DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 3



TANPA  berbincang  dengan  Marina, Ikram  membawa  Insyirah  dan  juga  Nasuha  pulang  ke rumahnya. Semuanya  di lakukan  tanpa  pengetahuan  Marina. Terkejut  Marina, bila  Ikram  pulang  bersama-sama  dengan  Insyirah  dan  juga  bayinya. Terkesima  Marina  tidak  terkata  apa-apa.
            Makin  terkejut  Marina, bila  Ikram  beritahu, sepanjang  berpantang, Insyirah  akan  terus  tinggal  bersama  mereka  berdua. Tindakan  Ikram  kali  ini, sedikit  sebanyak  membuatkan  Marina  kurang  senang  dan  terguris.
            Marina  tidak  mampu  berkata  apa-apa  lagi. Insyirah  sudah  pun  di bawa  ke rumah, takkan  mahu  di halau  Insyirah  keluar  pula. Dia  tidaklah  sekejam  itu, hingga  mahu  menghalau  Insyarah  dan bayi  kecil  itu.
            “Ini  bilik  Syirah.”Marina  menunjukkan  bilik  yang  selama  ini  kosong  tidak  berpenghuni  itu. Kehadiran  Insyirah  dan  Nasuha, dapat  mengisi  kekosongan  kamar  itu  dari  terus  sepi. Masih  banyak  lagi  kamar  yang  tidak  berpenghuni.
            “Wah, besarnya  bilik  ni. Terima  kasih.”
            “Sama-sama.”
            Insyirah  masuk  ke dalam  dengan  hati-hati. Perlahan  sahaja  langkahnya. Mungkin  masih  terasa  sakit  luka  jahitannya  itu. Duga  Marina  melihat  Insyirah  yang  berjalan  begitu  perlahan. Beg  pakaian Insyirah, dibantu  Ikram  bawa  ke dalam. Di letakkan  dihujung  katil.
            “Terima  kasih, abang  Ikram. Terhutang  budi  Syirah  dengan  abang.”
            Marina  hanya  diam  sahaja. Tidak  mencelah.
            “Akak  pun, Syirah  ucapkan  terima  kasih, sebab  sudi  tumpangkan  Syirah  di sini. Tak  sangka  pulak, last  minit, keluarga Syirah  nak  ke Sabah. Mahu  tak  mahu, Syirah  terpaksa  susahkan  akak  dan  abang.”lembut  sungguh  bicara  Insyirah. Berbeza  sekali  dengan  seperti  yang  diperkatakan  Zaidah. Takkan  Zaidah  pula  yang  mereka-reka  cerita. Lagipun  Marina  pernah  melihat  dengan  matanya  sendiri, Insyirah  bersikap  kasar  dengan  ibu  mertuanya. Mungkin  dia  sudah  berubah.
            “Tak  apalah, Syirah. Apa  gunanya  kita  bersaudara.”Ikram  memang  seorang  abang  dan  saudara  yang  baik. Baik  tidak  mengira  sesiapa  pun. Huluran  bantuan  selalu  diberi dengan  mudah, tidak  mengira  masa. Tidak  kira  dia  berada  dalam  keadaan  susah  sekali  pun, dia  pasti  akan  membantu. Itulah  sikap  Ikram  yang  tidak  dapat  dikikis  hingga  ke hari  ini.
            “Terima  kasih  bang.”sekali  lagi  ucapan  terima  kasih  itu  kedengaran. Entah  ke berapa  kali  ucapan  terima  kasih  itu  di sebut  Insyirah.
            “Kami  keluar  dulu,  Syirah  rehatlah. Kalau  nak  apa-apa  beritahu  Kak  Rina. Tapi  hari  ni  ajelah, sebab  esok  akak  dah  nak  masuk  kerja.”beritahu  Marina. Ikram  pun  satu. Sudah  tahu, dirinya  mahu  mula  kerja  esok, kenapa  di bawa  balik  Insyirah  ke rumah  mereka. Bukannya  Ikram  tidak  tahu. Sengaja  ingin  mencari  masalah. Ngomel  Marina  di dalam  hati.
            Ikram  membuntuti  Marina  dari  belakang. Pinggang  Marina  yang  dipaut  ditepis  Marina. Menolak  tangan  itu, dari  terus  merangkul  pinggangnya.
            “Kenapa  ni, sayang?”tanya  Ikram. Bukannya  dia  tidak  mengerti  perasaan  isterinya, sengaja dibuat-buat  tidak  tahu.
            Masam  mencuka  muka  Marina. Badannya  dipeluk  erat. Mulutnya  sudah  muncung. Duduknya  pula, jauh  bertentangan  daripada  suaminya. Tanda  protesnya  pada  Ikram.
            “Sayang  kenapa  ni?”
            “Kenapa  abang  bawa  balik  Syirah, tak tanya  Rina  dulu? Sesuka  hati  abang  je, nak  ajak  Syirah  tinggal  dengan  kita.”ngomel  Marina. Dijeling  tajam  ke arah Ikram.
            “Alah, orang  tengah  dalam  kesusahan. Kita  tolong  ajelah. Lagipun  dia  adik  ipar abang  jugak. Bukan  orang  lain  pun  dengan  kita.”jawab  Ikram.
            “Masalahnya, esok  siapa  nak  tengokkan  Syirah? Kan  esok  Rina  dah  kerja. Abang  ni, bukan  nak  bincang  dulu  dengan  Rina.”sambung  Marina  lagi. Memang  tidak  puas  hati  sekali.
            “Sebelum  pergi  kerja  dan  balik  kerja, Rina  tengokkan  la. Bukannya  susah  sangat  pun. Sebelum  pergi  kerja,  Rina  masak  siap-siap. Tak  pun, tengahari  tu, Rina  baliklah  kejap. Lagipun  rumah  kita  dekat  aje  dengan  sekolah.”balas  Ikram. Mudah  sahaja  dia  berfikir. Entah  apa  yang  berada  di fikiran  suaminya  sekarang. Sehingga  mahu  menyusahkan  diri  dan  juga  dirinya.
            “Bukan  Rina  tak  mahu. Tapi  letihlah  bang. Di sekolah  dengan  anak-anak  murid  pra, balik  rumah  nak  sambung  kerja  lagi. Rina  ni, dah  kena  mengasuh  anak-anak  kat  sekolah  yang  macam-macam  ragam  ada.”rungut  Marina.
            “Merungut  ke?”sinis  Ikram.
            “Bukan  merungut. Tapi  takut  tak  mampu  nak  buat  semua  tu. Rina  ni  bukannya  cikgu, boleh  balik  awal.”
            “Tolong  ajelah. Orang  dalam  kesusahan. Nanti  kita  susah, mereka  pula  tolong  kita.”
            Berketap  gigi  Marina. Entah  kenapalah  suaminya  itu  terlalu  baik. Hingga  teguran  dan  bantahan  Marina, semua  di tepisnya. Marina  mula  tidak  mengerti  dengan  sikap  Ikram  kali  ini. Sikapnya  berbeza  daripada  sikapnya  sebelum  ini. Bagaikan  ianya  satu  perubahan  baru  buatnya.
            “Rina  turun  dulu. Nak  masak  apa  yang  patut  kat  Syirah.”sinis  sahaja  kata-kata  Marina  dan  terus  berlalu  pergi. Ikram  sempat  menyambut  lengan  isterinya. Lalu  dibisiknya  sesuatu.
            “Sayang  janganlah, tunjuk  sikap  begini  pada  Syirah. Nanti  berkecil  hati  pula  Syirah.”
            Marina  tersenyum  sinis  ke arah  Ikram. “Kecil  hati  orang  lain  abang kisahkan. Kecil  hati  Rina  ni, ada  abang  kisahkan?”Marina  terus  berlalu  meninggalkan  Ikram. Serba-salah  Ikram  dengan  penerimaan  Marina. Salahnya  juga, kerana  membuat  keputusan  tanpa  bertanya  kepada  Marina. Dia  juga  sudah  berjanji  dengan  Idlan  untuk  menjaga  Insyirah  dan  bayinya. Dia  kini  tersepit  di tengah-tengah. Antara  isterinya  dan  juga  simpati  pada  Insyirah.

HIDANGAN  untuk  Insyirah  selesai  juga  di masaknya. Sup  ikan  haruan  sahaja  yang  di masaknya  buat  Insyirah. Ikan  haruan  baik  untuk  penyembuhan  luka-luka  dalaman  atau  luaran. Kebetulan, di hadapan  rumahnya  ada  jiran  yang  menjual  ikan  haruan  secara  kecil-kecilan. Tidak  susah  untuk  Marina  mendapatkannya.
            Ikram  datang  memeluk  Marina  yang  sibuk  membasuh  pinggan  mangkuk  di dapur. Satu  kucupan  terus  hinggap  ke pipi  isterinya. Cuba  memujuk  rajuk  isterinya  itu.
            “Jangan  ganggu  Rinalah  bang. Sibuk  ni.”ngomel  Marina.
            “Selalunya, tak  apa-apa  pun. Kenapa  hari  ni  tak  boleh?”rungut  Ikram.
            Marina  terus-terusan  menolak  tangan  Ikram  yang  cuba  memeluknya.
            “Sayang  janganlah  marah  lagi. Merajuk  kuatlah  sayang  ni.”bisik  Ikram  di sebelah  telinga  Marina. Sekali  lagi  ciuman  diberikan  ke pipi  Marina. Merah  muka  Marina. Laju  tangannya  menampar-nampar  tangan  suaminya.
            “Teruklah  abang  ni. Abang  ingat, dengan  beri  kucupan  ni, Rina  maafkan  abang. Tiada  maaf  bagimu!”rajuk  sekali  Marina. Dijeling  tajam  ke arah  Ikram. Laju  langkahnya  ke arah  ruang  tamu. Langkahnya  itu, di kejar  Ikram  dari  belakang.
            “Merajuklah  sangat. Buruklah  muka  sayang  kalau  merajuk.”usik  Ikram. Seronok  melihat  gelagat  isterinya  merajuk. Setakat  mana  Marina  dengan  rajuknya  itu. Habis  kuat, sekejap  lagi, okeylah  dia. Getus  Ikram. Yakin  sekali  dengan  tekaannya.
            Suara  tangisan  bayi  yang  kuat  kedengaran  membuatkan  mereka  terdiam. Kuat  sekali, tangisan  Nasuha  hingga  kedengaran  ke bawah.
            “Kenapa  tu? Teruk  sangat  menangis?”soal  Marina. Terus  kakinya  melangkah  menaiki  anak  tangga  dan  terus  berlalu  ke bilik  Insyirah. Kakinya  terus  melangkah  masuk  ke dalam  bilik  yang  menempatkan  Insyirah  dan  juga  bayinya.
            “Kenapa  ni, Syirah?”soal  Marina  risau. Dihampiri  Insyirah  yang  mendodoi  Nasuha  dengan  goyangan  badannya.
            “Tak  tahulah, kak. Tiba-tiba  aje  menangis.”terang  Insyirah. Dia  juga  tidak  tahu, bagaimana  harus  di buatnya. Lagipun  ini  pertama  kali  Nasuha  menangis  sebegini  teruk.
            “Mari  sini  akak  tengok.”hati-hati  Marina  mengambil  Nasuha  dari  dukungan  Insyirah. Nasuha  tetap  terus  menangis. “Dia  lapar  ke?”soal  Marina.
            “Syirah  dah  bagi  tadi. Tapi  Nasuha  tak  mahu. Lampin  pun, Syirah  baru  aje  tukar.”cerita  Insyirah. Risau  melihat  keadaan  anaknya.
            “Kenapa  ni  sayang? Perut  kembung  agaknya?”Marina  meletakkan  Nasuha  di bentangan  tilam. Perut  Nasuha  dipegangnya  lembut. Memang  terasa  keras  sekali, perut  si kecil  itu. “Kembung  ni, Syirah. Ada  minyak  telon  tak? Akak  nak  sapukan  di perut  Nasuha.”
            Kalut  Insyirah  memunggah  beg  pakaiannya. Mencari  minyak  yang  di minta  birasnya. Minyak  telon  Babyku  diberikan  kepada  Marina.
            Minyak  itu  dipicit  ditelapak  tangannya, lalu  disapu  ke perut  Nasuha. “Ambil  barut  bagi  akak.”arah  Marina.
            Insyirah  masih  terkebil-kebil. Barut  yang  terikat  di badannya, dibuka  dan  diberikan  kepada  Marina.
            “Ya Allah, Syirah. Bukan  yang  ini. Barut  untuk  baby  tak  ada  ke?”soal  Marina.
            Perlahan  Insyirah  menggelengkan  kepala. Bagaimana  rupa  barut  itu  pun  dia  tidak  tahu. Tidak  pula  dibeli  barangan  bayi  itu  secukupnya. Idlan  hanya  membeli  kain  lampin, minyak  telon  dan  juga  tiga  helai  pakaian  sebelum  Insyirah  melahirkan.
            “Tak  ada  ke  Syirah? Habis  tu, apa  yang  ada?”soal  Ikram  pula. Dari  tadi  matanya  tidak  lepas  memandang  barangan  yang  dipunggah  dari  dalam  beg  pakaian  Insyirah  itu. Yang  dilihatnya, cuma  kain  lampin, dua  helai  pakaian  bayi  dan  minyak  telon. Itu  sahaja  yang  dapat  dilihatnya. Keperluan  bayi  yang  lain-lain  tidak  pula  kelihatan.
            “Ini  ajelah  bang. Ini  aje  yang  abang  Lan  beli.”
            Marina  hanya  menggelengkan  kepala. Itu  sahaja  keperluan  yang  di belikan  Idlan  untuk  anak  mereka. Selama  ini, duit  yang  di minta  daripada  Ikram  katanya  untuk  membeli  keperluan  bayi, digunakan  untuk  keperluannya  yang  lain. Idlan...Idlan.. Kenapalah  begini  sikap  kau. Kesian  Nasuha  dapat  ayah  seperti  Idlan.
            “Tak  apalah. Rina  sekejap  nanti, Rina  temankan  abang  beli  barang  keperluan  Nasuha. Kesian  Nasuha. Ayah  tak  belikan  barang  untuk  Nasuha. Nak  Kena  ayah  ni.”Ikram  berbual  dengan  Nasuha  yang  sudah  mula  dibuai  lena.
            “Kembung  perut  Nasuha  ni, Syirah. Itu  dah  lena  pun. Lepas  ni, Syirah  turun  makan. Jangan  makan  lewat-lewat. Nanti  perut  masuk  angin. Kesian  kat  anak.”pesan  Marina. Dia  berpengalaman  juga  menjaga  ibu  berpantang. Dahulu, dia  sering  membantu  mak sunya  menjaga  sepupunya  yang  sedang  berpantang. Banyak  juga  yang  dipelajarinya  di situ.
            “Betul  cakap  Kak  Rina  tu, Syirah. Pergilah  makan. Kak  Rina  buat  sup  ikan  haruan  kat  Syirah.”bukan  main  lagi  Ikram  bercerita  apa  yang  di masak  isterinya  itu.
            “Iyalah  kak..abang. Syirah  turun  makan.”
            “Hmm, Syirah  tunggu  sini  ajelah. Biar  akak  bawa  nasi  dengan  sup  ke atas. Makan  di sini  sahaja. Teruk  sangat  tengok  Syirah  nak  jalan  tu.”simpati  pula  melihat  keadaan  Insyirah. Terbit  juga  rasa  kasihan  itu. Marina  turun  ke dapur  dan  menyiapkan  hidangan  untuk  dihidangkan  kepada  Insyirah  di bilik. Ikram  pula  sudah  bersiap-siap  untuk  keluar  sebentar  nanti.
            Beberapa  minit  kemudian, Marina  membawa  dulang  yang  diisi  dengan  nasi  panas  dan  juga  sup  ikan  haruan  yang  masih  panas. Elok  orang  berpantang  makan, makanan  yang  masih  panas-panas  begini. Tidaklah  perut  masuk  angin  nanti.
            “Makanlah, Syirah. Nanti  kalau  dah  sudah, tinggalkan  aje  di sini. Balik  nanti, akak  ambil  semua  ni. Syirah  jangan  bergerak  banyak-banyak.”pesan  Marina  bagaikan  pakar  sekali  dalam  bidang  ini. Sedangkan  dia  sendiri  tidak  pernah  merasakan  saat-saat  begini.
            Kerana  sibuk  melayan  Insyirah, rajuknya  pada  Ikram  terus  hilang  begitu  sahaja. Mudah  sahaja, jika  Marina  merajuk. Ikram  tidak  perlu  bersusah-payah  memujuk, kerana  rajuknya  itu  akan  reda sendiri.

NASIHAT  Marina  supaya  tidak  banyak  bergerak, tidak  di endahkan  Insyirah. Kakinya  galak  melangkah  di dalam  setiap  ruangan  rumah  itu. Melihat  kekemasan  rumah  dan  juga  kemewahan  abang  iparnya  dan  juga  isteri. Cemburu  melihat  kehidupan  Ikram  dan  Marina  yang  sedikit  senang, berbanding  dirinya.
            Hidupnya  hanya  menumpang  di rumah  usang  milik  keluarganya  sahaja. Ibunya  yang  bekerja  sebagai  penjual  gerai  makanan, hanya  mendapat  wang  cukup-cukup  sahaja  untuk  di belanja. Mereka  ke Sabah  pun, kerana  ditaja  bakal  suami  adik  yang  menetap  di sana. Hujung  minggu  ini, adiknya  Linda  akan  berkahwin  dengan  anak  jutawan  dari  Sabah. Dia  pula  hanya bersuamikan lelaki  yang  bekerja  buruh  sahaja. Duit  cukup-cukup  sahaja.
            Berada  di rumah  banglo  yang  sebesar  ini, sudah  membuatkannya  berasa  begitu  gembira. Sekurang-kurangnya  dia  dapat  juga  merasakan  kesenangan  di sini. Apatah  lagi, Marina  yang  melayannya  bagaikan  tuan  pemaisuri. Emaknya  sendiri  tidak  melayannya  sebaik  ini. Tapi  tidak  bagi  Marina.
            “Hmm, kalaulah  Idlan  macam  ni  jugak, mesti  aku  hidup  mewah. Tak  perlulah  aku  nak  susah  macam  sekarang. Dapat  suami  pun, tak  boleh  harap.”bising  Insyirah  sendiri.
            Setiap  sudut  rumah  itu, dilihatnya. Memang  selesa! “Kan  lagi  bagus, kalau  Ikram  tu  suami  aku.”galak  Insyirah  mengusik  barangan  berharga  yang  terdapat  di dalam  rumah  itu. Bingkai  potret  sahaja, sudah  disalut  dengan  emas. Mesti  Ikram  banyak  duit, hingga  sanggup  berhabis  untuk  membuat  bingkai  gambar  perkahwinannya  dan  Marina  sebegitu. Ternganga  luas  mulut  Insyirah. Tidak  terkata  apa-apa  kali  ini.
            Bunyi  kereta  di luar  rumah, menyedarkan  Insyirah. Segera  dia  melangkah  masuk  ke biliknya  kembali. Membaringkan  kembali  badannya  ke tilam.
            Beberapa  ketika  kemudian, kedengaran  suara  mesra  pasangan  suami  isteri  bergurau. Bahagia  sekali  mereka  berdua. Sekali-sekala  kedengaran  mereka  ketawa  riang. Dahulu  dia  dan  Idlan  begitu  juga, tetapi  sejak  Idlan  berada  di dalam  penjara, dia  tidak  merasakannya  lagi.
            “Syirah  tak tidur  ke?”soal  Marina, sejurus  masuk  ke dalam  bilik  Insyirah. Mata  Insyirah, melekap  di ayat-ayat  buku  novel  yang  dibacanya.
            “Eh, akak. Bila  balik, tak  perasan  pulak.”pura-pura  Insyirah.
            “Baru  aje  sampai  ni. Ini  semua  barang-barang  untuk  baby. Baju, stokin, selimut...semuanya  ada. Nanti  abang  Ikram  bawa  naik  yang  lain-lain.” Baju  bayi  yang  dipilihnya  tadi, di keluarkan  satu persatu. Tidak  dapat  belikan  untuk  anak  sendiri, belikan  pada  anak  buah  pun  jadi. Asalkan  dapat  merasa  kenikmatan  membeli  belah  barangan  keperluan  bayi.
            “Banyaknya  kak. Susah-susahkan  akak  dengan  abang  aje.”berbasi-basi  Insyirah. Di dalam  hati, dia  begitu  senang  sekali  dengan  layanan  suami  isteri  itu. Terus  tinggal  di sini  pun, dia  tidak  kisah, jika  begitu  baik  layanannya.
            “Tak  ada  apa-apalah. Seronok  borong  semua  ni  tadi.”masih  jelas  kegembiraan  di wajah  Marina. Memang  puas  dan  seronok. Terasa  belikan  untuk  anak  sendiri  pula.
            “Oh, lupa  pulak  kak. Syirah  ambil  novel  ni. Novel  akak  punya  ya?”novel  Cinta  Tak  Sempurna  yang  terletak  di meja  ruang  tamu  tadi  sempat  di capainya.
            “A'ah. Novel  akak. Baru  beli  semalam. Belum  sempat  baca  lagi. Tapi  kalau  Syirah  nak  baca, bacalah  dulu. Nanti  dah  habis, bagi  akak  pulak.” Marina  melayan  Insyirah dengan baik sekali. Penyakit  dari  suaminya  itu, sudah  berjangkit  pada  dirinya.
            “Terima  kasih  kak. Nanti  dah  habis  baca, Syirah  bagi  akak  balik.”Lembut  sungguh  lidah  Syirah. Andailah  Marina  tahu, dirinya  sudah  mengusik  barangan  rumahnya  itu  dan  juga  angan-angannya  tadi, pasti  luruh  sahaja  jantungnya  itu.
            “Eh, abang  bawa  apa  pulak  tu?”membulat  mata  Insyirah  melihat  Ikram  masuk  dengan  membawa  sesuatu  bungkusan  besar.
            “Ini  katil. Katil  untuk  anak  buah  pak ngah  yang  comel  tu.”
            “Ya Allah. Apa  yang  susah-susahkan  sangat. Nasuha  boleh  tidur  dengan  Syirah  atas  katil  ni. Bukannya  tak  muat.”padahal  jauh  di dalam  hati, begitu  melonjak-lonjak  kegembiraan. Seronok  melihat  barangan  yang  tidak  putus-putus  di belikan  oleh pasangan  suami  isteri  yang  kempunan  mahukan  anak. Bertuah  badan.
            “Untuk  anak  buah  pak ngah. Pak ngah, tak  kisah.”teruja  sekali  Ikram  memasang  katil  kecil  itu  untuk  Nasuha. Selepas  ini, bolehlah  dipasang  mainan  di katil  itu.
            “Abang  ni, tahu  pasang  ke  tak?”Marina  mencubit  lengan  suaminya  lembut.    
            “Abang  cubalah  ni. Mana  contoh  tadi?”barangan  yang  sudah  berselerak  dipunggahnya  lagi. Mencari  kertas  rujukan  untuk  memasang  katil  yang  baru  di beli.
            “Ini! Apalah  abang  ni. Teruja  aje  lebih.”
            “Memanglah  teruja. Teruja  nak  pasang  ni. Nanti  bolehlah  sayang  tidur  dalam  katil  ni. Jadi  baby  abang  sampai  bila-bila.”gurau  Ikram. Gurauan  Ikram  disambut  dengan  ketawa  mesra  Marina.
            “Mengada-ngadalah  abang  ni. Abang  ajelah  yang  duduk  dalam  tu, sambil  hisap  puting.”
            Kedengaran  ketawa  dua  pasangan  suami  isteri  itu. Begitu  bahagia  sekali  mereka  berdua. Makin  menebal  bibit  cemburu  itu  terasa  jauh  di lubuk  hati  Insyirah. Kenapa  mereka  berdua, begitu  cukup  sempurna? Bukan  sahaja  hidup  senang, malah  mewah  dengan  kasih  sayang.
            Andailah  Ikram  jadi  miliknya, pasti  bahagia  itu  akan  menjadi  miliknya  juga. Tidaklah  dia  perlu  makan  hati  dan  cemburu  lagi. Tapi  bagaimana? Ikram  adalah  abang  iparnya. Idlan  pula  adalah  suaminya. Mereka  berdua  adalah  saudara. Argh! Apa  yang  hendak  di pedulikan, asalkan  semua  itu  di milikinya. Mana  boleh  dia  bersama  Ikram, seandainya  dia  masih  ada  ikatan sah  dengan  Idlan.       Hanya  satu  caranya, dia  perlu  di lepaskan. Tersenyum  senang  Insyirah.

“ARGH! Penatnya  sayang. Picit  belakang  abang.”arah  Ikram. Badannya  memang  sudah  terasa lenguh-lenguh. Penat  berjalan, membeli  barangan  untuk  Nasuha.
            Marina  menurut  sahaja. Belakang  suaminya  itu  dipicit-picit, walaupun  badannya  juga  terasa  lenguh-lenguh.
            “Seronokkan  tadi, sayang.”
            “Hmm..”wajah  Marina  yang  tadi  penuh  dengan  senyuman, mula  berubah  suram. Tiba-tiba  sahaja, hatinya  begitu  tersentuh. Andainya  barangan  keperluan  bayi tadi  di beli  untuk  anak  mereka  sendiri, pasti  lain  rasa  kenikmatannya  itu. Pasti  ianya  lebih  bermakna.
            Tangannya  yang  tadi  galak  memicit-micit  belakang  suaminya  itu  terhenti.
            “Kenapa  ni  sayang?”Ikram  yang  tadi  berbaring, bangun sambil  memandang  wajah  si isteri  yang  sudah  mula  bermuram. Matanya  pula  sudah  mula  berkaca. “Hei, sayang. Kenapa  ni?”
            Laju  sahaja  airmatanya  itu  gugur, bila  Ikram  terus  menyoalnya  begitu. Makin  hatinya  menjadi-jadi  runtun  pilunya. Badan  suaminya  itu  terus  dipeluknya. Meledakkan  tangisan  di dada  suaminya.
            “Shhh...sayang. Janganlah  macam  ni.”
            “Andailah  kita punya  anak  seperti  Syirah pasti  makin  bahagia  hubungan  kita.” Diluah  juga  apa  yang  membuatkan, hatinya  begitu  terusik.
            “Kenapa  cakap  macam  tu  sayang. Walaupun  kita  tak  punyai  anak, kita  berdua  cukup  bahagia, kan  sayang?”rambut  Marina  terus  diurupnya. Ubun-ubun  Marina  terus  dikucupnya.
            “Tapi  Rina  teringin  sangat  punyai  anak  sendiri, abang. Dah  tiga  tahun  kahwin, masih  juga  belum  ada  anak. Idlan  dan  Syirah  yang  baru  setahun  kahwin  pun  dah  ada  anak. Inikan  kita  abang.”diluahkan  lagi  rasa  gundah  dihatinya.
            “Sabarlah  sayang. Nanti  adalah  rezeki  kita  berdua. Cuma  masih  belum  sampai  waktunya. Mungkin  Tuhan  nak  berikan  kita  lagi  masa  untuk  berdua-duaan.”Ikram  cuba  memujuk  Marina  yang  kesedihan.
            “Maafkan  Rina, sebab  tak  mampu  berikan  anak  pada abang. Maafkan  Rina, bang.”Marina  terus  teresak-esak  di dada  Ikram. Lagu  tangisnya  itu  tidak  mampu  terhenti. Makin  galak  ianya  mengalunkan  irama  pilu.
            “Sayang, abang  tak  kisah  semua  tu. Asalkan  sayang  ada  di sisi  abang  pun  sudah  cukup  untuk  abang. Tentang  anak, abang  tak  kisah. Bila-bila  nanti, pasti  ada  rezeki  kita. Cuma  kita  tak  ada  rezeki  lagi. Sayang  sabarlah  dulu. Nanti  mana  tahu ada  rezeki, kita  dapat  anak  ramai.”
            “Tapi  macam  mana, kalau  Rina  tak  dapat  berikan  abang  anak  sampai  bila-bila?”kepalanya  didongakkan. Memandang  tepat  ke wajah  suaminya. Airmata  yang  masih  bersisa, dibiarkan  terus  membasahi  pipinya.
            Laju  jari  telunjuk  Ikram  diletakkan  di bibir  Marina. Tidak  mahu, Marina  mengulangi  bicara  sebegitu  lagi. Kata-kata  itu  tidak  perlu  lagi  hadir  di bibir  Marina.
            “Bagaimana  semua  itu  terjadi? Sanggupkah  abang  hidup  dengan  Rina, tanpa  ada  pewaris?”tetap  bergema  soalan  itu  dibibirnya.
            “Sayang, tolonglah  jangan  macam  tu  lagi.”halang  Ikram. Badan  Marina  kembali  dipeluknya. Terasa  sejuk  sahaja, airmata  Marina  terasa  di kulit  badannya. Sungguh  dia  terasa  juga, apa  yang  di rasakan  Marina. Cuma  ditahankan  airmatanya  itu  dari  terus  menitis  di hadapan  isterinya.
            “Kalau  Rina  tak  dapat  berikan  abang  anak  jugak, abang  kahwinlah  lain. Sekurang-kurangnya  ada  juga  waris  untuk  keluarga  ni. Waris  dari  darah  daging  abang  sendiri. Nanti  ada  juga, yang  akan  warisi  perniagaan  abang  kelak.”Marina  sudah  jauh  berfikir.
            Laju  Ikram  menggelengkan  kepalanya. Tidak  setuju  dengan  kata-kata  Marina. Semua  itu  tidak  akan  berlaku. Apapun  yang  terjadi, dia  akan  berusaha  mempertahan  cintanya  itu. Walau  tidak  punyai  anak, mereka  mampu  kecapi  bahagia  itu  bersama. Itulah  janji  cintanya.
            “Sayang, cukuplah. Abang  tak  mahu  dengar  semua  tu  lagi. Sudah-sudahlah  sayang. Apa-apa  pun, abang  akan  terus  menyayangi  Rina. Abang  akan  terus  bersama  Rina, walau  apa  pun  sekali  keadaan  kita. Sebab  sayang  begitu  bermakna  buat  diri  abang. Percayalah  sayang.”Ikram  mula  mengatur  aya-ayat  manis  buat  isterinya. Itulah  yang  dirasakannya  ketika  ini. Marina  cukup  bererti  buat  dirinya.
            “Abang  tak  kisah?”
            “Iya  sayang.”
            “Rina  pun  sayangkan  abang. Cintakan  abang. Rina tak  mahu  kehilangan  abang. Rina  ingin  terus  hidup  bahagia  dengan  abang  buat  selama-lamanya. Ingin  jadi  penyeri  hidup  abang  selama-lamanya.”sambut  Marina  dengan  ayat-ayat  madah  cintanya  itu.
            “Iya, sayang. Abang  janji. Abang  takkan  biarkan  sayang  sendiri. Kita  akan  terus  bersama-sama.”
            “Terima  kasih, abang.”tangan  Ikram  terus  dikucupnya. Dan  Ikram  membalas  kucupan  itu  juga. Terasa  hangat  bila  kucupan  itu  singgah  di dahinya. Memang  rasa  bahagia  itu, tidak  pernah  luntur  daripada  hati  mereka  berdua.

No comments:

Post a Comment