EDLIN berjalan-jalan di Alamanda bersendirian.
Sudah biasa. Dia bukannya ramai sangat kawan. Shasha, adik
serumahnya bekerja. Kawan baiknya Adelia terlantar di ICU.
Entah bila akan bangun. Selalunya dia akan keluar dengan
Shasha atau Adelia. Tetapi hari ini dia hanya bersendirian.
Edlin masuk ke dalam kedai buku MPH. Saja-saja cuci
mata tengok novel baru di pasaran. Sambil membelek novel,
Edlin terpikat dengan sebuah novel dengan sinopsis menarik.
Kemudian dengan selamba dia membawa novel tersebut ke
rak buku paling rare orang nak masuk. Apa lagi, rak-rak buku
ilmiahlah. Jarang-jarang orang mencari buku di sini kalau tiada
keperluan.
Edlin mencari tempat yang sesuai dan paling
terlindung. Dengan selamba dia melabuhkan punggungnya
di atas lantai lalu membuka plastik novel yang dibawanya.
Memang tak patut! Edlin membuka muka surat novel dan mula
membaca. Kaedah dia sangat senang. Baca depan, baca tengah
dan kemudian baca belakang. Selesai!
Edlin membaca permulaan cerita dengan khusyuk.
Selamba dari helaian ke helaian yang lain. Dia tidak sedar di
belakangnya ada seseorang sedang membelek buku-buku di
atas rak.
Bedebuk! Dua, tiga buah buku terjatuh dan yang
malangnya, buku itu terus menghempap kepala Edlin
berkali-kali. Satu per satu.
“Adoi!” Edlin mengaduh sakit. Nasib baik bukunya
tidaklah besar sangat. Kalaulah buku yang besar dan berat,
harus masuk wad kerana kecederaan kepala. Siapa punya kerja
ni? Edlin bingkas bangun!
Bangun-bangun dia terus menoleh ke belakang
dengan riak wajah paling garang. Bersiap sedia nak menyembur
api kemarahan. Tetapi, matanya boleh pula terkelip-kelip.
Terperanjat!
“Awak tak apa-apa? Sorry, tak tahu ada orang kat
bawah, tak sengaja...” Seorang lelaki meminta maaf dengan
wajah bersalah. Edlin hanya terkelip-kelip. Kelu.
“Eh, kejap!” Lelaki itu tidak sedap hati apabila
tidak mendapat respons daripada si gadis. Dia terus pergi
mendapatkan si gadis di rak sebelah. Cerebral concussion, kah?
Si lelaki semakin tidak sedap hati. Buku yang terjatuh boleh
tahan tebal juga. Maklumlah, buku perubatan.
“Awak okey tak ni?” tanya Irfan sambil menjenguk
muka si gadis yang pucat lesi. Kaku tak bergerak sedari tadi.
“Errr... Saya okey.” Edlin seperti baru tersedar. Tidak
sangka betul boleh terjumpa lelaki itu lagi. Seminggu ini,
selalu sangat bertembung. Apakah maksud di sebaliknya? Edlin
pandang lelaki itu dengan wajah paling blur.
“Awak tak okey ni...” Irfan mengagak si gadis jenis
mudah lemah dan senang terkejut. Pasal tu jadi macam ni. Irfan
rasa bersalah pula
“Jom, ikut saya! Kita pergi food court cari minuman
panas, bagi awak selesa sikit. Awak nampak macam terkejut aje
ni,” ajak Irfan.
“Hah?” Edlin bertambah terkejut mendengar ajakan
lelaki itu.
“Jom.” Irfan senyum sambil mendepa tangannya,
mempersilakan si gadis berlalu dahulu.
Di medan makan...
“Terima kasih belanja minum Milo panas ni.” Edlin
senyum sambil menghirup Milo panas dengan berhati-hati.
Edlin sudah mulai tenang.
“It’s okay. Saya selalu nampak awak. Kerja kat mana,
ya?” tanya Irfan. Baru teringat dia selalu bertembung dengan
gadis itu di hospital.
“Saya kerja di wad Lapan Mawar,” beritahu Edlin.
Terdengar saja wad Lapan Mawar, Irfan terjeda. Itu wad
Adelia bertugas. Pasti gadis itu mengenali Adelia.
“Ooo...” Panjang nada Irfan.
“Saya pun selalu nampak doktor di ICU,” ujar Edlin.
Selepas itu dia tersenyum penuh makna.
Irfan buat muka tak faham.
“Saya dengan Adelia kawan sekerja. Saya selalu nampak
doktor pergi melawat Adelia,” beritahu Edlin.
Irfan pula yang terkejut!
“Saya tahulah sikit-sikit pasal Adelia, tapi tak
keseluruhan ceritalah. Kasihan Adelia. Saya pun kalau ikutkan
hati nak tumbuk-tumbuk muka suami Adelia tu tapi...” Edlin
menjongket bahunya sambil mencicip Milo yang masih terasa
panas.
“Okey, saya faham...” ujar Irfan dengan wajah agak
suram. Mungkin teringatkan Adelia yang masih belum sedar.
“Saya balik dululah!” Edlin tak sedap hati kerana buat
lelaki di hadapannya menjadi murung dengan tiba-tiba. Kepala
pun terasa sakit sedikit. Tangannya tanpa sedar bergerak ke
kepala lalu digosok perlahan-lahan. Terasa membonjol sedikit.
“Kepala awak tu...” Irfan nampak gadis itu menggosok
kepalanya. Mungkin terasa sakit. Irfan rasa bersalah lagi.
“Oh, sikit aje. Tak ada apa-apalah.” Edlin senyum buat
muka ceria. Tahan sajalah kepala yang terasa sakit. Kasihan
pula melihat wajah monyok lelaki itu apabila buka cerita pasal
Adelia.
“Betul ke?” Irfan ragu-ragu.
“Jangan risau, saya okey aje ni.” Edlin terus bangun.
Bersedia ingin beredar.
“Maafkan saya,” mohon Irfan sekali lagi.
“Eh, sikit aje ni.” Edlin sengih. Sikit? Huhuhu...
Karang tuam dengan air panaslah jawabnya.
Edlin minta diri lalu meninggalkan lelaki itu sendirian
di situ. Tetapi, sepertinya dia membawa satu perkara baru
dalam hidupnya.
PAGI-PAGI lagi, skuter pink kesayangan buat hal. Di tepi jalan
pula tu. Cubalah cari tempat yang sesuai sikit kalau nak merajuk
pun. Edlin susah hati apabila jam menunjukkan hampir ke
pukul tujuh. Ah, sah-sah lewat masuk kerja.
Haru, haru... Kalau nak buat perangai pun biarlah
sampai hospital dulu. Senang sikit aku masukkan kau terus
ke emergency. Parah betul sakit kau sekarang, ya? Sikit-sikit
batuk, sikit-sikit demam... Karang aku pula yang demam bawa
kau pergi jumpa doktor di bengkel, bebel Edlin dalam hati.
Edlin mengeluh. Dah tahu sangat kalau bawa jumpa pomen
mahu seratus, dua ratus ringgit melayang. Hai...
Edlin cuba menghidupkan skuter pinknya berkali-kali
namun tetap juga tidak mahu hidup. Nak tak nak Edlin terpaksa
menyorong skuter kesayangan ke hospital. Kalau diikutkan,
tidaklah jauh lagi tetapi apabila dah kena sorong, makan masa
juga. Berkeringat satu badan itu sudah pasti.
Edlin memandang sayu setiap kali ada motosikal lalu
atau kenderaan lain yang lalu. Tiada satu pun yang berhati mulia
nak berhenti dan menolong. Bukan dia mengharap sangat.
Sekurang-kurangnya kalau ada yang tanya pun dia dah senang
hati. Ada juga manusia mengambil berat akan kesusahan orang
lain. Ini, hampeh!
Edlin terdengar bunyi motosikal berderum garang dari
arah belakang. Kedengaran seperti bunyi motosikal berkuasa
tinggi. Edlin dah malas nak ambil peduli. Apa yang penting dia
ingin cepat sampai ke hospital. Deruman motosikal berkuasa
tinggi berlalu melepasinya. Tetapi apabila deruman motosikal
berkuasa tinggi kedengaran semakin dekat dengan telinganya,
Edlin terpaksa ambil pusing. Pelik kerana motosikal itu
berpatah balik. Edlin mendongak, terkejut!
“Skuter kenapa?” tanya Irfan dengan senyuman pagi
yang menceriakan. Bak mentari pagi menyinarkan cahayanya
ke seluruh alam. Edlin yang monyok kena sorong skuter seperti
baru mendapat tenaga solar dari alam semesta. Tiba-tiba jadi
bersemangat!
“Rosak...” kata Edlin. Matanya terus dihala ke arah
skuter ‘manja’nya.
“Oh... Meh saya tolong awak sorong skuter ni sampai
ke hospital.” Irfan menghulurkan pertolongan.
Edlin mengangguk. Orang dah nak menolong masakan
dia mahu menolak pula. Lagi-lagi pertolongan daripada lelaki
handsome macam ni, harus cek tak tolak!
Edlin terus naik skuter dan bersedia disorong dengan
motosikal besar lelaki itu. Sebelah kaki Irfan diletakkan di
tepi skuter Edlin. Irfan bertindak menyorong skuter gadis itu
sehingga ke hospital.
“Okey, letak kat sini.” Irfan tolong tolak skuter gadis itu
masuk ke tempat parkir. Kemudian dia menolak motosikalnya
pula. Bersebelahan. Dah rupa macam bersanding. Edlin
tersengih tanpa sedar. Kepala pula boleh terlebih berangan
macam mereka pula yang bersanding. Mak ai, jauh perginya.
Sedar diri tu sikit!
“Terima kasih, doktor,” ucap Edlin. Dia terlalu segan
dengan kebaikan lelaki itu.
“Oh, pertolongan kecik aje ni. Tak ada hallah!” Irfan
senyum seraya membuka glove. Kemudian dia membuka
helmetnya pula. Tangannya rancak membetul-betulkan
rambutnya yang serabai. Edlin terkelip-kelip melihatnya.
Handsomenyaaa...
“Ooo...” Edlin masih berdiri di situ padahal dia sudah
terlalu lewat.
“Awak dah bagi tahu yang lain belum? Awak lambat ni...”
tanya Irfan kerana gadis itu masih relaks, tidak terburu-buru
menuju ke wad walaupun jam sudah melepasi pukul tujuh.
“Eh, saya dah lambat!” Barulah Edlin kalut.
Irfan tergelak. Gadis itu kelihatan comel pula apabila
kalut macam ni.
“Kejap, skuter awak ni macam mana?”
“Er... Hmmm... Nanti saya cari pomen.” Dari wajah
kalut bertukar sugul. Kepalanya dah terbayang duit yang bakal
keluar macam air.
“Awak balik pukul berapa?” tanya Irfan.
“Pukul dua lebih. Tengok keadaan,” jawab Edlin
separuh hati. Kepala tengah sibuk berfikir macam mana nak
cari pomen.
“Pukul tiga saya habis kerja. Awak boleh tunggu saya,
nanti saya tengok skuter awak ni,” ujar Irfan. Dia tak sampai
hati nak tengok wajah gadis itu sugul. Mungkin gadis itu
bermasalah nak mencari tukang baiki skuter. Rasanya tak salah
menolong gadis itu. Lagipun dia adalah ilmu sikit-sikit tentang
baiki motosikal ni.
“Betul ke? Betul ni?” Edlin macam tak percaya lelaki
itu masih ingin menolongnya. Besar sungguh budi baik lelaki
itu jika ingin menolongnya yang sedang kesusahan macam ni.
Edlin sengih sampai telinga.
“Ya...” Irfan tergelak. Geli hati dengan reaksi lucu gadis
itu.
“Terima kasih banyak-banyak!” ucap Edlin
sungguh-sungguh.
“Tak apa. Hari tu saya tak sengaja hempap kepala awak
dengan buku. Anggap saja ini permohonan maaf daripada saya,”
ujar Irfan, masih rasa bersalah dengan kejadian beberapa hari
yang lepas.
“Ala... Doktor bukan sengaja pun, kan..” kata Edlin
cuba mengurangkan rasa bersalah dalam hati lelaki itu. Kepala
digosok tiba-tiba. Benjol pun dah hilang.
“Okey, pergilah masuk kerja. Nanti kita jumpa pukul
tiga.” Irfan mengingatkan Edlin.
Tersengih-sengih Edlin sebelum berlalu. Hati dah
melayang-layang macam layang-layang. Terasa hatinya
semacam saja ni. Hati bergetar aneh lagi.
HATI Edlin dah tak sabar menunggu ke detik jam tiga. Nasib
baik, wad tidaklah sesibuk mana. Selepas memberi laporan,
jam dua setengah dia sudah boleh balik. Lagi setengah jam
menunggu seperti setengah abad. Lamanya! Nak menunggu di
bawah macam panas sangat di luar. Sudahnya, Edlin bersolat
zohor dahulu di surau. Usai solat, ngam-ngam pukul tiga. Edlin
bersiap cepat-cepat. Tidak sabar nak berjumpa dengan doktor
kacak bersama Ducati Monsternya.
Sampai di tempat parkir motosikal, lelaki itu sudah
menunggu.
“Sorry, doktor pula yang kena tunggu.” Edlin
memohon maaf.
“Eh, saya baru aje sampai.” Irfan senyum menyedapkan
hati gadis itu.
“Ooo... Okey...” Edlin membalas senyuman lelaki itu.
“Meh, saya tengok skuter awak ni.” Tanpa berlengah
Irfan cuba melihat skuter gadis itu mana silapnya.
Edlin bertenggek di tepi, melihat skuternya dioperasi
oleh doktor anaest atau perkataan panjangnya anaesthetic.
Macam tak boleh blah, kan! Harap skuternya tak paralyse sudah!
Itulah satu-satunya kenderaan yang dia ada dan satu-satunya
harta yang dia ada. Buruk-buruk pun, sudah banyak skuter itu
berjasa dengannya.
“Dah berapa lama awak tak servis skuter awak ni?”
tanya Irfan. Wajah lelaki itu sudah kemerahan disimbah peluh.
“Errr...” Bila? Macam dah lama tak servis. Edlin tayang
sengih.
“Patutlah...” Irfan geleng kepala.
“Jadi?” tanya Edlin. Nak tahu juga diagnosis skuternya.
“Kejap, saya cuba hidupkan.” Irfan tekan starter. Tidak
lama kemudian, skuter dapat dihidupkan.
Edlin senyum lega.
“Awak kena bawa pergi servis. Saya tak jamin skuter ni
boleh bertahan lama.” Irfan ingatkan gadis itu.
“Beres. Balik nanti saya terus pergi bengkel,” kata Edlin
dengan yakin. Tapi dalam hati nak terus balik ke rumah sahaja.
Nak jumpa pomen, kena pergi ketuk tabung ayam di rumah
dahulu. Kalau rasa-rasa cukup, petang nanti dia akan pergi ke
bengkel. Kalau tak, kena tunggu gaji masuklah jawabnya.
“Okeylah kalau macam tu.” Irfan tersenyum sambil
mengesat tangannya yang dah berminyak hitam.
“Terima kasih, doktor!” ucap Edlin. Ceria sungguh
hatinya kerana skuternya sudah elok.
“Jangan lupa pergi servis tau! Nasib baik skuter buat
hal dekat dengan hospital. Kalau di tempat-tempat sunyi
bagaimana?” Irfan tak sudah-sudah mengingatkan gadis itu.
“Baiklah, karang juga saya pergi servis skuter saya.”
Edlin tersenyum lebar. Dalam hati, tengok keadaan tabung
ayamnya dahulu la.
TABUNG ayam dibuka dari bawah lalu dikeluarkan segala isi
yang ada. Kepala Edlin terus layu ke bawah. Hai...
Mana cukup! Edlin mengeluh lagi. Terlupa minggu
lepas dia sudah keluarkan sedikit duit untuk diberikan kepada
mak yang berada di kampung. Bulan ini memang perit sedikit
kerana banyak duit telah digunakan untuk adik-adiknya
membayar yuran sekolah. Gaji yang ada pun cukup-cukup
makan. Edlin mengeluh lagi.
“Harap kau boleh bertahan sampai hujung bulanlah
skuter.” Edlin merebahkan badannya ke atas tilam. Kelip-kelip
matanya merenung siling. Susah hati.
No comments:
Post a Comment