UNTUK kali pertama dalam hidup Edlin jadi
orang yang paling bengong! Kenapa? Semuanya kerana
doktor anaest itulah. Sepanjang malam dia berkepit dengan
telefon bimbit cabuknya. Puas ditilik nombor telefon doktor
itu. Dia berkira-kira ratusan juta kali ingin menelefon atau
membiarkan saja. Nak missed call? Huh, zaman tok kaduk nak
missed call bagai. Edlin tarik nafas dalam-dalam. Sungguh
dia tiada kekuatan untuk buat muka tembok macam Shasha.
Oh, cik hati! Sabarlah, kalau jodoh tidak ke mana, kan? Edlin
sedapkan hati.
Sudahnya, dia terlebih tidur dan terlewat ke tempat
kerja. Semuanya kerana doktor anaest itu hidupnya jadi
tunggang terbalik. Skuter pink disorong masuk ke tempat
parkir motosikal. Dengan tergesa-gesa Edlin menapak ke arah
lif. Sempat matanya toleh jam di tangan. Setengah jam lewat!
Edlin berharap sister tiada dalam wad, doa Edlin dalam hati.
“Hah, lewat!” sergah Noor.
“Overdose tidur. Bukan selalu...” Edlin sengih kemudian
terus menyusup masuk ke bilik locker. Dia menyimpan barang
kemudian buat-buat baru keluar dari tandas. Cantik punya
cover line!
“Hah, nampak pun muka kau!” tegur Kak Mira pula.
Baru nak tolak troli ubat.
“Ala, kak! Bukan selalu terlajak tidur.” Edlin tersengih.
“Hm...” Kak Mira cebik.
“Cutenya mak bambam ni...” puji Edlin cuba
mengambil hati Kak Mira yang sedang sarat mengandung.
“Pandai, nasib baik sister tak masuk wad lagi. Dah,
pergi bagi injection!” Mira gelak sambil tepuk bahu Edlin.
Edlin bekerja di wad seperti biasa. Balik kerja Edlin
singgah di ICU melihat Adelia seperti biasa tetapi tidak dapat
berlama kerana Dr. Pasha bersama dengan isterinya. Edlin
hanya menjenguk di tepi cermin melihat temannya masih tiada
perkembangan.
“Bila kau nak sedar ni?” keluh Edlin sebelum beredar.
Edlin lari menuruni tangga. Ingat dia nak singgah kafe
sebentar untuk tapau makan. Sampai di kafe, Edlin ternampak
doktor anaest pujaan hati sedang membeli makanan. Tidak
semena-mena, bibirnya mekar dengan senyuman. Mata sibuk
memerhati Irfan sedang beratur di kaunter pembayaran.
Kemudian matanya semakin mengecil ketika melihat seorang
perempuan yang beratur di hadapan Irfan asyik menoleh ke
belakang, senyum-senyum dengan abang doktornya. Tiba-tiba
terasa asap nipis keluar dari kedua-dua belah telinganya. Gatal,
tak padan dengan perempuan! Edlin bengang tak pasal-pasal!
Mood nak tapau makanan terus hilang. Baik dia blah!
Kalau diikutkan dia memang tidak layak atau lebih tepat lagi
jangan nak bermimpi sampai ke bintang. Irfan tidak akan pernah
nampak dirinya. Jadi, jangan nak bermimpi jadi kekasih encik
doktor. Edlin rasa berputus asa. Berpusing, terus menapak ke
tempat parkir motosikal.
Baik balik rumah sambung tidur. Nombor telefon Irfan
yang sudah tersimpan kemas di dalam memori telefon bimbit
cabuknya nantilah dia padam. Mood seperti orang merajuk
dengan teman lelaki.
“Ed!” Baru nak sampai ke skuter pink, namanya
dipanggil. Edlin berpusing.
Irfan dengan senyuman fantastiknya. Cair.
“Nak balik ke?” tanya Irfan lalu mendekati Edlin. Di
tangannya ada bungkusan makanan.
“Haah, nak balik!” Edlin balas senyuman lelaki itu.
“Bestnya, saya kena kerja lagi ni,” rengek Irfan dengan
senyuman tidak pudar di bibirnya.
“Ya ke? Kerja sampai pukul berapa?” Edlin saja
bertanya. Dia memang janggal nak berbual mesra dengan lelaki
itu.
“Sampai ke petanglah...” Irfan cebik dengan muka
kesian. Alahai... Lemah jiwa Edlin melihatnya.
Mereka berbual seketika. Sewaktu berbual, perempuan
yang cuba menggatal dengan abang doktornya tadi lalu di depan
mereka. Melihat dia sibuk berbual dengan abang doktornya,
perempuan itu menjelingnya. Tiba-tiba, terkeluar idea nakal
di dalam kepalanya. Edlin membalas pandangan perempuan
itu dengan senyuman sinis. Jari telunjuknya ditunjuk-tunjuk
ke arah Irfan, kemudian ditunjuk pula ibu jarinya ke dadanya
beberapa kali dengan maksud ‘dia aku punya. Ada faham!’ Terus
menjuih bibir perempuan gatal itu. Edlin jelir lidah. Irfan tidak
menyedari kenakalan yang dilakukan oleh Edlin di belakangnya.
“Petang ni tak pergi joging?” tanya Irfan.
Pertanyaan Irfan membuatkan Edlin fokus kembali.
Perempuan tadi sudah lesap entah ke mana. Edlin puas hati.
“Hm... Tak kut! Shasha kerja petang. Tak ada teman
nak pergi joging,” balas Edlin. Balik rumah tidurlah jawabnya.
“Kalau saya balik awal, kita boleh pergi joging
sama-sama,” ajak Irfan.
Ajakan Irfan buat Edlin terkejut gila. Kaki dan tangan
bahkan satu badan berpeluh sejuk tiba-tiba.
“Joging bersama-sama?” Edlin sukar nak percaya.
Ajakan Irfan bermakna mereka berdua sudah menjadi rapatkah?
“Yap, joging sama-sama.” Irfan dengan senyuman
pembunuh senyapnya. Tidak perlu penyakit tiga serangkai
untuk sakit jantung tahap kronik. Cukup senyuman semanis
gula itu. Mak cik-mak cik berpenyakit diabetes pun tiba-tiba
boleh tinggi bacaan gulanya jika terpandang senyuman Irfan.
“Awak tak penat ke?” tanya Edlin ragu-ragu. Balik
kerja terus nak pergi berjoging. Hm...
“Sekurang-kurangnya saya dapat hilangkan stres.
Penat tu, balik rumah boleh tidur awal. Esok pagi bangun
dengan bertenaga,” jawab Irfan dengan senyuman lagi tetapi
Edlin nampak kepahitan di situ. Mungkin kerana Adelia.
“Saya tunggu di tasik pukul enam petang.” Edlin
bersetuju untuk berjoging bersama-sama dengan lelaki itu.
“Kalau tak dapat datang nanti saya call awak. Contact
number awak dah ada pada saya.” Kata-kata lelaki itu buat muka
Edlin tiba-tiba jadi berseri-seri. Dia simpan nombor telefon aku?
Edlin seperti tidak percaya. Dia sangat teruja mendengarnya.
“Okey, okey...” Edlin tunjuk isyarat bagus dengan
kedua-dua belah ibu jari tangannya. Kemudian terus bergerak
ke skuter pinknya. Edlin lambai Irfan sebelum beredar.
DI TASIK Putrajaya, Irfan sedang menunggu si Ed tak
sampai-sampai lagi. Irfan tersengih apabila teringatkan si Ed.
Gadis itu sangat selamba orangnya. Irfan memandang sekeliling.
Di sinilah tempat dia selalu menghabiskan masa dengan Adelia.
Sengihnya diragut sugul tiba-tiba.
“Delia... Please wake up...” seru Irfan tanpa sedar.
Sedih benar hatinya. Dia cuba nak meneruskan hidup tetapi
hatinya tetap dengan Adelia setiap masa.
“Assalamualaikum, doktor!” Terdengar salam diberi
dari belakang. Irfan berpusing.
“Waalaikumussalam...”
Gadis itu sangat sempoi di matanya. Tidak bertudung
seperti Adelia. Namun, gadis itu punya kelebihannya tersendiri.
Mencuit hati dan comel orangnya.
“Awalnya doktor sampai? Kalau tahu, saya datang awal
sikit.” Edlin berasa segan buat lelaki itu menunggu. Dia rasa
nak ketuk kepalanya kerana mengambil masa yang lama untuk
bersiap. Cemas sangat nak keluar berdua dengan lelaki buat kali
pertama punya pasal. Puas dia menilik diri di depan cermin.
“Tak adalah. Keluar dari OT, saya terus ke sini,”
Mereka berdua mula berjalan perlahan-lahan di trek
joging. Masing-masing kehilangan kata dengan tiba-tiba.
“Er... Cantik kasut!” Edlin pejam mata. Cantik kasut?
Biar betul kau ni! Kasut? Tak ada topik sangatkah nak tanya?
Adoi...
“Kasut dua tahun sudah ni. Cantik?” Irfan tergelak.
“Kasut ni saya saja spare kat locker. Kasut lama, tapi terima
kasih puji kasut saya cantik.” Kasut jenama Nike ditilik seketika.
Nampak kelusuhannya tetapi dikatakan cantik pula oleh Edlin.
Irfan sengih tak pasal!
“Oh...” Edlin garu belakang lehernya. Apa dia mengarut
ni! Edlin paksa senyum. Malunya...
“It’s okay. Jom, kita lari. Siapa cepat sampai kat depan
sana tu, dia menang.” Irfan mula berlari setempat. Belum
sempat Edlin nak buka langkah, Irfan sudah berlari laju.
“Mana aci!” Edlin menjerit nyaring. Irfan mengelat!
Irfan tergelak-gelak di depan. Edlin pecut cuba
melepasi Irfan tetapi lelaki itu lebih pantas daripadanya. Dia
jauh ketinggalan di belakang.
“Tak aci, tak aci, tak aciii!” Edlin jerit sebaik saja dia
sampai. Dia termengah-mengah mencuri nafas.
“Did I mention earlier there’s no rules? Hahaha...”
Irfan bantai gelak. Riang dapat kenakan Edlin.
“Main tipu! Mana aci!” Edlin berpeluk tubuh. Bengang!
“Okey, okey... Sorry... Muka merah macam udang
galah. Jangan marah-marah...” Keluar pantun dua kerat. Irfan
senyum sambil buat muka cute cuba pujuk Edlin.
“Budi bahasa budaya bangsa, tahu tak orang terasa!”
Hambik!
Irfan bantai gelak lagi. Perutnya senak asyik gelak dari
tadi. Gadis itu sangat lucu orangnya.
“Hei...” Edlin bersedia nak bagi penyiku. Syok betul
anak orang sorang ni bantai gelak. Tak pandang sekeliling dah.
Apa yang lucu sangat pun tak tahu. Sebelum ni rupa macam
tapai masam minta kasihan, sekarang muka macam minta
penampar! Huuu... Sabor... Sabor...
No comments:
Post a Comment