DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 6 March 2016

PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR - BAB 10

“BALIK-BALIK terus monyok aje ni dah kenapa,
kak?” tanya Shasha pelik. Keluar dari bilik, kakak serumahnya
tengah lepak di sofa dengan uniform masih belum bertukar.
Sah, balik kerja tadi belum mandi lagi. Hailah, bawa balik
kuman bermacam-macam, boleh lepak kat sofa macam ni.
Shasha geleng kepala.
“Haihhh...” Edlin mengeluh. Belakang tangan sudah
berada di atas dahinya.
“Dah kenapa?” ulang Shasha. Muka sikit lagi nak stres.
Stres tengok muka kakak serumahnya lawa sikit daripada ayam
penyet.
“Sha... Akak dengan anaest tu dah declare tadi!” Edlin
bangun terus menghadap Shasha dengan wajah bersungguh.
Tangan diletakkan di atas tangan Shasha lalu digenggam
kemas. Mata kelip-kelip!
“Eh, ya ke? Dah declare kekasih encik doktor ke? Wah...
Baguslah macam tu. Tahniah kak! Tahniah!” Shasha gembira
betul mendengar kata-kata kakak serumahnya. Tidak sia-sia dia
berikan strategi bengong tempoh hari. Tetapi, kenapa kakak
serumahnya mendung semacam? Sepatutnya gembiralah!
“Tapi kak, kenapa nak monyok pula?”
“Declare sebagai kawanlah...” Mulut dicebik. Frust.
Muka terus layu selayu-layunya.
“Hah?”
“Serius, dia tak boleh lupakan kawan akak yang koma
tu. Sedihnya...”
“Ohhh...” Shasha kelu. Selalunya Shasha banyak idea
bengong tetapi apabila bab macam ni, Shasha jadi mati akal
untuk mencari jalan. Siapalah dia bila berkaitan dengan cinta
sepenuh dan seikhlas hati.
“Jadi, akak nak give up?” tanya Shasha turut tumpang
bersedih. Dia dapat memahami perasaan kakak serumahnya.
“Dah nak kawan, kawan sajalah. Nanti tolong cari
kakak hang ni marka segaq-segaq naaa...” Edlin sengih. Apa
lagi? Teruskan hidup seperti biasa. Anggap saja lelaki itu hanya
sekadar watak tempelan. Orang yang lalu lintas dalam hidupnya.
Tutup buku!
“Nak segaq lagu mana kak aih?” Shasha cuba hiburkan
hati kakak serumahnya. Gelak tetapi ada pahitnya.
“Koman-koman lagu Hisyam Hamid pun jadilah...”
Edlin sengih sehingga sepet matanya. Namun begitu, biarpun
dia cuba melupakan, lelaki itu sudah membuatkan dia jatuh
cinta. Perasaan halus lagi berseni itu telah merasuk ke dalam
jantung kalbunya. Bukan mudah nak mengusir perasaan itu
tetapi dia akan cuba sekuat hatinya.
“Huiihhh... Tak menahan. Tu laki oghang. Jangan buat
pasal kak!” Shasha tergelak lagi. Tetapi, Shasha sangat kasihan
dengan Edlin. Kalau sudah jodoh bak kata Ustaz Mohd Kazim
Elias. Karang akan diajak kakak serumahnya itu menonton
siaran ustaz itu. Semoga kurang sikit perasaan sedihnya itu.
PASHA masuk ke dalam bilik isterinya berada. Adelia masih
juga begitu. Setiap hari melihat pemandangan yang sama
membuatkan Pasha rasa dia tidak sanggup melihatnya lagi.
Sampai ke satu tahap, Pasha ingin saja menjerit dan meraung
semahunya di situ. Biar jika ada orang mengatakan dia gila
sekalipun Pasha tidak kisah. Pasha tidak sanggup lagi menahan
perasaan yang ditahan-tahan sehingga hari ini, Pasha ingin
melepaskan segalanya. Menjerit kuat-kuat, biar satu dunia tahu
dia sangat-sangat menyesalinya.
Ya, dia mengaku dia adalah suami yang sangat jahat,
teruk dan kejam. Dia tak perlukan kemaafan. Dia hanya ingin
isterinya sedar kembali. Hanya itu...
Pasha menggenggam jari-jemari isterinya lalu dikucup
berkali-kali. Air mata yang menitis dibiarkan saja walaupun
jatuh ke tangan isterinya. Kulit halus Adelia basah dengan
air mata penyesalan Pasha lalu menyerap ke tisu-tisu dan
seterusnya ke salur-salur darah. Kimia yang dibawa dari hati
seorang suami yang penuh penyesalan mula bersatu dengan
jiwa yang terlantar kosong. Roh yang berlegar seperti tertarik
menghampiri jasad. Dengan kuasa Allah..
“Ya, Allah, bangunkanlah isteriku... Aku sangat
mencintainya...” Sayup ke telinga.
“Demi Allah, aku takkan mensia-siakan Adelia isteriku
lagi...” Semakin jelas kedengaran di telinga.
“Sayang, tolong bangun, sayang. Adelia... Bangun
sayang.. Abang janji, abang takkan sakiti hati sayang lagi.
Sayang bencilah abang semahu hati sayang tetapi tolong
jangan berhenti cintai abang.” Kedengaran sangat jelas di
telinga. Mata ingin dibuka tetapi terlalu berat. Terasa badannya
dihempap bongkah batu yang besar. Dia cuba juga membuka
matanya. Sejuring cahaya hampir kelihatan dan bunyi-bunyian
di sekelilingnya semakin membingitkan telinganya. Namun,
suara sayu itu semakin jelas di pendengarannya.
“Sayang ingat lagi tak masa kita sekolah dulu? Sayang
suka sangat makan coklat lebih-lebih lagi apabila mama buat
kek coklat. Kek coklat mama memang sayang suka sangat, kan!
Abang selalu usik sayang makan banyak. Pada suatu hari tu,
abang ingat sayang yang habiskan kek coklat tu, abang saja nak
kenakan sayang padahal abang dah tahu yang habiskan kek
coklat tu Aril tapi abang tetap nak kenakan sayang. Sebab...”
Semakin laju air matanya mengalir.
“Abang suka tengok sayang marah-marah. Dulu, abang
suka kutuk sayang hippo tapi sebenarnya sayang comel sangat!”
Daripada menangis, Pasha boleh tergelak lucu teringatkan
kenangan lama mereka. Adelia yang comel dan riang.
“Abang sukakan sayang sejak dulu lagi tapi abang
terlalu ego untuk mengakuinya. Abang hanya ingin yang
terbaik dalam hidup abang, abang fikir sayang tak cukup bagus
untuk abang. Tapi, lepas balik dari abroad, abang tahu... Abang
betul-betul tak matang. Lukakan hati sayang berkali-kali
walaupun abang terlalu menyedarinya. Abang tak perlukan
maaf, sayang. Tapi abang nak sayang bangun. Tolong bangun,
sayang...” Pasha tidak mampu membendung perasaannya
lagi. Teresak-esak menangis dengan wajahnya disembamkan
ke jari-jemari isterinya. Sungguh! Hatinya tidak mampu lagi
menahan perasaan bersalah yang terlalu membelit dirinya.
Demi Allah, dia terlalu mencintai isterinya.
“Abang takkan sakiti hati sayang lagi. Abang janji.
Kalau ingin abang bersumpah pun abang sanggup...” Kata-kata
Pasha terhenti. Terasa tangannya seperti ditarik. Matanya
terpegun melihat jari-jemari isterinya sedang bergerak-gerak.
Gerakan kecil tetapi cukup membuatkan Pasha menjerit kuat
memanggil jururawat.
“Adelia... Adelia...”
Cahaya semakin kuat mencucuk di kelopak mata
Adelia. Dengan sekuat hati dia membuka matanya.
IRFAN berdiri kaku di muka pintu. Riak wajah ternyata
sangat terkejut dengan panorama di hadapan mata. Irfan
melihat beberapa orang sedang mengelilingi Adelia. Mereka
sedang mengeluarkan endotracheal tube dari mulut Adelia atau
dipanggil extubated.
Suami Adelia juga berada di situ sedang menggenggam
erat tangan Adelia. Irfan sangat faham dengan situasi itu di mana
seorang pesakit itu dapat bernafas dengan dayanya sendiri tanpa
bergantung lagi dengan mesin ventilator. Erti kata lain, pesakit
sudah memberi respons walaupun tidak sedar sepenuhnya.
Irfan tarik nafas dengan sendu menyesak jiwanya.
Adelia akhirnya bangun juga. Irfan memanjatkan kesyukuran
ke hadrat Ilahi kerana menghidupkan kembali perempuan yang
sangat dia cintai.
“Delia... Terima kasih kerana bangun...” bisik Irfan
yang sudah menitiskan air matanya. Pilu kerana dirinya hanya
mampu berdiri sahaja di situ. Dia terlalu ingin menggenggam
tangan perempuan kesayangannya pada saat ini dan memberi
semangat. Namun, apa dayanya... dia tiada hak itu. Sungguh!
Irfan rasa sangat tidak berdaya.
EDLIN say u melihat lelaki itu. Sangat jelas di matanya lelaki
itu sangat mencintai Adelia. Edlin memandang ke dalam
menerusi cermin kaca. Dia dapat melihat dengan jelas dua orang
doktor dibantu dua orang jururawat sedang mengeluarkan
endotracheal tube dari mulut Adelia. Suami Adelia sedang
menggenggam erat tangan Adelia. Edlin juga sayu melihat
Dr. Pasha sedang menangis dan tidak sudah-sudah mencium
tangan isterinya.
Tidak lama selepas itu, keluarga Adelia muncul.
Keadaan semakin diselubungi sayu. Hanya kedengaran esak
tangis. Irfan masih di muka pintu. Hanya berdiri. Edlin tarik
nafas dalam-dalam. Dia harus lakukan ini.
“Doktor...” panggil Edlin terus menyentuh dan
menyulam jari-jemari Irfan lalu digenggam kemas. Irfan
kelihatan bingung. Edlin hanya tersenyum nipis, mengangguk
dengan renungan redup lantas menarik Irfan perlahan berlalu
dari situ.
KELU lidah Edlin ingin bersuara. Tidak pasti apa yang harus
dia bicarakan. Mereka berada di tangga kecemasan dan lelaki
itu kelihatan sangat sugul dan bersedih. Irfan yang sedari
tadi hanya berdiri, tiba-tiba terduduk di tangga lalu meraup
wajahnya. Kemudian kedua-dua belah tangannya disulam lalu
diletakkan di dahi.
Edlin yang sangat simpati dengan lelaki itu perlahan
mengambil tempat di sebelah lelaki itu. Edlin duduk di sisi Irfan.
Edlin merenung Irfan yang masih belum mengubah posisinya
sebentar tadi. Edlin terasa ingin membelai dan memberi
semangat kepada lelaki itu tetapi tangannya teragak-agak.
Akhirnya, tangannya hanya digenggam sendiri.
“Doktor...” Edlin cuba memujuk lembut. Dia sendiri
tidak tahu bagaimana tetapi dia tidak boleh melihat lelaki itu
berterusan begini.
“Ed...” Irfan yang tidak dapat menahan perasaannya lagi
meletakkan dahinya ke bahu kiri Edlin dengan mata terpejam
rapat. Edlin terkedu. Tidak menyangka Irfan boleh bertindak
sedemikian. Bukan pelukan tetapi sekadar meletakkan dahi di
bahunya membuatkan jantungnya hampir terperosok ke buah
pinggang. Hampir membuatkan dia tidak dapat bernafas dengan
normal. Edlin cuba bawa bertenang. Tarik nafas dalam-dalam
dan membiarkan Irfan dengan perasaannya.
“Sabar, ya...” Hanya itu yang mampu dikatakan dengan
nafas semput menahan rasa. Edlin menahan dirinya daripada
bergerak walaupun seinci. Bimbang lelaki itu akan terganggu
perasaannya.
“Ed... Saya patut sedar diri lebih awal. Walau
bagaimanapun, dia tetap bukan milik saya...” Irfan mendongak.
Kebetulan Edlin juga sedang menoleh ke sisinya. Mata mereka
bertemu, tepat!
Mata Edlin terkelip-kelip merenung mata sayu Irfan
yang suram cahayanya. Irfan semakin mendekatkan wajahnya.
Apabila hidungnya tersentuh hidung gadis itu, Irfan baru
tersedar lantas menegakkan badannya ke depan. Terkejut
dengan tindakannya sendiri yang hampir...
“Ehemmm.” Irfan berdeham. Situasi menjadi
sangat janggal dengan tindakan luar kawalannya sebentar
tadi. Irfan rasa bersalah dengan Edlin. Dia tidak sepatutnya
begitu. Benarlah kata orang, jika berduaan seorang lelaki dan
perempuan di tengah-tengahnya adalah syaitan.
Edlin juga mengalihkan badannya ke depan dengan
riak wajah keliru dan turut sama terkejut. Sentuhan hidung
lelaki itu di hidungnya membuatkan dia seperti hampir terkena
serangan jantung seketika tadi. Segalanya menjadi sangat
janggal dengan tiba-tiba. Patutkah dia berada di situ lagi?
“Doktor belum habis kerja lagi, kan? Er... Doktor, saya
balik dulu. Apa pun, saya harap doktor jangan fikirkan sangat.
Er... Maksud saya kat ICU tadi. Adel baru aje extubated, belum
recovery sepenuhnya lagi. Nanti doktor jumpa dia, cakaplah
dengan dia.” Edlin jadi kekok. Wajahnya terasa disimbah air
panas. Hangat dan Edlin sangat pasti wajahnya sedang merah
padam saat ini.
“Okey, awak baliklah...” Irfan bingkas bangun. Wajah
Edlin segan ditentang lama-lama.
“Okey, saya balik.” Edlin juga tidak berani membalas
pandangan lelaki itu setelah apa yang terjadi. Edlin terus
menuruni tangga tanpa ucapan selamat tinggal. Berlalu begitu
sahaja!
Di tempat parkir motosikal, Edlin termangu.
Jantungnya masih berdetak laju. Edlin sentuh hidungnya.
Tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. Hatinya direnggut
pilu. Semakin sukar hatinya ingin lari dari rasa itu. Rasa itu
membuatkan dia mula bermimpi. Bermimpi dunianya dihiasi
keindahan cinta daripada lelaki itu.
Alangkah indahnya lalu akan diatur rasa cintanya di
tempat terindah dalam hati lelaki itu juga. Edlin mengalirkan
air matanya tanpa disedari kerana dia hanya mampu bermimpi.
Edlin geleng kepala perlahan kemudian menghidupkan enjin
skuternya.
“INGAT aku tak?” tanya Edlin sambil tersenyum manis. Adelia
terkelip-kelip. Wajahnya kelihatan terlalu pucat dan sangat
cengkung. Sebulan dalam koma, nak harap wajah macam ratu
cantik memang taklah. Edlin dekatkan diri dengan Adelia.
“Aku, Ed!” Edlin tepuk lembut tangan temannya. Dari
segi psikologi, Adelia masih belum pulih sepenuhnya lagi. Adelia
kelihatan seperti orang bingung. Ini bukan drama atau filem,
sedar-sedar terus boleh berlari. Ini realiti memerlukan masa
untuk recovery dari segi ingatan, pertuturan dan pergerakan.
“Ed...” Suara Adelia serak-serak basah. Ingatan Adelia
masih kuat dengannya. Alhamdulillah...
“Shhh... Tak apa. Kau rehatlah. Aku gembira kau dah
sedar, Del!” Edlin tunduk lantas memeluk Adelia dengan erat.
Air matanya tumpah. Dia sayangkan Adelia, sahabatnya.
Adelia hanya mengangguk. Segaris senyuman hambar
diukir lemah. Edlin sapu tubir matanya yang basah.
“Aku doakan kau cepat sembuh. Wad sunyi tanpa kau,”
ucap Edlin juga tersenyum.
Edlin berpaling kerana dapat merasa seperti ada
seseorang di belakangnya. Oh... Edlin senyum nipis lalu
memberi ruang kepada lelaki itu bersendirian dengan wanita
dicintainya. Dengan langkah sayu, Edlin meninggalkan mereka
berdua. Edlin menuju ke tangga kecemasan, menapak naik ke
tingkat atas.
“Ed!” Edlin berpaling melihat wajah suram Irfan di
belakangnya. Kening Edlin bertaut pelik. Sekejap pula lelaki itu
bersama dengan Adelia.
“Oh... Adelia dah bangun...” Edlin tak tahu nak kata
apa. Mengagak Irfan mungkin ingin berbicara tentang Adelia
dengannya.
“Ya...” balas Irfan dengan wajah sedih. Sepatutnya,
Irfan gembira melihat wanita dicintainya telah sedar daripada
koma.
“Dia masih lemah lagi,” ujar Edlin memujuk. Mungkin
Adelia tidak melayan Irfan tadi.
“Berikan Adelia masa. Dia baru bangun...”
Irfan banyak menunduk dan membisu. Edlin tidak
sanggup melihat kesedihan di raut wajah lelaki itu demi
wanita lain. Dia tidak kuat. Baik dia beredar. Biarkan lelaki itu
bersendirian.
Edlin berpusing lalu memanjat tangga.
“Tunggu...” panggil Irfan. Mata mereka berdua
bertemu. Edlin nampak jelas mata lelaki itu berkaca-kaca. Hati
Edlin turut merasai kesedihan itu.
“Dr. Irfan...” seru Edlin cuba memujuk hati Irfan.
Irfan duduk di tangga. Caranya seperti semalam. Edlin
juga duduk di tangga tetapi bukan di tepi lelaki itu. Dia duduk
di tangga ketiga di belakang lelaki itu duduk. Memerhati Irfan
yang hanya membisu.
Edlin tidak berani rapat-rapat, bimbang jika kejadian
malam tadi berulang kembali. Edlin tidak sanggup jantungnya
melantun laju. Perasaan semalam sangat melukakan hatinya.
Dia tidak akan membenarkan perasaan itu berulang lagi.

No comments:

Post a Comment