hatinya. So, dia hanya layankan
sajalah.
“Kau nampak dashboard tu?” Irham tunding jari ke arah dashboard keretanya.
Pelangi menghalakan pandangannya ke arah
tempat yang dimaksudkan Irham. “Erm, nampak.” jawabnya.
“Buka.” arah Irham tegas.
Perlahan-lahan Pelangi membuka penutup dashboard itu. Ada kotak kecil berwarna
hitam. Dia pandang Irham yang sedang memerhatikan gerak-gerinya.
“Ambil kotak hitam tu.” arah Irham lagi.
Kali ini Pelangi teragak-agak untuk
menurut. Bimbang kalau-kalau tuan besarnya itu sengaja mahu mengenakannya.
Manalah tahu dalam tu ada bom tangan ke, periuk api ke atau apa sajalah
benda-benda yang boleh membahayakan nyawanya.
“Apa tunggu lagi. Ambillah!” jerkahan
Irham mengejutkan Pelangi, sepantas kilat kotak hitam itu berada di tangannya.
“Tunggu apa lagi, bukalah.”
“Err…” Pelangi resah. Kotak itu
dibelek-beleknya berulang kali. Perlahan-lahan dia buka penutupnya. Eh, Handphone? Hatinya berdetik bila
ternampak logo Iphone di atas kotak
itu. Dialihkan pandangannya pada Irham. “Handphone?”
soalnya penuh tanda tanya.
“Boleh pun, yang kau takut sangat tu kenapa?
Takut ada bom dalam tu?” soal Irham keras sambil menunggu reaksi daripada
Pelangi. Gadis itu hanya mendiamkan diri. Apa motif dia tunjuk aku kotak handphone ni? Pelangi makin musykil.
Irham rampas kotak itu kasar. Pelangi
terkedu. Hishh dia ni, dahlah ego! Kasar pulak tu! Guman hatinya geram dengah
tingkah Irham yang menyakitkan hati. Dia lihat Irham mengeluarkan handphone itu dari kotaknya… “Handphone ni untuk kemudahan kau, nah
ambil!” tanpa signal terus saja
dicampaknya handphone itu ke arah
Pelangi.
“Err… Maksudnya?” soal Pelangi.
“Maksudnya, kau pakailah handphone ni dulu. Senang aku nak call kau nanti. Tapi ingat, kau kena selalu on, jangan sesekali off.
Ingat!”
“Ta.. Tapi saya dah ada handphone sendiri, Encik Irham.”
“Handphone
apa kau ada?” soal Irham. Pelangi dengan cepat mengeluarkan telefon
bimbitnya dari dalam beg sandang yang dibawanya dan terus saja diajukan pada
tuan besarnya itu.
Irham ambil telefon itu dari tangan
Pelangi. “Handphone ni saja yang kau
mampu?” Handphone lama entah dari
zaman bila dibeleknya. Lelaki itu tersenyum sinis. Sekilas dia menoleh ke arah
Pelangi, kemudian dengan sepantas kilat dia buka cermin dan terus mencampak
telefon bimbit itu keluar dari dalam kereta.
“Eh, Encik Irham! Handphone saya tuuu…” belum sempat Pelangi nak halang, telefon
bimbit itu sudah pun selamat sampai, berderai di atas tar jalan. “Encik….”
Pelangi tak mampu untuk berkata apa. Matanya berkaca.
“Dah! Kau tak payah nak buat muka macam
tu, handphone yang aku bagi tu lagi
mahal dari handphone yang kau ada.
Kau sekarang driver kepada Irham
Alfie Bin Dato’ Affandy, CEO Khazanah Co., kau jangan nak malukan aku dengan
pakai handphone murah macam tu. Nanti
jumpa Safiya minta uniform dan sign offer letter. Faham?”
Pelangi hanya mendiamkan diri. Hatinya
sakit. Matanya berair menahan marah.
“Kau faham tak!?” soal Irham lagi. Pelangi
angguk perlahan. Airmata yang hampir jatuh dikesat dengan jemarinya.
“Faham…” jawabnya antara dengar tak
dengar. Tak apalah Pelangi… Sabar. Pujuk hatinya sendiri.
“Hurmm!” kedengaran suara Irham mendengus.
Rasa puas hatinya ketika itu. Penat menunggu tadi berbaloi bila dia lihat
telefon bimbit itu pecah berderai macam tu. Ditambah pula bila melihat muka
Pelangi yang kemerahan begitu, lagi puas hatinya!
“Eh, kau ni boleh pantas bergerak tak!?
Aku ada meeting nih! Cepat buka
pintu!!”
“Err, saya ke yang kena buka pintu tu, Encik
Irham?” soal Pelangi. Raut wajahnya masih mendung namun sebaik mungkin dia cuba
kawal nada suaranya.
“Oh
My God! Macam manalah aku boleh hired
kau ni Pelangiii!!?”
“Erk! Okey. Okey.” tergesa-gesa Pelangi
keluar dari kereta dan terus berlari membuka pintu untuk tuan besarnya itu.
Bingit telinganya bila terdengar pekik jerit Irham. Lelaki ni memang menjengkelkan
betul lah! Dahlah sombong, berlagak! Bongkak! Lepas tu suka cakap jerit-jerit
macam orang gila, memang dah lama hidup agaknya dia ni! Marahnya di dalam hati.
Baru dua tiga tapak Irham melangkah dia
berpaling mengadap Pelangi yang masih lagi tercegat di belakangnya.
“Ingat, pukul lima!” ulangnya lagi dengan
memek muka yang dah macam singa kelaparan!
“Yer…” Pelangi sekadar menjawab perlahan.
Langkah kaki tuan besarnya itu hanya disoroti melalui ekor mata. Selepas hilang
dari pandangan, dengan langkah berat dia berjalan lemah ke arah telefon
bimbitnya yang sudah pun pecah. Memanglah murah, tapi handphone ni handphone
pertama yang dibelinya. Penat lelah mengumpul duit untuk membelinya pun masih
belum hilang lagi. Dia tunduk mengenang nasib yang malang. Mahu saja air matanya
mengalir ketika itu. Tapi dia tahan, tak perlu membazir untuk benda buang masa
macam tu. Sekarang kan dia kerja, dan bila dah bekerja dia kena kuat! Ya, kau
kena kuat Pelangi! Sedaya upaya dia cuba untuk memotivasikan dirinya yang telah
pun demotivated dek kerana insiden
tadi. Lama dia berdiri di situ cuba untuk mengumpul kembali kekuatan yang telah
hilang.
“ASSALAMUALAIKUM
Kak Safiya…” ucap Pelangi lembut.
“Waalaikumussalam… Eh Pelangi! Come. Tadi Encik Irham ada beritahu akak
pasal Pelangi. Erm, tunggu sekejap ya kak Fiya nak ambil surat awak. Duduklah
dulu.” ramah Safiya menyambut kedatangan Pelangi. Tidak seperti Encik Irham
yang sombong! Pelangi menganggukkan kepalanya dan kemudian mengambil tempat di
sofa berhampiran. Sempat juga matanya melilau memerhatikan kawasan sekeliling.
Cantik tempat ni, simple but elegant.
“Pelangi, ni offer letter dan uniform.
Offer letter tu Pelangi baca dulu
kemudian baru tandatangan.” arah Safiya, Pelangi mengambil surat itu dengan
tenang. Perlahan-lahan dia membaca isi kandungannya.
“Err, maaflah kalau akak tanya.
Pelangi faham bahasa English kan?” tegur
Safiya tiba-tiba. Mungkin resah melihat Pelangi yang terkebil-kebil meneliti
surat itu.
Pelangi hanya tersenyum sekaligus menjawab
soalan dari setiausaha tuan besarnya itu. Safiya, wanita dalam lingkungan usia
tiga puluh tahun dan manis bertudung litup. Sangat murah dengan senyuman.
“Inshaa-Allah saya faham kak Fiya…”
balasnya. Tidak sampai hati pula membalas dengan hanya senyuman.
“Bagus… Pelangi ni umur berapa ya?
Tinggal di mana?”
“Pelangi baru dua puluh tahun kak.
Tinggal di sekitar cheras, menyewa.”
“Ha… Dua puluh tahun!?” Safiya
seakan terkejut bila mengetahui yang pemandu peribadi majikannya itu sebenarnya
masih muda dan masih terlalu awal untuk bekerja. Apatah lagi bekerja sebagai
seorang pemandu.
“Ha’ah kak, kenapa?” soal Pelangi
ingin tahu.
“Err, tak adalah. Cuma, ibu bapa
Pelangi okey ke kalau Pelangi kerja macam ni?”
“Oh, Ibu bapa Pelangi dah…-”
“Safiya! Mana fail yang I suruh you
simpankan hari tu!?” jerkahan Irham mengejutkan mereka berdua. Masing-masing
terdiam mengurut dada.
“Ada, ada Encik Irham.” pantas
Safiya membuka almari dan mencari fail yang diperlukan.
“Cepat!” arah Irham dengan anak
mata yang tajam menjeling ke arah Pelangi yang sedang meneliti surat tawaran
kerjanya. “Tak payah nak baca sangat,
jadi driver aje pun. Bukannya kerja
ofis.” kata-kata pedas dari Irham menusuk terus ke hati Pelangi.
Ishhh! Ada saja dia ni nak kenakan aku!
Pelangi diamkan diri pura-pura tidak mendengar apa yang baru saja dikatakan
oleh Irham sebentar tadi. Irham juga tidak meneruskan sindirannya, ada sesuatu
yang lebih mustahak berbanding driver barunya
itu.
“Encik Irham, ni fail yang Encik
perlukan.” Irham hanya memandang sekilas
dan terus mengambil fail itu dari tangan Safiya.
“Thanks.”
“Eh Encik Irham, jangan lupa petang
ni pukul lima Datin Yuhanis discharge…”
pesan Safiya.
“Ya, I know!” balas Irham tanpa sedikit pun memalingkan mukanya ke arah
Safiya.
“… Dan lagi, malam ni Encik ada dinner dengan Encik Amer dan Puan
Bella.” sambung Safiya lagi.
“Oh Shit!” Irham mula teringatkan sesuatu. Dia benar-benar lupa tentang
temujanjinya itu. “What time Fiya?” soalnya.
“Pukul lapan malam, Encik Irham.”
“Okey, Please cancel all appointments this evening, I’ll dismiss early. Please
compile everything and pass to me as soon as possible.” arahnya.
Safiya hanya menganggukkan kepala tanda
faham. Kalau A kata dia, A lah dia kena buat. Jangan pandai-pandai nak buat
B. Buruk padahnya!
“… and kau Pelangi, get ready by
three!” sambungnya sambil berlalu. Pelangi dan Safiya hanya mendiamkan diri
sehingga Irham menghilangkan diri ke dalam biliknya.
“Hurmmm, Encik Irham memang macam
tu Pelangi. Tu adalah tu yang menggangu fikiran dia sebab tu menyinga aje.”
terang Safiya. “Erm, dah siap baca offer
letter tu?”
“Dah, dah. Ini suratnya.” Pelangi
menghulurkan kembali surat tawaran kerja yang baru ditandatanganinya. “Dia
memang garang ya, kak?” soalnya.
“Garang bila anginnya tak baik.
Kalau datang angin tak baik dia tu, awak pun dia boleh baling keluar dari
pejabat ni.” jawab Safiya ingin bergurau.
“Hah!” Pelangi telan air liur. Dia
teringat kembali insiden Irham membaling telefonnya ke luar tingkap kereta pagi
tadi dan masih terbayang-bayang lagi rupa bentuk telefonnya selepas dibaling.
Oh, tidakkkk!!! Hatinya menjerit.
No comments:
Post a Comment