DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

TIRAI DOSA KELMARIN - BAB 11



“Iman…” Tegur Puan Masita perlahan. Dia perasan sejak awal pagi lagi Nur Imanina duduk di pangkin kayu tepi rumahnya itu.
Nur Imanina melemparkan senyum tawar sebelum menunduk. Memandang hujung selipar yang dipakai bermain dengan daun kering pokok mangga yang bertaburan.
“Jadi abang ambik Iman petang nanti?” Tanya Puan Masita lembut. Dia mengelus lembut jemari Nur Imanina. Tiada langsung riak keceriaan di wajah itu sejak pulang ke rumahnya minggu lalu. Baru hari ini gadis itu keluar rumah selepas kebah dari demam beberapa hari lalu.
“Jadi Mak Ita.” Jawab Nur Imanina ringkas. Esok dia akan bekerja semula. Hampir tiga minggu dia bercuti walaupun pada awalnya permohonan cuti hanya dua minggu.
“Mak Ita nak tanya sikit pada Iman ni.” Puan Masita ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada gadis itu.
“Ada apa Mak Ita?” Nur Imanina membalas renungan lembut ibu angkatnya.
“Kenapa Iman matikan telefon? Kawan Iman tu selalu telefon Ayah Nan tanya pasal Iman.” Ujar Puan Masita tenang. Dia cukup yakin keadaan murung Nur Imanina berkaitan dengan Iman Faliq.
Nur Imanina membuang pandang ke tengah halaman. Angin pagi yang menyapa tubuhnya tidak berjaya membuang resah hatinya saat itu. Dia sedikit pun tidak terkejut apabila Iman Faliq menghubungi ayah angkatnya. Ema sendiri ada memaklumkan yang Iman Faliq kerap datang ke taska untuk bertanya tentang dirinya. Bukan itu sahaja. Perihal Zarif Aimin turut diadukan kerana si kecil itu tidak mahu datang ke taska semenjak dia bercuti.
“Takda apalah Mak Ita. Bukan senang Iman nak dapat cuti panjang macam ni kan… Biarlah sekali sekala takda gangguan. Kalau tak, tak bermaknalah cuti Iman, Mak Ita...” Jawab Nur Imanina lambat. Kepala dijatuhkan ke bahu ibu angkatnya. Di situlah tempat dia bermanja sejak ketiadaan ibunya.
“Hmm… Lepas ni entah bila lagi Iman nak balik sini…” Tutur Puan Masita perlahan. Semenjak Ema berkahwin, hanya dia dan suami yang tinggal di rumah. Nur Imanina pula hanya sesekali pulang ke situ.
“Iman balik lagi nanti Mak Ita. Mak Ita janganlah risau. Hari tu aje sibuk sikit. Ni kan Iman dah cuti panjang.” Balas Nur Imanina sambil merangkul tubuh tua itu. Semenjak ketiadaan ibu dengan ayahnya, Puan Masita dan Encik Adnan yang banyak membantunya. Makan pakainya terjaga sebelum dia bekerja di taska Datin Farah.
“Iman…” Seru Puan Masita lembut seraya membalas pelukan Nur Imanina.
“Hm…” Gumam Nur Imanina perlahan.
“Iman tak teringin ke nak kahwin?” Ujar Puan Masita penuh hati-hati. Dia tahu gadis itu agak sensitif apabila soal rumah tangga diusulkan.
“Siapalah nak Iman ni Mak Ita…” Jawab Nur Imanina dengan senyuman tawar. Pelukan dileraikan. Sedikit terusik dengan soalan yang diajukan.
“Allah jadikan semua makhluk-Nya berpasangan sayang…” Lembut Puan Masita menuturkannya sambil meraih jemari halus Nur Imanina yang sedikit dingin.
“Iman tahu tu Mak Ita. Tapi Iman ni tak macam perempuan lain Mak Ita. Takda apa lagi yang ada pada Iman ni…” Jawab Nur Imanina lirih. Berkaca-kaca matanya membalas renungan Puan Masita.
“Tak baik Iman cakap macam tu… Siapa kata Iman takda apa-apa? Iman mampu hidup bahagia macam orang lain. Iman boleh jadi ibu. Ada anak-anak …” Pujuk Puan Masita sambil mengusap lembut bahu gadis itu.
“Iman teringin sangat nak jadi macam tu Mak Ita. Jadi ibu, anak-anak Iman… Tapi…” Nur Imanina sudah mula menangis. Air mata yang cuba ditahan tumpah jua.
“Iman boleh jadi macam tu kalau Iman nak… Allah tu Maha Kaya Iman…” Pujuk Puan Masita lagi yang mula serba salah. Dia tahu bukan mudah untuk menghadapi kenyataan hidup yang pahit. Harta yang begitu bernilai di dalam diri seorang wanita telah diragut tanpa rela. Ditambah pula kehilangan orang-orang yang tersayang pada masa yang sama. Itu cukup memberi tamparan yang maha hebat pada Nur Imanina yang masih muda ketika itu.
“Takkan ada lelaki yang sanggup terima perempuan macam Iman ni Mak Ita… Yang pernah jadi bekas orang.. Yang jadi bahan hinaan orang sekeliling… Takda Mak Ita.. Takkan ada…” Luah Nur Imanina dalam esak tangisnya.
“Siapa kata takda? Ada lelaki yang boleh terima Iman. Semua impian tu Iman boleh capai kalau Iman sedia terima lelaki yang betul-betul sayangkan Iman.”Balas Puan Masita penuh yakin.
“Apa maksud Mak Ita?” Nur Imanina mencari wajah Puan Masita sambil menyeka air mata yang membasahi pipi. Kemudian matanya menyorot sama ke suatu arah apabila Puan Masita tidak menjawab pertanyaannya. Sebuah kereta warna hitam masuk ke halaman rumah. Cuba menajamkan pandangan untuk mengenal pasti tetamu yang datang. Namun wajahnya berubah tegang sebaik melihat seraut wajah yang keluar dari perut kereta. Lelaki yang amat dibenci dalam hidupnya hingga kini. Nur Imanina cepat-cepat menyarung selipar getah yang dipakai untuk terus berlalu ke dalam rumah. Dia tidak mahu bertemu lagi dengan lelaki yang menjadi punca kepada segala kehancuran hidupnya selama ini. Kerana dia jugalah Nur Imanina tidak lagi berani meletak kepercayaan kepada mana-mana lelaki.
“Nur…” Panggil suara itu menyebabkan langkahnya mati.
“Iman…” Panggil Puan Masita pula. “Fahmi datang nak jumpa dengan Iman ni…” Lanjutnya lembut. Dia sudah tahu tujuan Fahmi ke situ. Jika sebelum ini dia dan suami begitu marah dengan Fahmi kerana menyebabkan hidup gadis itu merana hingga ke hari ini. Tetapi, setelah memikirkan masa depan Nur Imanina, dia dan suami dapat menerima kehadiran Fahmi yang sanggup bertanggungjawab ke atas diri Nur Imanina walaupun bukan Fahmi sendiri yang meletakkan titik hitam dalam hidup gadis itu.
“Iman takda apa-apa urusan dengan dia lagi Mak Ita.” Balas Nur Imanina dengan sedikit pun tidak menoleh kepada Fahmi.
Puan Masita melepaskan nafas berat sebelum berlalu. Dia mahu memberi ruang kepada kedua-duanya.
“Nur… Abang datang ni nak mintak maaf dengan Nur.” Ujar Fahmi lembut.
“Nur dah maafkan semua kesalahan abang. Kita dah takda apa-apa urusan lagi. Abang baliklah…” Jawab Nur Imanina mendatar sebelum terus melangkah.
“Nur, abang akan bertanggungjawab atas diri Nur.” Ujar Fahmi cuba mendekati menyebabkan sekali lagi langkah Nur Imanina mati. Tangannya digenggam kuat. Berdesing kata-kata Fahmi menyapa gegendang telinganya.
“Iman… Iman dengan Fahmi duduklah dulu. Boleh bincang baik-baik.” Celah Puan Masita yang mula risau melihat keadaan Nur Imanina.
“Takda apa lagi yang nak dibincangkan Mak Ita. Iman dah tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan dia.” Balas Nur Imanina dengan suara tertahan. Bila-bila masa sahaja air matanya akan terhambur semula.
“Nur… Dengarlah dulu apa yang abang nak cakap.” Ujar Fahmi berusaha memujuk.
“Apa lagi yang abang nak cakap!” Tingkah Nur Imanina geram seraya berpusing. Tajam matanya menikam ke wajah Fahmi.
“Biar abang yang bertanggungjawab atas semua yang dah jadi.” Tutur Fahmi lembut. Sedaya upaya dia akan cuba memujuk. Dia tahu Nur Imanina belum benar-benar memaafkan dirinya.
“Nur tak mintak abang bertanggungjawab pada Nur!” Nur Imanina merengus kasar. Benci dengan apa juga yang diucapkan oleh Fahmi.
“Memang Nur tak mintak. Tapi abang sanggup terima Nur seadanya kalau Nur sudi terima abang. Sampai bila Nur nak jadi macam ni? Sampai bila Nur tak boleh terima lelaki dalam hidup Nur??” Pujuk Fahmi lagi.
“Sampai Nur mati!” Hambur Nur Imanina dengan air mata yang mula mengalir. Tidak dapat menahan kesedihan yang teramat apabila memikirkan tiada lagi apa yang boleh dibanggakan sebagai seorang wanita. Deras dia mengatur langkah masuk ke dalam rumah.
Fahmi yang tidak sempat menghalang, termangu sendirian. Terasa harapannya tipis untuk meraih hati gadis itu kembali.
*******
Hampir dua jam Iman Faliq duduk menghadap iPadnya. Dari satu laman web, ke satu laman web dilawati. Namun tiada satu pun yang menarik hati. Si kecil Zarif Aimin, sudah lama lena di sisinya.
Zarif Aimin begitu bersemangat untuk ke taska esok setelah diberitahu oleh mamanya yang Nur Imanina akan bekerja semula. Semua kelengkapan untuk ke taska sejak awal lagi telah disediakan. Dan kerana Nur Imanina juga, Zarif Aimin mahu dia yang menjadi pemandu rasmi ke taska esok.
Jari dilarikan lagi di skrin iPadnya. Sedang leka dia membaca satu artikel, tiba-tiba telefon bimbit yang diletakkan atas meja kerja bilik berbunyi. Deras dia mendapatkan telefonnya di sudut bilik kerana risau jika ada perkara penting. Bibir mengukir senyum apabila melihat nama yang tertera di skrin nipis itu. SMS yang diterima dibaca dengan senyuman yang semakin melebar. Sempat dia mengerling sekilas ke meja loceng Zarif Aimin yang diletakkan di sisi katil. Hampir 1 pagi.
+ aku dapat baby boy bro!
Tumpang gembira dengan berita yang disampaikan oleh sahabatnya. Isteri Ikram, Karmila baru sahaja selamat melahirkan bayi lelaki. Tidak lekang senyuman dari bibirnya apabila memikirkan keadaan sahabatnya yang begitu teruja menimang zuriat pertama selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Entah kenapa terasa sejuk hatinya apabila berkali-kali membaca sebaris ayat itu. Suatu semangat yang sama pernah dirasai ketika adiknya melahirkan Zarif Aimin  hampir empat tahun lalu. Seperti dia pula yang menimang cahaya mata. Namun, senyumannya semakin mengendur apabila wajah keruh Nur Imanina terlayar di ruang mata.
Dia tidak menyangka gadis yang dinodai dahulu adalah Nur Imanina yang dikenali hari ini. Wajah yang tersemat di kepalanya selama ini adalah wajah sendu Nur Imanina yang tidak sedarkan diri. Tetapi hari ini, wajah Nur Imanina yang ayu bertudung mula mengambil tempat dan tersemat kukuh.
“Umar Raziq.” Spontan nama itu pula meniti bibir. Punggung terus dilabuhkan di kerusi kerjanya. Berulang kali nama itu diseru berselang-seli dengan nama Nur Imanina. Tidak menyangka perbuatannya dulu telah menyebabkan wujudnya benih yang tidak bersalah. Dan kini dia sendiri tidak berpeluang untuk melihat zuriatnya itu membesar apabila telah menemui Maha Pencipta tanpa dia sedari.
“Ya Allah… Engkau tunjukkanlah jalan kepadaku Ya Allah agar dapat aku menebus segala perbuatan ku dulu kepada orang yang telah ku aniaya. Bantulah aku ya Allah…” Rintihnya sendiri. Terasa ada air hangat mula meniti tubir mata. Menyesali kebodohan dan kejahilan diri. Kerana dosa yang dilakukan, dia turut menjadi penyebab kesunyian mamanya kini. Dia tahu apa yang telah berlaku di atas ketentuan-Nya. Namun, dia masih tidak dapat memaafkan dirinya sendiri.
*******
“Abang, buat bersabar. Kita boleh bincang elok-elok bang…” Pujuk Datin Farah apabila melihat wajah tegang suaminya Datuk Amin.
“Saya dah tak boleh sabar lagi dengan perangai anak kesayangan awak tu. Apa yang dia nak, semua saya bagi. Saya turutkan semuanya. Saya tak pernah mintak satu sen pun suruh dia balas. Saya suruh pergi belajar. Itu pun susah ke? Cuba awak cakap dengan saya. Itu pun susah ke?” Balas Datuk Amin dengan suara yang mula meninggi. Matanya tajam menikam ke wajah Iman Faliq yang menunduk dari tadi. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulut itu.
Dia cukup malu apabila sahabatnya yang bertugas sebagai dekan fakulti tempat Iman Faliq belajar mengadu tentang anak sulungnya itu. Hampir dua minggu meninggalkan kuliah tanpa sebab. Prestasi akademiknya juga turut dalam keadaan yang membimbangkan.
“Iman dengar tak apa papa cakap tu…” Ujar Datin Farah perlahan kepada Iman Faliq yang duduk di sisinya.
“Iman cakap dengan papa, apa lagi yang tak cukup?! Apa lagi yang Iman tak dapat? Cakap dengan papa sekarang?!” Tengking Datuk Amin dengan dada yang mula berombak. Terasa sendat ruang nafasnya saat itu tetapi cuba ditahan.
Iman Faliq tetap mendiamkan diri. Sedikit pun tidak berani menentang wajah papanya yang tegang. Dia tahu selama ini segala keperluannya disediakan sudah cukup lengkap. Tiada satu pun yang kurang. Malah didikan agama juga tidak pernah dilupakan. Tapi entah kenapa dia gagal berfikir dengan waras sebelum melakukan perkara bodohnya sebelum ini.
“Iman… Papa tanya tu…” Pujuk Datin Farah lagi apabila anaknya itu hanya membatu sejak tadi. Dia semakin tidak senang melihat suaminya yang sesekali mengurut dada.
“Awak tengok anak awak ni?!” Datuk Amin ketap bibir. Semakin panas hatinya apabila melihat Iman Faliq yang mendiamkan diri. Dia agak kecewa dengan apa yang berlaku. Satu-satunya anak lelaki yang dimiliki dan bakal menjadi pewaris dan harapannya nanti.
“Iman… Papa tanya tu kan… Jawablah Iman. Jangan diam macam ni. Kesiankanlah papa dengan mama Iman. Iman jangan buat macam ni…” Datin Farah tetap cuba memujuk.
Terasa ingin menitis air matanya saat itu apabila melihat ketegangan yang berlaku. Selama ini hubungan dua beranak itu cukup akrab. Hanya sejak Iman Faliq melanjutkan pelajaran, kedua-duanya tidak lagi serapat dulu. Kedua-duanya sibuk dengan hal masing-masing. Jarang dapat bertemu.
“Anak awak ni dah takda telinga agaknya. Atau mulut tu dah bisu!” Tambah Datuk Amin lagi yang semakin hilang sabar dengan kebisuan Iman Faliq. Dia meraup wajahnya berkali-kali untuk menenangkan hati sendiri.
“Abang…” Datin Farah mendapatkan suaminya yang sudah berdiri menghadap pintu.
Datuk Amin merengus keras. Membuang pandang ke tengah halaman rumah yang cukup indah dihiasi bunga orkid milik isterinya. Namun keindahan itu tidak dapat menangkan hatinya saat itu. Dia begitu risau andai Iman Faliq tidak berjaya dalam pelajaran. Sebelum ini dia meletakkan harapan tinggi terhadap anak sulungnya itu agar dapat menyambung legasi perniagaan yang diusahakannya hingga kini.
“Awak cakap dengan anak awak tu. Kalau rasa tak nak belajar lagi, berhenti aje. Senang. Tak payah nak menyusahkan saya. Tak payah nak malukan saya. Jangan nak bazirkan duit saya tanggung dia mahal-mahal. Saya lagi rela sedekahkan harta saya untuk rumah kebajikan daripada saya membazir pada orang yang tak tahu nak hargai usaha saya selama ni. Sia-sia semuanya.” Tambah Datuk Amin dengan nada yang cukup kecewa walaupun tidak setegang tadi.
“Papa…” Iman Faliq memberanikan diri untuk bersuara. Cukup terasa dengan apa yang diungkapkan oleh papanya.
Kedua-duanya berpaling kepada Iman Faliq. Jelas kekusutan di wajah anak sulung mereka.
“Cuba Iman bagi tahu papa apa sebenarnya yang dah jadi ni?” Soal Datuk Amin seraya melabuhkan duduk di hadapan Iman Faliq. Begitu juga dengan Datin Farah.
“Er… Papa.. Iman… Er..” Iman Faliq teragak-agak untuk memberitahu hal yang sebenar.
Dalam dua minggu itu tidurnya tidak lagi lena gara-gara dosa yang dilakukan. Segala yang dilakukan serba tidak kena. Bukan itu sahaja.Dia juga tidak dapat memberi sepenuh tumpuan dalam kuliahnya. Di mana-mana sahaja dia akan terpandangkan wajah gadis malang itu. Ada sekali dua dia pergi semula ke rumah gadis itu namun, dilihat rumah tersebut sunyi sepi seperti tidak berpenghuni lagi. Dia juga turut cuba mencari Fahmi. Lelaki yang baru dikenali kerana pertaruhan bodoh yang dilakukan. Tetapi menemui kegagalan. Iqbal juga pernah dicari di kampusnya. Namun, turut gagal memandangkan dia tidak kenal rapat dengan lelaki itu. Selama dua minggu itu jugalah dia berfikir panjang mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dia perlu berterus terang dengan ibu bapanya memandangkan dia masih lagi belajar. Segala-galanya masih bergantung dengan kedua-dua ibu bapanya itu.
“Iman ceritalah kalau ada apa-apa yang papa dengan mama boleh bantu.” Ujar Datin Farah yang sedikit lega melihat keadaan suaminya yang mula tenang. Tidak setegang tadi. Hanya mata itu sahaja yang tetap tajam menikam ke wajah anak sulungnya itu. Sabar menanti apa yang ingin diucapkan oleh Iman Faliq.
“Er.. Mama… Sebenarnya… Im.. Iman…” Payah benar dia ingin menuturkan apa yang berlaku.
“Apa yang Iman dah buat sebenarnya ni?” Tanya Datin Farah sambil menarik sedikit wajah Iman Faliq yang dari tadi hanya menunduk. Memerah mata anak lelakinya itu apabila mereka bertatapan. “Iman kenapa ni sayang?” Tuturnya lembut sambil mengusap wajah Iman Faliq. Hatinya mula resah melihat wajah murung anaknya itu. Seperti ada sesuatu yang disorokkan dari pengetahuannya.
“Im.. Iman dah…” Matanya sempat singgah ke wajah papanya yang tegang.
“Iman jangan cakap dengan papa Iman dah buat benda tak senonoh dekat belakang papa dengan mama.” Serkap Datuk Amin dengan suara yang tertahan. Semakin hilang kesabarannya melihat Iman Faliq yang serba tidak kena.
“Iman… Cakap apa Iman dah buat. Mama tahu Iman takkan buat benda bodoh kan… Mama tahu Iman anak yang baik.” Celah Datin Farah lagi yang tidak menyenangi kata-kata suaminya yang lebih berprasangka buruk terhadap anak sulung mereka itu.
“Tak ma… Iman tak cukup baik ma… Iman dah kecewakan mama dengan papa…” Balas Iman Faliq dengan suara yang mulai serak. Dia menunduk semula. Air jernih yang bertakung di tubir mata mula menuruni pipi.
“Apa sebenarnya yang kau dah buat ni Iman!” Tanya Datuk Amin dengan sedikit kasar. Tidak sabar dengan apa yang cuba disampaikan oleh anaknya itu. Lama benar dirasakan.
“Abang… Buat mengucap bang… Bawak bersabar. Bagilah Iman cakap dulu…” Pujuk Datin Farah lembut apabila melihat suaminya sudah kembali berdiri semula. Tali leher yang dipakai sudah ditanggalkan dan dicampak kasar ke sofa.
“Er… Iman dah tidur dengan…” Tutur Iman Faliq perlahan sambil menyeka air mata yang keluar. Takut menghadapi kedua-dua orang tuanya saat itu. Dia tahu kedua-duanya pasti kecewa di atas apa yang telah dilakukan.
“Apa Iman cakap ni?” Soal Datin Farah dalam getar suara. Terkejut dengan apa yang baru sahaja diungkapkan oleh anak sulungnya itu.
Iman Faliq terus mendiamkan diri. Langsung tidak menjawab.
Datuk Amin pula langsung tidak bergerak dari tempatnya berdiri. Tetapi, masih jelas di pendengarannya kata-kata Iman Faliq. Turun naik dadanya menahan rasa marah, kecewa, sedih yang bergabung menjadi satu. Terasa ruang pernafasannya semakin sempit. Tangan kanan mula melekap ke dada kirinya.
 “Iman cakap dengan mama,.. Iman tidur dengan siapa?” Tanya Datin Farah lagi tidak berpuas hati. Dalam hatinya sudah menahan sebak yang menggila apabila memikirkan kebenaran daripada kata-kata anaknya itu.
“Iman tak tahu ma… Im.. Iman tak kenal dia…Tapi Iman dah…” Mati lagi kata-kata Iman Faliq kerana tidak sanggup untuk menerangkan hakikat yang sebenar.
“Apa Iman dah buat ni…” Sayu suara Datin Farah. Kecewa yang teramat. Dia membuang pandang ke arah suaminya yang berdiri kaku. Sedikit pun tidak berpaling. “Abang…” Serunya perlahan dengan linangan air mata.
Tanpa balasan daripada suaminya, lelaki itu tiba-tiba terus melurut ke lantai.
“Abang!”
Datin Farah terus meluru mendapatkan suaminya yang sudah terbaring kaku di muka pintu. “Iman… Papa Iman…” Panggil Datin Farah yang mula cemas melihat keadaan suaminya yang tidak sedarkan diri. Semakin mencurah-curah air matanya saat itu apabila memikirkan perkara yang buruk menimpa suaminya.
“Papa…” Panggil Iman Faliq pula yang turut sama mendapatkan Datuk Amin di situ. “Papa.. Bangun pa…” Panggilnya lagi sambil menggoncang perlahan bahu papanya. Air matanya semakin tidak terkawal. “Papa…” Panggil Iman Faliq tidak henti. Takut dia tidak sempat memohon ampun kepada papanya di atas apa yang dilakukan.
……..
“Papa… Bangun …” Terasa ada sedikit goncangan di tubuhnya.
“Papa! Bangun!” Pekik satu suara yang agak kuat menyebabkan matanya serta merta terbuka. Dengan pandangan yang sedikit kabur, dilihat bayang Zarif Aimin berdiri di hadapannya. Dia menggosok perlahan kedua-dua matanya sebelum beristighfar. Mimpi itu datang lagi. Dia meraup wajahnya beberapa kali sebelum membuang pandang ke arah anak saudaranya yang terkebil-kebil merenungnya.
“Iman… Dah bangun? Subuh dah nak habis ni.” Tegur satu suara pula di muka pintu.
“Mama…” Sahut Iman Faliq perlahan. Ada air jernih di tubir matanya apabila melihat wajah manis mamanya yang tersenyum. Dilihat anak saudaranya pula yang sudah lengkap berpakaian sekolah. Pasti anak kecil itu terjaga sendiri dengan jam loceng yang siap dikunci malam tadi.
“Iman pergi solat dulu. Takut habis subuh nanti. Mama nak tolong Mak Som siapkan breakfast.” Ujar Datin Farah seraya tersenyum sebelum hilang di balik pintu.
“Papa… Cepat mandi…” Arah si kecil itu pula yang masih berdiri di hadapannya. Terasa sengal seluruh tubuhnya saat itu. Entah bila dia tertidur di atas kerusi itu selepas menerima SMS daripada Ikram malam tadi.
“Zarif, hari ni suruh Tok Shim ajelah yang hantar Zarif ya.” Ujar Iman Faliq walaupun dia telah berjanji sebelum tidur malam tadi. Belakang tengkuknya yang terasa tegang diurut perlahan. Pinggangnya juga terasa sengal kerana terlalu lama duduk di kerusi.
“Ala… Tak nak. Papa Iman hantar Zarif pergi sekolah…” Rengek si kecil itu.
“Tak bolehlah Zarif. Papa ada hal pagi ni. Lain kali papa hantar Zarif pergi sekolah.” Iman Faliq mencipta alasan apabila teringat akan Nur Imanina yang bekerja semula hari itu. Entah kenapa dirasakan belum tiba masanya lagi untuk dia bertemu dengan gadis itu. Tidak seperti semalam. Bersemangat selepas dimaklumkan oleh mamanya tentang Nur Imanina akan kembali bekerja. Dia perlu memujuk Aiman Iqbal terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan Nur Imanina. Wajah arwah papanya yang  terlayar di ruang mata ketika itu memberi sedikit semangat agar lekas menyelesaikan segala masalah yang ditanggung. Itu jugalah pesanan arwah papanya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir selepas dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung yang dialami. Semua kerana dirinya.
“Ala… Tak nak… Zarif nak papa…” Rengek si kecil itu lagi sambil menarik tangannya agar bangun.
“Papa nak solat dulu. Dah lambat ni.” Ujar Iman Faliq seraya menarik tangannya semula apabila teringat dengan pesanan mamanya tadi.
“Papa hantar Zarif pergi sekolah…” Ujar Zarif Aimin dengan mata yang terkelip-kelip memandang Iman Faliq yang berlalu.
No. Tok Shim hantar Zarif hari ni.” Balas Iman Faliq sebelum merapatkan daun pintu bilik airnya.
No! I want you papa…” Jerit si kecil itu sambil mengetuk daun pintu yang sudah tertutup.
No! Tok Shim!” Jawab Iman Faliq sama tinggi dengan si kecil dari dalam bilik air.
“Zarif. Kenapa ni?” Tegur Mohd Firaz yang terdengar jeritan anak tunggalnya ketika melewati bilik Iman Faliq.
“Daddy…Papa Iman tak nak hantar Zarif pergi sekolah…” Adu si kecil itu dengan wajah yang memuncung, terus mendapatkan Mohd Firaz yang berdiri di muka pintu.    
“Papa Iman busy sayang. Hari ni biar daddy yang hantar Zarif pergi sekolah.” Pujuk Mohd Firaz lembut.
Si kecil Zarif Aimin tidak menjawab. Wajahnya masih memuncung. Akur dengan kata-kata Mohd Firaz.
“Jom kita turun breakfast. Mama dah tunggu dekat bawah tu.” Pujuk Mohd Firaz lagi sambil mendukung si kecil. Tidak pula si kecil itu merengek lagi.
Iman Faliq yang mendengar tutur bicara adik iparnya memujuk si kecil dari dalam bilik air hanya mendiamkan diri. Setelah pasti si kecil itu tiada, baru dia keluar. Terburu-buru dia melaksanakan tanggungjawab yang sudah agak terlewat itu. Apa pun, dia tidak akan bertemu dengan Nur Imanina buat masa terdekat ini. Itu keputusannya. Dia perlukan masa untuk merencana segala-galanya dengan baik agar semua masalahnya dapat diselesaikan.

No comments:

Post a Comment