DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 7 March 2016

ELUSAN KASIH - BAB 20



BUNYI guruh di langit berdentum dentam. Fazzura resah sendiri di dalam biliknya. Anak-anaknya sibuk bermain di luar bersama anak-anak Maria. Sekejap sahaja lagi rombongan merisik dari keluarga mak Long akan sampai.
“Ammar Haikal…”sebaris nama itu meniti di bibirnya. Sesungguhnya aku tidak sanggup untuk melukakan hati emak dan abah untuk kedua kali. Aku rela menerima pilihan mereka jika itu yang terbaik untukku. Walaupun hatiku pedih dengan pilihan ini. Aku redha menerima orang yang aku tidak cintai. Sepupu yang paling aku benci dek perangainya itu. Ah!terbaikkah dia untuk anak-anak ku.? Hatinya kian gusar. Semuanya berlangsung dalam penuh keterpaksaan.
Jam di tangan dikerling. Sudah pukul 10 pagi. Selepas majlis nanti dia akan terus bergerak ke Kuala Lumpur menaiki teksi yang telah di sewa khas oleh Riyadh untuk mereka anak beranak. Pastinya dia terlewat hadir di majlis pernikahan itu nanti.
“Ibu, ibu, bila kita nak pergi rumah uncle ibu?”soal Aqilah yang masuk ke dalam bilik. Baju gaun labuh bewarna putih yang dibelikan untuk Aqilah kelihatan tersarung kemas.
“Sabar sayang. Lepas tok Long datang nanti kita pergi rumah uncle ye...”
“Kenapa pula kena tunggu tok Long? Tok long nak ikut kita pergi sekali ke Ibu?” Fazzura tarik nafas berat. Bagaimana caranya mahu menerangkan kepada si kecil ini. Bolehkah mereka menerima Ammar Haikal sebagai bakal bapa mereka nanti
“Aqilah, dengar ibu cakap ya, nenek dan tok wan buat kenduri sikit. Nanti tok Long datang makan-makan. Lepas tu kita pergi rumah uncle. Anak ibu tak sabar nak jumpa uncle kan?sabar ya sayang. Uncle pun tunggu Aqilah dengan adik.”
Aqilah angguk.
“Adik mana ni? Panggil adik kejap.”
“Ibu, Aqilah nak cakap dengan uncle.” pintanya bersungguh-sungguh sambil pegang tangannya.
“Kakak panggil adik. Ibu telefon uncle tau. Kakak nak cakap dengan uncle.”
“Aqilah, semalam kan ibu dah call uncle.”Belum sempat dia habis cakap anaknya itu terus keluar. Dia geleng kepala. Telefon bimbit yang berada di atas katil dicapai. Nombor Riyadh didail. Menanti jawapan  namun tidak berjawab. Dia ulang lagi untuk kali kedua. Tetap tidak berjawab. Mungkin sibuk. Lagipun hari ini kan majlis penting dalam hidup Riyadh. Kenapa pulak dia nak ganggu. Hmm…dia kembali meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja.
“Ibu, dah telefon uncle ke ibu?” Aqilah masuk sambil manarik tangan adiknya. Meronta-ronta Fazmizie minta dilepaskan.
“Ibu dah telefon sayang, uncle tak jawab. Mungkin uncle sibuk tu. Dah la, kesian kat uncle. Jangan ganggu uncle. Nanti kita jumpa uncle ya sayang.”pujuknya apabila wajah itu sudah berubah masam.
“Tak comellah anak ibu masam macam tu..” terus ditarik kedua-duanya ke dalam pelukan. “Ibu sayang sangat anak-anak ibu.” bisiknya perlahan. Memohon kekuatan untuk berhadapan  dengan Mak Long sebentar lagi. Tanpa kerelaan dia lakukan demi kasihkan emak dan abah. Walaupun dia yakin abah lebih banyak menurut permintaan dari emak yang begitu beria-ia sangat.
Setengah jam kemudian mak Long dan pak Long sampai di rumah. Ammar Haikal turut serta. Ah! Dia sakit hati memandang senyuman sinis Ammar sewaktu dia tiba di ruang tamu. Hatinya yang sakit kian rabak. Rabak!
“Kita nak aturkan pertunangan lagi dua minggu dari sekarang.” ujar pak Long. Dia yang menghidangkan air memilih jalan untuk mengunci mulut. Sesungguhnya dia tidak kuasa untuk menolak. Ya Allah, hanya engkau yang tahu apa yang terbaik untukku. Doanya lagi di dalam hati.
Dia terus berlalu ke dapur. Shahira dengan Maria rancak berbual.
“Baguslah tu orang berkenan. Zaman sekarang ni susah ada yang hendakkan janda ni.” Ujar  Shahira. Sengaja nak bagi panas suasana. Makin pendek pulak rambut dia. Sejak dia pulang ke rumah ni Shahira sudah jarang-jarang balik ke rumah. Katanya sakit kepala dengar jeritan anak-anaknya. Macamlah anak-anaknya ini terlalu aktif sangat. Kalau sekalipun anak-anaknya ni aktif bukan orang lain pun. Anak saudara dia jugak.
“Maria  nak balik rumah cepatlah kak Shira, banyak kerja nak buat. Tahniahlah untuk kak Shira sebab tak lama lagi dapat adik ipar baru. Sepupu pulak tu.” perli Maria.
“Yalah, tak sangka pula janda macam saya ni orang nak. Pelik jugak!yang ditangkap janda kenapa tak tangkap anak dara yang ada dalam rumah ni eh?” Fazzura terus ‘paku’. Hilang kesabaran untuk berdiam.
“Kau jangan nak kurang ajar pula, Zurra!” Suara Shahira sedikit meninggi. Maria tutup mulut tahan tawa sambil mengusap belakang Shahira lembut.
 “Tahu pun nak marah. Tahu pun nak angin. Lain kali cakap siang pandang-pandang.” sambungnya semula sebelum berlalu ke hadapan. Bukan ke ruang tamu tapi ke dalam biliknya. Tak kuasa dia nak melayan mereka berdua. Rasakan ayat pedas yang sekian lama dia simpan.
Baru beberapa minit terdengar jeritan emak memanggilnya ke hadapan. Dia keluar.
“Cantik Zurra pakai baju warna ni.” ujar mak Long sewaktu dia duduk berhadapan dengan wanita itu. Baju warna pink dari kain satin dipadankan dengan bunga hitam dari kain lace ini baru sahaja di belinya dua tiga hari lepas. Itupun semata-mata nak pergi ke majlis pekahwinan Riyadh. Bukan di sebabkan majlis merisik ni pun.
Cincin merisik disarungkan ke jari manisnya. Saat itu jugak dia rasa jiwanya kian remuk. Kian kecewa. Sebaris senyuman pun dia tidak mampu menghadiahkan untuk tetamu yang ada. Ammar bukan lelaki pilihan. Bukan jugak jodoh yang di harapkan. Ammar menyakitkan. Senyuman Ammar yang terukir itu juga bagaikan pisau yang merobek hatinya. Sakit sangat.
Cincin merisik itu ditenung lama. “Tunggu apa lagi Zurra, salam dengan mak Long tu.” suara emak keras mengetuk gegendang telinganya. Dia terkejut lalu menyalami tangan wanita yang merangkap emak saudaranya. Ah!Sudahlah dekat, di dekatkan lagi. Luka di hati masih lagi berparut. Bukan calang-calang sejarah hidupnya. Di jodohkan dengan lelaki bukan pilihan. Ini bukan drama melayu petang-petang tu. Ini kenyataan yang menyakitkan.!

RIYADH segak memakai baju melayu dari kain satin berwarna putih. Dia memandang tubuhnya melalui cermin besar di dalam biliknya itu. Dadanya berdebar sejak dari semalam lagi. Ingatannya tidak putus terhadap Aqilah dan Fazmizie. Semalam mereka berbual agak lama di corong telefon. Dia rasa berat hati saat talian diputuskan. Dia masih ingin mendengar celoteh kanak-kanak itu. Dia masih belum puas.
“Riyadh!” panggil kak Long. Dia yang berada di muka pintu itu memandang adiknya pelik.“Kenapa tak siap lagi ni?Kain Sampin tu kenapa tak pakai lagi?” soal kak Long seraya menghampirinya.
“Entahlah kak Long…rasa tak sedap hati.” jawabnya sambil menarik nafas panjang.
Ruzilah senyum memandang adiknya itu. Jelas kelihatan resah pada raut wajah adiknya itu.“ Normal bila pengantin lelaki akan resah begini. Nanti nak salam dengan tok kadi. Berdoa banyak-banyak semoga Allah permudahkan segala urusan.” Dia cuba menyalurkan kekuatan untuk Riyadh.
“Hati saya rasa tak sedap. Saya tak risau pasal tok kadi. Pasal nak salam dengan tok kadi. Bukannya susah  pun. Tak perlu jadi jantan kalau nak takut dengan tok kadi.” Kali ini dia duduk di birai katil sambil pandang kak Long. Dia senyum kelat.
“Sembang bolehlah…kau tunggu duduk depan tok kadi nanti. Silap haribulan terkencing dalam seluar!” Ruzilah mengusik.
“Sebenarnya apa yang kau sembunyikan dari kami semua ni?” soalnya terus. Bagaikan boleh membaca riak wajah Riyadh itu.
“Kamu fikirkan Annis?”
Riyadh geleng.
“Ceritalah...kalau kak Long boleh bantu. Apa yang buatkan kau resah sangat ni?”
Wajah Riyadh serius. Tiada sebaris senyuman langsung.
“Sebenarnya…saya tengah tunggu kedatangan tetamu paling istimewa dalam hidup saya ni.”
“Boleh ke kak Long tahu siapa tetamu istimewa kau tu, Yadh? Istimewa sangat sampai kau tak sedap hati macam ni.”
Dia pandang kak Long. “Kak Long ingat lagi yang saya kata dulu...saya nak kenalkan mereka pada majlis perkahwinan saya.” Ruzilah kerut dahi. Cuba mengingatkan kata-kata Riyadh. Kemudian dia menguntum senyum. “Pasal budak-budak tu?”
Riyadh angguk.
“Apa yang istimewanya budak-budak tu sampai kau nak gelisah macam ni. Anak kau ke?”
“Sebab…”
“Lah…tak siap lagi. Pukul satu dah ni Riyadh. Tak siap lagi ke? Ummi dan Walid dah bising-bising tunggu kamu di bawah ni. Pukul berapa nak sampai masjid nanti.”  belum Sempat dia habis cakap, abang Ngah yang lengkap berbaju melayu bewarna merah hati menegur.
“Cepat! Cepat siap.” Abang Ngah bagi arahan.
“Cepatlah siap Riyadh. Pakai kain sampin tu cepat. Nanti lambat pula. Kak long tunggu di bawah nak tengok budak-budak.” Ruzilah terus berlalu. Perbualan mereka terhenti di situ.
Riyadh mengeluh perlahan. Memandang sampin bewarna biru yang berada di atas katil itu. Arrgh! Kenapa hatinya kian resah gelisah ni. Sedangkan saat inilah yang selama ini dia tunggu.

            SEWAKTU kakinya melangkah ke masjid rombongan pihak Annis masih belum kelihatan. Jam sudah menunjukkan ke angka 1.30 petang. Dia akan dinikahkan selepas waktu Zuhur. Hati kian berdebar-debar. Fikiran melayang kepada Fazzura dan anak-anaknya yang belum kelihatan. Dia sudah beritahu kepada teksi agar bawa mereka ke sini. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Mana ni…tak kan  tak siap-siap lagi. Bisik hatinya pula.
Dia masuk ke dalam masjid menunaikan solat Zuhur. Hatiya merasa tenang.  Selesai berdoa dia segera berlalu keluar menuju ke kereta Alfa Romeo Giulietta miliknya. Niatnya mahu menghubungi Annis dan mahu tahu di mana lokasi Fazzura dan anak-anaknya. Perak ke Kuala Lumpur bukannya lama sangat pun. Dalam tiga jam dah boleh sampai.
Dia mendail nombor telefon Annis. Peti suara yang masuk. Ah! Annis ni satu hal. Telefon tak reti-reti nak cas.  Buat semua orang susah hati je dia ni. Selalu macam tu. Janji tak pernah nak tepat. Kalau pukul 1 janji dengan dia, pukul 2 baru sampai. Tapi dalam bab-bab nak menikah ni pun nak berlengah jugak ke? Dia geleng kepala. Kemudian dia telefon pula Fazzura. Pun tidak berjawab. Hatinya kian resah. Yang ni lagi sorang. Ada handphone simpan!
“Riyadh, tunggu di dalam aje lah. Mungkin kejap lagi sampailah tu. Biasalah perempuan mesti bersiap lama-lama. Lagipun baru setengah jam kita tunggu.” ujar walid yang datang menghampirinya. Dia nampak keresahan yang bertamu di wajah Riyadh.
“Dah setengah jam walid. Call tak dapat pulak.” jawabnya sambil ikut langkah walid masuk ke dalam masjid.
“Sabarlah tu...kejap lagi sampailah tu.” pujuk walid lembut.
Mereka duduk berborak dengan tok kadi yang akan menikahkan dia sebentar lagi. Dia rasa berpeluh. Dia rasa tak sedap hati. Ah! Kenapa ni…muka tok kadi ni bukannya nak telan dia pun. Tapi kenapa dia rasa macam tok kadi ni nak makan dia je. Aduhai…mana ni? Dia berpaling ke belakang. Memandang wajah ummi dan kak Long. Kak Long angkat isyarat tangan bertanya mana si Annis dengan mulutnya terkumat kamit. Kak Long jangan pressure boleh tak? Aduh! Sakit hati betul bab-bab menunggu ni.
Berulang kali dia cuba menghubungi Annis. Tetap tidak ada di dalam talian. Bila dia telefon Datuk Ramli dan Datin Hajar pun tidak berjawab! Jangan-jangan Annis dah buat hal. Dia mula merasakan ada yang tidak kena. Semua ahli keluarganya kelihatan gelisah. Kalau kau buat hal kali ni jangan haraplah aku akan maafkan kau Annis. Bisik hatinya marah.
Hampir pukul 2.45 telefon  bimbitnya berbunyi. Dia bangun menuju ke luar masjid. Nombor yang tidak di kenali tertera. Dia sempat memandang keadaan sekeliling manalah tahu kalau-kalau nombor telefon pemandu teksi yang bawa Fazzura ke sini.
“Waalaikumussalam.Ya saya Riyadh. Siapa di sana?”
Diam. Dia mendengar suara di corong talian menuturkan sesuatu.
“Subahanallah! saya akan ke sana segera!” Talian diputuskan. Lututnya terasa bagaikan hilang fungsi. Dia terus terduduk lemah dengan berita yang dia terima. Berita yang meragut keistimewaan di majlis perkahwinanannya. Berita itu…Ah! Berita itu membunuh semangatnya yang kian nipis. Ya Allah!
Mereka semua berlari anak menghampirinya. “Kenapa ni Riyadh?”soal walid. Semua mata memandangnya cemas.
Riyadh sebak. “Saya nak ke hospital.” ujarnya dan terus bangun. Semua ahli keluarganya saling berpandangan. Riyadh terus berlalu menuju ke kereta. “Abang Ngah ikut!”jerit abang Ngah sambil berlari mengejar Riyadh. Enjin dihidupkan dan pedal minyak ditekan. Kelajuan Alfa Romeo naik mendadak. Terasa Hospital itu terlalu jauh.
Inilah petanda bahawa kebahagiaannya bukan hari ini!

DIA berlari cemas saat sampai di hadapan bilik kecemasan. Terpandang dua tubuh yang sudah terbujur kaku diusung keluar untuk menuju ke bilik mayat. Hatinya hancur lebur. Tubuhnya menggeletar  saat membuat pengecaman. Matanya banjir dengan air mata yang turun lebat. Baju gaun warna putih yang juga kaku di sisi mayat makin membuatkan hatinya meraung hiba. Dia menangis teresak-esak. Dia yakin baju itu milik Aqilah.
Matanya kaku pada dua jasad yang tidak bernyawa itu. Darah merah jelas masih menitis dari luka di tubuh kedua-duanya. Ya Allah…kenapa pergi tinggalkan uncle dalam keadaan begini sayang. Kenapa tinggalkan uncle?kenapa tinggalkan uncle?Dia merintih dan terus merintih di sisi jasad yang tidak bernyawa itu.
Baru semalam mereka bergelak ketawa. Baru semalam mereka berceloteh. Jeritan Fazmizie yang menyebutnya uncle masih jelas kedengaran. Kenapa tinggalkan uncle di saat uncle terlalu menantikan kehadiran kamu berdua. Di saat uncle amat-amat memerlukan kekuatan dari kamu berdua.  Ya Allah, batinnya Sakit. Lebih sakit daripada Annis yang menghilang diri pada majlis pernikahan mereka tadi. Ah! Dia pasti sampai sekarang pun Annis tak kan muncul.
“Kenapa tinggalkan uncle pergi sayang. Uncle perlukan kamu berdua saat ini. Uncle belum tunaikan janji pada Aqilah dan Fazmizie. Bukankah uncle dah janji nak bawa kakak dan adik jalan-jalan. Kenapa tinggalkan uncle! kenapa sayang? Kenapa tinggalkan uncle saat semuanya belum lagi uncle tunaikan.” Dia terus teresak. Dia terlewat untuk menunaikan janji-janjinya. Sayang…!!!
Gaun putih milik Aqilah dan baju melayu bewarna putih milik Fazmizie dipandang sayu. Air mata kian laju mengalir di pipinya. Semalam juga Aqilah menyatakan kegembiraannya untuk hadir ke majlis perkahwinan dia. Katanya dia dan adik akan memakai baju bewarna putih. Ya Allah…mimpi-mimpiku yang lalu inikah jawapannya. Bukankah dia bermimpi yang mereka datang kepadanya dengan senyuman tanpa sebutir bicara pun. Allahuakhbar…
Adik...kali ini kita bertemu lagi di hospital. Tapi, pertemuan kita tidak seperti pertemuan-pertemuan yang lalu. Kali ini adik pergi tinggalkan uncle buat selamanya. Adik pergi bawa bersama kakak sebagai peneman adik. Ya Allah…berilah kekuatan untuk diriku! Kakak…celoteh kakak…kepetahan kakak  uncle pasti merindui semua tu nanti. Dia terus teresak.
Uncle janji akan jaga ibu…” tangisannya kian menderu laju. Baju pengantin kian basah dek air mata.
 Abang Ngah yang berada di sisinya turut sama sebak mendegar kata-kata yang keluar dari bibir Riyadh. Walaupun butirnya kurang jelas ianya sudah cukup untuk dia menyelami perasaan adiknya itu. Dia tidak tahu apa kaitan kanak-kanak ini dengan Riyadh. Tapi, dia dapat merasakan kasih sayang yang kuat ada dalam diri adiknya itu untuk jasad yang kaku tidak bernyawa ini. Dia sangka Annis di awal tadi. Rupa-rupanya kejutan lain pula yang dia dapat. Siapa budak-budak ni dalam hidup adiknya itu?
Oh Tuhan. Beriku kekuatan. Mereka telah membuka pintu hatiku untuk sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Tapi sayangnya, aku tidak mampu mengecapi kebahagiaan itu.
Untuk seketika dia bagaikan hilang arah dan tujuan. Kehilangan yang langsung tak terjangka dek akal fikiran. Kerinduannya akhirnya terubat namun bukan dengan gelak tawa tapi air mata yang mengiringi bicara. Tapak tangan kecil itu tidak lagi menyentuh bibirnya, hidungnya, dan matanya. Semuanya sudah kaku di situ. Kaku!
Bibir kecil itu tidak lagi berceloteh itu dan ini. Bibir kecil itu pucat dan masih ada kesan darah yang melekat. Ya Allah…Ya Allah…Ya Allah…kuatkan hatiku. Kuatkan hatiku.
Ya Allah… Aku redha padamu Ya Allah…kerana hanya engkau yang maha mengetahui apa yang terbaik untukku dan juga mereka ya Allah. Walau sementara cukup untuk aku merasakan kebahagiaan.  Ya Allah… kuatkan hatiku…








No comments:

Post a Comment