“Bro, kau memang dah takda kerja ke dekat
office tu?” Soal Ikram yang duduk di
hadapannya.
“Ada.” Jawab Iman Faliq sepatah. Matanya sibuk meneliti
contoh-contoh kad jemputan hasil kerja tangan Ikram. Semua rekaan yang dibuat mengikut cita rasa
pelanggan.
“Habis tu, lepas lunch aje
kau melepak dekat kedai aku ni kenapa?” Soal Ikram yang sedikit hairan dengan
perangai Iman Faliq sejak akhir-akhir itu. Selang sehari pasti Iman Faliq akan
datang ke kedainya. Malah semakin kerap juga Iman Faliq mencarinya di rumah
jika dia tidak ke kedai. Setiap kali berkunjung ke rumahnya pula, tidak pernah
lupa untuk membawa buah tangan buat si
kecilnya. Ada sahaja kelengkapan bayi yang dibeli untuk si kecilnya yang baru
berusia dua minggu. Dia tahu semua yang pernah berlaku ke atas diri Iman Faliq
sebelum ini dan idak hairanlah lelaki itu dilihatnya begitu teruja apabila
melihat bayinya.
Iman Faliq tidak menjawab. Sebaliknya hanya tekun meneliti satu
persatu contoh kad jemputan yang beratus banyaknya tersusun di atas meja kerja
Ikram.
“Kau dah nak kahwin ke bro?”
Soal Ikram yang memerhati Iman Faliq tidak menjawab pertanyaannya tadi. Mata
itu tekun pula meneliti contoh-contoh kad jemputan di atas mejanya. Dia yang
sedang menyiapkan salah satu tempahan pelanggan tidak dapat memberikan tumpuan
apabila melihat sahabatnya yang kurang bercakap sejak akhir-akhir itu.
“Memanglah dah nak kahwin. Tapi tak tahu bila.” Jawab Iman Faliq
selamba. Dalam beberapa hari itu puas dia memikirkan cara terbaik untuk bertemu
dengan Aiman Iqbal. Setiap kali dia cuba membuat temu janji di pejabat lelaki
itu, ada saja alasan yang diberi untuk mengelak dari bertemu dengannya.
“Hm… Bro, kalau kau jadi
kahwin dalam masa terdekat ni. Aku sponsor
kad jemputan kau beb.” Ujar Ikram cuba bergurau. Dia tahu Iman Faliq sedang
berusaha untuk bertemu dengan abang Nur Imanina. Gadis yang pernah dinodai
dulu. Lelaki itu selalu mengadu yang hatinya tidak lagi pernah tenang sejak
kejadian hitam itu berlaku.
“Alah. Beranilah kau cakap macam tu sebab dah tentu aku tak dapat
kahwin dalam masa terdekat ni.” Balas Iman Faliq dengan senyuman nipis di
bibirnya. Dia tahu sahabatnya itu sekadar mengusik.
“Bro, mana kau tahu yang
kau takkan kahwin dalam masa terdekat ni? Kau tahu ke bila Allah tu nak
tentukan jodoh kau? Kau tak tahu kan..” Jawab Ikram sebelum matanya kembali
terhala ke skrin komputer.
“Memanglah…” Jawab Iman Faliq lemah. Mengakui kata-kata Ikram.
“Habis tu? Kau nak tunggu apa lagi. Banyak lagi cara kau boleh jumpa
Iqbal tu. Cuma kau aje yang tak nampak agaknya. Perancangan Allah ni halus bro… Cuma bergantung pada kita aje untuk
nilai semua petunjuk yang Dia bagi. Kadang-kadang, sebenarnya Dia dah tunjuk
jalan mana yang kita kena ikut. Tapi kita aje yang mungkin buta dalam celik
dengan apa yang Dia dah tunjukkan.” Tutur Ikram tenang. Cuba menenangkan hati
sahabat yang telah dikenali sejak di bangku sekolah lagi.
Iman Faliq mendiamkan diri. Hanya mendengar butiran kata yang keluar
daripada mulut sahabatnya. Ikram telah banyak membantunya selama ini. Lelaki
itu juga tidak henti memberi semangat kepadanya untuk meneruskan pelajaran demi
memikul tanggungjawab yang arwah papanya tinggalkan. Disokong kuat pula oleh
seorang sahabat baik papanya yang memantau dari jauh segala perkembangan
syarikat. Oleh sebab itu dia boleh menjadi sekuat hari ini. Tabahnya dia hari
ini kerana adik dan mamanya. Kini dia memikul tanggungjawab yang begitu besar
dalam keluarganya.
“Aku tak tahulah Ikram. Bukan sekali dua aku buat appointment. Semua appointment aku kena tolak.” Jawabnya lambat berserta keluhan berat
meniti bibir.
“Kau pernah jumpa isteri dia kan? Kau dah try tanya isteri dia?” Soal Ikram dengan mata masih tetap di skrin
komputernya.
“Kak Zu?” Sepatah nama itu keluar dari mulut Iman Faliq. “Ya Allah…
Kenapalah aku boleh terlupa dengan Kak Zu.” Kata Iman Faliq yang lebih kepada
dirinya sendiri. Bibir mula mengukir senyum. Mungkin itu hanya satu-satunya
jalan untuk dia menemui Aiman Iqbal.
“See? Nampaknya kaulah
antara yang buta dalam celik tu.” Seloroh Ikram melihat sahabatnya itu mengukir
senyum.
“Ah… Tak kiralah. Buta ke… Celik ke… Aku nak gerak dululah. Balik office.” Ujar Iman Faliq seraya bingkas.
“Hoi! Macam tu aje kau nak blah…
Penat-penat aku bagi idea.” Balas Ikram apabila melihat sahabatnya sudah
menapak ke pintu.
Iman Faliq tersengih sebelum mendapatkan semula Ikram yang sudah berdiri
di tepi meja kerjanya. “Sorry bro. Thanks
a lot.. Dah banyak benda kau tolong aku bro.”
Ucap Iman Faliq dengan senyuman lebar. Terlupa sebentar dengan sahabatnya itu
selepas menemui satu lagi harapan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“No hal la…” Balas Ikram
ikhlas.
“Aku balik dululah. Send my
regards to my lovely baby and your lovely wife okay... Thanks again bro.
Apa-apa hal nanti aku call kau..”
Lanjut Iman Faliq seraya meleraikan salam.
“Inshaa Allah… Keep it up bro!
Never give up!” Balas Ikram pula memberi semangat seraya menepuk perlahan
bahu sahabatnya itu.
********
“Iman…” Ema
menyentuh perlahan bahu Nur Imanina yang duduk keseorangan di kerusi batu
hadapan taska. Zura dengan Hanim sibuk mengemas di dalam selepas semua
murid-murid pulang. Semenjak gadis itu kembali bekerja, hilang keceriaan di
wajah itu.
Nur Imanina melemparkan senyuman tawar.
“Kenapa dengan Iman sekarang ni?” Tanya Ema lembut.
“Iman okey aje kak…” Balas Nur Imanina tenang cuba menutup keresahan
hatinya. Selepas semua murid-murid pulang dijemput ibu bapa masing-masing, dia
terus duduk di situ. Menerawang jauh fikirannya memikirkan keadaan diri.
“Iman dah lain sangat sekarang. Zura dengan Hanim pun ada mengadu
dengan akak yang Iman banyak berkurung dalam bilik.” Balas Ema yang turut
merasai perubahan Nur Imanina. Dia perasan yang Nur Imanina hanya akan bergelak
ketawa dengan murid-murid di situ. Kemudian akan kembali ke Nur Imanina yang
murung selepas semuanya pulang.
Nur Imanina melepaskan nafas berat. Tidak pasti jawapan apa yang
harus diberi. Apa yang pasti, lenanya kini kerap dihiasi bayang Iman Faliq.
Lelaki yang meninggalkan kesan hitam dalam hidupnya.
“Ada satu hal yang akak nak sampaikan pada Iman ni…” Lanjut Ema
apabila Nur Imanina hanya mendiamkan diri.
“Ada apa kak?” Tanya Nur Imanina perlahan. Matanya membalas renungan
Ema.
“Fasal Zarif.” Jawab Ema pendek.
Nur Imanina membuang pandang ke deretan rumah teres di hadapannya.
Tidak berminat dengan nama yang disebut oleh Ema. Entah kenapa dia tawar hati
untuk merapati dan memanjai si kecil itu seperti sebelum ini walaupun
membuak-buak perasaannya ingin memeluk cium si kecil itu seperti selalu. Hanya
kerana Iman Faliq dia menjauhkan diri daripada Zarif Aimin.
“Iman tak kesian ke pada Zarif? Kesian akak tengok dia. Masa Iman
cuti, sampai dia tak nak datang sebab Iman takda. Ni bila Iman dah ada, Iman pulak nak tak nak aje layan dia akak
tengok.” Sambung Ema lagi. Dia perasan perubahan paling ketara adalah layanan
Nur Imanina kepada Zarif Aimin. Tidak semesra selalu.
“Entahlah kak… Terpandang Zarif, mesti Iman teringat pada lelaki
tu.” Luah Nur Imanina lemah beserta keluhan. Entah kenapa sejak akhir-akhir itu
keluhan begitu kerap terbit dari bibirnya. Sedangkan dia tahu apa hukum orang
yang selalu mengeluh. Tidak bersyukur dengan segala kurniaan-Nya.
“Zarif tu tak salah Iman. Dia takda kena mengena dengan hal Iman.
Datin ada mengadu dengan akak, Zarif selalu kata Iman dah tak nak kawan dengan
dia. Budak tu sampai tak nak datang taska sebab Iman tau. Itu pun puas mama dengan daddynya yang pujuk. Iman Faliq pulak sekarang ni selalu sibuk. Takda
masa dengan budak tu. Dekat sini Iman macam tak nak layan dia. Kesian Zarif tu
Iman…” Nasihat Ema panjang lebar.
Nur Imanina mula terasa sebak. Terusik hatinya mendengar perihal
Zarif Aimin. Si kecil yang begitu manja. Bukan dia tidak tahu si kecil itu
kurang kasih sayang dari kedua-dua ibu bapa yang selalu sibuk. Dan kini dia
pula menambah kekurangan itu. Air jernih mula bertakung di hujung mata apabila
teringat pada Zarif Aimin yang ingin menciumnya tadi sebelum dijemput Pak
Hashim. Tetapi dia yang sengaja menyibukkan diri dengan murid-murid lain. Malah
kini dia semakin akrab pula dengan anak saudaranya sendiri, Afifi. Bukan dia
tidak sedar beberapa kali Zarif Aimin menjelingnya saat dia memeluk anak
saudaranya sendiri.
“Iman janganlah buat macam tu lagi. Kesian Zarif… Iman tahukan
selama ni dia datang sini pun sebab selesa dengan Iman.” Tutur Ema lebih untuk
memujuk.
“Tapi kak…” Mati kata-katanya. Diseka air mata yang mula menuruni pipi
dengan hujung jari.
“Zarif tu tak salah Iman. Dia kecik
lagi. Tak faham apa pun masalah Iman dengan uncle
dia. Iman kena ingat jugak dia tu
cucu Datin Farah. Satu-satunya cucu yang Datin ada buat masa ni. Kita ni
bekerja dengan keluarga dia Iman…” Lanjut Ema lembut seraya mengusap perlahan
bahu Nur Imanina yang mula menangis.
Dia tahu gadis itu banyak menanggung duka sepanjang hidupnya
gara-gara Iman Faliq. Terlalu berat dugaan yang terpaksa dilalui tanpa orang
tersayang di sekeliling. Ada satu perkara lagi yang harus diberitahu kepada
gadis itu tentang rancangannya dengan Zulaikha. Mereka ada berbincang tentang
masa depan Nur Imanina. Tetapi perkara itu hanya dipendam memandangkan keadaan
Nur Imanina yang tidak menentu. Aiman Iqbal juga belum lagi dimaklumkan tentang
hal itu. Segalanya masih menjadi rahsia semata-mata untuk memastikan Nur
Imanina hidup seperti gadis lain. Nur Imanina berhak untuk mengecap bahagia
dengan orang yang boleh melindungi dan menyayangi diri itu sepenuh hati.
*********
“Zarif… Jomlah
teman Nek Wan makan. Kesian Nek Wan makan sorang-sorang.”
Pujuk Datin Farah lembut.
Sejak tengah hari tadi si kecil itu tidak makan. Hanya menghabiskan
masa di hadapan tv dengan menonton cerita kartun dari vcd yang dibelikan oleh
anak sulungnya. Selepas pulang dari taska, si kecil itu lebih banyak mendiamkan
diri. Dia tahu si kecil itu merajuk dengan Nur Imanina.
“I’m not hungry…” Balas si
kecil itu yang sedikit pun tidak menghiraukan Datin Farah yang melabuhkan duduk
di sisinya. Matanya masih melekat di skrin nipis itu.
“Nanti Zarif sakit perut macam mana? Dari tengah hari tadi Zarif
belum makan. Jomlah kita makan. Nek Wan ada masak fried chicken untuk Zarif.” Datin Farah cuba memancing perhatian si
kecil itu dengan makanan kegemarannya pula.
“Daddy ada ubat…” Mudah si
kecil itu menjawab membuatkan Datin Farah mengukir senyum. Si kecil itu memang
bijak berbicara tidak sepadan dengan umurnya.
“Mana boleh macam tu… Orang sakit makan ubat pun, dia kena makan
nasi dulu. Kalau tak, macam mana nak sihat.” Pujuk Datin Farah tidak henti.
“Jomlah kita makan. Sikit aje… Lepas tu Zarif sambunglah tengok cerita kartun
ni lagi…”
Si kecil itu masih tetap
begitu. Sedikit pun kata-kata Datin Farah tidak menarik perhatiannya.
“Ma… Kenapa ni?” Sapa Iman Faliq yang berdiri di anak tangga
terakhir apabila terdengar kata-kata mamaya tadi. Sudah dua minggu dia tidak
menghabiskan masa dengan Zarif Aimin sejak peristiwa dia mengelak untuk
menghantar si kecil itu ke taska. Kemudian dia kerap pula pulang lewat malam
sejak akhir-akhir itu. Cuma pada hari itu dia pulang sedikit awal dari biasa.
“Zarif ni… Dia belum makan satu hari ni. Makan dekat taska aje
tadi.” Adu Datin Farah.
“Zarif…” Panggil Iman Faliq sedikit ketegasan sambil memandang ke
wajah anak saudaranya yang leka menonton tv.
“Zarif, Papa Iman panggil Zarif tu..” Ujar Datin Farah pula.
Zarif Aimin sedikit pun tidak memberi tindak balas.
“Mama turun dulu. Nanti Iman bawak
dia turun makan.” Kata Iman Faliq kepada mamanya. Dia tahu bagaimana mahu
menguruskan si kecil itu.
“Iyalah… Tapi Iman jangan marah-marah dia… Pujuk elok-elok.” Sempat
Datin Farah berpesan sebelum dia menuruni tangga.
“Okey ma.” Balas Iman Faliq pendek yang berdiri di belakang sofa
tempat si kecil itu duduk.
“Zarif… Jom kita turun makan dengan Nek Wan. Papa pun belum makan
ni.” Lembut Iman Faliq memujuk. Dia cuba bersabar melayan kerenah si kecil itu.
“I’m not hungry!” Balas si
kecil itu senafas. Matanya sedikit pun tidak menoleh ke arah bapa saudaranya.
Iman Faliq pula cuba menyabarkan hati. Dia mengambil tempat Datin
Farah tadi. Lengan baju sudah dilipat hingga ke siku. Sedikit rimas dengan
tubuhnya yang sudah melekit.
“Nek Wan kata Zarif belum makan hari ni. Macam mana Zarif boleh tak
lapar? Zarif dah makan nasi dekat sekolah tadi ke?” Soal Iman Faliq lembut.
Zarif Aimin hanya menggelengkan kepala.
“Kalau belum, jom kita makan.” Ajak Iman Faliq seraya menyentuh
tangan si kecil tetapi cepat ditarik si kecil itu semula dengan wajah yang mula
memuncung.
“Zarif jangan degil boleh tak? Jom kita turun makan. Nanti sakit
siapa susah?” Iman Faliq mula bersuara tegas sambil merampas alat kawalan jauh
untuk mematikan tv yang terpasang. “Jom kita turun!” Katanya lagi sambil
menarik tangan Zarif Aimin agar bangun. Tetapi si kecil itu pantas menepis.
Berkaca-kaca mata anak saudaranya itu saat pandangan mereka berlaga.
Turun naik nafas dia menyabarkan hatinya sendiri melayan kerenah si kecil yang
kurang baik hari itu. “Kita turun makan dulu, lepas tu baru sambung tengok tv.”
Arahnya tegas sambil menarik lagi tangan si kecil itu. Tetapi, si kecil itu
cuba mengeraskan diri tidak mahu bangun dari sofa.
“Nek Wan!” Jerit Zarif Aimin kuat dengan tiba-tiba apabila Iman
Faliq tetap menarik tangannya.
“Zarif kenapa buat perangai hari ni?” Marah Iman Faliq dengan suara
yang tertahan. Tidak mahu menakutkan si kecil itu.
“Zarif tak nak friend
papa!” Kata si kecil itu yang mula menitiskan air mata.
Iman Faliq yang tidak mempedulikan kata-kata Zarif Aimin, terus
sahaja mengangkat tubuh kecil itu untuk dibawa turun ke bawah. “Zarif ni kenapa
degil tak nak dengar cakap papa? Lupa Mama Iman ajar apa dekat sekolah?”
Katanya sedikit keras saat menuruni tangga.
“Zarif tak nak friend Mama
Iman!” Balas si kecil itu nyaring dalam tangis sambil memukul bahu Iman Faliq.
“Kenapa Zarif ni?!” Marah Iman Faliq mula meninggi.
Si kecil itu berterusan menangis. Basah wajah comel itu dengan air
mata yang menuruni pipi.
“Kenapa ni Iman? Kan mama kata tadi pujuk dia baik-baik.” Tegur
Datin Farah apabila Iman Faliq meletakkan Zarif Aimin di atas kerusi.
“Nek Wan…” Zarif Aimin terus mendapatkan Datin Farah. Teresak-esak
si kecil itu menangis di belakangnya.
“Zarif tak nak friend
papa! Zarif tak nak friend papa!” Adu
si kecil itu dalam tangisan.
“Tak nak friend sudah!
Papa pun tak nak friend Zarif!” Jawab
Iman Faliq geram.
Zarif Aimin semakin kuat menangis di belakang Datin Farah.
“Kenapa dengan kamu Iman? Suka dengar dia menangis ke?” Marah Datin
Farah sambil memeluk cucunya. Cuba meredakan tangisan si kecil itu.
“Degil sangat sekarang dia ma. Mama jangan nak manjakan dia
sangat..” Balas Iman Faliq dengan matanya tidak lepas dari memandang anak
saudaranya. Hilang sabarnya apabila melihat kedegilan si kecil itu. Dalam masa
yang sama bukan dia tidak perasan tubuh si kecil itu semakin susut sejak
peristiwa di rumah Aiman Iqbal bulan lalu.
“Kamu tu yang tak sabar. Dah la daddy dengan mama dia sibuk. Kamu
pun sibuk. Siapa lagi yang dia ada?” Tingkah Datin Farah yang geram dengan
perubahan Iman Faliq sejak akhir-akhir itu. Selalunya anak sulungnya itu yang
mengambil berat akan diri Zarif Aimin.
Iman Faliq terdiam. Terusik hatinya apabila mendengar kata-kata
mamanya.
“Entah apa yang nak jadi dengan kamu dengan Iman sekarang ni. Lain
benar mama tengok. Dengan kamu yang selalu sibuk memanjang. Tapi bila mama call office, Lana kata kamu selalu
keluar. Dekat taska pulak, mama
tengok Iman dah tak macam dulu. Dah tak banyak cakap macam selalu. Zarif selalu
kata Iman dah tak nak kawan dengan dia lagi.” Hambur Datin Farah meluahkan rasa
yang dipendam sejak akhir-akhir itu. “Apa sebenarnya yang dah jadi dengan kamu
berdua ni? Cuba Iman cakap dengan mama?” Sambungnya sambil memandang wajah Iman
Faliq yang sedikit kusut. Sejak akhir-akhir itu dia lebih banyak memerhati
perubahan Iman Faliq dan Nur Imanina. Dan dia yakin ada sesuatu yang cuba
disembunyikan dari pengetahuannya.
Iman Faliq yang sudah duduk di meja makan meraup wajahnya
berkali-kali. Satu keluhan berat terzahir dari bibirnya. Dia yang hanya
membiarkan pertanyaan mamanya tidak berjawab, terus bingkas dan mencapai kunci
kereta yang tersangkut di tepi pintu utama.
“Papa…” Panggil si kecil Zarif Aimin tiba-tiba membuatkan langkah
Iman Faliq terhenti di muka pintu. Dia perpaling sebelum kembali mendapatkan
Datin Farah yang memerhati dari tadi. Dikucup tangan mamanya sekilas sebelum
mendukung tubuh Zarif Aimin yang masih lagi menangis. Tanpa sebarang kata tubuh
kecil itu terus dibawa masuk ke dalam keretanya.
No comments:
Post a Comment