Melihat Kudin duduk termenung sendiri Mak cik Kunah segera mendekati anak lelakinya
itu. Kudin menoleh sebaik sahaja terperasan ada orang duduk bersamanya di meja
itu. Bibirnya segera tersenyum memandang emaknya.
“Kenapa duduk sini sorang-sorang?”
“Fikir, mak..” jawab Kudin perlahan sahaja.
“Pasal permintaan nenda tu ke?” tebak Mak cik Kunah mudah.
Tanpa kata Kudin sekadar mengangguk. Namun lesu sahaja anggukannya
menandakan dia masih tidak punya jawapan yang mahu diberikan kepada nendanya
itu. Serba salah! Diluah mati mak, ditelan mati bapak. Itu yang dirasaknnya
saat ini.
Mak cik Kunah menghela nafas perlahan sebelum bersuara. “Mak bukannya nak
memaksa kamu, Kudin. Tapi mak harap kamu jangan hampakan sesiapa. Kesian nenda
kamu,” ucap Mak cik Kunah lembut sahaja.
“Tapi bukan senang Kudin nak tinggalkan apa yang dah Kudin usahakan selama
ni, mak. Itu semua hasil titik peluh Kudin. Kudin pun tak mahu tinggalkan mak
sorang-sorang kat kampung,” ujar Kudin perlahan. Dia tunduk merenung rumput
golf di hujung kakinya itu.
“Tapi tak semestinya kamu kena pilih tinggalkan ladang kamu tu kan? Ada
pilihan yang lain kalau kamu sudi,” duga wanita tua itu lantas tersenyum
sendiri.
Kudin menoleh kepada ibunya itu. “Kahwin dengan Edrina? Mak tahukan
macamana Kudin dengan dia? Itu mustahil, mak.”
“Kamu kata mustahil sebelum kamu mencuba?”
Kudin mengeluh perlahan. Masalahnya kedua-dua pilihan yang diberikan
nendanya itu merumitkan.
“Kita kena korbankan kehendak kita sekali-sekala, Kudin. Mak tak nampak ada
apa yang mustahil pada kehendak nenda tu. Mak lagi suka tengok Kudin ada
isteri. Mana tahu ada rezeki nanti mak dapat timang cucu,” ucap Mak cik Kunah
lembut.
“Mak, Kudin bakal ada isteri yang degil macam tu mak suka jugak ke?” soal
Kudin dengan kerutan di kening.
“Kenapa dengan Edrina tu? Mak tak nampak pun apa yang kurang pada dia,”
jawab Mak cik Kunah pantas.
Kudin mengeluh lagi sambil menggeleng. “Dia tak suka dengan Kudin dan Kudin
pun tak suka dengan dia. Macamana nak hidup bersama kalau macam tu?” ucap Kudin
serius.
Mak cik Kunah tergelak perlahan. Belakang anaknya itu diusap lembut. “Tapi
dia masih seorang perempuankan? Kalau betul cara didikan suaminya, layanan
suaminya pun elok.. cukup segala keperluan suami dia sediakan, insya-Allah dia
boleh jadi isteri yang baik pada suaminya. Terpulang kepada kamu aja, Kudin.”
Mak Kunah menyambut kata-kata Kudin dengan pandangannya sendiri. Apa yang dia
lihat pada Edrina, anak itu memang manja. Memang agak degil. Tapi dia lihat
Edrina takut kepada neneknya. Bermakna masih tersisa rasa hormatnya kepada
orang yang lebih tua.
“Tapi Kudin tak suka dia, mak.”
“Iya ke kamu tak suka dia?” duga Mak cik Kunah sambil mengerling Kudin
dengan hujung matanya. “Esok dah jadi isteri mak nak tengok jugak sejauh mana
kamu boleh tak suka dengan dia,” perli mak cik Kunah sambil ketawa sedikit.
Kudin mendecit perlahan. Susahlah! Dia pun tak mampu membayangkan apa akan
jadi kepada rumahtangganya nanti jika wanita itulah yang menjadi isterinya.
Ngeri!
“Apa patut Kudin buat, mak? Dua-dua pilihan tu Kudin tak mahu,” ujar Kudin
cukup rendah.
“Buatlah pilihan yang akan membahagiakan semua orang, Kudin. Mak bahagia,
nenda bahagia dan ladang kamu tu pun tak pernah lepas daripada pandangan kamu.
Kita kena berkorban sikit perasaan kita jika kita nak orang memahami pendirian
kita. Kamu tahukan apa yang maksud mak ni?” ucap Mak cik Kunah lembut.
Kudin diam seketika. Namun akhirnya dia mengangguk. Dia tahu emaknya mahu
dia memilih Edrina berbanding Semarak Holding. “Mak cakaplah apa yang patut
Kudin pilih. Kudin ikut cakap mak,” ucap Kudin kemudian.
“Jangan tanya pada mak. Tanya pada hati kamu. Hati kamu berat sebelah
mana?”
Kudin membisu lagi sambil memandang rumput di kakinya itu. Masalahnya
hatinya terasa kosong kepada kedua-dua pilihan itu. Dua-dua dia tidak sanggup.
“Kudin, bercinta lepas kahwin bukan satu benda yang
mustahil dalam dunia ni. Pokok pangkalnya kita ni.. macamana kita bertindak
untuk menyelesaikan masalah. Macamana cara kita mengawal rumahtangga. Kamu tu
lelaki, Kudin. Kuasa ada di tangan lelaki. Terpulanglah pada kamu nak corakkan
kebahagiaan kamu macamana. Tak salah kamu rendahkan ego kamu tu untuk kebaikkan
kamu berdua. Kalau dua-dua asyik nak mengeras.. sampai bila pun keadaan ni
takkan berubah,” ujar Mak cik Kunah lagi.
Kudin mengangguk-angguk tanda mendengar ucapan emaknya
itu. Saat itu dia tiba-tiba teringat kata-kata yang pernah diucapkan kepada
emaknya tidak lama dulu. Sekiranya Allah sedang melorongkan jalan kepadanya
untuk dia memiliki keluarga sendiri, maka dia akan menerima tanpa banyak
alasan.
Kudin memandang tampang ibunya itu dengan pandangan yang
cukup lembut. “Kudin tak mahu tinggalkan mak. Kudin tahu mak dah lama nak
tengok Kudin ada isteri dan Kudin dah janji dengan mak dulu. Kudin takkan
beralasan lagi sekiranya jalan itu sedang terbuka di hadapan mata Kudin.” Anak
muda itu diam seketika.
“Kudin akan kahwin dengan Edrina,” sambung Kudin segera
memberi keputusannya.
Mak cik Kunah tersenyum penuh kesyukuran mendengar
jawapan Kudin. Dia sentiasa tahu Kudin seorang yang lembut hati. Dia juga yakin
keegoan Edrina tidak akan mampu terpacak lama jika berhadapan dengan anaknya
ini. Dia pasti!
“Kami semua dah sepakat. Kami nak Rina terima Emran sebagai
suami. Emran pun dah setuju dengan permintaan nenda sebelum ini. Nenda
merancang nak adakan majlis pertunangan kamu berdua secepat mungkin,” ucap
Tengku Ahmad Ehsan kepada anaknya itu.
Tunku Zainab mengangguk mengakui kebenaran kata-kata
anaknya itu. Kudin di meja makan itu hanya tunduk menyuap nasinya.
Edrina terus memandang Kudin yang duduk agak jauh darinya
dengan mata terbuntang. “Kahwin dengan mamat kampung tu? Tak naklah, pa!”
sambut Edrina meninggi.
“Rina dengarkan apa syarat nenda dalam perbincangan kita
hari tu?” ucap Tunku Zainab kepada cucu perempuannya itu.
“Nenda yakin Emran boleh jadi suami yang baik pada Rina.
Nenda tahu pilihan kami ni jauh lebih baik daripada lelaki-lelaki yang pernah
berdampingan dengan Rina dulu,” ujar Tunku Zainab lagi.
Ah! Apa bezanya lelaki-lelaki tu dengan si Kudin ni pun.
Sama-sama dia tak suka! Lelaki-lelaki yang pernah datang kepadanya bukan sebab
dia yang jemput. Semuanya datang sendiri. Bila mereka semua dah bosan. Semua
cabut lari! Dia tak kisah pun sebab dia bukannya seorang perempuan yang mudah
ada hati dengan seseorang.
Edrina memikir lagi alasan yang boleh diberikan untuk
menolak. “Nenda.. Rina tak mahu duduk kat kampung,” ujar Edrina kemudian.
“Bila dah jadi isteri kepada seorang suami, di mana suami
tinggal di situlah juga tempat isterinya, Rina. Itu dah memang kewajipan bagi
seorang isteri.” Tunku Zainab menjawab lembut.
Edrina memandang Kudin yang masih membisu. Sakit hatinya
melihat gelagat macam tunggul Kudin. Bersetuju sebelum berbincang dengannya?
Itu memang dia sakit hati. Sangkanya Kudin akan menerima tawaran ayahnya di
Semarak Holding. Ini dah lain cerita pulak!
“Habis tu macamana dengan Semarak Holding?” ucap Edrina
kembali.
“Itu serahkan saja pada kami.”
“Kalau macam tu Rina setuju kerja dengan papa. Rina tak
mahu kahwin dengan dia tu,” ucap Edrina sengit.
Tunku Zainab mula berhenti menyuap nasinya. Matanya terus
dihalakan kepada Edrina. Kepalanya menggeleng kesal.
“Nenda tak suka ada sesiapa main-mainkan kata-kata nenda.
Kalau Rina masih hormat pada nenda. Tolong dengar cakap kami. Jangan nak ikut
kepala sendiri aja. Semuanya dah dirancang dengan baik termasuk siapa yang akan
ambil alih Semarak Holding nanti. Sekejap kamu kata kamu tak mahu kerja di
Semarak Holding sekejap mahu pulak. Jangan buat nenda pening lagi, Nur Edrina!
Kamu tak mahu berkerja, nenda nak kamu kahwin dan jadi isteri sepenuh masa!
Tanggungjawab kamu satu saja. Lahirkan pewaris untuk keluarga ni,” ucap Tunku
Zainab sedikit keras.
Edrina terdiam menelan bicara neneknya itu. Lahirkan
zuriat? Mak ai.. ngerinya. Dengan lelaki yang itu? Mata Edrina sekali lagi
memandang Kudin yang sedang merenung nasi di pinggannya. Rahang lelaki itu
bergerak-gerak seolah-olah sedang menahan perasaan sendiri. Sama seperti Tunku
Zainab, Kudin sudah tidak meneruskan makannya walaupun nasi masih banyak
tersisa.
“Nenda..”
“Papa tak mahu dengar bantahan lagi, Edrina. Apa yang
nenda cakap tu betul. Daripada kamu menghabiskan masa berjalan sana sini,
eloklah kamu berkahwin,” pintas Tengku Ahmad Ehsan keras.
“Yalah.. memang Rina nak kahwin. Tapi dia tu..” Edrina
tidak mampu meneruskan bicara. Matanya mengerling Kudin di hujung sana.
“Apa yang kurangnya dengan Emran ni?” tanya Tengku Ahmad
Ehsan pantas.
Edrina menelan liur sendiri. “Rina tak suka.. sebab dia..
emm.. dia..” otak gadis itu ligat berfikir mencari idea untuk menolak. “Dia
hitam! Dia makan banyak. Emm.. lepas tu.. dia..
dia banyak bulu dada. Eee.. gelilah! Macam monyet!” tukas Edrina agak
kuat.
Terbeliak mata Kudin mendengar alasan penolakan Edrina
kepada dirinya. Spontan dia terus memegang dadanya. Mak cik Kunah menekup mulut
di sebelah Kudin. Dia terasa mahu ketawa melihat reaksi anak lelakinya itu.
Tunku Zainab tergelak entah kenapa mendengar bicara
Edrina. “Itu semua bukan satu alasan yang boleh mengubah pendirian nenda
sekarang, Edrina. Kamu jangan bersikap macam budak-budak. Setakat ada bulu dada
aja kamu tak suka?” Tunku Zainab terus menggeleng sendiri.
“Fine! Nenda nak berapa cicit? Sepuluh cukup?” balas
Edrina sebal. Dengan wajah mencuka dia terus bangun daripada duduknya. Pinggan
ditinggalkan begitu sahaja sebelum membawa dirinya naik ke tingkat atas.
“Emran jangan ambil hati ya?” ucap Toh Puan Siri Aisyah
kepada Kudin.
Kudin memandang wanita itu. “Takpe, Mak Engku. Saya
faham..” jawab Kudin perlahan. Malu juga mukanya mendengar kata-kata Edrina
sebentar tadi. Macam monyet dikatanya si Kudin? Ah! Dia sudah tidak hairan. Ini
bukan kali pertama Edrina menghinanya di hadapan ahli keluarga yang lain.
Petang itu setelah puas berkurung di dalam bilik Edrina mula
bersiap mahu keluar. Namun saat dia membuka pintu biliknya dia terkejut melihat
Kudin berdiri di hadapan pintu. Tangan lelaki itu terangkat seolah-olah mahu
mengetuk muka pintu itu.
“Aku baru nak ketuk, kau dah bukak dulu,” ucap Kudin
perlahan.
“Apa kau nak?” soal Edrina sambil menjeling.
“Kau nak pergi mana?” soal Kudin lembut sahaja.
“Keluar..”
Kudin diam seketika sambil memandang gaun singkat Edrina
dari atas ke bawah. Memang cantik Edrina di matanya. Tapi sayangnya kecantikan
rambut, betis dan lengan yang seharusnya dilindungi senang-senang sahaja
dipertontonkan kepada orang.
“Aku dah lama tak pergi berjalan di KL sana. Aku ikut
kau, boleh?” ucap Kudin sengaja menebalkan muka.
Sibuk ajalah dia ni! getus hati Edrina sendiri. “Kau
jangan nak ikut aku dengan baju buruk kau tu. Malu aku nanti. Selekeh!” ucap
Edrina kasar.
Kudin memandang baju yang tersarung ditubuhnya seketika.
“Emm.. aku takde baju lain selain ni,” jawab Kudin jujur.
“Kau ni memang kolot plus kedekut! Kau suka pakai baju
buruk padahal kau bukannya miskin sangat. Kau lebih suka naik lori buruk datang
sini padahal kau mampu beli kereta. Memang kau ni jenis lelaki yang tak up to
date langsung! Tak kena dengan selera aku. Macamana aku nak terima lelaki macam
kau jadi suami aku? Aku ni taste tinggi, kau tahu!” ucap Edrina mula
meninggikan suaranya.
Terkebil-kebil Kudin memandang Edrina. Dia tiada jawapan
melainkan apa yang diucapkan Edrina itu memang betul pun. Memang pun dia tidak
pandai bergaya.
“Buang masa aja bercakap banyak dengan kau ni. Kau
bukannya faham pun. Kolot!” cemuh Edrina selamba. Dia terus keluar daripada
biliknya. Pintu kamar itu dirapatkannya sambil diperhatikan oleh jejaka itu.
“Kata nak ikut. Cepatlah!” gesanya setelah melihat Kudin
terkebil-kebil lagi memandangnya.
“Kita naik apa?” soal Kudin ketika di luar rumah.
“Apa-apa aja selain daripada besi buruk kau tu,” jawab
Edrina selamba.
“Lori tu banyak berjasa pada aku, Rina. Tak baik kau
panggil lori aku tu macam tu,” Kudin menyambut dalam nada tidak senang.
“Berjasa pada kau. Bukan pada aku. Kau ingat kita ni nak
pergi ladang kau ke apa? Tolong sikit eh.. jatuh standard aku pergi Pavilion
naik lori kau tu.” Edrina membalas sambil menjeling. Kakinya terus dihalakan ke
arah keretanya.
Mahu tidak mahu Kudin menurut juga langkah Edrina. Gadis
itu memandu dan dia sekadar duduk di sebelah. Bagus juga dia duduk saja. Dia
bukannya hafal benar jalan di KL ni.
Di gedung membeli belah Pavilion, Edrina terus membawa
lelaki itu ke butik Ermenegildo Zegna, sebuah kedai menjual pakaian lelaki.
Kudin macam orang bodoh mengekor sahaja ke mana gadis itu membawanya. Di dalam
butik itu dia terlopong sedikit melihat suasana mewah di dalam tempat itu.
“Kita buat apa kat sini?” soal Kudin macam sudah tahu
saja apa yang akan berlaku sekejap nanti.
“Diam! Ikut aja aku..” ucap Edrina lantas membawa Kudin
naik ke tingkat atas. Mulut Kudin kembali terkunci sambil mengikut sahaja
rentak gadis itu.
Namun tatkala terpandangkan harga sehelai tee berkolar
bulat yang dibelek Edrina, liur Kudin sudah tidak tertelan. MYR 546?? Kudin
mula mencongak ‘cash money’ yang terselit di dalam dompetnya.
Edrina yang ralik menunjukkan kepakarannya membeli belah
terus mengacu baju itu kepada Kudin. Setelah berpuas hati dia mengambil yang
lain pula. Semakin kering air liur Kudin melihat kemeja lengan pendek yang
dipilih Edrina sekali ganda lebih mahal berbanding yang tadi. Kemudian seluar
pula lebih 7 ratus harganya membuatkan Kudin mula berpeluh sendiri.
“Mahal sangatlah baju kat sini. Membazir,” ucap Kudin
cukup perlahan di belakang gadis itu.
“Kau ni bisinglah! Ikut ajelah aku..” getus Edrina tidak
senang.
“Takde diskaun ke baju tu?” soal Kudin mula berbisik
panik. Jenuh dia berkira-kira duit di dalam dompetnya. Buatnya tak cukup duit,
tak ke malu mereka nanti? Kudin dah menggelabah sendiri.
“Apa diskaun-diskaun ni? Buat malu aja sebut diskaun kat
sini!” getus Edrina perlahan. Lelaki di belakangnya itu dijelingnya. Kalut
sangat dia ni kenapa? Diam-diam aja sudahlah!
Kudin membisu lagi. Menyesal pula dia mengikut Edrina
keluar. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia lari. Tapi sedang dia asyik memikir
dalam kekalutan Edrina sudah menyerahkan semua pakaian itu untuk dicubanya.
“Cepat tukar. Situ fitting room. Baju dengan seluar ni
pakai terus. Baju kau tu bukak.” Edrina segera memberikan arahan sambil
menunjukkan satu kamar kecil tidak jauh daripada mereka.
Kudin memandang gadis itu seketika. Pakai terus? Buruk
sangat ke bajunya ini? hati Kudin berkata-kata sendiri.
“Cepatlah! Kau nak berjalan sebelah aku dengan baju buruk
kau tu? Agak-agaklah!” getus Edrina mengertap gigi geram. Sengal betul!
“Yalah..” Kudin akur juga dalam pada dia menggaru
kepalanya.
Ketika di kaunter bayaran sebelum sempat Kudin mengira
wang di dalam dompetnya Edrina terus meletakkan kadnya di hadapan juruwang.
Terkebil-kebil Kudin melihat gelagat wanita itu. Edrina sanggup menghabiskan
wang asalkan dia nampak setaraf dengan gadis itu. Pedih hati lelaki itu entah
kenapa.
Usai urusan di situ mereka keluar meninjau kedai lain
pula. Edrina lebih banyak melayan matanya yang seronok memerhatikan barangan
yang dijual berbanding berbual dengan Kudin. Lelaki itu dah macam orang bodoh
dibuatnya. Selain daripada dah macam orang bodoh, Kudin juga tukang pegang
barang yang dia beli.
Akhirnya dua jam berjalan di dalam shopping mall itu
Edrina mengajak Kudin rehat seketika di Starbuck Coffee. Lelaki itu sekadar
menurut begitu sahaja. Macam orang kejakunan Kudin ralik memandang ke
sekelilingnya. Reka bentuk bangunan shopping mall itu memang cantik di matanya.
Namun sedang mereka duduk membisu berdua datang seorang manusia menegur Edrina.
“Hey, you..” gadis itu mencuit Edrina yang sedang
memandang ke arah lain.
Edrina segera menoleh. Terkejut sedikit dia melihat
wanita itu. “Eh! Lara..” sapanya lantas bangun. Mereka berdua berlaga pipi
seketika.
“How are you?” soal Lara.
“Good enough. Bila balik Malaysia? Tak call I pun?” tanya
Edrina biasa.
“Dah seminggu. Sorry, I buzy sikit semenjak dua menjak
ni. Banyak kerja kat ofis tu. Nak lepak macam dulu pun tak sempat.”
“Have a seat,” pelawa Edrina kepada temannya itu.
“Okay..” Mata Lara sudah mula terhala kepada si lelaki
yang duduk memandang mereka berdua. Dek kerana meja itu kecil sahaja, dia duduk
dekat dengan lelaki itu.
“Siapa ni?” soal Lara sudah tidak menyabar.
“Ini Emran. Bakal tunang I,” ujar Edrina kepada temannya
itu. Kudin ikut bangun di sebelah Edrina.
“Bakal tunang?” terbeliak mata Lara mendengar itu.
“You’re not kidding me, right?” tanya Lara masih dengan reaksi tidak percaya.
“Hmm.. takde masa nak berjokinglah,” getus Edrina
langsung tidak teruja.
“Tiba-tiba aja dengar nak bertunang? Ada apa-apa ke?”
Lara bertanya lagi dengan sedikit kerutan di kening.
“Papa I suruh bertunang. I ikut ajalah. I kan anak yang
baik? Taat mendengar kata,” jawab Edrina bosan.
Lara ketawa mendengar kata-kata Edrina. “Pelik bunyinya
tu. Setahu I you ni anak yang kuat melawan, Ed.” Komen Lara masih dengan
tawanya.
Edrina mencebik sendiri. Lara mula mengalihkan pandangan
kepada lelaki itu. matanya terus merenung Kudin dari atas ke bawah.
“Wow.. hotnya dia ni,” bisik gadis itu sambil tersengih
gatal kepada si lelaki yang sedikit terkebil-kebil. “Nama I Lara.” Teman Edrina
itu segera menghulurkan tangan.
“Kudin..” Kudin menjawab biasa. Tangan gadis itu disambut
sesaat sahaja.
“Kudin?” Lara memusatkan pandangan kepada Edrina semula.
Keningnya berkerut.
Spontan Edrina terus menyenggol lelaki itu. “Emran! Mana
ada Kudin.. Kudis ni semua!” ucapnya sambil mengertap gigi geram. Tak
habis-habis sebut Kudin. Sedap sangat ke nama Kudin tu? Hish! Memalukan betullah
dia ni.. Edrina menggerutu dalam diam.
“Mana satu ni? Sorang kata Emran.. sorang kata Kudin.”
Lara ketawa manja sambil merenung tampang lelaki itu. Alamak.. inilah lelaki
Melayu yang paling macho yang pernah dilihatnya. Kenapa lelaki seperti ini
boleh terlepas kat minah yang tastenya lebih kepada lelaki macam salih ni? Lara
tidak faham.
Edrina sudah mendegus meluat kepada lelaki yang berada di
sisinya itu. Buat malu dia aja mendengar nama Kudin didendangkan di hadapan
temannya itu. Jatuh standard!
“Tengku Raden Emranuddin. Pendekkan jadi Kudin. Nak panggil
Emran pun boleh. Takde masalah,” ujar Kudin biasa sambil menoleh kepada Edrina
seketika.
“Oh.. I see. Tengku Raden? Unik nama you!” puji Lara
sambil menyeringai.
“Kerabat jugak ke ni, Rina?” Lara menanyakan soalan itu
kepada Edrina namun matanya cukup liar memandang Kudin dari atas ke bawah.
Hensem sangat-sangat macam superstar Hollywood tu tidaklah sebenarnya. Tapi
manis di wajah lelaki berkulit sawo matang ini memang jelas tertera. Agaknya
waktu mak dia mengandungkan Kudin, nurse asyik suruh mak dia minum air gula.
Itu yang manis benar Kudin di matanya. Bibir dia, wallawei.. seksi gila! Lengan milik lelaki itu berurat-urat dan
berotot kental.
Ah! Lara tidak mampu membayangkan jika bibir seksi itu
melekap di pipinya dan lengan sasa itu sedang memaut tubuhnya. Pastinya dia
terbuai-buai bagaikan sedang terbang ke angkasan nan raya. Miang sungguh anak
dara itu!
“Saudara bau-bau bacin aja,” jawab Edrina macam orang
malas.
Lara tergelak dengan jawapan Edrina. “You ni suka buat
lawaklah, Rina. Nanti ada masa bawaklah bakal tunang you ni ke rumah I. Kita
boleh lepak sekali,” ujar Lara cukup senang.
“Huh! We’ll see..” ucap Edrina sambil ketawa hambar. Tak
kuasa dia nak angkut mamat ni sekali ke tempat mereka melepak. Boring!
“You kerja apa, Kudin?” soal Lara semakin berminat mahu
mengenali Kudin.
“Farmer..” jawab Kudin sedikit teragak-agak. Bimbang
jawapannya memalukan Edrina lagi.
“Farmer? Maksud you petani?” berkerut lagi kening Lara
dengan jawapan polos lelaki itu. Tetapi dia benar-benar tertarik dengan lagak
‘nerd’ lelaki ini. Comel!
“Sebenarnya Emran ni pengurus dan pemilik ladang. Dia ada
ladang beratus-ratus hektar. Betul tak, darling?” Edrina segera menyampuk
sebelum sempat Kudin menjelaskan kekeliruan si Larasati itu.
“Err.. ya. Betul..” tergagap-gagap Kudin menjawab. Kalut
dia dibuatnya dengan semua lakonan itu.
“Wow.. interesting. So you ada business sendirilah ni?
Setahu I business Semarak Holding bukan berkaitan dengan plants ni semuakan?”
ujar Lara semakin kagum.
Kudin menelan liur. Fakta yang ladang dia sampai
beratus-ratus hektar tu memang tak tepat. Tetapi dia mengangguk juga demi
menjaga air muka Edrina.
“Patutlah body you tough semacam. Farmer rupanya..” ucap
Lara dengan sedikit lirikan menggoda. Jarinya diletakkan di atas paha Kudin dan
dielusnya lembut. Sengaja matanya dikerlingkan kepada Edrina di sebelah kanan
Kudin. Saja nak test temannya itu.
Terbeliak mata Kudin melihat keberanian wanita itu.
Cepat-cepat dia mengalihkan tangan halus itu daripada pahanya. “Sorry..” ucap
Kudin sedikit tidak senang dengan perlakuan Lara. Edrina di sebelahnya
dipandang seketika. Wajah gadis itu sudah ketat seketat-ketatnya.
Pandangan Edrina segera berubah tajam melihat gelagat
temannya itu. Ewah! Ewah! Aku pun belum rasmi lagi dia dah ke depan dulu
pegang-pegang bakal tunang aku. Tak boleh dibiarkan ni.. getus hatinya sendiri.
Entah kenapa panas hatinya tiba-tiba. Memang silap besar dia mengajak Lara ini
duduk bersama. Macamana pulak dia boleh terlupa yang Larasati ini memang
pantang tengok lelaki sasa?
“Okaylah.. we must leave. See you, Lara..” ucap Edrina
lantas bangun. Spontan dia terus menarik hujung lengan baju Kudin agar segera
mengikutnya.
“Eh! cepatnya?” ucap Lara sedikit terkilan.
“Kami nak balik cepat. Kirim salam I dengan Saiba. Bye..”
ucap Edrina pantas.
“Okay, see you. Bye, Kudin..” Lara menggoyang manja dua
jarinya kepada Kudin. Terlentok-lentok dia memandang Kudin. Kudin sekadar
tersenyum biasa sebagai tanda menghormati gadis itu.
“Bye Kudin..” ejek Edrina meluat.
“Miang! Asal nampak lelaki aja mulalah dia sibuk nak
menggatal. Menyampah!” Edrina membebel sendiri. Geram melihat gelagat miang
temannya itu. Bakal tunang aku pun dia nak try jugak ke? Tak guna punya, Lara!
Bisik hatinya geram.
“Siapa miang?” soal Kudin yang terdengar sipi-sipi sahaja
kata-kata Edrina.
“Takde siapalah! Sibuk aja nak tahu,” degus Edrina dengan
sedikit jelingan ekor mata. Mamat ni pun satu.. melayan jugak si perempuan
sorang tu!
“Kita nak pergi mana lagi?” tanya Kudin.
“Balik!” jawab Edrina sebal. Hilang moodnya mahu berjalan-jalan
lagi. Buatnya terjumpa lagi kawan-kawan dia yang lain dia jugak yang sakit
jiwa.
No comments:
Post a Comment