“Eh, Zarif tak
balik lagi? Tadi mama ingat Zarif dah balik.” Sapa Nur Imanina yang baru keluar
dari taska.
Dia sibuk mengemas di dalam kelas setelah murid-murid pulang tadi.
Tidak seperti kebiasaan, dia yang akan menanti ibu bapa di pintu pagar untuk
menjemput anak masing-masing. Hampir seminggu itu sahaja, sengaja dia tidak
berbuat demikian kerana tidak mahu bertemu dengan Iman Faliq yang akan
menjemput Zarif Aimin. Beberapa kali juga lelaki itu cuba bercakap dengannya.
Namun, dia yang sengaja mengelakkan diri.
“Semua orang takda..” Rungut si kecil itu dengan wajah yang masam
mencuka.
Nur Imanina membuang pandang ke sekitar seandainya ada murid lain
yang masih belum pulang. Tetapi jelas hanya Zarif Aimin keseorangan menanti di
situ.
“Pagi tadi siapa yang hantar?” Soal Nur Imanina lembut seraya
mendapatkan si kecil itu di bangku batu. Tidak pula dia perasan siapa yang
menghantar Zarif Aimin pagi tadi. Ketika si kecil itu tiba, dia leka berbual
dengan kakak iparnya yang menghantar Afifi.
“Papa…” Jawab si kecil itu sepatah.
“Erm… Kejap lagi sampailah papa tu. Agaknya dia busy sikit hari ni. Semalam papa yang ambik Zarif kan…” Balas Nur Imanina dalam nada yang sama.
Si kecil itu hanya menganggukkan kepala.
“Tanggalkan beg tu dulu.” Arah Nur Imanina sambil membantu si kecil
itu melurutkan beg sekolah yang sedia dipikul. Zarif Aimin menurut tanpa banyak
soal. “Jom kita masuk. Mama Iman buatkan Zarif air.” Tambahnya sebelum memimpin
tangan si kecil itu.
“Kak, akak nak balik bila? Kalau lambat, saya dengan Zura nak balik
dulu ikut Kak Ema.” Sapa Hanim yang baru keluar dari ruang dapur.
“Tunggu akak kejaplah… Akak pun nak balik ni. Tunggu Zarif ni balik
dulu, lepas tu kita baliklah sama-sama.” Jawab Nur Imanina sambil menuangkan
jus anggur yang diambil dari dalam peti sejuk.
“Zarif tak balik lagi? Erm… Bukan dalam seminggu ni Encik Iman yang
jemput ke?” Balas Hanim sambil mengemaskan susunan buku di rak berhampiran.
“Entah. Akak pun tak tahu. Lambat sikit agaknya hari ni..” Jawab Nur
Imanina ringkas. Malas dia mahu memikirkan soal Iman Faliq. Gelas dihulurkan
kepada si kecil.
“Eh, Zarif tak balik lagi?” Sapa Zura pula yang baru turun dari
bahagian atas taska.
Si kecil itu hanya memandang sekilas ke wajah Zura.
“Belum Zura. Akak tengah tunggu la ni.” Sahut Nur Imanina yang sudah
duduk di sisi si kecil itu.
“Kalau macam tu, Zura balik ikut Kak Ema ajelah kak. Kak Ema kata
nak singgah pasaraya sekejap. Bolehlah beli barang dapur yang dah habis dekat
rumah tu.” Ujar Zura sambil mencapai beg tangannya dari atas almari.
“Hanim pun nak ikutlah kak.” Celah Hanim pula.
“Ala… Kalau dah semua nak ikut, siapa nak temankan akak ni? Kan
nanti kita boleh pergi sama-sama. Temankanlah akak tunggu Zarif ni…” Balas Nur
Imanina tidak senang dengan kedua-dua teman serumahnya yang ingin pulang
dahulu.
“Ala… Tak pun, akak hantar ajelah Zarif ni balik rumah. Bukan akak
tak biasa kan.” Usul Zura pula sambil tersengih.
Nur Imanina mengerutkan dahi memandang ke wajah Zarif Aimin yang
terkelip-kelip membalas pandangannya. “Erm… Zarif… Masa papa hantar Zarif pagi
tadi, papa tak cakap ke siapa yang ambik
Zarif?” Soal Nur Imanina kepada si kecil itu.
Zarif Aimin hanya menggelengkan kepala.
Nur Imanina memandang pula ke wajah dua teman serumahnya bersilih
ganti sebelum keluhan halus dilepaskan. “Akak call Datin dululah…” Katanya sebelum bangun ke tepi tangga untuk
menghubungi Datin Farah.
Zura dan Hanim pula sudah berpandangan sesama sendiri sebelum bibir
masing-masing mengukir senyum penuh makna.
“Zura, Hanim… Jomlah. Kata nak ikut akak tadi.” Kata Ema yang muncul
dari tingkat atas.
Nur Imanina yang sedang mendail nombor telefon rumah Datin Farah,
terus meletakkan ganggang telefon ke tempat asalnya semula. Kepalanya diangkat
memandang ke wajah Ema.
“Kak, nantilah kejap. Tunggu Iman call Datin dulu. Lepas tu, kita balik sama-sama.” Ujar Nur Imanina
sebelum mendail semula nombor telefon rumah Datin Farah.
“Eh, akak lupa nak bagi tahu Iman. Pagi tadi Papa Iman Zarif pesan suruh
hantar ke rumah hari ni. Dia kata ada meeting
dekat luar. Tak sempat nak jemput Zarif.” Ujar Ema sambil mengukir senyum penuh
makna kepada kedua-dua teman serumah Nur Imanina.
“Ala… Iman baru ingat malas nak pergi rumah Datin Farah.” Keluh Nur
Imanina. “Akak ajelah yang hantar Zarif. Biar Iman belikan barang yang akak nak
beli tu.” Usul Nur Imanina pula sengaja mengelak dari pergi ke rumah Datin
Farah. Dia risau akan bertemu dengan Iman Faliq.
“Eh… Ada pulak macam tu.
Dia pesan suruh Iman yang hantar. Bukan akak…” Balas Ema yang sedia berdiri di
hadapan pintu. “Zarif, nanti Mama Iman yang hantar Zarif ya?” Sambung Ema
kepada Zarif Aimin pula.
“Okey teacher.” Balas si
kecil Zarif Aimin lemah. Jelas keletihan di wajahnya.
“Mama… Jomlah balik… Zarif penatlah mama…” Rengek Zarif Aimin yang
sudah memikul semula beg sekolahnya tadi.
“Iyalah iyalah…” Jawab Nur Imanina lambat sebelum mencapai beg
tangannya. Keluhan terlepas di bibirnya. Dia tidak punya pilihan lain. Dalam
hati sempat berdoa agar tidak dipertemukan dengan Iman Faliq sebaik tiba di
rumah itu nanti.
Semua beriringan keluar dari taska setelah memastikan segala suis
ditutup. Nur Imanina sudah membuat muka kelatnya. Berasa tidak senang dengan
apa yang dilakukan saat itu walaupun ianya bukan kali pertama. Entah kenapa
berat benar hatinya untuk ke rumah itu lagi selepas apa yang berlaku di antara
dia dan Iman Faliq. Dan dia yakin Datin Farah sudah sedia maklum akan masalah
mereka. Kini ada perasaan malu mula menerpa untuk berhadapan dengan wanita itu.
“Okeylah kak. Kita orang jalan dulu. Jumpa dekat rumah nanti. Kalau
akak ada apa-apa nak beli, call aje
Zura.” Pesan Zura sebelum masuk ke dalam kereta Ema.
“Iyalah…” Balas Nur Imanina malas. Kini perasaan risau mula
mengambil tempat di hatinya. Risau akan bertemu dengan Iman Faliq memandangkan
hari itu adalah hari Jumaat. Yakin Iman Faliq pulang untuk makan tengah hari.
Dia menoleh sekilas ke wajah Zarif Aimin yang sudah duduk di sebelah kirinya.
Terlepas lagi keluhan dari dua ulas bibirnya sebelum menghidupkan enjin kereta.
Sepanjang perjalanan dia hanya mendiamkan diri. Zarif Aimin pun
begitu juga. Tetapi, dia perasan si kecil itu asyik menoleh ke arahnya sahaja.
“Zarif kenapa pandang mama macam tu?” Soal Nur Imanina apabila dia
perasan hampir setiap lima minit si kecil itu akan menoleh kepadanya.
“Mama…” Gumam si kecil itu perlahan.
Nur Imanina menoleh sekilas. Menanti butir bicara si kecil itu.
“Mama tak love Zarif…”
Lanjut si kecil itu perlahan dengan wajah yang memuncung.
“Siapa kata mama tak love
Zarif?” Nur Imanina menyoal kembali berserta kerutan.
“Tu…” Jawab Zarif Aimin sambil memuncungkan mulut ke arahnya.
Nur Imanina mengerutkan dahi. Tidak faham apa yang cuba disampaikan
oleh si kecil itu.
“Apa yang tu?” Nur Imanina turut sama memuncungkan mulutnya ke arah
Zarif Aimin selepas berhenti di lampu isyarat merah.
“Mama..” Balas si kecil itu dengan wajah masam mencuka.
“Mama pulak? Kenapa dengan
mama?” Tanya Nur Imanina lagi. Masih tidak dapat menangkap maksud si kecil itu.
“Mama tak nak cakap dengan Zarif.” Jawab si kecil itu sambil
berpeluk tubuh. Semakin panjang dia memuncung.
Nur Imanina mengukir senyum. Si kecil itu perasan yang dia membisu
sejak tadi. Tangan kirinya mengusap perlahan kepala si kecil. “Kan mama cakap
dengan Zarif ni. Zarif tu yang tak nak cakap dengan mama. Senyap aje. Tak suka
ya mama hantar balik rumah?” Sengaja dia menduga.
Si kecil itu hanya menganggukkan kepala.
“Angguk tu… Suka ke, tak suka..?” Uji Nur Imanina lagi yang sembunyi
senyum melihat kelakuan Zarif Aimin.
“Suka mama…” Jawab si kecil itu perlahan sambil memandang ke wajah
Nur Imanina.
“Habis tu, kenapa Zarif diam aje?” Soal Nur Imanina cuba mengikut
rentak si kecil.
Zarif Aimin tidak menjawab.
“Zarif penat ya?” Teka Nur Imanina apabila melihat si kecil itu
sedikit tidak bermaya tidak seperti biasa. Katika di taska tadi pun si kecil
kurang menyertai rakan-rakannya yang lain bermain. Lebih banyak menghabiskan
masa sendiri. Hanya menjawab jika perlu. Sesekali juga dia perasan si kecil itu
terlelap seketika hingga Afifi yang mengejutkannya. Jika tidak, si kecil itulah
yang paling aktif di dalam kelas.
Sama seperti tadi. Anggukkan kepala sahaja sebagai jawapan. Nur
Imanina mengukir senyum. Malas lagi bersoal jawab dengan si kecil yang
kelihatan tidak bersemangat hari itu.
……………….
“Mak Som, Datin
ada?” Soal Nur Imanina berbasa-basi saat Mak Som membuka pintu pagar utama.
Padahal sudah jelas di hadapan mata kereta milik Datin Farah terparkir elok di
tempatnya.
“Ada dekat dalam. Iman masuklah dulu.” Jawab Mak Som mesra.
“Eh, takpalah Mak Som. Iman hantarkan Zarif aje…” Balas Nur Imanina
sambil membuka pintu kereta tempat duduk si kecil. Dilihat si kecil itu sudah
pun terlena. Pada masa yang sama, sempat pula matanya menjeling ke tempat letak
kereta. Dilihat kereta Iman Faliq tiada di tempatnya. Terasa sedikit lega
kerana yakin lelaki itu tiada di rumah.
“Ish, ada pulak macam tu.
Datin hari ni masak macam-macam. Dia kata Iman makan tengah hari sama-sama hari
ni. Lagipun, Iman dah lama tak datang sini kan…” Ujar Mak Som yang berdiri di
sisi kereta sambil menyambut beg sekolah si kecil yang dihulurkan.
“Er… Iman takda janji apa-apa pun dengan Datin hari ni Mak Som…”
Balas Nur Imanina dengan kerutan di dahi. Pelik dengan kata-kata wanita yang
lebih berumur daripada Datin Farah itu.
“Entahlah Iman. Tu yang Datin cakap dengan Mak Som masa pergi pasar
pagi tadi.” Balas Mak Som sambil memerhati Nur Imanina mendukung Zarif Aimin
sebelum melangkah masuk.
Nur Imanina mula berasa kurang senang. Tidak faham apa sebenarnya
yang akan berlaku. Memang dia sudah lama tidak menjejakkan kaki ke situ. Kali
terakhir ketika dia ingin memulangkan hadiah pemberian Iman Faliq. Hingga ke
hari ini dia masih menyimpan hadiah lelaki itu. Dan dia akan tetap memulangkan
hadiah tersebut, namun masih lagi tidak kesampaian. Untuk bertemu dengan Iman
Faliq, dia tidak punya lagi kekuatan. Dia pasti lelaki itu akan menagih
persetujuan untuk berkahwin dengannya.
Datin Farah sudah pun menanti di pintu utama. Tersenyum lebar wanita
itu apabila melihat Nur Imanina yang semakin menghampiri. Zarif Aimin dalam
pelukan sudah bertukar tangan. Mak Som yang membawa si kecil itu masuk dan Nur
Imanina hanya berhenti di muka pintu. Senyuman manis cuba dicorakkan sebelum
mengucup hormat tangan tua itu. Lama mereka tidak bertemu sejak dia bercuti
panjang.
“Datin sihat?” Sapa Nur Imanina mesra. Dia perasan mata wanita itu
sedikit berkaca-kaca memandangnya.
“Alhamdulillah Iman…” Jawab Datin Farah dalam getar suara. “Iman
sihat?” Soalnya pula.
“Alhamdulillah…” Jawab Nur Imanina sepatah.
“Er… Zarif tu kurang tidur agaknya semalam. Tu yang tertidur.” Ujar
Nur Imanina untuk menutup debar di dadanya apabila merasakan renungan Datin
Farah agak berlainan hari itu. “Er.. Datin, saya balik dulu ya…
Assalamualaikum.” Lanjut Nur Imanina apabila Datin Farah mendiamkan diri. Hanya
mata tua itu tidak lepas memandang ke arahnya. Selepas menyalami tangan tua
itu, dia terus mengorak langkah. Ingin segera berlalu kerana tidak mahu
bertembung pula dengan Iman Faliq.
“Im…Iman…” Panggil Datin Farah setelah beberpa langkah wanita itu
menjauhinya.
Nur Imanina berpaling semula. “Er.. Ada apa Datin?” Soal Nur Imanina
dengan kerutan di dahi. Pada masa yang sama matahari sudah tegak di atas
kepala. Terasa bahang tengah hari mengenai kulit.
Tanpa sebarang kata Datin Farah terus sahaja menghampiri Nur Imanina
lantas memeluk tubuh itu erat.
“Er…Datin…” Nur Imanina sedikit terpempan dengan tindakan drastik
Datin Farah.
“Maafkan anak mama…” Ucap Datin Farah yang sudah mengalirkan air
mata. Dia sedia maklum apa yang berlaku di antara Nur Imanina dan anaknya. Dia
tidak menyangka gadis yang selama ini bekerja dengannya merupakan mangsa
kejahilan anaknya sendiri beberapa tahun lalu. Gadis yang dicari selama ini
sebenarnya ada di hadapan mata. Alangkah indahnya percaturan Allah. Doanya
selama ini sudah diperkenankan.
“Er…Datin…” Nur Imanina meleraikan pelukan. Mula faham apa
sebenarnya yang berlaku hingga wanita itu beremosi sedemikian. Panggilan nama
yang sudah bertukar di bibir wanita itu mengundang debar lain di hatinya.
“Iman… Maafkanlah anak mama Iman… Dah lama dia cari Iman selama ni.
Mama tak sangka selama ni Iman yang…”
“Datin, benda tu dah lama jadi Datin. Saya reda apa yang Dia dah
tentukan untuk saya selama ni…” Celah Nur Imanina yang mula sebak sendiri.
Tidak tahu sama ada dia ikhlas atau tidak menuturkannya. Atau sebenarnya
sekadar menyedapkan hati wanita di hadapannya itu.
“Mama akan pastikan anak mama bertanggungjawab atas apa yang dia dah
buat pada Iman… Kalaulah anak mama dapat cari Iman dari awal, mesti Umar Raziq sekarang…”
Datin Farah tidak mampu meneruskan kata-kata apabila Nur Imanina sendiri
mendakapnya semula.
“Bukan salah Iman Faliq, Datin. Iman yang tak jaga diri Iman
baik-baik masa tu…. Iman cuai. Kalau bukan sebab Umar, Iman sekarang mesti
dah…” Tutur Nur Imanina yang mula menangis. Menyesali apa yang telah berlaku.
Bayi yang dikandung menemui ajal, belum sempat mengenali siapa ayah dan ibunya.
“Iman jangan cakap macam tu sayang…” Pujuk Datin Farah seraya
meleraikan pelukan. Tangannya menyapu lembut wajah Nur Imanina yang sudah
dibasahi air mata. “Dia nak bagi lagi peluang pada Iman untuk hidup bahagia…
Iman mulakanlah yang baru dengan anak mama ya…” Tambah Datin Farah setelah
gadis di hadapannya itu sedikit tenang.
Nur Imanina menyeka perlahan sisa air jernih di tubir mata. Hatinya
sedikit terusik dengan kata-kata Datin Farah. Semudah itukah dia boleh
memulakan hidup baru bersama orang yang telah memusnahkan masa depannya selama
ini? “Datin… Saya rasa, dah lama sangat saya dekat sini.. Saya balik dulu…” Tutur
Nur Imanina tiba-tiba seraya menarik semula tangannya yang digenggam kemas oleh
Datin Farah. Tidak mampu memberi sebarang jawapan pada saat itu.
“Iman…” Ucap satu suara menyebabkan dia dan Datin Farah menoleh ke
arah yang sama. Iman Faliq berdiri tidak jauh dari mereka.
Nur Imanina kaku
di tempatnya. Seraut wajah yang semakin kerap mengganggu ketenangan lena
malamnya meniti ruang mata. Semakin dia benci, semakin kerap wajah itu muncul
dalam mimpinya.
“Mama…” Muncul pula Zarif Aimin di muka pintu dengan mata yang
terpisat-pisat menyebabkan Nur Imanina segera melarikan bola mata.
“Err… Zarif dah bangun…” Tuturnya cuba membuang rasa debar yang
semakin rancak di dalam dada dengan kehadiran Iman Faliq. Dia yakin lelaki itu
menjadi penonton tidak rasmi babak air mata bersama Datin Farah sebentar tadi.
“Mama.. Zarif nak makan.” Kata si kecil itu sambil mendapatkan Nur
Imanina.
“Zarif makan dengan Nek Wan ya? Dah lewat ni. Mama kena balik
sayang…” Balas Nur Imanina lembut sambil mengusap wajah si kecil.
“Alah.. Mama makan dengan Zariflah..” Keluh si kecil itu dengan
wajah yang mula memuncung.
“Iman… Please… Saya ada
hal nak bincang dengan awak…” Sahut Iman Faliq pula yang kian menghampiri.
Sebak hatinya tadi apabila terdengar pengharapan mamanya sendiri. Mahu dia dan
Nur Imanina memulakan hidup baru bersama. Malah bertambah pilu apabila sebaris
nama meniti bibir kedua-dua wanita di hadapannya itu. Umar Raziq anak papa…
“Iman lunch dekat sini ya
hari ni…” Celah Datin Farah pula sambil menarik tangan Nur Imanina yang belum
sempat membalas kata-kata Iman Faliq. Dia cukup faham dengan maksud lirikan
mata anak lelakinya itu tadi.
“Er… Datin..” Tidak sempat dia menolak, tubuhnya sudah terdorong
sama mengikut langkah Datin Farah masuk ke dalam rumah. Terburu-buru dia menanggalkan
kasut sebelum melangkah masuk ke rumah mewah itu.
“Cucu Nek Wan ni pergi ikut Papa Iman di dulu okey? Lepas tu kita
makan sama. Nek Wan dengan Mama Iman nak siapkan makanan dulu..” Lanjut Datin
Farah kepada Zarif Aimin yang turut sama melangkah masuk ke dalam rumah. Tidak
mahu memberi peluang pada Nur Imanina untuk menolak.
“Okey Nek Wan!” Jawab si kecil Zarif Aimin yang cepat benar berubah
ceria. Dia terus mendapatkan Iman Faliq yang sudah sedia berdiri di kaki
tangga.
Dalam tidak mahu, Nur Imanina terpaksa menuruti langkah Datin Farah
masuk ke ruang dapur. Tidak tahu apa yang harus diucapkan lagi. Untuk menolak,
dirasakan kurang sopan pula apabila Datin Farah begitu beriya mempelawanya. Apa
yang tidak menyenangkan hatinya saat itu adalah dengan kehadiran Iman Faliq.
Seperti dapat menjangka apa yang akan mereka bincangkan sebentar nanti.
………………..
“Perkara apa yang awak nak bincang dengan saya.” Soal Nur Imanina
mendatar sebaik sahaja Iman Faliq duduk di hadapannya. Sedaya upaya dia cuba
mengawal perasaannya sendiri. Hatinya sedikit tenang setelah menunaikan solat
zuhur selepas makan tengah hari tadi. Bersedia untuk mendengar apa jua yang
akan diperkatakan oleh lelaki itu.
Ketika makan tengah hari tadi, Iman Faliq lebih banyak mendiamkan
diri. Hanya sesekali sahaja lelaki itu menutur kata. Itupun hanya bersama Zarif
Aimin. Begitu juga dengan Datin Farah. Pada awalnya dia menjangka mereka akan
duduk berbincang sejurus selepas makan. Namun, disebabkan waktu solat Jumaat
hampir tiba, dia terpaksa menanti sehingga lelaki itu pulang dari solat Jumaat
pula. Itupun setelah puas Datin Farah memujuknya. Ikutkan hati, dia ingin terus
sahaja pulang ke rumah. Tiada apa lagi yang harus dibincangkan kerana keputusan
sudah pun dibuat ketika lelaki itu bertemunya di kampung minggu lalu. Dia masih
ingat lagi apa yang diucapkan oleh Iman Faliq. Lelaki itu mahu mengahwininya
dengan apa cara sekalipun. Namun, kata-kata itu sedikit pun tidak berjaya
menggugat hatinya kerana hingga ke saat ini tiada satu pun tindakan yang diambil
oleh lelaki itu. Dia yakin Iman Faliq hanya menggertaknya sahaja.
“Macam yang pernah saya cakap dengan awak sebelum ni… Saya nak kita
kahwin.” Balas lelaki itu cukup tenang. Songkok dilurutkan dari atas kepala dan
diletakkan di meja kecil sisi sofa. Wajah mulus Nur Imanina yang duduk di
hadapannya saat itu direnung lembut. Cuba mencari sebarang kelemahan di wajah
itu agar mudah untuk dia tangani apa juga masalah yang akan menyebabkan
hasratnya tidak kesampaian.
Nur Imanina membuang pandang ke sisi. Tidak mampu menantang lama
renungan Iman Faliq yang dirasakan agak luar biasa hari itu. Keluhan halus
meniti bibirnya.“Kan saya dah cakap dengan awak hari tu. Rasanya tak perlu saya
nak ulang banyak kali.” Jawabnya sama tenang.
Pada waktu itu, sempat matanya singgah pada gambar-gambar yang
dijadikan hiasan dinding ruang tamu bahagian atas rumah itu. Sebelum ini dia
pernah melihat salah satu gambar Iman Faliq yang tergantung di situ. Namun,
letak gambar itu sudah pun ditukar dengan gambar lain. Gambar Zarif Aimin di
dalam pelukan. Seperti anak-beranak pada pandangan matanya.
“Kenapa awak degil sangat Iman… Salah ke kalau saya nak
bertanggungjawab atas diri awak?” Soal Iman Faliq yang turut sama mengawal
perasaannya saat itu agar tidak begitu keras dengan Nur Imanina.
“Takda siapa yang paksa awak buat macam tu kan? Saya pun tak pernah
paksa awak buat tu semua untuk saya.” Balas Nur Imanina masih dalam nada yang
sama.
“Iman… Awak sedar tak keadaan kita sekarang ni?” Soal Iman Faliq
dengan mata mula tajam menikam ke wajah gadis itu. Turun naik nafasnya cuba
mengawal perasaan geram yang mula terkepung. Berhadapan dengan Nur Imanina
sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Saya sedar keadaan saya. Dan saya harap awak pun sedar dengan
keadaan awak sekarang ni. Awak dah ada life
awak sendiri. Macam tu jugak saya.”
Balas Nur Imanina selamba. Sengaja tidak mahu ambil pusing dengan apa yang cuba
disampaikan oleh Iman Faliq. Padahal, dia cukup faham apa yang cuba disampaikan
oleh lelaki itu.
“Saya rasa awak dengar kan apa yang mama saya cakap pada awak tadi.
Dia nak kita mulakan hidup baru sama-sama Iman…” Ujar Iman Faliq mengendur
setelah meraup wajahnya beberapa kali. Sikap dingin Nur Imanina betul-betul
mencabar kesabarannya. Sebaik pulang dari masjid tadi, sempat mamanya titipkan
pesanan. Dia sendiri meletak harapan agar penghulu sekalian hari itu memberi
sedikit harapan kepadanya.
“Itu kata mama awak. Saya tak kata apa pun.” Jawab Nur Imanina
seperti tidak berperasaan. Sengaja dikeraskan hatinya saat itu. Tidak mahu
sewenang-wenangnya lemah di hadapan Iman Faliq.
“Iman! Sampai hati awak cakap macam tu? Awak tak nampak ke mama saya
mengharap sangat pada kita?” Tingkah Iman Faliq yang dengan kesabaran yang
sedikit terhakis. Tidak senang hatinya apabila Nur Imanina seakan-akan tidak
terusik pun dengan kata-kata mamanya tadi.
“Habis tu awak nak saya buat apa? Ikut semua kata-kata awak? Ikut
semua kata-kata mama awak? Kalau saya ikut semua kata awak, kata mama awak,
siapa yang nak ikut kata saya?” Bidas Nur Imanina dengan rengusan halus.
Bukan niat hatinya untuk memperkecilkan kata-kata Datin Farah tadi.
Dia tahu wanita itu ikhlas menerima kehadirannya. Malah separuh hatinya sudah
cukup tersentuh dengan apa yang diungkapkan. Cuma separuh hatinya lagi sahaja
masih gagal untuk membuat keputusan secepat itu. Dia tahu, orang di
sekelilingnya sentiasa menanti keputusan dari pihaknya sehingga abangnya kini
seperti berjauh hati sejak pulang dari kampung minggu lalu. Hanya kakak iparnya
sahaja yang masih tidak jemu memujuknya agar menerima kehadiran Iman Faliq.
“Iman.. Listen… Saya tahu
awak tak boleh terima saya. Tapi percayalah Iman. Awak bagilah peluang pada
saya… Saya sedia pikul tanggungjawab saya pada awak. Bagilah saya peluang untuk
tebus semua kesalahan saya dulu Iman... Please
Iman… Saya akan rasa bersalah seumur hidup saya kalau tengok awak teruskan
hidup macam ni. Saya tahu awak takkan terima mana-mana lelaki pun dalam hidup
awak. Tapi… Awak ada hak hidup bahagia macam orang lain Iman... Ada keluarga
sendiri… Anak-anak… Saya tahu.. Mana-mana perempuan pun akan berharap benda
yang sama… Percayalah Iman… Saya akan pastikan hidup awak lebih bermakna lepas
ni. Saya jugak yang akan pastikan
semua harapan awak tu jadi kenyataan…” Pujuk Iman Faliq panjang lebar.
Perkataan anak-anak yang disebut menggamit sebak. Ada sebaris nama bermain di
benaknya diiringi perasaan bersalah.
Nur Imanina menarik senyum sinis dengan perasaan yang bercampur baur
di dalam hati. Wajah dipalingkan ke sisi apabila terasa pelupuk matanya mula
hangat. Tidak dapat menafikan kata-kata penuh pengharapan itu sedikit sebanyak
telah mengusik hati wanitanya. Terutamanya apabila mendengar perkataan
anak-anak. Adakah lagi ruang untuk dia mempunyai zuriat setelah apa yang
berlaku? Memang selama ini dia sentiasa menafikan untuk hidup berkeluarga.
Namun, jauh di sudut hati… Hanya Dia sahaja yang tahu betapa menggebunya rasa
hati untuk mempunyai keluarga sendiri… Anak-anak yang lahir dari rahimnya
sendiri. Oleh sebab itu, kasihnya pada Zarif Aimin selama ini tidak pernah kurang.
Sehingga saat dia mengabaikan si kecil itu minggu lalu, dia sendiri menanggung
rindu tidak terperi.
“Iman…” Seru Iman Faliq lembut apabila melihat wanita di hadapannya
terus mendiamkan diri. Dia perasan sesekali jemari halus itu naik ke wajah
menyeka tubir mata.
“Bagi saya masa untuk fikir semua ni…” Putus Nur Imanina akhirnya
sebelum dia bingkas bangun. Dia berperang dengan perasaannya sendiri.
Iman Faliq menghela nafas berat. Tidak tahu apa lagi yang harus
diucapkan untuk meyakinkan dan melembutkan hati keras wanita di hadapannya itu.
Apa yang pasti, sebaris ayat yang terucap di bibir gadis itu sudah cukup
memberi sedikit sinar kepadanya. Dia akan memberi ruang pada gadis itu untuk
berfikir. Pada masa yang sama, dia akan cuba mencari jalan yang terbaik untuk
memastikan harapannya itu bukan sekadar harapan. Akan dipastikan harapannya itu
menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment