DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

AKU SAYANG KAMU - BAB 3



Keesokkan harinya,  Abang Is menghantar aku ke pejabat seperti biasa. Sesekali dia melirik ke arahku bersama senyuman kecil. Aku toleh padanya selepas beberapa kali dia membuat aksi yang sama.
            “Apa yang lucu? Eh! Abang Is angkat Ayu masuk dalam bilik ya? Kenapa tak kejutkan Ayu?”
            “Haah. Kesian tengok Ayu lena sangat, Abang angkatlah. Badan jer kecik, tapi berat jugak tau”
            “Abang Is….. jahat!”
            “Tengok tu, kita dah susah payah tolong dia, boleh pulak cakap Abang jahat!”
            Tiba di lobi Mesra Holdings, aku cium tangan Abang Is dan seperti biasa Abang Is cium ubun-ubunku sebelum aku membuka pintu. Masa aku berpaling, nampak Encik Irfan Mukhriz sedang memandang tajam ke arahku. Tanpa mempedulikannya aku segera melangkah ke lif.         
            Pintu lif yang hampir tertutup sempat kutahan dengan tangan. Bila terbuka semula, aku menyelit di celah orang ramai yang hampir penuh. Tanpa aku sedar Encik Irfan juga turuti langkahku. Akhirnya aku tersepit di antara tubuhnya dan seorang lelaki gempal. Kepalaku melekap di hujung bahu Irfan. Yang aku cukup rimas bila lelaki gempal di sebelahku seakan menghimpit tubuh kecil ini. Semakin lama semakin kuat dia menghimpitku. Aku mula rasa tak selesa. Cuba mengengsot ke tepi, sudahnya aku terpaksa mengiring badanku menghadap tubuh Encik Irfan.
            “Kau ni, kenapa?” Tanya Encik Irfan perlahan tapi kedengaran kasar di telingaku.
            “Maaf Encik Irfan, lelaki di belakang saya ni” Balasku juga dengan nada berbisik.
            Tidak ku duga, Encik Irfan tarik lengannya yang aku himpit dan peluk pinggangku dekat padanya. Memberi aku ruang agar dapat menjauhi tubuh lelaki gempal tadi. Aku mendongak merenung matanya meminta pengertian. Tetapi dia hanya berlagak selamba membalas pandanganku.
            Dup! dup! dup! dup! Dada ini seakan mahu pecah. Bau haruman di tubuhnya buat jantungku berdegup kencang. Oh!!! Kalau boleh biarlah lif ni tertutup terus dan naik sampai ke tingkat 100, kan bagus?
            Mujurlah lif berhenti di tingkat 12. Seorang dua sudah keluar dan diganti pula dengan yang baru masuk. Kami terasak ke dinding lif. Aku lega bila lelaki gempal itu sudah berada jauh dariku. Masalahnya sekarang, tangan Encik Irfan masih lagi di pinggangku. Aku cuba menolak tubuhku ke belakang dengan menekan dadanya tapi Encik Irfan seakan enggan melepaskan rangkulannya. Tanganku cuba membuka jari-jemarinya yang masih kejap tetapi tidak berjaya.
            “Kau boleh duduk diam-diam, tak?” Bisiknya seakan memberi arahan.
            “Boleh tak Encik Irfan lepaskan saya?”
            Tingg…….! lif berhenti di tingkat 18. Fuhh! Nasib baik akhirnya Encik Irfan lepaskan tangannya di pinggangku. Tanpa menoleh ke belakang, aku terus merobos keluar dari lif. Sempat juga aku memijak sepatu lelaki bertubuh gempal yang menghimpitku tadi dengan kasut tumit tinggiku.
            Ouccch!” Dia mengaduh sampai berkerut dahinya menahan sakit.
            Sorry.. tak sengaja” Aku buat muka tak bersalah. Padan muka! Puas hatiku.
           
            ~Nak masuk ke tidak, nak masuk ke tidak?~
Mug Nescafee di tangan aku renung. Selalunya Nescafee yang ku bancuh hanya aku letakkan di atas meja Zana dan dia yang akan menghantarnya ke dalam bilik Encik Irfan. Tapi hari ini, Zana bercuti. Aku segan sebenarnya. Terkenang peristiwa di dalam lif pagi tadi, aku malu sungguh. Nasib baik rata-rata penumpang lif tersebut tidak mengenali kami. Kalau tidak, sudah tentu kecoh satu tingkat 18. Heboh dengan adengan Encik Irfan Mukhriz memeluk Idayu Aireen di dalam lif
            Aku ketuk pintu bilik Irfan. Selepas diarahkan masuk, aku mampir ke mejanya.
            “Nescafee, Encik Irfan”
            “Hmm.. thanks. Zana on leave ke?”
            “Haah . Zana cuti”
            Can I ask you something?”
            “Ada apa, Encik?”
            “Siapa hantar kau pagi tadi?”
            “Oh…. abang saya yang hantar. Memang saya belum ada kereta sendiri”
            “Mesranya… tak nampak macam abang pun?”
            “Satu-satunya abang yang saya ada”
            “Kau anak bongsu?”
            “Ya saya, Encik Irfan”
            “Patutlah manja” Aku ketap bibir. Sesuka hati dia aje mengata aku anak manja.
            “Encik Irfan ….. Saya nak cakap sikit. Pasal dalam lif pagi tadi….. Encik tak patut peluk saya macam tu…. saya… er…. ” Wajah Encik Irfan bertukar tegang dengan kata-kataku.
            “Kau ni, tak reti nak berterima kasih langsung! Aku selamatkan kau dari lelaki gemuk tu, kau nak marah-marah aku pulak? Aku cuma nak menolong. Kau ingat, aku tergila-gila sangat nak peluk pinggang kau?” Aku angkat muka menentang wajahnya dengan garang. Geramnya hatiku saat ini. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku tampar mulutnya sampai berbekas.
            “Saya mintak maaf dan ucapkan terima kasih atas pertolongan Encik tu. Lain kali saya tak akan naik lif dengan Encik Irfan lagi. Saya pergi dulu” Cepat sahaja aku beredar. Sedikit kasar aku menutup pintu biliknya. Hatiku benar-benar bengkak dengan kata-kata Encik Irfan sebentar tadi. 

“Abang Is………..” Tanpa mengetuk terlebih dulu, aku selak daun pintu bilik Abang Is. Terpaku melihat Abang Is hanya bertuala paras lutut sedang menyikat rambut. Dia menoleh dan kami sama-sama tergamam. Serta merta kedua belah tangan Abang Is bersilang menutup bahagian dadanya yang terdedah. Kelam-kabut aku tutup pintu semula dan ketawa terbahak-bahak. Wrong timing betul lah!. Abang Is pun satu, tak reti ke nak kunci pintu sebelum mandi?
            Pintu bilik Abang Is terkuak dari dalam. Tersembul sahaja wajahnya, aku menekup mulut. Terhenti serta-merta tawaku.
            “Ooooooo, pandai gelakkan Abang ek? Yang main terjah masuk je bilik orang bujang, buat apa?” Abang Is cuit pinggangku dan menggeletek.
            “Abang Is, gelilah! Mana aci geletek geletek orang?”           
            “Aci ada kat rumah Muthu” Aku mengekek ketawa.
            “Abang Is yang salah. Siapa suruh tak kunci pintu?”
            “Abang terlupalah, Sayang……..” Abang Is tarik hidungku hingga aku terjerit kecil.
            “Jom duduk kat patio?” Lenganku diraih dan aku hanya membontoti langkahnya.
            “Cari Abang, kenapa?”          
            “Ayu tengah geram ni….”
            “Pasal bos lelaki tu lagi ke? Siapa namanya?”
            “Irfan……”
            “Oh Irfan…! Hari ni, dia buat apa pulak kat Ayu?”
            “Pagi tadi.. berasak-asak dalam lif.  Lepas tu ada sorang mamat gemuk himpit Ayu. Si Hitler tu pulak peluk Ayu konon nak selamatkan Ayu”
            “Hmm…….” Itu sahaja komen dari Abang Is.
            “Abang Is dengar ke tak ni?”
            “Abang tengah dengarlah.. dah tu,  apa jadi?”
            “Ayu cakap kat dia, dia tak patut peluk Ayu macam tu.  Dia boleh marah Ayu pulak! Dia kata Ayu tak reti berterima kasih. Dah tu siap sound lagi, dia tak teringin pun saja-saja nak peluk Ayu. Tapi Abang Is… dia peluk Ayu kuat tau!. Ayu dah mintak dia lepas, tapi dia tak nak” Abang Is hanya ketawa.
            “Orang serius, Abang Is ketawa-ketawa pulak! Abang Is pun nak cakap yang Ayu perasan jugak ke?” Aku juihkan bibir tanda marah.
            “Adik Abang ni… slow sungguhlah!. Sebab tu Abang cakap kena berguru dengan Abang….”
            “Apa maksud Abang Is?”
            “Sebenarnya Irfan tu sukakan Ayu, tapi ego dia tinggi. Dia malu nak mengaku”
            “Susah nak percaya cakap Abang Is”
            “Abang lelaki, mestilah Abang tahu”  Eh.. betul ke macam tu? Aku garu kepala yang tidak gatal.

Hari Isnin, mesyuarat tergempar diadakan berkaitan family day tidak lama lagi. Tempatnya, di Tanjung Bidara Beach Resort, Melaka (TBBR). Alahai… ingatkan jauh sangat sampai ke Langkawi ke, Penang ke atau Malaysia Timur, apa salahnya? Ini Encik Irfan Mukhriz lah yang cadangkan. Kawannya ada bekerja di sana, sebab itu dia boleh dapat special discount. Kawan atau girlfriend? Kalau setakat kawan saja , takkan lah berjaya dapatkan potongan hingga mencecah 40%?
            “Ok Idayu… I nak you dengan Zana handle all the activities with the resort. Linda pun boleh bantu sekali. Nanti I akan mintak orang dari HR bantu you all. Segala perbelanjaan boleh bincang dengan account department tentang bajet kita. I juga akan pantau sebaik mungkin. Kalau ada apa-apa boleh boleh datang jumpa I” Ujar Encik Irfan panjang lebar. Aik! Dalam meeting boleh pula dia berbahasa I dan you denganku? Kalau dalam bilik dia, jangan haraplah nak bercakap lembut seperti ini. Asyik ber ‘engkau’-‘aku’ saja.
            “Natrah, ada apa lagi cadangan?”
            “Ermmm..  I fikir dari KL kita start dari Mesra Holdings, why not kita buat treasure hunt sampai ke Melaka. Kita ikut jalan lama. Setiap pit stop, kena cari clue untuk jawab soalan”
            That’s brilliant! Idayu pinjam pen? I nak catit sikit info” Huh! Bos memang tetap bos. Masuk meeting pun, tak reti bawa pen sendiri. Menyampah!
~~Ek eleh Ayu…. Menyampah ke suka? ~~
            “Ok… kalau tak ada apa-apa lagi. Meeting’s over
            Masing-masing terus bangun. Encik Irfan masih mencoret sesuatu di organizernya. Hendak tak hendak, aku terpaksa menunggu dia habis menulis. Aku cukup sayang dengan pen yang berada di tangan Encik Irfan. Hadiah dari kawan-kawan sempena harijadiku semasa di kampus. Pen itulah aku angkut ke hulu dan ke hilir. Sudah hampir 2 tahun refill bertukar-ganti, tapi aku menjaganya dengan rapi. Masih elok dipakai sehingga kini.
            Encik Irfan selesai menulis. Lega hatiku. Tak perlu lagi aku menunggu. Duduk berdua dalam bilik meeting ini, buat dadaku sesak. Apa lagi, bau harumam yang sama menusuk hidungku sepertimana semasa aku dipeluk kejap olehnya di dalam lif tempohari.
            Encik Irfan tutup organizer dan tangannya laju sahaja selitkan pen kepunyaanku ke dalam poket kemejanya. Aku terkesima.
            “Encik Irfan……” Dia tersentak. Tak menyangka aku masih ada dalam bilik mesyuarat ini.
“Hah… kau buat apa lagi kat sini? Tak pergi makan? Kau nak ajak aku makan ke? Jom….!” Erkk! Eh…. Eh…. ! Aku gelabah bila Encik Irfan sudah berdiri dan mahu keluar.
            “Encik… pen saya. Encik Irfan pinjam tadi” Encik Irfan tak jadi melangkah. Diraba poketnya dan keluarkan sebatang pen.
            “Ini kau punya?” Aku angguk laju. Dibelek dan dipusingkan beberapa kali. Seakan was-was pula dengan kenyataanku.
            “Owhh… aku pinjam ek, tadi? Wah.. ada  nama kau sekali atas pen ni. Cantik! Bagi aku simpanlah!”  Matanya tekun menatap lorekan namaku di atas badan pen. Tangannya selitkan pen itu ke poketnya semula. Aku ketap bibir. Aduh! Mana boleh dia buat macam tu?. Itu aku punya. Sesuka hati pula dia mahu buat harta.
            “Tapi Encik…. Itu hadiah dari kawan saya….”
            “Kau hadiahkan pulak pada aku. Tak boleh ke?” Dia tersengeh dan terus keluar. Aku termanggu di tempatku. Sedikit bengang pun ada!
            “Kau tak nak makan sekali dengan aku ke?” Encik Irfan menjenguk di balik pintu.
            “Tak apalah Encik. Saya tak lapar…”
            “Ok!” Selamba saja dia pergi tinggalkan aku dengan seribu perasaan. Tak guna betul!
~
Pagi-pagi lagi warga Mesra Holdings berkumpul di lobi. Laoan belas buah kereta mengambil bahagian untuk acara treasure hunt hari ini. Ada yang bertiga dalam sebuah kereta dan ada yang berempat.
            Aku teliti nama setiap kumpulan mengikut nombor kereta yang dihulurkan padaku tadi. Untuk treasure hunt ini, Cik Natrah dan pembantu dari bahagian admin yang kendalikan. Acara di TBBR nanti grup yang terdiri dari Encik Irfan, Zana, Linda, aku dan Nizam dari HR yang uruskan.
            Alamak!….. Mengapa pula aku dikehendaki berkongsi satu kereta dengan Encik Irfan? Zana pula satu kereta dengan Nizam dan staf lain bernama Rasyidah. Ah! Hantam sajalah labu!. Mungkin Encik Irfan mahu berbincang lagi denganku berkaitan acara di TBBR nanti. Tapi.. kalau dah sibuk dengan mencari clue sepanjang perjalanan ke Tanjung Bidara, mana sempat mahu bincang apa-apa?
            “Cik Natrah! I tak puas hati kenapa I berdua aja dengan Encik Irfan?”
            Sorry lah Idayu. Kita tak cukup orang. Sekarang dah tak sempat nak tukar-tukar lagi. Just get in the car, Hurry up!” Arah Cik Natrah.
            Sekejap lagi Papa Cik Natrah, Datuk Firdaus akan bunyikan hon tanda bermulanya treasure hunt ini. Aku mengeluh berat dan masuk ke dalam Audi Q7 Encik Irfan.
            “Kenapa lambat?” Encik Irfan menegurku.
            “Jumpa Cik Natrah kejap, ada hal sikit”
            “Tu apasal muka masam mencuka tu? Tak suka naik kereta dengan aku ke?”
            “Tak apa-apa. Saya biasa-biasa je..”
            Bunyi hon yang panjang kedengaran. Satu demi satu, kereta keluar dari perkarangan bangunan Mesra Holdings.
            “Apa arahan pertama? Cuba kau baca?” Aku menahan geram dalam hati. Sedang outing macam ni pun masih nak mengarah. Baik duduk kat dalam pejabat saja.
            “Lalu di pasar Pudu dan berhenti di depan pasar. Di situ ada clue” Aku baca petunjuk dengan kuat.
            “Soalannya: Apa nama kedai yang menjual barang-barang runcit di tepi jalan sekali?”
            “Macam senang saja” Huh! Masih mahu tunjuk lagak!
            Tak berapa lama, kami sampai di pasar Pudu. Melihat sahaja nama kedai tersebut, aku tak jadi turun dari kereta. Dengan pantas aku catit jawapannya.
            Okey, next!” Amboi…… masih dengan sikap ‘bossy’nya. Apa lah malang nasibku dipasangkan dengan Encik Irfan. Kalau dengan rakan sekerja yang lain bolehlah aku bergelak sakan, bergurau senda. Ini… Aahh! Masak sungguh!
            “Ke Cheras. Stesyen Shell, Jalan Cheras Batu 9. Masuk kedai ‘Select’ dan catit tiga jenis air minuman yang ditinkan dari jenama ‘Nestle’. Ambil chop kedai tu sekali” Ohhh!! Senang saja. Aku tersenyum sendiri.
            “Kau cantik bila senyum macam tu. Kenapa bila dengan aku kau asyik buat muka masam aja? Kau takut aku makan kau ke?” Hah! Spontan aku berpaling padanya.
            “Habis? Encik Irfan nak saya tersengeh 24 jam depan Encik walaupun Encik marah-marah dan bentak saya?”
            “Bagi kau, aku ni garang sangat ke?”
            “Encik Irfan fikirlah sendiri, saya tak berani nak komen. Satu aja saya nak mintak tolong”
            “Apa dia?” Muka Encik Irfan masih lagi serius.
            “Saya nak Encik Irfan pulangkan semula pen saya. Itu kenangan saya masa saya belajar di UiTM”
            “Kalau aku tak nak? Biarlah aku simpan sebagai hadiah kenangan dari kau pulak” Aku tarik nafas berat. Dengan Encik Irfan ni susah sangat mahu berkempromi.
           
Ke Stesyen Shell sudah dan kami kini menghala ke pekan Nilai. Mengenangkan banyak masa lagi yang harus ditetapkan sebelum sampai di TBBR, Encik Irfan ambil keputusan berhenti minum dulu. Aku pelik melihat Encik Irfan dengan selamba masuk ke kedai mamak. Aku fikir orang bergaya seperti Encik Irfan jijik mahu jejak kaki ke lantai kedai yang sesak dengan orang ramai tak kira bangsa ini.
            Rupa-rupanya bukan kami saja yang mahu berhenti rehat. Sudah ramai staf-staf Mesra Holdings yang sudah duduk di meja. Yang lelaki angkat tangan pada Encik Irfan. Aku hanya berbalas senyum dengan mereka.
            “Encik Irfan tak kisah ke, makan kat tempat macam ni?”
            “Kenapa? Kau ingat aku ni tak pernah lepak kedai mamak?”
            “Mana saya tahu” Aku jawab selamba sambil angkat bahuku.
            Nescafee yang dipesan Encik Irfan sampai di meja kami. Dia menyisip sedikit dan letakkan kembali ke meja. Aku pandangnya dengan ralit.
            “Tak sedap! Manis sangat, tak macam kau buat! Kau boleh bangun tak bancuh semula untuk aku? Tanya mamak tu ada creamer tak? Aku tak nak susu pekat!”
            “Hah! Encik Irfan…. Biar betul? Takkanlah saya nak kena buat?” Melihat aku menggelabah, Encik Irfan tergelak kuat hingga aku pula yang terpinga-pinga. Beberapa pelanggan di meja sebelah menoleh ke arah kami. Sedar diperhatikan, volume tawanya direndahkan.
            Aku leka memandang wajah Encik Irfan yang masih lagi tidak berhenti ketawa sampai terhingut-hinggut bahunya. Terus aku tak jadi marah, walaupun aku tahu dia sengaja mempermainkanku. Semakin aku cuba menolak rasa hati, aku semakin tertawan dengan Encik Irfan  walau dia garang bak Hitler sekalipun. Aduh!! Siksanya berperasaan begini? Berada di tempat yang salah, masa yang salah dan jatuh cinta pada orang yang salah! Aku tak patut menaruh harapan terlalu tinggi pada lelaki kacak yang cukup sempurna di mataku ini.
            Selepas minum, aku dan Encik Irfan bergegas ke 7-11 mencari suratkhabar. Task sekarang, dikehendaki memotong keratan logo Harian Metro, Kosmo, Berita Harian, NST dan The Star. Tak cukup 7-11, kami mencari pula di kedai runcit di bangunan yang sama. Lega jumpa juga apa yang kami cari. Terpaksa pula membeli sebilah gunting. Tak apalah! Biarlah aku buat saja di dalam kereta nanti.
            “Pinnnnn……..!” Hon nyaring dari kereta mengejutkanku. Serentak itu jugak aku rasa badanku terlayang ditarik seseorang. Dalam membelek barang-barang di dalam plastik tadi, aku tidak sedar bila masanya aku melangkah untuk menyeberangi jalan. Pucat mukaku, menggeletar tubuh kurasakan.
            “Kau ok, ke?” Tanya Encik Irfan melihat aku yang terketar-ketar. Aku angguk lambat-lambat.
            “Lain kali tengok kiri dan kanan dulu. Kau buat aku suspen aja tadi. Kalau kau kena langgar, apa aku nak jawab dengan mak bapak kau? Aku jugak disalahkan sebab tak pandai jaga kau. Kau faham tak?” Tengkingannya buat aku tersentak.
            “Maaf… saya tak sengaja” Jawabku sebak.
            Encik Irfan tarik tanganku dan bawa aku ke seberang jalan dengan selamatnya. Dia buka pintu dan tunggu aku masuk kemudiam tutup pintu semula. Encik Irfan masuk ke tempat pemandu, hidupkan enjin kereta dan memandangku.
            “Aku mintak maaf sebab tengking kau. Aku tahu kau terkejut” Aku diam tidak berkutik.
            “Idayu…. I’m sorry, ok?” Tanganku dicapai dan kedua-dua tangannya menekup jari-jemariku dan meramas lembut, memberi sedikit kekuatan padaku. Lama kami berjeda tanpa suara hinggalah aku tersedar dan terus tarik tanganku.
            “Baik kita gerak sekarang, Encik Irfan. Saya minta maaf, saya cuai tadi” Tiada balasan dari mulut Encik Irfan. Hanya tangannya yang bergerak menukar gear dan halakan keretanya keluar dari pekan Nilai.

No comments:

Post a Comment