DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 6 March 2016

PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR - BAB 9

SATU perkara tentang lelaki bernama Irfan yang
Edlin baru tahu, Irfan suka melakukan perkara yang ekstrem.
Edlin tak sangka Irfan boleh memanjat pagar jambatan
selepas itu menjerit kuat-kuat. Kalau nampak dek orang
lain, sah dikatanya hilang akal! Alasan hanya nak melepaskan
tekanan sangat tidak meyakinkan. Banyak lagi cara lain. Edlin
menggeleng dalam diam.
Mereka berdua sudah berada di restoran mamak. Edlin
memandang Irfan yang sedang sibuk dengan gadgetnya. Sibuk
download apa entah. Itu yang Irfan beria-ia sangat mengajak
dia keluar malam-malam. Mengeteh kata Irfan tetapi apa yang
Edlin lihat, Irfan sibuk membelek gadget sedari tadi.
Edlin memandang pula telefon bimbit cabuknya.
Hanya telefon bimbit biasa berjenama Nokia dan yang pasti tiada
rangkaian jalur lebar. Telefon bimbit cabuk diterbalik-balikkan.
Gaya orang kebosanan. Sungguh, Edlin dah naik bosan pula
berada di restoran mamak ini kalau setakat nak tengok doktor
seorang ini sibuk dengan dunia mayanya. Jadi, apa fungsi dia di
sini? Patung, eh?
Teh tarik dan roti telur selesai dimakan oleh Edlin.
Tetapi, gaya doktor seorang ini masih belum ada tanda-tanda
ingin pulang. Edlin keresahan. Walaupun esok dia bekerja
petang, namun waktu tidurnya sudah lama berlalu. Sudah
lewat tengah malam tetapi dia masih di sini. Orang kampung
sepertinya memang mata telah dilatih sedari kecil tidur awal
kalau tiada hal. Bukan macam orang bandar, malam masih
muda.
Edlin tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan
kantuknya. Dia menguap selamba di depan Irfan.
“Dah mengantuk?” Irfan baru perasan gadis itu sudah
menghabiskan makanannya dan gadis itu kelihatannya sudah
mengantuk. Mata pun nampak dah layu. Timbul rasa belas
dalam hati Irfan. Terasa kesal pula mengajak gadis itu. Dia
sebenarnya selalu terlupa gadis itu bukan Adelia. Edlin dan
Adelia sangat jauh berbeza. Kesukaan Adelia banyak persamaan
dengannya tetapi Edlin tiada persamaan itu.
“Eh, saya okey! Sudahkan kerja doktor dulu.” Edlin
tak sampai hati pula nak jawab memang dia mengantuk
sangat-sangat. Biarlah lelaki itu sudahkan kerjanya dahulu.
Anggap saja dia sedang bekerja malam. Habis cerita!
“Saya sikit lagi nak habis, tengah download tentang
kerja sikit.” Irfan rasa bersalah kerana terpaksa buat Edlin
menunggu lagi. Bukannya dia tiada kemudahan Internet di
rumah, tetapi entahlah... Mungkin dia sedang mengimbau
segala yang pernah dia lalui bersama Adelia. Tanpa sedar, dia
telah mempergunakan Edlin. Ah!
“Jangan risau, teruskan aje.” Edlin cuba menyedapkan
hati lelaki itu. Dia hampir menguap lagi tetapi ditahannya
sekuat hati. Akhirnya air matanya pula yang keluar. Haiyak,
cepat-cepat Edlin berpura-pura menoleh ke arah tv yang
tergantung di penjuru kedai. Kebetulan, seorang pekerja kedai
menukar siaran sukan. Tidak semena-mena mata yang layu
terus membulat. Wah, bola sepak!
mayanya. Perlawanan Liga Perdana Inggeris antara kelab
Chelsea dengan kelab Liverpool. Frank Lampard, haruslah
tengok! Edlin tak kisah jika Irfan masih ingin berlama-lama
lagi di situ, dia sudah terjumpa sesuatu yang menarik dalam
hatinya. Biarpun siaran ulangan, lantaklah. Janji bola sepak
kesukaannya.
“Ah, sikit lagi... Sikit lagi... Gol la, gol la...” Edlin
bersemangat melihat pemain kesukaannya Frank Lampard
sebagai midfielder Chelsea mengejar bola hampir ke gawang
gol. Restoran mamak sebelum dibuka siaran bola sepak
masing-masing buat hal sendiri tetapi apabila bola sepak sedang
bersiaran, semua mata terus tertumpu pada TV.
Irfan terkejut mendengar Edlin tiba-tiba menjerit
perlahan. Kelihatan Edlin teruja benar melihat perlawanan bola
sepak di tv. Ohhh... Irfan menyengih. Minat bola rupa-rupanya.
“Cepat! Cepat!” Edlin menjerit siap kedua-dua belah
tangannya digenggam kemas di depan mukanya. Sungguh
bersemangat walaupun cuba menahan perasaan terujanya
supaya tidak keterlaluan. Kalau di rumah, sah satu rumah
sudah bergegar. Ini di kedai mamak, berdepan pula dengan
Irfan, sebaik mungkin Edlin mengawal tingkahnya.
“Siaran ulangan, dia gol tak masuk! Lampard ke
Leopard, harap muka aje. Bukan pandai main sangat tu!”
Potong stim betullah siapa yang bersuara tadi. Kan, dah tak
surprise! Edlin menoleh ke tepi. Seorang lelaki dengan muka
yakin menuding jarinya ke arah tv kemudian Frank Lampard
memang tak dapat nak gol pun! Huh, kutuk Lampard pula tu!
Edlin naik angin.
Genggaman kedua-dua belah tangannya diturunkan ke
meja. “Hesy!” Edlin berdecit geram.
“Kenapa?” tanya Irfan. Pelik melihat mood Edlin
tiba-tiba berubah seperti sedang marah dengan seseorang.
Marahkan dia sebab terlalu sibuk dengan gadget ke? Irfan rasa
bersalah.
“Potong stim betul! Tengok ajelah, tak payahlah nak
cakap apa-apa!” Edlin pandang tidak puas hati dengan mamat
yang mengutuk Lampard tadi.
Irfan turut menoleh. Irfan nampak seorang lelaki
sedang sibuk memberi ulasan perihal perlawanan bola sepak
yang sedang berlangsung di tv . Siaran ulangan bola sepak.
Barulah Irfan faham mengapa Edlin tiba-tiba naik angin. Tak
ke comel namanya tu! Irfan sengih dalam diam. Mata tidak
putus-putus merenung wajah Edlin yang semakin menarik di
matanya.
Irfan perasan Edlin berdecit tidak puas hati lagi. Irfan
tersengih lagi.
“Pengulas sukan tak bertauliah tu, pedulikan!” pujuk
Irfan. Melihat pada perubahan emosi Edlin yang macam gunung
berapi nak meletup, baik dia mengajak anak dara itu pulang.
“Okey, kita balik!” Sebelum beredar, Edlin melempar
renungan tidak puas hati lagi kepada lelaki yang masih menjadi
pengulas sukan tidak bertauliah sehinggakan lelaki itu perasan
direnung tajam.
“Dah, dah. Jom kita balik!” Irfan terus menarik lengan
Edlin. Irfan pantas melarikan Edlin ke kaunter pembayaran
dan cepat-cepat selesaikan pembayaran. Tangan Edlin masih
kejap dipegang sehinggalah sampai di motosikalnya barulah
dilepaskan.
Kemudian Irfan mengambil helmet lalu dipakaikan
ke atas kepala Edlin. Sesudah memakai helmet untuk Edlin,
Irfan sengaja merenung lama ke dalam mata gadis itu. Irfan
ingin tahu keadaan emosi Edlin selepas keluar dari restoran.
Adakah masih beremosi? Namun sebaliknya, hati Irfan pula
terasa seperti ditarik-tarik dengan kejernihan mata bundar itu.
Hati Irfan bergetar aneh lagi. Irfan tiba-tiba berdeham, cuba
membetulkan keadaan emosinya yang tiba-tiba boleh bercelaru.
Jantungnya sudah berdebar dengan rentak lain. Irfan tidak
memahami perasaan itu.
“Baru saya tahu awak ni peminat bola sepak
rupa-rupanya. Kalau tak, tak adalah awak marah sangat dengan
lelaki itu tadi.” Irfan menepuk helmet Edlin. Saja nak bergurau
dengan Edlin. Apabila dia sekali lagi ingin mengetuk helmet,
Edlin sudah melarikan kepalanya jauh-jauh dengan kedua-dua
belah tangannya memegang sisi helmet. Lagak Edlin macam
Irfan nak mengetuk kepalanya pula.
“Haah, saya memang minat betul dengan bola. Mamat
tadi tu memang nak kena marah. Tengok diam-diam sudahlah!”
Edlin mengomel di dalam helmet fullface. Bunyi omelan dari
dalam helmet membuatkan Irfan tergelak. Bunyinya dah
macam sekumpulan lebah!
“Ed, awak memang comel!” Kedua-dua belah bahu
Edlin terus ditarik rapat.
Edlin kejung buat ke sekian kalinya. Tindakan Irfan
selalu buat jantung Edlin rasa nak jatuh menyembah bumi.
Mata Edlin terkelip-kelip di sebalik helmet. Fikiran terasa
lembab nak mencerna apa yang lelaki itu ingin lakukan setelah
menariknya terlalu rapat begini.
“Meh sini...” Irfan menunduk rapat, menyatukan
kedua-dua belah tali helmet lalu dirapi kemas.
“Oh...” Ingat apalah tadi. Hehehe...
“DR. PASHA!”
Edlin baru saja nak keluar dari bilik Adelia. Boleh
pula bertembung dengan suami Adelia, Dr. Pasha. Keadaan
Adelia masih sama, tiada perubahan. Namun Edlin teruskan
juga menjenguk Adelia seperti biasa. Tetap melakukan rutin
kebiasaannya seperti mengemas, merapikan, membacakan
bahan bacaan dan memperdengarkan bacaan Yasin untuk
Adelia. Hanya itu sahaja pertolongan yang mampu dia lakukan
demi seorang sahabat.
“Oh, awak...” Wajah sugul Dr. Pasha terpamer di
ruangan mata Edlin. Jatuh kasihan pula melihat suami Adelia
begitu. Biarpun sakit hati dengan perangai lelaki itu terhadap
Adelia, namun dia siapa nak nak menghukum orang?
“Dr. Pasha baru habis kerja ke?” tanya Edlin. Tidak
enak pula hanya berdiam diri sahaja dengan doktor itu.
“Haah...” Pasha menjawab pendek. Nadanya langsung
tidak bersemangat.
Perasaan simpati Edlin semakin tumpah kepada lelaki
itu.
“Dr. Pasha, saya dah tukarkan diaper dan bagi susu.
Cuma satu hal yang saya tak dapat buat pada hari ini. Dr.
Pasha tolong bacakan surah Yasin untuk Adelia, ya. Malam
Jumaat yang mulia ini, baik kita sama-sama mengharapkan
keajaiban daripada Allah. Berdoalah seikhlasnya. Harap Allah
mendengarnya.”
Edlin rasa dia dah macam ustazah bagi tazkirah kepada
Dr. Pasha. Bukannya nak memerli jauh sekali nak merendahkan
lelaki itu. Cuma, dia tidak dapat melakukan kebiasaannya kerana
dia keuzuran. Edlin berharap suami Adelia dapat membacakan
surah Yasin kepada Adelia.
Daripada duduk bersedih dan menyesal, baik
diperbanyakkan pembacaan al-Quran untuk diperdengarkan
kepada Adelia. Biarkan jiwa kosong temannya itu dipenuhi
dengan manfaat zat-zat daripada surah al-Quran. Berharap
jiwa Adelia dapat dihidupkan kembali. Edlin yakin, pasti ada
keajaiban di sebalik doa seorang suami yang benar-benar
menyayangi dan mencintai isterinya.
Pasha seperti direnjat dengan kata-kata teman isterinya.
Sungguh! Apa yang diperkatakan oleh gadis itu selama ini dia
tidak pernah memberikan apa-apa manfaat kepada isterinya.
Dia hanya tahu bersedih dan menyesali. Kini, dengan nasihat
gadis itu Pasha sudah terbuka hijab hatinya. Banyak masanya
terbazir dengan penyesalan tiada kesudahan. Pasha nekad dan
berusaha mengembalikan isterinya ke alam nyata.
“Saya baru sedar akan sesuatu... Kuasa Allah. Saya
terlupa tentang itu. Terima kasih menyedarkan saya.” Air mata
Pasha tiba-tiba bergenang. Tanpa rasa malu Pasha menangis.
“Maafkan saya. Saya hanya mengingatkan. Kita
sama-sama manusia biasa. Banyak kelemahan. Kita sama-sama
berdoa, Dr. Pasha. Saya keluar dulu Dr. Pasha.” Edlin tidak
sangka Dr. Pasha boleh menangis di hadapannya. Disebabkan
rasa bersalah dan hatinya mula merasa sebak, Edlin ingin
cepat-cepat beredar dari situ sebelum air matanya juga tumpah.
Berpusing sahaja, tidak semena-mena air matanya berpusu-pusu
keluar tanpa dapat ditahan lagi. Edlin terus keluar sambil
tangannya sibuk mengelap air mata yang berjejeran jatuh.
Sungguh, hatinya sangat sebak.
“Ed!” Terkejut namanya dipanggil, Edlin mendongak.
Tidak pasti sudah berapa lama lelaki itu berdiri di luar bilik
Adelia yang bercermin kaca. Mungkin Irfan sudah melihat
segala yang telah berlaku tadi. Edlin tidak menjawab, terus
melangkah laju keluar dari unit ICU.
“Ed...”
Edlin menoleh, Irfan sudah berada di belakangnya
dengan wajah suram.
“Doktor, saya nak balik dah. Okey, bye!” Edlin tiada
hati nak berbicara apa-apa dengan Irfan buat masa sekarang.
“Kejap!” Tangan Irfan cepat-cepat menahan lengan
Edlin daripada terus beredar. Edlin terpaksa juga menghadap
Irfan.
“Terima kasih awak tolong jagakan Adelia,” ucap
Irfan. Rasanya Edlin dah banyak kali mendengar kata-kata itu.
Lagipun Adelia sahabatnya. Dia lakukan demi seorang sahabat.
Irfan tidak perlu nak berterima kasih sangat dengannya. Edlin
menggigit bibir sambil memejamkan matanya sesaat. Ada
perasaan terbuku dalam hatinya.
Okey! Terpaksa akui...
Sebenarnya Edlin sakit hati! Kerana Irfan terlalu
mengambil berat tentang Adelia. Irfan kelihatan sangat
menyayangi Adelia. Edlin rasa cemburu!
“Hal kecik! Saya balik dulu. Okey, bye!” Tangan Irfan
dilerai agak kasar. Perasaannya hampir tidak tertahan.
“Ed, saya ada sesuatu nak cakap.” Irfan masih
menahan. Edlin tahu Irfan ingin mencurahkan perasaannya.
Tetapi malangnya Edlin tidak sanggup pula nak mendengarnya.
“Lain kalilah, doktor. Saya dah lambat ni!”
Edlin menepuk bahu Irfan supaya lelaki itu faham dan
bertenang. Edlin berat hati tetapi apakan daya, hatinya yang
tidak sanggup. Maaf sangat-sangat!
“Doktor, saya terpaksa balik. Esok-esok kita jumpa
dan sambung berbual lagi. Jangan risau, ya!” pujuk Edlin, cuba
menyedapkan hati Irfan.
“Okey, Ed! Nanti kita jumpa. By the way, awak seorang
kawan yang baik!” ujar Irfan, menghargai Edlin sebagai seorang
kawan.
Edlin terjeda. Kawan? Edlin hela nafas kecewa sebelum
berlalu.
Edlin sudah berada di tempat parkir. Sungguh! Edlin
sangat sedih. Baik dia balik rumah muhasabah diri, tidur.
Bangun pagi kemudian teruskan hidup seperti biasa. Itulah
yang sepatutnya!

No comments:

Post a Comment