DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 17



Hari ke-14 wanita itu menghuni rumah itu dia sudah terlihat rombongan manusia ke tanah perkuburan itu. Suaminya juga tidak ke ladang semenjak pagi tadi kerana ada orang kampung yang baru meninggal dunia. Kudin ada mengajak dia pergi berziarah. Tetapi dia yang tak mahu. Segan dengan orang kampung yang dia tidak kenal. Namun tadi dia sempat memandang Kudin membawa cangkul pergi ke arah kubur itu. Agaknya Kudin mahu menggali kubur. 
Akhirnya kini dia hanya berdiri di tingkap memerhatikan aktiviti pengkebumian jenazah di kawasan tanah perkuburan itu. Kereta Kudin juga ada terpakir di hadapan pintu masuk ke kawasan itu.
Petang itu sebelum maghrib barulah Kudin balik ke rumah. Entah apa yang dibuat Kudin lama benar di kubur itu, dia pun tak tahu.
“Perempuan tu dah dikebumikan ke?” tanya Edrina sebaik sahaja Kudin sampai di muka pintu rumah itu.
“Dah selamat tengahari tadi,” jawab Kudin.
“Dia meninggal sebab apa?” tanya Edrina sedikit berminat. Lelaki yang sedang membasuh kesan tanah dikakinya berdekatan dengan tempayan itu diperhatikannya.
“Dia meninggal waktu melahirkan anak. Anak dia pun meninggal,” jawab Kudin sambil terbongkong-bongkok memberus kakinya.
“Habis tu kau buat apa lama sangat kat kawasan kubur tu?”
“Tolong bersihkan kawasan kubur yang lain tu. Dah bersemak sikit,” jawab Kudin lantas memanjat tangga naik ke atas. Dia mahu mandi segera.
“Nak ikut pergi tahlil rumah arwah tu malam ni?” tanya Kudin setelah separuh jalan dia menapak di ruang tamu itu.
“Tak naklah,” jawab Edrina rendah sahaja.
“Okay.. kau makan ajalah kat rumah. Lauk yang aku beli siang tadi ada lagikan? Tak payah tunggu aku,” ucap Kudin.
“Kau hantar aku rumah mak boleh tak?” tanya Edrina sebelum sempat Kudin menjauh.
“Kenapa pulak?” tanya Kudin semula.
“Saja je. Lepas habis tahlil tu nanti kau ambillah aku semula,” jawab Edrina dengan muka selamba. Takkanlah dia nak cakap yang dia takut duduk seorang.
“Yalah.. nanti aku hantar kau ke sana.” Kudin menjawab akur.
Malam itu usai tahlil Kudin mengotakan janjinya mengambil Edrina di rumah emaknya. Ketika itu suasana sudah lain. Angin bertiup agak kencang dan kilat pancar memancar menandakan hujan akan turun sekejap lagi.
Edrina terus masuk ke dalam bilik. Kudin pula sempat memanaskan air di atas dapur gas yang baru dibelinya semalam. Dia mahu membancuh kopi untuk dirinya.
“Dah nak tidur?” tegur Kudin setelah naik ke atas semula.
“Yelah.. nak tengok tv pun bukannya ada tv kat dalam rumah ni,” jawab Edrina. Diselitkan juga perlian untuk suaminya itu. Kedekut! Tv pun tak mahu beli!
“Tak takut ke tidur seorang tu? Kat luar tu hujan. Siang tadi ada orang meninggal..” ucap Kudin sengaja mahu menakutkan isterinya itu. Manalah tahu Edrina sudi membenarkan dia menempel sekali di sebelah perempuan itu.
“Nak takut apanya. Semalam-semalam aku tidur seorang okay aja. Biarlah.. dah orang tu nak meninggal. Nak buat macamana. Takde mananya aku nak ajak kau tidur dalam bilik ni dengan aku.” Edrina menjawab sombong. Dia sudah tahu itu sekadar taktik Kudin mahu memikatnya.
“Okay.. tak mahu takpe!” Kudin tersengih sendiri.
Usai menikmati secawan kopi, Kudin naik semula ke atas untuk mematikan lampu di ruang tamu.
“Aku tutup lampu ni. Kalau takut cakaplah. Aku boleh temankan kau kat dalam bilik tu,” ucap Kudin dari arah ruang tamu itu. Tangannya sudah bersedia di suiz lampu itu.
“Tutup jelah! Sibuk ajalah dia ni. Orang tak mintak pun dia temankan ke apa!” getus Edrina sebal. Matanya dialihkan daripada screen telefonnya ke arah ambang bilik yang berlangsir itu. Entah apa-apa punya tukang buat rumah. Bilik takde berpintu. Hanya bertutup dengan langsir sahaja sebagai penghadang.
“Okay..” sesaat kemudian rumah itu sudah gelap gelita. Hanya kedengaran derap langkah Kudin menuju ke arah tempat tidurnya berdekatan dengan dapur sana. Seketika kemudian sunyi terus suasana di dalam rumah itu.
Edrina di dalam bilik itu bungkam dalam kegelapan. Telinganya mendengar suara angin yang menderu kuat. Hujan sudah mula menuruni bumi berdasarkan bunyi titikannya di atas zink. Sekali-sekala dia terlihat kilauan kilat sabung menyabung.
Edrina mula mendail di telefonnya. Dia mahu mengadu keadaanya kepada ayahnya itu. Dua kali dia mendail, nombor ayahnya tidak berjaya dihubungi. Barulah dia perasan.. signal telefonnya sedang nyawa-nyawa ikan. Namun dia tetap mahu mencuba lagi. Kali kelima dia mencuba barulah terdengar panggilannya di jawab. Tetapi suara ayahnya putus-putus dipendengarannya menandakan line syarikat telekomunikasi yang selalu menunjukkan iklan kecemerlangannya itu sedang tenat saat itu. Mungkin akibat hujan.
“Papa, dengar tak ni? hello? Hello?”
“Rina..” suara Tengku Ehsan kedengaran tenggelam timbul.
“Papa, rumah ni dekat dengan kubur. Rina nak balik. Papa datang sini ambil Rina? Rina kena mandi kat perigi. Tidur dalam bilik panas, tidur atas tilam buruk. Katil pun takde, pa. Teruk sangat kat sini!” adu si wanita itu melalui corong.
“Pa?” Edrina memanggil lagi. Suara ayahnya terus terputus-putus dipendengarannya. Jawapan si ayah tidak jelas dan dia tidak dapat menangkap langsung apa yang disedang diperkatakan ayahnya itu.
“Pa?” suara Tengku Ahmad Ehsan sudah menghilang terus. Edrina mendegus sendiri. Saat dia memandang permukaan telefon itu isyarat radar itu sedang terkelip-kelip menandakan signalnya memang tiada langsung.
“Hish! Tempat apalah macam ni,” kutuk Edrina sendiri.
Tiba-tiba bulu roma Edrina meremang tatkala dia asyik memandang telefonnya. Gambaran cerita-cerita seram yang pernah ditonton dilayar perak mula bermain-main di benaknya. Filem The Ring.. filem Ju On.. Don’t Click.. babak-babak seram dan mengerikan dalam filem itu semuanya bermain-main di benaknya tiba-tiba.
Namun saat teringatkan cerita Kudin tentang wanita yang meninggal sebelum bersalin dan ditanam di tanah perkuburan itu siang tadi, Edrina terbayangkan satu cerita seram yang memang seram habis kepadanya. Filem Nang Nak! Kebetulan pula sama keadaannya. Rumah kayu yang buruk.. wanita mati sebelum beranak.. hujan yang sedang mencurah-curah di luar sana. Memang sama seperti babak-babak di dalam cerita itu.
Edrina cuba memejamkan matanya. Namun asakan di benaknya semakin membuatkan perasaannya semakin tidak tenang. Tambahan pula rumah itu langsung gelap gelita. Tiada satu pun lampu terpasang selewat ini.
“Tak boleh jadi ni..” ucap Edrina sambil di terus bangun. Terhegeh-hegeh dia berjalan mencari tempat tidur Kudin. Maklumlah gelap. Malangnya dia tidak ingat suiz lampu terletak di mana. Jadi berjalan ajalah dia dalam keadaan gelap gelita sambil meraba dinding di tepinya macam orang buta.
Akhirnya dia selamat sampai ke tempat tidur Kudin. Kali ini tanpa segan silu dia terus bersimpuh di atas tilam, di belakang Kudin.
Kudin menoleh pantas apabila menyedari ada orang berada di belakangnya. “Apasal kat ada sebelah aku ni?” soal Kudin hairan melangit melihat Edrina berada di situ.
“Aku.. aku tak boleh tidurlah,” ucap Edrina perlahan. Nasib baiklah ruangan itu malap. Kalau tidak Kudin sudah nampak matanya terkebil-kebil memandang Kudin. Pipinya sudah merona akibat malu kepada lelaki itu. Yalah.. dia masih ingat. Tadi dia yang sombong benar.
Kudin terdiam. Namun akalnya sudah dapat meneka apa sebenarnya yang berlaku. Takut konon! Desis hatinya mahu mengetawakan wanita itu.
“Jadi duduk sebelah aku ni kau boleh tidur ke? Tadi kau yang berlagak sangat. Kenapa sekarang kau menyempit kat tilam aku ni?” ucap Kudin sambil mengiring membelakangkan gadis itu. Sengaja buat-buat tidak peduli. Padahal dia mahu segera menggelakkan Edrina kala itu.
Edrina terdiam menggigit bibir. Jawapan Kudin menyakitkan hatinya. Ah! Pedulilah sakit hati ke apa. “Boleh tak kau tidur kat ruang tamu tu?” soal Edrina polos. Kalau Kudin ada di ruang tamu takdelah dia takut benar. Dekat!
“Ah! Malas. Takut aku tidur kat depan tu! Dekat dengan kubur. Seram!” jawab Kudin selamba sengaja mahu menakutkan Edrina lagi. Sekarang giliran dia pula yang mahu menunjuk lagak. Itulah.. nak ajak tidur sekali tak mahu. Sekarang siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka..
“Kudin..” getus Edrina geram. Bahu lelaki itu digoncangnya kuat.
“Tak nak!” jawab Kudin selamba. Bantal semakin erat dipeluknya.
Edrina merenung lelaki itu sebal. Nak balik ke bilik dia memang takut sangat-sangat. Akhirnya dia menebalkan muka meminta izin.
“Aku tidur kat sini boleh tak?” tanya Edrina agak perlahan. Pedulilah tilam itu sempit ke apa. Yang penting dia selamat daripada dicekik hantu.
Kudin diam pada mulanya. Namun seketika kemudian dia menoleh. Kasihan pula dia melihat isterinya. Sebiji bantal segera disuakan kepada Edrina.
“Tidurlah..” jawab Kudin perlahan.
Edrina berbaring perlahan di belakang Kudin. Belakang lelaki itu dipandangnya. Kali ini dia tidak ingin marah Kudin tidur tidak berbaju. Takut dia kena halau pula daripada situ kalau dia banyak songeh. Tapi satu benda itu dia memang tidak sanggup. Sementelah dia pula memang sedang berada di posisi yang sangat merbahaya sebagai mangsa.
“Kau jangan kentut tau!” pesan gadis itu agak polos.
Kudin mahu ketawa. Dia menoleh lagi kepada isterinya. “Tak..” jawab Kudin cukup lembut. Entah kenapa hatinya merasa cukup aman waktu ini. Terlalu aman!


No comments:

Post a Comment