“BUAT apa you
datang sini?” soal Riyadh kasar saat tubuh Annis muncul di hadapannya. Dia
marah dengan tindakan Annis semalam. Baginya keterlaluan.
“Sebab
budak-budak entah dari mana asal usul tu you nak marah I?”
“Kenapa?You dah
rasa you bersih sangat. Budak-budak tu kalau kotor pun dia orang tak ada dosa
macam you. Dia orang bersih lagi dari you.” Sakit hati meluap-luap terus
dilepaskan. Sebab semalam dia tak nak gaduh depan budak-budak tu. Tak nak
tunjukkan teladan yang tak elok. Nanti Aqilah cerita kat Fazzura pula. Tak
pasal-pasal malu yang dia dapat.
“I pelik kenapa
you beria-ia sangat pertahankan budak-budak dua orang tu.”
“Habis you nak
suruh I pertahankan you?Tolonglah…I dah letih layan kerenah you yang
macam-macam ni.” Riyadh menyandarkan badannya di kerusi itu.
“Jadi you nak I
buat apa?You nak I peluk cium budak ko…”
“Lagi sekali I dengar
you cakap macam tu. I lempar you dalam sisa kumbahan tu.” balas Riyadh geram.
Tak habis-habis nak cakap budak-budak tu kotor. Hesy!
Annis ketawa.
Dia bangun menghampiri Riyadh. Lelaki ni kalau pujuk sikit cairlah. “You…I
mintak maaf okey. You nak I buat apa?”
“I nak kahwin
secepat mungkin. Kita bertunang tiga bulan. I rasa tiga bulan tu cukup untuk
kita urus semuanya.” luah Riyadh dalam nada yang tegas. Sekali lagi Annis
terlopong mendengar kata-katanya.
“Jangan buat
muka terkejut macam tu. I serius minggu depan I hantar family merisik. Ummi dah sibuk-sibuk tanya pasal kita berdua.I tak
nak biar hubungan ni lama-lama macam tu aje.” sambungnya lagi menjelaskan
keadaan yang sebenar.
Mencuka wajah
Annis mendengarnya. “Kenapa you…kenapa nak sangat tergesa-gesa macam ni. I baru
je balik dari Singapore. Penat I pun tak hilang lagi. Ummi tu bukannya suka
sangat dekat I.” luah Annis perlahan. Wajahnya yang ceria di awal menjejaki
kaki ke pejabat Riyadh mula bertukar warna. Jelas raut wajah tidak puas hati
dengan keputusan Riyadh. Dari semalam lagi tak henti-henti nak sakitkan hati
dia.
“Apa yang
tergesa-gesanya? I dah cakap pada you lama soal kita. You bagi alasan pada I
sebab you tak bersedia. Please, boleh
you bagitahu bila masa yang sesuai?” Riyadh menyoal dalam nada lembut.
“I nak buka
perniagaan sendiri. Nak ada butik pengantin. I ada cita-cita I sendiri. Kerjaya
I dalam bidang modelling pun baru je mula.” Lagi sekali Annis memberikan alasannya
yang tersendiri. Riyadh senyum menampakkan sebaris giginya yang tersusun
cantik.
“Tak habis-habis dengan alasan. Tadi you yang
tanya I apa yang you nak buat? Sekarang? Alasan!” sinis kata-kata Riyadh.
“You.. please. I tak bersedia..” pujuk Annis
pula. Kali ini nada suaranya dikendurkan. Tidak mahu seperti pertemuan-pertemuan
yang lalu. Kesudahannya mereka bermasam muka sampai dua tiga hari. Bukannya dia
tak sayangkan Riyadh. Sudah tujuh tahun
bersama. Riyadh tak seperti lelaki-lelaki lain. Yang hanya tahu mengambil
kesempatan ke atas wanita. Riyadh lelaki yang ada segala-galanya. Rupa, gaya
dan harta. Pendek kata lelaki ini mempunyai pakej lengkap yang wanita diluar
sana idam-idamkan. Adakalanya dia cuba juga untuk menguji Riyadh. Tapi sampai
dah tujuh tahun. Sedikitpun Riyadh tak teruji. Macam tak ada perasaan saja.
Riyadh bangun
duduk di sisi meja sambil matanya memandang Annis tepat. Wanita itu kelihatan
gelisah.
“Sejuk ke?” soal
Riyadh serius. Annis geleng kepala.
“Lain kali pakai
baju tutup sikit. Ini tak? Terdedah sana sini. Banyak kali kan I pesan pada you.
Kalau datang pejabat I pakai sopan-sopan sikit. Pekerja-perkerja I bukannya
buta. Dia orang semua ada mata.” Sindir Riyadh.
Annis mengeluh.
Dalam.
“I tak tahu
kenapa you sibuk-sibuk sangat nak ajak I kahwin. Sekarang pun you sibuk-sibuk
nak tegur pasal pakaian I pulak. Kenapa you dah nak jadi ustaz. Belum lagi jadi
suami I. Dulu you terima je I sekarang dah nak tegur-tegur macam tu.” Muncung
Annis sedepa.
“Janganlah merajuk macam ni. Nanti I akan
beritahu ummi dan walid. Maybe
diaorang akan telefon papa dan mama you dalam masa terdekat. Yang pasti minggu
depan dia orang akan pergi merisik.” Dia kembali mengambil tempat duduk di
kerusinya. Berhadapan dengan Annis yang masih lagi diam tidak bersuara.
Anehnya, selalu ada sahaja yang Annis hendak bangkangkan.
“I nak you
tolong I buka butik pengantin tu…please...”
tutur Annis kemudiannya.
“Boleh.” Jawab Riyadh
laju. “Apa yang I tak pernah tolong you sayang? tapi kali ni dengan satu
syarat.” sambung Riyadh lagi sambil
keningnya yang sedikit tebal itu di angkat berulang kali.
“Syarat?” Annis
memandang wajah Riyadh. Dia sudah dapat menggagak apa yang bermain di fikiran
lelaki itu.
Riyadh angguk.
“Ya, syarat. You setuju kahwin, I akan tolong you. Kita usahakan sama-sama. I
boleh tolong you buat semua sayang. Dari paper
work, modal, lokasi, or whatever.
Cuma I nak kita kahwin. Hidup dalam sebuah keluarga. Kita bercinta lama-lama
pun buang masa. Dengan kerjaya you yang macam tu, I risau.”
“Risau?” soal
Annis pelik.
“Ya, sayang…I
risau dengan cara you. Sejak you masuk bidang modelling ni. Berapa banyak masa
yang you ada dengan I?”
“You cemburu?”
Annis tarik senyum lebar. Terasa diri benar-benar di sayangi oleh lelaki ini.
Apa sahaja permintaannya pasti saja lelaki ini turutkan. Jika dia melepaskan
lelaki ini pasti satu kerugian besar untuk dirinya. Apatah lagi dengan
perniaagaan milik Riyadh yang kian berkembang maju.
“Cemburu tu satu
hal lah. I risau kalau you tu terjebak dengan perkara bukan-bukan. Kalau
setakat you nak pergi clubbing tu I
tak kisah. Tapi..
“You tak percayakan I ke sayang?”
“No! Bukan macam tu maksud I? I tak nak
you terleka, terlalu jauh kejar semua kerjaya you tu. I tak nak you tersasar
dari niat asal you. I izinkan you jadi model sebab I tak ada kuasa nak halang
you. Itu minat you tapi satu je I nak pesan. Jaga diri jangan sampai I dapat
tahu yang bukan-bukan. Sebab tu I risau. I ajak kahwin pun you bagi banyak
sangat alasan.”
“You pun tahu I
baru lagi dalam bidang modelling ni. Kalau I kahwin kerjaya I tak akan
kemana..”
“Oh! Sebab tu
lah diet sampai jatuh sakit? Nak kurus sangat semata-mata nak dapat job. I tak suka cara you macam tu.”
“Nanti kalau I
gemuk banyak lagi omelan you.” balas Annis sambil melepaskan keluhan berat.
Semakin hari semakin pening pula dia dengan kerenah Riyadh. Nasihat itu ini.
Sampai kadang-kadang dia naik rimas dengan lelaki ini.
“I terima you
seadanya!” luah Riyadh geram. Kenapa Annis tak pernah faham yang dia tak
pandang semua tu. Dia bukan lelaki jenis tu.
“Manalah I tahu,
sekarang you boleh cakap macam tu? Esok lusa lain pula.” tutur Annis menidakkan
kata-kata Riyadh.
“Terpulanglah
pada you. Yang pasti minggu depan family
I tetap akan pergi merisik you.” Riyadh kembali kepada perbincangan asal
mereka. Annis sudah mula tidak sedap rasa. Sekali lagi keluhan berat dilepaskannya.
Ah! Riyadh benar-benar memaksanya.
Ketukan di muka
pintu bilik Riyadh menghentikan bualan di antara mereka. Terpacul wajah
setiausahanya di muka pintu.
“Encik Riyadh,
ada rakan Encik nak jumpa.” tutur Shuhada setiausahanya. Riyadh angguk. Shuhada
segera memberi laluan kepada tetamu itu.
“Opss sorry ganggu” ujar lelaki itu.
“Hey!come!”panggil Riyadh sambil menujukkan
isyarat tangannya kepada lelaki itu agar duduk di kerusi di hadapannya bersebelahan
dengan Annis.
“Rasanya korang
dah kenal kan? Tak payah aku nak kenalkan lagi.”ujar Riyadh ramah. Seingatnya sejak kali terakhir mereka bersua
beberapa minggu yang lalu
“Hai…” sapa Remy
kepada Annis.
“Hai...” jawab
Annis sambil tersenyum memandang Remy. Siapa tak kenal Remy. Salah seorang
jurulatih di Denai Alam Recreational And Riding Club. Dulu, dia adalah dua tiga
kali pergi belajar kelas menunggang kuda di sana. Dengan kesibukkannya sekarang
semuanya sudah tidak sempat lagi dilakukan. Makin kacak pula Remy sekarang ni.
Bisik hati Annis perlahan.
“Kau apehal
ni tiba-tiba datang office aku? Nak
bagi job ke apa?” soal Riyadh sambil
tersengeh.
“Kebetulan aku
lalu di hadapan pejabat kau ni. Tanya pekerja kau, dia orang cakap ada dalam
bilik. Teruslah aku tuju ke sini.Eh! Sekarang dah ada setiausaha ke? Dulu aku
masuk aci redah je pejabat kau ni.”
“Iyelah, job makin bertambah ni aku kena ambil
jugalah pembantu. Tolong aku apa yang patut. Aku kadang-kadang sibuk. Mana
sempat.” balas Riyadh pula. Annis diam tidak tahu mahu mencelah di mana.
Matanya bersilih ganti memandang Riyadh dan Remy yang leka berborak.
“Hey, korang
berdua ni bila nak makan nasik minyak ni? Dah lama korang bercinta kan?” soal
Remy. Anak matanya sesekali jatuh ke tubuh Annis yang putih gebu. Annis
melemparkan senyum.
“InshaAllah. Tak
lama lagi.” Balas Riyadh sambil anak matanya mengekor pandangan Remy yang
terarah kepada Annis.Ah! Remy, siapa tak kenal dia. Kahwin sampai dua kali.
Bercerai kedua-duanya. Pernah ada skandal dengan isteri orang. Apa yang dia
cari pun tak tahulah.
“Eh? you pulak
apa cerita?” semenjak dari tadi baru kini kedengaran suara Annis.
“Belum jumpa
yang berkenan. Kalau ye pun orang punya.” Remy ketawa kuat. Riyadh hanya geleng
kepala. ‘Dalam maksud kau Remykan.’ Bisik hatinya sendiri.
“Lain macam je
cakap kau ni Remy. Jangan kau nak buat hal lagi. Tahu kat bapak kau. Siaplah
kau lagi lepas ni.” Sebetulnya amaran itu lebih datang dari dirinya sendiri.
Bukan boleh percaya sangat ni. Buat digodanya si Annis. Makan hati berulam
jantung. Yang si Annis pun satu. Bukan main lagi ketawa manja dengar Remy cakap
begitu. Mulalah nak gedik! Hesy! Itu depan mata. Belakang? Aduhai…
“Bila you nak
sambung belajar menunggang ni, Annis? Kau pun sama Riyadh. Aku ajak kau join dari dulu lagi. Sibuk sangat ke
kau ni?”
“Alah, I memang
tak sempat. Nanti kalau I free I
pergilah.” jawab Annis.
“Rugi belajar
separuh macam tu.” Remy cuba memujuk.
“Ermm... free sangatlah dia ni Remy. Dengan aku
pun tak ada masa.” Perli Riyadh sambil mencebik bibirnya ke arah Annis.
“Ye lah, Encik Riyadh.
You tu pun apa kurangnya.” Giliran Annis pula memaku dirinya. Remy ketawa
memandang kedua-duanya. Rasa cemburu melihat kebahagiaan pasangan itu.
“Macam mana
projek kau di Denai Alam tu?” soal Remy sekali lagi.
“Banyak jugalah
yang aku terima untuk buat ubahsuai. Dia orang sekarang nak perabot-perabot
yang nampak ringkas tapi bergaya. Sesuai dengan perumahan kelas atasan macam
tu. Banyaklah sikit tugas aku ni.” jawab Riyadh ringkas. Hampir 5 tahun dia
menapak di dalam bidang ini. Perniagaan Seni Hias yang di tubuhkannya semakin
berkembang maju. Bukan hanya menawarkan kepakaran yang lengkap dalam bidang
pembinaan dan pengubahsuaian bahkan untuk rekaan perabot kediaman juga. Semakin
banyak projek perumahan yang naik, semakin banyak jugalah rezeki yang dia ada.
“Jauh benar
bidang kau dengan aku. Aku hal yang berkaitan kuda-kuda ni aku tahulah.”
“Ya lah, tapi
aku tak masuk banyak macam kau tu. Bulan-bulan tebal je poket kau.” Remy ketawa
lagi mendegar kata-kata Riyadh.
“Lepas tu tak payah pening-pening nak fikir
pasal perabot tu, perabot ni.” Sampuk Annis.
“Cik Annis perli
kita ke?” soal Riyadh sambil buat muka
selamba. Annis geleng kepala.
“Apa kurangnya kau, Yadh. Sesuailah korang
berdua.”
“You tu memilih
sangat agaknya.” soal Annis pula. Sudah semakin selesa dengan keadaan.
“Eh! Mana ada
Annis.” Tak mungkin lelaki seperti Remy
mampu hidup tanpa wanita. Remy bukan calang-calang lelaki. Kalau Remy biasa
sudah pasti tak ada perempuan yang tergoda.
“Aku blah
dululah bro. Aku ada hal ni. Nanti
jangan lupa sambung kelas menunggang tu cik Annis.” Remy bangun dari duduknya.
Mengerling sekilas kepada Annis. Riyard sekadar memerhati.
“Tengoklah I tak
janji bila free.” jawab Annis.
“Aku balik dulu Riyadh.”
ujar Remy lagi sebelum menuju ke muka pintu. Kemudian langkah kaki lelaki itu
terhenti dan berpaling semula kea rah Riyard.
“Bro! Anak jiran kau tu bila lagi nak
bawak jalan-jalan?” Remy ketawa.
Annis tajam
pandang wajah Riyadh. Riyadh sengeh. ‘Tak guna kau Remy.’ Bentak hatinya pula.
Buat-buat tak peduli jelingan Annis.
“Maknanya dah
banyak kalilah you bawak anak jiran you tu keluar.?” Soal Annis sebaik sahaja
Remy berlalu.
“Ermm… jangan
nak rapat sangat dengan Remy tu.” ujar Riyadh
kepada Annis. Berusaha menukar topik tentang ‘anak jiran’ tu.
“Dengan kawan
sendiri pun you nak cemburu.?”
“Kawan tapi tak
rapat. You kena ingat tu.” pesan Riyadh. Sejak Remy masuk dia tidak sedap rasa.
Cara Remy pandang Annis tadi pun dia seperti dapat meneka apa yang ada dalam
fikiran lelaki itu. Ayat manis Remy kalau perempuan tak cair. Tipulah. Lelaki
seperti Remy bukan lelaki seperti dia. Perbezaan itu jelas ketara. Bezanya dia
bercinta dengan niat nak buat isteri. Bukan sekadar nak main-mainkan sebuah
hati.
BARU sahaja
Fazzura selesai memasak dia kejutkan dengan suara seseorang memberi salam di
luar. Sudah dapat di pastikan siapa empunya suara. Fazzura pantas bergerak
menuju ke muka pintu. Salam disambut.
“Ganggu ke? Mana
budak-budak?” soal Riyadh terus sebaik sahaja Fazzura membuka pintu.
“Ada tu tengok TV.” Fazzura hanya memerhatikan tingkah Riyadh yang
laju menuju ke arah anak-anaknya. Apalagi riuh rendah suara Aqilah menjerit
keriangan tatkala memandang Riyadh. Fazmizie ikut serta seperti Aqilah yang
sedang melompat-lompat sambil memeluk tubuh Riyadh dari belakang.
“Bucuknya…dah
mandi ke belum ni?” kedengaran suara Riyadh menyoal kedua-duanya.
“Nak uncle mandikan. Uncle mandikan kakak dengan adik.” jawab Aqilah. Fazzura geleng
kepala.
“Aqilah, kenapa
nak susahkan uncle pulak. Ibu kan dah
ajar mandi sendiri. Jangan nak susahkan uncle.”
Fazzura seboleh-bolehnya tidak mahu anak-anaknya itu terlalu manja dengan Riyadh.
Riyadh orang luar yang mereka tidak
kenali. Anak-anaknya harus biasakan diri hidup tanpa seorang ayah walaupun mereka masih kecil.
“Tak susahkan
Zurra. Saya boleh buat.”
“Tak apalah
awak. Dia orang tu dah boleh mandi sendiri.” Fazzura cuba berkeras. Dia tak nak
lelaki ni terus memanjakan anaknya.
“Tak selalu pun
Zurra. Apa salahnya awak bagi saya job
untuk mandikan diaorang berdua. Bukannya menyusahkan sangat pun.” Riyadh senyum.
“Saya tak mampu
nak bayar awak gaji.”
“Tak mintak
bayaran pun. Ini ikhlas okey.”
Fazzura melihat Riyadh
memimpin tangan kedua-dua anaknya menuju ke bilik air. Fazzura geleng kepala.
Cara Riyadh bukankah semakin mengundang masalah buat mereka. Dia berusaha untuk
membiasakan anak-anaknya hidup tanpa ayah. Sekarang, Riyadh pula cuba mengambil
pendekatan sebagai ayah. Terasa semakin berat nafas yang hendak dihela. Dia
sebolehnya tak mahu menyusahkan sesiapa.
Hampir 15 minit
mereka bertiga di dalam bilik air. Sebaik sahaja keluar dari bilik air baju Riyadh
dah basah lencun.
“Awak sekali
mandi dengan dia orang?” soal Fazzura sambil mengambil Fazmizie yang berada di
dalam dukungan Riyadh. Riyadh hanya senyum tanpa membalas kata-katanya.
“Aqilah pergi pakai
baju sendiri. Ibu dah letak atas katil tu. Pakai sendiri ye…ibu dah ajar.
Jangan nak susahkan uncle. Kakak kan
dah besar.” pesan Fazzura.
“Pandai ke
Aqilah pakai? Uncle tolongkan lah...”
potong Riyadh pula. Aqilah angguk gembira. Dia berlari menuju ke dalam bilik
mengambil pakaian miliknya.
“Mengadalah
kakak tu kan. Ibu dah ajarkan. Nak jugak susahkan uncle.” tutur Fazzura
perlahan.
“Awak tak perlu
susah-susah macam ni. Awak dah banyak tolong kami. Saya ingat lepas selesai
semuanya, saya akan pulang ke kampung.”
“Ermm… saya tak
setuju.” Riyard terus berlalu menuju ke arah Fazmizie. Fazzura nak balik kampung.
Dia dah mula susah hati. Kenapa dengan dia. Lantaklah kalau Fazzura nak balik
kampung pun. Hesy! Riyard. Kenapa ni? Kenapa?
Lama dia tenung
baju Fazmizie. Terasa berat! Berat nak lepaskan mereka jauh dari pandangan
matanya.
“Baju awak basah tu... pergilah tukar. Saya
pakaikan baju adik.” Fazzura menegur
Riyard. Riyadh kerling sekilas kepada bajunya yang basah.
“Saya masuk
bilik sekejap. Kat situ ada baju saya.” sahut Riyadh sebelum berlalu dari ruang
tamu itu.
Bagi Fazzura ini
rumah Riyadh. Apa yang lelaki itu nak buat adalah hak dia. Asalkan jangan
apa-apakan dia dan anak-anak sudahlah. Mungkin caranya fikir tak sama macam
Riyard fikir. Riyard mungkin menghormatinya sebagai tetamu di dalam rumah ni.
Sebab tu apa sahaja mesti Riyard beritahu dan mintak izin darinya.
“Bila kes nak di bicarakan?” soal Riyadh
semula. Dia kembali dengan baju t’shirt dan seluar track.
“Ermm...mungkin dalam dua minggu lagi. Tunggu
mahkamah panggil. Cuma nak buat pengesahan lafaz cerai. Lagipun...” Fazzura
mengumpul kekuatan untuk menghabiskan ayatnya.
“Awakkan saksi penceraian kami.” tuturnya
tenang tapi di dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu. Dia malu!
Riyadh angguk.
Tenang mendengar kata-kata dari wanita itu. Saksi pun saksilah. “Saya tak ada
masalah.”
“Saya akan balik
kampung. Tempat saya bukan kat sini.” Fazzura ulang lagi permintaannya di awal
tadi. Permintaan? Sebenarnya itu lebih kepada jawapan yang sudah dia buat.
“Kampung?” Riyadh
terfikir sejenak sebelum menyambung butir bicaranya. “Bukan awak cakap...”
“Memang saya ada
masalah dengan keluarga. Semuanya sebab cerita lima tahun lalu. Tapi, bukan
bermakna keluarga buang saya. Saya yang bersalah sebab degil. Tergedik-gedik
sangat nak nikah awal. Bila orang tua larang…nak jugak. Macam ni lah yang saya
dapat.” Fazzura bercerita tanpa berselindung. Kalau bukan dari dia sendiri yang
akan pulihkan keadaan siapa lagi.
“Abah mungkin dah sejuk hatinya. Dia banyak ambil
hati mereka tapi akhirnya macam ni pula
yang dia buat. Terasa sia-sia pujukannya selama ini.” Bercakap tentang Aqil
membuat hatinya kian rawan.
“Hidup ni satu
perjalanan panjang. Mungkin apa yang terjadi tu akan mematangkan awak. Tak
semua yang kita cinta itu menjaminkan kebahagiaan. Mungkin ada kekurangan dari
kita sendiri.”
“Tapi…saya
kecewa, saya malu…”
“Malu? Kenapa
nak malu?Tak semua manusia Tuhan uji macam ni Zurra. Awak muda lagi. Dah ada
sepasang anak yang comel macam ni. Comel macam
ibu dia jugak.” Dia cuba bergurau. Kalau serius 24 jam pun tak seronok.
Tapi Fazzura tak senyum langsung. Mahal senyuman dia.
“Kalau awak nak
balik kampung pun, awak nak kerja apa. Cari sajalah kerja kat sini. Banyak
kerja kat sini.”
Fazzura terdiam
buat seketika. Tercari-cari ayat yang sesuai untuk menjawab kata-kata Riyadh.
“Awak duduk di sini. Dia orang berdua ni nanti saya
carikan pengasuh. Awak cari kerja. Di Kuala Lumpur ni banyak kerja. Lagipun,
saya tak nampak faedah apa pun kalau awak pulang ke kampung. Menyusahkan ibu
bapa awak lagi adalah.” Fazzura sedikit tersentak dengan sebaris kata terakhir
dari Riyadh.
“Maksud saya
kesian pula pada ibu bapa awak tu. Dia orang pun tentu bukan muda lagi. Siapa
nak tanggung awak di kampung nanti. Kalau awak kerja siapa pula nak tolong jaga
budak-budak dua orang ni. Awak duduk je di sini.”
Ada kebenaran
pada kata-kata Riyadh. Tapi sekurang-kurangnya dia tak menyusahkan Riyadh
dengan menumpang tinggal di sini. Jika di kampung dia boleh duduk di rumah ibu
dan bapanya tanpa membayar sewa apa-apa. Dia boleh cari kerja.
“Permulaannya
memang perit. Tapi, itu pengorbanan untuk hidup yang lebih sempurna. Jangan
awak fikir awak menyusahkan saya. Awak tinggal di sini. Kalau ada duit awak
bayarlah. Saya tak mintak apa-apa. Saya hanya tolong apa yang patut.”
“Tapi, saya
menyusahkan.”
“Menyusahkan
apanya Zurra. Ada hikmah saya jumpa awak anak beranak.” Riyadh tersenyum
memandangnya. “Saya nak kahwin tak lama lagi. Sejak pandang anak-anak awak,
perasaan ingin bekeluarga terasa membuak-buak.” terang Riyadh sambil tersenyum
membayangkan mahligai yang bakal di dirikan bersama Annis.
Serta merta
jugak ingatan Fazzura membayangkan perempuan semalam. Cantik.Tetapi entah
kenapa perempuan itu menepis tangan anaknya.
“Perempuan
semalam tu kekasih awak?”
“Mana awak tahu
ni? Awak nampak?”
Fazzura
angguk.“Saya nampak dari atas cara dia
tepis tangan anak saya. Kenapa?Anak saya tu menyusahkan dia ke?”
Riyadh bungkam.
“Taklah…dia bergurau.” balas Riyadh. Kesal sebab Fazzura nampak tindakan Annis.
“Zurra, saya tak
kan halau awak. Kalau saya berkahwin pun saya masih sayangkan diaorang. Teramat
sangat saya sayangkan Aqilah dan Fazmizie. Sebab itu saya tak kisah habiskan
waktu yang saya ada untuk mereka berdua.” Riyadh membuang pandang kepada Aqilah
dan Fazmizie yang sedang menyusu botol itu.
“Saya dah anggap
di orang ni macam anak sendiri. Walaupun kita baru je kenal kan. Rasa bahagia
layan telatah dia orang. Sikitpun tak menyusahkan.”
“Terima kasih
sebab kasihkan anak-anak saya. Saya pun tak pasti apa nasib saya…”Fazzura
terhenti dari menyambung bicara. Lidah seakan berbelit untuk meneruskan
kata-kata. Riyadh mungkin boleh terima tapi bagaimana pula dengan bakal isteri
Riyadh.
“Zurra, tak ada
masalah yang tak boleh di selesaikan. Manusia di kurniakan akal dan kelebihan
untuk menyelesaikan masalah. Awak ada semangat. Anak-anak awak adalah semangat
awak. Jangan di sebabkan penceraian ini awak berputus asa. Awak mengenang nasib
diri sampai membiarkan anak-anak merindukan belaian seorang ibu. Maaf Zurra,
saya tak berhak nak masuk campur soal awak. Cuma saya teringat saat-saat awak
menangis tempoh hari. Saya sakit tengok anak-anak awak pun menangis sama.
Kesian, sebab budak-budak tu tak tahu
apa.Tapi..”
Sudah lama dia
ingin melepaskan apa yang terpendam. Bukan niatnya untuk mengajar Fazzura. Dia
hanya nak wanita itu tabah. Kuat menempuh dugaan hidup yang mencabar ini. Itu
sahaja.
“Yalah, saya tak salahkan awak. Kalau saya duduk
tempat awak pun mungkin saya lagi teruk. Entah-entah meraung sampai tujuh purnama.”
Dia sengeh. Tapi Fazzura biasa aje. Macam kayu minah ni. Aku buat lawak pun dia
macam tak ada perasaan. Bebel hatinya pula.
“Saya mintak
maaf kalau buat awak tersinggung. Bukan niat saya. Saya cuma nak awak
kuat. Kesiankan anak-anak awak. Itu aje...”
sambungnya lagi. Biarlah Fazzura nak kata dia banyak cakap pun. Dia peduli apa.
Lebih baik jujur cakap apa yang kita nak cakap.
Kata-kata Riyadh
mengundang rasa sebak. Kelopak mata terasa panas. Riyadh yang memandang mula
rasa cemas.
“Eh! Eh! Zurra…Zurra…saya
salah cakap ke? Alamak! Janganlah menangis. Please
jangan.” Riyadh gelabah. Dia memang tak boleh tengok perempuan menangis.
Rasa macam nak luruh jiwa dan raga. Kasar sangat ke kata-kata dia tadi. Tak kanlah
sampai ‘makan dalam’ kut!
“Err...Zurra, Zurra
dah masuk maghrib ni. Dah tidur ke dia orang berdua tu?”soalnya pula sambil
mengerling ke arah Aqilah dan Fazmizie. Dia cuba mengalih topik perbualan. Yang
dia pun satu. Tahu nak cakap aje. Tak fikir langsung perasaan Fazzura. Lepas tu
baru nak gelabah. Lemah betul dia bila perempuan menangis macam ni.
“Saya mintak
maaf…” nadanya bergetar. Air mata tidak mampu ditahan lagi. Tangisan Fazzura
akhirnya luruh juga di senja nan merah itu. Bukan kerana kata-kata Riyadh. Tapi
kerana dia tidak mampu mengawal dirinya pada waktu itu. Dia benar-benar kalah
pada keadaan. Hanya dia yang merasa sakit. Riyadh tak mungkin dapat memahami
betapa peritnya tatkala lelaki yang paling di cintai bersama wanita lain. Di atas satu katil dan
di bawah satu selimut. Kerana itulah akalnya sudah tidak mampu untuk berfikir
apa-apa lagi waktu itu. Bukan niatnya untuk mengabaikan anak-anaknya. Malah
untuk meminggir dan menghalau Riyadh pergi jugak langsung tidak pernah
terlintas di hatinya.
“Zurra…” pujuk Riyadh
perlahan. Jari jemarinya mula menggaru kepala yang tidak gatal. Apatah lagi
tatkala melihat tangisan itu merembes laju di pipi Fazzura. Dia tidak yang
harus dilakukan. Hatinya cemas tiba-tiba. Apakah dia sudah terlanjur bicara
tanpa memahami emosi Fazzura yang masih belum stabil.
“Zurra, saya
mintak maaf. Kalau saya salah cakap.”
Fazzura terus
larut dalam emosi. Tubuhnya sedikit bergetar.
“Zurra…” lembut
nadanya dalam usaha ingin memujuk. Hesy! Dia tak pandai memujuk pun. Dan dia
gagal kalau tiba bab-bab memujuk ni. Pipi Fazzura dah basah dengan air mata.
Nak sentuh! Nak tolong sapukan air mata tu. Tapi tak boleh!
Tak boleh Riyadh!
“Err..Aqilah, Fazmizie...tolong uncle!” akhirnya itu yang terkeluar dari
mulut Riyadh.
“SEBELUM makan kena baca doa makan dulu. Tahu
tak baca doa makan macam mana?” soal Riyadh kepada kedua-duanya. Sesekali
matanya menjeling ke arah Fazzura yang duduk di sofa hitam itu. Sudah terang
lagi bersuluh. Dia memang gagal bab-bab memujuk tu. Fazzura tak termakan pun
pujukan dia. Sudahnya dia masuk ke dapur dan hidangkan makanan yang sudah siap
di masak Fazzura. Sebak juga dada dia bila tengok lauk pauk yang ada. Dia
terlupa nak beli stok makanan. Yang ada telor dan sardin. Tapi Fazzura tetap
masak. Dan sebenarnya dia tak kisah untuk makan lauk pauk ni. Yang dia kesal
dirinya sendiri. Tak rasa cukup baik dia jaga budak-budak ni sampai stok bahan
mentah pun terlupa nak beli.
“Uncle, Aqilah
nak suap sendiri.” Dia kembali memandang wajah comel itu.
“Okey sayang, uncle suapkan adik tau. Meh sini, duduk
atas riba uncle.” Riyadh angkat tubuh
itu di ribaannya.
“Kita baca doa
makan.” Dia angkat tapak tangan si kecil itu dan letak di atas tapak tangannya.
Aqilah menurut.
“Bismillahirrahmanirrahim…Allahumma
baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar. Ya Allah, berkatilah
rezeki yang Engkau rizqikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa api
neraka. Amin.”
“Ibu tak nak
makan ke uncle?”
Baru sahaja
nasik disuap ke dalam mulut Fazmizie soalan itu pula yang keluar dari mulut
Aqilah. Riyadh kerling Fazzura sebelum memandang Aqilah semula.
“Kakak makanlah
dulu. Nanti uncle pujuk ibu makan.
Ibu kenyang lagi tu.” Riyadh beri jawapan selamat. Biarlah Fazzura bertenang
dulu. Dia terus menyuapkan makanan ke dalam mulut anak kecil itu. Sekarang ni
macam dialah pulak yang jadi ibu kepada budak-budak ni. Okey, dia tak kisah
pun. Dia ikhlas.
Lepas makan dia
terus bawa Aqilah dan Fazmizie ke dalam
bilik. Dia lihat Fazzura masih seperti tadi.
“Sebelum tidur
pun kena baca doa. Baca cepat uncle
nak dengar?”
“Bismillah…” ujar
Aqilah.
“Baca bagi habis
sayang.”
“Bismillahirrahmanirrahim…”
ujar Aqilah.
“Doa panjang
sayang?”
“Bismika
Allaahumma ahyaa wa amuut.”
“Adik tak ikut
pun? Uncle nak dengar…” si kecil itu
dah mula mengeliat ke kiri dan kanan. Memandang Fazmizie dia teringat akan
pertemuan mereka dulu. Ah! Tenang dan bahagia dia rasa bila lakukan semua ini.
Tak kekok sebab dia dah terbiasa dengan budak-budak.
Pampers
dipakaikan kepada kedua-duanya. Aqilah pakai waktu malam aje. Tapi kalau
Fazmizie siang dengan malam harus. Yalah, dia kan kecil lagi. KemudiAn,
perlahan-lahan tapak tangannya menepuk Fazmizie. Tak macam Aqilah yang sudah
mula kuyu matanya. Sebaik sahaja kedua-duanya tidur dia bangun dan bergerak
menuju ke arah Fazzura. Mujurlah mereka berdua tak banyak meragam. Tak banyak
persoal walaupun ibu dia orang duduk bersedih macam tu. Kalau Aqilah soal pun
dia patahkan dengan perkara lain. Hmm…
“Zurra, saya
mintak maaflah kalau disebabkan kata-kata saya tadi tu menyinggung hati awak.
Tak ada niat pun nak buat awak sampai nangis-nangis macam ni. Dah la, saya nak
balik. Awak pergi makan. Nanti perut tu masuk angin pulak.”
Fazzura pandang
Riyadh. Lelaki ni tak perlu pun nak beri dia arahan macam budak kecil.
“Saya tak
lapar.”
“Ermm… bila awak
makan?”
Dia mendengus
kasar dengan soalan itu. Sudahlah Riyadh. Kau tak tahu apa-apa pun. Bukan niat
dia nak abaikan anak-anak. Jauh sekali nak halau lelaki ni tempoh hari. Macam mana
dia nak terangkan semuanya agar lelaki ini faham.
“Pergilah
makan…”
“Tak nak!”
“Degilnya… nanti
lapar sakit perut tu. Kesiankan anak-anak tu.”
“Ermm…”
“Awak ni merajuk
kat saya ke? Nak saya pujuk? Saya tak pandai pujuk.”
“Err…” Fazzura
kerut muka seribu dengar kata-kata lelaki itu. Apa kaitan pulak? Riyard ketawa
dan terus bergerak menuju ke muka pintu.
“Saya balik
dulu.”
Hanya sepatah
itu.
No comments:
Post a Comment