DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 10



Kena kursus kahwin!
“Kau tak penat ke asyik jeling aku aja?” soal Kudin pagi itu ketika dia berada di rumah bakal mertuanya. Baru mereka berdua yang berada di meja itu. Penghuni rumah yang lain masih di atas. Sekali Tuhan julingkan mata tu baru tahu! Desis hati lelaki itu sendiri.
“Tak.. macam satu kenikmatan pulak bila dapat jeling kau,” jawab Edrina penuh semangat.
Kudin memandang sebal gadis itu. Ada sahaja jawapan Edrina mahu menyakitkan hatinya. Dah bertudung elok macam perempuan Melayu terakhir. Tapi mulut masih macam longkang! “Kau ni tak macam tunang aku langsung. Macam seterus aku memang mirip!” ucap Kudin selamba.
Edrina tergelak mengejek. Sengaja mahu memanaskan hati lelaki itu lagi. “Aku pun macam tak perasan yang aku ni tunang kau. Bila papa paksa aku pergi kursus kahwin dengan kau, barulah aku teringat semula yang kau ni tunang aku,” jawab Edrina sinis.
Kudin diam malas mahu melayan. Lebih baik dia mengenyangkan perutnya berbanding melayan perempuan seorang ini. Buang masa aja! Selesai makan dia terus bangun. “Kalau nak pergi dengan aku, cepat makan! Kalau tak kau pergi aja sendiri,” ucap Kudin macam orang yang tidak berperasaan.
“Buta agaknya. Tak nampak aku yang tengah tunggu dia. Dia tu yang makan siap bertambah-tambah!” getus Edrina agak perlahan. Dia terus mencapai bag tangannya dan bangun dari situ. Langkah lelaki itu diekorinya sedikit jarak.
Hari ini dek kerana mereka harus menghadiri kursus perkahwinan, Edrina terpaksalah berpakaian sopan. Dengan baju kurung dan selendang bertutup penuh. Kudin pula dengan kemeja lengan panjang dan seluar jeansnya. Hari ini dia Edrina rela pergi bersama dengan Kudin kerana dia tahu Kudin sudah membeli kereta baru. Kalaulah diajak naik lori buruk si Kudin itu.. dia lebih rela jalan kaki pergi dan balik! Memang taklah!
“Kan cantik kalau pakai tudung macam tu? Manis aja nampak,” tegur Kudin ketika di dalam kereta. Edrina di sebelah dikerlingnya sekilas.
“Suka hati akulah nak pakai apa pun. Sibuk aja nak tegur orang!” rengus wanita itu pantas.
“Aku cakap aja. Lelaki ni memang pantang tengok perempuan seksi. Tetapi itu lelaki yang mata bernafsulah. Tetapi seorang suami dia tak suka isteri dedahkan apa yang sepatutnya menjadi hak dia seorang dengan perempuan lain,” ujar Kudin lembut sahaja.
“Kau boleh diam tak? Drive aja elok-elok! Tak payah penatkan mulut kau nak bagi ceramah kat aku. Tiba-tiba bosan bela ikan.. nak jadi ustaz pulak.” Menjeling lagi wanita itu menggambarkan rasa tidak senangnya kepada lelaki itu.
Kudin akur dengan mengunci mulutnya. Berdesing juga telinganya diperli Edrina semula. Matanya terus difokuskan kepada pemanduannya. Awal pagi hari Sabtu begini pun jalan raya sudah sesak. Masih ada warga kota yang terpaksa bertugas.
Setiba di tempat dijanjikan sudah ada beberapa peserta kursus menanti untuk memulakan kursus ini. Kudin terus pergi kepada beberapa kelompok peserta lelaki. Edrina dibiarkan begitu sahaja. Setelah lebih 15 minit menanti akhirnya penceramah bertauliah bagi kursus sehari suntuk itu tiba untuk memulakan acara.
Sepanjang masa berkursus itu Kudin orang yang paling khusyuk dan paling banyak bertanyakan soalan. Sampai naik muak Edrina melihat gelagat lelaki itu. Tapi apabila sampai ke satu topik itu.. darahnya terasa seperti menggelegak entah kenapa. Topiknya ialah.. tanggungjawab melayani suami di ranjang! Faham-faham ajalah apa jenis soalan yang ditanyakan si Kudin. Bersungguh benar lelaki mengambil tahu apa yang perlu dan apa yang tidak perlu sepanjang proses berkenaan.
“Emm.. belakang unta pun boleh jugak, ustaz? Saya rasa nak beli unta pulak lepas ni. Saya tak pernah lagi naik unta.”
Meledak tawa orang sekeliling mendengar komen si Kudin mengenai satu hadith yang disebutkan oleh si penceramah itu.
Edrina mendegus memandang Kudin di sebelah sana. Mengada-ada betullah dia ni! Kau belilah unta tu. Aku suruh unta tu pijak kau nanti, getus hatinya tidak gemar. Bukan main gatal lagi si Kudin bila bercakap soal itu.
Selesai kursus sehari itu mereka terus memulakan perjalanan pulang ke rumah. Edrina sudah keletihan benar mendengar ceramah sepanjang hari itu. Sebaik sahaja Kudin menggerakkan keretanya pergi dia pun terlelap di sebelah lelaki itu. Sementelah jalan raya pula sesak petang itu. Lagi seronok dia dapat menidurkan diri di kerusinya.
Kudin terpaku melihat Edrina tiba-tiba dengan selambanya menempel di bahunya. “Hei.. seronok betul tidurkan? Ingat bahu aku ni rumah tumpangan ke? Tak malu betul landing kat bahu aku tak mintak izin,” desis Kudin sambil menggeleng sendiri.
Namun tiba-tiba Edrina mengangkat kepalanya. “Biarlah! Aku mengantuk! Membebel aja. Orang nak rehat pun tak senang,” jawabnya selamba. Siap dijelingnya lelaki itu. Kemudian dia kembali melentokkan kepalanya ke bahu Kudin dengan muka tidak tahu malunya.
“Apa yang letih sangat? Duduk dengar ceramah aja sepanjang hari. Bukannya ada kena buat kerja berat!” balas Kudin semacam sedang bercakap sendiri.
“Penat dengar kau membebel!” sambut Edrina tanpa memandang. Matanya terus dipejamkan tanda malas mahu melayan lelaki itu lagi.
Kudin menggeleng sendiri. Mereka tiba di rumah ketika itu jam sudah menunjukkan ke angka 6 petang. Edrina terus naik ke atas. Sementara Kudin segera menyertai ahli keluarga mereka yang sedang minum petang bersama.
“Macamana kursus hari ni?” tanya Tengku Ahmad Ehsan sebaik sahaja Kudin duduk di antara mereka semua.
“Best, Pak Engku. Esok ada sehari lagi,” jawab Kudin lantas tersengih sendiri.
“Bahagian mana yang best benar tu?” tanya Mak cik Kunah sambil menjeling anaknya itu. Belum sempat Kudin menjawab sudah ada tawa kedengaran di meja itu. Kudin terus menyeringai di hadapan emaknya. Kepalanya digaru perlahan tanpa mahu menjawab soalan emaknya itu.
“Malam ni Mak Engku nak ajak Emran dengan Rina pergi beli cincin. Sementara kamu ada di sini eloklah kita selesaikan apa yang penting dulu,” ucap Toh Puan Siti Aisyah lembut.
“Boleh..” jawab Kudin pantas.
Tidak lama kemudian Edrina turun semula ke bawah. Tanpa dipelawa gadis itu mula menyertai ahli keluarganya yang lain. Namun anak manja itu terus menempek di tepi ibunya sebaik sahaja duduk bersebelahan dengan mamanya.
“So macamana dengan kursus tadi, sayang?” tanya Toh Puan Siti Aisyah lembut.
“Mengantuk tau dengar ceramah tu tadi. Boring!” degus Edrina sebal. Esok masih ada sehari lagi yang perlu diharunginya.
“Aik? Emran kata best?” ulas Toh Puan Siti Aisyah lantas mengangkat kening kepada suaminya. Tengku Ahmad Ehsan masih memandang Edrina dengan sedikit senyuman.
Edrina terus memandang lelaki seorang itu. “Dia memanglah suka. Ada bab kahwin-kahwin. Banyak betul soalan dia bila sampai bab itu. Gatal!” cebir Edrina meluat. Kudin terkedu mendengar perlian yang ditujukan terus kepadanya.
“Bab kahwin-kahwin?” Tunku Zainab mula mencelah.
“Yalah.. bab yang dalam bilik tu. Geli dengar ustaz tu ceramah pasal itu,” jawab Edrina dengan sedikit cebikan. Baginya tiada keseronokkan langsung mendengar ceramah tentang itu tadi. Malu lagi ada.
“Oh..” Tunku Zainab terlopong seketika sebelum ketawa.
“Tapi ada sebab mengapa topik itu dibincangkan dalam kursus tu, sayang. Ilmu dalam hubungan intim antara suami isteri memang penting untuk orang yang nak berkahwin. Semua pasangan yang berkahwin mesti mencontohi akhlak Rasulullah SAW dan isteri-isteri baginda bila bergaul bersama. Ini untuk kerukunan rumahtangga yang kita mahukan dalam sesebuah perkahwinan,” ujar Tunku Zainab selepas itu.
Edrina diam sahaja tidak membantah kata-kata neneknya itu. Namun secara jujurnya jiwanya ini masih tidak mampu menjiwai jiwa seorang anak dara yang bakal melangsungkan perkahwinan.
“Malam ni kita keluar ya? Mama nak ajak Emran dengan Rina pergi beli cincin,” ucap Toh Puan Siti Aisyah sambil mengusap lembut rambut anaknya itu.
“Okay..” jawab Edrina lantas tersenyum. Hilang terus mood tidak eloknya mendengar ajakan mamanya itu.
“Lepas berkahwin seorang isteri wajib taat pada suami, Rina. Takde alasan dalam islam walaupun suami itu bukan seorang lelaki yang berpangkat tinggi atau tak menepati citarasa isteri. Selagi seorang suami tidak pernah mengabaikan setiap kewajipan dia kepada isteri, takde sebab seorang isteri harus menghampakan suaminya. Allah takkan redha seorang wanita itu sehinggalah dia diredhai suaminya,” ucap Tengku Ahmad Ehsan setelah sekian lama dia membisu sahaja.
“Rina dah tahu tu, papa. Ustaz tu dah cakap banyak kali tadi.” Meleret sahaja jawapan Edrina.
“Baguslah kalau Rina dah tahu. Papa tak mahu nanti papa ni dikatakan ayah yang gagal mendidik anak sendiri kalau anak papa tak mahu dengar cakap suami.” Tengku Ahmad Ehsan menjawab bersungguh.
“Pa, kita cakap pasal lain boleh tak? Boringlah.. tadi dahlah dengar ceramah pasal isteri kena taat pada suami. Ni dengar lagi topik yang sama. Esok nak kena tadah telinga lagi sehari,” cebir Edrina tidak senang.
Tengku Ahmad Ehsan terdiam. Begitu juga yang lain. Kudin tunduk sahaja menikmati minumannya seolah-olah tidak mendengar. Malas dia mahu masuk campur dalam urusan dua beranak itu. Silap-silap nanti dia kena sound lagi teruk!

“Yang ini ke?” tanya Toh Puan Siti Aisyah buat kesekian kalinya. Sebentuk cincin diunjukkan kepada Edrina.
“Tak naklah..” cepat sahaja Edrina menggeleng tanpa memandang lama cincin yang diunjukkan wanita itu.
“Habis tu Rina suka yang macamana? Dah lebih sejam kita kat sini. Satu pun belum dapat lagi,” keluh wanita tua itu sudah mula bosan. Cerewet benar anaknya ini. Sudah lima dulang cincin ditayangkan penjual. Namun belum ada yang menepati selera Edrina.
Kudin sudah menguap banyak kali di belakang wanita-wanita itu. Sudahlah dia memang tidak gemar berada dalam kedai seperti ini. Kerenah Edrina membuatkan dia semakin mengantuk di situ.
Susah-susah sangat aku bagi aja cincin batu yang orang selalu jual kat pasar malam tu. Murah aja. Baru padan muka kau.. desis hati Kudin sendiri.
“Ma, kita pergi Tomei nak?” ajak Edrina tidak lama kemudian.
“Yalah..” Toh Puan Siti Aisyah menghela nafas perlahan dalam keakuran kepada kehendak anaknya itu. Cerewet benar!
Malas menunggu di situ Kudin menghilangkan diri seketika. Saja berjalan-jalan sambil mencuci mata melihat kedai-kedai di situ. Sehingga akhirnya dia berhenti di sebuah pasaraya. Kudin membeli sedikit barangan di situ sebelum kembali semula ke kedai barang kemas tadi. Nampaknya Edrina masih tidak habis-habis memeningkan kepala ibunya. Kudin duduk di satu kerusi kosong di belakang dua wanita itu.
Sambil memerhatikan dua wanita di hadapannya itu Kudin membuka bungkusan makanan ringan yang dibelinya tadi. Mulutnya mula mengunyah makanan itu sambil terus memerhatikan Edrina memilih barang kemas. Semakin lama semakin laju pula dia menyuap twisties berperisa barbeque yang ada di tangannya itu. Berselera sungguh!
Tidak lama kemudian emak Edrina bangun pergi melihat barang kemas di bahagian lain. Tinggal Edrina dan Kudin di situ melayan mood masing-masing.
Sedap pulak benda alah ni.. bisik hati Kudin sendiri. Luar plastik cekedies itu ditatapnya seketika. Kemudian tangannya diselukkan ke dalam plastik itu. Segenggam snek itu disumbatkan ke dalam mulutnya. Namun tatkala dia kembali memandang ke hadapan dia lihat Edrina sedang menoleh dan merenung kepadanya dengan renungan jengkel. Seketika kemudian pandangan wanita itu berpindah pula kepada plastik cekedies di tangannya. Terkebil-kebil si Kudin sambil mengunyah dengan mulut kembung. Tidak faham dia makna pandangan wanita itu.
“Err.. aku ada buat salah ke?” tanya Kudin dengan pandangan blur kepada tunangnya itu.
“Nak? Sedap tau kudap-kudap ni..” pelawa lelaki itu pula sambil mengunjukkan plastik makanan ringan itu.
 Eh! Dia boleh offer aku benda alah tu pulak dalam keadaan aku tengah meluat macam nak gila ni? getus hati Edrina sebal. “Orang kampung aja suka makan benda macam tu. Boleh makan elok-elok sikit tak? Bunyi kau mengunyah benda tu satu kedai ni boleh dengar! Orang sibuk dok pilih cincin kat sini, kau sibuk dengan kudap-kudap kau tu,” ucap Edrina tajam.
“Emm.. jajan ni rangup. Sebab tu satu kedai boleh dengar. Tapi sedap. Aku boleh belikan kau satu kalau kau nak,” jawab Kudin cukup polos.
Terjegil mata Edrina mendengar jawapan slenge si Kudin. “Patutlah kau ni sengal! Suka makan benda alah tu rupanya. Kau tahu junk food ni boleh membuatkan otak manusia jadi lembab?” ucap Edrina meluat melihat gelagat lelaki itu.
Ucapan Edrina membuatkan kunyahan Kudin yang rancak itu terhenti serta merta. “Emm.. tapi sekali sekala takpekan?” jawab Kudin rendah sahaja.
“Malaslah aku bercakap dengan kau ni! Tak tahulah macamana aku nak hadap lelaki sengal macam kau ni seumur hidup aku,” tukas Edrina lantas memandang ke hadapan. Kepalanya menggeleng sendiri.
Kata-kata itu membuatkan Kudin memandang semula plastik jajan di tangannya itu. Liurnya ditelan payah. Bicara Edrina itu bermain terus di fikirannya. Mana ada aku sengal sebab suka makan junk food. Inilah pertama kali aku makan benda ni.. bisik hati si Kudin. Kenyataan Edrina yang mengatakan memakan junk food membuatkan otak menjadi lembab itu membuatkan dia serik pula mahu menghabiskan sisa twisties itu.
“Otak aku okay je ni..” ucap Kudin seorang.
Edrina menoleh lagi kepada Kudin. Kata-kata lelaki itu sempat juga menyapa pendengarannya. “Ha’ah.. memang otak kau okay je. Tak cacat! Tapi perangai kau tu yang tak okay. Sengal berbakul-bakul!” terus dia mendesis tajam sambil menjulingkan matanya ke atas.
“Okaylah.. aku tak makan dah!” ucap Kudin mengalah akhirnya. Plastik cekedies itu dikeronyoknya.
“Mana tong sampah?” tanya Kudin terus membuat riak polos.
“Manalah aku tahu! Bukan kerja aku jaga tong sampah,” degus Edrina tanpa memandang.
Kudin tersengih memandang Edrina. Dan dengan selamba plastik renyuk di tangannya itu disumbatnya masuk ke dalam bag tangan Edrina.
“Hei!” Edrina menghela nafas panjang melihat plastik itu berada di dalam bag tangannya. Menyumpah dia dalam hati melihat Kudin membuat muka macam orang tidak bersalah. Ikutkan hatinya yang sebal plastik itu mahu saja disumbatkan ke dalam mulut lelaki itu. Edrina mengambil semula sampah di dalam beg tangannya itu. Namun belum sempat dia berbuat apa-apa Kudin terus bangun, berselok poket berjalan menjauhi gadis itu sambil bersiul kecil. Turun naik dada Edrina melihat gelagat Kudin.
“Mama, tengok Kudin ni!” adu Edrina kepada emaknya di hujung sana.
Toh Puan Siti Aisyah menoleh. Kepalanya digelengkan melihat gelagat dua manusia itu. Kat sini pun nak bergaduh. Dah takde kerja lain agaknya. “Mama, dah tengok tadi..” jawab wanita itu meleret.
“Ma, marah Kudin ni cepat! Dia saja je sakitkan hati Rina,” getus Edrina tidak puas hati dengan reaksi emaknya.
Toh Puan Siti Aisyah segera mempamirkan muka bosan. Siap buat-buat menguap lagi. “Mengantuk mama ni, Rina!” ucap wanita itu selamba.
Kudin yang berdiri di luar kedai itu tersengih kemenangan mendengar jawapan bakal emak mertuanya. Terus ibu jarinya diangkat untuk menambah bara di hati Edrina. “Padan muka Mak Engku tak layan. Anak manja!” ejek Kudin khas untuk pendengaran Edrina seorang.
“Eeee.. Geramnya aku dia ni! Benci tau!” ucap Edrina sendiri.






No comments:

Post a Comment