DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

GEMALAI KASIH - BAB 1




Intan Marliana

Teksi berhenti betul-betul di hadapan rumah orang tuaku. Aku lantas membayar tambang yang tertera pada meter dan melangkah keluar dari perut teksi Proton Waja, yang kukira sudah tidak layak lagi dijadikan kenderaan tumpangan. Lega rasanya dapat membebaskan diri daripada udara hapak dek peninggalan bau peluh, minyak rambut dan mungkin juga minyak wangi penumpang-penumpang yang lebih dahulu menumpang teksi itu sebelum aku. Pemandu teksi berlalu pergi setelah menerima wang tambang daripadaku dan aku mengatur langkah masuk melintasi pagar rumah yang sememangnya sudah terbuka luas.

‘Pelik’, bisik hatiku. ‘Kenapa pintu pagar terbukak? Mak dan abah ada tetamu ke?’ tanyaku sendiri. Selalunya pintu pagar tertutup rapat memandangkan ibu dan ayahku amat mementingkan isu keselamatan, lebih-lebih lagi tinggal di kawasan perumahan yang tidak pernah surut dengan kejadian-kejadian curi dan ragut.

Aku biarkan saja rasa hairan itu berlalu sambil melabuhkan penatku di atas buaian kayu hasil kerja tangan abang sulungku, Mail, sambil meletakkan beg tanganku serta fail di sebelahku. Aku menghela nafas panjang mengenangkan temu duga yang baru berlalu. Bermacam soalan terdetik di benak fikiranku ketika ini. Berjayakah aku? Diterimakah aku nanti? Atau aku harus terus mencuba? ‘Ah….tak sabar menunggu keputusan temu duga nanti. Ya Allah! Kau tetapkanlah rezekiku di tempat yang baik dan yang Kau redai’ doaku lagi.

Ini merupakan kali ketiga aku ditemu duga dalam tempoh dua minggu oleh tiga firma guaman yang berbeza. Aku yang telah berjaya menamatkan pengajianku dalam jurusan undang-undang di Universiti Malaya kini harus memulakan latihan di dalam kamar selama sembilan bulan lagi sebelum layak digelar peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Tinggi Malaya.  Sebenarnya, aku tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Semua ini cuma impian bapaku, dan bukan impianku sendiri. Impianku telah lama ku nyahkan jauh dari hidupku, dan yang tinggal hanya rasa hampa dan kesal memikirkan pengorbanan tanpa sudah yang kulakukan demi kebahagiaan kedua orang tuaku.

“Lia!” sapaan ibuku mengejutkanku daripada terus hanyut dibuai rasa hampaku. “Bila sampai?” tanya ibuku lagi.

“Baru je, mak. Tak lama. Ingat nak duduk kat luar ni kejap ambik angin,” jawapku sambil tersenyum. Ibuku yang kelihatan ceria dan sedikit teruja membalas senyumanku. Baju kurung bercorak bunga-bunga halus serta pemakaian tudung di kepalanya membuatku tertanya “Mak nak keluar ke?”

Senyuman ibuku bertambah lebar dan dengan gerak tangan yang lembut menggamit aku mendekatinya dan mengisyaratkan agar aku masuk ke dalam. “Taklah. Kita ada tamu. Mehlah masuk.”

Aku menggalas beg tanganku dan mengepit fail yang mengandungi sijil-sijil  pencapaian seumur hidupku, lantas masuk ke dalam rumah. Di ruang tamu kecil teratak dua tingkat rumah teres orang tuaku, aku lihat dua orang yang tidak ku kenali duduk di atas sofa, sambil berbual dengan bapaku. Aku meletakkan beg dan fail di atas meja perhiasan kecil di tepi pintu masuk dan terus menuju ke arah wanita yang duduk menghadap bapaku. Aku menghulurkan tangan sambil mengucap salam.

“Lia,” panggil ibu seraya menghampiriku. “Ini Auntie Hamidah dan yang tu pulak, Uncle Razali.”

Aku mengangguk dan melemparkan senyuman kepada mereka berdua. Auntie Hamidah bangun dan terus memelukku. Aku kaget dengan perbuatannya yang tidak disangka-sangka, tapi membiarkan sahaja diriku dipeluk erat oleh seorang insan yang tidak ku kenali itu.

Auntie Hamidah menggenggam kedua tanganku dan menarikku duduk di sebelahnya. “Akhirnya! Bertemu jugak dengan anak bongsu Kak Seri ni. Dengarnya Lia dah nak jadi peguam sekarang, ya?” Auntie Hamidah memulakan pertanyaan. Kulihat Auntie Hamidah begitu mesra sekali ketika menyapaku membuatku tertanya-tanya siapakah gerangan mereka berdua ini.

Auntie Hamidah kelihatan seperti berusia lebih kurang awal 60-an, sama seperti ibuku. Wajahnya yang bujur sirih menampakkan kulit yang halus walau agak berisi sedikit.  Auntie Hamidah masih nampak jelita walaupun sudah berusia. Kejelitaan wajahnya dihias lagi dengan solekan yang tipis dan ringkas. Sanggul yang diikat rapi dilitupi dengan selendang lembut chiffon berwarna biru yang terkadang melurut jatuh ke atas bahu. Kulihat juga garis-garis di wajahnya tidak sedalam garis-garis di wajah ibuku, membuatku terfikir yang Auntie Hamidah tentunya hidup dalam kesenangan dan penuh kebahagiaan.

Aku mengangguk, mengiakan sahaja soalan Auntie Hamidah. Aku membalas senyuman mesranya.

Ibuku mengambil tempat di sebelah ayahku. Wajah ibu berseri-seri! “Kalau Lia nak tau, mak dengan Auntie Midah ni dah kenal lama, tau? Dari masa kitaorang sekolah kat kampung lagi. Auntie Midah nilah kawan baik mak masa mak muda-muda dulu. Lepas tu, bila Auntie Midah kahwin dan pindah dari kampung, kita terputus hubungan. Baru sekarang kita dapat jumpa balik…”

Auntie Hamidah terangguk-angguk tanda setuju dengan ibu. “Auntie terjumpa mak Lia minggu lepas, masa di Hospital Ampang. Masa tu Auntie nak lawat kawan Auntie yang sakit. Masa nak keluar dari hospital, Auntie terserempak pulak dengan mak Lia yang baru lepas buat check-up. Apa lagi! Gamatlah hospital tu dengan suara terjerit-jerit kitaorang berdua…” Auntie Hamidah dan ibuku ketawa mengenangkan kembali saat-saat pertemuan dua sahabat yang sudah lebih empat puluh tahun tidak berjumpa. “Auntie datang sini dua hari lepas tapi Lia tak ada kat rumah. Auntie dapat tengok gambar Lia je. Hah kali ni, Auntie dapat jumpa dengan orangnya.”

Aku hanya mendiamkan diri. Terdetik hatiku bertanya mengapa Auntie Hamidah dan suaminya ingin benar berjumpa denganku. Ayahku, buat pertama kali sejak aku melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah pula bersuara. “Lia, Lia masuk dalam dulu buatkan air untuk Auntie dengan Uncle. Abah dan mak ada hal penting nak bincang dengan Auntie dengan Uncle, ya?” Aku mengangguk dan meninggalkan mereka sendirian, lalu ke dapur.

Di dapur, aku menjerang air dan bersiap untuk membancuh air teh di dalam teko. Tidak lama kemudian ku rasa tangan lembut ibu menyapa bahuku dan memanggil namaku. Aku menoleh dan mengukirkan senyuman buat ibu. Sesungguhnya, aku tumpang gembira melihat ibu begitu teruja dapat menyambung kembali ikatan persahabatan yang telah lama terputus dengan teman karibnya. Aku pasti pada waktu itu, ibu semestinya dapat melupakan seketika segala kesakitan dek penyakit yang dihidapinya, serta segala kedukaan yang pernah tercalit di sanubarinya.

“Lia,” sapa ibuku lembut. “Sebenarnya Auntie Midah ada hajat datang sini. Dia nak sangat jumpa Lia…”

“Kenapa mak?” soalku, sambil tanganku mencapai sudu dari dalam laci. Aku hairan melihat kesungguhan Auntie Hamidah dan Uncle Razali yang datang ke mari semata-mata untuk bertemu denganku.

Ibu mengusap pipiku, sesuatu yang jarang sekali ibu lakukan. “Diaorang datang nak merisik Lia,” balas ibuku perlahan dengan senyuman yang cukup manis.

Aku terpempan mendengar penjelasan ibu sehinggakan sudu di tanganku hampir jatuh ke atas lantai, namun sempat ku genggam kembali. Dengan tergagap-gagap aku bertanya, “Apa mak? Datang merisik Lia? Lia tak faham.” Bagai berderap jantung kurasakan mendengar kata-kata ibu.

“Lia, nanti mak jelaskan semuanya. Sekarang ni, Lia hidang air kat depan dulu. Lepas tu, Lia dengar apa Auntie Midah dengan Uncle Razali nak cakap, ya?” pinta ibu.

Aku tidak sempat memberi sebarang balasan dan hanya mampu melihat ibuku berjalan keluar dari dapur. Aku masih berdiri sambil memegang sudu di genggaman. Kurasakan jantungku yang berdegup kencang sebentar tadi bagai terhenti seketika. Kupejamkan mata sambil mengambil nafas panjang. ‘Ini tak mungkin berlaku’, fikirku. ‘Mereka langsung tidak mengenaliku. Mustahil mereka ingin merisikku, mustahil! Ingat ni zaman tok kadok ke nak kahwin macam ni?’

Tanganku pantas membancuh minuman dan menyusun cawan-cawan serta piring-piring di atas dulang. Kupaksa tanganku yang menggeletar untuk mengangkat dulang dan berjalan perlahan menuju ke ruang tamu. Hilai ketawa di ruang tamu terus terhenti tatkala aku menghampiri meja panjang di tengah ruang tamu. Kuhidangkan minuman di atas meja tersebut sambil diperhatikan oleh empat pasang mata yang masih tersenyum penuh makna.

“Lia, duduklah,” jemput ayahku. Aku menurut dan duduk di sebelah ibuku. Tangan yang masih menggeletar, kulipat kemas di atas ribaanku. Aku tunduk dan menumpukan mataku pada lenggokan bunga-bungaan di atas permaidani yang menghiasi ruang tamu kami, seolah-olah aku tidak pernah melihatnya sebelum ini. Tiba-tiba Uncle Razali berdeham kecil, seolah-olah mahu melegakan kerongkongnya sebelum memulakan bicara.

“Lia, errr…macam yang mak Lia cakap pada Lia tadi, kami ni datang sebab nak merisik Lia, untuk anak sulung kami, Effendi…” Uncle Razali cuba menjelaskan bagaimana pertemuan di antara ibuku dengan Auntie Hamidah baru-baru ini telah membawa kepada perkongsian secara terperinci mengenai kisah hidup serta ahli keluarga masing-masing. Cerita yang dikongsi bagi mengisi tempoh perpisahan yang begitu lama menyentuh pelbagai kisah suka dan duka, lantas terbit di hati masing-masing ingin menukar ikatan persahabatan ini kepada ikatan persaudaraan.

Ternyata Uncle Razali juga berkongsi niat yang sama dengan isterinya. Jelas terpancar sinar kasih sayangnya terhadap Auntie Hamidah, setiap kali dia memandang ke arah isterinya ketika menjelaskan kepadaku hajat mereka bertandang ke rumah orang tuaku. Uncle Razali melemparkan senyuman kepadaku, yang jelas menampakkan keikhlasannya. Terlintas sejenak di hatiku betapa segak dan bergayanya Uncle Razali ini. Cermin mata yang terletak sempurna di atas hidungnya, menyerlahkan lagi auranya, yang padaku menyerupai seorang ahli korporat yang berjaya.

Auntie Hamidah meletakkan tangannya di atas paha suaminya. “Kami lupa nak bawak gambar Fendi, tapi kalau Lia tak keberatan, Auntie boleh aturkan pertemuan Fendi dengan Lia.” Aku menelan air liurku yang terasa amat pahit dan cuba untuk mengekalkan ketenangan di wajahku. Walhal, di dalam hati hanya Allah yang tahu betapa aku berasa cemas dan gelisah sekali.

Aku masih mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Sukar untuk aku mencerna apa yang sedang terjadi kini.

“Lia tak perlu beri jawapan sekarang,” sambung Auntie Hamidah lagi. “Lia boleh bincang dengan mak dan ayah dengan lebih lanjut lagi lepas ni…”

Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Lidahku kelu tidak bisa mengungkapkan sebarang kata.

Didikan yang kuterima selama dua puluh empat tahun yang lalu, bisa membuatku pendam segala isi hati yang memberontak ketika itu, dan terus menampilkan wajah yang tenang sambil tersenyum walaupun kurasakan amat tawar sekali. Sedangkan kalau diikutkan hati, aku ingin sahaja menjerit ‘TIDAK!’ dan berlari keluar dari rumah yang semakin melemaskanku itu.

Selama lebih setengah jam, aku memaksa diriku agar menjawab secara sopan setiap soalan yang ditujukan kepadaku. Aku hanya berkata-kata apabila perlu dan diam sekiranya tiada balasan diperlukan daripadaku. Ketika Auntie Hamidah dan Uncle Razali meminta diri untuk pulang, aku dipeluk sekali lagi oleh Auntie Hamidah, manakala Uncle Razali menggenggam erat tanganku, seolah-olah menginginkan aku memberikan jawapan yang berisi harapan kepada mereka.

Tanpa menunggu mereka menaiki kereta untuk meninggalkan rumah, aku berlari-lari kecil meniti anak tangga ke tingkat atas menuju ke bilikku. Aku menutup rapat pintu bilikku, lantas melabuhkan punggungku di kerusi meja tulisku. Perlahan-lahan kutanggalkan tudung di kepalaku dan kulepaskan ikatan sanggul rambutku, dengan harapan agar kekusutan yang melanda jiwaku akan terlerai bersama-sama juraian rambutku. Aku mengeluh nafas yang berat.

Pasti ibu telah bercerita kepada Auntie Hamidah bagaimana pada usia dua puluh empat tahun, aku masih lagi tidak mempunyai seorang teman lelaki yang istimewa. Entah apa lagi yang ibu telah bercerita pada Auntie Hamidah membuatkan mereka ingin menjadikan aku menantu mereka. Sedikit demi sedikit perasaan marahku kian membuak terhadap kedua orang tuaku. Takkan perkara yang sama akan berulang kembali? Aku dah penat! Serius, aku sudah terlampau penat…

Berapa lama lagi harus aku membuat pengorbanan atas kesalahan-kesalahan orang lain? Kenapa pula aku secara berterusan harus menebus kesilapan abang-abangku? Aku berkorban di dalam memilih jurusan yang kuingini ketika tamat peperiksaan SPM, kerana tidak sanggup melihat ibu dan ayahku terus mengungkit kisah abang-abangku yang enggan menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi, kerana sibuk mahu mencari pekerjaan agar cepat dapat berkahwin dengan pilihan hati masing-masing. Kegigihan mereka dan pencapaian baik mereka ketika di sekolah langsung tidak dihiraukan, akibat terlalu kemaruk bercinta. Nasihat ayah dan ibuku, beserta ugutan, langsung tidak mendatangkan sebarang hasil.

Kerana rasa kesal yang amat dalam, ayahku meletakkan harapan yang begitu tinggi kepadaku, anak perempuan tunggal di dalam keluarga. Aku yang mahu mengikut jejak langkah ayahku untuk menjadi seorang guru dan menabur ilmu kepada mereka yang memerlukan, dilarang mengambil jurusan yang kuminati itu. Pada pendapat ayah, seorang guru tidak lagi dihormati dan disanjung seperti zaman dahulu. Lagipun seseorang itu tidak boleh hidup senang dengan hanya menjadi seorang guru. Aku tidak bersetuju dengan pendapat ayahku dan lama aku mencuba memujuknya agar beralah demi kebahagianku. Namun, semuanya sia-sia.

“Tolonglah dengar cakap abah, Lia. Abah nak kau hidup senang esok-esok. Abah tau peritnya jadi cikgu zaman sekarang ni. Anak murid langsung tak hormat pada cikgu.” Masih aku ingat kata-kata ayahku seperti baru semalam ia berlalu.

“Tapi, bah. Lia tak minat nak jadi lawyer. Abah cuba tengok Lia ni. Langsung tak de gaya lawyer. Bagi ucapan depan kelas pun tergagap-gagap je, macam mana nak jadi lawyer? Asyik kena gelak adalah!” Aku masih cuba membantah. Aku paling tidak suka akan public speaking. Kecut perut dan bermacam perasaan lain menakluki diriku yang tidak pernah suka menjadi bahan perhatian orang ramai.

“Abah dah buat keputusan. Abah yakin inilah yang terbaik buat Lia. Abah dah isi dah borang biasiswa tu…sekali dengan jurusan yang abah dah pilih untuk kau. Esok, kita submit borang tu.” Serius ayah melontarkan kata. Tiada ruang untuk aku membuat sebarang bantahan dan ayahku langsung tidak mahu mendengar rayuanku lagi. Akhirnya, tanpa kerelaan, aku turut permintaannya untuk menjadi seorang peguam, walaupun hatiku tidak putus-putus memberontak.

Tiba-tiba, kudengar pintu bilikku diketuk. Ibu membuka pintu dan menjengahkan kepalanya. Dibukanya daun pintu dengan lebar lagi lalu melangkah masuk ke dalam bilikku. Ibu lantas mengambil tempat di birai katil, berhampiran dengan meja tulisku. Aku hanya melihat wajah ibu dari ekor mata.

“Lia, mak tau apa yang Lia fikirkan.”

Aku mendengus kuat. “Tak mungkin mak tau,” kataku dengan nada yang sedikit keras. “Kenapa mak buat Lia macam ni?” Tidak puas hati.

Wajah ibu bertukar muram. “Salah ke mak nak Lia bahagia? Keluarga Auntie Midah tu baik-baik belaka. Dia orang kaya dan berharta. Senang hidup kau Lia lepas ni. Tak payah hidup susah macam mak dulu-dulu.”

Hati yang sememangnya sudah panas bertambah membara dengan hujah-hujah ibu. “Mak, Lia tak takut hidup susah. Lagipun, hidup kita selama ni taklah susah mana pun. Walaupun ayah sorang je yang bekerja, ayah mampu beli rumah ni untuk kita. Insya-Allah bila Lia dah dapat kerja nanti, hidup kita akan tambah selesa. Ayah dah pencen, tapi lepas ni, Lia kan ada?” kataku cuba meyakinkan ibu. Tidak perlu untuk berkahwin dengan orang kaya untuk hidup senang. Diri sendiri yang perlu berusaha dan bekerja keras. Itu pendirianku sejak dulu!

Ibu menggelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju dengan pendirianku. “Bila Lia dah bekerja nanti, Lia kena bayar balik pinjaman JPA. Nanti bila dah beli kereta untuk berulang-alik ke tempat kerja, nak bayar pinjaman kereta pulak. Mak dengan abah boleh hidup berdua dengan duit pencen abah, tapi mak nak Lia hidup senang. Bukan macam abang-abang kau!”

Sudah kuduga ibu akan mengungkit kembali kisah abang-abangku. Tidak pasti sama ada sengaja untuk membuatku rasa bersalah, namun pasti akan membuatku rasa sedih dan akhirnya mengalah. “Along dan Angah pasti boleh hidup senang kalau diaorang sambung belajar, dapat ijazah – tapi tak! Sibuk nak kerja lepas SPM, sebab nak kahwin. Lepas tu apa jadi?” kata ibu dengan nada yang semakin meninggi. Acap kali, isu yang sama akan dibangkitkan. Aku sudah muak! Telingaku seolah-olah tidak berdaya mendengar perkara yang sama berulang kali.

Abang sulungku, yang berkahwin pada usia sembilan belas tahun, kini hanya bekerja di kedai membuat perabot. Usia perkahwinannya juga tidak lama. Isteri yang ditatang bagai minyak yang penuh lari meninggalkannya kerana tidak sanggup hidup dalam kesempitan. Ibuku sering berkata, itulah akibatnya berkahwin tanpa mendapat restu ayah dan ibu. Abangku, Syam juga tidak jauh berbeza, cuma masih kekal berkahwin dengan gadis pilihan hatinya sehingga kini.

“Dahlah mak. Tak payah diungkit lagi. Mak tu kan ada darah tinggi. Kena jaga. Tak payahlah fikir lagi benda-benda yang dah terjadi,” pujukku.

Ibu tidak menghiraukan kata-kataku. “Bukan main sibuk nak kahwin. Tak menyabar-nyabar. Sudahnya, bini Along lari entah ke mana. Angah pulak, anak dah dua tapi masih kerja kat bengkel tauke Cina tu lagi. Bila hidup diaorang ni nak berubah? Mak kecewa sangat, Lia…”

“Dahlah mak….sudahlah…..” Aku merayu. “Walaupun Angah hidup susah, tapi dia bahagia mak. Itu yang penting…”

Ibuku memandangku sayu. “Tak ada seorang mak pun dalam dunia ni yang nak tengok anaknya hidup susah, Lia. Lialah sorang anak mak yang tinggal. Lia jelah yang tak pernah sakitkan hati mak. Mak nak Lia jumpa je dengan Effendi dan berkenalan dengannya. Itu je! Lepas tu kita bincang balik.”

Aku terdiam. Bagaimana harus aku jelaskan pada ibu yang hatiku masih belum terbuka untuk seorang lelaki? Kepedihan dan kelukaan yang pernah aku alami sebelum ini masih sakit kurasakan. Hatiku yang telah dicarik-carik masih tertanam seribu duri sembilu. “Mak tau ke hati budi Effendi tu?” tanyaku, cuba menimbulkan rasa sangsi di hati ibu.

“Effendi tu anak sulung Auntie Hamidah. Umurnya tiga puluh tiga tahun. Dia duda, Lia. Ada anak perempuan sorang umur lima tahun.”

Aku terkejut. “Apa??!! Mak nak Lia kahwin dengan duda? Mak ni biar betul!! Dahlah dia tu macam tua sangat untuk Lia!” Aku membantah.

“Jarak umur bukan pengukur, Lia. Mak rasa, lagi elok Lia kahwin dengan seorang yang matang, yang tau laksanakan tanggungjawab dia pada keluarga. Lagipun dia sama-sama dengan Uncle Razali uruskan perniagaan, dan syarikat diaorang sangat-sangat berjaya. Senang hidup kau nanti, Lia. Effendi tu dah ada rumah banglo besar, kereta…semuanya akan tersedia untuk kau! Jangan jadi macam abang-abang kau tu. Apa yang diaorang dapat dengan hanya mementingkan cinta?” Ibuku tidak jemu mengungkit kisah lalu.

Aku mengeluh. “Rumah besar, kereta besar…tu semua tak penting, mak. Tu semua pun tak menjaminkan kebahagiaan,” bidasku sekali lagi. “Mak...janganlah paksa Lia...” Aku merayu.

Ternyata ibu tidak bersetuju dengan pendirianku. Ternyata juga kehampaan yang dipalitkan oleh abang-abangku kepadanya masih belum pudar. Harapan ibu mahu melihat abang-abangku menggenggam segulung ijazah, mendapat pekerjaan yang menjanjikan gaji beribu-ribu ringgit sebulan dan memberi kesenangan kepada kami sekeluarga, tidak kesampaian. Maka akulah, untuk sekian kalinya, menjadi tempat untuk disadurkan harapan, walaupun kurasa amat perit untuk ditelan.

“Lia jumpa je dengan Effendi tu. Nanti mak uruskan dengan Auntie Midah,” ujar ibu, lantas bangun dan meninggalkan bilikku, tanpa menantikan kata putus daripadaku. Aku terpaku dan seribu macam perasaan menimpaku. Bingung, sedih, benci dan yang pastinya rasa marah yang amat sangat ke atas ketidakadilan yang menyelubungi kehidupanku selama ini.

“Ya Allah, aku berserah kepadamu. Engkau sahaja yang tau apa yang terbaik buat hamba Mu ini,” doaku. Aku hanya mampu pasrah menunggu tarikh pertemuan di antara aku dan Effendi. Di hati kecilku, aku berharap agar pertemuan itu tidak akan terjadi. Biarlah ia kekal menjadi satu impian buat ibuku yang tidak akan menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment