KETAR lutut nak panjat motosikal besar Irfan. Lagi
gemuruh apabila dia sudah berada di atas motosikal besar itu.
Edlin cuba bertenang sebaik mungkin. Relaks, Ed...
“Pegang kuat-kuat!”
Edlin teragak-agak nak memegang bahu Irfan. Tetapi,
apabila terdengar deruman garang motosikal barulah Edlin
pegang jaket Irfan kiri dan kanan. Apabila Irfan mula memecut
motosikal besarnya, Edlin kalut memeluk pinggang lelaki itu
pula. Laju dan sudah tentu dia gayat, okey!
Mereka sampai ke KLCC.
Dari Putrajaya ke KLCC. Terasa lututnya menggigil
sewaktu turun dari motosikal. Serius, ini perkara baru dalam
hidupnya. Namun begitu, Edlin cuba mengawal perasaannya
sebaik mungkin di depan Irfan.
“Alright, dah sampai...” Irfan senyum seraya
membetulkan rambutnya. Helmet fullface pula sudah
diletakkan di atas tangki minyak motosikalnya
Mata Edlin terkelip perlahan menuruti setiap tingkah
Irfan yang sedang membetulkan rambutnya. Terasa sesuatu
dalam hatinya. Edlin pejam mata, tarik nafas dalam-dalam...
Kemudian Edlin cuba senyum menutupi gemuruh
dalam jiwanya. Sambil itu tangannya juga sibuk membetulkan
rambutnya yang kusut. Hari ini dia hanya memakai t-shirt dan
jean. Rambutnya pula dilepas bebas. Edlin tidak pasti dengan
penampilannya tetapi inilah dirinya. Sempoi!
Mereka berdua berjalan-jalan di dalam KLCC. Edlin
perhatikan lelaki itu sentiasa menjadi perhatian perempuan
yang lalu-lalang. Edlin tiba-tiba terasa kerdil. Mereka berdua
terlalu banyak perbezaannya. Perasaan rendah diri membuatkan
Edlin rasa nak berjalan jauh sebatu dari Irfan.
“Abang Irfan!” Irfan dipanggil oleh seseorang. Mereka
berdua serentak berpaling. Seorang gadis comel berusia belasan
tahun bersama beberapa temannya menyapa riang Irfan.
“Cici buat apa kat sini?” Irfan menegur ramah anak
kawan uminya.
“Jalan-jalan, shopping, tengok movie... Abang pula
buat apa di sini?” tanya Cici sungguh riang. Teman-teman Cici
juga kelihatan sangat teruja dengan Irfan. Edlin ditolak ke tepi.
“Ya ke? Samalah. Jalan-jalan dengan kawan abang.”
Pandangan Irfan baru beralih ke arah Edlin yang sudah jauh ke
belakang. Irfan pula dikelilingi gadis-gadis muda.
Senyuman Irfan Edlin balas dengan senyuman
mendatar saja. Janji temu mereka bukan janji temu lagi. Edlin
hanya mampu melihat gadis-gadis muda itu mengerumuni
Irfan. Bengang tetapi dia tiada hak ke atas lelaki itu. Sungguh,
Edlin berkecil hati tetapi dia bukannya sesiapa bagi lelaki itu.
“Kita tengok wayang okey tak abang? Ramai-ramai
baru best!” ajak Cici selamba memeluk lengan Irfan. Edlin yang
jauh di belakang cuba menahan perasaannya yang rasa nak
meletup. Eee.. Tak padan budak sekolah!
“Ed, awak okey?” tanya Irfan. Dia menoleh ke belakang.
Edlin jauh sekali di belakang. Irfan jadi tidak enak.
“Hah, apa?” Edlin buat terpinga-pinga. Kalau boleh
nak dihalau budak-budak ni sekarang juga!
“Tengok wayang okey kan, mak cik?” Cici tayang
senyum comel. Tapi pada pandangan mata Edlin nampak sangat
kepalsuannya. Teman-teman si Cici masing-masing berpeluk
tubuh dengan senyuman sumbing mengirim telepati tidak
senang dengan kehadiran ‘mak cik’ seorang ini.
“Mak cik okey aje...” balas Edlin dengan senyum senget
dengan mata hampir sepet. Mak cik? Sabar... Sabar...
“Mak cik dah setuju. Jom abang kita beratur beli
tiket.” Cici riang menarik lengan Irfan sampai ke TGV. Diikuti
teman-temannya dan akhir sekali Edlin mengekori dari
belakang dengan langkah malas.
Sekali lagi Edlin rasa nak meletup apabila disuruh
membeli tiket wayang untuk mereka semua. Dia seorang diri
pergi beratur membeli tiket? Huh, mana aci! Tetapi, Edlin tidak
pula membantah malah tanpa banyak bunyi terus bergerak
ke kaunter tiket. Edlin menggeleng dan mengeluh. Dia tidak
percaya boleh mengikut sahaja suruhan budak hingusan.
“Eh, biarlah abang belikan. Kamu semua tunggu
di sini.” Irfan cuba menahan Edlin yang sudah bergerak ke
kaunter tiket.
“Ala, abang... Mak cik ni baik, sporting... Biarlah mak
cik yang pergi beli.” Cici cepat menarik lengan Irfan menahan
daripada pergi.
Lirik mata Cici ke arah Edlin seperti memaksa Edlin
pergi saja dan jangan nak menyibuk dengan mereka semua.
Edlin tarik nafas. Okey.
“Saya boleh beli!” Edlin mengalah. Budak-budak,
ikutkan ajelah! Sabar banyak-banyak, mak cik.
“Er, okey...” Irfan serba salah tetapi pegangan erat Cici
di lengannya terpaksa buat dia setuju. Sungguh! Dia cukup
rasa bersalah. Dia menghantar pandangan rasa bersalah ke
arah Edlin yang mula beratur membeli tiket. Bukan seorang
dua tetapi ramai yang beratur. Maklumlah hari minggu. Irfan
mengeluh dalam diam.
Tidak habis di situ, sementara menanti wayang bermula
mereka menghabiskan masa di tempat permainan video. Irfan
mendekati Edlin yang tidak banyak bercakap sepanjang mereka
bersama. Sebelum sempat bertanya, Cici datang menghimpit.
Bahu Edlin sengaja dilanggar kuat menyebabkan Edlin ke tepi
dan jauh dari Irfan.
Edlin terasa nak meletup tetapi dia cuba memujuk hati
supaya banyakkan bersabar. Sabar itu separuh daripada iman.
Ingat tu, Ed! Edlin mengingatkan dirinya.
Teman-teman Cici pula sedang rancak bermain game
netball. Masing-masing menunjukkan skil kononnya handal
dalam permainan bola jaring. Edlin mencebik.
“Mak cik tengok-tengok ni pandai main ke?” Teman
Cici yang perasan Edlin mencebik, mencabar Edlin. Mereka
semua memandang Edlin dengan muka berlagak mengalahkan
apa!
“Mak cik tak pandai main, tangan bangku!” Edlin
tayang muka selamba.
Muka mereka semua macam tak puas hati.
“Macam penakut aje mak cik ni!” Teman Cici yang lain
mencabar lagi.
“Korang ni... Mak cik ni kan dah tua. Agak-agaklah...”
tambah Cici sengaja memperlekehkan ‘mak cik tua’ di depannya
dengan muka sinis.
Okey, cukup! Edlin tayang senyum paling ‘manis’.
“Mak cik nak try mainlah...” kata Edlin kemudian terus
ke kaunter untuk menukar token. Siaplah korang semua!
Budak-budak tersebut sudah bersiap sedia nak
memperlekehkan mak cik cukup-cukup tetapi mereka hanya
mampu ternganga setelah melihat ‘mak cik tua’ selamba saja
memasukkan ke semua bola-bola yang ada ke dalam jaring
seperti makan kacang saja lagaknya. Sudahnya, Edlin mendapat
mata paling tertinggi. Tidak pernah seorang pun yang mampu
capai ke tahap itu dengan sekali main sahaja.
Irfan tepuk tangan dengan wajah terlalu kagum.
“Terrornya awak main!” puji Irfan sewaktu berjalan di
sebelah Edlin.
“Biasa aje awak. Saya main peringkat negeri masa
saya sekolah dulu. Dah lama tinggal, tangan pun dah kaku,”
kata Edlin dengan rendah diri. Senyuman dilemparkan ke arah
kawan-kawan Cici semanis mungkin. Hambik kau!
Masing-masing mencebik. Langsung tiada bunyi.
“Saya nak pergi gents kejap! Cici, kejap ya!” Irfan
tiba-tiba minta diri ke tandas.
Pemergian Irfan, Cici dan teman-temannya mula
mengerumuni Edlin. Masing-masing dengan muka gengster
kampung dusun. Apa hal?
“Cici tengok mak cik macam tak gembira aje... Macam
boring aje...” kata Cici.
Edlin hanya tayang senyuman bersahaja.
“Tengok movie pun mak cik macam tak ada mood
aje, apa kata kalau mak cik balik. Biarkan kami dengan Abang
Irfan, hm...” Nampak sangat menghalaunya. Edlin tarik nafas
dalam-dalam.
“Cici, kan?” Edlin tanya nama Cici betul-betul.
“Ya, Cici!” Cici berlagak diva.
“Cici ke, tikus yang cit... cit... cit... tu ke atau cit poodah
ke... mak cik dah beratur panjang-panjang beli tiket dah tentu
mak cik nak tengok movie tu, okey!” Senafas Edlin ‘belasah’ si
Cici diva ni cukup-cukup!
Tiba-tiba Cici ketawa buat Edlin pelik. Apa hal?
“Apa yang lucu sangat?” Terdengar suara dari belakang.
Oh, patutlah!
“Tak, mak cik ni kelakar sangat boleh masuk Raja
Lawak Astro. Buat lawak bodoh betul!” kata Cici masih ketawa.
Dalam ketawa sempat nak kenakan ‘mak cik tua’.
Edlin senyum senget. Memang kurang ajar!
Irfan jeda dengan kata-kata Cici yang kedengaran
macam tak patut. Tetapi, tidak lama kerana Edlin menggesa
mereka semua ke pintu masuk TGV. Wayang sudah hampir
bermula. Mereka semua sibuk beratur. Disebabkan Edlin yang
memegang tiket wayang, mereka semua beratur selepas Edlin
dan Irfan.
Edlin dan Irfan sudah lepas masuk ke dalam. Cici
menonong masuk ke dalam sebelum teman-temannya kerana
kalut nak mengejar Abang Irfannya tetapi ditahan oleh pekerja
TGV yang menjaga pintu masuk.
“Dik, tiket dulu!” Pekerja TGV tadah tangan.
Cici terkulat-kulat. Sangkanya ‘mak cik tua’ sudah
berikan tiket mereka semua. Masing-masing terpinga-pinga!
“Mak cik saya kat depan tadi tak bagi tiket ke?” tanya
Cici kalut. Berusaha juga nak masuk ke dalam. Mungkin pekerja
TGV itu silap.
“Dik, kalau ada tiketnya dengan senang hati saya bagi
masuk. Masalahnya tak ada! Jangan buat macam ni, ramai
lagi yang nak masuk tu. Agak-agaklah dik oi kalau nak masuk
percuma pun!” Pekerja TGV dah mula naik angin. Penonton
wayang yang lain sudah ramai yang merungut. Cici dan
teman-temannya ditolak ke tepi.
“Urghhh!” Masing-masing mendongkol geram kerana
telah dipermainkan cukup-cukup oleh seorang ‘mak cik tua’.
“EH, mana mereka semua?” tanya Irfan. Pelik kerana Cici dan
teman-temannya masih belum kelihatan. Semua tempat telah
dipenuhi para penonton. Irfan pandang pelik ke arah Edlin.
“Oh, lupa! Saya tak cukup duit tadi jadi saya beli tiket
untuk saya dan awak sajalah,” kata Edlin lalu popcorn disumbat
masuk ke dalam mulut dengan selamba. Kemudian meneguk
air Coke dengan muka tanpa perasaan. Matanya pula sibuk
melihat iklan wayang ditayangkan.
Akhirnya, Irfan tergelak sendiri. Cukup menggelikan
hati! Nasib baik mereka berdua di dalam panggung wayang.
Kalau di luar tadi mahu dia gelak guling-guling. Serius, awek
ini sempoi gila!
No comments:
Post a Comment