DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

TIRAI DOSA KELMARIN - BAB 13



Iman Faliq merenung lembut Zarif Aimin yang sedang mengunyah ayam goreng di hadapannya. Leka memerhati anak saudaranya yang jelas lapar. Sepanjang perjalanan, dia sempat bertanya macam-macam dan si kecil itu ringan mulut pula bercerita selepas reda dari menangis tadi. Itu ini perihal Nur Imanina di taska diceritakan.
“Zarif nak lagi ke? Papa boleh beli lagi.” Soal Iman Faliq apabila melihat Zarif Aimin sudah menghabiskan dua ketul ayam goreng yang dipesan tadi.
Si kecil itu hanya menggelengkan kepala.
Iman Faliq menyisip perlahan jus orennya. Keningnya hampir bertaut apabila melihat tiba-tiba si kecilnya itu melambaikan tangan kepada seseorang. Pantas dia menoleh ke belakang. Bibir mengoyak senyum apabila ternampak Zulaikha tidak jauh dari meja yang diduduki. Tidak pula dia perasan akan kelibat wanita itu ketika masuk tadi.
“Papa, tu Mama Iman…” Ujar Zarif Aimin tiba-tiba membuatkan Iman Faliq sedikit tersedak dengan jus oren yang masih berbaki di dalam mulut.
Sekali lagi dia menoleh ke arah yang dimaksudkan. Nur Imanina yang muncul entah dari mana menghampiri meja yang diduduki Zulaikha dan anak-anak. Aiman Iqbal pula mengekori di belakang. Wajahnya terus dipalingkan semula. Tidak mahu dua beradik itu sedar kehadirannya di situ. Baru petang tadi dia menghubungi Zulaikha untuk meminta bantuan. Tidak menyangka pula malam itu mereka akan bertemu di situ. Mata terhala ke wajah si kecil di hadapannya yang leka mengunyah kentang goreng pula.
“Zarif tak nak jumpa Mama Iman?” Sengaja Iman Faliq menduga.
“Tak nak. Mama Iman tak nak friend dengan Zarif.” Jawab si kecil itu sambil menggelengkan kepala.
“Siapa cakap Mama Iman tak nak friend dengan Zarif?” Soal Iman Faliq lanjut.
Si kecil itu diam tidak menjawab. Hanya matanya yang terkelip-kelip memandang bapa saudaranya.
Iman Faliq ingin benar menatap wajah Nur Imanina. Hampir sebulan mereka tidak bertemu. Dia ingin menoleh lagi ke meja yang diduduki gadis itu namun berasa tidak cukup yakin memandangkan Aiman Iqbal turut ada sama. Oleh sebab desakan hati, dia memberanikan diri juga menoleh. Ada nafas kelegaan terlepas apabila Nur Imanina dan Aiman Iqbal duduk membelakanginya. Kedua-duanya tidak menyedari kehadirannya di situ. Dia tahu ini semua atas kerjasama Zulaikha. Dia perasan Zulaikha mengukir senyum kecil buatnya. Mengucap syukur kerana Zulaikha sudi membantunya. Atas bantuan Ema juga dia dapat menghubungi wanita itu. Dia amat berharap agar diberi peluang untuk bertemu dengan Aiman Iqbal.
“Zarif dah habis kan? Jom kita balik.” Kata Iman Faliq yang perasan sesekali kepala si kecil itu tertinjau-tinjau ke belakangnya.
“Dah…” Jawab Zarif Aimin sepatah.
“Kita cuci tangan dulu.” Kata Iman Faliq sambil mengangkat si kecil itu dan dibawa ke singki tersedia.
“Mama Iman…” Tutur si kecil tiba-tiba membuatkan Iman Faliq tersentak. Pandangan mata mereka berlaga dari pantulan cermin di hadapannya. Gadis itu berdiri beberapa tapak di belakangnya. Masing-masing kaku. Namun baru sahaja dia ingin berpaling, Nur Imanina terus kembali ke meja. Terlepas keluhan dari bibirnya. Dia perasan wajah ayu itu sudah hilang serinya.
“Papa…” Seru Zarif Aimin perlahan sambil menarik tangan Iman Faliq.
“Er… Jom kita balik.” Sahut Iman Faliq setelah lama mendiamkan diri. Dia cuba memaniskan roman wajahnya.
“Papa… Zarif nak jumpa Mama Iman.” Ujar si kecil itu membuatkan langkah Iman Faliq terhenti.
“Tak bolehlah Zarif. Mama Iman tengah makan tu. Kita terus balik rumah ya? Hari Isnin nanti Zarif boleh jumpa Mama Iman dekat sekolah.” Pujuk Iman Faliq lembut yang terpaksa mencipta alasan.
Waktu tidak begitu sesuai untuk dia bertemu dengan Nur Imanina. Zulaikha juga sudah berjanji akan memujuk Aiman Iqbal agar bersetuju untuk bertemu dengannya. Dia terlalu berharap apa yang dirancang menjadi. Tidak mahu segalanya pincang. Beban kesalahan yang ditanggung selama ini tidak lagi mampu dipikul. Semakin berat dirasakan.
Zarif Aimin sudah memuncung. Tubuh kecil itu terus sahaja didukung. Tidak mahu Aiman Iqbal pula menyedari kehadirannya di situ.
“Tadi Zarif kata Mama Iman tak nak friend dengan Zarif?” Tanya Iman Faliq sejurus masuk ke dalam kereta.
“Zarif nak friend dengan Mama Iman…” Jawab si kecil lirih dengan matanya terarah ke restoren makanan segera tadi.
Iman Faliq hanya mampu mengeluh perlahan. Dia tahu si kecil itu manja dengan Nur Imanina. Terlalu akrab hubungan antara kedua-duanya.
*******
“Iman…” Zulaikha berdiri di muka pintu bilik tamu yang renggang. Sejak balik dari makan makan tadi, Nur Imanina terus mengurung diri dalam bilik. Dia perasan wajah itu tidak lagi ceria selepas terserempak dengan Iman Faliq secara tidak sengaja ketika makan tadi. Mujur suaminya tidak mengesyaki perubahan adik iparnya itu.
Nur Imanina hanya mendiamkan diri. Senyuman nipis terukir di bibir buat kakak iparnya yang menapak masuk. Kini setiap hujung minggu dia akan bermalam di rumah abangnya.
“Iman…” Seru Zulaikha perlahan sambil menyentuh bahu Nur Imanina. Keruh benar dilihat seraut wajah itu.
“Kak… Tadi Iman jumpa…”
“Iman Faliq dengan Zarif.” Pintas Zulaikha beserta senyuman nipid di bibir. Seperti yang dijangka.
Nur Imanina sudah memandang ke wajah kakak iparnya itu tanpa berkelip.
“Tadi akak ada nampak Faliq dengan anak buahnya tu.” Akui Zulaikha yang faham makna pandangan Nur Imanina sambil menyandarkan tubuh di kepala katil.
Nur Imanina menghela nafas barat. Dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan Iman Faliq dan Zarif Aimin tadi.
“Iman… Boleh akak tahu apa sebenarnya hubungan Iman dengan Faliq sebelum ni?” Soal Zulaikha sedikit berhati-hati.
“Dia anak majikan Iman aje kak…” Balas Nur Imanina beserta keluhan halus.
“Itu aje?”
Nur Imanina menganggukkan kepala perlahan.
“Habis tu, yang dia hantar bunga tu apa?” Soal Zulaikha lagi apabila teringat dia pernah terlihat Nur Imanina menerima sekuntum bunga daripada Zarif Aimin.
“Dia nak kawan dengan Iman.” Balas Nur Imanina malas. Dia sebenarnya kurang berminat untuk mengingati semula apa yang pernah berlaku sebelum ini.
So, Iman setuju jadi kawan dia?” Lanjut Zulaikha ingin tahu.
Kali ini tiada jawapan daripada Nur Imanina. Hanya keluhan sahaja yang kedengaran. Pada awalnya, dalam diam dia sudah bersetuju untuk berkawan dengan Iman Faliq. Ini semua kerana bunga-bunga dan kad-kad comel yang pernah diberi. Setiap bicara lelaki itu berjaya mengusik hatinya yang telah lama tertutup dari menerima sebarang huluran kasih insan bernama lelaki. Walaupun baru beberapa kali bertemu, tidak dinafikan yang dia mula selesa dengan lelaki itu.
“Iman… Akak sebenarnya bukan nak masuk campur urusan peribadi Iman. Tapi akak sebenarnya tak sampai hati tengok Iman macam ni. Akak tahu, takda perempuan pun yang dapat terima bila masa depannya musnah kerana lelaki yang tak bertanggungjawab... Maruahnya dipijak kerana kesalahan yang tak dilakukan… Pada masa yang sama, hilang orang yang tersayang…” Tutur Zulaikha yang bersimpati dengan keadaan Nur Imanina. Suaminya sendiri telah bercerita kepadanya tentang apa yang pernah menimpa diri adik iparnya itu.
Nur Imanina mula sebak. Segala-galanya terimbau kembali di ruang mata. Apa yang pernah terjadi seperti baru sahaja berlaku semalam. Seperti terasa lagi kehangatan pelukan terakhir ibu dan ayahnya. Masih terasa kesakitan yang dialami selepas perbuatan Iman Faliq dan Fahmi ke atas dirinya. Tiba-tiba tangannya singgah di perut. Ada nyawa yang pernah menjadi penghuni di situ sebelum ini. Zuriat hasil dari perbuatan keji Iman Faliq ke atas dirinya. Air mata mula merembes apabila teringat akan zuriat yang sedang membesar dan kemudiannya pergi meninggalkannya kerana kecuaian sendiri.
Zulaikha mengusap perlahan bahu adik iparnya yang sudah mengalirkan air mata. Sendu wajah di sisinya itu membuatkan dia turut menahan sebak. Dia yakin Nur Imanina kini menjadi seorang yang lebih tabah. Cuma hati itu telah ‘dikeraskan’ dari menerima sebarang huluran kasih dan cinta daripada seorang insan bernama lelaki. Itu yang agak merisaukan. Dia dengan rela hati telah berjanji dengan dirinya akan membantu Nur Imanina untuk mengecap bahagia. Langkah yang paling utama kini adalah dengan mendapatkan sokongan kuat daripada suaminya sendiri.
“Iman… Akak tahu Iman kuat. Kalau tak, Iman tak ada dekat sebelah akak sekarang ni..” Zulaikha cuba memujuk. Tersedu-sedu gadis itu menangis dengan wajah yang dirapatkan pada kedua-dua lutut yang dipeluk.
“Iman benci dia kak… Iman tak boleh nak tengok muka dia… Iman tak sangka selama ini dia yang…” Mati kata-kata Nur Imanina di situ. Tidak sanggup untuk meneruskannya. Dia memeluk erat tubuh kakak iparnya.
Zulaikha sudah turut sama mengalirkan air mata. Dia turut membalas pelukan Nur Imanina seerat mungkin. Persis menyalurkan sedikit kekuatan kepada gadis itu agar lebih tabah menghadapi segala ujian yang maha Esa. Dia tahu betapa sukarnya menjadi Nur Imanina. Gadis itu hilang segala-galanya dalam sekelip mata.
“Iman… Sabarlah lagi Iman. Inshaa Allah akan ada yang terbaik untuk Iman nanti. Iman banyakkan lagi bersabar…” Pujuk Zulaikha lembut. Tidak tahu apa lagi yang harus diucapkan agar dapat menenangkan hati gadis itu.
“Kak Zu… Terima kasih sebab tumpangkan bahu akak…” Ucap Nur Imanina lirih yang sedikit tenang sambil menyeka perlahan air mata dengan hujung jarinya. Dia bersyukur kerana dapat bertemu semula dengan abangnya. Dia masih lagi diberi peluang untuk menumpang kasih dengan keluarga abangnya itu. Terutamanya Zulaikha. Kakak iparnya itu sudi menerima kehadiran dirinya.
“Sama-sama… Akak dah anggap Iman macam adik akak sendiri.” Balas Zulaikha tidak keberatan. Dia sendiri tidak mempunyai adik-beradik perempuan yang lain. Dia anak tunggal perempuan dari tiga orang adik-beradik. “Kalau Iman ada apa-apa, Iman janganlah simpan sendiri. Akak sudi dengar apa juga masalah Iman. Akak tahu... Bukan senang Iman nak terima suma yang dah jadi kan… Tapi akak nak Iman tahu. Allah hanya akan memberati makhlukNya dengan apa yang termampu aje Iman. Kalau Iman tak kuat, dia takkan turunkan semua dugaan hebat ni pada Iman.” Lanjut Zulaikha apabila teringat terjemahan ayat ke 286 dari surah Al-Baqarah.
“Iman tahu kak…” Balas Nur Imanina perlahan. Kata-kata itu jugalah yang dipegang sehingga dia mampu untuk meneruskan kehidupannya ke hari ini.
“Percayalah Iman… Ganjaran terindah yang Allah janjikan pada hamba-Nya yang bersabar.” Ujar Zulaikha menenangkan. Dia menyapu lembut wajah Nur Imanina yang masih dihujani air mata. “Abang dengan Kak Zu takkan biarkan Iman hidup macam ni selamanya. Iman berhak hidup bahagia macam orang lain jugak.” Lanjut Zulaikha lagi. Dia akan cuba yang termampu untuk membantu.
“Apa maksud akak?” Soal Nur Imanina tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh kakak iparnya. Apa yang dia tahu, masa depannya tidak akan sama dengan perempuan lain. Dia tidak akan berpeluang mengecap hidup berkeluarga. Tidak akan ada mana-mana lelaki yang akan menerima keadaan dirinya. Tiada! Fahmi? Memang lelaki itu beriya benar ingin memperisterikannya. Namun, dia tiada hati untuk berbuat demikian. Lelaki yang sudah menjadi penyebab seluruh hidupnya berubah sama sekali. Tidak akan sesekali dia menerima kehadiran lelaki itu dalam hidupnya.
Sudahlah tu Iman. Dah lewat ni. Esok Abang Aiman nak ajak kita balik kampung. Ayah Nan kata buah rambutan dah banyak masak. Hari tu, masa ambik Iman kita tak sempat masuk kebun kan…” Zulaikha tidak menjawab pertanyaan Nur Imanina sebaliknya terus menukar topik. Tidak mahu gadis itu mengesyaki rancangannya.
Nur Imanina yang kembali tenang mula mengukir senyum. Namun, di dalam hati masih tertanya-tanya akan makna kata-kata kakak iparnya tadi.
“Iman tidurlah..” Ujar Zulaikha lagi sebelum turun dari katil. Dia perlu kembali ke biliknya untuk berbincang soal Nur Imanina dengan suaminya.
“Akak… Terima kasih.” Ucap Nur Imanina ikhlas sebelum kakak iparnya itu menutup pintu bilik.
Most welcome dear…” Balas Zulaikha lembut sebelum merapatkan daun pintu.
*********
“Abang, dari mana malam-malam ni?” Tegur Mohd Firaz selepas Iman Faliq keluar dari perut kereta sambil mendukung anak sulungnya. Dia yang baru beberapa minit tiba, sedikit terkejut apabila melihat anaknya turut ada sama.
Bawak anak kau ni pergi makan ayam goreng… Kan Zarif?” Jawab Iman Faliq sambil menjeling ke arah anak saudaranya yang hanya tersengih.
“Makan ayam goreng malam-malam?” Soal Mohd Firaz sambil menaikkan kedua-dua keningnya.
“Ha’ah. Anak kau ni mogok tak nak makan satu hari ni. Tu yang aku bawak pergi makan dekat luar.” Balas Iman Faliq sambil berjalan masuk ke dalam rumah mendahului Mohd Firaz.
“Abang, jangan diikutkan sangat dia bang…” Ujar Mohd Firaz yang kadang-kadang kurang selesa apabila segala kemahuan si kecil itu diturutkan oleh abang iparnya itu. “Kalau mama tahu Zarif makan ayam goreng malam-malam ni, mama marah Zarif, daddy tak tahu…” Ujarnya lanjut kepada si kecil yang tersengih dari tadi.
“Takdalah Raz. Hari ni dia merajuk dengan Mama Iman dia dekat sekolah. Tu yang tak nak makan. Aku pun lately ni busy sangat. Dah lama tak bawak Zarif keluar.” Terang Iman Faliq tanpa memberitahu hal selanjutnya yang berlaku.
“Daddy, tadi Zarif jumpa Mama Iman dengan Fifi…” Adu si kecil itu sambil memegang tangan Mohd Firaz.
“Ai bang… Takkan pergi dating bawak Zarif kut…” Gurau Mohd Firaz. Dia tahu perihal abang iparnya itu yang ingin berkawan dengan Nur Imanina dari mulut isterinya.
“Merepeklah kau…” Sangkal Iman Faliq yang kurang selesa dengan gurauan adik iparnya. Saat itu juga wajah Nur Imanina terlayar di ruang mata. Keluhan panjang meniti bibirnya lagi.
“Iman, dah makan?” Soal Datin Farah yang sejak tadi menanti kepulangan Iman Faliq dan Zarif Aimin, baru menuruni tangga selepas mendengar deru enjin masuk ke perkarangan rumah selepas menantunya.
“Belum ma.” Balas Iman Faliq pendek.
“Belum? Abang kata tadi bawak Zarif makan ayam goreng.” Celah Mohd Firaz yang baru menginjak anak tangga pertama.
“Dia yang makan. Aku tak.” Balas Iman Faliq sambil membuka butang baju kemejanya. Terasa melekit-lekit badannya dari tadi. “Kau dah makan?” Dia pula bertanya kepada adik iparnya itu.
Ketika itu Datin Farah sudah pun masuk ke ruang dapur bersama si kecil Zarif Aimin yang merengek meminta mamanya buatkan air susu.
“Belum jugak.” Jawab Mohd Firaz sambil menyangkan barisan giginya.
“Elok sangatlah tu. Aku pun lapar ni. Lepas mandi kita makan samalah. Berselera sikit aku nak makan.” Balas Iman Faliq sambil melabuhkan duduk di sofa.
“Okey jugak tu. Takdalah saya sorang-sorang makan…” Sahut Mohd Firaz pendek sebelum terus memanjat tangga.
“Apa pulak sorang. E’in tu pun belum makan. Ada dekat atas tengah mandi agaknya.” Celah Datin Farah yang muncul semula bersama Zarif Aimin. “Kamu pergilah mandi. Lepas tu boleh makan sama-sama. Mama pun belum makan… Lauk mama dah panaskan…” Arah Datin Farah yang melabuhkan duduk di sisi kiri Iman Faliq. Manakala Zarif Aimin di sisi kanannya.
“Mama… Sorry fasal tadi…” Ucap Iman Faliq yang berpaling memandang ke wajah Datin Farah. Terasa bersalah meninggalkan mamanya sendirian tadi. Mak Som dan Pak Hashim pula sudah pulang lewat petang tadi.
“Takda apa yang mama nak maafkan Iman. Mama tak ambik hati pun…” Balas Datin Farah seraya  mengulum senyum. “Sudah tu. Iman pergilah naik mandi. Lepas tu kita dinner sama.” Lanjut Datin Farah yang sedikit pun tidak terkesan dengan apa yang berlaku.
“Ni bukan dinner lagi ma. Boleh supper ni…” Seloroh Iman Faliq sambil mengerling jam di pergelangan tangannya hampir 11 malam.
“Apa-apa ajelah Iman… Kamu cepat mandi tu. Jangan lama sangat duduk dalam bilik air dah malam-malam ni.” Peringat Datin Farah kepada Iman Faliq yang kerap mandi malam sejak akhir-akhir itu.
“Iyalah ma..” Jawab Iman Faliq sebelum bingkas bangun. Dalam pada itu, dia sempat menarik telinga anak saudaranya hingga membuatkan si kecil itu menjerit nyaring.
Datin Farah hanya menggelengkan kepala melihat Iman Faliq yang terus menghilangkan diri. Masam mencuka wajah cucu tunggalnya itu.

No comments:

Post a Comment