DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 6 March 2016

PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR - BAB 6

“BARRIER...” Shasha tiba-tiba muncul.
Edlin pandang Shasha yang baru lepas mandi. Tengah
rancak mengeringkan rambutnya.
“Apa tu?” Edlin tak faham.
“Barrier nursing tahu?”
“Ooo... Standard precaution untuk pesakit dan care
giver. Jadi?” Belum tangkap apa nak disampaikan oleh Shasha.
Metafora sangat!
“Apply pada hidup kita, barrier in love. Halangan
dalam cinta... Langgar saja dinding tu, kak! Buat apa
segan-segan!” Selamba. Nasihat apa tu? Barrier nursing untuk
halang jangkitan daripada pesakit kepada pesakit yang lain atau
daripada orang lain kepada pesakit. Apa kena-mengena?
“Masalah akak ni... barrier... Halangan. Jangan halang
hati untuk menakluki satu hati dan jangan halang hati ni untuk
ditakluki.” Pergh. Edlin boleh ternganga dengan kata-kata
Shasha
“Sha... Otak kau tersumbat apa? Sejak kau dengan
doktor telinga, hidung, tekak kau tu, semacam aje kau sekarang.
Barrier la sangat!” Bantal dibaling ke arah Shasha. Tergelak
budak tu!
“Kak, dialah telinga, dialah hidung, dialah tekakku
tau!” Shasha gelak-gelak. Dia pun sama. Asyik dengan cinta
yang mula mekar. Oh, Dr. Azrul... Tangan ke dada.
“Hm... Tapi dia suka orang lainlah, Sha. Suka bukan
setakat suka biasa-biasa tapi luar biasa.” Edlin kembali monyok.
Kenapa hati cepat sangat kena tawan? Susahlah kalau macam
ni.
“Hah, ya ke?” Shasha jeda seperti berfikir.
“Hm... Macam susah aje.” Edlin belum apa-apa sudah
berputus asa.
Pap! Tepat-tepat bantal jatuh ke muka. Siapa lagi yang
rasa nak membaling kalau bukan Shasha. Bengang sebab kakak
serumahnya sudah berputus asa sebelum berjuang. Belum
apa-apa lagi sudah angkat bendera putih. Mana tak melayang
bantal ke muka. Padanlah muka!
“Hei!” Edlin menjerit. Tak pasal kena baling dengan
bantal, apa hal?
“Jangan cepat putus asa macam ni. Kena berani!”
Kedua-dua belah tangan digenggam penuh semangat
betul-betul di hadapan muka Edlin.
“Berani tu kalau ada jual kat pasar malam selonggok
sepuluh ringgit, dah lama akak belilah.” Edlin mencebik. Kalau
setakat cakap memanglah mudah. Nak mulakan langkah tu,
aduh mak ai... Lemah lutut cek! Lagipun Edlin sangat pasti hati
lelaki itu masih untuk Adelia. Ingat mudah?
“Okey, nampak macam complicated tapi tak mustahil,
kan! Kak, kak!” panggil Shasha siap tepuk-tepuk paha kakak
serumahnya.
“Apa?” Suara pun lemah.
“Aja-aja fighting!”
“Hm...” Edlin mencebik sampai sepet mata. Macam
comellah kononnya!
“Kak, muncung itik macam ni kalau jual kat pasar
malam sepuluh ringgit selonggok pun orang tak mahu beli.
Buruk!” kutuk Shasha terus bingkas bangun. Sebelum bantal
melayang baik dia blah!
“Sengal!” jerit Edlin juga bangun. Tapi, Shasha dah
selamat tutup pintu biliknya rapat-rapat.
EDLIN baru nak meletak kepala ke atas bantal, telefon bimbit
cabuknya berdering. Edlin terus menjawab panggilan tersebut
tanpa melihat siapa yang memanggil. Bajet tahu sangat siapa
yang menelefon. Siapa lagi kalau bukan mak tersayang.
“Mak, kak long nak tidoq da. Mak nak hingaq tunggu
cheq balik dulu naaa.” Edlin dah tahu sangat emaknya kalau
telefon tu tiada perkara lain nak bertanya kalau bukan pasal
kahwin. Sibuk bertanya dah ada calon atau belum. Masalahnya,
mak heboh bertanya tapi tidak pula heboh mencari calon
untuknya.
“Helo..”
Kepala baru nak mencecah bantal terus menegak.
Suara lelaki!
“Er... Helo... Siapa?” tanya Edlin sambil menggigit
kuku. Macam pernah dengar aje suara.
“Saya ni...”
Okey, jantungnya terus berlari seribu meter tanpa
henti.
“Oh... Doktor...” Edlin cuba mengawal suaranya yang
nyata gugup. Tangan diletakkan ke dada. Terasa jantungnya
melantun laju.
“Dah tidur?” Edlin tarik nafas. Mungkin masa macam
ni bagi sesetengah orang lain baru nak memulakan harinya
tetapi baginya dah tentu-tentu nak tidur.
“Bolehlah... Tidur-tidur ayam.. Karang baru nak
tidur-tidur gajah.” Edlin tidak semena-mena menguap besar
siap berbunyi lagi.
Kedengaran suara Irfan tergelak. Tak habis-habis nak
gelakkan orang! Edlin menggumam.
“Mengantuk sangatlah tu...” ujar Irfan lembut tetapi
kedengaran manja di telinga Edlin. Lemah, lemah segala urat
sendinya mendengar.
“Mengantuk...” Tiba-tiba terkeluar suaranya seperti
merengek. Edlin jelir lidah dengan jari telunjuk ditunjuk ke
lidah yang dijelir. Lagak seperti meluat dengan dirinya sendiri.
“Dengar suara awak tiba-tiba jantung macam lemah
aje. Ton seksi sangat kut!” Irfan gelak lagi.
Edlin terkelu. Suara lelaki itu sangat menusuk ke hati.
Kenapa lelaki itu bersikap begini dengannya? Dia tidak kuat
menampung perasaan yang semakin menular dalam hatinya
sekarang. Tolonglah...
“Doktor call saya kenapa, ya?” tanya Edlin ingin tahu
jika ada hal penting. Dia tidak boleh asyik melayan perasaan
yang tidak tahu hala tujuannya. Karang dia juga yang parah nak
mengubati hati.
“Esok awak free tak?” tanya Irfan seperti teragak-agak.
Edlin yang mendengar juga teragak-agak. Takut
tersilap dengar.
“Hah?”
“Esok saya off tapi saya tak tahu nak pergi mana?
Nak duduk rumah macam boring.” Irfan cuba mengajak
Edlin keluar. Tetapi terselit perasaan bersalah sepertinya dia
menggunakan Edlin sebagai pelepas rasa bosannya. Dan dalam
waktu yang sama mengalihkan fikirannya daripada memikirkan
Adelia yang entahkan bila akan bangun. Irfan rasa dia tidak
patut tetapi dia tetap melakukannya. Tidak tahu kenapa.
“Hah?” Edlin macam tersalah dengar. Dia mimpi ke?
“Teman saya keluar jalan-jalan esok, nak?” Kali ini
Irfan mengajak secara serius. Mungkin Edlin tidak percaya
dengan ajakannya.
“Ah, okey...” Edlin setuju. Riak wajahnya sangat
terkejut. Bulat mata! Kalaulah Irfan melihatnya pasti akan
ketawakannya sambil guling-guling. Reaksi melampau!
“So, kita jumpa esok. Saya datang ambil awak kat
rumah, boleh?” Irfan telah tetapkan janji temu mereka dan juga
berbesar hati ingin menjemput Edlin di rumah.
Lagi bulat mata Edlin dibuatnya. Edlin cubit pahanya
yang terasa sakit jadi dia bukan bermimpi.
“Ah, boleh... Boleh...” Mata Edlin terkebil-kebil. Biar
betul?
Talian ditamatkan tetapi jantung Edlin masih berlari
kencang. Edlin kipas-kipas mukanya yang terasa panas. Fuhhh...


No comments:

Post a Comment