Dua minggu setelah mereka pulang daripada Kuala Lumpur Mak
cik Kunah terus menghantar rombongan meminang. Namun kali ini Kudin tidak turut
serta ke sana. Hanya emaknya yang pergi berserta dengan ketua kampong sebagai
wakil dirinya. Petang itu wanita itu selamat tiba di rumahnya setelah urusan
perminangan selesai.
“Berapa hantaranya, mak?” soal Kudin
kepada emaknya itu.
“35 ribu serba satu..” jawab Mak cik Kunah
biasa.
"Ha? 35 ribu?" Kudin sudah
tercengang. Itu hantaran ke atau down payment nak beli kereta? Serasa mahu
tercekik dia mendengar amaun itu.
"Ma.. mahalnya, mak?" ucap
Kudin sedikit tergagap kepada emaknya.
"Dia yang mintak banyak tu."
Mak Kunah menjawab selamba.
Kudin meneguk liur. Duit dalam akaun
simpanannya dicongak. Ada sampai 35 ribu ke? Masak aku macam ni.. ucap Kudin
dalam hati.
"Tak
boleh diskaun ke, mak?" ucap Kudin resah.
"Mak
ada duit sikit, Kudin. Jangan bimbang pasal tu. Engku Ehsan mintak kita ikut
aja apa dia nak. Kalau dibantah nanti lagi panjang ceritanya," ucap Mak
cik Kunah lembut.
"Tapi
tak berbaloi sampai 35 ribu, mak." Kudin mengeluh sendiri.
"Kudin..
benda baik. Jangan diungkit-ungkit sangat. Mak tak mahu dengar. Ikhlaskan hati
aja," tegah Mak cik Kunah lembut.
Kudin
terdiam. Lelaki kampung seperti dia terpaksa membayar 35 ribu untuk mendapatkan
seorang isteri yang berdarjat tinggi seperti itu. Berbaloikah nanti?
"Dia
ada permintaan dia, mak pun ada kehendak mak sendiri. Mak terima syarat dia
dengan syarat dia juga terima syarat mak." Mak cik Kunah bersuara dalam
pada Kudin berjeda sendiri.
Kudin
kembali memandang emaknya. "Apa dia syarat mak tu?"
Mak
cik Kunah tersenyum sendiri. “Lepas kahwin nanti mak nak Kudin pindah duduk rumah
arwah nenek kat hulu sana,” jawab mak cik Kunah biasa.
Kudin
terus memandang emaknya itu. “Maksud mak?”
“Engku
Ehsan kahwinkan Rina dengan Kudin cepat-cepat ada sebabnya. Dia nak Rina
belajar hidup seadanya. Mak faham apa maksud dia. Sebab tu mak nak Kudin bawak
dia tinggal di rumah nenek sana. Lagipun pasangan baru kahwin ni selalunya
nakkan ruang sendiri. Kalau bukan ruang untuk beromantik-romantik.. ruang nak
berperang sesama sendiri. Betul tak, Kudin?” ucap Mak cik Kunah selamba.
Kudin
menegur liur memandang emaknya itu. Kata-kata emaknya itu macam sedang
bertempek di atas mukanya. Tapi bukan bab yang beromantika diamor tu.. tapi bab
yang berperang tu. Memang sesuai benar.
“Mak
pun tak suka tengok air muka Kudin dijatuhkan depan mak. Jadi eloklah Kudin
tinggal di sana nanti. Edrina setuju dengan syarat mak,” jawab Mak cik Kunah
lembut.
“Maksud
mak, syarat tadi tu.. Kudin kena bawak Edrina tinggal di rumah arwah nenek ke?”
soal Kudin sedikit tidak mengerti.
“Iya..”
mak cik Kunah menjawab dengan wajah bersahaja.
Kudin
mengerutkan kening. Syarat apa macam tu?
“Dia
setuju sebab dia belum nampak rumah pusaka tu macamana rupanya. Dia ingat rumah
tu macam rumah kita,” ucap Mak cik Kunah lagi.
“Kudin
takut Kudin yang siksa duduk dengan dia di rumah tu nanti, mak. Dia tu bukannya
boleh susah sikit,” komen Kudin perlahan.
“Didik
dia supaya dia terima keadaan tu seadanya. Itu tugas Kudin sebagai suami. Bukan
semua suami dalam dunia ni mampu sediakan banglo untuk isteri. Kudin kena buat
dia faham apa maknanya ketaatan!” jelas Mak cik Kunah serius.
Kudin
diam. Namun dia akur dengan nasihat emaknya. Memang itu semua tanggungjawab dia
sebagai suami nanti.
“Mak
percaya dia tak seburuk yang disangka, Kudin. Cuma perempuan macam Edrina tu
tak boleh diajar dengan kekerasan. Mak nampak walaupun dia tak mahu tapi dia
ikut juga apa yang nenda dia suruh. Itu petanda baik. Mula-mula memanglah dia
akan memberontak. Tapi pujuklah dia perlahan-lahan. Lama-lama dia mahulah tu,”
ucap Mak cik Kunah lagi.
Kudin
memandang emaknya itu sambil berfikir sendiri. Dia sendiri masih tidak mampu
membayangkan apa yang bakal terjadi kepada rumahtangganya.
“Sebelum
mak terlupa Engku Ehsan nak percepatkan tarikh kahwin tu. Bertunang tiga bulan
aja. Jadi kamu bersiaplah apa yang perlu.”
“Tiga
bulan, mak?” terbeliak mata Kudin menahan rasa terkejut.
“Iya..
kenapa? Lama sangat ke? Nak cepat lagi?”
“Tak..
tak..” Kudin segera menggeleng. Tiga bulan itu terlalu cepat sebenarnya.
“Jadi
bila bertunangnya?” soal Kudin kemudian.
“Dah
bertunang dah pun. Tadi mak dah sarung cincin. Nak buat apa tangguh-tangguh?
Sekalikan aja. Senang tak payah banyak kerja,” jawab Mak cik Kunah selamba.
“Ha?
Kudin dah bertunang?” Kudin terus terlopong. Macam mimpi sahaja dia. Dia
rupanya dah bertunang dengan Edrina sekejap tadi. Terujakah dia? Sama sekali
tidak. Dia masih teringat hal di butik pakaian lelaki dulu. Dia masih tidak
merasakan dirinya tidak sepadan mahu digandingkan dengan wanita itu.
“Takde
kebahagiaan akan datang semudah itu, Kudin. Semuanya perlu diusahakan. Kamu
kena yakin dengan keupayaan diri kamu. perempuan ni.. orang mana atau setinggi
mana pun darjatnya, sama aja nalurinya dengan perempuan-perempuan yang lain.
Semuanya kalah dengan kasih sayang,” ucap Mak cik Kunah lagi tatkala
terpandangkan menungan anaknya itu. Dia dapat membaca apa yang sedang
difikirkan anaknya itu.
“Kudin
tak pernah bercinta, mak. Kudin tak pandai layan perempuan.” Kudin menjawab
rendah.
“Itu
bukan pokok pangkalnya. Ilmu menjadi suami ni dah cukup islam ajarkan pada
umatnya. Kita cuma kena pergi cari aja. Contoh terbaik seorang suami pun dah
ada. Rasulullah SAW adalah contoh seorang suami yang terbaik. Kita cuma perlu
berpandukan pada akhlak Rasulullah kita aja. Mak yakin Kudin boleh jadi suami
yang baik dan ayah yang sempurna pada anak-anak Kudin. Insya-Allah.. suami yang
baik akan diberikan seorang isteri yang baik jugak. Kita kena bersangka baik..
barulah Allah berikan yang elok pada kita. soal duit.. soal persiapan itu semua
serahkan pada kami. Tahulah mak apa nak buat.” Mak cik Kunah segera membalas.
Kudin
diam sahaja. Bersangka baik? Ya.. maksud emaknya itu segera dimengertikan. Jika
emaknya yakin Edrina mampu menjadi wanita yang baik untuk dirinya, mengapa dia
tidak boleh berfikiran begitu?
“Insya-Allah,
mak..”
Rumah pusaka
itu kembali dijejaki Kudin hari itu. Lama dia memandang rumah usang itu. Di
sinilah dia akan memulakan hidupnya nanti bersama dengan isterinya. Rasanya
sudah lama rumah ini terbiar kosong tidak berjaga. Dia pun tidak ada banyak
masa untuk menjaga rumah ini selalu. Kerana itu rumah ini terbiar usang begitu
sahaja. Namun hari ini dia berhasrat untuk melihat keadaan rumah ini, membaiki
mana yang perlu.
“Lalu
ke minah KL tu nak duduk sini?” soal Kudin sendiri.
Rumah
pusaka arwah datuk dan neneknya itu terletak agak terpencil. Hanya ditemani
oleh rumah pekerja-pekerja yang dibina di dalam kawasan ladang. Itu pun
bukannya dekat benar. Paling menarik.. rumah ini ditemani oleh tanah perkuburan
penduduk kampung itu. Itu mesti Edrina suka sangat. Boleh jadi setiap hari dia
terpaksa menemankan gadis ke tandas kerana tandas dan bilik air rumah ini juga
terletak di luar rumah.
Setengah
hari itu Kudin terpaksa menghabiskan masa membaiki atap rumah. Kering kontang
dia kehausan akibat panahan cahaya matahari. Kemudian barulah dia mengganti
lantai rumah mana yang sudah tidak boleh dipijak. Takut nanti terjerlus pula
kaki isteri ‘Tengku’nya itu jika terpijak lantai reput. Lagipun dia kenalah
bersiap sedia untuk waktu-waktu kecemasan. Manalah tahu tabiat isterinya nanti
suka hentak kaki waktu merajuk? Lantai rumah ini juga yang punah nanti.
Namun
sedang dia asyik dengan kerja-kerjanya sebuah kereta yang tidak diketahui
pemiliknya masuk ke kawasan itu. Kudin sempat mengintai melalui jendela yang
terbuka. Namun melihat batang tubuh yang keluar daripada Proton Preve itu,
Kudin mengeluh sendiri.
“Apa
pulak mimpinya dia ni datang cari aku?” soal Kudin sendiri. Dia lantas keluar
daripada rumah itu untuk mendapatkan tetamu tidak diundang itu.
“Lisa
pergi rumah kolam ikan abang tadi. Abang Mokhtar kata abang kat sini,” ujar
Lisa sambil tersengih.
“Bila
balik?” tanya Kudin sekadar berbasi basa.
“Baru
semalam. Lisa cuti sampai esok aja,” jawab Lisa sambil tersenyum.
“Nak
apa cari abang ni?” soal Kudin hairan.
“Saja..” jawab Lisa lantas mendekati Kudin di tangga kayu
rumah itu. “Lisa dengar abang nak kahwin ya?” tanya Lisa pantas.
Kudin mengangguk sahaja sambil memandang ke arah lain.
Selamba benar Lisa ke situ dengan seluar pendek separas lutut dan baju tee
ketatnya. Tahulah dah jadi orang KL. Tapi dia yang masih kekampungan ini tidak
selesa benar melihat organ-organ yang terbonjol milik Lisa.
“Orang kampung mana bakal isteri abang tu?” tanya Lisa
teruja mahu tahu.
“Saudara jauh keluarga abang,” jawab Kudin biasa.
“Oh.. macam tak percaya pulak dengar abang nak kahwin.
Kira ni family yang aturkan ke apa ni?” ucap Lisa semakin berminat mahu
mengorek cerita tentang perkahwinan yang bakal dilangsungkan Kudin.
“Lisa datang sini sekadar nak tahu pasal itu aja ke?”
soal Kudin tanpa menjawab soalan Lisa itu. Bola matanya singgah sekejap di
wajah gadis itu. Entah kenapa dia melihat senyuman Lisa seperti sedang
mempersendakan dia.
“Iyalah.. Bapak cerita dengan Lisa yang abang nak kahwin
bulan depan. Lisa terkejutlah. Takde angin takde ribut tiba-tiba abang nak
kahwin pulak. Nak kata abang ni ada girlfreind rasanya takde pulak. Abang dah
kenal lama ke dengan bakal isteri abang tu? Cantik tak?” Lisa terus mengomel
kepada Kudin.
“Penting ke semua tu?” soal Kudin kembali sambil menatap
kosong raut gadis yang berdiri di hadapan tangga itu. Dia macam tidak percaya
pula gadis ini sanggup datang ke sini sekadar untuk mengambil tahu halnya.
Sudah lama Lisa tidak peduli kepadanya. Mereka dah macam orang asing selama
ini.
“Takdelah.. saja je Lisa nak tahu.” Rendah sahaja jawapan
Lisa.
Kudin diam sambil menghela nafas bosan. Dia tidak
berhasrat mahu bercerita panjang kepada Lisa tentang itu. Cantik ke tidak bukan
ukuran. Kenal lama atau tidak juga tidak penting. Kalau sudah sampai serunya dia
berkahwin, maka dia reda.
“Bila nak bagi kad jemputan?” tanya Lisa setelah
pertanyaan tadi tidak berjawab.
“Nantilah.. dah ada nanti abang bagi,” ucap Kudin macam
orang yang tidak berperasaan sahaja. Soal itu semua dia tidak tahu. Itu urusan
emaknya.
“So abang nanti duduk sini dengan isteri abang tu ke?”
ucap Lisa lagi sambil memandang rumah itu. Dia dapat meneka apa sebabnya Kudin
membaiki rumah itu semula. Seingatnya rumah ini sudah terbiar kosong lebih
daripada 10 tahun.
“Nampaknya macam tulah..”
“Abang nampak macam tak happy je sebut pasal kahwin ni.
Abang kena paksa kahwin ke?” telah Lisa dengan renungan dalam ke wajah Kudin.
Kudin mengerut kening memandang Lisa. Dah ke situ pulak
perginya.
“Nak tujukkan happy tu macamana? Nak kena buat lompat
bintang ke apa? Abang happy ke tidak, itu abang simpan sendiri. Abang pun tak
suka sembang banyak sangat sedangkan bendanya masih jauh lagi,” jawab Kudin
biasa.
Lisa terdiam mendengar jawapan Kudin. Macam perli dia aja
bunyinya? Kudin dilihatnya macam tidak berminat sahaja mahu melayan dia
berbual. Kudin memang sudah banyak berubah sekarang. Sudah tidak mesra seperti
dulu. Dulu mereka memang rapat.
Ah! Tapi bukankah dia yang meminta lelaki itu meletakkan
jurang? Kenapa pula sekarang dia mahu terasa begini?
“Lisa balik dululah, bang.” Menyedari sudah tiada topik
mahu diperkatakan Lisa akhirnya meminta diri.
Kudin mengangguk sahaja. Eloklah pun.. sebab dia ada
banyak kerja lagi nak dibuat selain daripada bersembang kosong begini.
“Jangan lupa jemput Lisa nanti,” kata Lisa lagi.
“Insya-Allah..” jawab Kudin pendek sahaja.
Sepeninggalan Lisa bersama dengan kereta yang dibelikan
oleh teman lelakinya itu Kudin naik semula ke atas rumah. Kerjanya disambung
semula. Seminggu dua ini dia terpaksa menumpukan perhatiannya kepada rumah ini.
Petang itu sebaik sahaja dia sampai ke rumah emaknya
sudah mengajak dia minum petang di dapur. Kudin sempat mengeluh melepaskan
keletihannya.
“Penat?” tanya Mak cik Kunah sekadar berbasi basa.
Keledek goreng yang baru diangkat dari kuali itu disusun di dalam pinggan.
“Penat yang teramat sangat, mak.”
“Makanlah.. mak cik Som bagi keledek tadi,” ucap Mak cik
Kunah setelah meletakkan pinggan itu di atas meja. Setelah itu dia kembali
semula ke tempat memasak tadi. kawasan itu dikemaskan ala kadar.
Kudin segera mencapai sekeping keledek goreng itu. Dengan
lafaz bismillah keledek itu disuap ke mulutnya. Manis rasanya keledek itu.
“Kudin, mak rasa eloklah kamu beli kereta.” Mak cik Kunah
berkata lembut sebaik sahaja duduk di hadapan anaknya itu.
“Ha? Nak buat pulak, mak?” soal Kudin sedikit terkejut.
“Takkanlah kamu nak pergi bersanding di KL sana naik lori
kamu tu? Lagipun zaman sekarang ni kereta ni dah jadi satu keperluan. Bukan
lagi satu pembaziran,” jelas Mak cik Kunah.
“Lori tukan ada, mak? Dia naik ajalah lori tu.” Kudin
menjawab mudah. Banyak pulak cekadak nak beli kereta khas untuk angkut dia.
Mak cik Kunah menggeleng sahaja melihat anaknya itu.
“Janganlah kedekut sangat. Takkanlah kamu nak angkut isteri kamu tu ke hulu ke
hilir naik lori, Kudin? Mak memanglah tak kisah sebab mak dah biasa. Lagipun
apa salahnya.. kamu bukannya takde duit benar. Kalau ada kereta senang nak
bergerak. Lainlah kalau bini kamu tu pandai naik motor, kamu belilah motor.
Murah pun murah,” rengus Mak cik Kunah sebal.
Kudin terdiam pula. Nak beli kereta pulak ke? Ai..
habislah duit aku kalau macam ni, bisik hati Kudin.
“Kudin, mak bukannya nak suruh kamu berubah jadi orang
lain semata-mata untuk tambat hati isteri kamu. Tapi bukan semua perempuan
boleh hidup dalam keadaan serba tak ada secara mengejut begini. Semua orang
berlumba-lumba nak beli kereta sebab itu semua dah jadi satu benda utama bila
nak bergerak ke mana-mana. Mak tak mahu nanti benda ni semua jadi gaduh kamu
suami isteri. Kita nak orang faham kita. Kita kena faham resam orang lain dulu,
Kudin. Mak bukannya nak suruh kamu beli kereta mahal. Cukuplah asalkan kamu
ada. Senang kamu nak bergerak selain daripada gunakan lori kamu tu,” nasihat
Mak cik Kunah lembut.
“Mahallah kereta sekarang, mak.” Kudin menjawab rendah.
“Belilah yang murah..” sambut Mak cik Kunah pantas.
“Tengoklah nanti..” jawab Kudin malas.
“Lori kamu tu pun dah uzur benar, Kudin. Memang betul pun
cakap Rina tu. Dah macam besi buruk.”
“Mak pun sama naik macam dia nak kutuk lori Kudin tu.
Lori tu banyak berjasa, mak.” Kudin menggerutu tidak senang mendengar ucapan
emaknya itu. Dah sepakat dengan bakal menantu pulak emaknya tentang lorinya
itu.
“Mak bukan nak kutuk saja-saja. Tapi kamu kenalah bagi
cuti sekali-sekala pada lori kamu tu. Lori tu kamu gunakan tak henti-henti.
Pergi sembahyang Jumaat pun kamu pergi naik lori tu. Lori tu dah tunggu masa
aja nak roboh, Kudin. Kalau rosak satu hari nanti macamana? Dengan apa lagi
kamu nak bergerak?” ucap Mak cik Kunah bersungguh.
Kudin terdiam lagi memikirkan kebenaran kata-kata emaknya
itu.
“Dengarlah cakap mak ni, Kudin. Mak bukannya suruh kamu
pergi buang duit saja-saja. Kereta ni kamu boleh gunakan dalam jangka masa
panjang. Kamukan belajar ekonomi. Takkan kamu tak faham jugak tentang itu?”
“Yalah.. nanti Kudin pergi beli.” Kudin menjawab rendah.
Macam tak ikhlas aja bunyinya.
“Hmm.. lepas kamu kahwin nanti bolehlah mak
berangan-angan nak ke Mekah.”
“Mak nak naik haji?”
“Dah selesai tanggungjawab mak kahwinkan kamu, barulah
mak rasa tenang nak buat ibadah haji.” Mak cik Kunah menjawab dengan sedikit
senyuman. Sudah lama dia berangan-angan mahu melaksanakan ibadah itu. Rasanya
itulah masa yang sesuai.
“Kudin memang dah lama berniat nak hantar mak ke Mekah.”
“Takpelah, Kudin. Mak ada duit yang mak simpan sendiri.
Kamu simpan ajalah duit kamu tu. Manalah tahu berkat doa mak esok balik aja
dari Mekah mak dapat timang cucu,” jawab Mak cik Kunah dengan senyum simpulnya.
Seperti mahu tercekik Kudin mendengar itu. Nak timang
cucu, mak? Dia nak pandang Kudin pun tak selera. Dia jugak yang cakap geli
sebab Kudin ni banyak bulu dada, ucap Kudin sekadar di dalam hati.
“Senangnya hati mak ni, Kudin. Tak lama lagi hasrat mak
nak tengok kamu ada isteri dah termakbul. Alhamdulillah..” ucap Mak cik Kunah
cukup senang hati.
Kudin hanya mampu tersenyum pahit. Bakal menantu punya
pasal.. dia kena kopakkan poketnya membeli kereta. Esok entah apa lagi pulak
yang dia kena beli. Kapal terbang pulak kut.. senang Edrina nak melancong ke
luar negara nanti. Lepas tu? Agaknya kapal persiaran pulak yang dia kena beli.
Semuanya Edrina punya pasal!
No comments:
Post a Comment