Angin petang
yang menyapa wajah saat itu sedikit pun tidak mampu mendamaikan hati yang
berbuku marah. Terasa sempit ruang nafasnya apabila wajah yang dibenci singgah
di ruang mata. Bertambah sakit hati apabila Iman Faliq boleh berlagak tenang di
hadapan semua ahli keluarganya. Cuma dia perasan riak tidak senang begitu
ketara di wajah abangnya sejak lelaki itu tiba. Dia dan abangnya tidak mampu
menghalang apabila ayah angkatnya sendiri yang mengalu-alukan kedatangan Iman
Faliq ke rumah.
Teringat pada Zarif Aimin
yang turut sama ada. Sebaik tiba tadi, si kecil itu terus mendapatkannya.
Memeluknya erat seperti selalu. “I want to be your friend Mama! I want to be your
friend Mama! I love you Mama!”
Itulah yang berulang kali diungkapkan sebaik sahaja memeluknya. Menggunung rasa
bersalah kerana telah mengabaikan si kecil itu seminggu lalu.
Dan kini, dia mengasingkan diri dari bertemu Iman Faliq selepas
makan tengah hari tadi. Dia perasan mata lelaki itu kerap singgah ke wajahnya.
Tapi dia yang sengaja buat-buat tidak nampak. Sedaya boleh dia cuba berlagak
tenang. Nasi yang ditelan seperti tidak jejak ke perut apabila setiap kali mata
mereka bertemu.
Rahsia kekal menjadi rahsia. Gempar satu kampungnya itu dahulu
dengan berita yang dia cuba membunuh diri kerana tertekan mengandungkan anak
luar nikah. Kehamilan itu juga tidak disedari oleh keluarga angkatnya termasuk
Aiman Iqbal sendiri kerana berjaya disembunyikan di sebalik baju kurung yang
dipakai. Tambahan pula dia sering mengurung diri di dalam bilik. Sehinggalah
kemalangan yang tidak disangka itu
berlaku menyebabkan segala-galanya terbongkar.
Ada sebab kenapa dia merahsiakan kewujudan bayi di dalam
kandungannya saat itu. Apa yang pernah berlaku ke atas dirinya selama ini sudah
cukup membuatkan dirinya malu untuk bertemu dengan orang kampung. Terasa
dirinya jijik untuk didampingi oleh sesiapa pun. Pada masa yang sama dia tidak
mahu apa yang berlaku akan mengaibkan nama keluarga. Di mana, selama ini elok
terjaga malah dihormati oleh orang kampung.
Namun, selepas peristiwa itu berlaku, orang kampung tidak henti
mengata dan memfitnahnya. Bukan sahaja diri, tetapi turut melibatkan nama arwah
ayah dan ibunya. Keluarga angkatnya itu juga terkena tempias. Malah ada yang
menyatakan keluarga angkatnya itu sama-sama bersubahat di atas apa yang
berlaku.
Kejadian itu bukan sahaja menjadi perbualan hangat orang kampung,
malah turut tersiar di dada-dada akhbar tempatan suatu ketika dulu. Tambahan
pula dia masih di bawah umur. Hinggakan ada sahaja wartawan yang datang ke rumah
untuk mengetahui hal yang sebenar.
Ayah angkatnya yang bertugas sebagai anggota polis, puas memujuk
agar dia mendedahkan apa sebenarnya yang telah berlaku agar tindakan
selanjutnya dapat diambil. Namun, dia lebih suka mengambil jalan untuk berdiam
diri. Disebabkan berdiam diri itu jugalah ada pihak lain yang sanggup membuat
andaian sendiri dan mereka cerita yang tidak benar. Berita yang dipaparkan
lebih banyak yang salah daripada yang benar. Tapi apakan daya, dia hanya mampu
menelan apa juga tomahan dan dugaan yang mendatang.
Disebabkan hal itu juga abangnya terus menyibukkan diri dengan
pengajian kerana tidak tahan mendengar umpat keji orang kampung tentang
keburukan dirinya dan keluarga. Aiman Iqbal semakin jarang pulang ke kampung.
Dan dengan kesibukan Aiman Iqbal telah membuatkannya semakin tidak bersemangat
dan sentiasa murung. Terasa dipinggirkan. Rasa benci dan marah membelit hati
kerana lelaki itu langsung tidak mengambil berat akan keadaan dirinya. Hidupnya
saat itu lebih banyak dihabiskan dengan berkurung di dalam bilik. Tidak lagi
keluar rumah untuk bertemu dengan sesiapa pun hingga rakan sekolah yang ada
turut memulaukannya.
Berkenaan benih yang dikandung, dia sendiri tidak pasti siapa yang
punya angkara. Apa yang dia tahu, ianya melibatkan Fahmi dan seorang yang tidak
dikenali. Disebabkan itu dia memilih untuk menutup mulut. Fahmi dan Aiman Iqbal
juga berbuat perkara yang sama. Sehinggalah hari ini dia baru mengetahui
gerangan yang telah meninggalkan titik hitam dalam hidupnya.
Dalam tempoh kemurungan yang dialami, Ema yang telah banyak membantu
dan memberinya semangat semula. Wanita yang sudah dianggap seperti kakaknya
sendiri itu yang telah membawanya ke Kuala Lumpur dan memperkenalkannya kepada
Datin Farah untuk bekerja di taska sebagai pembantu. Di taska Datin Farahlah
dia membuka lembaran baru.
Namun, setelah dia bahagia dengan apa yang dilakukan kini, kehadiran
Iman Faliq membuatkan sejarah hitamnya seperti berulang kembali di hadapan
mata. Allah telah membukakan hijabnya. Kebenaran terbentang luas di hadapan
mata. Pertemuan semula dengan abangnya membuatkan segala-galanya tersingkap.
Tanpa pengetahuannya Aiman Iqbal telah memaksa Fahmi untuk memberitahu perkara
yang sebenar sehingga menemukan siapa sebenarnya Iman Faliq dalam zaman kegelapannya
dahulu. Lelaki yang cuba mendampinginya sejak akhir-akhir itu.
Keluhan berat meniti bibirnya entah buat ke berapa kali apabila
mengimbau jalan takdir yang telah ditentukan buat dirinya selama ini. Hanya
kini dia tidak pasti apa lagi yang bakal ditempuhi dalam dia meneruskan
kehidupan. Jika sebelum ini dia kembali tenang meniti hari-hari yang mendatang,
tetapi kini sekali lagi suasana tenangnya dilambung badai. Peristiwa hitam lalu
kembali meragut ketenteraman dan ketenangan yang ada dengan kehadiran Iman
Faliq. Sumpah dia benci lelaki itu kini.
Air mata yang merembes ke pipi diseka perlahan sebelum tangannya
singgah di atas perut yang kempis tidak berisi. Terimbau kembali nasib yang
menimpa zuriat yang tidak berdosa. Bukan kehendaknya si kecil itu pergi menemui
Maha Pencipta. Dia tahu apa yang berlaku ke atas dirinya sebelum ini, mempunyai
hikmah yang tersendiri. Dia sendiri tidak dapat membayangkan seandainya si
kecil itu hidup hingga ke hari ini dan membesar dengan tidak berbapa. Itu
mungkin menambah lagi kesedihan dan penderitaannya. Jika tidak kerana si kecil
itu juga, mungkin dia tidak lagi dapat merasai deru angin petang yang menyapa
tubuh di kala ini.
“Ehem…”
Dehaman satu suara membuatkan dia sedikit tersentak. Lenyap semua
bayang hitam peristiwa lalu. Kelopak mata diangkat untuk melihat empunya suara.
Saat seraut wajah itu menyapa ruang mata, spontan dia berdiri dan berkira untuk
meninggalkan pondok kayu itu.
“Iman…” Cepat sahaja Iman Faliq menghalang laluannya.
“Apa lagi yang awak nak? Saya takda apa-apa urusan dengan awak.”
Katanya mendatar. Pandangan mata dibuang ke sisi. Tidak mahu bertatapan dengan
seraut wajah yang mula menakluki ruang fikirannya sejak akhir-akhir itu. Dari
jauh dia terdengar riuh rendah dari halaman rumah. Anak-anak Ema dan abangnya
sedang berkejaran. Sesekali terdengar juga suara Zarif Aimin yang turut sama
bermain.
“Urusan kita belum pernah selesai Iman..” Tutur lelaki itu perlahan.
“Apa maksud awak?” Soal Nur Imanina dengan mata tajam menikam ke
wajah Iman Faliq. Namun hanya sebentar. Kedudukan yang agak rapat begitu
membuat dia tidak mampu untuk melawan renungan lembut yang mampu mengusik
tangkai hati wanitanya.
“Kita kahwin.” Tutur Iman Faliq sehabis tenang.
“Awak ni gila ke?” Balas Nur Imanina dingin. Rasa mahu gugur
jantungnya saat mendengar perkataan kahwin dari bibir Iman Faliq.
Dia menjarakkan diri dari tubuh lelaki itu dengan rengusan halus.
Tidak dinafikan pesona Iman Faliq mampu menarik perhatian mana-mana wanita
sekalipun. Hatinya sendiri pernah terusik sebelum ini namun segera dibuang jauh
agar tidak terus menular.
Iman Faliq menghela nafas berat. Sudah jelas penolakan pihak Nur
Imanina di matanya.
“Iman… Saya yang bertanggungjawab atas diri awak. Apa yang berlaku
pada awak, semua akan jadi tanggungjawab saya..” Tuturnya tenang.
Nur Imanina tersenyum sinis. Rasa tidak bermakna apa juga yang
terluah dari dua ulas bibir lelaki itu. “Awak tak payah nak susahkan diri
sendiri semata-mata nak bertanggungjawab atas diri saya. Saya mampu lagi nak
jaga diri saya sendiri. Saya tak perlukan awak.” Balas Nur Imanina tidak
bernada.
“Tak… Saya tetap akan bertanggungjawab atas diri awak Iman. Tak kira
apa pun yang jadi, awak tetap akan kahwin dengan saya.” Jawab Iman Faliq
bernada tegas dan kedengaran memaksa. Sudah dibulatkan tekadnya, itulah yang
terbaik buat mereka.
“Hey! Awak siapa nak tentukan hidup saya!” Tingkah Nur Imanina
dengan nada yang mula meninggi. Mencerlung tajam matanya menikam ke dalam mata
Iman Faliq. Tidak bersetuju dengan apa yang diungkapkan lelaki itu. Bertambah
sakit hatinya yang sedia terluka apabila melihat ketenangan yang terlukis di
wajah Iman Faliq. Seperti langsung tidak terkesan dengan apa yang diucapkan
tadi.
“Sebab saya yang bertanggungjawab atas apa yang saya dah buat pada
awak dulu!” Balas Iman Faliq sama tinggi. Tidak mahu mengalah. Dia cukup pasti
dengan keputusan yang telah lama dibuat.
“Huh! Saya tak pernah tuntut pun pada awak untuk bertanggungjawab
atas diri saya la!” Jawab Nur Imanina diiringi rengusan kasar dengan perasaan
marah yang semakin menggunung dalam dada. Matanya sekali lagi dilarikan dari
bertemu dengan mata Iman Faliq. Dia lebih rela memandang buah rambutan merah
yang semakin masak ranum berbuai disapa angin petang itu.
“Memang awak tak tuntut. Tapi saya yang nak bertanggungjawab atas
diri awak!” Tingkah Iman Faliq yang masih mampu lagi bersabar berhadapan dengan
wanita yang bakal dijadikan suri hidup itu atas rasa tanggungjawab setelah apa
yang pernah dilakukannya dahulu.
“Kalau saya tak nak, apa awak boleh buat?” Sengaja Nur Imanina
mencabar dengan nada yang cukup sinis. Dia yakin lelaki itu tidak mampu berbuat
apa-apa. Matanya sempat menjeling sekilas ke wajah Iman Faliq. ‘Ahh… Buat sakit
hati aje dia ni. Muka takda perasaan langsung!’ Sempat hatinya mengutuk apabila
hanya ketenangan sahaja terpancar di wajah lelaki itu.
“Saya akan pastikan, takkan ada lelaki lain yang boleh kahwin dengan
awak selain saya.” Jawab Iman Faliq sama berani dengan nada yang cukup yakin.
Matanya dari tadi tidak lepas memandang ke wajah merah padam yang sedang
menahan marah itu. Walaupun sedang marah, wajah mulus itu tetap menyenangkan
hati lelakinya.
Nur Imanina merengus lagi sebelum bibir diketap rapat. Sebak pula
tiba-tiba datang menerpa. Kata-kata yang diungkapkan oleh Iman Faliq sudah pun
lelaki itu kotakan. Memang tidak akan ada mana-mana lelaki yang sanggup
menikahinya setelah apa yang berlaku. Pelupuk matanya mula terasa hangat.
Kata-kata lelaki itu sudah cukup menghiris halus hatinya. “Memang… Memang
takkan ada mana-mana lelaki pun yang akan kahwin dengan saya… Awak tak payah
nak pastikan apa-apa lagi.. Semuanya dah cukup pasti lepas apa yang pernah awak
buat pada saya dulu…” Balasnya lambat dengan suara yang mula bergetar. Air
jernih yang mula menuruni pipi cepat diseka.
“Er…Iman… Er… Saya…” Iman Faliq serba salah. Tahu dia sudah terlepas
kata.
“Sudahlah awak… Awak dah berjaya pun buat yang takkan ada mana-mana
lelaki akan kahwin dengan perempuan
macam saya ni…” Sambung Nur Imanina dalam nada yang sama.
“Saya.. Saya yang akan bertanggungjawab semuanya Iman… Kita kahwin…”
Tutur Iman Faliq lebih memujuk. Matanya masih setia terhala ke wajah yang sudah
berair mata itu. Perasaan bersalah mula bermukim di hatinya.
“Saya lebih sanggup tak kahwin dari kahwin dengan awak! Dan awak pun
kena ingat, takkan ada mana-mana perempuan pun yang akan sanggup kahwin dengan
perogol macam awak ni!” Hambur Nur Imanina dengan linangan air mata. Biar
lelaki itu tahu amarah di hatinya bukan sedikit.
“Awak cakaplah apa-apa pun yang awak nak cakap Iman. Saya tetap dengan
keputusan saya. You know why? Because
only you who will marry me! Only you!” Bidas Iman Faliq dengan nafas mula
turun naik menahan rasa yang berbuku di dalam hati. Sikap dingin Nur Imanina
betul-betul mencabar kesabarannya. Sedikit sebanyak juga hatinya terusik dengan
apa yang baru diungkapkan oleh gadis itu. Ditambah pula dengan wajah sendu di
hadapannya itu. Ianya cukup menyesakkan hati.
“Your wish Iman Faliq..”
Balas Nur Imanina sinis. Meluat dengan apa yang diungkapkan lelaki itu. ‘Jangan
terlalu yakin Iman Faliq. Sekali aku tutup hati aku buat lelaki macam kau,
selamanya akan macam tu!’ Desis hatinya yang paling dalam. Air mata yang masih
membasahi pipi diseka kasar.
“I will make sure that we’ll
get married! No matter what! You’ll be mine!” Tambah Iman Faliq penuh
yakin.
Nur Imanina ketap bibir. Jelingan tajam dilemparkan sebelum berlalu
meninggalkan Iman Faliq keseorangan di situ. Tidak mampu untuk bertahan lama
dengan hati yang kian membara. Namun baru separuh jalan, dia berpatah semula.
Berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu hingga terhidu aroma yang cukup
menyenangkan di rongga pernafasannya.
“Abang saya tak bodoh nak kahwinkan saya dengan orang yang dah
rosakkan adik dia macam awak ni!” Tutur Nur Imanina perlahan namun cukup di
pendengaran Iman Faliq sebelum dia berpusing semula. ‘Aku bukan gila nak kahwin
dengan kau Iman Faliq!’ Jeritnya dalam hati. Berombak kuat dadanya menahan
marah yang kian tidak tertanggung. Macam-macam persoalan yang menerjah benaknya
saat itu dengan tindakan berani Iman Faliq. Ke mana abangnya tadi? Tidak
mungkin semudah itu abangnya membenarkan Iman Faliq bertemunya sendirian di
situ. Argh! Bibir diketap rapat. Geram!
Sementara Iman Faliq yang hanya memerhati kelibat Nur Imanina
semakin menghilang, mengukir senyum walaupun hatinya bergetar hebat saat
berhadapan dengan wanita itu tadi. Dia tahu usahanya akan membuahkan hasil. Dia
cukup yakin yang Nur Imanina akan menjadi miliknya nanti. Hanya kesabarannya
yang harus dipupuk lagi agar lebih tenang apabila berhadapan gadis itu.
…………
“Mama, Zarif nak
tidur sini boleh?” Tanya si kecil Zarif Aimin ketika mendapatkan Nur Imanina di
dapur.
Sejak dia dan Iman Faliq berbual ‘mesra’ di pondok kebun rambutan
Ayah Nannya tadi, dia tidak lagi menunjukkan muka. Lebih banyak menghabiskan
masa di dalam bilik. Jika tidak kerana Puan Masita mengarahkannya menyediakan
minum petang, jangan harap dia akan keluar dari bilik. Rasa marahnya tidak lagi
surut kerana kelantangan Iman Faliq menyuarakan hasrat untuk mengahwininya
tadi. Ketika melangkah masuk ke dalam rumah tadi, semua ahli keluarganya beriak
selamba. Seperti tiada ada apa yang berlaku. Termasuklah abangnya sendiri.
Wajah itu tidak setegang tadi. Pelik!
“Er.. Tidur sini?” Soal Nur Imanina kembali. Kurang selesa dengan
permintaan si kecil itu. Serba-salah jadinya. Tidak tahu jawapan apa yang
sesuai diberikan agar si kecil itu tidak berkecil hati.
“Zarif nak tidur sini..” Rengek si kecil itu sambil memegang hujung
baju kurung yang dipakai. Ke hulu ke hilir dia mengikut langkah Nur Imanina
yang sedang membancuh seteko air teh dan seteko air milo.
“Kan Zarif tak bawak baju,
macam mana nak tidur sini?” Sengaja Nur Imanina cuba mencipta alasan kembali
supaya dapat menolak permintaan si kecil itu. Dia tidak senang jika Iman Faliq
turut sama bermalam di situ nanti.
“Nanti papa beli baju Zarif. Zarif boleh tidur sini kan mama?” Mudah
sahaja si kecil itu menjawab pertanyaannya.
Otaknya ligat mencari alasan lain yang lebih sesuai untuk diberikan.
Dia cukup faham dengan perangai Zarif Aimin yang akan sedaya upaya memujuk
untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Dia terus menyibukkan diri. Sengaja
membiarkan permintaan si kecil itu tergantung.
“Mama…” Rengek si kecil itu tidak henti. Wajah Zarif Aimin sudah
beriak keruh untuk meraih simpatinya.
Dia tetap mendiamkan seraya bergerak ke peti sejuk untuk
mengeluarkan samosa sejuk beku yang dibawa dari rumah abangnya pagi tadi. Kuali
dipanaskan. Kata-kata Zarif Aimin masih dibiarkan tidak bersambut dan si kecil
itu juga masih setia memegang hujung baju kurungnya.
“Mama… Zarif nak tidur sini. Bolehlah mama..” Rengek si kecil itu
lagi tidak jemu.
Semakin mendayu-dayu suara itu memujuknya. Ketika itu semua ahli
keluarga berada di bahagian atas rumah. Hanya dia dan si kecil itu sahaja di
situ. Kelibat Iman Faliq pula tidak kelihatan. Mungkin bersama-sama ahli
keluarga yang lain. Bibir melepaskan keluhan halus sambil memandang ke wajah
Zarif Aimin yang terkelip-kelip memandangnya.
“Zarif kan tak bawak baju.
Macam mana Zarif nak tidur sini..” Giliran Nur Imanina pula lembut memujuk. Dia
mengangkat si kecil itu dan diletakkan di atas kerusi meja makan. Tidak mahu
pula si kecil terkena minyak panas dari dalam kuali.
“Nanti papa boleh beli…” Tanpa berfikir panjang si kecil itu
menjawab sama seperti tadi.
“Dekat sini jauh kedai baju. Macam mana papa nak beli…” Kata Nur
Imanina lagi. Sengaja beralasan begitu.
“Ala… Zarif nak tidur sini… Bolehlah mama…” Si kecil itu masih tetap
dengan pendiriannya.
“Bukan mama tak bagi sayang. Zarif kena tanya Papa Iman dulu… Zarif
dah tanya papa?” Soal Nur Imanina lagi. Segelas jus oren dituangkan buat si
kecil.
Zarif Aimin hanya menggelengkan kepala sebelum menghabiskan jus oren
yang dihulurkan.
“Habis tu, macam mana Zarif nak tidur sini? Kalau papa tak bagi,
Zarif tak bolehlah tidur sini. Zarif kan kena dengar cakap papa…” Ujar Nur
Imanina sebelum mengangkat samosa yang telah masak dari dalam kuali.
“Erm.. Zarif nak pergi cakap dengan papa lah..” Kata si kecil itu
sebelum terus turun dari kerusi dan memanjat tangga untuk ke bahagian atas
rumah.
Tidak sempat Nur Imanina berkata apa, kelibat si kecil itu sudah
hilang.
“Adik…” Sapa abangnya yang tiba-tiba muncul di anak tangga. Nur
Imanina menoleh ke wajah abangnya yang datang menghampiri.
“Abang…” Sahut Nur Imanina sepatah.
“Abang ada hal sikit nak bincang dengan adik…” Ujar Aiman Iqbal
seraya duduk di atas kerusi yang diduduki Zarif Aimin tadi.
Nur Imanina melemparkan senyuman tawar. Dia seperti sudah dapat
meneka apa yang ingin disampaikan oleh Aiman Iqbal. Sabar dia menanti bicara lanjut
dari mulut abangnya itu sebelum api dapur dimatikan. Terhenti untuk menggoreng
samosa yang masih lagi belum selesai. Punggung dilabuhkan di kerusi
bertentangan.
“Adik macam mana dengan Faliq?” Soal Aiman Iqbal penuh hati-hati.
Dia tahu apa sahaja yang akan disampaikannya mungkin akan mengguris hati gadis
itu.
“Apa maksud abang?” Soal Nur Imanina kembali tanpa menjawab soalan
yang diajukan. Berkerut-kerut dahinya memandang wajah tenang Aiman Iqbal.
“Abang nak Iman terima Faliq.” Tutur Aiman Iqbal sebaris. Dia tahu
keputusannya itu mungkin akan mengundang keadaan yang lebih buruk kepada
adiknya itu.
“Apa abang cakap ni?” Balas Nur Imanina dengan suara yang tertahan.
Tidak faham dengan perubahan drastik Aiman Iqbal. Sebelum ini, abangnya itu
yang menghalang keras dari dia berhubung dengan Iman Faliq. Tetapi entah kenapa
kini lain pula yang jadi.
“Abang nak adik kahwin dengan Faliq.” Ulang Aiman Iqbal tenang. Pada
masa yang sama dia berdoa dalam hati agar apa yang dirancangkan dapat berjalan
lancar. Semuanya demi masa depan adiknya itu.
“Abang kenapa tiba-tiba jadi macam ni?” Soal Nur Imanina pantas.
Seperti tidak percaya apa yang diungkapkan oleh Aiman Iqbal.
“Adik… Sampai bila adik nak jadi macam ni? Dah tiba masanya dik.
Faliq aje yang boleh bertangjawab atas apa yang dia dah buat pada adik dulu.”
Ujar Aiman Iqbal setenang mungkin. Tidak mahu berkasar.
Nur Imanina tidak lepas memandang wajah abangnya. Perasaan sedih dan
kecewa sudah mula mengepung dada saat itu. Tunggu dihamburkan sahaja. “Abang
sedar tak apa yang abang cakap? Abang tahu tak dengan siapa yang abang suruh
adik kahwin tu? Abang sedar tak?!” Balas Nur Imanina dengan suara yang mula
bergetar. Begitu murah air matanya saat itu. Semua kerana Iman Faliq! Semua
sebab dia!
Aiman Iqbal menghela nafas berat. Tidak sampai hati melihat keadaan
adiknya yang berair mata begitu. Keruh sungguh wajah mulus di hadapannya. Dia
tidak punya jalan lain. Itu sahaja yang dirasakan terbaik demi masa depan
satu-satunya adik yang dia miliki. Dia ingin sekali melihat wanita itu hidup
bahagia seperti orang lain. Hidup berumah tangga dan mempunyai zuriat. Tidak
selamanya dia mampu menjaga dan melindungi adiknya itu jika ditakdirkan
hayatnya terlebih dahulu dijemput Maha Pencipta.
“Adik…”
“Abang lupa ke apa yang dia pernah buat pada adik? Abang ingat adik
jadi macam ni sebab siapa? Bukan sebab dia ke bang? Dia yang buat adik macam
ni! Dia yang sebabkan adik jadi macam ni! Dia jahat bang! Abang nak ke adik
abang ni hidup dengan orang jahat macam tu! Takda pegangan! Aqidah entah ke
mana! Abang nak ke?!” Tingkah Nur Imanina berserta linangan air mata.
“Adik… Dia dah insaf. Dia sedia nak bertanggungjawab pada diri
adik…” Aiman cuba memujuk.
“Insaf? Dia dah insaf? Orang jahat macam tu takkan insaflah bang.
Kalau dia boleh buat adik macam tu, tak mustahil dia pernah buat dengan
perempuan lain jugak! Entah dah
berapa ramai perempuan yang jadi mangsa dia, kenapa adik yang kena kahwin
dengan dia?!” Balas Nur Imanina lirih. Seboleh mungkin dia cuba menafikan apa
juga yang diucapkan oleh abangnya. Sedikit pun dia tidak akan percaya dengan
Iman Faliq.
“Adik…” Seru Aiman Iqbal perlahan. Sempat dia menyambar lengan Nur
Imanina yang ingin berlalu.
“Adik lagi sanggup tak kahwin dari kahwin dengan perogol macam dia
tu!” Sahut Nur Imanina dengan suara yang sedikit keras. Tangan ditarik kasar
dan terus memanjat tangga untuk masuk ke dalam bilik.
Dia perasan tiada seorang pun ahli keluarganya ada di atas rumah.
Mungkin semua sudah keluar ke kebun rambutan. Tetapi, langkah kakinya mati saat
terpandangkan susuk tubuh yang berdiri begitu hampir di tepi tangga. Kelibat
Zarif Aimin tidak pula kelihatan. Dia cukup yakin yang lelaki itu telah
mendengar apa yang diucapkannya kepada Aiman Iqbal sebentar tadi. Pandangan
mereka berlaga seketika sebelum dia terus berlalu ke dalam bilik.
No comments:
Post a Comment