FAZZURA berdiri
di sisi balkoni yang menampakkan pemandangan malam yang indah di sinari
lampu-lampu jalan dan banggunan. Sejak dia menidurkan Aqilah dan Fazmizie tadi
di sinilah tempatnya. Sejak seminggu yang lalu tidur malamnya sudah tiada.
Tidak pernah terfikir takdir hidupnya akan membawanya ke sini. Siang tadi dia
nampak dari atas kondominium. Dia nampak perempuan tu menepis jari jemari
Aqilah. Ya Allah… siapa agaknya wanita tu. Mungkin teman wanita Riyadh. Rasanya
tempat ini tak sesuai untuknya. Dia harus pergi.
Fikirannya
melayang jauh teringatkan abah dan emak di kampung. Jika di beritahu tentu
susah hati kedua-dua orang tuanya itu. Sejak dia melangkah ke Kuala Lumpur abah
sudah boleh menerima sedikit demi sedikit Aqil. Tambahan pula sifat Aqil yang
sentiasa menjaga kebajikannya membuatkan perubahan sikap orang tuanya itu jelas
ketara. Cuma emak, Kak Shahira dan Maria yang masih susah untuk terima Aqil.
Bagi kakak sulungnya itu dia lebih layak dapat lelaki yang lebih bagus dari
Aqil. Sebenarnya dia tahu Kak Shahira ada sejarah silamnya tersendiri. Pernah
di kecewakan oleh lelaki sewaktu kakaknya itu sedang menuntut di tingkatan Enam.
Oleh sebab itulah datang yang baik macam mana pun dia tetap payah nak terima.
Sudahnya membujang sampai ketua.
Maria pula jenis
hidup tak berdunia dengan orang. Tapi,
dialah yang paling abah dan emak sayang. Anak emas dalam keluarga. Apa yang
emak dan abah cakap dia ikutkan sahaja. Abah dan emak calonkan menantu yang dia
langsung tak kenal pun dia tetap terima. Dapat suami kaya. Lain benar dengan
dia. Anak bongsu tapi dialah yang paling degil. Baru umur 21 tahun sudah
terhegeh-hegeh nak kahwin. Sanggup tak teruskan perlajaran sebab dah cinta
sangat. Akhirnya ini balasan yang dia dapat. Sejak hari tu hubungan yang dingin
makin dingin.
Hendak sahaja
saat ini dia khabarkan kepada mereka semua tentang keadaan dirinya. Tapi dia
bimbang dengan penerimaan mereka. Dia bimbang dengan kemarahan Kak Shahira dan
Emak. Dia sakit dengan senyuman sinis Maria. Apa yang paling dia bimbangkan
kesihatan abah yang tidak menentu. Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan menghadapi
dugaanMu ini.
“Dah hang nak
sangat menikah dengan lelaki tu abah tak boleh halang. Walaupun abah nak hang
belajar sampai habis. Tapi hang tak nak. Hang degil. Hidup baru setahun jagung.
Hang dah nak menikah. Baiklah abah akan nikahkan hang.”
Aku menarik
senyum lebar mendengar keputusan abah. Maknanya abah dah bersetuju untuk
nikahkan aku dengan Aqil. Jadi emak, Kak Shahira dan Maria tak boleh nak kata
apa-apa. Keputusan di tangan abah.
“Abang, awak nak
anak kita tu derita di kemudian hari?” soal emak tak puas hati. “Kalau nak
nikah sekalipun tunggulah habis belajar dulu. Hang tu muda lagi.” Tempelak emak
pula. Maria dah mula buat muka sinis. Kak Shahira pandang wajahnya seolah-olah
hendak telan dia hidup-hidup.
“Biarlah dia
Fauziah. Dah dia nak sangat macam tu. Kita halang pun nanti jadi benda
bukan-bukan lagi malu kita. Kita nikahkan saja mereka berdua.” Abah menjawab tenang.
Dalam hatinya mungkin tidak begitu. Dia
juga berat melepaskan anak bongsunya berkahwin di dalam usia yang masih muda.
“Abah, Zurra tu muda lagi. Lelaki pilihan dia tu pun
kerja kilang abah. Sanggup ke abah nak
lepaskan dia macam tu saja.” Kak Shahira masih tak berpuas hati dengan jawapan
yang abah beri.
“Keputusan abah
muktamad!” jawab abah dan terus berlalu dari situ. Semua mata kini tertumpu
kepadanya.
“Engkau ni
memang degil!” emak tunding jari ke wajahnya. Jelas emak amat marah dengan
tindakannya untuk berkahwin.
“Nanti kau
rasakan langit tu tinggi atau rendah.” Kak Shahira pula melepaskan amarahnya.
Manakala Maria hanya diam. Tapi cukup jelas dia juga marah dengan tindakan
Fazzura yang ingin berkahwin dengan Aqil. Diam dia lebih menyakitkan dari emak
dan Kak Shahira yang bercakap. Namun, apapun leteran yang hinggap di telinganya
dia tetap bertekad untuk berkahwin dengan Aqil. Sudahnya, ini yang dia terima.
Maafkan saya
abah, emak…saya degil. Tapi saya redha dengan takdir hidup saya begini. Tutur
Fazzura perlahan. Larut dalam emosi enam tahun yang lalu. Dulu segala nasihat
hanya di pandang sepi tanpa langsung memikirkan kemungkinan yang akan terjadi
di kemudian hari. Hari ini ternyata semuanya tidak seindah yang di impi.
Deringan dari
telefon bimbitnya yang berbunyi kembali membawanya ke alam realiti. Dia bingkas
masuk ke dalam bilik. Telefon yang berbunyi segera dicapai. Tertera di hujung
talian nama lelaki yang terlalu tegar melukainya itu. Tubuhnya bergetar dengan
tiba-tiba.
“Hey perempuan?
Kau duduk mana ni? Rumah jantan mana kau bawa anak-anak aku pergi?” soal Aqil
keras menyapa gegendang telinganya sebaik sahaja punat hijau ditekan.Tiada lagi
ucapan manis kini. Yang ada hanya kata-kata kesat di bibir Aqil.
“Awak jangan
risau. Saya jaga anak-anak saya dengan baik. Saya tak seperti awak yang
berlagak baik. Soal saya duduk di mana, tinggal di mana bukan urusan awak lagi.
Jadi, awak tak perlu sibuk.” balasnya geram. Aqil sepatutnya sedar diri.
“Jangan nak
berlagak baik. Aku telefon kau ni pun sebab aku nak bagitau yang aku sudah
daftarkan penceraian kita di mahkamah. Untuk pengetahuan kau, aku memang sayang
sangat dengan dia. Oh! Sebelum aku terlupa, lagi dua minggu kau boleh pergi ke
mahkamah. Lagi cepat lagi bagus. Kau pun dah bebas dan kau boleh jadi macam
mana pun yang kau nak. Aku pun tak nak
ada kaitan dengan aku lagi! Kau dengar tak?!”Aqil ketawa kuat di hujung talian.
Sedikitpun dia tidak rasa bersalah menuturkan kata-kata itu kepada Fazzura.
Baginya, kasih sayangnya kini sudah tiada buat Fazzura. Hatinya dah mati untuk
wanita itu. Dia bahagia dengan kehidupannya sekarang. Apa sahaja yang dia nak
dia dapat.
“Bolehlah lepas
ni kau dengan jantan tu. Rupanya selama ini pun di belakang aku kau main
wayang. Perempuan murahan!”
“Aqil!!!!”jerit Fazzura
kuat. Tercabar benar dia dengan kata-kata dari bekas suaminya itu. Tergamak
benar Aqil menuduhnya begitu. Padahal selama ini di setia di belakang Aqil.
“Awak jangan nak
cakap yang bukan-bukan! Kenapa sampai sehina ini awak berubah? Awak sedar tak apa
yang awak dah buat?” Suaranya bergetar hebat menahan amarah. Apa sahaja yang
terkeluar dari mulutnya ini bukan yang sebenar-benarnya lahir dari hati. Aqil
memaksanya untuk berkeras.
“Tak payahlah
kau nak jerit-jerit macam tu. Dah macam perempuan jalang!” jerkah Aqil sekali
lagi di hujung talian. Sengaja menghangatkan api yang sedang membara.
“Pergi
jahanamlah kau!” sambungnya sekali lagi. Talian kemudian diputuskan.
Fazzura terduduk
di lantai yang beralaskan karpet bewarna biru itu. Air mata laju bercucuran.
Jika tadi dia masih mampu bertahan tapi tidak lagi sekarang. Lelaki itu terlalu
kejam memperlakukannya begini. Jika harta kekayaan mengubah keperibadian lelaki
itu dia mohon agar Tuhan tunjukkan kebenaran.
“Ibu…ibu…kenapa ibu
nangis.” Fazzura panggung kepala. Anak kecil itu menyentuh lembut bahunya.
“Ibu..kakak dengar ibu nangis…”soal Aqilah lagi sambil matanya sayu memandang
Fazzura.Semakin laju air mata yang mengalir mendengarkan ucapan yang keluar
dari mulut anak yang sekecil itu. Sesungguhnya mereka tidak mengerti apa yang
sedang berlaku. Fazzura tarik tubuh
Aqilah ke dalam pelukannya.
“Maafkan ibu
sayang…kalau semunya berpunca dari ibu.” kata-katanya tersekat. Aqilah diam
tidak lagi bertanya.
“Kenapa sayang
bangun ni. Sayang nak susu lagi ke?” Fazzura mengusap lembut tubuh kecil itu.
Air matanya masih seperti tadi. Laju mengalir tiada henti.
“Ibu..napa
nangis bu?gelaplah ibu. Kenapa tak buka lampu bu? Kakak tak nak susu. Kakak nak
tidur dengan ibu.” Aqilah terus membebel di dalam pelukannya.
Dia terus bangun
mendukung Aqilah. Wajahnya yang basah dek air mata di sapu.
“Tak ada apa-apa
sayang. Mari kita tidur. Tengok adik tidur nyenyak. Letihlah tu main dengan uncle petang tadi.” Dia terus meletakkan
Aqilah di atas katil bersebelahan dengan Fazmizie.
“Adik tak nak uncle dukung.” Aqilah sambung lagi
bercerita.
“Adik nak jalan.
Dia kan dah boleh jalan.” Tubuh Aqilah ditepuk perlahan.
“Uncle baik. Kakak suka. Dia bawa kakak
dan adik jalan-jalan. Kenapa papa tak nak bawa kakak dan adik bu?” Aqilah
menyoal lagi. Fazzura ketap bibir.
“Tidurlah
Aqilah. Dah lewat ni.” balasnya sedikit tegas. Dia tidak mahu anak bertanya
tentang Aqil. Hati terasa disiat-siat. Terlalu dalam luka yang papa kau orang
berdua pahatkan. Ibu tak sangka dia sanggup buat ibu begitu. Dia sanggup
lupakan kita setelah dia tinggi di atas sana. Dia lupa siapa yang berada di
sisinya sewaktu dia susah. Dia juga lupa siapa yang banyak korbankan
segala-galanya untuk dia. Akhirnya ini yang ibu dapat. Ibu diceraikan bahkan di
gelar perempuan jalang. Sampai hati papa korang buat ibu begini. Hatinya
kembali merintih hiba. Sakitnya berdepan
dengan kenyataan pahit ini.
Suara Aqilah
tidak lagi kedengaran. Mungkin akur dengan kata-katanya. Dia kemudiannya
mengambil tempat di sebelah Fazmizie. Memeluk kedua-duanya.
“Tidur
sayang…ibu sayang kamu berdua.” tuturnya lagi dalam suara yang masih serak.
Kepalanya ditekan kuat. Terasa sakit saat jari jemari meyentuh luka yang masih
belum mengering parutnya.
‘Abang tak akan
pernah mengasari Zurra. Abang janji akan bahagiakan Zurra. Sampai mati pun
abang akan kenang pengorbanan Zurra.’ Kata-kata Aqil selepas mereka di
ijabkabulkan terngiang-ngiang di mindanya. Ya Allah, luputkanlah ingatanku
kepadaNya. Semoga kau sembuhkan luka aku yang telah ternganga ini. Aku mohon
padaMu Ya Allah…Tunjukkan aku jalan yang terbaik di dalam pengetahuanMu. Hanya
engkau yang maha mengetahui apa yang terbaik untukku dan anak-anakku.
Lalu ingatannya
menyorot kepada pemuda yang disebut anaknya sebentar tadi. Sungguh dia tidak mengenali
Riyadh. Tetapi lelaki itulah yang selalu ada dan sentiasa sudi membantunya
tanpa meminta balasan apa-apa. Tetapi dia tidak mahu terus bergantung kepada Riyadh.
Dia harus memulakan kehidupan yang baru. Penceraian bukanlah akhir sebuah
kehidupan. Gelaran yang di bawa kini walaupun berat sudah pasti itu bukan
halangan. Dia nekad ingin mengubah nasib dirinya demi anak-anak. Dia pasti
boleh melakukannya.
No comments:
Post a Comment