“Kak, janganlah
masam sangat muka tu. Dari tadi muka akak macam tu… Kita orang nak tegur pun
takut…” Ujar Zura yang duduk di sisi Nur Imanina yang tenang memandu.
“Habis tu, Zura nak akak buat muka macam mana? Memang dah macam ni
muka akak.” Balas Nur Imanina yang sedikit pun tidak berpaling ke sisinya.
“Ala… Sorry la kalau sebab
kita orang, akak terpaksa pergi rumah Datin…” Celah Hanim pula yang duduk di
belakang.
“Bukan sebab koranglah…” Balas
Nur Imanina dengan keluhan berat.
“Habis tu?” Soal Zura pula.
“Hm… Datin sendiri yang call
akak bila dia dapat tahu akak nak balik kampung hari ni…” Jawab Nur Imanina
perlahan. Dia tidak mampu mengelak apabila Datin Farah sendiri menjemputnya ke
majlis tahlil malam itu.
Zura dan Hanim sudah berpandangan antara satu sama lain beserta
senyuman penuh makna terukir di bibir.
“Tapi kan. Macam mana Datin tahu yang akak nak balik kampung?” Ujar
Nur Imanina sambil mengerling sekilas ke wajah Zura yang membuang pandang ke
luar tingkap. Kedua-duanya hanya mendiamkan diri. Tidak menjawab sepatah pun. Dia
memandang pula ke wajah Hanim melalui cermin pandang belakang. “Sudahlah korang… Jangan nak buat muka tak bersalah
dekat sini. Jangan ingat akak tak tahu. Kalau bukan dari mulut gatal korang, mesti Kak Ema. Dah takda orang
lain yang rajin mulut bagi tahu Datin.” Serkap Nur Imanina sambil menjeling ke
wajah kedua-duanya.
“Err… Akak pasti ke kita orang yang bagi tahu? Anak kesayangan akak
tu, akak ada bagi tahu dia jugak
kan?” Balas Zura yang puas mencari alasan yang sesuai. Dia tahu pasti Nur
Imanina akan mengesyakisnya dan Hanim.
Nur Imanina gigit bibir. Baru dia teringat yang Zarif Aimin begitu
beriya mengajaknya menghadiri kenduri tahlil di rumah itu semalam. Tetapi dia
ada memberi alasan untuk pulang ke kampung.
Semenjak perbincangan singkat di rumah banglo itu dua minggu lalu, dia
tidak lagi ternampak kelibat Iman Faliq menghantar dan menjemput Zarif Aimin seperti
biasa. Hanya kiriman kuntuman ros yang akan diterima setiap pagi. Tapi tidak
disertai dengan kad comel seperti sebelum ini. Dan setiap kali diterima, mesti
di hadapan Pak Hashim. Ingin dipulangkan semula, Pak Hashim kerap melarang dan
selalu berpesan kepadanya agar sentiasa menghargai pemberian orang.
Ada beberapa kali pula, si kecil itu menyerahkan bunga ros tersebut di
hadapan abangnya yang kebetulan menghantar anak saudaranya ke taska. Sejak itu,
dia cuba mengikhlaskan hati. Setiap hari bunga ros di biliknya akan bertukar
ganti. Cuma kini dia tidak dapat meneka apa yang cuba dilakukan oleh lelaki
itu.
“Kak… Terus senyap aje…” Tegur Zura tiba-tiba menyentakkan
lamunannya.
“Takda apalah..” Jawabnya malas. Mata tetap terhala ke tengah jalan.
Mereka sudah pun masuk ke kawasan perumahan elit. Tidak sampai lima minit lagi
mereka akan tiba ke destinasi yang dituju.
“Kak, kalau akak tak nak pergi, biar kita orang ajelah yang pergi.
Nanti kita orang boleh balik dengan Kak Ema.” Ujar Hanim yang faham keadaan dingin
Nur Imanina dengan anak majikannya.
“Kalau akak tak nak pergi, baik akak tak payah hantar korang kan?” Balas Nur Imanina sambil
mengukir senyum nipis. Dia tahu kedua-dua teman serumahnya itu bijak menilai
apa yang sedang berbuku di hatinya.
“Eh, kenapa tak ramai pun orang?” Soal Zura setelah Nur Imanina
memberhentikan kereta di kawasan berhampiran. Tidak terlalu hampir dengan pintu
pagar utama rumah Datin Farah.
“Kan awal lagi… Kenduri lepas maghrib…” Sahut Nur Imanina seraya
mematikan enjin kereta. Jam di pergelangan tangan dikerling sekilas. Hampir jam
6.30 petang. Berdebar hatinya saat membuka pintu kereta. Tidak tahu untuk bereaksi
apa jika bertemu dengan Iman Faliq nanti. Dia tahu lelaki itu sabar menanti
jawapan darinya.
Hanim dan Zura sudah pun mendahului. Hanya dia yang sengaja menyeret
lambat kedua-dua kakinya untuk melangkah masuk ke kawasan rumah besar itu. Jika
tidak kerana Datin Farah yang begitu beriya inginkan kehadirannya hari itu,
pasti kini dia sudah selamat tiba di kampung. Boleh juga dia bermanja dengan
ibu angkatnya.
Berkali-kali tangannya naik ke kepala memperkemaskan tudung yang
dipakai untuk membuang debar di hati yang semakin tidak menentu. Sesekali pula mata
terhala ke arah tubuhnya sendiri tidak kelihatan canggung di mata yang melihat.
Sebelum pergi tadi, berkali-kali dia menukar baju untuk memastikan pakaian yang
dipakai bersesuaian dengan majlis yang bakal berlangsung.
Dalam leka melayan perasaan sendiri, tidak sedar kelibat Hanim dan
Zura sudah pun hilang. Tinggallah dia berdiri tegak di pintu pagar yang sedia
terbuka luas. Mata dibuang ke tempat parkir kereta. Dia perasan semua kereta
telah diatur di luar rumah. Matanya meliar memandang khemah berlangsir putih yang
sudah siap terpasang dan beberapa orang pemuda sedang menyusun atur meja
kerusi. Tahu ianya akan menjadi ruang makan tetamu yang hadir nanti.
“Assalamualaikum…”
Sapa satu suara dari belakang membuatkan Nur Imanina mengurut dada
perlahan. Sedikit tersentak walaupun suara itu cukup lembut di pendengarannya.
“Terima kasih sebab sudi datang…”
Ucap suara itu lagi membuatkan dia tidak punya pilihan. Terpaksa dia
berpaling.
Iman Faliq melemparkan senyum manis. Lama dia memerhati Nur Imanina
sejak wanita itu tiba tadi. Dia yang baru balik dari kedai berhampiran sedikit
terkejut apabila melihat Kelisa warna merah jambu terparkir elok di belakang
kereta Pak Hashim. Hinggalah dia perasan susuk tubuh itu keluar dari kereta dan
kini berdiri betul-betul di hadapannya.
“Er… Mama awak jemput saya…” Tergagap Nur Imanina menjawab. Detak
jantungnya semakin tidak seirama apabila melihat senyuman yang terukir di bibir
lelaki itu. Secepat itu juga dia membuang pandang ke arah lain apabila
dirasakan renungan Iman Faliq tepat ke dalam matanya.
“Mama Iman!” Zarif Aimin yang tiba-tiba muncul di muka pintu terus
berlari mendapatkannya.
“Iman… Ajak Iman tu masuk. Dekat pukul 7 ni…” Terdengar pula suara
Datin Farah menyapa di muka pintu utama.
“Mama… Jom masuk…” Ajak si kecil itu pula selepas menyalami tangan
Nur Imanina. Tangan Nur Imanina terus ditarik agar menuruti langkahnya masuk ke
dalam rumah.
Nur Imanina hanya menurut. Dalam debar di dada, dia bersyukur kerana
tidak perlu berhadapan dengan Iman Faliq lebih lama. Dia takut andai lelaki itu
menuntut jawapan yang masih belum diputuskan.
Datin Farah terus memeluk erat tubuhnya dan menghadiahkan kucupan
hangat di dahi dan kedua-dua belah pipi membuatkan dia sedikit terpempan sebaik
dia menyalami tangan wanita itu. Sebak hatinya tiba-tiba. Hanya arwah ibu yang
melakukannya dahulu.
“Zarif, nanti ikut papa dengan daddy pergi masjid.” Ujar Datin Farah
kepada cucunya selepas meleraikan pelukan.
“Okey Nek Wan!” Balas Zarif Aimin ceria yang sudah lengkap dengan
baju melayu sedondon dengan baju melayu biru muda yang tersarung ditubuh Iman
Faliq.
Nur Imanina tidak berkata apa. Hanya matanya sempat singgah ke wajah
Iman Faliq sekilas yang memerhati sejak tadi. Masih bergayutan senyuman di
bibir lelaki itu. Dan dia baru perasan baju kurung yang dipakai untuk majlis malam
itu senada dengan warna baju yang tersarung di tubuh Iman Faliq dan si kecil
Zarif Aimin. Jika ada mata yang memandang ke arah mereka di luar tadi, mesti
akan tersalah anggap. Persis sebuah keluarga walaupun hakikatnya tidak.
“Iman… Zura dengan Hanim ada dekat atas tu. Tolong E’in siapkan goodie bag untuk tetamu nanti. Iman
pergilah naik.” Arah Datin Farah sebelum berlalu.
Belum pun sempat Nur Imanina menjawab, kelibat Datin Farah sudah pun
hilang di sebalik dinding batu. Terpinga-pinga dia sekejap yang sudah berdiri
berhampiran tangga. Matanya sempat singgah ke ruang tengah rumah yang sudah pun
siap tersedia untuk majlis tahlil yang bakal berlangsung sebentar sahaja lagi.
“Awak naiklah dulu…” Tegur Iman Faliq yang masih sama ada di situ.
Terlupa seketika kewujudan lelaki itu tadi. Dilihat Zarif Aimin pula sudah
berlari memanjat tangga.
Dia yang mula serba tidak kena, terpaksa menurut. Diseret juga kaki
untuk memanjat tangga tanpa membalas kata-kata Iman Faliq yang berdiri tidak jauh
darinya. Tidak tahu apa yang sedang bermain di hatinya saat itu. Apa yang
pasti, perasaan marah dan bencinya selama ini seperti tidak pernah wujud saat
wajah Iman Faliq singgah di ruang matanya tadi. Dia kini mula keliru dengan
perasaannya sendiri.
…………………..
Terasa tenang
saat alunan surah Yassin bergema di segenap ruang rumah banglo dua tingkat itu.
Tetamu lelaki dan perempuan masing-masing tekun mengalunkan ayat suci al-Quran
itu. Dalam ketenangan yang dirasai, ada rasa syahdu membelit hati. Namun bibir
tetap mengalun ayat suci hingga ke penghujung.
Sebaik sahaja ayat terakhir dibaca, wajah diangkat. Menoleh sekilas
ke Farihin Iman di sisinya yang sedikit keruh. Begitu juga dengan Datin Farah.
Wajah tua itu lebih-lebih lagi. Dia perasan Datin Farah sesekali menyeka hujung
mata sepanjang bacaan surah Yassin berlangsung menyebabkan dia turut menahan
sebak. Faham akan kesedihan yang dialami atas pemergian orang tersayang seperti
mana yang diceritakan oleh Ema. Dia turut bersimpati atas yang berlaku namun ia
tetap tidak memberi kesan pada hati. Pada pendapatnya, Iman Faliq masih lagi
bertuah kerana memiliki seorang ibu yang penyayang. Dia? Orang tuanya pergi
pada masa yang sama di saat peristiwa hitam menimpa dirinya. Dia terpaksa
melaluinya sendirian dan menumpang kasih orang.
“Kak…” Zura menyentuh perlahan pehanya membuatkan dia sedikit
tersentak. Terhenti lamunannya tadi. Tangan terus diangkat apabila perasaan
bacaan tahli telah bermula. Cukup lancar pada pendengarannya membuatkan bola
matanya nakal mencari si empunya suara.
“Akak, tu..” Sekali lagi Zura menegur seperti faham apa yang dicari.
Lurus pandangan matanya ke arah satu sudut. Terpempan dia seketika melihat
wajah yang sedang menunduk dan khusyuk membaca doa itu. Seperti tidak percaya
Iman Faliq yang mengetuai sendiri majlis tahlil tersebut. Tanpa sedar, ada air
jernih yang mula bertakung di tubir mata. Entah kenapa begitu tersentuh hatinya
melihat wajah Iman Faliq yang sedang memejam mata. Cukup tenang dan lancar
hingga dia tidak mampu lagi memandang. Wajah terus ditundukkan.
‘Ya Allah, berilah aku petunjuk…’ Doanya dalam hati. Memohon agar dia
mampu melakukan keputusan yang tepat. Air jernih yang kian memberat segera
diseka dari tertumpah.
………………..
“Dah buat
keputusan?” Soal Aiman Iqbal pada Nur Imanina yang menyandarkan tubuh di
keretanya. Sepanjang majlis berlangsung, dia perasan wajah dingin adiknya.
Nur Imanina menggelengkan kepala perlahan. Dari tadi matanya hanya
menunduk memandang hujung sandal yang dipakai. Niat hati bertemu dengan
abangnya di situ ingin bertanya tentang kakak iparnya. Tetapi lain pula yang
dipersoalkan oleh Aiman Iqbal. Sepatutnya dia dapat menjangka soalan yang akan
ditanya oleh lelaki itu.
“Sampai bila?” Aiman Iqbal menyoal lembut diiringi helaan berat. Dia
faham bukan mudah untuk berada di tempat adiknya itu.
“Adik tak tahu…” Balas Nur Imanina lambat berserta keluhan. Kepala
didongakkan pula ke langit. Cantik langit malam yang dihiasi ribuan bintang
ketika itu. Namun tidak pula secantik apa yang berbuku di hatinya.
“Abang tahu dik. Bukan senang kita nak terima orang yang dah musnahkan
hidup kita jadi pasangan hidup kan?” Aiman Iqbal cuba menyusun kata untuk
memujuk lagi adiknya itu.
Nur Imanina hanya mendiamkan diri.
“Tapi percayalah dik… Apa yang Faliq buat sekarang ni, untuk
kebaikan adik jugak.” Sambung Aiman
Iqbal berserta helaan panjang.
“Kenapa semua orang sekarang ni sokong dia? Kenapa dah tak sokong
adik?” Aju Nur Imanina sambil menoleh ke wajah abangnya. Rasa tidak puas
hatinya cuba diluahkan.
“Abang bukan nak sokong sesiapa. Cuma abang rasa apa yang Faliq cuba
buat, jalan yang terbaik untuk masa depan korang
bersama. Dia sendiri yang sedia nak bertanggungjawab pada adik. Kalau dia tak
buat macam ni, adik akan bahagia ke hidup sorang-sorang
macam ni? Sampai bila adik nak duduk sorang-sorang?
Abang tahu… Lepas apa yang dah jadi, adik takkan terima mana-mana lelaki lagi
dalam hidup adik.” Jawab Aiman Iqbal cuba meyakinkan.
Nur Imanina merengus halus. Dia tetap tidak berpuas hati dengan apa
yang diucapkan oleh abangnya saat itu.
“Abang rasa takda salahnya adik terima dia.” Aiman Iqbal tetap
meluahkan pendapatnya walaupun tahu Nur Imanina tidak bersetuju.
“Tak salah abang cakap? Abang sedar tak apa yang dia dah buat pada
adik dulu? Abang ingat adik boleh lupa macam tu aje?” Tingkah Nur Imanina mula
panas hati. Dia mula terasa ada unsur paksaan dari kata-kata abangnya.
Sekali lagi Aiman Iqbal melepaskan nafas berat. Semakin jelas
kedegilan Nur Imanina di matanya kini. Dia semakin buntu untuk memujuk hati
yang sedia keras itu. “Sekarang ni, cuba adik bagi tahu abang, atas sebab apa
adik nak tolak dia?” Cuba disabarkan hatinya saat itu.
Nur Imanina tidak membalas kerana dia tidak punya jawapan pada
soalan yang diajukan.
“Adik takda jawapan kan? So,
nak apa tunggu lagi? Adik tahu tak, dalam kes adik ni, memang sepatutnya dia
bertanggungjawab lepas apa yang dia dah buat. Sekarang ni dia dah bersedia.
Adik nak tunggu apa lagi?” Ujar Aiman Iqbal penuh sabar.
“Tunggu apa abang tanya..” Sahut Nur Imanina diiringi senyum tepi.
“Adik tak pernah tunggu dia bertanggungjawab pada diri adiklah bang.. Adik
boleh jaga diri sendiri. Selama ni pun, adik hidup sendiri.” Lanjutnya dengan
suara yang mula bergetar.
Aiman Iqbal meraup wajahnya sekali bersama helaan berat lagi. Rasa
tersindir dengan apa yang terucap di bibir Nur Imanina. Memang selama ini dia
sudah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang abang. “Adik.. Abang tahu
selama ni abang tak jadi abang yang baik pada adik. Tapi apa yang abang cuba
buat sekarang ni cuma nak pastikan hidup adik lepas ni lebih terjamin. Hidup
macam perempuan lain. Tu aje dik..” Lemah dia menuturkannya dengan harapan Nur
Imanina menimbang semula apa yang telah diucapkan.
“Susah abang.. Tak semudah tu adik boleh terima dia..” Balas Nur
Imanina dalam nada yang sama. Hatinya kini masih keliru dengan keputusan yang
harus dibuat. Tidak berani mengambil risiko walaupun separuh hatinya mula
meyakini kesungguhan Iman Faliq untuk mengahwininya. Yakin Iman Faliq mampu memikul
tanggungjawab sebagai seorang suami dan ketua keluarga dengan baik kelak. Namun
separuh lagi hatinya masih tetap tidak mampu menerima kehadiran lelaki itu.
Terutamanya apabila peristiwa lalu terimbau kembali.
“Abang Aiman!” Panggil satu suara menyebabkan kedua-duanya menoleh.
Nur Imanina segera menyeka air hangat yang bertakung di tubir mata.
Tidak mahu Iman Faliq melihatnya.
“Eh, Iman pun ada.. Ingat dah balik tadi.” Iman Faliq berbasa-basi
sebaik menghampiri. Kebetulan dia berdiri di pintu pagar untuk menghantar
tetamu yang pulang tadi. Dia perasan kelibat Aiman Iqbal dan Nur Imanina berbual
di situ.
“Er.. Abang, adik masuk dululah. Tadi Zura dengan Hanim pun dah ajak
balik…” Ujar Nur Imanina seraya mencapai tangan Aiman Iqbal dan dikucup hormat.
Sedikit pun tidak memandang ke wajah Iman Faliq.
Mula tidak senang apabila separuh hatinya mula memuji-muji keupayaan
lelaki itu. Dia berperang dengan perasaannya sendiri. “Abang nanti kirim salam
dengan Kak Zu.” Lanjutnya lagi.
“Inshaa Allah… Nanti drive
elok-elok.” Balas Aiman Iqbal sempat berpesan sebelum dia melangkah. Dia tahu
kenapa adiknya itu cepat benar ingin berlalu. Padahal soalannya tadi tidak
berjawab lagi. Melihat Nur Imanina yang terus melangkah, dia menepuk perlahan
bahu Iman Faliq yang berdiri di hadapannya berserta isyarat mata. Dia tahu Iman
Faliq ingin bertemu dengan adiknya. Masih ada masalah yang harus diselesaikan.
Iman Faliq melemparkan senyum nipis sebelum bersalaman dengan Aiman
Iqbal. Bersyukur kerana lelaki itu faham dengan keadaannya. Kemudian cepat dia
mengatur langkah mahu menyaingi Nur Imanina yang kian menjauh.
“Iman…” Iman Faliq cuba mempercepatkan langkah untuk menyaingi Nur
Imanina beberapa langkah di hadapannya. Mujur Aiman Iqbal memakir keretanya
agak jauh dari rumahnya. Sempat lagi untuk dia menyaingi langkah gadis itu.
Nur Imanina tidak pula berhenti sebaliknya memperlahankan langkahnya
tadi. Jika semakin jauh dia melangkah pun, tidak mungkin dia dapat mengelakkan
diri dari Iman Faliq kerana destinasi mereka masih tetap sama. “Saya belum ada
lagi jawapan untuk awak.” Ujarnya mendatar seaik lelaki itu di sisi. Terbau
haruman yang biasa singgah di deria baunya selama ini. Zarif Aimin miliki bauan
yang sama. Cukup menyenangkan.
“Takpa. Saya tunggu.” Balas Iman Faliq lembut. Otaknya saat itu
bekerja keras menyusun ayat agar dapat mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat
oleh Nur Imanina kerana dia tidak mahu mendengar jawapan ‘tidak’ dari bibir gadis
itu.
“Kenapa awak bagi saya bunga setiap hari?” Tanya Nur Imanina tidak
bernada saat mereka berhenti betul-betul hadapan pintu pagar. Matanya singgah
sebentar ke wajah Iman Faliq yang tidak lekang dengan senyuman sebelum dibuang
ke sisi. Kini kerap benar jantungnya hilang rentak apabila setiap kali wajah
tenang itu terlayar di ruang mata.
Iman Faliq melebarkan senyum. “Sebelum ni pun saya pernah hantar
bunga kan…” Jawabnya senang. Matanya tidak lepas memandang wajah mulus yang
mula serba tidak kena di hadapannya itu. “Kenapa awak tanya? Awak tak suka ya?
Kalau tak suka, nanti saya tak hantar lagi.” Sambungnya lagi. Sengaja menduga.
Terangkat keningnya sebelah memandang Nur Imanina yang membuang pandang ke
sebuah rumah bertentangan rumahnya.
“Er.. Tak..” Jawab Nur Imanina laju. Dia telan liur. Kesat! Laju
benar dua ulas bibirnya menjawab pertanyaan Iman Faliq. Wajah dipalingkan ke
sisi. Malu!
Iman Faliq tersenyum lebar melihat kekalutan Nur Imanina. Sedikit
sebanyak rancangannya untuk memujuk hati wanita itu hampir berjaya. Sekiranya
Nur Imanina menolak pemberiannya, pastinya setiap kuntum bunga yang diberi
sudah kembali ke tangannya semula. “Saya ikhlas nak jadikan awak isteri saya
Nur Imanina…” Ucapnya tulus rapat ke telinga Nur Imanina sehingga wanita itu
spontan berpaling.
Bertaut seketika mata mereka
sebelum terdengar suara orang berdeham beberapa kali. Iman Faliq segera
menjarakkan diri. “Er… Papa Ham..” Tergagap Iman Faliq apabila melihat sahabat
lama arwah papanya berdiri tidak jauh daripada mereka. Lelaki itu baru pulang
ke Malaysia beberapa hari lalu dan turut sama hadir ke majlis tahli arwah
papanya.
Nur Imanina pula melemparkan senyum kelat. Kebas wajahnya saat itu.
“Ni mesti Iman kan?” Tegur Datuk Hamzah dengan senyuman. Dia yakin
mata tuanya tidak salah menilai. Iman Faliq selalu bercerita tentang Nur
Imanina kepadanya.
“Er… Iya… Datuk..” Jawab Nur Imanina serba tidak kena. Lelaki itu
tadi dilihat berbual mesra dengan Datin Farah.
“Erm… Tak sangka Iman ni lagi cantik dari apa yang Iman selalu
cerita pada papa.” Puji Datuk Hamzah ikhlas. Kagum dengan pilihan Iman Faliq
untuk menjadikan Nur Imanina sebagai isteri. Cuma, tidak menyangka wajah mulus
itu sebenarnya telah menjadi mangsa kejahilan Iman Faliq dahulu.
Nur Imanina mengukir senyum paksa. Tidak mampu membalas. Apa yang
dirasakan saat itu hanyalah bahang di wajah yang tidak terkira. Tidak sanggup
membuang pandang ke arah Iman Faliq yang masih setia di sisinya.
“Tu la… Iman cakap, Papa Ham tak nak percaya…” Sahut Iman Faliq
sambil melirik ke wajah Nur Imanina. Merah padam wajah di sisinya itu.
“Er… Iman, Datuk, saya masuk dulu. Dah lewat ni. Kawan-kawan lain
dah tunggu nak balik…” Pinta Nur Imanina tiba-tiba yang semakin tidak selesa
berada di antara kedua-dua lelaki itu.
“Iman… Nantilah dulu. Papa tak puas lagi nak berkenalan dengan
Iman…” Balas Datuk Hamzah mematikan langkah Nur Imanina.
“Er… Saya kena balik dulu Datuk. Kawan-kawan saya dah lama tunggu…” Jawab
Nur Imanina sengaja beralasan begitu. Padahal kelibat dua sahabatnya itu pun masih
tidak kelihatan. Hanya pekerja katering sahaja yang sedang sibuk berkemas di
bawah khemah.
“Panggil aje papa, Iman… Iman Faliq dah macam anak papa sendiri.”
Balas Datuk Hamzah seraya menyangkutkan sebelah tangannya di bahu Iman Faliq. “Lagipun,
tak lama lagi kita akan jadi satu family
kan…” Sambungnya terus sambil tersenyum penuh makna kepada Iman Faliq.
“Lambat lagilah pa…” Sahut Iman Faliq perlahan apabila melihat wajah
Nur Imanina yang semakin memerah. Tidak sampai hati membiarkan wanita itu
berasa tidak selesa begitu.
Sekali lagi Nur Imanina mengukir senyum kelat. Jelas benar semua
yang ada di sekeliling mengharapkan penyatuan mereka. Adik Iman Faliq sendiri
mengharap dia bersatu dengan lelaki itu secepat mungkin.
“Er… Saya masuk dulu…” Pinta Nur Imanina seraya melangkah. Terdengar
namanya dipanggil Iman Faliq, tetapi sengaja dia buat tidak dengar. Pada masa
yang sama, dia turut terdengar Datuk Hamzah ketawa. Pastinya lelaki itu sedar
akan perubahan di wajahnya sebentar tadi.
Walaupun lelaki itu kelihatan mesra, namun dia masih belum bersedia
untuk berkenalan dengan Datuk Hamzah. Dia yakin Datuk Hamzah sudah mengetahui
keadaan dirinya yang sebenar. Status sahabat baik kepada arwah papa Iman Faliq,
dilihat bukanlah hanya sekadar sahabat. Malah lebih dari itu. Dia tahu lelaki
itu sudah dianggap seperti seorang ayah oleh Iman Faliq. Farihin Iman sendiri
dilihat amat mesra dengan Datuk Hamzah sebaik lelaki itu tiba tadi.
Nur Imanina melangkah ke dalam rumah untuk mencari kelibat kedua-dua
teman serumahnya. Dia ingin segera pulang. Risau seandainya berlamaan di situ,
semakin lembut pula hatinya untuk memberi kata putus kepada Iman Faliq. Dia
tahu lelaki itu berani untuk berbuat apa sahaja demi mendapatkan persetujuan
darinya. Hampir sahaja dia bersetuju dengan rancangan Iman Faliq tatkala
melihat lelaki itu cukup syahdu membacakan doa tahlil tadi.
No comments:
Post a Comment