Porsche Cayenne hitam itu berhenti di belakang kenderaan itu.
Edrina mendegus sambil membuka tali pinggang keledar yang menyelempang hadapan
tubuhnya. Dia segera keluar daripada keretanya dan mula mendekati kenderaan yang
berada di hadapan kenderaannya iyu.
Lama gadis itu mengelilingi kenderaan
itu untuk mengenali siapa empunyanya. Dalam firasarnya macam pernah dilihat aja
kenderaan itu. Tapi dia lupa di mana. Pintu kenderaan itu berkunci saat dia
cuba membukanya. Edrina memandang ke arah rumahnya.
“Kurang ajar betul! Lori buruk siapa
yang berani sekali ambil port aku ni?” getusnya tidak berpuas hati. Akhirnya
dia kembali ke keretanya. Bag tangannya dicapai lalu pintu keretanya dihempas.
Saat dia masuk ke dalam kediaman
keluarganya itu dia sudah ternampak kelibat dua tetamu. Salah seorangnya memang
dia benci sangat-sangat. Patutlah macam kenal lori tu! hati Edrina membentak
sebal.
“Lori kau ke kat luar tu?” soal Edrina
tanpa langsung memberi salam. Terus dia bercekak pinggang memandang Kudin. Muka
dah macam guru disiplin garangnya.
“Rina, apa ni? Hormat sikit pada tetamu
ni. Nenda ada kat sini ni..” Toh Puan Siti Aisyah segera bersuara menegur
anaknya itu. Wajah emak mertuanya dipandang sekilas. Wanita itu sedang merenung
tenang ke arah cucunya itu.
Edrina menjeling Kudin. Namun dia segera
mendekati Mak cik Kunah. Tangannya dihulurkan kepada wanita itu. Dia tunduk
mencium tangan wanita itu. Senyuman Mak cik Kunah dibalas biasa. Dengan mak cik
Kunah memang dia takde hal. Dengan Kudin yang berani sekali memakir lori
buruknya di tempat parkirnya itu.. memang dia sakit hati sangat-sangat! Tak
guna punya, Kudin!
“Alih lori kau..” ucap Edrina kasar
kepada Kudin setelah dia memandang lelaki itu. sakit hatinya melihat muka
selamba Kudin bersandar di sofa bercirikan tradisional yang ditempatkan di
ruang tamu utama rumah itu.
Kudin buat tidak dengar sahaja sambil
berpeluk tubuh. Langsung dia tidak hairan dengan pandangan semua orang
kepadanya.
“Hey, mamat kolot! Kau nak bawak lori
tanker datang sini pun aku takde hal. Tapi apasal kau letak lori kau tu dekat
tempat kereta aku ha?” bentak Edrina semakin sakit hati melihat reaksi Kudin.
Boleh pulak dia buat pekak.
“Rina, janganlah besarkan hal yang
kecil,” tegur Tengku Ahmad Ehsan sudah tidak senang hati melihat pertengkaran
itu.
“Pa, kereta Rina takde tempatlah. Dia
dah ambil tempat Rina,” ucap Edrina geram sambil menjeling lelaki yang masih
buat muka tidak berperasaan itu. Ada ke patut lori berkanvas kelabu yang buruk
itu ditempatkan di bawah porch sedangkan kereta dia yang berharga lebih
setengah juta itu terpaksa dipakirkan di luar porch? Mana boleh!
“Kudin, alihkan lori kamu tu,” ucap Mak
cik Kunah enggan perkara itu diperbesarkan.
“Dia nak apa-apa dari Kudin.. dia kena
cakap elok-elok. Baru Kudin alihkan,” ucap Kudin selamba dengan beraninya di
hadapan semua orang.
Tersirap darah Edrina mendengar bicara
Kudin. “Hei! Minta tolong sikit ya? Aku sebut benda alah tu sebagai lori pun
dah cukup baik. Benda tu dah elok dihantar kat tempat besi buruk aja! Buat
semak aja kat rumah ni,” jerkah Edrina dengan mata melolot.
Kudin memandang ke arah Edrina tajam.
Terbakar hatinya mendengar Edrina membahasakan lorinya seperti itu. “Ya.. aku ni
takde kereta mewah macam kau. Jadi aku terpaksalah naik lori buruk aku tu
datang sini. Ada masalah?” balas Kudin sengit.
“Kalau dah tahu macam tu naik aja bas!
Senang. Tak payah aku nak berebut porch tu dengan lori cabuk kau tu.” Gadis itu
mula bercekak pinggang dan bersuara lantang di ruang tamu rumah itu.
“Nur Edrina!” Tunku Zainab mula bersuara
sedikit keras.
“Nenda..” Edrina merengek kepada
neneknya itu. cuba untuk menagih pengertian wanita tua itu. Namun Tunku Zainab
segera menggeleng melihat ragam cucunya itu.
“Jangan kecohkan hal yang remeh macam
ni. Nenda tak suka tengok kamu berdua berkelahi hanya disebabkan hal sekecil itu.
Duduk!” Tunku Zainab segera mengeraskan suaranya sebelum gadis itu berkata
lebih-lebih.
Melihat wanita itu sudah merenungnya
Edrina akur juga. Dia terpaksa duduk di sofa yang sama dengan Kudin. Penat bola
matanya menjeling lelaki itu. Namun Kudin hanya selamba sahaja macam tidak
terasa apa-apa daripada perlakuan wanita itu. Memandangnya juga tidak.
“Eloklah kamu berdua dah ada di sini.
Nenda pun tak mahu bertangguh lagi. Nenda mahu perkara ni dibincangkan segera,”
ucap Tunku Zainab mula melembutkan nadanya. Walaupun dia melihat ada
ketidakserasian antara dua manusia itu namun hatinya cuku damai dapat melihat
mereka semua berkumpul sekali seperti hari ini.
“Bertangguh apa, nenda? Ada hal apa?”
soal Edrina sedikit terpinga-pinga sambil memandang tampang emak dan ayahnya.
Apa yang penting benar? Dirinya sempat disapa pertanyaan itu.
“Pasal Semarak Holding. Sampai sekarang
masih ada belum ada sesiapa nak jadi pengganti papa Rina ni. Juga mengenai
wasiat nenekanda kamu,” jawab Tunku Zainab.
“Oh.. pasal itu.” Itu sahaja jawapan
Edrina sambil memandang Kudin di sebelahnya itu. Apasal dia diam macam patung
ni? Takkan orang nak tawarkan jawatan CEO pun dia tak mahu? Ish! Peliklah mamat
kampung ni. Apa yang hebat sangat tanam pokok tu? Setakat buah longan tu kat
kedai pun banyaklah! Gerutu hati kecil Edrina.
“Emran..” Tunku Zainab memandang Kudin
yang membisu sahaja.
“Ya..” Kudin menjawab perlahan. Wajah
wanita tua itu singgah seketika di matanya sebelum dia merendahkan bola matanya
ke arah permaidani di hujung kakinya. Dia macam sudah tahu apa yang bakal
didengarinya.
“Nenda harap kamu sudi terima pemberian
kami. Wasiat almarhum nenekanda dulu ada menyebut sebahagian saham dalam
Semarak Holding mesti diserahkan kepada Emran. Kami tak mahu terlambat dalam
menunaikan amanah arwah nenekanda kamu tu. Nenda tahu ada sebab mengapa arwah
nenekanda kamu mahu kamu ada dalam Semarak Holding dan hasrat dia sama juga
dengan hasrat nenda sekarang. Kami tak mahu kisah dulu tu terus memecah
belahkan keluarga ni sedangkan Emran juga cucu nenda,” ucap Tunku Zainab kepada
cucu saudaranya itu.
“Saya tahu, nenda. Pak Engku dah
bagitahu saya pasal tu sebelum ni,” jawab Kudin lembut.
Tunku Zainab mengangguk perlahan. Lega
hatinya jika cucundanya itu mengerti tentang itu. Harap-harap tiada siapa yang
akan mengecewakan dia hari ini.
“Kamu berdua sahaja pewaris kami yang
masih tinggal. Tentang Semarak Holding, Pak Engku kamu benar-benar berhasrat
ada salah seorang daripada kamu masuk berkerja di Semarak Holding dalam msa
terdekat ni. Kami semua ni dah tua. Harapan kami hanya terletak pada kamu yang
masih muda ni untuk ambil alih warisan keluarga kita. Semarak Holding ni
sama-sama hak kita semua. Kita ada tanggungjawab untuk menjaga kelangsungan
perniagaan ni demi masa depan keluarga dan para pekerja yang bergantung hidup
kepada perniagaan tu. Harapan nenda dah tentulah kepada kamu, Emran. Kerana
kamu satu-satunya cucu lelaki dalam keluarga ni,” ucap Tunku Zainab kepada anak
muda itu.
Kudin mula menggaru kepalanya. Letak
duduknya mula diperbetulkan sebelum meluahkan bicaranya. “Nenda, saya tak
bermaksud nak biadap pada nenda atau Pak Engku. Tapi saya memang tak berminat
nak mengendalikan business tu. Saya ada tanggungjawab saya di kampung. Saya ada
perniagaan saya sendiri,” jawab Kudin agak rendah.
“Elleh.. setakat jaga pokok aje pun.
Suruh ajalah pekerja buat,” celah Edrina agak perlahan. Mulutnya mencebik
meluat dengan alasan Kudin.
“Edrina..” suara Tunku Zainab mula
teralih kepada cucunya yang itu pula.
“Ya, nenda..”
“Kamu pun tak berminat? Kamu belajar
sampai ke London tapi penghabisannya kamu tak mahu langsung tolong papa kamu di
pejabat?” ucap Tunku Zainab sambil merenung wajah cucunya itu.
“Rina tak minatlah, nenda. Sorry..”
jawab Edrina cukup mudah.
Jawapan itu menerbitkan sedikit gelengan
wanita tua itu. “Dua-dua tak mahu. Takkan Engku Ehsan nak kendalikan syarikat
tu sampai mati? Lepas tu apa akan jadi pada syarikat tu? Susah-susah nenekanda
kamu bangunkan syarikat tu. Kamu berdua anggap benda tu macam tak penting aja,”
ujar Tunku Zainab sedikit kecewa dengan dua manusia di hadapan matanya itu.
“Rina memang dah plan nak jadi isteri
sepenuh masa ke?” soal Toh Puan Siti Aisyah selamba.
“Ma, kahwin pun jauh lagi.. nak jadi
full time housewive apa pulak?” jawab Edrina tidak senang. Tiba-tiba pulak
sebut pasal tu. Alergik telinganya mendengar.
Toh Puan Siti Aisyah menggeleng
perlahan. Kesal benar dia dengan sikap anaknya itu. Pemalas! Kerja tak mahu..
suruh kahwin pun tak mahu! Apa nak jadi entahlah..
“Baiklah.. kalau dua-dua tak mahu
uruskan Semarak Holding, nenda ada satu lagi syarat. Kalau kamu tak terima
permintaan nendak ni, maka nenda terpaksa pilih syarat kedua tu.” Tunku Zainab
kembali bersuara.
Kudin mula memandang wanita tua itu.
Begitu juga yang lain. Masing-masing macam dah tak sabar untuk mendengar.
"Nenda mahu ikatan keluarga ni
didekatkan semula. Hanya satu cara aja yang ada dalam fikiran nenda. Nenda mahu
Emran dan Edrina berkahwin. Nenda rasa itu yang terbaik untuk keluarga
ni," sambung Tunku Zainab lembut sahaja.
Kudin dan Edrina terus saling memandang.
Riak masing-masing lebih kurang sahaja. Terkejut dan ngeri! Tetapi Edrina? Bola
matanya terjojol menggambarkan rasa terkejutnya yang teramat sangat.
"Kahwin dengan dia ni? Apa ni,
nenda? Tak mahulah kahwin-kahwin ni semua." Edrina lebih pantas menyatakan
penolakannya. Ada ke mamat kampong ni nak dipadokkan dengan dia? Apa kelas
kahwin dengan petani?
"Betul.."
sambut Kudin selepas Edrina. Dia lagilah tak sanggup kahwin dengan minah
perasan diva ni.
Tunku
Zainab sudah tersenyum kepada kedua-dua cucunya itu. "Kalau begitu Semarak
Holding, Edrina kena ambil alih segera. Itu syarat kedua nenda kalau kamu
berdua menolak," ujar Tunku Zainab tetap lembut. Tengku Ahmad Ehsan sudah
tersenyum memerli anak daranya itu.
Edrina
menegur liur. Dia? Eh! itu lagi dia tak nak. Dia mana suka kerja ikut masa ni
semua. Dia suka bebas berjalan menghabiskan duit. "Itu pun tak mahu,
nenda!" jawab Edrina serius.
"Jadi
kamu berdua kena kahwin. Emran, nenda cuma nak keluarga ni bersatu semula. Demi
Nenda, tolong terima hasrat nenda ni.." pujuk Tunku Zainab dengan suara
yang cukup lembut.
Kudin
dan Edrina kembali berpandangan dengan mata membulat.
“Nenda
ada cucu lain selain dia ni? Kalau ada sekarang jugak saya isi borang nikah!”
ucap Kudin berani. Jari telunjuknya ditundingkan kepada gadis bersebelahan
dengannya itu.
“Eh!
Tolong sikit eh. Aku sorang aja cucu nenda tau. Maknanya suka tak suka kau kena
kahwin dengan aku,” ucap Edrina sambil menjeling.
“Huh!
Baik tak kahwin daripada dapat bini mulut celupar macam ni,” jawab Kudin sambil
memandang ke arah lain.
“Tengok
dia ni, nenda. Kurang ajar betul! Siapa nak dengan dia entah!” getus Edrina
sambil membulatkan matanya kepada neneknya itu.
Tunku
Zainab sudah tersenyum sambil menggeleng melihat gelagat dua manusia itu. “Kamu
berdua ni macam budak-budak nenda tengok. Asyik nak berkelahi.”
“Dia
ni yang teruk, nenda! Siapa nak kahwin dengan lelaki tak berperasaan macam dia
ni. Membosankan!” ujar Edrina selamba. Dahlah tak hensem, hitam pulak tu. Nanti
anak-anak aku semua ikut kulit macam dia. Eee.. tak mahulah! Sambungan kutukan
itu sekadar berlahu di dalam hati Edrina.
Kudin
sekadar menggeleng menyabarkan diri mendengar cemuhan Edrina kepadanya.
“Kalau
macam tu hari Isnin ni nenda nak Rina masuk pejabat. Mula kerja dengan papa
segera,” arah Tunku Zainab.
“Nenda,
tak mahulah. Rina tak minat. Kalau nenda paksa Rina nanti habis syarikat tu
hancur di tangan Rina,” keluh Edrina sengaja memberi alasan itu. Alasan itu
memang sesuai benar untuk perempuan pemalas seperti Edrina ini.
“Emran?”
soal Tunku Zainab kepada cucu lelakinya itu pula.
Kudin
diam tidak memberikan jawapan. Namun semua mata yang sudah terhala kepada sudah
membuatkan dia dihambat rasa serba salah. Mata emaknya seakan-akan meminta dia
memilih satu keputusan agar dia tidak meluruhkan hati Tunku Zainab.
Jadi
apa pilihannya? Menikahi Edrina atau meninggalkan perniagaannya di kampung demi
Semarak Holding?
“Emran
minta masa sikit, Nenda..” ucap anak muda itu akhirnya.
Lepas makan tengahari itu, Edrina segera mendekati Kudin di kolam renang. Lelaki
itu sedang ralik bermain air di pinggir kolam itu sambil termenung sendiri.
“Tak pernah jumpa air ke?” perli Edrina tanpa menyapa Kudin. Dahulu ketika
dia di rumah lelaki ini, dia disindir dengan ayat yang sama. Cuma bezanya
ketika itu dia jakunkan lubang cik B.
Kudin menoleh tanpa senyuman. Matanya singgah sesaat dua pada batang tubuh
yang berdiri berpeluk tubuh dan memandang dia dengan pandangan tidak mesra.
Sapaan penuh dengan kesopanan dan kesusilaan itu juga tidak dibalasnya.
“Pasal benda yang nenda cakap tadi tu, kau nak jawab apa pada nenda nanti?”
soalan itu segera dilontarkan Edrina. Dia sudah tidak mampu menahan dirinya
untuk mengorek rahsia di dalam fikiran Kudin. Jangan Kudin membuat pilihan yang
tidak-tidak, sudahlah!
“Aku belum fikir apa-apa lagi,” jawab Kudin perlahan sahaja.
“Aku nak kau jelas dengan pendirian aku. Aku tak mahu kahwin dengan kau,”
ucap Edrina lagi.
“Aku dah tahu.” Kudin membalas biasa.
“Jadi aku anggap kau dah setuju untuk ambil alih Semarak Holding,” teka
Edrina terus memusatkan pandangan kepada lelaki itu.
“Pasal itu pun aku tak belum fikir apa-apa.” Masih dengan reaksi yang sama
Kudin menjawab kepada Edrina.
“Jadi buat apa kau duduk termenung kat sini?” soal Edrina dengan kerutan di
kening.
Kali ini Kudin menoleh. Ada segaris senyuman terlakar di bibirnya tanpa
sengaja. “Aku tak tahu pulak yang kau ni rupanya tak boleh melihat dengan
jelas. Kau tak nampak aku tengah jakun dengan air ni? Orang kampung macam aku
mana pernah jumpa kolam renang. Kolam ikan aku adalah,” jawab Kudin cukup
sinis.
“Menyakitkan hatilah bercakap dengan kau ni, Kudin. Sengal otak aku jadinya
kalau berurusan dengan orang macam kau ni,” getus Edrina meninggi.
Kudin sekadar ketawa kecil. “Aku pun malas bercakap dengan kau. Sekarang ni
aku nak mandi kat kolam ni,” ucap Kudin selamba. Dia terus bangun. Baju
ditubuhnya ditanggalkan.
“Tolong jaga baju aku tu. Nanti ada orang curi,” ucap Kudin sambil
melemparkan bajunya itu ke arah Edrina.
Baju tee itu tidak sempat ditepis Edrina. Dengan penuh bergaya baju itu
terus melekap tepat ke muka gadis itu. Apa lagi? Bertambah baranlah minah KL
itu.
“Kau ni memang nak kena dengan akukan?” jerkah Edrina pantas. Baju
ditangannya itu terus dilibaskan ke arah belakang Kudin. Meruap-ruap rasa sakit
hatinya melihat Kudin ketawa mengejek kepadanya.
“Alah.. terkena sikit aja pun nak marah,” giat Kudin semakin seronok
melihat Edrina naik angin kepadanya. Tanpa menanggalkan seluarnya Kudin terus
melompat masuk ke dalam air itu.
Edrina hanya mampu memandang sebal. “Eh! Apasal aku rajin sangat tolong
pegang baju buruk dia ni?” getusnya hairan. Namun melihat baju itu masih setia
berada di tangannya tiba-tiba timbul rasa di hatinya mahu mengenakan lelaki
itu.
“Baju pun dah macam kain buruk, ada hati nak suruh aku jaga. Nanti kau,
Kudin!” ucap Edrina sendiri. Spontan dia menoleh ke arah keretanya yang masih
elok terpakir di belakang lori si Kudin.
“Memang sesuai sangat!” ucap gadis itu sambil tersenyum.
“Aku pinjam baju kau kejap,” ucap Edrina kepada Kudin yang sedang seronok
berenang di dalam air itu.
Kudin menoleh tatkala telinganya disapa suara wanita itu. “Apa dia?” laung
Kudin.
“Ni.. aku pinjam,” jawab Edrina sambil menunjukkan baju Kudin di tangannya.
Bibirnya tersenyum nakal.
“Kau nak buat apa dengan baju aku?” tanya Kudin pantas.
“Adalah..” dengan wajah selamba Edrina mencelupkan keseluruhan baju tee itu
ke dalam air kolam itu sambil diperhatikan Kudin. Kemudian airnya diperahkan
dengan penuh kesungguhan. Ternganga mulut si Kudin melihat aksi selamba Edrina.
“Oi! Kau nak buat apa dengan baju aku tu?” Kudin mula panik apabila melihat
Edrina mula berjalan menjauhi kawasan itu. Dia tahu pasti bajunya akan
dijadikan mangsa balas dendam si Edrina itu. Terkial-kial dia memanjat tangga
kolam itu untuk naik.
Edrina tergelak sendiri sambil menoleh mencari si Kudin. Dia lihat Kudin
sedang terhegeh-hegeh naik ke daratan untuk mendapatkan bajunya. Sebaik sahaja
sampai di tepi keretanya, baju itu terus dilekapkan ke badan keretanya. Dengan
penuh kesungguhan badan keretanya dilapkan.
“Woi! Itu baju aku. Bukan kain buruk! Kurang ajar punya perempuan,” getus
Kudin segera berlari anak mendekati Edrina.
Namun Edrina pantas melarikan diri sebelum sempat Kudin merampas bajunya
semula. “Apa kau nak buat sekarang? Tadi kau kenakan aku. Sekarang aku kenakan
kau balik!” ucap Edrina cukup berani. Baju itu segera disembunyikan di
belakangnya.
“Bak sini baju aku tu. Itu bukannya kain pengelap kereta.” Kudin segera
menunding bajunya itu.
“Kalau aku tak mahu bagi, kau nak buat apa?” ejek Edrina terasa menang.
“Bak sini baju tu, Rina.” Kudin mula mendesis tajam.
“Hei, mamat kampung. Tengok ni.” Dengan muka selamba Edrina memutar laju
baju itu di atas kepalanya seolah-olah baju itu adalah kipas helikopter. Dia
tergelak seronok melihat muka masam kelat Kudin dipermainkan.
“Kau ni memang saja cari nahas!” getus Kudin sambil menggeleng kesal.
Perempuan itu terus didekatinya. Sebaik sahaja Edrina memecut lari, dia terus
mengejar. Tiba-tiba ada aksi kejar mengejar pula di halaman rumah itu. Dah
macam dalam filem hindustan.
“Mama, tengok Kudin ni!!!” Edrina terus memekik saat lengannya berjaya
ditangkap Kudin.
“Mengadu lekas! Kuat lagi suara tu!” gumam Kudin kegeraman. Wanita yang
sedang meronta itu dipautnya dengan tenaga lelakinya.
“Mak cik Kunah, tengok apa Kudin buat ni!!!” tidak berjaya memanggil
mamanya dia memanggil emak si Kudin pula. Tetapi tiba-tiba semua orang di dalam
rumah itu jadi pekak pula. Tidak mendengar jeritan Edrina.
“Kau nak sangat tengok apa aku boleh buat dengan kau kan? Kau tengok apa
aku buat kat kau!” ucap Kudin tajam. Wanita itu dipikulnya dalam keadaan wanita
meronta-ronta memukul belakang tubuhnya.
“Mama, tolong!!!!” pekik Edrina semakin lantang.
Tanpa mempedulikan perbuatan Edrina, Kudin berlari anak menuju ke kolam
renang sambil memikul wanita itu. Sebaik sahaja sampai ke tebing kolam itu dia
terus terjun bersama beban di atas tubuhnya itu.
“Kau ni memang gilalah!” jerit Edrina sebaik sahaja dia timbul di permukaan
air itu. Habis lencun bajunya. Paling memalukan, skirt kembangnya itu terangkat
ke permukaan air. Faham-faham ajalah apa saja yang tinggal di bawah sana. Jenuh
dia mahu menurunkannya semula. Malu betul dia kepada lelaki itu.
“Siapa suruh kau cari pasal dengan aku. Rasakan,” jawab Kudin selamba.
Dengan muka tidak berperasaan dia terus berenang ke arah lain.
Edrina terus berlalu ke tebing sambil menyumpah sendiri. Nasib baiklah
Kudin ketika itu memandang ke arah lain ketika kainnya kembali terapung di
permukaan air itu. Harap-harap sebentar tadi Kudin tidak perasan apa yang
terjadi di dalam air sebentar tadi. Semoden-moden dia, dia belum pernah lagi
membiarkan mana-mana lelaki asing melihat kawasan larangannya begitu sahaja.
“Lelaki macam ni nenda nak jadikan laki aku. Huh! Boleh sewel aku kalau
berlakikan mamat sengal ni,” bebelnya sendiri saat kakinya memanjat tangga besi
di tepi kolam itu.
“Lain kali jangan pakai seksi sangat. Bahaya!” Pesanan itu sempat juga
dilemparkan Kudin sebelum Edrina jauh berlalu.
Bola mata Edrina terus mencari lelaki itu semula. Merah padam wajahnya
mendengar itu. “Kurang ajar punya Kudin!” getus Edrina benar-benar sakit hati.
Namun bicara itu tidak ingin dibalasnya kerana dia mahu lekas pergi dari
situ. Dia sudah tidak sanggup menadah mukanya di hadapan lelaki kampung itu.
Malu!
No comments:
Post a Comment