“Apa abang buat
dekat sini lagi!? Tak puas lagi hati abang tengok Nur macam ni! Tak puas!!”
Jerkah Nur Imanina lantang. Berombak dadanya menahan perasaan marah yang
berbuku apabila melihat susuk tubuh yang berdiri di hadapannya itu.
“Nur… Maafkan abang Nur… Abang terpaksa. Abang dah tak tahu nak buat
apa. Nur aje yang boleh tolong abang masa tu…” Rayu Fahmi tidak henti.
“Memang patutlah abang tak pandai belajar! Sia-sia aje mak abang
hantar abang pergi sekolah! Memang otak abang tu dah tak boleh pakai langsung
kan?! Sampai dah tak boleh nak fikir dosa pahala! Sampai dah tak boleh fikir perasaan
orang lain! Sampai sanggup jadikan Nur mangsa abang!! Abang memang jahat!!
Sampai mati Nur takkan maafkan abang!!” Hambur Nur Imanina dalam esak tangis
apabila mengenangkan apa yang telah berlaku. Masa depannya musnah kerana
kejahilan manusia seperti Fahmi.
“Nur… Nur cakap ajelah apa yang Nur nak cakap. Abang terima. Tapi
Nur maafkanlah abang… Abang sanggup bertanggungjawab Nur. Tolonglah Nur…” Pujuk Fahmi tidak jemu.
Nur Imanina tersenyum sinis mendengar kata-kata Fahmi. Air mata yang
masih mengalir diseka kasar. “Nak bertanggungjawab? Abang nak bertanggungjawab?
Huh! Hentikanlah… Orang bodoh aje yang nak pada abang. Kalau Nur yang takda
kena mengena dengan abang pun, abang boleh serahkan Nur pada orang lain
semata-mata sebab duit. Tak mustahillah perempuan yang jadi bini abang tu,
abang jual sebab nak dapatkan duit jugak!
Nak bertanggungjawab konon! Persetankanlah tanggungjawab abang tu! Nur tak
ingin kahwin dengan abang. Nur lagi sanggup tak kahwin, dari Nur kahwin dengan
abang!” Sindir Nur Imanina kasar. Dia
tidak akan mempercayai lagi kata-kata seorang lelaki yang pernah dianggap
seperti abangnya sendiri itu. Malah, sudah ditanamkan di dalam hatinya bahawa
dia tidak akan sesekali lagi mempercayai insan bernama lelaki. Termasuklah
abangnya sendiri. Dia cukup kesal dengan apa yang terjadi.
Fahmi kematian kata. Wajah Nur Imanina yang merenungnya tajam tetap
dipandang sayang.
“Abang nak apa tunggu sini lagi?! Abang pulak nak rogol Nur ke?!” Lanjut Nur Imanina dengan hati yang cukup
panas. Kesabarannya semakin menipis apabila kemarahan menguasai diri. Selagi
wajah itu tidak lenyap dari pandangan matanya, selagi itu jugalah perasaan
marah dan bencinya tidak akan mengendur.
“Nur..” Fahmi yang cukup terasa dengan tuduhan gadis itu.
“Abang tak payahlah nak panggil nama Nur. Jijik Nur dengar abang
sebut nama Nur. Abang sebenarnya tak layak langsung nak sebut nama Nur!” Herdik
Nur Imanina dengan nada yang semakin meninggi. Sengaja ingin menyakitkan hati
Fahmi.
“Nur… Tolonglah Nur… Abang rela kahwin dengan Nur. Abang sedia
terima Nur… Er… Abang sebenarnya dah lama cintakan Nur… Percayalah Nur… Maafkan
abang…” Tidak henti Fahmi merayu. Bahang panas matahari yang membakar kulitnya
saat itu sedikit pun tidak dihiraukan.
“Huh! Cinta konon! Gelilah aku dengar.” Balas Nur Imanina cukup
sinis. Dia mencebikkan bibir tanda meluat dengan kata-kata yang terluah dari
mulut Fahmi. Apa sahaja yang berkaitan dengan lelaki itu, jijik di matanya.
Sedikit pun dia tidak terusik dengan pengakuan Fahmi. Hatinya kini sekeras kerikil.
Sudah terkunci rapat hatinya buat insan bernama lelaki. Kuncinya telah dibuang
jauh agar tiada siapa yang akan dapat membukanya lagi.
“Hoi! Apa yang kau nak buat dengan adik aku!” Pekik satu suara dari
arah belakang. Aiman Iqbal segera melajukan langkah apabila melihat Fahmi di
perkarangan rumah keluarga angkatnya itu.
Berubah pucat wajah Fahmi melihat kemunculan Aiman Iqbal.
Nur Imanina pula sedikit pun tidak bereaksi. Apa yang pasti hanya
perasaan marah sahaja yang mula menggunung tinggi di hatinya saat itu.
“Aiman… Er.. Aku…”
“Baik kau pergi dari sini! Kau tak layak jumpa dengan adik aku! Kau
tak puas lagi apa yang kau dah buat dengan dia?! Dasar kawan tak guna kau ni!”
Hambur Aiman Iqbal dengan wajah yang merah padam menahan marah. Penumbuknya digenggam
kemas. Ringan sahaja ingin dilayangkan ke wajah lelaki di hadapannya itu.
Namun, berkali-kali juga dia cuba menenangkan diri walaupun perasaan marah
sudah menguasai hati.
Nur Imanina kembali duduk di pangkin tepi rumah itu. Terasa
pinggangnya mula menegang kerana terlalu
lama berdiri sejak tadi. Dia memandang sekilas ke wajah tegang abangnya yang
baru tiba. Dia ada mengugut abangnya tadi agar segera pulang. Entah kenapa hari
itu dia teringin benar berjumpa dengan abangnya sedangkan selama ini dia yang
mengelakkan diri dan lebih banyak mengurung diri di dalam bilik. Perasaan malu
dan marah menyebabkan dia mengelakkan diri dari bertemu dengan sesiapa pun.
Terutamanya Aiman Iqbal. Rahsia masih disimpan di antara mereka termasuk
seorang lagi lelaki yang telah menodainya.
“Aku rasa baik kau balik sekarang sebelum aku sendiri yang hantar
kau ke balai polis.” Ujar Aiman Iqbal tidak setegang tadi namun masih keras.
“Tapi Man… Aku.. Aku sanggup Man bertanggungjawab atas diri Nur. Aku
sanggup Man…” Pujuk Fahmi yang sanggup melakukan apa sahaja agar kesalahannya
dapat dimaafkan oleh dua beradik itu.
“Kau ingat aku bodoh nak bagi adik aku pada orang yang tak
bertanggungjawab macam kau?! Kau jangan mimpilah!” Tingkah Aiman Iqbal kembali
meninggi. Tajam matanya menikam ke wajah Fahmi.
“Huh! Cakap orang pasal tanggungjawab. Abang pun sama ajelah!”
Sampuk Nur Imanina sinis kepada abangnya. Tangannya sudah memegang kembali
sebilah pisau yang digunakan untuk memotong buah mangga di pangkin itu tadi.
Aiman Iqbal memanah tajam matanya kepada Nur Imanina. Jika tidak
kerana adiknya itu mengugut untuk tidak bertemu dengannya lagi buat
selama-lamanya, pasti dia tidak akan pulang ke rumah keluarga angkatnya itu
dengan tergesa-gesa. Dia terpaksa ponteng kuliah semata-mata kerana Nur
Imanina. “Adik jaga sikit mulut tu ya. Ayah dengan ibu tak pernah ajar adik
jadi kurang ajar macam tu!” Marah Aiman Iqbal tegas.
“Adik memang kurang ajar! Sebab ayah dengan ibu dah tinggalkan
adik!” Tingkah Nur Imanina selamba bersama linangan air mata. Entah kenapa
lancar saja mulutnya hari itu berkata yang tidak-tidak kepada dua manusia di
hadapannya.
“Adik…” Tutur Aiman Iqbal dengan suara yang mula mengendur. Hatinya
menjadi sebak mendengar kata-kata Nur Imanina.
“Abang jangan dekat dengan adik! Abang tak payah nak kesiankan
adik!” Larang Nur Imanina dengan pisau diacukan kepada Aiman Iqbal yang cuba
menghampiri.
Aiman Iqbal mengundurkan diri. Tidak mahu mengambil risiko walaupun
dia tahu adiknya itu sekadar mengugut. Dia tahu Nur Imanina tidak akan membuat
perkara yang bodoh kerana perasaan marah yang sedang menguasai hati saat itu.
“Fahmi, aku rasa baik kau balik. Takda gunanya kau merayu dekat adik
aku lagi. Dia takkan maafkan kau. Dan aku pun tak boleh nak terima apa yang dah
kau buat dengan adik aku. Kau baliklah… Aku tak nak lagi tengok muka kau dekat
dengan adik aku. Pergilah kau balik…” Ujar Aiman Iqbal sedikit tenang namun
berbaur ketegasan.
Dia tidak mahu hal mereka itu menjadi panjang dan bertambah tegang
dengan keadaan emosi Nur Imanina yang tidak menentu. Tambahan pula tiada siapa
yang mengetahui apa yang telah berlaku di antara mereka. Cukup mereka sahaja
yang menyimpan rahsia itu.
“Tapi Man… Bagilah aku peluang untuk tebus semua dosa aku Man.. Aku
sanggup buat apa aje Man asalkan Nur dapat maafkan aku. Aku sanggup buat apa
pun untuk dia Man…” Pujuk Fahmi tidak berputus asa.
“Kau ni memang tak faham bahasa ke apa! Aku kata tak nak, tak
naklah!! Kau tak dengar ke?!!” Pekik Nur Imanina kuat. Dia menapak laju
menghampiri Fahmi yang masih tidak berganjak dari tempatnya. Semakin membuak
rasa marah dan bencinya kepada Fahmi.
“Adik!” Halang Aiman Iqbal cepat. Sempat dia menyambar lengan Nur
Imanina.
“Fahmi, baik kau balik. Aku rasa tak guna lagi kau merayu. Kau
sendiri dah dengarkan apa yang adik aku kata. Dia takkan terima kau. Tolonglah
Fahmi kau pergi dari sini. Aku tak nak perkara buruk lain jadi pada dia.” Ujar
Aiman Iqbal lebih kepada memujuk.
“Nur… Abang sanggup melutut pada Nur. Nur tolonglah ampunkan dosa
abang. Tolonglah Nur… Abang nak bertanggungjawab pada Nur… Nur terimalah abang.
Abang sanggup terima Nur…” Rayu Fahmi lantas menghampiri Nur Imanina di sisi
Aiman Iqbal.
“Kau diamlah bodoh! Kau jangan cakap apa-apa lagi! Aku tak nak
dengar! Baik kau pergi dari sini! Aku benci tengok muka kau! Sebab kaulah aku
jadi macam ni!!” Jerit Nur Imanina semakin hilang kawalan. Cuba meronta untuk
melepaskan diri dari pegangan abangnya. Semakin panas hatinya mendengar rayuan
demi rayuan dari bibir Fahmi. Sebilah pisau yang masih di tangan digenggam
kuat. Dia sendiri takut andai perkara buruk akan berlaku dengan rasa marah dan
benci yang kian memuncak di hati.
Aiman Iqbal yang semakin panik cuba mengambil pisau dari tangan Nur
Imanina. “Adik, lepaskan pisau ni. Bahaya!” Aiman Iqbal tetap cuba merampas
pisau dari tangan adiknya.
“Lepaskan adik!” Jerit Nur Imanina yang masih cuba menarik tangannya
dari pegangan Aiman Iqbal. Dalam dia meronta minta dilepaskan, entah macam mana
pisau yang dipegang terhunus ke perutnya sendiri.
Aiman Iqbal dan Fahmi sama-sama tergamam. Terkejut dengan apa yang
baru sahaja berlaku.
“Abang…” Rintih Nur Imanina sakit. Terasa kakinya semakin lemah
untuk menampung berat badan sebelum dia terus melurut ke tanah.
Fahmi pula dengan pantas menarik pisau yang masih tertusuk di perut
Nur Imanina. Membuak darah keluar hingga membasahi tubuh Nur Imanina. Kerana
kemalangan tidak disengajakan itu, terserlah satu lagi beban yang ditanggung
oleh Nur Imanina di atas perbuatannya sebelum ini.
“Iman!!!”
Sayup kedengaran suara memanggil namanya sebelum suara itu tenggelam
dan hilang bersama dunianya yang mula gelap-gelita. Hanya kesakitan yang
teramat dirasai seluruh tubuhnya saat itu. Tiada lagi suara mahupun cahaya yang
kelihatan.
…………
“Iman… Iman…”
Panggil Zulaikha beberapa kali seraya menyentuh perlahan bahu Nur Imanina.
Nur Imanina sedikit tersentak lantas membuka mata dan menyeka
perlahan air jernih yang bertakung di hujung mata. “Kak..”
“Dari tadi Mak Ita cari Iman. Rupanya duduk dekat sini lagi…” Lanjut
Zulaikha lembut sambil mengusap perlahan bahu Nur Imanina. Dia dapat meneka apa
yang dimenungkan oleh adik iparnya itu apabila melihat air mata yang menuruni
pipi tadi. Lama dia memerhati sebelum mematikan lamunan gadis itu.
Hal Nur Imanina sudah dibincangkan bersama Aiman Iqbal. Namun, suaminya
itu tetap berkeras tidak mahu bertemu dengan Iman Faliq walaupun telah puas dia
mencipta pelbagai alasan demi masa depan Nur Imanina. Dia akan cari peluang
lagi untuk memujuk suaminya agar duduk berbincang dengan lelaki itu supaya
segalanya dapat diselesaikan dengan lebih cepat. Dia tahu Iman Faliq merupakan
calon yang sesuai buat Nur Imanina dari apa yang dilihat dan didengari daripada
Ema yang sudah lama bekerja dengan Datin Farah.
“Saja ambik angin kak.”
Dalih Nur Imanina cuba memaniskan wajah. Dia tahu Zulaikha tidak bodoh untuk
meneka apa yang dirasakan saat itu.
“Jomlah kita balik. Dekat tengah hari ni. Mak Ita kata kawan Iman
dari KL nak datang hari ni. Betul ke?” Soal Zulaikha ingin tahu sebaik
diberitahu akan hal itu tadi.
Puan Masita yang memaklumkan kepadanya sebelum dia kembali ke pondok
kayu dalam kebun rambutan Encik Adnan di belakang rumah itu. Dia dan Aiman
Iqbal yang sudah lama pulang ke rumah, tidak sedar Nur Imanina masih lagi duduk
di situ.
“Kawan Iman dari KL?” Nur Imanina sudah mengerutkan dahi. Setahunya,
hanya Zura dan Hanim sahabat yang dia ada. Kecuali… Cepat akalnya menafikan
pada seraut wajah yang tiba-tiba datang menerjah benaknya. “Iman mana ada kawan
dekat KL kak. Zura dengan Hanim aje kawan Iman.” Lanjut perlahan. Hati cuba
menolak jauh sebaris nama yang muncul.
“Erm… Kawan lama Iman kut…” Balas Zulaikha ketika mereka beriringan.
“Entahlah kak.” Jawab Nur Imanina ringkas. Malas mahu meneka siapa
‘kawan KL’ yang dimaksudkan. Namun pada masa yang sama, dia amat berharap bukan
seraut wajah yang dibenci akan muncul nanti.
Tiba di rumah, cepat dia mendapatkan ibu angkatnya di dapur. Ema
juga ada sama pulang pada hujung minggu itu. Zulaikha pula terus mendapatkan
suaminya di halaman rumah sedang mencuci kereta bersama anak-anak.
“Mak Ita, kawan Iman mana yang nak datang?” Soal Nur Imanina tidak
sabar kepada Puan Masita yang sedang mencuci ayam di bawah pancuran air.
“Eh, Iman tak tahu ke? Tadi Ayah Nan kamu yang cakap. Kawan Iman
yang datang hari tu…” Jelas Puan Masita tanpa menoleh ke wajah anak angkatnya
itu.
Nur Imanina beristighfar untuk menenangkan hatinya yang mula
berombak. Sebaris nama yang cuba dielakkan, nama itu jugalah yang akan
ditemuinya nanti. Membuak rasa benci di hatinya.
“Iman…” Puan Masita menguatkan sedikit suaranya apabila melihat Nur
Imanina diam kaku berdiri di sebelahnya selepas diberitahu siapa yang akan
datang ke rumahnya tengah hari itu.
“Er… Mak Ita, Kak Ema mana?” Soal Nur Imanina cuba membuang rasa
gugup di dada sebelum berlalu ke meja makan. Buah tomato yang bergoleh di atas
meja dicapai.
“Dia baru keluar dengan Abang Kamal kamu. Nak pergi cari buah naga
katanya. Kak Ema kamu tu mengidam tiba-tiba.” Jawab Puan Masita dengan tangan
masih di bawah pancuran air.
“Mengidam? Kak Ema mengindam?” Soal Nur Imanina lambat seperti dapat
meneka apa yang berlaku pada diri kakak angkatnya.
“Ha’ah…” Balas Puan Masita pendek.
“Kak Ema pregnant lagi ke
Mak Ita?” Tanya Nur Imanina dengan wajah yang cukup teruja. Hilang sebentar apa
yang merunsingkan hatinya sebentar tadi.
Pada minggu lepas, dia cukup teruja apabila mendengar kakak iparnya
yang juga hamil anak ketiga. Kini kakak angkatnya pula. Riuhlah rumah keluarga
angkatnya itu nanti dengan suara anak-anak kecil.
“Ha’ah Iman. Murah rezeki dua kakak kamu tahun ni. Masing-masing
berisi.” Balas Puan Masita yang cukup gembira mendapat tahu anak menantunya
hamil lagi. “Erm.. Iman, Mak Ita tak tahu nak masak apa ni. Kawan kamu tu suka
makan apa? Sempat lagi kalau Mak Ita suruh abang kamu pergi beli barang lagi.”
Lanjut Puan Masita seraya mengeringkan tangan. Ayam sudah siap dicuci sebelum
dia menapak ke pintu dapur untuk memetik daun limau purut yang ditanam di tepi
rumah.
Nur Imanina gigit bibir. Tidak tahu jawapan apa yang harus
diberikan. Sekali lagi terlayar wajah lelaki itu di ruang mata.
“Er… Masak ajelah apa-apa Mak Ita. Dia makan aje semua.” Balas Nur
Imanina dalam tidak mahu. Dia lantas mengeluarkan telefon bimbit dari poket
seluar track bottomnya. Menari laju
jemari runcingnya di atas papan kekunci.
+ Siapa suruh awak datang
rumah saya?! Jangan datang!! Saya tak nak jumpa awak!! Saya benci tengok muka
awak!!!
Nur Imanina baca sekilas sebelum menekan butang send. Membuak-buak rasa benci dan marahnya di dalam dada. Hanya
menanti untuk dihamburkan sahaja. Beberapa ketika menunggu namun tiada balasan
daripada lelaki itu.
“Dik, dah kenapa muka macam kodok takut lalat tu?” Usik Aiman Iqbal
yang baru melangkah masuk ke ruang dapur bersama baldi di tangan.
“Abang mesti selalu tengok kodok takut dengan lalat kan…” Balas Nur
Imanina sambil menjuihkan bibirnya.
Aiman Iqbal terus menghamburkan tawa. “Takdalah selalu. Tapi malam
semalam baru abang tengok. Hari ni sekali lagi abang dapat tengok.” Giat Aiman
Iqbal lagi dalam sisa tawanya.
Nur Imanina ketap bibir geram. Sebiji tomato yang masih dipegang
terus sahaja dilemparkan ke arah abangnya yang masih menyambung tawa. “Nasib
baik tak kena. Kalau kena tadi, abang dah masuk hospital tercekik tomato.”
Ujarnya geram apabila tomato yang dibaling tadi mengenai pintu bilik air sebaik
abangnya berjaya meloloskan diri.
“Astaghfirullahal aazim budak berdua ni. Macam budak kecik. Habis tomato Mak Ita nak masak…”
Mengucap panjang Puan Masita seraya menggelengkan kepala melihat kedua-dua anak
angkatnya itu.
“Abang tu Mak Ita. Dia kata muka Iman macam kodok takut lalat.”
Rungut Nur Imanina. Masam mencuka wajahnya. Masih terdengar lagi tawa Aiman
Iqbal dari dalam bilik air.
Puan Masita turut melepaskan tawa kecil. “Kodok takut lalat? Apa ke
pelik sangat perumpamaannya…” Kata Puan Masita dalam sisa tawa. Tercuit dengan
perumpamaan yang diberi oleh Aiman Iqbal.
Semakin kelat wajah Nur Imanina.
“Sudah tu Iman. Iman jangan layan abang kamu tu. Nama aje dah jadi bapak budak. Tolong Mak Ita siapkan
barang-barang untuk masak tomyam ni. Kamu kata kawan kamu tu makan aje apa-apa
kan…” Ujar Puan Masita sambil mengeluarkan sayur-sayuran lain dari dalam peti
sejuk.
“Kawan adik yang mana satu nak datang ni?” Soal Aiman Iqbal sebaik
keluar dari dalam bilik air sambil mengutip sisa tomato yang melekat di lantai.
“Entah..” Jawab Nur Imanina malas. Resah hatinya apabila Aiman Iqbal
bertanya. Takut untuk berterus terang hal yang sebenar.
“Hari tu dia ada datang sini…” Sahut Puan Masita pula yang tidak
sedar perubahan pada wajah Nur Imanina.
“Datang sini? Buat apa?” Soal Aiman Iqbal ingin tahu. Dia tahu
selama adiknya duduk di Kuala Lumpur, wanita itu tidak mempunyai teman yang
begitu rapat melainkan Ema dan dua teman serumah yang ada.
“Abang… Telefon!” Sampuk Zulaikha yang tiba-tiba muncul di muka
pintu dapur. Zulaikha memandang ke wajah Nur Imanina yang sedikit kalut. Dia
seperti dapat meneka siapa yang dimaksudkan sebagai ‘kawan KL’ tadi.
Aiman Iqbal mengambil telefon bimbit dari tangan isterinya sebelum
terus berlalu keluar.
Nur Imanina pula sempat melemparkan senyuman pahit kepada Zulaikha.
Nafas ditarik lega. Kemunculan kakak iparnya itu tepat pada masanya. Abangnya
tidak perlu tahu siapa yang dimaksudkan ‘kawan KLnya’ itu buat sementara waktu.
Risau andai ada perkara yang tidak diingini akan berlaku nanti.
No comments:
Post a Comment