TEPAT jam tujuh
malam dia habis kerja. Ramai yang dah terkejar-kejar nak balik. Lari macam punch card tu nak hilang. Takut sangat
nak beratur panjang. Dia berjalan perlahan sahaja masuk ke laluan dan beratur
untuk punch card. Van kilang sudah
tersedia tunggu di luar pagar. Dia mempercepatkan langkah. Rindu sangat dengan
anak-anak di rumah. Entah makan entah ke tidak.
Perjalanan untuk
pulang ke rumah hanya mengambil masa selama 30 minit. Dia turun di simpang
hadapan di jalan besar. Hari sudah hampir gelap. Dia mempercepatkan langkahnya. Bimbang juga
bila jalan sendiri macam ni.
Dia menghentikan
langkah apabila mendengar bunyi hon bertalu-talu di belakangnya. Melihat sebuah
Hilux Putih yang berhenti betul-betul di belakangnya. Dia mengucap panjang
tatkala cermin Hilux itu diturunkan. Ammar Haikal terjenguk dengan sengihan
panjang.
“Zurra,” panggil
Ammar sambil tunjuk isyarat tangan agar dia masuk ke dalam kereta.
“Dekat je Ammar.
Aku boleh balik sendiri.” Malaslah dia nak naik dengan Ammar. Nak menunjuk baru
keluar keretalah tu. Ciwi je!
“Wey minah
kilang. Jangan sombong sangat boleh tak. Alang-alang aku nak pergi rumah kau
ni. Kau naik jelah. ”
Bukan dia tak
nak tumpang Ammar. Dia pun nak cepat sampai rumah. Tapi dia sakit hati dengan
Ammar. Pasal Ammar nama dia dah mula busuk kat kampung ni. Ammar nak tambah
lagi. Siap nak hantar dia pulang. Dia tak perlulah semua tu.
“Zurra!kalau kau
tak nak tumpang aku terus-terusan bunyikan hon kereta ni baik kau masuk cepat!”
Ammar menekan hon Hiluxnya berulang kali sambil dia ketawa.
Fazzura mengeluh
kasar. Berjalan menghampiri Hilux putih itu dengan perasaan sebal. Pintu dibuka
lalu dia masuk ke dalam. Kuat bunyi pintu Hilux itu ditutupnya. Tunjuk protes.
“Kau ni kan
sehari tak kacau aku tak boleh ke Ammar? Kita bukan budak-budak lagi kau tahu
tak? Kau jangan buat aku sakit hati sangat dengan perangai kau tu.”
“Aku ni sepupu kau.
Salah ke kalau aku nak tumpangkan kau?”Ammar cuit pipinya perlahan.
“Hesy! Kau
tolong jaga sikit tingkah laku kau Ammar!”herdik Fazzura semula. Perasaan
menyesal mula menjalar dalam diri. Jangan sampai Ammar lupa diri. Mahu dia
terjun dari Hilux ni nanti.
“Kau takut ke
Zurra?Alah kalau aku sentuh-sentuh kau tak luak pun.Hahaha.” Ammar ketawa lagi
dapat kata begitu kepadanya. “Macam luak.” ejeknya lagi.
“Kau ni memang
tak ada hati perut langsung Ammar. Harap darah daging sendiri rupanya lebih
teruk lagi. Mungkin kau ni bukan dari keturunan tok wan dengan atuk kut! Sebab
tu perangai kau teruk sangat.” balasnya dengan berani.
“Kau tahu Zurra
sebab apa. Sebab apa aku jadi macam ni. Kau tu yang buat semua benda bagi
payah. Aku suka kau, Zurra. Kau dengar tak aku suka kau dari dulu lagi. Kau
bagi peluang untuk aku jadi suami kau. Habis cerita.”
Fazzura ketawa
kuat. “ Dah banyak kali aku ulang cakap pada kau Ammar. Kau dengan aku ni
sepupu. Aku tak nak kahwin dengan kau. Aku selesa hidup macam ni.”
“Kau selesa
kerja kilang macam ni.”
Fazzura angguk.
“Ya, aku selesa. Asalkan aku dapat gaji halal untuk jaga anak-anak aku. Aku
boleh tanggung sendiri. Aku tak perlukan
lelaki untuk bantu aku. Nak pulak lelaki yang macam kau Ammar. Lagilah aku tak
nak!” puas hati dia bila tengok muka Ammar kelat macam tu. Jangan ingat dalam keadaan dia tanpa seorang
suami di sisi dia lemah. Dia kuat kerana anak-anaknya.
Ammar memberhentikan
Hilux di hadapan rumah dengan wajah mencuka. Fazzura terus turun tanpa
mengucapkan terima kasih pada Ammar. Nak undang Ammar masuk ke dalam rumah jauh
sekali. Ammar kan dah biasa. Ulang alik masuk rumah ni dah macam rumah dia.
Di hadapan pintu
rumah emak sedang berdiri merenung tajam ke arah dia. “Kalau dah macam tu masuk
meminang terus Ammar.” ujar mak sedikit terjerit. Kenapa dengan mak? Nak
sakitkan hati dia. Kenapa mak tak kesiankan dia langsung. Kenapa mak benci dia
sangat. Dia terus masuk dalam. Meliar matanya mencari kelibat Aqilah dan
Fazmizie.
Pintu bilik dibuka.
Astagafirullahalazim. Dia menghampiri kedua-dua anaknya yang nyenyak tidur
dengan wajah yang kusut dan comot. Baju semalam yang mereka pakai masih
tersarung di tubuh mereka. Sudah ada bau yang menusuk ke dalam hidung. Menitik
air matanya.
“Sayang…sayang
ibu, ibu balik ni. Bangun sayang, Aqilah, Fazmizie. Bangun mari kita mandi.
Bersihkan diri.” Dia mengelus lembut tubuh Aqilah dan Fazmizie. Baru sehari di
tinggalkannya. Macam mana pulak esok. Ya Allah..
“Ibu…kakak lapar.” ayat pertama yang terpacul
di bibir kecil itu saat dia buka mata.
“Kita mandi,
bersihkan diri. Lepas tu kita makan ya.”
Fazmizie sudah
merengek. Dia segera mendukung tubuh itu. Masih tidak mengerti apa yang
terjadi. Dicium anaknya bertubi-tubi. Tuala yang bersangkut di rak tuala terus
diambil.
“Mari sayang ibu
mandikan korang.” ujarnya dengan suara yang serak. Sungguh tidak terurus
anak-anaknya saat ini.
Sebaik sahaja
keluar dari bilik, dia bertembung dengan abah yang ingin menuju ke ruang hadapan.
Terdengar suara emak yang sedang berbual-bual dengan Ammar Haikal.
“Abah ke mana
bah?”
“Abah dari rumah
Haji Bakar. Nanti mesin nak masuk ambil padi rumah dia. Abah tak sempat nak
tengok anak hang Zurra. Sibuk dengan bendang. La ni orang dah mula nak ambil
padi. Mesin jalan abah kalut sikitlah ke hulu ke hilir. Pergilah bawak
anak-anak hang mandi.” ujar abah dan terus berlalu ke hadapan.
Abah dah tua-tua pun masih nak bekerja keras.
Masih nak jadi broker mesin padi.
Atur bendang orang tu, orang ni. Padahal abah
ada penyakit lelah. Kenapa
budak-budak muda dah tak ada di kampung ni. Umur macam abah seeoloknya berehat
je di rumah. Kampung nelayan ni ada dua
pekerjaan. Bendang dan jadi nelayan.
Dia segera
mandikan anak-anaknya. Sedih sangat. Sehari suntuk anaknya tak mandi. Paling
ketara Fazmizie masih dengan pampers
yang dipakainya semalam. Benci sangat mak dengan dia. Kalau ya pun janganlah
lepaskan pada anak-anaknya yang tak bersalah ni. Cukuplah sekadar menghukum dia
bukan anak-anaknya.
“Nenek tak nak
bagi Aqilah mandi.”
“Nenek tak
sempat tu.”pujuknya lagi.
“Nenek garang. Nenek
marah Aqilah dengan adik.” Si kecil itu bercerita. Membuat jiwanya kian sebak. Matanya
terarah kepada lengan kedua-dua anaknya. Ada tanda kemerah-merahan seperti
bekas cubitan. Ya Allah...kenapa sampai macam ni. Apa salah anak-anaknya.
Merengek-rengek
Fazmizie kesejukan tatkala air mula dijirus
ke tubuhnya.
“Pandai anak
ibu. Panggil ibu ya. Kesian…nanti ibu suapkan nasi ya.” Terasa luka itu sembuh
saat bersama anak-anaknya. Terasa kekuatan itu hadir dengan sendirinya.
Panggilan mereka meresap ke seluruh jiwa. Inilah nyawanya. Maafkan ibu wahai
anak-anakku. Ibu erpaksa memebiarkan kamu berdua dalam keadaan begini. Sakit
anak ibu…sakitlah jua diri ibu. Rintihnya di dalam hati. Kenapa sampai begini
sekali layanan emak terhadap dia dan anak-anak. Tak berhakkah seorang cucu
untuk mendapat kasih sayang seorang nenek.
Selesai
memandikan kedua-duanya dia terus menuju ke bilik. Ammar masih ada di ruang
tamu.
“Ibu, Aqilah nak
pakai baju ni. Adik pakai baju ni.” Dia ambil baju tidur gambar Sin Chan untuk
Fazmizie. Manakala untuk dia baju tidur bunga-bunga warna pink.
“Anak ibu dah
pandai pakai sendiri kan.”
“Aqilah pandai
pakai. Adik tak pandai lagi.”
“Adik kecik
lagi. Nanti adik dah besar pandailah macam kakak.”
“Esok Aqilah nak
mandi sendiri.”
“Pandai ke anak
ibu ni?”
“Pandai. Aqilah
boleh mandi sendiri. Uncle cakap dah
besar kena mandi sendiri.”
“Uncle mana pulak ni?Uncle yang bagi ice- cream
tu?
Aqilah angguk.
“Aqilah nak jumpa uncle Yadh ibu. Nak
pergi makan dengan uncle.”
Anaknya kalau
berbicara pasal Riyadh laju saja. Itu dan ini. “Tak payahlah nk susahkan uncle. Nak makan ice-cream ibu kan boleh beli.”
Si kecil itu
menegrutkan keningnya tak puas hati barangkali bila dengar dia cakap macam tu.
“Aqilah tak nak.
Aqilah nak uncle.” Dia pegang tangan
Fazzura sambil merengek manja.
“Papa?”
Si kecil itu
geleng. Dah lupa ke mereka pada Aqil. Apalah yang Riyadh guna pakai sampai
anaknya ni nak sangat dengan dia. Hmm…ibu tak nak susahkan uncle sayang.
“Nenek kan ada?”
dia geleng lagi.
“Nenek garang.
Aqilah tak suka nenek. Nenek cubit
sakit.” Ceritanya bersungguh-sungguh dengan reaksi wajahnya yang berkerut.
Muncung mulut anaknya itu jelas menandakan yang dia benar-benar tak suka.
“Nenek bukan
garang. Nenek memang macam tu. Tapi nenek baik.” pujuk Fazzura.
“Aqilah nak ikut
ibu esok. Aqilah tak nak duduk rumah.”
“Tak boleh
Aqilah. Ibu kerja. Mana boleh ikut.Tak naklah macam ni. Tak nak kawan
nanti.”usulnya apabila Aqilah terus merengek.
“Jom ikut ibu
pergi dapur. Kita makan ya.” dia terus bangun. Mendukung Fazmizie.
“Ermm...wangi dah anak ibu.”
Sampai di dapur
dia lihat Shahira sedang menjamu selera. Tak pasti bila dia pulang atau dia
memang sudah ada dalam rumah ni.
“Senang hati
balik kerja ada orang dah masakkan siap-siap. Boleh senang lenang lepas ni.
Balik kerja pun ada orang hantar.” Apalah yang kak Shahira tak puas hati.
Pantang jumpa dia mesti nak kata macam-macam.
“Mak long makan
apa tu mak Long.?” soal Aqilah sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah
Shahira.
“Yang kau sibuk
kenapa? Kau tak nampak aku makan nasik. Argh!” dia tolak pinggan.
“Kalau sekalipun
pun marah atau tak puas hati dengan saya. Janganlah cakap macam tu depan
budak-budak ni kak Shira.” Dia yang sejak awal tadi diam terus bersuara.
Pinggan diambil dan nasi dicedok. Telur goreng yang ada diambil separuh. Kicap
dituang ke atas nasik. Bukan susah nak bagi anak-anaknya makan.
Dia terus
menyuapkan nasik ke dalam mulut anak-anaknya. Dah tak hirau lagi pada Shahira
yang bangun menuju ke sinki. Siap tunjuk muka sakit hati dekat anak-anaknya.
Apalah yang budak-budak ni faham.
“Hilang selera
aku.” bentaknya lagi. Fazzura geleng kepala. Macam nak gelak pun ada dengan
perangai kakak dia sorang ni. Fizikal dah macam lelaki tapi cepat sentap.
Lelaki mana boleh cepat sentap. Tak macholah.
No comments:
Post a Comment