DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 7 March 2016

ELUSAN KASIH - BAB 10



SUASANA pada pagi itu redup sahaja walaupun jarum jam sudah menunjukkan ke angka 11.30 pagi. Kakinya terasa berat sewaktu hendak melangkah keluar dari perkarangan Mahkamah Syariah. Tatkala matanya terpandangkan Riyadh yang setia menunggu di perkarangan luar mahkamah bersama Aqilah dan Fazmizie hatinya semakin sebak. Segala-galanya telah selesai walaupun bukan mudah.
“Bagus! Kau boleh pergi dengan jantan tu.” tutur Aqil sewaktu menghampirinya. Langkah kakinya terhenti. Seboleh-bolehnya dia tidak ingin lagi menimbulkan apa-apa perbalahan dengan Aqil. Tetapi Aqil seringkali mahu menguji kesabarannya.
“Memang patut pun aku ceraikan kau. Aku harap anak-anak tak akan ikut jejak langkah kau. Kau patut sedar diri yang kau tu perempuan bukan lelaki. Eh! Zurra, kau tak malu ke hah? Kau tak malu ada jantan lain walaupun waktu tu kau tengah ada suami.” Aqil melempiaskan amarahnya tanpa menghiraukan beberapa orang yang berada di kawasan tersebut.
Tuduhlah Aqil semahu yang engkau mahu. Hanya aku yang tahu sakit perit penderitaan yang kau pahatkan. “Saya harap awak halalkan semuanya yang pernah awak berikan kepada kami. Halalkan juga kasih sayang awak kepada kami.” Fazzura sebak saat menuturkan kata-kata itu. Dia tidak mampu memandang wajah Aqil. Dia benar-benar tidak sanggup. Apatah lagi Aqil hanya ketawa sinis. Aqil nampaknya begitu gembira dengan penceraian yang telah berlaku di antara mereka.
“Aku serahkan hak jagaan anak kepada kau. Kalau jadi apa-apa pada anak-anak aku. Siaplah kau!” Aqil angkat jari telunjuknya tepat ke wajah Fazzura yang sudah mula basah dek air mata. Tangan kirinya pula membuka kaca mata hitam yang dipakainya.
“Buat apa kau nak menangis lagi? Bukan ke kau yang nak sangat macam ni? Kau pun dah ada jantan lain. Kau boleh pergi dengan jantan tu!” tutur Aqil lagi. Semakin Fazzura diam semakin sakit hatinya. Hatinya benar-benar sudah tiada rasa untuk Fazzura. Apatah lagi apabila melihat lelaki yang turut serta ada bersama pada hari ini.
“Apa salah Zurra abang sampai sanggup abang buat Zurra begini?Apa kurangnya Zurra? Apa silapnya Zurra di mata abang? Kenapa abang terlalu tegar buat Zurra dan anak-anak begini. Selama ini Zurra sikitpun tak pernah curang dengan abang. Zurra setia dengan abang. Zurra tinggalkan kehidupan Zurra yang lebih sempurna demi abang. Tapi…”
“Sudah! Aku tak hingin nak dengar apa-apa lagi. Kau bodoh ke apa Zurra? Apa kau tanya tadi? Salah kau? Silap kau? Oh!habis jantan tu siapa? Bukan ke di belakang aku kau pun ada jantan lain.” Aqil ketawa. Sedikitpun dia tidak endahkan tangisan Fazzura.
Kesalahannya ditutup rapat. Bahkan kini Fazzura pula yang dituduhnya menjadi penyebab. Sedangkan Riyadh cuma hadir sebagai orang luar yang menghulurkan bantuan.
“Kau berambuslah Zurra dari sini. Semakin lama semakin sakit hati aku!”
Zurra tidak menjawab. Mulutnya sudah terkunci seribu bahasa. Pandangan matanya yang basah dek air mata terarah kepada tiga pasang kaki yang sedang melangkah mendekatinya. Segera air mata dikesat. Dia tidak mahu anak-anaknya tahu kesedihannya. Dia juga tidak mahu Riyadh serba salah.
“Papa...papa…papa…” jerit Aqilah sambil berlari menuju ke arah Aqil.
“Kakak, hati-hati...” sempat Riyadh menjerit kepada Aqilah yang berlari laju menuju ke Aqil. Terus didukungnya Fazmizie.
 “Adik, rindu kat papa tak?” bisiknya halus. Hatinya resah dan bimbang. Tapi dikawal agar tidak terlihat oleh pandangan mata mereka. Lagipun dia tak bersalah. Buat apa dia nak takut.
“Papa…papa…papa pergi mana? Kenapa papa tak balik? Aqilah rindu papa.” Tutur Aqilah sambil mendongak memandang Aqil. Buat seketika terdengar keluhan kasar Aqil. Riyadh yang sampai terus menurunkan Fazmizie yang berada di dalam dukungannya.
“Err…saya tunggu di kereta.” ujar Riyadh kemudiannya. Dia ingin berlalu dari situ.
Uncle…jangan pergi…”Aqilah menarik tangannya. Meronta-ronta dia agar Riyadh tidak berlalu dari situ. Riyadh akur dengan permintaan anak kecil itu.
Kemudian Aqilah kembali pula menarik tangan Aqil. “Uncle… Aqilah dah jumpa papa.” tunjuk Aqilah pula kepadanya. Aqilah terlalu kecil untuk mengerti apa-apa.
“Adik, sini adik. Tengok papa ni adik,” kali ini giliran Fazmizie pula yang ditarik Aqilah. Perasaan sayu mengundang siapa sahaja yang memandang.
“Maafkan papa...papa kena pergi.” ucap Aqil sebaris kata. Dia memeluk kedua-duanya sebelum berlalu pergi.
“Papa...” panggil Aqilah. Dia ingin mengejar papanya namun Fazzura cepat-cepat menghalang.
“Jangan ikut papa Aqilah!” Tubuh Aqilah ditarik kuat. Kemudian si kecil Fazmizie pula ditariknya. Riyadh tahan nafas. Tidak menyangka dengan tindakan Fazzura. Baginya agak keterlaluan.
“Papa… papa…jangan pergi. Aqilah nak ikut papa.” Aqilah memanggil lagi untuk sekian kali. Dia ingin mengejar Aqil. Namun memegang kuat tangan anak-anaknya itu.
“Jangan Aqilah! Biarkan papa pergi. Kenapa degil sangat!” tengkingnya sekali lagi. Satu cubitan hinggap di lengan Aqilah. Kali ini Aqilah terus menangis. Fazzura tidak mempedulikan lagi tangisan Aqilah.
“Zurra,apa awak buat ni?” soal Riyadh terus mendapatkan Aqilah yang menangis. Digosoknya perlahan lengan Aqilah.
“Awak tak patut buat begini Zurra. Bukan ke saya dah pesan.” Riyadh geleng kepala sambil menjeling sekilas kepada Fazzura. Pantang betul dia kalau jadi begini. Anak-anak pula yang jadi mangsa. Mereka bukannya tahu apa-apa pun.
Aqil yang berjalan di hadapan kembali menoleh. Mencerlung matanya memandang Fazzura dan Riyadh silih ganti. “Kau ingat Zurra, kalau jadi apa-apa pada anak-anak aku. Siap kau!” tutur Aqil keras. Kata-katanya berbaur ugutan. Apa perlunya Aqil berbicara begitu. Sebelum ini, pernah dia ambil kisah soal anak-anak. Soal makan minum anak-anak. Aqil tak pernah sedar kesalahannya. Sakit hatinya.Sungguh dia sangat sakit. Dia bercakap seolah-olah dia langsung tak pernah pukul anak-anaknya.

“SEMUA ini adalah takdir Zurra. Awak menangis sampai berdarah biji mata sekalipun tak akan mengubah apa-apa” ujar Riyadh sewaktu mereka sampai di kondominium miliknya.
“Hadapilah semua ini dengan kekuatan. Saya tahu awak kuat.”nasihatnya lagi.
Tanpa menjawab soalan Riyadh dia terus melangkah masuk ke dalam bilik. Dia nekad nak pulang ke kampung.
Riyadh hanya memerhatikan langkah Fazzura. Dia marah aku ke pasal tegur dia tadi? Hati sudah mula menyoal pasal kes di mahkamah tadi. Pandangannya jatuh kepada Aqilah dan Fazmizie yang mula bermain-main di ruang tamu tamu. Sudah terlupa agaknya dengan kejadian yang berlaku di mahkamah tadi.
“Zurra…”panggil Riyadh perlahan di balik muka pintu. Fazzura menoleh. “Saya mintak maaf.” luahnya kesal.
Fazzura geleng kepala.“Awak ni tak ada buat salah dengan saya pun.” Pelik pula bila Riyadh nak mintak maaf macam tu. Sepatutnya dia yang mintak maaf. Sebab dah banyak menyusahkan lelaki ini. Riyadh tenang sahaja berhadapan dengan Aqil di mahkamah tadi. Dia pula yang terlebih emosi sehingga sanggup jatuhkan hukuman ke atas anak-anaknya.
“Pasal tadilah. Saya mintak maaf.”
Fazzura diam. Hanya tangannya yang mula berbicara. Menunjukkan sesuatu yang langsung tidak menyenangkan hati Riyadh. Tengok Fazzura mencapai beg besarnya itu pun dia sudah tidak sedap hati.
“Awak tetap nak pulang ke kampung ke Zurra?”soalnya.
Fazzura angguk. “Saya telah banyak menyusahkan awak Riyadh. Awak jangan risau tentang dia orang berdua.” balasnya sambil mengesat sisa air mata yang masih bergenang di tubir mata.  Dia sudah terlalu banyak menyimpan rasa. Betul kata Riyadh, dia harus kuat.
“Awak, sebenarnya saya nak mintak maaf kepada awak. Sebab dulu saya halau dan awak pergi. Sedangkan ini rumah awak. Awak tumpangkan saya. Tapi…saya tak dapat kawal keadaan waktu tu. Maafkan saya.”
“Saya tak kisah Zurra pasal hal tu. Tapi, kenapa? Apa sebabnya?”
“Saya benar-benar tak dapat kawal perasaan saat mata  ni melihat bekas suami saya bersama dengan wanita lain. Apatah lagi, wanita itu adalah wanita yang sama  datang ke rumah saya dan mengakui dia ada hubungan sulit dengan bekas suami saya. Apa yang paling saya kesalkan  dia sanggup melakukan maksiat. Padahal, sehari sebelumnya dia menceraikan saya. Langsung dia tidak peduli perasaan saya. Malah dia sengaja menunjukkan kemesraannya di hadapan saya. Saya kecewa. Hati saya sakit. Dia lelaki yang saya sanjung keperibadiannya. Tetapi, dia tegar melukai hati ni tanpa sikitpun belas simpati.” Cerita Fazzura panjang lebar. Dadanya berombak menahan rasa.
Riyadh terkejut. Sungguh dia tidak menduga sampai begitu sekali Aqil. Jika dia ada bersama waktu itu sudah pasti teruk Aqil di ajarnya. Patutlah Fazzura meraung bagai orang gila di dalam bilik air. Kalau dia di tempat Fazzura pun sudah tentu hal yang sama dilakukan.
“Saya…saya mintak maaf.” tutur Riyadh. Suaranya tersangkut-sangkut. Fazzura terus mengemas barang-barangnya yang tidak seberapa. Dia tidak mahu tinggal di sini lagi. Dia telah banyak menyusahkan lelaki ini.
“Awak baik...sikitpun awak tak menyusahkan saya. Tak terbalas jasa saya pada awak Riyadh.” Riyadh langsung tak bersalah apa-apa.
“Kalau ye pun awak tunggulah dulu. Duduklah sini sampai habis eddah.” pujuk Riyadh lembut. Raut wajahnya benar-benar meraih simpati.
Fazzura tidak faham kenapa Riyadh sibuk sangat nak menghalangnya pergi. Bukankah Riyadh dah nak kahwin. Dia boleh fokus dengan perkahwinannya.
“Keputusan saya muktamad.” Fazzura bertegas.
Kata-kata Fazzura membuatkan perasaannya menjadi sayu. Dia bersandar di balik pintu itu. Pandangan matanya jatuh ke wajah anak-anak kecil itu bersilih ganti. Apa yang pasti dia mungkin tidak akan bertemu lagi dengan Aqilah dan Fazmizie. Di majlis bahagianya yang bakal berlangsung tiga bulan dari sekarang dia mahu Aqilah dan Fazmizie ada. Dia mahu mereka yang membuka pintu hatinya ke arah sebuah hidup yang lebih sempurna ada bersamanya ketika majlis itu berlangsung. Sungguh, terlalu tinggi angan-angannya. Dia lupa yang dia orang luar yang tak ada kaitan apa-apa di dalam hidup Fazzura dan anak-anak. Argh! Tiba-tiba dadanya rasa berkecamuk. Bagaikan tak sanggup untuk berpisah dengan wajah-wajah itu.
“Riyadh, awak terlalu baik. Terlalu baik untuk saya dan anak-anak. Susah nak jumpa lelaki seperti awak. Awak seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Selama beberapa minggu kami di rumah awak, sedikitpun kebajikan saya dan anak-anak tidak awak abaikan. Saya pula yang rasa malu dengan awak. Sejujurnya saya betul-betul rasa malu dengan tindakan saya. Saya mintak maaf.” ujar Fazzura setelah dia siap mengemas barang-barangnya yang tak seberapa.
Riyadh mengeluh kecil. “Kalau itu pilihan Fazzura saya tak boleh nak halang. Saya tak ada hak untuk halang.” Sebenarnya dia rasa hampa.
“Saya hantar awak dan anak-anak pulang?”
Fazzura menghadiahkannya satu senyuman. Sejak dari mahkamah tadi inilah baru kali pertama dia lihat Fazzura senyum begitu. Di sebalik senyuman manisnya itu jelas menunjukkan betapa diri wanita itu menanggung sengsara dek perbuatan seorang lelaki yang bergelar suami.
“Awak tak perlulah nak susah pasal kami lagi. Saya boleh balik dengan bas. Saya dah call pun teksi tadi. Saya tak nak menyusahkan awak lagi.” Fazzura cuba menolak perlawaan Riyadh.
Cukuplah Riyadh kau terlalu baik untuk diri ini dan anak-anak. Jika kau tiada sudah pasti entah di mana aku dan anak-anak merempat. Bisik hati kecilnya pula.
“Awak ni memang degilkan…suka hati awaklah.” tutur Riyadh sambil menjegilkan biji matanya bulat-bulat. Ada terselit nada rajuk di dalam tutur katanya. Aneh? Kenapa pula dia nak ‘sentap’ ni. Walaupun sementara cukup buat dia merasakan erti bahagia. Bahagia dapat memberikan kasih sayang kepada anak-anak kecil itu.
“Saya pasti akan rindukan dia orang.” Dia cuba menahan perasaan. Menatap Aqilah dan Fazmizie bagaikan tak terzahir rasa kasihnya yang kian menebal.
“Mereka juga pasti akan rindukan uncle dia orang.”
Riyadh buat muka sedih lagi.
“Rasa seperti nak berpisah dengan anak-anak sendirilah pulak!”
Terus Fazzura mengerutkan keningnya. “Awak cepat-cepatlah kahwin. Nanti ada anak awak tak perlu lagi dah nak fikirkan pasal budak-budak berdua ni.” Dia tahu Riyadh berat hati tetapi apa gunanya dia di sini. Lebih lama nanti timbul banyak pula masalah. Dia tak nak! Jadi lebih baik dia elak.
“Ermm…awak...jaga diri baik-baik. Saya dah start sayangkan dia orang berdua ni. Sangat-sangat sayang. Satu aje yang saya nak mintak sebelum awak pergi.”
Fazzura pandang Riyadh. Serius. “Jangan awak mintak bulan dan bintang sebab saya tak akan pernah mampu.”
Terhembur tawa Riyadh. “Buat apa bulan dan bintang yang tak mampu disentuh. Saya hanya nak awak jangan lupakan ingatan mereka berdua terhadap saya. Mereka istimewa dan saya rasa bahagia dengan telatah mereka.”
Fazzura angguk. Mengerti perasaan lelaki itu. Sesungguhnya, kau juga istimewa dalam hidup mereka Riyadh. Kau bagaikan mentari yang menyinari hidup kami selama kami di sini. Kau eluskan kasih yang amat mereka perlukan. Kau titiskan embun kasih walau seketika  cukup aku rasakan yang mereka merasa adanya kau walau di mana jua.
 Tidak terduga olehnya pelanggaran kecil sewaktu di hospital dahulu mengundang jalan cerita di antara Riyadh dan juga anak-anaknya. Beruntung siapa yang memiliki lelaki ini. Doanya hanya satu, berharap agar lelaki ini tidak akan berubah laku seperti apa yang telah Aqil lakukan kepadanya. Ah ! Bilakah nama Aqil  akan terhapus dari kamus hidupnya.









No comments:

Post a Comment