“Apa sebenarnya
tujuan kau datang sini?” Sapa satu suara dingin menyebabkan lamunannya sedikit
tersentak. Laju menoleh ke arah suara. Melihat ketegangan yang terpamer di
wajah Aiman Iqbal dia menghela nafas berat. Songkok yang digunakan untuk
bersolat Zuhur tadi diletakkan atas pangkin yang dudukinya.
Dalam tidak mahu Aiman Iqbal terpaksa juga berhadapan dengan Iman
Faliq. Wuduk yang masih ada di tubuhnya itu berjaya melembutkan sedikit hatinya
untuk bersua muka dengan lelaki itu. Padanya, biarlah segala-galanya dapat
diselesaikan hari itu juga. Sepanjang malam tidak lena tidurnya setelah
memikirkan baik buruk kata-kata isterinya semalam. Diharap keputusan yang
diambil nanti akan memberi sinar pada Nur Imanina. Dia tidak sanggup lagi
melihat adiknya hidup dalam kegelapan.
“Iqbal… Er… Aku…” Tergagap-gagap Iman Faliq ingin menutur kata. Dia
sudah menjangka yang Aiman Iqbal akan mengajukan soalan itu kepadanya sebaik
dia tiba tadi.
“Aku kan pernah cakap dengan kau, aku tak nak tengok lagi muka kau.
Apa lagi yang kau nak ni?” Pintas Aiman Iqbal dengan suara yang tertahan. Tidak
mahu perbualan mereka didengari oleh ahli keluarga yang lain memandangkan
kehadiran Iman Faliq di rumah itu diterima balik oleh ibu bapa angkatnya.
“Iqbal, aku tak tahu kau dengan Iman ada dekat sini. Kalau aku
tahu…”
“Maknannya kalau aku takda, kau boleh senang hati datang sinilah.. Macam
tu?” Tingkah Aiman Iqbal cepat. Sebaik mungkin dia cuba mengawal kemarahan yang
mula mengepung dada. Kerana lelaki itulah kehidupan adiknya musnah.
“Iqbal… Aku… Aku cuma nak tahu apa sebenarnya yang dah jadi pada
Iman sebelum ni.” Jawab Iman Faliq jujur.
“Kenapa kau nak tahu? Aku rasa kau dah cukup tahu apa sebenarnya
yang dah jadi pada adik aku kan… Dan aku rasa kau takda hak pun nak tahu
apa-apa fasal hidup adik aku lagi.” Balas Aiman Iqbal sedaya upaya cuba
menenangkan dirinya sendiri.
Teringat kembali apa yang diucapkan oleh isterinya semalam.
Isterinya begitu beriya-iya memujuknya agar bertemu dengan lelaki itu untuk
berbincang soal adiknya. Menurut Zulaikha, Iman Faliq ada menyuarakan hasrat
untuk bertanggungjawab ke atas diri Nur Imanina. Hanya dia sahaja yang kurang
yakin dengan permintaan lelaki itu di atas apa yang telah berlaku sebelum ini
menyebabkan dia sering menolak untuk bertemu. Padanya, tiada apa lagi yang
perlu dibincangkan di antara mereka. Selepas apa yang telah berlaku, dia akan
lebih berhati-hati dengan setiap lelaki yang cuba mendampingi adiknya. Cukuplah
kepercayaannya dulu dikhianati oleh Fahmi. Kawan baiknya sendiri.
“Iqbal, aku nak bertanggungjawab atas apa yang aku dah buat pada
adik kau dulu. Aku tahu, aku dah musnahkan hidup orang tak bersalah. Dan aku
rasa… Tu aje cara terbaik yang aku boleh buat untuk tebus semua dosa-dosa aku
pada Iman. Aku nak kahwin dengan dia Iqbal.” Tutur Iman Faliq yakin. Memang itulah
tujuan utama yang ingin disuarakan jika bertemu dengan lelaki itu.
Aiman Iqbal merengus kasar. “Kau sedar tak apa yang kau cakap
sekarang ni? Apa yang kau nak buat, akan libatkan masa depan adik aku. Kau
ingat dengan tebus dosa-dosa kau tu, kau boleh bagi balik apa yang dah hilang
dalam hidup adik aku tu? Semuanya takkan dapat ubah apa-apa pun Faliq. Dan kau
jangan ingat aku senang-senang nak izinkan orang macam kau jadi suami adik aku.
Entah-entah dah berapa banyak perempuan yang jadi mangsa kau, lepas tu
senang-senang kau nak kahwin dengan adik aku. Esok lusa kalau ada perempuan
lain yang tuntut benda yang sama pada kau, apa yang jadi dengan adik aku? Kau
nak madukan dia?” Tebak Aiman Iqbal yang masih cuba mengawal perasaan. Sengaja
ingin menduga kesungguhan Iman Faliq. Dia sudah menggengam kuat tangannya yang
kini ringan mahu dilayangkan ke wajah lelaki di hadapannya itu. Biar puas
hatinya.
“Sumpah demi Allah, Iqbal. Aku tak pernah tidur dengan mana-mana
perempuan selain Iman. Itu kali pertama dan yang terakhir aku pernah buat. Itu jugak benda paling bodoh yang pernah aku
buat seumur hidup aku sampai papa aku meninggal. Aku menyesal dengan apa yang
aku dah buat pada Iman. Aku sendiri terseksa dengan apa yang aku dah buat
sebelum ni…” Akui Iman Faliq lirih. Saat itu terlayar wajah arwah papanya yang
sedang tersenyum di hadapan mata. ‘Restuilah Iman pa…’ Rintih hatinya yang
paling dalam.
“Faliq, kau jangan nak berani bersumpah dengan nama Allah. Takkan
tenang hidup kau kalau kau sendiri yang langgar sumpah tu.” Ujar Aiman Iqbal
tidak setegang tadi. Sedikit sebanyak dia tersentuh dengan pengakuan lelaki itu.
Ema juga ada bercerita kepadanya apa yang telah berlaku ke atas keluarga Iman
Faliq sebelum ini. Kematian Datuk Amin berpunca dari serangan jantung selepas
Iman Faliq sendiri telah mengakui kesilapan yang dilakukan.
“Aku sedia untuk terima apa jua hukuman dari Dia kalau itu yang Dia
dah tetapkan untuk aku. Cuma, aku harap kau bagilah aku peluang untuk tebus
semua dosa aku pada Iman. Aku janji Iqbal. Aku janji akan jaga dia baik-baik. Kau
bagilah aku peluang untuk bertanggungjawab pada Iman. Lagipun, inilah
satu-satunya amanah papa aku sebelum dia meninggal. Bagilah aku peluang Iqbal…
Aku tahu Iman jadi macam tu, semua sebab aku. Dan aku rasa, ini ajelah jalan
yang terbaik untuk dia. Aku tak nak rasa bersalah seumur hidup aku sebab Iman
tak dapat teruskan hidup macam perempuan lain. Aku nak dia pun dapat hak yang
sama Iqbal. Kau bagilah aku peluang…” Rayu Iman Faliq panjang dalam nada yang
sama. Sebak hatinya apabila teringat pada arwah papanya yang kecewa dengan apa
yang telah dilakukan.
Aiman Iqbal mengeluh perlahan. Tidak tahu apa yang harus diputuskan
kerana ianya juga terpulang kepada diri adiknya sendiri. Keputusan sebenar
bukanlah di tangannya seorang. Pada masa yang sama dia tidak mahu dengan
keputusan yang bakal dibuat nanti akan menambah kepedihan di hati Nur Imanina
yang sudah sedia terluka itu.
“Abang… Kita bagilah peluang pada Faliq…” Celah Zulaikha yang
tiba-tiba muncul. Kedua-duanya berpaling.
“Keputusan bukan atas tangan abang sorang Zu…” Sahut Aiman Iqbal perlahan kepada isterinya yang sudah
berdiri di sisi. Sesekali terdengar keluhan halus terlepas dari bibir Iman
Faliq yang menunduk hadapannya.
“Abang… Restulah Faliq untuk kahwin dengan Iman. Mungkin dengan cara
ni kita boleh tolong Iman bang… Sampai bila kita nak tengok dia macam tu? Zu
rasa, abang pun tahu perangai Iman macam mana. Dia takkan terima mana-mana
lelaki lepas apa yang dah jadi. Kepercayaan Iman mungkin dah takda pada lelaki
bang. Tapi, tak salahkan kalau kita bagi peluang pada Faliq untuk cuba. Manalah
tahu kalau dia dah kahwin dengan Faliq nanti, semua akan jadi lagi baik.” Pujuk
Zulaikha lembut sambil menyentuh bahu suaminya.
“Abang takut nak ambik
risiko tu Zu… Abang tak boleh nak buat keputusan sendiri. Semua terpulang pada
Iman…” Balas Aiman Iqbal sebelum meraup wajahnya beberapa kali. Kusut
memikirkan masalah adiknya.
“Iqbal, aku perlukan keizinan kau aje Iqbal. Kalau pun Iman tak
boleh nak terima aku, aku akan usaha sendiri sampai dia dapat terima aku.”
Celah Iman Faliq yang begitu berharap.
Terlepas lagi keluhan berat dari bibir Aiman Iqbal. Masih ragu-ragu
dengan apa yang dinyatakan oleh Iman Faliq.
“Abang… Kita cuba. Selebihnya kita tawakkal.” Pujuk Zulaikha tanpa
jemu. Dia sendiri inginkan yang terbaik buat adik iparnya.
“Faliq… Aku nak kau janji dengan aku… Kau akan jaga adik aku
baik-baik. Dia satu-satunya keluarga yang aku ada. Satu-satunya adik yang aku
sayang. Aku pun nak dia hidup bahagia macam orang lain. Kau faham kan…” Ujar
Aiman Iqbal lebih tenang. Dia memandang ke dalam mata Iman Faliq yang mula
berkaca-kaca.
“Iqbal… Terima kasih…” Ucap Iman Faliq sayu lantas memeluk Aiman
Iqbal yang berdiri di hadapannya. Terasa sejuk hatinya saat keizinan itu
dilafaz oleh Aiman Iqbal. Ketenangan yang tidak tergambar. Syukur
Alhamdulillah… Doanya dimakmulkan tuhan. Kini terpulang pada dirinya untuk
meyakinkan Nur Imanina pula.
Aiman Iqbal menepuk perlahan bahu Iman Faliq beberapa kali. Dia
sendiri terasa sebak apabila melihat keadaan Iman Faliq yang begitu emosi. Kini
dia sendiri cuba meyakinkan diri untuk bergantung harap kepada Iman Faliq agar
dapat memberi kebahagiaan kepada adiknya kelak.
“Faliq… Pergilah jumpa Iman. Bincang dengan dia elok-elok. Akak
dengan abang akan sentiasa sokong Faliq. Faliq buatlah yang terbaik. Jangan
sia-siakan peluang yang abang dah bagi pada Faliq. Akak dengan abang akan cuba
mana yang termampu untuk tolong Faliq.” Ujar Zulaikha pula yang turut berkongsi
rasa yang sama.
“Terima kasih Kak Zu.” Tutur Iman Faliq selepas meleraikan pelukan.
Diseka hujung mata yang hampir menitiskan air jernih atas kesudian Aiman Iqbal
memberinya peluang untuk menebus semua kesalahannya kepada Nur Imanina. Gembira
tidak terucap kerana apa yang diharapkan mula menemui sinar. Allah sudah
membuka jalan untuknya.
**********
Puas dia menukar
posisi tubuh untuk melelapkan mata. Tapi matanya masih tetap berdegil. Malah
bertambah segar. Dia mengiring pula menghadap Zarif Aimin yang lena di sisinya.
Dikucup perlahan ubun-ubun si kecil itu. Zarif Aimin meragam sejak pulang dari
kampung Nur Imanina lewat petang tadi. Mudah sahaja menangis apabila diusik hingga
adik dan mamanya bising apabila dia sengaja membuatkan anak saudaranya itu
menangis. Dan kini dia terpaksa tidur di bilik Zarif Aimin. Si kecil itu yang
beriya inginkan dia tidur di situ.
Sepanjang perjalanan pulang Zarif Aimin menangis apabila dia
melarang dari bermalam di kampung Nur Imanina. Puas dia memujuk untuk diajak
pulang tadi. Mujur Nur Imanina ada. Selepas perbualan agak tegang, gadis itu
tidak lagi kelihatan. Dia faham kenapa Nur Imanina mengelakkan diri
daripadanya. Mungkin selepas terdengar Zarif Aimin menangis, baru gadis itu
menunjukkan diri. Nur Imanina yang memujuk hingga masuk ke dalam kereta.
Teringat lagi wajah dingin gadis itu apabila setiap kali mata mereka bertemu.
Hanya kerana Zarif Aimin, wajah itu langsung berubah lembut. Persis seorang
ibu. Fahamlah kini kenapa naluri keibuan begitu jelas di dalam diri Nur
Imanina.
“Zarif kan good boy… Good
boy dia tak menangis tau. Lupa ya mama cakap apa dengan Zarif? Good boy mesti
selalu dengar cakap papa dia.” Pujuk Nur Imanina lembut yang sudah duduk di
sisi si kecil di tepi tangga. Si kecil itu mengeraskan diri apabila Iman Faliq
ingin mengajaknya pulang.
“Zarif tak nak balik… Zarif
nak tidur sini mama…” Rengek si kecil itu yang sudah berairmata.
“Mana boleh macam tu. Kan
papa kata tak boleh tadi. Maknanya tak bolehlah. Zarif kenalah dengar cakap
Papa Iman… Tak boleh macam ni.. Mama dengan daddy Zarif dekat rumah tak tahu
Zarif tidur sini kan… Nanti mama dengan daddy mesti marah…” Pujuk gadis itu
lagi cuba mencipta alasan.
“Tak nak… Zarif nak tidur
sinilah mama…” Kata si kecil itu tetap berdegil. Lencun wajah kecil itu
dibasahi air mata.
“Zarif anak mama yang baik
kan… Zarif dengarlah cakap mama ni. Kesian Papa Iman balik sorang-sorang. Kan
tadi dia datang dengan Zarif. Nek Wan mesti tunggu Zarif dekat rumah. Tadi
Zarif kata nak bawak buah rambutan bagi Nek Wan dengan Nek Som. Kesian Nek Wan
dengan Nek Som tunggu Zarif nanti…” Sengaja Nur Imanina melirihkan suaranya
demi meraih perhatian si kecil.
“Tak nak mama…” Itu sahaja
yang diucap berulang kali dalam sedu tangisnya.
“Kalau macam tu, Mama Iman tak naklah friend
dengan Zarif lagi. Mama tak suka friend dengan orang yang tak suka dengar cakap
papa dengan mama dia. Mama dah tak nak love Zarif lagi.” Ugut Nur Imanina pula.
Semakin kuat si kecil itu
menangis apabila Nur Imanina mula berdiri berkira-kira ingin meninggalkannya.
Namun cepat-cepat si kecil itu memeluk tubuh Nur Imanina.
“Mama… I love you mama. I
want to be your friend mama. I love you. Zarif love mama…” Ucap si kecil dalam
esak tangisnya. Kejap dia memeluk tubuh Nur Imanina seperti tidak mahu
dilepaskan lagi.
Nur Imanina membalas
pelukan itu berserta senyuman yang mula bergayutan di bibir. Dia tahu umpannya
sudah mengena. Terus didukung tubuh si kecil itu dan dibawa menghampiri kereta.
Saat mata mereka bertemu, cepat sahaja dia melarikan matanya. Tubuh kecil Zarif
Aimin terus diletakkan di sebelah tempat duduk pemandu.
“Mama…” Rengek si kecil itu
setelah Nur Imanina meletakkannya.
“Mama sayang Zarif. Mama
love Zarif…” Kata Nur Imanina sambil menyapu lembut air mata yang membasahi
wajah si kecil itu dengan tapak tangannya. “Anak mama ni kan good boy. Tak
naklah nangis-nangis macam ni. Lain kali kan Zarif boleh tidur sini. Boleh ajak
Nek Wan sekali tidur dekat sini.” Pujuk Nur Imanina lembut penuh kasih. Tidak
sampai hati melihat wajah si kecil itu berair mata. “Sudah tu. Jangan
nangis-nangis lagi. Tak handsome nanti. Isnin nanti kita jumpa dekat sekolah okey…
Mama love Zarif…” Lanjutnya sambil menghadiahkan kucupan di kedua-dua belah
pipi mungil itu sebelum menutup pintu kereta.
“Jangan nak marah-marah pulak
budak tu.” Ujar Nur Imanina mendatar kepada Iman Faliq sebelum berlalu.
Terngiang-ngiang lagi sebaris ayat itu menyapa gegendang telinganya
sebelum dia pulang petang tadi. Jelas kedinginan pada setiap patah perkataan
yang diucapkan kepadanya. Dia sudah bersedia untuk menerima apa jua layanan Nur
Imanina kepadanya. Restu kini sudah dimiliki. Hanya usaha untuk meraih
kepercayaan Nur Imanina sahaja yang perlu dilakukan sehabis baik agar
harapannya untuk menebus segala dosa yang pernah dilakukan dahulu terlaksana.
Dia akan cuba sedaya upaya untuk membahagiakan gadis itu seperti mana gadis lain.
Nur Imanina berhak memilikinya. Dan dia sendiri akan cuba menyintai wanita itu
sepenuh hatinya.
Pandangannya dibuang pula menghadap ke siling yang dihiasi glow in the dark berbentuk bulan dan
bintang. Bibir mengukir senyum tanpa sedar. Terasa lapang hatinya saat itu.
Berkobar-kobar semangatnya untuk meraih kemaafan dan kepercayaan Nur Imanina
selepas ini. Dia yakin, Allah akan sentiasa membantu hambaN-ya dalam apa sahaja
keadaan sekalipun. Dia yakin itu.
**********
“Iman…” Tegur
Zulaikha di muka pintu bilik.
“Kak…” Sahut Nur Imanina berserta senyuman tawar. Dia memberi
sedikit ruang untuk Zulaikha duduk di sisinya.
“Iman okey ke?” Dia perasan sejak kepulangan Iman Faliq, adik
iparnya itu lebih banyak mendiamkan diri.
“Okey..” Jawab Nur Imanina sepatah. Dia cuba menyembunyikan rasa
tidak senang di hati setalah apa yang berlaku di antara dia dan abangnya petang
tadi.
“Kalau okey kenapa tak turun makan? Tadi Ayah Nan dengan Mak Ita pun
tanya kenapa Iman tak turun makan. Penat Mak Ita masak favorite food Iman tau.”
Ujar Zulaikha lagi.
Nur Imanina hanya mendiamkan diri. Majalah yang terletak di meja
kecil sisi katil dicapai. Dia cukup yakin yang kakak iparnya itu tahu kenapa
dia bereaksi sedemikian.
“Dah lewat ni kak, kenapa tak tidur lagi?” Soal Nur Imanina lambat
sekali gus menukar topik perbualan mereka. Tidak mahu hal tadi dipersoalkan
lagi.
“Akak tadi haus. Lalu depan pintu bilik Iman, nampak terang. Tu yang
akak masuk.” Jawab Zulaikha sambil tersenyum penuh makna. “Erm.. Iman.. Akak
nak cakap sikit fasal Faliq. Boleh?” Ujar Zulaikha lembut cuba memujuk hati
yang keras itu.
Nur Imanina memandang ke wajah Zulaikha dengan kerutan di dahi
sebelum matanya mencerun memandang majalah yang sedang dipegang. Apa yang
dibaca sedikit pun tidak singgah ke dalam kepalanya.
“Apa yang akak nak cakap fasal Faliq?” Soal Nur Imanina sedikit
dingin dengan hati yang mula berbuku marah. Helaian majalah diselak kasar.
Zulaikha mengukir senyum. Faham keadaan Nur Imanina saat itu. Jelas
benar ketidaksenangan di hati wanita itu apabila nama Iman Faliq meniti
bibirnya.
“Akak tahu Iman tak suka bila akak sebut nama Faliq… Tapi akak nak
Iman tahu yang Faliq betul-betul nak bertanggungjawab atas diri Iman. Sampai
bila Iman nak macam ni… Abang dengan kakak tak boleh selalu nak jaga Iman. Ayah
Nan dengan Mak Ita pun tak boleh nak tengokkan Iman selalu. Kan bagus kalau ada
orang yang boleh jaga Iman nanti. Yang boleh jaga makan pakai Iman… Yang boleh
lindungi Iman…”
“Lindungi Iman? Faliq nak lindungi Iman?” Pintas Nur Imanina seraya
tersenyum sinis. Sengaja ditekankan perkataan lindungi. Rasa meluat pula
apabila ianya dikaitkan dengan Iman Faliq.
“Kenapa tidak? Faliq mampu nak buat semua tu untuk Iman.” Tambah
Zulaikha masih cuba memujuk.
“Akak pasti ke?” Soal Nur Imanina dengan nada cukup sinis. Semakin
tidak tenteram hatinya apabila satu
persatu ahli keluarganya mula menyebelahi Iman Faliq.
“Akak yakin Faliq mampu buat kalau Iman sendiri bagi peluang pada
dia untuk buktikan semuanya.” Tutur Zulaikha cukup yakin.
“Huh! Jangan haraplah kak. Kalau dia mampu, dia takkan buat Iman
macam ni. Dia boleh fikir mana buruk mana baik. Boleh beza mana dosa, mana
pahala. Dia boleh fikir sebelum buat. Tapi dia tak… Nama aje belajar tinggi,
otak entah letak dekat mana.” Bidas Nur Imanina geram apabila wajah tenang itu
muncul lagi di ruang matanya.
“Manusia boleh berubah Iman. Tak kiralah orang tu belajar tinggi ke
tak. Semuanya bergantung kepada iman kita sendiri. Pak Imam pun boleh kalah
dengan godaan nafsunya sendiri kalau iman dia tak kuat. Kalau dulu Faliq memang
jahil untuk nilai tu semua, tapi hari ni… Dia dah sedar apa yang dia buat dulu tu
salah. Dan sekarang ni dia bersedia nak bertanggungjawab pada diri Iman. Kalau
dia tetap Iman Faliq yang dulu, dia tak datang cari Iman sekarang ni tau. Dia takkan merayu pada abang Iman
untuk dapatkan restu.” Terang Zulaikha panjang lebar. Dia akan cuba sedaya
upaya meyakinkan Nur Imanina bahawa keputusan suaminya itu adalah tepat.
“Tapi Iman tetap tak nak kak! Biarlah apa pun nak jadi, Iman takkan
kahwin dengan dia. Bukan dia aje… Dengan sesiapa pun!” Jawab Nur Imanina dingin
sambil merebahkan tubuhnya. Selimut ditarik kasar menutupi seluruh tubuh tanda
dia mahu menamatkan perbualan. Bergumpal rasa marah dalam hatinya masih tidak
lagi reda apabila menyebut nama lelaki itu.
Zulaikha mengeluh berat. Agak kecewa dengan kekerasan dan kedegilan Nur
Imanina. Dia tahu tidak semua wanita dapat menerima keadaan yang dialami oleh
Nur Imanina. Dinodai oleh lelaki yang tidak dikenali. Pada masa yang sama
kehilangan kasih sayang ibu bapa. Kemudian mengandungkan zuriat tidak sah
taraf. Malah zuriat yang dikandung pula pergi meninggalkannya. Dicerca dan
dihina oleh orang sekeliling. Bukan itu sahaja. Cita-cita yang ingin dicapai,
tidak kesampaian. Punah segala-galanya.
“Iman fikirlah baik-baik. Peluang takkan datang dua kali Iman. Akak
nak Iman tahu, manusia yang paling teruk dalam dunia adalah manusia yang paling
gagal tanpa ada sebarang percubaan yang dia buat. Lebih baik kita rasa gagal
lepas mencuba daripada kita rasa gagal tanpa mencuba sekalipun. Lagi satu… Abang
Iman buat macam tu sebab dia nak adik dia hidup bahagia macam orang lain. Takda
mak ayah yang sanggup tengok anaknya hidup dalam keadaan tidak sempurna Iman.
Iman kena ingat. Semua orang sayangkan Iman. Semua tak nak tengok Iman hidup
dalam dunia Iman sendiri. Berdosa kita menolak fitrah yang Allah dah tetapkan
untuk kita…” Nasihat Zulaikah lembut berserta keluhan berat meniti bibirnya
lagi. Dia tahu adik iparnya itu dengar apa yang diucapkan.
Nur Imanina membatukan diri di dalam selimut.
“Buatlah keputusan yang terbaik untuk diri Iman. Cuma, akak dengan
abang tak nak Iman menyesal di kemudian hari..” Lanjut Zulaikha lagi sebelum bingkas.
Dalam hati dia tetap berharap agar apa yang diucapkan tadi sedikit sebanyak
akan mendapat tempat di dalam hati keras itu.
Nur Imanina mula menahan sebak. Air matanya mengalir tanpa dipaksa. Kini
dia berperang dengan perasaannya sendiri. Masih tidak pasti apa yang harus
dilakukan demi kebaikan dirinya kelak.
No comments:
Post a Comment