Usai membaca
surah Yassin di pusara yang kedua dilawati, dia menyeka perlahan air jernih
yang masih bersisa di hujung mata. Diusap perlahan nisan putih yang tertulis
Umar Raziq. Hampir dua bulan dia tidak pulang ke kampung dan menziarahi pusara
itu. Pusara yang dikunjungi bersih dan elok terjaga dari rumput liar. Dia tahu
ayah angkatnya yang selalu membersihkannya.
Hampir dua minggu dia bercuti
semenjak peristiwa di rumah abangnya. Tersentak hati apabila mendapat tahu
perkara yang terjadi ke atas dirinya selama ini. Orang yang memusnahkan masa
depannya adalah anak kepada majikannya sendiri. Orang yang terhampir dengannya,
orang yang ingin bersahabat dengannya sebelum ini merupakan orang yang paling
dibenci seumur hidupnya. Disebabkan tidak mahu berhubung lagi dengan Iman
Faliq, dia mengambil keputusan untuk bercuti panjang. Dan dia yakin Datin Farah
sedia maklum akan perkara yang sebenar.
Selepas menyiram air di pusara, dia melipat semula tikar lusuh yang
digunakan untuk membuat lapik duduk. Bibir mengucap salam apabila perasan awan
yang berarak mula bertukar hitam pekat. Suasana petang yang sedikit berangin
dan gelap menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa sahaja. Langkah
diatur lemah meninggalkan pusara orang tercinta. Pandangan mata sempat
dihalakan ke arah pusara ibu dan ayahnya yang tidak jauh dari situ. Menitis
lagi air matanya yang tidak dapat ditahan apabila mengenangkan apa yang pernah
berlaku. Seperti masih terasa lagi dakapan hangat terakhir kedua-dua ibu
bapanya sebelum mereka pergi meninggalkannya.
“Assalamualaikum..”
Baru sahaja dia ingin berpusing semula, terdengar suara orang
memberi salam dari arah belakang. Jantungnya terasa berhenti berdegup apabila
dia cukup kenal dengan suara itu. Air matanya pula semakin laju menuruni pipi.
Sedih hati tidak dapat ditahan lagi. Tidak menyangka lelaki itu akan mencarinya
hingga ke situ.
Laju dia berpaling namun sedikit pun tidak menoleh.
Rasa sakit hatinya tidak pernah surut malah semakin bertambah
setelah mendapat tahu perkara yang sebenar. Ikut perasaan marahnya, ingin
sekali dia memukul lelaki itu biar puas hatinya. Namun, dia tidak mampu untuk
menatap wajah itu lagi. Perasaan benci begitu membuak dalam dadanya. Dia tidak
mahu lagi ada apa-apa hubungan pun dengan Iman Faliq. Biar sejarah hitamnya
lalu kekal menjadi sejarah. Tidak akan
wujud lagi nama Iman Faliq dalam kamus hidupnya.
“Siapa Umar Raziq?” Soal suara itu tidak bernada membuatkan
langkahnya terhenti. Sedikit tersentak dengan soalan yang diajukan. Baginya,
lelaki itu tiada hak untuk mengetahui pusara siapa pun yang dia ziarahi. Tanpa
mahu membalas, dia kembali melangkah. Tidak mahu berlengah apabila mula
merasakan titis halus mula mengenai wajah. Bersatu dengan air jernih yang sedia
membasahi wajahnya ketika itu.
“Nur Imanina.” Seru suara itu lagi membuatkan sekali lagi langkahnya
mati.
“Saya tanya siapa Umar Raziq pada awak?” Soal suara itu lagi dengan
nada yang sedikit bergetar berbanding tadi membuatkan Nur Imanina lantas
berpusing. Dia terus mendekati Iman Faliq yang pegun memandangnya.
“Awak takda hak nak tahu siapa-siapa pun yang ada hubungan dengan
saya!” Balas Nur Imanina dengan suara yang tertahan sebelum berpusing semula.
Namun, lengannya cepat disambar lelaki itu membuatkan tubuhnya kembali
terpusing. “Lepaslah! Awak takda hak nak pegang-pegang saya!” Tengkingnya garang
seraya merentap kasar tangannya. Terus sahaja dia melangkah laju apabila
merasakan rintik hujan mulai kasar. Risau dia tidak akan sempat tiba di rumah
dengan keadaan langit yang semakin gelap. Tambahan pula tadi dihantar oleh
Encik Adnan dan dia sendiri yang melarang ayah angkatnya dari menjemputnya
semula.
“Iman!” Berkali-kali namanya dipanggil namun tetap tidak dihiraukan.
Semakin laju dia melangkah meninggalkan kawasan perkuburan itu. Semakin panjang
langkah, semakin berat titis hujan yang menimpa. Baju kurung yang dipakai sudah
mulai basah. Dari berjalan, dia berlari-lari anak mendapatkan sebuah pondok
usang di tepi jalan. Dia menoleh ke arah jalan masuk ke kawasan perkuburan.
Sudah agak jauh hingga tidak kelihatan.
Wajahnya yang sudah dibasahi hujan diraup berkali-kali. Tidak
sanggup meredah hujan yang semakin lebat dalam keadaan begitu. Ditambah pula
dengan angin yang semakin kuat bertiup membuatkan tubuhnya terasa dingin.
Sempat dikerling jam di pergelangan tangan. Pukul 5.30 petang. Tetapi suasana
ketika itu seperti menghampiri waktu maghrib. Dengan langit yang semakin gelap
dan lampu jalan pun sudah mula terpasang.
Sesekali dia memandang ke tengah jalan kalau-kalau ada kenderaan
yang lalu. Namun, hampa. Dia tahu jalan di situ jarang digunakan oleh orang
kampung kerana sudah ada jalan baru. Kaki dan tangannya mula terasa sejuk dan
bergetar. Bumbung pondok yang bocor membuatkan tempias hujan masih tetap
mengenai tubuhnya. Dalam hati dia tetap berdoa agar ada orang yang akan
membantunya ketika itu.
Hampir sepuluh minit berlalu, namun masih tiada satu pun orang yang
melalui jalan itu. Dia semakin tidak selesa dengan keadaan tubuh yang sudah
lencun. Tudung kepala yang dipakai juga dirasakan sudah tidak betul
kedudukannya. Sedikit menggigil tubuhnya apabila setiap kali angin menyapa. Dia
berkira-kira ingin meneruskan perjalanan jika dalam masa lima minit lagi tiada
sesiapa yang melalui jalan itu walaupun tiada tanda-tanda hujan akan berhenti.
Namun baru sahaja ingin melangkah, dia ternampak silau lampu kereta
yang memanah. Bibir mengucap syukur apabila kereta Honda Civic warna merah
metalik betul-betul berhenti di hadapannya. Dia cuba melihat wajah pemandu
tetapi gagal kerana hujan terlalu lebat dan menyukarkan penglihatannya dengan
keadaan cermin yang kabur. Bibir cuba
mengukir senyum saat melihat si pemandu keluar dengan membawa sekaki payung
kepadanya. Dalam hatinya sudah memuji kebaikan lelaki itu yang ingin
menumpangkannya. Tetapi, sebaik sahaja lelaki itu berdiri di hadapannya,
senyuman yang terukir di bibir mati dengan serta merta. Riak kebencian kembali
terpamer di wajahnya.
“Jom saya hantar awak balik.” Ujar lelaki itu mendatar.
“Saya boleh balik sendiri!” Balas Nur Imanina dingin seraya membuang
pandang ke hujung jalan untuk melihat kalau-kalau ada kenderaan lain yang
melalui kawasan itu. Tetap juga mengharap walaupun bantuan sudah tiba di depan
mata.
“Awak tak payah nak ikut kepala degil awak tu sekarang.” Balas Iman
Faliq sama dingin seraya membuka pintu tempat duduk sebelah pemandu. Tanpa menunggu
jawapan gadis itu tangannya terus menarik kasar tubuh Nur Imanina dan ditolak
masuk ke dalam keretanya.
“Sakitlah!” Marah Nur Imanina apabila tubuhnya terhenyak di tempat
duduk sebelah pemandu. Sedikit tersentak saat pintu kereta ditutup kasar oleh
Iman Faliq. ‘Tahulah kau kaya. Tak payah nak tunjuk dekat aku yang kau boleh
dapat kereta ni macam beli gula-gula 20 sen.’ Sempat dalam hatinya mengutuk
dengan tindakan Iman Faliq. Matanya menjeling tajam ke wajah Iman Faliq yang
mengambil tempat di tempat pemandu. Dia perasan tubuh itu sudah lencun dibasahi
hujan walaupun berpayung tadi.
“Saya mintak maaf.” Ucap
Iman Faliq mendatar seraya membuka jaket kulit yang dipakai dan terus
disangkutkan ke tubuh Nur Imanina namun gadis itu menepis. Lekuk tubuh yang
kelihatan kurang menyenangkan pandangan matanya.
“Semudah tu awak mintak
maaf?” Balas Nur Imanina sinis seraya membuang pandang ke luar tingkap.
Iman Faliq melepaskan keluhan berat seraya meraup wajahnya sekali.
Kusut benar dirasakan saat itu. “Iman.. Saya tahu saya salah.. Sebab saya..”
“Baguslah kalau awak dah tahu. Dan saya nak awak tahu, saya takkan
maafkan awak sampai bila-bila Iman.” Pintas Nur Imanina dengan pelupuk mata
yang semakin hangat. Menggunung perasaan benci dalam hatinya. “Bukak pintu ni! Saya nak balik!” Ujarnya
keras apabila pintu kereta itu sudah pun terkunci.
“Iman..” Iman Faliq cuba meraih tangan gadis itu namun sekali lagi
tangannya ditepis kasar.
“Awak jangan sentuh saya! Saya jijik tahu tak!” Tengking Nur Imanina
dengan tangis yang ditahan dari terhambur. “Bukak
pintu ni!” Katanya lagi dengan dada yang sedikit berombak. Tidak mampu lagi dia
berlamaan di situ. Tetap juga dia cuba menolak pintu yang berkunci itu sekuat
hati hingga dia akhirnya berputus asa sendiri. Kini hanya air matanya sahaja
yang kian melebat. Teresak-esak sendiri.
Keluhan berat terlepas lagi di bibir Iman Faliq. Pilu hatinya
melihat gadis di sisinya itu menangis. “Iman..”
“Saya nak balik..” Kedengaran lemah suara gadis itu memintas
membuatkan dia tidak punya pilihan. Dia tahu masa tidak begitu sesuai untuk dia
meraih kemaafan gadis itu. Tanpa sebarang kata yang terluah lagi, dia kembali
memandu.
Tidak sampai lima minit mereka sudah tiba di perkarangan rumah Encik
Adnan. Kedua-dua ibu bapa angkat gadis itu sedia menanti di hadapan rumah.
Sebaik sahaja memberhentikan kereta, Nur Imanina terburu-buru keluar, belum sempat dia melarang walaupun
hujan begitu lebat.
Nur Imanina terus berlari masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan
panggilan ibu bapa angkatnya yang memandang.
“Faliq, masuklah dulu. Hujan lebat sangat ni. Baju tu pun dah
basah.” Ramah Puan Masita mempelawa sebaik Iman Faliq keluar dari kereta.
“Ha’ah. Masuklah dulu. Tunggu hujan reda sikit.” Tambah Encik Adnan
pula. Dia selesa dengan perwatakan Iman Faliq yang datang menemuinya dahulu
untuk meminta izin bertemu dengan Nur Imanina. Tutur bicaranya cukup
menyenangkan.
“Er.. Takpalah pakcik, makcik. Saya ada hal lain lagi lepas ni.”
Dalih Iman Faliq. Dia tidak mahu mengganggu ketenteraman Nur Imanina. Dia tahu
gadis itu tidak suka dengan kehadirannya di situ.
“Tapi sekejap sangat kamu jumpa dengan Iman. Kamu baru aje sampai
tadi, dah nak balik.” Sahut Puan Masita yang cukup berkenan dengan cara Iman
Faliq. Kebetulan juga dia baru mendapat tahu Iman Faliq merupakan anak kepada
majikan tempat anaknya dan Nur Imanina bekerja setelah dimaklumkan oleh Ema
akan kedatangan Iman Faliq hari itu.
“Takpalah makcik. Lain kali saya datang lagi. Lagipun saya datang
sebab nak bagi tahu dengan Iman pasal anak buah saya tu selalu tanyakan dia.
Sampai dia tak nak pergi sekolah sebab Iman takda. Iman pulak off handphone dia.”
Jelas Iman Faliq tanpa dipinta walaupun ianya tidak sempat disampaikan kepada
Nur Imanina.
Zarif Aimin tidak mahu pergi ke sekolah gara-gara Nur Imanina bercuti.
Selepas peristiwa di rumah Aiman Iqbal minggu lalu, Nur Imanina terus
mengelakkan diri daripadanya. Setiap hari dia cuba menghubungi gadis itu. Namun
gagal. Akhirnya dia terpaksa bertemu dengan Ema.
“Iya ke… Hm… Kalau dah macam tu kata kamu, kamu baik-baik bawak kereta tu Iman. Hari dah gelap
sangat ni.” Pesan Puan Masita yang perasan wajah Nur Imanina yang keruh ketika
tiba tadi.
“Kamu kalau nak datang sini lain kali telefon pakcik dulu Faliq.
Boleh makcik kamu ni masak sedap-sedap. Boleh kita borak panjang. Ini baru
sekejap datang, kamu dah nak balik.” Sambung Encik Adnan mesra. Dia ingin
mengenali dengan lebih dekat lelaki yang mahu mendampingi anak angkatnya itu.
Amanah kedua-dua orang tua Nur Imanina tidak akan sesekali dilupakan yang mahu
dia menjaga Nur Imanina sebaik mungkin jika mereka sudah tiada.
“Inshaa Allah pakcik.” Jawab Iman Faliq seraya cuba memaniskan
senyum. Dia bersyukur kerana mendapat layanan baik dari kedua-dua ibu bapa
angkat Nur Imanina. Hanya dia tidak pasti sama ada pasangan itu sudah
mengetahui atau tidak siapa dirinya yang sebenar. “Er.. Saya balik dulu pakcik,
makcik. Assalamualaikum…” Ucap Iman Faliq seraya menyalami tangan kedua-duanya
penuh hormat sebelum kembali ke kereta.
Dalam hati dia berdoa agar dia punya lagi kesempatan untuk menemui
pasangan itu. Mungkin hanya melalui pasangan itu sahaja dia boleh mendekati Nur
Imanina. Apa pun, dia perlu berbincang dengan Aiman Iqbal terlebih dahulu. Dia
tahu hanya Aiman Iqbal satu-satunya wali sah Nur Imanina kini. Nekad hatinya
ingin menunaikan janji pada arwah papanya untuk bertanggungjawab atas segala
perbuatannya dahulu. Umar Raziq. Satu lagi nama yang terpahat kukuh di dalam
hatinya membuatkan dia tekad akan bertanggungjawab ke atas diri Nur Imanina
walau apa pun yang terjadi.
Teringat kembali perbualannya bersama Ema beberapa hari lalu tanpa
mendedahkan sedikit pun status dirinya dengan Nur Imanina. Itupun setelah puas
dia memujuk. Begitu banyak kesedihan yang dialami oleh Nur Imanina selepas
peristiwa lalu. Paling yang menyentakkan hatinya apabila mengetahui kehadiran
zuriat hasil daripada kejahilannya dahulu. Umar Raziq. Nama itu berulang kali
terungkap di bibir hingga terasa ada air panas yang mula bertakung di tubir
mata. Kekesalan yang teramat di dalam hati. Dia kini terlalu berharap agar Nur
Imanina dapat menerima dirinya. Dan hanya melalui Aiman Iqbal sahaja dia mampu
mendekati gadis itu.
********
“Iman…” tegur
Datin Farah sambil menyentuh bahu Iman Faliq yang khayal dalam dunianya
sendiri. Sejak pulang dari menghantar Nur Imanina minggu lalu, anak sulungnya
itu banyak berubah. Begitu juga dengan si kecil Zarif Aimin. Tidak lagi seceria
dulu. Dia ada cuba bertanya, namun hanya gelengan kepala sahaja sebagai
jawapan.
“Dah dua minggu mama tengok Iman macam ni… Jumaat hari tu Lana kata
Iman tak masuk office lepas solat
Jumaat. Iman pergi mana?” Soal Datin Farah ingin mengetahui apa yang dilakukan
oleh Iman Faliq sejak kebelakangan itu.
“Err… A da aje ma. Tak ke mana.
Saja malas masuk office. Lepak dekat
kedai Ikram sekejap.” Terang Iman Faliq. Tetapi, tidak pula memberitahu dia ke
kampung Nur Imanina setelah bertemu dengan Ikram. Dia belum bersedia untuk
memberitahu apa yang telah berlaku walaupun mamanya sedia maklum apa yang
pernah berlaku ke atas dirinya sebelum ini.
“Hm… Iman janganlah tipu mama. Dari hari tu lagi mama tengok Iman
macam ni. Banyak termenung. Kadang-kadang tengah malam mama dengar Iman meracau
masa tidur. Zarif pun selalu mengadu yang Iman bercakap time tidur. Apa yang sebenarnya dah jadi ni? Dengan Mama Iman Zarif
tu cuti panjang macam ni… Tadi Ema call
mama, Iman mintak sambung cuti sebab
demam pulak.” Luah Datin Farah
beserta keluhan halus di bibirnya.
“Apa ma? Iman Demam?” Spontan Iman Faliq memberi tindak balas
apabila mendengar nama gadis itu meniti bibir mamanya.
“Ha’ah. Iman mintak
sambung cuti lagi. Selama dia kerja dengan mama, tak pernah dia cuti panjang
macam ni. Kalau balik kampung pun, selalu dia balik hujung minggu aje. Tak
pernah cuti lama macam ni.” Sambung Datin Farah lagi. Dalam hatinya dia sudah
mengesyaki ada sesuatu yang terjadi di antara gadis itu dengan anaknya.
Iman Faliq melurut rambutnya perlahan. Dia tahu apa yang telah
berlaku. Pasti gadis itu demam sebab bermandikan hujan bersamanya Jumaat lalu.
Hari ini, telah berpuluh kali dia cuba menghubungi. Tetapi, tiada satu pun
panggilannya dapat disambungkan. SMS pula langsung tidak berbalas. “Sihat
nanti, kerjalah dia balik ma…” Balasnya lambat. Kata-katanya lebih untuk
menyedapkan hati sendiri.
“Mama risau Zarif tu. Dah banyak hari dia tak datang taska. Ni kalau
dia dapat tahu Iman cuti lagi, jangan haraplah dia nak pergi taska.” Keluh
Datin Farah perihal cucunya pula.
“Hal Zarif mama janganlah risau. Tahulah nanti Iman pujuk dia.”
Balas Iman Faliq tenang. Selama dua minggu itu dia terpaksa berjanji itu ini
dengan si kecil untuk memujuknya pergi ke taska. “Erm… Ni Zarif mana ma?”
Soalnya pula. Si kecil itu tidak turun makan malam bersamanya tadi.
“Ada dalam bilik dari tadi. Turun sekejap dia suruh mama buatkan
susu aje.” Jawab Datin Farah. Pandangannya masih terarah ke wajah Iman Faliq di
sisi. Jelas kekusutan di wajah anak sulungnya itu. “Iman…” Serunya lembut.
“Hmm…” Iman Faliq memejamkan mata dengan wajah terhala ke dada
langit yang gelap tanpa sebutir bintang pun. Tanda-tanda malam itu akan hujan
lagi seperti malam-malam yang lepas. Angin malam yang menyapa wajah pun terasa
dingin.
“Iman kalau ada apa-apa masalah, bagi tahulah mama. Mama sedia
dengar.” Tutur Datin Farah dalam nada yang sama. Bukan sehari dua dia mengenali
anak lelakinya itu. Iman Faliq tidak akan kelihatan kusut begitu seandainya
tiada masalah yang membebankan. Kali terakhir dia melihat Iman Faliq begitu
setelah pemergian suaminya.
“Hmm… Takda apa-apa ma. Kalau ada pun, Iman boleh handle sendiri.” Jawab Iman Faliq berserta
keluhan berat. Kalau boleh dia tidak
mahu melibatkan mamanya dalam masalah yang dihadapi. Dia akan sedaya upaya
menyelesaikannya sendiri.
“Papa Iman…” Terdengar suara si kecil Zarif Aimin memanggil.
Iman Faliq dan Datin Farah menoleh ke arah Zarif Aimin yang berdiri
di balkoni bilik. Entah bila si kecil itu masuk ke biliknya.
“Zarif buat apa masuk bilik papa?” Soal Iman Faliq yang memandang
Zarif Aimin yang duduk di lantai balkoni biliknya dengan telefon bimbit di
tangan.
“Zarif nak call Mama
Iman…” Jawab si kecil itu dengan wajah yang memuncung.
Iman Faliq dan Datin Farah saling berpandangan. Tidak tahu jawapan
yang harus diberi kepada si kecil itu. Memang sepanjang ketiadaan Nur Imanina,
Zarif Aimin tidak henti bertanya.
“Er… Zarif tunggu papa naik. Nanti papa call Mama Iman.” Balas Iman Faliq sebelum bingkas. Dia perasan riak
risau di wajah mamanya. “Mama jangan risau. Pandailah Iman cakap dengan dia
nanti.” Katanya perlahan sebelum meninggalkan Datin Farah di kerusi batu itu.
Sampai di bilik, Zarif Aimin sudah duduk bersila di tengah katilnya.
Jari jemari si kecil itu ligat bermain di skrin iPhonenya. “Zarif tahu ke cari
nama Mama Iman tu…” Usik Iman Faliq apabila melihat wajah si kecil yang
berkerut dahi.
“Zarif tahulah…” Balas Zarif Aimin dengan mata tidak sedikit pun
menoleh ke wajah Iman Faliq.
Iman Faliq hanya memerhati. Sengaja dibiarkan si kecil itu mencari
sendiri nama Nur Imanina di gajet kesayangannya.
“Hello Mama Iman... Zarif ni…” Membulat matanya apabila melihat si
kecil itu menyebut nama panggilan Nur Imanina. Seperti tidak percaya dengan apa
yang dilihatnya. Baru sekejap tadi dia cuba menghubungi gadis itu tetapi
taliannya tidak bersambung. Mustahil semudah itu Zarif Aimin dapat menghubungi
Nur Imanina.
“Bagi papa cakap dengan Mama Iman kejap.” Pinta Iman Faliq. Zarif Aimin pula terus
menghulurkan gajet itu kepada bapa saudaranya.
“Hello Iman…” Tutur Iman Faliq dengan debaran halus di dada tanpa
melihat pada skrin telefonnya terlebih dahulu.
“Iman?” Terdengar suara asing di hujung talian. Iman Faliq
mengerutkan keningnya. Pelik dengan suara yang menyapa. Serentak itu dia
memeriksa semula skrin iPhonenya. Bibir diketap rapat apabila melihat sebaris
nama yang cukup dikenali.
“Er…Hello Lana… Sorry Lana. Anak buah I main-main handphone I ni. Sorry. Bye!” Dengan cepat
Iman Faliq menekan cancel pada skrin.
Dia tahu Zetty Hirlana cukup jelas mendengar Zarif Aimin menyebut nama Nur
Imanina tadi.
“Zarif nak cakap dengan Mama Iman la papa…” Rengek si kecil itu
apabila melihat Iman Faliq sudah meletakkan gajet tersebut di atas meja kecil
sisi katil.
“Mana ada Mama Iman. Zarif call
Aunty Lana buat apa? Zarif salah call
la...” Kata Iman Faliq.
“Mama Iman la!” Jawab si kecil tidak mahu mengalah.
“Zarif call Aunty Lana.
Bukan Mama Iman.” Tegas Iman Faliq.
“Papa tipu!” Balas Zarif Aimin yang sudah memuncung.
“Betul. Papa tak tipu Zarif la… Kalau Mama Iman, mesti papa bagi
Zarif cakap dengan dia.” Terang Iman Faliq memujuk. Dia tahu beberapa hari itu
dia ada berjanji akan membawa Zarif Aimin bertemu dengan Nur Imanina. Tetapi
tidak dapat ditunaikan.
“Zarif nak jumpa Mama Iman.” Ujar Zarif Aimin dengan wajah yang
masam mencuka.
“Nanti papa bawaklah
Zarif. Sekarang papa sibuklah Zarif…” Iman Faliq mencipta alasan. Dia sudah
merebahkan tubuhnya.
“Bila Mama Iman nak datang sekolah ni…” Rungut si kecil itu lagi.
“Dia dah habis cuti nanti, dia datanglah sekolah.” Balas Iman Faliq
sambil mencapai sebuah majalah kereta di tepi katil.
“Esok Zarif pun nak cutilah.” Sahut si kecil dengan mata yang
terkelip-kelip memandang Iman Faliq.
“Mana boleh cuti. Zarif tak sakit, tak boleh cuti. Zarif kena pergi
sekolah esok.” Jawab Iman Faliq yang perasan wajah Zarif Aimin semakin kelat.
“Tak nak! Zarif tak nak pergi sekolah!” Balas Zarif Aimin dengan
nada yang mula meninggi.
“Kalau Mama Iman tahu Zarif tak nak pergi sekolah, mesti dia tak nak
friend dengan Zarif. Dia tak suka friend dengan orang tak pergi sekolah
ni. Papa tak tahu kalau dia tak nak friend
dengan Zarif lagi…” Ugut Iman Faliq menggunakan nama Nur Imanina. Hanya dengan
cara itu Zarif Aimin akan menurut kata.
“Mama Iman love Zarif!”
Tingkah si kecil yang sudah merebahkan tubuhnya di sebelah Iman Faliq.
“Iya ke Mama Iman love
Zarif?” Soal Iman Faliq dengan kening sebelahnya dijungkitkan. “Dia tak love budak yang malas pergi sekolah.”
Tambah Iman Faliq lagi sengaja ingin menduga.
“Mama love Zarif!” Zarif
Aimin sudah terjerit seraya tangannya menampar kuat lengan Iman Faliq.
Berulang-kali dia menyebut ayat yang sama sehingga Iman Faliq mengekek gelak.
“Kenapa yang terjerit-jerit ni sampai bawah mama dengar.” Tegur
Farihin Iman yang berdiri di muka pintu bilik. Wanita itu baru sahaja pulang
dari salunnya. Hujung minggu begitu pun dia sentiasa sibuk.
“Entah. Zarif ni yang jerit-jerit. Abang tak buat apa pun…” Sahut
Iman Faliq dalam sisa tawanya.
Farihin Iman menggelengkan kepala beberapa kali. “Zarif. Dah pukul
berapa ni. Masuk tidur.” Ujarnya berbaur arahan.
“Mama… Papa kata Mama Iman tak love
Zarif…” Adu si kecil seraya mendapatkan Farihin Iman.
“Papa main-main aje. Mama Iman love
Zarif. Dah, jom kita masuk tidur. Jangan kita friend dengan Papa Iman.” Balas Farihin Iman sambil tersenyum
mengejek kepada abangnya.
“Mama Iman pun tak nak friend
papa.” Tambah si kecil itu selamba sebelum menunjukkan ibu jari kanannya ke
bawah kepada Iman Faliq.
“Eleh… Nanti papa call
Mama Iman jangan friend dengan
Zarif.” Tidak henti Iman Faliq menyakat.
“Mama!!” Jerit si kecil itu sekuat hati hingga Farihin Iman
menjegilkan matanya ke arah Iman Faliq agar berhenti mengusik anak tunggalnya
itu.
Terhambur lagi tawa Iman Faliq kerana berjaya mengusik si kecil itu
hingga ingin menangis.
“Dah dah.. Jom masuk bilik. Tinggalkan Papa Iman sorang.” Kata Farihin Iman seraya
memimpin tangan Zarif Aimin terus keluar dari bilik abangnya.
Hilang sahaja kelibat dua beranak itu di sebalik pintu bilik, Iman
Faliq mematikan tawa. Sedikit sebanyak terkesan di hatinya apabila setiap kali
nama Nur Imanina disebut. Dia perlu memikirkan cara yang terbaik untuk memohon
maaf kepada keluarga Nur Imanina seterusnya bertanggungjawab ke atas apa yang
telah berlaku. Umar Raziq. Nama itu tidak lekang dari bibirnya sejak
akhir-akhir ini. Setiap kali itu jugalah air jernih akan bertakung di tubir
matanya.
No comments:
Post a Comment