SEMINGGU Aqil tidak
dapat dihubungi. Fazzura makin kalut. Kata Aqil sebelum keluar tempoh hari dia
ada urusan di Kelantan. Tapi, sampai sekarang dia masih tidak dapat dihubungi. Apatah
lagi sejak seminggu ini juga demam Fazmizie belum sembuh. Pada siapa untuk dia
meminta bantuan. Nombor telefon Aqil didail lagi untuk sekian kali. Ternyata
Aqil tidak dapat di hubungi. Balik-balik masuk ke dalam peti simpanan suara.
Dia mengeluh hampa.
Tiba-tiba dia
teringatkan Maria. Kakak keduanya. Entahlah Maria mahu menolongnya atau tidak.
Hubungan mereka adik beradik tidak semesra macam orang lain. Sejak dia tinggal
di Kuala Lumpur ini sekalipun dia tidak pernah bertemu dengan Maria.
“Hello, Maria
kau ke tu. Aku ni...Zurra,” ujar Fazzura sebaik sahaja panggilan telefon itu
bersambut. Membahasakan dirinya dengan Maria sebagai aku, kau lebih selesa
baginya. Ini kerana perbezaan umurnya dengan Maria yang hanya selang dua tahun
sahaja.
“Hah! kau nak
apa call aku? Tak pernah-pernah kau
nak call aku. Ingatkan dah lupa adik
beradik. Maklumlah aku dengar kau dah kaya sekarangkan!” sinis Maria berbicara
kepadanya. Tak ada beza Maria dengan Kak Shahira. Kedua-dua orang kakaknya itu
bagaikan benci sangat dengan dia. Apa salahnya?
“Aku tak pernah
buang adik beradik dalam hidup aku, Maria.” balasnya perlahan tapi cukup tegas.
“Baguslah! tapi
kau ada ke kau tak ada ke, aku peduli apa?” herdik Maria Lagi.
“Tak apalah
Maria. Aku silap nombor tadi.” ujar Fazzura terus. Tak sanggup dia untuk terus
bertekak dengan darah daging sendiri. Talian diputuskan.
Sudahnya dia
mengambil keputusan untuk memandu sendiri kereta dengan membawa anak-anaknya.
Apa yang penting baginya saat ini adalah kesihatan Fazmizie. Dia sudah tidak
sanggup melihat Fazmizie menangis siang malam begitu. Walaupun berdepan risiko
besar dia memberanikan diri. Memang menjadi kesalahan jika memandu tanpa ada
lesen. Tiba-tiba dia rasa menyesal. Menyesal kerana dia tidak punya apa-apa
sebagai bekalan jika ditinggalkan suami. Sudahlah dia tidak bekerja. Lesen
memandu juga tiada walaupun dia boleh memandu.
Ini semua dia
lakukan demi anak-anak. Tak mengapalah jika dia perlu berdepan dengan polis
sekalipun. Anak-anak adalah kekuatannya. Kereta terus bergerak perlahan menujuk
ke Klinik yang berdekatan sahaja. Di dalam hati tidak putus berdoa agar keselamatannya
dan anak-anak terpelihara.
LEBIH KURANG
setengah jam dia sampai di hadapan Klinik Jaya. Nak parking kereta pun sudah ambil masa hampir 15 minit. Kesian
Aqilah. Kesian juga Fazmizie. Kenapalah dia tidak mendapatkan khidmat teksi
sahaja tadi. Masya Allah. Dia geleng kepala menyedari kekalutan diri. Kerana
kelalutan itu dia tidak boleh berfikir dengan waras lagi.
Hampir 10 minit
mereka berada di dalam bilik rawatan. Keadaan makin parah bila Doktor yang
membuat rawatan mengarahkan dia menghantar anaknya ke Hospital. Fazmizie di
sahkan mengalami demam panas. Pernafasannya semakin laju. Badannya kekurangan
air dan dia perlu mendapatkan rawatan dengan segera. Kenapa semuanya terjadi
secara tiba-tiba. Fazzura semakin resah gelisah.
Berita itu
benar-benar merobek jiwanya. Apalagi yang perlu dia depani selepas ini semuanya
sendiri. Ada suami seperti tiada. Jika dahulu, Aqil yang menguruskan
segala-galanya. Apatah lagi jika anak sakit, tentu sahaja Aqil orang pertama
yang risau. Tapi sekarang? Musnah dan hilang dalam sekelip mata. Mereka
berkahwin di usia yang muda. Tapi benarlah pepatah yang langit tidak selalu
cerah.
Ya Allah,
bantulah hambaMu ini.
Dia terus
mengambil teksi untuk pergi ke Hospital. Tidak lagi berani untuk memandu sejauh
ini. Fazmizie dibuainya ke riba. Manakala Aqilah duduk di sebelahnya. Inilah
anak-anak yang baik untuknya. Aqilah tidak banyak meragam. Seolah-olah faham
derita yang sedang ditanggung ibunya. Ada waktunya dia kelihatan sedih bila
melihat adiknya itu.
Sampai sahaja di
Hospital dia segera berjalan masuk ke dalam dengan mengendong Fazmizie dengan
tangan kanan. Manakala Aqilah pula dipimpinnya dengan tangan kiri. Dia perlu
kuat demi anak-anak.
Agak ramai orang
yang berada di ruang legar Hospital Kuala Lumpur. Mata Fazzura melilau mencari
kaunter pendaftaran. Kali pertama
datang, agak janggal rasanya. Pusing kiri, pusing kanan. Sudahnya…
GEDEBUK!
Dia terlanggar
seseorang. Fazmizie terus menangis dalam dakapannya. Terkejut dengan
pelanggaran yang tiba-tiba. Ya Allah, ibu tak sengaja sayang. Lelaki yang dilanggarnya
itu menggelengkan kepala memandangnya.
“Maaf Encik.
Saya tak sengaja.” luah Fazzura kesal sambil memujuk Fazmizie yang menangis di
dalam pelukannya. “Diam sayang…ibu tak sengaja…syuttt…”
Lelaki itu
mengeluh berat. “Lain kali hati-hatilah sikit. Kesian kat anak awak tu.
Hesy!awak kelam kabut sangat ni nak ke mana ni?” soal lelaki itu pula sambil
melipat tangan baju kemeja putih yang dipakainya. Dia mengerling sekilas ke
arah Aqilah. Kemudian tersenyum.
“Saya nak ke
kaunter pendaftaran tu. Anak saya sakit. Perlu rawatan dengan segera.” jawab
Fazzura masih cemas seperti tadi. Jari jemarinya tidak berhenti dari mengusap
belakang anak lelakinya itu perlahan. Matanya sudah terpandang kaunter
pendaftaran.
“Habis kenapa
awak masih tercegat di sini. Kenapa tak panggil sahaja nurse yang lalu lalang ni. Lain kali panggil je nurse kat sini.” Lelaki itu geleng
kepala melihatnya.
“Mari sini saya
bawakan anak awak tu. Awak pegang yang itu. Nanti hilang pula.Tak pasal-pasal
jadi banyak kerja nanti. Hospital ni bukan kecil. Besar,” tutur lelaki itu lagi
sambil menyuakan tangan untuk mengambil Fazmizie. Tanpa banyak cakap Fazzura
terus menyerahkan Fazmizie di dalam dukungan lelaki itu. Fazmizie terus diam. Ajaib!
“Hah!diam pun
dia kan…suka dengan uncle ya…”
ujarnya sambil berjalan laju menuju ke kaunter pendaftaran. “Panas badan dia
ni? demam panas ke?”
Fazzura angguk.
Sudah tahu kenapa masih ingin bertanya. Bisik hatinya pula.
“Comel ya anak
awak ni. Nama apa ni?” soal lelaki itu sekali lagi. Dah macam dia pulak bapak
budak-budak ni. Orang tengah risau keadaan Fazmizie tu. Dia boleh tenang.
Mentang-mentanglah bukan anak dia. Hmm…
“Fazmizie.”
balas Fazzura lambat. Matanya tidak terlepas dari memandang Fazmizie yang
berada di dalam dukungan lelaki itu. Sedikit pun tiada rasa kekok atau ingin
menangis. Malah anaknya itu kelihatan sangat selesa bersandar di bahu lelaki
itu.
Lelaki ini?
Siapa lelaki ini? Kenapa dia baik sangat. Lihat sahaja caranya mendukung
Fazmizie. Lihat sahaja cara dia memujuk si kecil itu menangis. Kenapa saat ini
orang lain yang perlu lakukan semua itu? Kenapa tidak Aqil, suaminya. Sampai
hati Aqil buatnya dan anak-anak begini.
“Dah lemah
sangat keadaan dia tadi. Dah berapa hari dia demam macam tu?”
“Dah hampir
seminggu.” jawab Fazzura. Bibirnya diketap. Mengakui kesalahan sendiri. Kalau
jadi apa-apa pada anaknya sumpah dia menyesal sampai mati.
“Kenapa biarkan
lambat sangat. Seminggu?Hesy!awak…kenapa biarkan sampai macam tu.Ya Allah,
budak-budak ni awak kena faham. Antibodi dia lemah. Tak macam kita. Kalau
sehari dia dah demam tu cepat-cepat lah bawa ke klinik. Ni dah sampai seminggu.
Awak biarkan dia macam tu aje.” marah lelaki itu. Macam dia doktor pulak. Tapi
betul cakap lelaki ini. Kenapa di biarkan terlalu lama.
Dia hanya
tertunduk. Apalagi yang dia nak cakap. Memang salahnya. Semua salahnya. Dia tak
pandai jaga anak. Dia tak pandai jugak jaga suami. Dia tak pandai nak jaga diri
sendiri. Dia tunggu Aqil untuk sama-sama bawa Fazmizie ke klinik. Itulah
kesalahannya. Itulah kebodohannya. Terlalu bergantung harap kepada si suami.
Sampai bila dia nak macam ni.
Lebih kurang 20
minit seorang doktor lelaki keluar dari bilik rawatan. Fazzura kelam kabut
menuju ke arah doktor tersebut. “Macam mana dengan anak saya doktor? Macam mana
keadaan dia?” suara Fazzura kedengaran cemas. Lelaki yang membantunya tadi
mengerling sekilas ke arahnya. Entah kenapa lelaki ini sanggup untuk tunggu di
sini.
“Suhu badan dia
tadi mencecah ke 38 darjah celcius.
Kenapa lewat hantar dia ke sini. Kami terpaksa tahan dia di wad untuk tambah
air dalam badan dia. Dia demam panas. Ada sedikit selsema. Hasil blood test tadi okey. Tak ada jangkitan
dalam paru-paru. Tak ada virus infection
ataupun demam dinggi. Alhamdulillah.” kata doktor itu lagi.
Fazzura angguk lemah.
Matanya mula berkaca-kaca. “Harap Puan bersabar. Puan jangan risau kita akan
bagi dia antibiotik untuk menghalang jangkitan paru-paru. Kita akan buat yang
terbaik. Puan jangan risau.” ujar doktor itu lagi kepadanya. Menenangkannya
yang sudah basah dek air mata.
“Terima
kasih doktor.” ujar lelaki itu. Fazzura dah tak mampu nak berkata apa-apa.
“Boleh kami masuk tengok dia?”
Doktor itu
menggangguk. Fazzura terus meluru masuk dengan memimpin Aqilah.
“Ibu, kenapa
dengan adik bu. Kenapa adik tidur kat sini. Adik sakit ke ibu?”soalan dari
Aqilah makin menambahkan sebak di dadanya.
“Maafkan ibu
sayang…” dia separuh berbisik di telinga Fazmizie. Sedih rasanya melihat
suntikan dan wayar yang masih berada di jari jemari kecil itu.
“Adik demam
sayang. Nanti dia sembuh baru boleh balik tidur kat rumah.” balasnya sambil
mengesat air mata. Malu tatkala lelaki tadi ada di sisi katil memandang
Fazmizie bersilih ganti memandangnya pula.
“Sabarlah, awak
belajar sesuatu dengan apa yang terjadi hari ni. Lain kali kalau anak-anak awak
demam. Cepat-cepatlah bawa diorang ke klinik. Zaman sekarang ni semua benda
kena cepat. Kalau awak alpa seminit pun keadaan dah berubah.” ujar lelaki itu
lagi. Setiap kali butir bicara yang
keluar dari mulutnya berbaur nasihat yang mendalam. Bukan hanya omongan kosong.
“Terima kasih
sebab tolong saya.” balas Fazzura. Dia menarik tubuh Aqilah agar dekat
dengannya. Memeluk tubuh itu sambil anak matanya masih terarah ke sekujur tubuh
kecil yang terbaring di atas katil wad itu. Maafkan ibu sayang. Bisik hatinya
lagi.
“Siapa nama ni?”
ujar lelaki itu pula menunjukkan jari telunjuknya ke arah Aqilah.
“Aqilah…” beritahu Fazzura.
“Aqilah,
sedapnya nama dia. Jom kita pergi makan nak tak?” lelaki itu menghampiri Aqilah
dan duduk mencangkung. Aqilah seperti
takut-takut.
“Jomlah, uncle belanja makan ice-cream dekat cafe...”
Aqilah terus memandang wajahnya sebaik sahaja perihal ice-cream disebut.
“Tak payahlah
encik. Nanti saya boleh belikan untuk dia. Encik pulanglah. Terima kasih sebab
tolong saya.”
“Awak ni macam
takut aje saya culik anak awak.”
“Bukan macam
tu…”
“Ibu nak ice-cream bu...” Aqilah tarik-tarik
tangannya.
“Kejap lagilah
Aqilah. Ibu tak nak tinggalkan adik ni.”
“Aqilah
lapar...” muka rajuk anaknya itu tersua. Fazzura serba salah.
“Sabar sayang,
kejap aje lagi ya.” pujuknya pula. Dia belum puas di sisi Fazmizie. Dia risau
untuk meninggalkan anaknya di sini sendiri. Kalau boleh setiap minit dia mahu
ada.
“Aqilah sayang,
ikut uncle kita pergi makan. Kita
makan ice-cream. Tak pe, ibu duduk sini jaga adik.
Nah, ni My Kad saya. Nama saya Riyadh. Awak bagilah keizinan saya bawa
dia turun ke cafe je.” tukas lelaki
itu memperkenalkan dirinya. Fazzura serba salah.
“Boleh ke tak
ni?” soalnya lagi.
“Encik…tolonglah.Saya
tak nak menyusahkan encik..”
“Apehal awak ni. Nak berencik bagai
dengan saya. Panggil je saya Riyadh. Kalau nak singkat lagi panggil Yadh.” Riyadh
senyum. Entah apalah yang perempuan ni fikir tentang dia.
“Kejap!” Fazzura
mengeluarkan dompetnya.
“Buat apa pulak
tu? Nak ambil duit ke? Tak payahlah. Simpan. Kebetulan memang saya nak pergi ke cafe pun.” Lelaki itu memberi isyarat
tangan menolak pemberiannya.
Fazzura panggung
kepala. Lelaki ini sikit-sikit tak boleh.
“Bagi ke tak
bagi ni?” Riyadh ulang menyoal. Fazzura pandang wajah Aqilah. Kesian anaknya
itu lapar. Kalau lelaki ni tak sebut pasal ice-cream
tak mungkin anaknya itu akan ikut.
“Ermm…okeylah. Aqilah jangan nakal-nakal ya
sayang. Jangan susahkan uncle. Ingat
apa yang ibu pesan ya.”
Aqilah senyum. Riyadh
lagilah senyum lebar.
Fazzura harap
lelaki itu berniat jujur. Entahlah siapa
lelaki itu? Harap-harap kebaikan yang lelaki itu hulurkan ikhlas. Dia memandang
nama yang tertera di My Kad milik lelaki itu. Mohd Riyadh Rizqullah Bin Radhi.
Berumur 32 tahun. Nampaknya mereka berbeza umur sebanyak 4 tahun. Lagaknya tadi
seperti seorang lelaki yang berkerjaya. Ada paras rupa. Tinggi dan bergaya.
Lama My Kad itu dalam pegangannya. Fikiran Fazzura teringat kepada Aqil semula.
Apakah Aqil sudah lupa akan dia? Lupa akan anak-anak mereka? Sesungguhnya dia
amat memerlukan suaminya itu di sisi. Tapi, sayangnya semua itu hanya
angan-angan yang tak pasti. Entah ke mana suaminya itu pergi.
Dia mengusap lembut dahi Fazmizie. “Maafkan
ibu sayang…” bisiknya di telinga anaknya itu. Kesal kerana dia terlewat bawa
Fazmizie. Mujur tidak apa-apa yang serius.
Telefon bimbit
diambil. Dia masih tak berputus asa untuk menelefon Aqil.
“Hello…hello, abang…abang, kat mana ni?”
soal Fazzura sebaik sahaja panggilannya dijawab.
“Abang?”
Fazzura kerut
kening. Dia salah dail ke dia silap dengar suara perempuan di hujung talian
tadi. Dia kembali pandang skrin telefon bimbitnya itu. Betul! ni nombor Aqil.
“Erk...hello
abang, abang kat mana ni?”
“Abang mana la
pulak kau ni? Kau ni siapa?” lagi sekali perempuan di hujung talian tu menyoal.
Kali ini dengan bahasa yang agak kurang ajar.
“Yang awak ni siapa
pulak. Saya cari Aqil. Saya ulang sekali lagi. A.Q.I.L. Mana dia? Kenapa pulak
awak yang jawab telefon ni.” Fazzura balas geram.
Perempuan tu
gelak kuat. “You… bangunlah you. Ini hah perempuan mana yang call you ni. Berabang-abang. You! Bangunlah…”
Kelunakkan suara. Kegedikan yang begitu jelas di halwa telinganya. Dadanya
berkocak kuat. Apa semua ni!
“You letak je
lah.. I malas nak cakap.” sayup-sayup kedengaran suara Aqil. Setelah seminggu
suaminya itu tak dapat di hubungi. Akhirnya begini. Ini jawapan yang dia dapat.
Tergamaknya Aqil. Tergamak sangat buat dia macam ni. Tergamak lukakan hati dia.
Kesetiaan yang selama ni dia berikan ini yang Aqil balas. Ya Allah… laju air
matanya mengalir. Talian terus diputuskan. Anak matanya jatuh ke wajah
Fazmizie. Tangisan kian menderu laju.
“Papa dah jauh
berubah sayang.”
Dia dah dapat
agak punca Aqil berubah begini. Patutlah lain benar tingkah Aqil semenjak
mereka berpindah duduk di kota besar ni. Argh!dia rasa sakit. Sakit sangat
dengan apa yang Aqil buat. Apa yang dia takutkan sudah pun terjadi. Selama ini
dia berdiam sebab fikir pasal anak-anak. Tapi semakin hari semakin melampau.
“Pintu wad dikuak.
Dia pantas menoleh dengan mata yang basah. Dahi lelaki itu berkerut
memandangnya. Sejauh ini dia memikirkan soal Aqil.Cepat-cepat dia sapu air
matanya.
“Kenapa ni?”
“Ibu, kenapa ibu
nangis ibu. Tengok ni uncle belikan
kakak cokelat.” Anaknya itu
menghampiri.
“Fazmizie ada
masalah ke ni?” soal cemas.
Fazzura geleng. “Ibu
tak ada apa-apa sayang. Sedap tak makan ice-cream.”
dia cuba tersenyum. Walaupun nampak jelas senyuman itu plastik. Dia berusaha
menyembunyikan sebuah kelukaan.
“Awak, kalau nak
makan pergilah turun dulu. Biar saya tolong tunggu.”
Fazzura
menggeleng. Dia tak perlukan apa-apa.
“Ibu…ibu…tengok
ni uncle beli coklat untuk kakak.”
Fazzura tersenyum dengan telatah anak sulungnya itu. Selagi tak tengok, selagi
itulah dia akan tunjuk. Aqilah pantang dapat coklat. Suka sangat dia. Dia
kembali menoleh ke arah lelaki tadi yang masih ada bersama.
“Terima kasih di
atas bantuan awak. Saya hargai jasa baik awak. Saya Fazzura.” Kali ini giliran
dia pula memperkenalkan dirinya.
Mana suami awak?
Dari tadi saya tengok awak sorang je? Dia ke mana?” soal Riyadh kepada Fazzura. Sejak dia membantu
wanita itu tadi sehingga selesai segala-galanya dia belum bersua dengan suami
wanita ini.
Fazzura diam.
Pandangan matanya kembali dialihkan kepada Fazmizie yang masih lelap itu.
Kemudian beralih pula kepada Aqilah yang sedang leka membuka plastik coklat
yang dibelikan tadi. Rasanya terlalu
berat untuk dijawab soalan itu. Lagipun
ini soal rumahtangga. Tak manis rasanya untuk
buka pekung di dada. Walaupun saat ini ingin sekali dia meluahkan rasa
kecewa dan hampa yang dia rasa. Sungguh dia tidak ada sesiapa saat ini. Ahli
keluarga semunya jauh di utara sana. Lagipun dia rasa malu hendak meluahkan
masalahnya kepada adik beradiknya yang lain. Dari awal lagi mereka tidak
bersetuju dia berkahwin dengan Aqil. Inilah harga yang perlu dia bayar di
sebabkan kedegilannya dahulu.
‘Kau ingat hidup kau akan bahagia kalau hanya
berdasarkan cinta semata-mata. Aku tak nak kau susah di kemudian hari. Aqil tu
kerja kilang aje. Kau pula baru umur 21 tahun. Mentah lagi Zurra. Masa depan
kau belum tentu terjamin. Dah elok-elok mak dan ayah hantar kau belajar, kau
balik. Kau kemaruk sangat nak kahwin
dengan jantan tu. Kenapa dengan kau ni?’
Masih
terngiang-ngiang kata-kata Kak Shahira yang tajam menikam. Kak Shahira
merangkap kakak sulung di dalam keluarga mereka. Dia memang tegas orangnya. Dia
seboleh-bolehnya nak adik-adiknya belajar seperti dia. Sudahnya sampai sekarang
kakaknya itu tak kahwin-kahwin.
Nafsu muda zaman
remaja. Bila dah bercinta tergedik-gedik nak kahwin. Sampai lupa bekalan masa
depan. Tapi salah ke dia kahwin muda.
Rasanya itu lebih bagus dari dia buat maksiat. Kalau dia tahu Aqil nak berubah
macam ni dah sah-sah dia tak akan kahwin. Tapi apa dia boleh buat. Sudah tiba
jodohnya.
Ya Allah, mengapa
mereka tidak pernah mengerti apa yang terjadi adalah ketentuan Allah SWT.
“Err...Zurra,
maafkan saya. Awak fikir apa yang saya soal tadi ke?it’s okey kalau awak tak nak jawab pun.” luah semula. Sebenarnya dia kesal kerana bertanya
soalan macam tu. Masalah orang mana kita tahu. Marah hatinya pula. Iyelah,
macam berat je nak jawab soalan dia tadi. Yang dia pula sibuk-sibuk nak
bertanya. Busy body ke ambil berat
ni?
Fazzura angguk
lemah. Pandangan kembali dihalakan ke arah Fazmizie yang sejak dari tadi lagi
melelapkan mata. Tidurlah sayang…semoga sakitmu akan segera sembuh. Doanya pula
di dalam hati.
“Saya mintak
diri dulu. Jaga dia baik-baik. Waktu makan ubat bagi dia makan ubat. Jangan
harapkan nurse sangat tau. Lepas tu
jangan lupa doa banyak-banyak. Insha Allah, semuanya akan beransur baik dengan
izin dariNya.”
Fazzura
mengangguk lemah. Terharu rasanya hati dengan nasihat itu. Syukur kepadaMu Ya
Allah kerana menghadirkan lelaki ini di saat aku benar-benar buntu dengan apa
yang terjadi.
“Aqilah, uncle balik dululah ya. Ermm…comel
sungguh. Geram uncle tau. Nanti uncle datang bawa coklat lagi. Suka
tak?” Dia mencium lembut dahi Aqilah. Rambut Aqilah yang kerinting itu dibelai
mesra. Fazzura memandang perbuatan yang
langsung tidak kekok melayan anak-anaknya. Gayanya seperti sudah terlalu biasa
bermain dengan kanak-kanak. Mungkin juga lelaki ini sudah bekeluarga. Ah!mana
dia tahu bukan.
“Suka...terima
kasih uncle. Nanti uncle datang lagi. Aqilah nak main-main
dengan uncle. Adik sakit. Aqilah tak ada kawan. ” ujar Aqilah
sambil menarik-tarik tangan . Perbuatan Aqilah benar-benar membuatkan Fazzura
terharu. Sejak bersua dengan lelaki ini anaknya itu langsung tidak bertanya
mengenai papa mereka.
Bukan mudah
untuk anaknya rapat dengan seseorang.
Apatah lagi orang itu baru sahaja di kenali. Nampaknya lelaki ini begitu bijak
melayan kanak-kanak. Lihat sahajalah Aqilah. Sudah begitu mesra
dengannya.Fazmizie juga boleh terpujuk dengan pujukan lelaki ini tadi.
Ermm…anehlah.
Sudah terlalu
lama rasanya kasih sayang Aqil terhadap anak-anak hilang. Hilang dalam
kesibukan. Hilang dalam kekayaan yang sedang di kejarnya. Hilang dalam
keasyikkan yang melalaikan. Dan tadi? Kasih sayang itu semakin hilang dengan
sebuah kecurangan.
“Ye lah sayang.
Esok uncle datang lagi. Jangan nakal-nakal
tau.”
“Err...kenapa
pula awak nak susah-susah nak datang?” Fazzura yang terdengar mencelah.
“Mana ada susah?
Alang-alang esok saya nak datang sini lagi apa salahnya saya singgah kejap
tengok dia orang.” jawabnya serius.
“Dah dua hari saya berulang alik datang ke
hospital ni. Bakal isteri saya sakit. Tu lah kan, perempuan ni kalau sibuk
sangat nak kurus begitulah jadinya. Terlebih diet tak pasal-pasal kena tidur
wad.” terang sambil geleng kepala.
“Dia nak cantik
takut awak tinggal.” balas Fazzura pula. Rupa-rupanya dia datang nak tengok
bakal isteri dia. Beruntunglah wanita itu. Bisik hati Fazzura lagi. Sanggup
sakit sebab nak jaga kecantikan semata-mata. Lain pulak dengan dia. Badan dah
sedikit berisi lepas melahirkan anak. Tapi tak adalah ketara mana. Itupun Aqil
dah berubah.
“Ah! tak ada
maknanya. Lelaki tak semua macam tu Puan Zurra. Gemuk ke kurus ke, kalau dah
cinta sangat terima je lah macam mana pun.”
jawab dengan penuh rasa yakin.
“Semua tu bukan
ukuran untuk mencerminkan kebahagiaan pada masa depan.” sambungnya lagi.
Fazzura senyum
hambar. Terasa kata-kata itu terkena dengan keadaan dirinya sekarang. Kekayaan
juga tidak mencerminkan kebahagiaan pada masa hadapan.Apa gunanya cantik yang
tersirat kalau yang buruk jugak dipandang. Tapi zaman sekarang yang cantik, dan
kaya orang selalu pandang dulu. “Lelaki akan cakap macam tu waktu sedang suka.
Nanti bila dah kahwin lain pulak jadinya. Mesti ada yang tak kena.”
“Kalau isteri
pandai jaga rumahtangga, tak mungkin suami akan cari lain.” seolah-olah memerlinya. Lelaki ini bagaikan
boleh baca apa yang berlaku.
“Ermm…sebab
tulah teman wanita awak nak cantik. Dia tak nak nanti lepas kahwin awak
merungut. Itu tak kena. Ini tak kena. Sebelum kahwin semuanya sanggup terima.”
Riyadh ketawa
mendengar kata-katanya. “Entahlah…saya tak fikir macam tu. Bagi saya cantik apa
yang saya pandang dari hati. Kalau hati ikhlas sampai ke tua pun bahagia. Gemuk,
ke kurus ke…terima aje. Tak perlu nak sakit dan siksa badan semata-mata nak
cantik. Kita ni hidup sekali aje. Bukan berkali-kali. Bukan tak boleh nak
cantik, tapi biarlah dengan cara yang betul. Kalau sembahyang lima waktu sehari
pun dah nampak cantik. Pengertian cantik tu luas.” ujar panjang lebar.
Fazzura senyum
sinis. Betul kata lelaki itu. Cantik itu luas. Bukan hanya pada pakaian. Tapi
Aqil?Aqil dah tak fikir macam tu lagi. Sebab dia dah berjaya dan dia lupa
daratan.
“Jaga diri awak. Jaga anak-anak awak. Panjang
umur kita jumpa lagi.” ujar sambil
mencium lembut dahi Fazmizie. Langkahnya pantas diatur menuju ke arah pintu
wad.
“Oh! boleh saya
ambil nombor telefon awak?” soal
kembali.
Fazzura angguk.
Mengambil telefon bimbit miliknya lalu ditunjukkan kepada Riyadh nombor telefon miliknya yang tertera. Riaydh pantas mengambilnya.
“Terima kasih. Uncle balik dulu. Jangan nakal-nakal
sayang. Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam”
balas Fazzura perlahan. Dia menghambat langkah kaki lelaki itu pergi sehingga
hilang dari pandangan. Zaman sekarang masih ada lagi lelaki seperti . Masih
mementingkan dalaman semulajadi dari luaran. Tapi, sebetulnya kedua-dua amat
penting. Mungkin dia tidak seiring…ada waktunya dia abai kecantikan diri di
hadapan Aqil. Dia banyak ketinggalan dalam berfesyen. Sebab terlalu memberikan
tumpuan kepada keluarga. Pengorbanan dia yang Aqil tak lagi pandang sekarang.
Tegar benar Aqil.
No comments:
Post a Comment