ANGIN laut
memupuk lembut ke wajah. Fazzura duduk
di atas batu itu dengan pandangan mata terarah kepada laut yang terbentang
luas. Sudah hampir dua bulan dia pulang ke kampungnya di negeri Perak Darul
Ridzuan. Jauh meninggalkan kota metropolitan yang meninggalkan kenangan pahit
di hatinya.
Dahulu, di
sinilah tempatnya. Di persisiran Pantai Ban Pecah ini dia melepaskan kekusutan.
Terlalu banyak perubahan yang berlaku di kawasan sekitar. Jika dahulu kawasan
ini sunyi sahaja tetapi kini sudah banyak gerai-gerai makan yang dibuka. Hari
ini dia benar-benar rasa bebas setelah sekian lama terkurung di rumah.
Ingatannya
melayang pada hari pertama dia tiba di kampung. Abah dan emak begitu terkejut
dengan kepulangannya yang tiba-tiba. Apatah lagi pulangnya dia membawa beg
besar.
“Besar beg?”
tanya emak sewaktu kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Dia hanya mampu
tersenyum. Memandang wajah emak dan abah yang semakin dipapah usia. Namun dia
akur sampai bila mahu di sembunyikan hal yang sebenar. Sudahnya dia terpaksa
menceritakan hal yang sebenar. Hati ibu-bapa mana yang tidak terguris. Apatah
lagi di saat hati mula terbuka untuk menerima Aqil di dalam kamus hidup.
Leteran emak yang mengukit kisah lima tahun dahulu semakin menambah hampa di
jiwa.Ah! itu belum lagi Kak Shahira dan Maria. Masak dia menahan rasa.
“Aku dah cakap
dulu hang degil. Sekarang siapa yang susah? Hang jugak! Laki hang tu
senang-senang ceraikan hang. Apa yang hang
dapat? Tu hah! anak-anak hang tu. Hang yang kena tanggung.” bebel emak panjang.
“Mak, dah nasib
Zurra macam ni.”
“Hang tu degil.
Aku dah cakap dulu.Tapi hang tak nak dengar. Gatal sangat nak berlaki. Hah! Sekarang
hang balik nak menyusahkan abah dengan mak pulak.”
“Apa ni Kak
Shira, janganlah doakan Zurra macam tu. Perjalanan takdir saya dah tertulis
macam tu. Saya kena terima Kak Shira. Sudah-sudahlah kak…saya tak nak gaduh
dengan akak. Kita bukannya muda lagi. Dah besar.”
“Amboi! Sejak-sejak
jadi janda ni pandai pula hang jawab cakap aku!” Kak Shira benar-benar tak puas
hati mendengar kata-katanya. Dia hanya tersenyum sahaja. Bukan apa, Kak Shira
tu anti lelaki. Itu pasal la dia marah sangat. Tak habis-habis.
“Pandai-pandailah
hang cari kerja!” ujar emak pula. Kalau emak tak cakap pun itu yang akan dia akan
lakukan.
“Kalau dia tak
kerja siapa yang nak bela dia mak.” sampuk Kak Shira lagi. Wajahnya persis
emak. Perangai pun lebih kurang sama dengan emak. Cuma emak tak anti lelaki.
Kalau anti lelaki sah-sah dia tak wujud saat ini.
Sebenarnya
leteran emak menghiburkan. Adatlah emak mana yang tak sayang anak. Sekarang apa
yang terjadi pun dia kena tanggung. Marah Kak Shira pula menyakitkan tapi ada
juga kebenaran. Maria? Sampai sekarang dia belum jumpa Maria lagi. Duduk di
Kuala Lumpur tu pun belum pernah mereka berjumpa. Argh! Makin di kenang makin
sakit.
“Assalammualaikum
Zurra?”
“Waalaikumusalam”
jawab Fazzura seraya menoleh ke arah empunya suara.
“Err…Ammar
Haikal?”
“Huh! Ingatpun
kau dekat aku. Ingatkan dah lupa.” balas lelaki itu. Ammar Haikal bukanlah satu
nama asing di dalam sejarah hidupnya. Amar Haikal, merangkap sepupu yang pernah
suatu masa menyimpan perasaan terhadapanya. Ammar Haikal, lelaki pilihan emak
dan abah yang sebenar-benarnya. Sayangnya, Ammar Haikal tidak pernah jadi
pemilik hatinya. Ini kerana sikap Ammar Haikal itu sendiri yang selalu
menyakitkan. Dia tahu Ammar sudah berjaya jadi kontraktor yang berjaya.
“Aku pergi rumah
Mak Ngah tadi. Dia cakap kau dah balik. Balik untuk…”
“Selamanya.”
jawab Fazzura tenang. Ammar senyum. Mengejek barangkali.
“Mak Ngah dah
cerita dekat kau pasal aku?” soal Fazzura walaupun sebenarnya dia begitu yakin
emak dan abah sudah menceritakan segalanya. Lagipun sudah hampir seminggu dia
pulang ke kampung. Telinga sudah naik bernanah dengar emak asyik mengungkit
kisah dulu kala.
“Jadi sekarang, giliran
akulah nak jadi suami kau.” jawab Ammar sambil ketawa kuat. Dia mengambil
tempat duduk di sebelah Fazzura. Dia pun dah lama tak pulang ke Kampung ni.
Bila dapat tau yang Fazzura dah jadi janda itu yang cepat-cepat dia balik
kampung. Mak Ngah tak cerita pun taka pa. Sebab awal-awal lagi emaknya dah
telefon beritahu.
“Tak
habis-habis. Baik kau simpan angan-angan kau tu Ammar. Kau ingat aku barang
mainan ke apa.”
“Aku rela tak
kahwin pun tak apa Ammar dari kena kahwin dengan kau.” sambungnya sekali lagi.
Kurang senang dia mendengar kata-kata dari Ammar itu. Lebih baik dia fikirkan
cara nak besarkan anak-anaknya dari soal kahwin.
Ammar mendengus kasar.“Jangan belagak dengan
akulah Zurra. Kau ingat sikit. Kau tu janda. Janda okey!”
“Habis apa
masalahnya dengan janda? Kau ingat janda tak laku?” bidas Fazzura geram. Kalau
tak menyakitkan hati dia tak boleh agaknya si Ammar ni. Dari dulu perangai tak
pernah nak berubah. Cakap ikut sedap mulut dia. Tak fikir hati orang lain dah.
Ammar ketawa kuat mendengar kata-katanya.
Sejak dari dulu lagi tak habis-habis nak sakitkan hati dia. Ammar ni memang tak pernah nak berputus asa.
Kalau dia cakap dia nak, dia nak lah. Degil lebih kurang sama dengan dia waktu
muda-muda dulu. Tapi now, dia dah banyak buang yang buruk tu. Degil tu zaman
remaja yang dah berlalu.
“Janda buat cara
jandalah Zurra. Kalau ada yang nak tu terima lah. Apalagi yang kau tak puas
hati kat aku ni Zurra. Kau tu janda anak dua tau. Kau kena sedar tu!”luah Ammar
lagi. Fazzura ketap bibir. Sakit benar hatinya mendengar kata-kata dari Ammar itu.
“Aku ni calon
yang paling sesuai untuk kau. Aku ni sepupu kau, tak kanlah aku nak
main-mainkan kau pulak.” ujarnya lagi. Tubuhnya digerakkan menghampiri Fazzura.
Fazzura
mendengus. Kehadiran Amar mengundang reaksi kurang senang di hatinya. Sejak
dari awal lagi dia tidak menyenangi kehadiran Ammar. Apatah lagi di tempat yang
terbuka seperti ini Ammar seolah-olah sengaja menujukkan kemesraan. Meraih
perhatan orang ramai untuk menjaja kisah mereka.
“Kau ni dah
kenapa Ammar. Aku sedar diri yang aku ni janda. So, apa masalah dengan kau. Untuk pengetahuan kau, itu bukan alasan
untuk aku terima sesiapa sahaja dengan mudah. Termasuklah kau. Kau jangan fikir
bila aku jadi janda hidup aku dah mati. Tak Ammar! Aku masih ada sisa semangat
untuk meneruskan kehidupan aku tanpa bergantung dengan sesiapa pun. Apatah lagi
bila lelaki yang macam kau, Mar. Lagilah…aku tahu cara hidup kau macam mana.
Kita tak sepadan Ammar.” kata Fazzura lagi.
“Baguslah kalau
kau sedar diri Zurra. Sebagai sepupu yang baik hati aku cuma nak ingatkan kau.
Lagipun apa salahnya aku jadi bapa
kepada anak-anak kau tu. Alah...mak Ngah tu bukan dari dulu lagi
berkenan dengan aku ni. Kau tak nak ke bagi orang tua tu happy sikit Zurra? Soal layak tak layak tak perlu kau nak cakap.
Sebab aku nak kahwin dengan kau. Kau terima habis cerita.” Dia kuit lembut pipi Fazzura sambil
tersenyum. Pantas Fazzura menepis. Ternyata cara Ammar itu benar-benar
menyakitkan hatinya.
“Kalau mak ngah
suka kan kau itu tak bermakna anaknya pun suka. Sedarpun yang kau tu sepupu
aku. Jadi kau tolong jaga sikit tingkah laku kau tu. Kita bukan budak-budak
lagi Ammar!” Fazzura terus bangun. Tak kuasa dia melayan Ammar yang macam ulat
bulu. Gatal! Gumam hatinya pula. Kalau dengan Ammar memang dia tak boleh nak
berlembut. Dah macam anjing dengan kucing waktu budak-budak dulu. Tapi, yang
peliknya emak suka sangat dekat Ammar ni. Sikit-sikit Ammar. Depan orang tua
biasalah, pijak semut pun tak mati. Habis kuat pun semut tu pengsan kejap. Huh!
Ammar pantas
menarik tangan Fazzura. Tarikan kuat itu menyebabkan Fazzura hampir-hampir
terjatuh di atas Ammar Haikal. Lelaki itu senyum gembira. Dia benar-benar
sukakan Fazzura. Kecantikkan Fazzura seringkali membuatkan nafsunya bergelora.
Bila mengetahui wanita ini sudah memegang gelaran janda makin seronoklah dia.
Fazzura terus
merentap tangannya dari pegangan Ammar. Bergetar tubuhnya menahan perasaan
marah. Ammar memang sengaja mencari penyakit yang akan menambahkan bala untuk
dirinya. Bukannya Ammar tak tahu, kampungnya ini macam mana. Berita lebih laju
dari TV3. Kampung nelayan ini terlalu
banyak memaparkan kisahnya yang tersendiri. Dia yakin ada mata-mata yang
memandangnya dengan Ammar. Ah! Dia terus bergerak laju meninggalkan Ammar di
situ. Sakit hatinya!
Ammar terus
bangun dan mengejarnya. “ Zurra, kau nak ke mana tu?” soal Ammar dingin.
“Kau nak
sibuk-sibuk hal aku kenapa Ammar. Dah lah Ammar aku nak balik!” tukas Fazzura
tanpa menoleh sedikitpun memandang Ammar.
“Zurra, tunggu!”
lagi sekali tangan Fazzura diraihnya. Dia masih belum puas untuk menatap seraut
wajah yang dipujanya itu sejak dulu. Semakin Fazzura marah semakin jelas
kejelitaannya terserlah. Dengan rambut Fazzura yang dibiarkan mengurai. Hatinya
sudah di ulit rasa setelah sekian lama tidak berjumpa. Rindu atau nafsu yang
sudah sama beraja di hatinya.
“Lepaslah! Kau
tak malu ke Ammar orang pandang nanti. Walaupun kau tu sepupu aku itu tak
bermakna kau boleh sentuh aku sesuka hati kau je!”
Ammar semakin
melampau. Jangan dia ingat aku dah jadi janda, dia boleh sentuh aku suka hati
dia.
“Aku sayangkan kau,
Zurra? Kenapa kau tak boleh nak beri peluang tu kepada aku..”
Fazzura gelak.
“Kau dah gila agaknya Ammar.” luahnya dan terus berlalu dari situ. Dia bukannya
kembali ke kampung ini untuk meraih simpati sesiapa sahaja termasuk Ammar
sendiri. Dia tidak ingin pisang berbuah dua kali. Nasib diri perlu di ubah dan
dia tidak akan bergantung dengan mana-mana lelaki. Apatah lagi lelaki seperti
Ammar. Ya! Dia langsung tidak percaya dengan sepupunya sendiri.
SEWAKTU dia
sampai di pintu rumah, Aqilah dan Fazmizie sudah terjaga dari tidur. Ruang tamu
sedikit bersepah dengan bantal dan botol susu mereka berdua.
“Anak-anak ibu
ni kenapa sepahkan bantal ni. Nanti nenek dengan dan tok wan marah nanti.” luah
Fazzura sambil tangannya mula mengemas kembali ruang tamu yang sedikit
berselerak itu.
“Hah! Kalau dah
tahu emak hang ni nak marah, lain kali jangan tinggalkan anak macam tu. Hang
pandai beranak tak tahu nak jaga? Keluar rumah tinggal anak macam tu. Hang
pergi mana?” bebel emak yang datang dari arah dapur.
“Saya keluar
kejap mak. Dah lama sangat tak tengok angin pantai di depan tu.” balas Fazzura
lembut.
“Tengok angin
pantai ke hang pergi menggatal?” kata-kata emak kedengaran sinis. Sampai begitu
sekali emak fikir akan dirinya. “Hang kalau rasa nak duduk di sini lama-lama.
Jangan cuba nak buat hal Zurra. Hang
ingat sikit, hang tu janda!”
“Apa masalahnya
mak kalau Zurra janda? Dah takdir Zurra macam ni mak.”
Kadang-kadang
dia terfikir, apa perlunya dia membalas setiap bicara-bicara emak. Semuanya
hanya mengundang api kemarahan yang telah sedia ada di dalam diri emak.
Ternyata kerana peristiwa lima tahun lalu hubungannya dengan emak akan menjadi
dingin. Kerana cintanya kepada Aqil hubungan dengan emak berantakkan. Mujur
abah sudah semakin sejuk hatinya. Kalau tidak sudah pasti dia angkat kaki dari
sini.
“Takdir yang
engkau sendiri nak. Dulu, aku dah larang keras hang dengan Aqil tu. Tapi, hang
degil. Hang nak sangat nikah dengan dia. Hang tu muda lagi tapi dah gatal nak
menikah. Aku suruh hang belajar. Macam Shahira dan Maria. Sekurang-kurangnya
dapat balas budi aku dengan abah hang yang dah susah payah membesarkan hang.
Tapi sebab kedegilan hang tu, hang susah pada hari ni. Hang bawa gelaran janda
dalam usia yang muda. Hang tak malu?”
Entah kenapa
soal malu yang selalu di persoalkan. Teruk sangatkah bawa gelaran janda? Jahat
sangat ke janda? Sedangkan itu hanya gelaran. Janda pun ada hati dan perasaan.
Bukan tunggul yang tidak punya perasaan.
“Saya mintak
maaf mak. Memang saya menyusahkan mak… menyusahkan abah… saya degil. Saya
sedar semua tu. Tapi mak, jodoh, ajal
maut itu semua di tangan Tuhan. Dah jodoh saya dengan Aqil tidak panjang. Saya
redha bawa gelaran ni. Tak ada apa yang perlu saya malukan mak.” balas Fazzura
semula. Dia cuba berlagak tenang
walaupun di dalam hati sudah berkocak. Saat ini dia pelukan sokongan. Bukan
pematah semangat yang hanya tinggal sisa-sisa dalam dirinya. Jika bukan dari
darah daging sendiri siapa lagi yang dia ada. Dia perlukan kasih syang dari
keluarga. Tapi sejak dulu lagi dia tak pernah rasa semua itu. Dia berkahwin
dengan Aqil kerana merasakan hanya kasih sayang lelaki itu yang mampu
membahagiakan dia. Tapi Aqil pun sama sahaja.
“Aku pun tak tau
pasai apa laki hang ceraikan hang.
Aku tau hidup hang dengan Aqil tu dah senang lenang di Kuala Lumpur sana. Dan
sekarang hang balik bawa gelaran janda?
Tak ada apa yang beza. Hidup hang dulu dengan sekarang hang nilailah sendiri.”
Emak terus berlalu dari ruang tamu itu.
Mungkin tidak lagi mahu memanjangkan persengketaan dengannya. Emak boleh cakap
apa sahaja. Dia terima dengan lapang dada kerana walau macam mana pun dia cuba
jelaskan emak tak akan pernah cuba untuk memahami hatinya. Kata-kata emak
memang terselit kebenarannya. Dia tidak salahkan emak kalau nak marah-marahkan
dia. Emak mana yang nak lihat anaknya menderita.Tapi sejak kecil apa sahaja
yang dia buat ada saja tak kena di mata mak.
“Ibu…bu... nenek marah ibu?”Aqilah menggoncang
lembut lengannya. Dia tersenyum mendengar persoalan dari anaknya itu. Sebab
itulah Riyadh pernah pesan kalau nak gaduh jangan depan anak- anak. Hmm…
“Aqilah ni…apa yang ibu cakap dengan nenek
semua nak dengar. Aqilah budak-budak lagi. Nenek tu bukan marah kat ibu. Nenek
sayang ibu. Sayang Aqilah dengan adik. Tok wan pun sama.” ujarnya pula. Rambut
Aqilah yang kusut itu diusap perlahan.
“Fazmizie jangan
main kat situ. Nanti jatuh barang-barang tu...” suaranya dikeraskan sedikit ke
arah Fazmizie yang menarik-tarik kain yang menutupi almari itu. Jatuh
barang-barang di atas tu nanti tak pasal-pasal pula telinganya ni kena
mendengar leteran emak lagi.
Pranggggg!!
Bunyi kaca
berderai.
Bingkai gambar
yang terletak di atas almari itu terjatuh. Pecah berderai bersama tangisan kuat
si kecil. Ya Allah sayang!
Dia bingkas
bangun mendapatkan Fazmizie yang sudah terduduk.
“Ya Allah… ibu
dah cakap jangan main, sayang degil macam ni.” Fazzura melihat serpihan kaca
yang mengenai kaki Fazmizie. Anaknya itu sudah teresak-esak menangis. Kelam
kabut di buatnta dia. Hatinya semakin cemas tatkala darah merah mula mengalir
laju.
“Anak ibu!”
“Ibu!kaki adik
berdarah bu!” jerit Aqilah kuat. Fazzura segera mencempung tubuh Fazmizie yang
kecil itu jauh dari kaca-kaca yang berderai.
“Syutt… sikit je
sayang. Ibu sapukan ubat. Syutt…diam sayang diam…”pujuk Fazzura lembut. Tangannya
sendiri sudah bergetar. Dia sudah rasa cuak bila melihat serpihan kaca yang
sedikit terkena kaki anaknya itu. Apatah lagi darah merah yang mengalir di
sebalik luka itu. Budak-budak sebesar itu sudah cukup sakit untuk merasainya. Dia
dapat merasakan kesakitan anaknya itu.
“Masya Allah apa
dah jadi ni Zurra?” tegur abah dari arah belakang.
“Adik luka tok
wan…kaki adik darah.” jawab Aqilah petah.
“Darah banyak tu
Zurra! Hang tunggu apa lagi. Bawa anak hang ke hospital. Hang ingat anak hang tu
luka biasa ka tuh? Kaca tu Zurra. Dah-dah hang ambil sapu tangan ni balut dulu
kaki dia.” Abah menghulurkan sehelai sapu tangan yang berada di dalam poket
bajunya.
“Err...tak pe lah
abah. Zurra cari kain lain balut luka dia ni.” Dia seboleh-bolehnya tidak mahu
menyusahkan abah. Sapu tangan tu kesayangan abah.
“Dalam keadaan macam ni hang ambillah sapu
tangan aku ni. Bukannya mahal pun!” kata abah lagi.
“Nah hang ambil
kunci kereta ni. Hang bawa dia pergi sekarang.” Kali ini abah menyuakan kunci
kereta yang berada di tangannya. Lambat-lambat Fazzura mengambil kunci yang di
hulurkan itu. Bukannya dia tak mahu, tetapi cara abah buatkan hatinya
tersentuh. Dengan kedegilannya dahulu, dengan kemarahan abah pada waktu-waktu
lepas abah tetap bertanggungjawab terhadap dia dan anak-anak. Padahal, seumur
hidup yang dia tahu abah belum pernah benarkan sesiapa sahaja menggunakan
kereta kesayangannya itu.
“Terima kasih
abah...” tuturnya pelahan.
“Dah pergi
sekarang. Aqilah duduk dengan tok wan.”
Fazzura melihat
Aqilah anggukkan kepalanya. Tidak membantah apa-apa. Hanya pandangan sayu
melihatnya membawa Fazmizie ke dalam kereta.Fazzura semakin tersentuh dan serba
salah. Kalau abah tak ada, siapalah lagi yang akan membantunya. Harapkan emak,
tentu tak mungkin. Kak Shira lagilah…jangan di harap.
DADANYA terasa
berdebar tiba-tiba. Di ruang matanya terbayang wajah Aqilah dan Fazmizie. Satu
kerja pun dia tak boleh buat kalau perasaan jadi tidak tenteram begini. Aduhai,
dia benar-benar rindukan mereka. Sejak mereka pergi dia rasa sunyi. Lantas
telefon bimbitnya di ambil. Jari jemari mula menekan nombor telefon Fazzura.
Dalam beberapa saat panggilan disambut.
“Assalammualaikum
Zurra?”
“Waalaikummusalam…”suara
Fazzura kedengaran serak di hujung talian. Kenapa pula dia ni? Setiap kali
telefon mesti dengar suara Fazzura macam tu. Menangis lagilah tu!
“Kenapa ni
Zurra? Serak je suara awak?Awak menangis?” Dia dapat rasakan wanita itu menangis.
“Zurra…tell me why?” soalnya sekali lagi
apabila dia langsung tidak mendengar sebarang jawapan di hujung talian. Hati
kian resah menanti sebuah jawapan.
Fazzura diam
menahan rasa. Dia tidak tahu bagaimana mahu memulakannya.
“Zurra…”panggil Riyadh
lembut.“Kenapa ni? Awak ada masalah ke? Mana budak-budak?” lagi sekali Riyadh
bertanya.
“Saya ada di
hospital. Fazmizie…”
“Kenapa dengan
dia? Zurra... awak bagitau saya kenapa dengan dia? Dia sakit lagi ke?” Dia
terus memotong percakapan Fazzura. Bertubi-tubi soalan yang keluar di bibirnya.
Penghawa dingin yang terpasang di dalam pejabatnya terasa bagaikan tidak
berfungsi. Apatah lagi bila suara serak Fazzura membuatkan dia terfikir akan
sesuatu.
“Riyadh, awak
jangan risau..dia tak ada apa-apa.” jawab Fazzura lemah. Dia tak mahu
membebankan Riyadh. Tetapi, setiap kali musibah hadir di dalam hidupnya lelaki
itu sentiasa ada. Walaupun tidak di sisi tetapi semangat lelaki itu bagaikan
mengalir dalam dirinya
“Zurra, boleh
tak awak cakap jujur dengan saya. Kenapa dengan Fazmizie? Mana dia? Mana
Aqilah? Kalau dia okey beri saya dengar suara dia.” kali ini nada suaranya
kedengaran tegas.
“Awak nak sembunyikan apa-apa dari saya? Saya
tau saya orang luar tapi salah ke saya nak ambil tahu pasal anak-anak awak. Pasal
awak!”
Fazzura tersentak
dengan kata-kata terakhir dari Riyadh itu. Apa maksud lelaki itu nak ambil tahu
pasal dia? Apa pentingnya dia.
“Err…Zurra, saya
mintak maaf…” ucap Riyadh setelah diam beberapa ketika. Dia tak sepatutnya
cakap macam tu. Mesti Fazzura dah fikir bukan-bukan. Tapi dia tidak mampu
menidakkan hal yang sebenarnya dia memang ingin ambil tahu tentang Fazzura dan
anak-anaknya. Salah ke? Tak ada salah pun rasanya. Ambil berat tak beerti dia
curang dengan Annis.
“Biasalah
budak-budak ni nakal sampai kena bawa ke hospital. Tapi dia okey…” Fazzura
kembali kepada topik asal. Cuba memujuk perasaannya sendiri. Okeykah anaknya?
Dia sendiri tidak pasti kerana Fazmizie masih diberikan rawatan di dalam bilik
kecemasan. Terlalu banyak darah yang mengalir dari luka anaknya tadi. Dia
sangka sikit sahaja tapi ternyata luka itu terlalu dalam.
“Okey? Kalau
okey kenapa suara awak serak? Zurra, bagitahu yang sejujurnya boleh tak?”
“Kaki dia kena
serpihan kaca. Sekarang saya di hospital Parit Buntar.”
“Ya Allah…kenapa
sampai macam tu Zurra?” Riyadh cuba kawal perasaannya. Kalau tak teruk tak
mungkin sampai di hospital. Fikirnya lagi.
“Zurra, awak
sabar ya. Awak jangan stress…jangan
menangis. Berdoa banyak-banyak. Saya nak gerak ke Perak sekarang. Jangan halang
saya. Assalammualaikum.” punat merah terus ditekan. Terus dia bangun dari
kerusi yang di dudukinya itu. Jam di tangan di kerling sekilas. Sudah hampir
pukul 7.00 malam.
Ah! Tunggu uncle sayang!
No comments:
Post a Comment