DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

TIRAI DOSA KELMARIN - BAB 19



“Abang, ada hal penting ke sampai nak jumpa saya dekat luar ni? Saya ingat esok baru nak pergi office abang aje.” Ujar Iman Faliq sebaik melabuhkan duduk.
“Kebetulan aku ada kerja dekat area sini. Kau sibuk ke?” Soal Aiman Iqbal pula. Ikatan tali leher dileraikan. Terasa rimas tubuhnya saat itu walaupun restoren itu lengkap dengan penghawa dingin.
“Alhamdulillah. Sibuklah jugak bang… Erm, ada apa-apa yang penting abang nak bincang dengan saya ke?” Iman Faliq tidak senang melihat wajah Aiman Iqbal yang sedikit resah itu.
“Hm… Kau serius ke nak kahwin dengan adik aku tu?” Tutur Aiman Iqbal beserta keluhan halus.
“Kenapa abang tanya macam tu?” Iman Faliq mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan soalan yang diajukan.
Aiman Iqbal tidak jadi menjawab pertanyaan Iman Faliq apabila pelayan restoran menghampiri mereka untuk menghantar minuman yang dipesan tadi. “Aku rasa, baik kau cepat-cepatlah kahwin dengan Iman.” Balasnya lambat setelah pelayan restoren beredar dari meja mereka. Disisp perlahan jus tembikai yang baru sahaja tiba.
Iman Faliq berkerut dahi. Kini gilirannya pula meleraikan ikatan tali leher yang elok kemas di kolar baju kemejanya. Tidak senang dengan kata-kata Aiman Iqbal. “Abang tak percayakan saya ke?” Soal Iman Faliq dengan debar yang mula menjentik tangkai hati. Risau seandainya Aiman Iqbal menukar fikiran dan apa yang diharapkan selama ini hanya tinggal harapan. Dia tidak mahu itu terjadi.
“Bukan aku tak percayakan kau Faliq… Cuma…” Aiman Iqbal mematikan kata. Dia menyandarkan tubuh beserta keluhan berat meniti bibirnya.
“Cuma apa?” Iman Faliq tidak sabar menyoal. Menanti bait kata yang tergantung daripada bibir Aiman Iqbal. Dalam hati dia berdoa agar perkara yang akan disampaikan oleh Aiman Iqbal, baik belaka. Cuba diusir tanggapan-tanggapan negatif yang menerjah benaknya.
“Aku takut kau tak sempat kahwin dengan Iman…” Balas Aiman Iqbal berserta keluhan.
“Hah?” Hampir terhampur jus oren dari dalam mulutnya apabila mendengar kata-kata Aiman Iqbal. Tidak senang duduk jadinya.
“Tadi Mak Ita call aku. Dia kata tadi ada orang masuk merisik Iman.” Tutur Aiman Iqbal berserta keluhan. Ibu angkatnya itu terus memaklumkan kepadanya selepas rombongan merisik pulang.
What?” Membulat mata Iman Faliq. Mujur dia tidak terjerit di situ. Dia menyisip perlahan jus oren di hadapannya untuk menenangkan sedikit hatinya yang mula berubah rentak. Terasa sempit ruang dadanya saat itu.
Aiman Iqbal tersenyum kecil. Lucu melihat wajah Iman Faliq yang tiba-tiba berubah pucat. Tidak salah perhitungannya sebelum ini. Iman Faliq serius ingin bertanggungjawab ke atas adiknya. Melihatkan perubahan adiknya akhir-akhir ini, dia mula berlapang hati.
“Abang, boleh saya tahu siapa yang masuk merisik Iman?” Soal Iman Faliq dengan suara yang tertahan. Perasaan ingin tahu begitu membuak di hatinya.
“Fahmi…” Jawab Aiman Iqbal sepatah selepas mendiamkan diri sebentar.
“Fahmi?” Sebaris nama itu meniti bibir sebelum Iman Faliq melepaskan nafas berat. Dia semakin tidak senang duduk. Terasa seperti duduk atas bara api. Ingin saja dia memaksa Nur Imanina agar bernikah dengannya saat itu juga. Namun, dia masih lagi waras untuk berbuat perkara-perkara yang mungkin sahaja akan memusnahkan kepercayaan Nur Imanina yang baru saja terbina.
Berulang kali dia beristighfar dalam hati agar kembali tenang dan berfikir jalan yang terbaik supaya Nur Imanina tidak menjadi milik orang lain. Niat untuk bertanggungjawab ke atas diri gadis itu bukanlah semata-mata kerana tanggungjawab dari apa yang dilakukan sebelum ini. Tetapi, hatinya sendiri terusik sejak pertama kali bertemu semula dengan gadis itu ketika dia baru pulang dari mengerjakan umrah beberapa bulan lalu. Wajah mulus itu sudah mula mengambil tempat di hatinya tanpa dipaksa.
“Faliq, aku rasa ada baiknya kau cepat-cepat selesaikan semua benda ni sebelum Fahmi yang bertindak dulu. Buat masa ni, Ayah Nan dengan Mak Ita pun tak buat lagi apa-apa keputusan. Dia tanya pendapat aku dulu. Cuma aku rasa, kalau kau tak bertindak… Aku risau Mak Ita dengan Ayah Nan terima Fahmi tu. Sebab sebelum ni memang Fahmi pernah rapat dengan keluarga Ayah Nan, dengan keluarga aku. So, aku harap kau cepat-cepatlah bertindak. Buat apa yang patut.” Nasihat Aiman Iqbal panjang lebar.
“Habis tu, abang pun nak terima Fahmi ke?” Soal Iman Faliq terburu-buru. Gejolak hati tidak lagi dapat dibendung. Berita yang disampaikan oleh Aiman Iqbal benar-benar merunsingkan hatinya. Mana mungkin dia akan melepaskan Nur Imanina begitu sahaja walaupun masih jelas kedinginan wanita itu untuk menerima dirinya.
“Kau rasa?” Aiman Iqbal sengaja ingin menduga. Dia sembunyi senyum.
“Biar betul abang ni?” Balas Iman Faliq semakin kalut dengan perasaannya sendiri.
Aiman Iqbal melepaskan tawa kecil. “Faliq, kau jangan risaulah. Kalau aku nak terima dia, dari awal aku dah suruh Ayah Nan dengan Mak Ita say yes. Takdanya aku jumpa kau hari ni.” Balasnya dalam senyuman.
Iman Faliq tersenyum kelat. Malu dengan kekalutan sendiri.
“Kalau dulu memang aku percayakan Fahmi. Iman sendiri pernah rapat dengan Fahmi sebab dari kecik kita orang dah kenal. Cuma.. Lepas kes kau…” Ayatnya tidak jadi diteruskan. Sebak hatinya tiba-tiba apabila teringat kisah lalu. Sebolehnya, dia sendiri ingin melupakan peristiwa hitam yang berlaku. Malam di mana ibu bapanya juga kembali kepada maha Pencipta.
“Abang…” Seru Iman Faliq perlahan. Dia turut menyesali apa yang telah berlaku.
“Faliq, sekarang ni aku harap pada kau sorang aje yang boleh jaga Iman. Aku pun yakin yang Iman takkan terima Fahmi. Dia sendiri pernah percayakan Fahmi dulu. Tapi lepas apa yang jadi, Iman bukan Iman yang dulu. Pernah jugak sebelum ni Fahmi cuba pujuk Iman untuk kahwin dengan dia. Tapi Iman sendiri yang tolak. Dan aku rasa, memang kau yang sepatutnya bertanggungjawab pada Iman. Bukan Fahmi.” Luah Aiman Iqbal meletak harapan tinggi pada Iman Faliq.
Iman Faliq meraup wajahnya beserta keluhan. Terharu dengan apa terucap di bibir lelaki di hadapannya itu. Penuh pengharapan. Dia sendiri telah berjanji dengan dirinya sendiri untuk melakukan yang terbaik buat diri Nur Imanina. Dan akan memastikan Nur Imanina hidup bahagia di sampingnya nanti. “Abang, apa yang saya kena buat sekarang ni?” Soalnya perlahan. Buntu memikirkan cara terbaik untuk memiliki Nur Imanina sebelum segalanya musnah kerana Fahmi. Dia cukup yakin Fahmi akan melakukan apa sahaja untuk memiliki gadis itu. Masih segar lagi diingatan pada malam dia menodai Nur Imanina, Fahmi sendiri ada menyatakan hasrat hatinya untuk memiliki wanita itu.
“Faliq, aku sebenarnya tak boleh nak tolong apa. Semuanya bergantung pada keputusan Iman jugak. Cuma sekarang ni, aku dah serah sepenuhnya pada Ayah Nan dengan Mak Ita untuk buat keputusan. Tapi kau janganlah risau, aku yakin Iman takkan terima Fahmi. Aku pun dah cakap dengan Mak Ita jangan terima pinangan Fahmi tu.” Balas Aiman Iqbal tenang.
Iman Faliq menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya peluang masih menyebelahinya. Cuma dia risau Fahmi akan melakukan lebih dari apa yang dapat dijangkakan.
“Ada baiknya kau jumpa Iman, bincang hal ni elok-elok sebelum Fahmi buat apa-apa. Hujung minggu ni Iman nak balik kampung. Kau pergilah jumpa dia dekat sana. Lepas tu kau terus mintak izin Ayah Nan dengan Mak Ita sekali. Lagipun dia orang dah kenal kau kan. Aku rasa tak susah kau nak buat semua tu…” Tutur Aiman Iqbal lagi memberi cadangan.
“Hujung minggu ni? Ya Allah… Lusa saya dah kena pergi Penang. Tak tahu balik bila.” Keluh Iman Faliq dengan urusan kerja yang turut sama menuntut perhatiannya. “Erm… Abang, kalau saya terus hantar wakil datang merisik Iman hujung minggu ni boleh tak?” Usulnya apabila teringat akan Datuk Hamzah.
“Erm… Aku rasa elok jugak macam tu. Macam apa yang aku cakap tadi, semua keputusan aku dah serah pada Ayah Nan dengan Mak Ita. Hujung minggu ni pun aku tak dapat balik kampung. Esok dah kena pergi Johor sampai Ahad ni. Tu yang kena jugak jumpa kau hari ni.” Balas Aiman Iqbal senang. “Erm.. Kalau confirm kau nak hantar wakil, nanti aku boleh bagi tahu Ayah Nan dengan Mak Ita. Takdalah dia orang terkejut kalau wakil kau datang nanti.” Lanjutnya lagi.
“Erm.. Kalau dah macam tu kata abang, kira jadilah. Hal-hal lain, nanti saya discuss dengan mama.” Putus Iman Faliq akhirnya. Kini dia berharap agar segalanya akan berjalan dengan lebih lancar.
“Erm.. Iman macam mana?” Tanya Aiman Iqbal yang tidak mahu hak adiknya itu diketepikan walau apa pun rancangan yang akan mereka lakukan.
“Hal Iman, nanti saya akan cuba cakap dengan dia waktu terdekat ni. Abang doakanlah yang terbaik untuk kami… Inshaa Allah saya akan buat yang terbaik untuk Iman.” Tutur Iman Faliq lirih. Benar-benar berharap agar apa yang dilakukan sentiasa di bawah pelindungan dan keredaan Dia.
“Inshaa Allah Faliq. Aku dengan Zu, selalu doakan yang terbaik untuk kau dengan Iman. Aku pun harap sangat dia dapat terima kau.” Balas Aiman Iqbal dengan senyuman nipis.
“Terima kasih bang…” Ucap Iman Faliq seraya menghulurkan tangan.
Aiman Iqbal pula menyambut huluran tangan itu seraya bangun. Menepuk perlahan bahu Iman Faliq persis memberi semangat. “Buatlah yang terbaik Faliq. Inshaa Allah..” Ucap Aiman Iqbal ikhlas mendoakan yang terbaik untuk masa depan Aiman Faliq dengan adiknya. “Faliq, aku ada urusan lain lagi lepas ni. Apa-apa hal nanti, kau call aje aku. Mana yang aku boleh tolong, aku tolong nanti. Inshaa Allah..” Ujar Aiman Iqbal yang ingin meminta diri dahulu. Ada urusan lain yang menantinya.
“Inshaa Allah bang.. Terima kasih.” Balas Iman Faliq menarik senyuman lega. Bersyukur tidak terhingga kerana Allah permudahkan lagi jalan untuknya. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Aiman Iqbal yang mempercayai dan menyokong hasratnya untuk memperisterikan Nur Imanina.
“Faliq, bil air ni takpa kan kalau bakal adik ipar yang bayar untuk bakal abang iparnya..” Sempat Aiman Iqbal mengusik sebelum berlalu. Dia menampar perlahan bahu Iman Faliq. Bukan sengaja ingin mengambil kesempatan pada bakal adik iparnya yang berada itu. Tetapi dia yakin Iman Faliq akan melakukan apa sahaja demi meraih kepercayaan darinya untuk memiliki Nur Imanina.
“Takpa bang… Boleh.” Balas Iman Faliq dengan senyuman. Sedikit pun tidak terbeban untuk membayar harga dua gelas minuman. Apa yang diberitahu oleh lelaki itu jauh lebih mahal dari harga yang perlu dibayar.
*********
Entah kenapa sejak akhir-akhir itu hatinya terasa tenang melalui hari-hari yang mendatang. Sama tenang dengan angin pagi yang menyapu wajah kala itu. Kicau burung dan geseran daun yang disapa angin membawa irama cukup indah menjadi halwa telinga. Sama indah apa yang dirasakan saat itu di hatinya. Mata dipejam cuba menghayati. Tanpa sedar bibirnya menguntum senyuman paling manis yang telah lama tidak kelihatan.
Kelopak mata diangkat tatkala teringat cebisan ayat yang mengusik hatinya sejak akhir-akhir ini daripada Iman Faliq. Lelaki itu memang sabar mananti. Sungguhpun lelaki itu tidak pernah memaksa, namun setiap cebisan ayat yang dihantar sudah cukup memberi impak yang amat besar dalam hidupnya. Cara yang lebih halus itu juga sedikit sebanyak berjaya membuka pintu hatinya untuk menerima kehadiran insan bernama lelaki. Dan peluang itu hanyalah untuk Iman Faliq.
Tembok kebencian dan kemarahan yang pernah terbina kukuh selama ini, semakin terhakis. Mungkin tidak lama lagi akan musnah sama sekali hingga tidak meninggalkan kesan. Kerana lelaki itu juga dia mula mempertimbangkan semula baik buruk masa depannya nanti. Kerana Iman Faliq dia cuba membahagiakan hati ahli keluarga lain yang selama ini tidak henti memberi semangat dan dorongan.
Seperti sebelum ini juga, setiap hari dia menerima kuntuman ros merah daripada lelaki itu. Tetapi kali ini, kembali dengan cara mula-mula lelaki itu ingin mengenalinya. Jika dahulu disertakan dengan sekeping kad comel dan pantun dua kerat yang menggunakan nama Zarif Aimin. Tapi kali ini, kad comel bertulis cebisan ayat yang mampu menggetarkan hatinya. Semua cebisan ayat yang diberi, menyentuh hingga ke dasar hatinya yang paling dalam.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;…. Al-hujurat:49:12
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. An-nahl:16:126
Tanpa dipaksa, air jernih mula bertakung di tubir mata. Terpaksa ditelan kata-kata kakak iparnya sebelum ini. ‘Manusia boleh berubah!’ Hanya dia sahaja yang tidak mahu melihat dan menerima perubahan yang berlaku. Sengaja dikeraskan hatinya selama ini dengan tanggapan negatif kepada insan bernama lelaki yang telah memusnahkan masa depannya. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia membuat keputusan yang terbaik demi kebahagian dirinya dan orang yang sentiasa memberi sokongan kepadanya selama ini.
Pandangan mata dibuang ke sekitar pondok kayu yang dijaga baik oleh Ayah Nannya. Daun-daun kering sudah berlonggok tidak jauh dari pohon itu. Buah rambutan pula sudah kelihatan  jarang. Hanya tinggal sebiji dua di hujung-hujung pucuk yang tinggi. Di pondok itu jugalah tempat dia bermain waktu kecil dahulu bersama Ema dan abangnya. Tidak ketinggalan juga Fahmi. Lelaki yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri sanggup mengkhianati dirinya. Keluhan berat pula yang meniti bibir menggantikan senyuman manisnya tadi. Menunduk pandangan matanya melihat hujung selipar yang tersarung di kaki. Namun hanya seketika apabila terdengar derap kaki yang kian menghampiri.
“Apa abang buat dekat sini?” Soalnya dengan suara yang mendatar. Tidak mahu lagi berkasar walaupun lelaki itu pernah menyakiti hatinya. Dia akan cuba belajar menerima dan memaafkan orang yang pernah menyakitinya dahulu. Teringat pada keratan ayat Al-quran yang dihadiahkan oleh Iman Faliq kepadanya Jumaat lalu.
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Ali-Imran:3:134
Pandangan mata direndahkan semula. Tidak mahu bertatapan dengan Fahmi yang berdiri tidak jauh darinya.
“Nur sihat?” Fahmi tidak menjawab sebaliknya sengaja mencipta soalan lain untuk berbual panjang dengan gadis itu.
“Macam yang abang tangok…” Jawab Nur Imanina seadanya. Entah kenapa sukar benar dia menerima kembali kehadiran Fahmi dalam hidupnya seperti dahulu. Sukar mempercayai apa yang pernah dilakukan dulu semata-mata kerana duit. Kepercayaan dan kasih sayang yang diberi seperti abang kandungnya sendiri sebelum ini hilang sama sekali selepas apa yang berlaku.
“Erm… Makin cantik Nur sekarang…” Puji Fahmi cuba memancing perhatian gadis itu memandang ke arahnya.
“Takda apa yang berubah…” Balas Nur Imanina malas. Sedikit pun matanya tidak singgah ke wajah Fahmi.
“Nur macam mana sekarang? Kerja okey?” Tanya Fahmi lagi.
“Macam biasa aje.” Balas Nur Imanina dalam nada yang sama.
“Nur mesti benci dengan abang kan? Nak pandang muka abang pun Nur dah tak sudi.” Tutur Fahmi sengaja melirihkan suara. Dia tahu gadis dihadapannya itu tidak pernah memaafkannya selama ini. Malah jelas kedinginan di sepasang mata bundar itu.
“Taklah. Kan Nur dah cakap dengan abang, Nur dah maafkan abang.” Balas Nur Imanina seraya matanya singgah sebentar ke wajah Fahmi yang berdiri di pohon rambutan hadapannya. Dia perasan mata lelaki itu sedikit pun tidak lepas memandangnya. Terasa dirinya seperti ditelanjangkan oleh mata lelaki itu.
“Abang tak rasa pun Nur dah maafkan abang…” Balas Fahmi menduga.
“Terpulanglah pada abang nak rasa apa pun. Cuma apa yang Nur tahu, Nur tak nak pun ungkit lagi benda lepas. Nur dah tak nak ingat lagi hal tu semua.” Balas Nur Imanina semakin tidak selesa berlamaan di situ.
“Maknanya, tak salahkan kalau abang masuk meminang Nur?” Ujar Fahmi lagi terus kepada agenda utama dia datang bertemu Nur Imanina di situ.
“Apa maksud abang ni?” Soal Nur Imanina dengan dahi yang mula berkerut. Matanya tajam menikam ke wajah Fahmi.
“Abang ada hantar wakil untuk merisik Nur. Tapi Mak Ita dengan Ayah Nan tak bagi keputusan lagi. Dia suruh abang sendiri yang tanya Nur.” Jelas Fahmi. Rasa bersalah dalam dirinya membuatkan dia tekad untuk bertanggungjawab ke atas diri itu. Tanpa pengetahuan Nur Imanina dia telah menghantar wakil untuk merisik beberapa hari lepas. Dia akan cuba sedaya upaya memujuk hingga Nur Imanina bersetuju. Malah sanggup melakukan apa saja demi memiliki gadis yang sudah lama bertakhta di hatinya itu. Dia tidak mampu lagi menafikan apa yang dirasakan. Sesungguhnya dia sendiri menahan keperitan hati apabila terpaksa merelakan orang yang disayangi menjadi habuan kepada orang lain semata-mata kerana duit.
“Hah? Abang ni gila ke? Kan Nur dah cakap dengan abang sebelum ni. Nur takkan kahwin dengan siapa-siapa pun termasuk abang!” Balas Nur Imanina tegas dan berpaling. Rasa geram dan marah mula terkepung di dada dengan tindakan berani Fahmi menghantar wakil untuk merisiknya. Agak terkejut dengan apa yang diungkapkan kerana kedua-dua orang tua angkatnya langsung tidak memaklumkan hal itu ketika dia tiba semalam. Kini ketenangan hatinya kian pudar apabila mendengar kata-kata Fahmi.
“Tapi sampai bila Nur? Nur tak teringin ke nak ada keluarga sendiri?” Kata Fahmi lagi berusaha memujuk.
“Memang Nur teringin. Tapi tu semua dah tak penting bagi Nur. Nur bahagia dengan hidup Nur sekarang!” Jawab Nur Imanina dengan suara yang tertahan. Semakin tidak keruan hatinya menahan perasaan marah yang mula berputik. Fahmi memang sengaja ingin menguji tahap kesabarannya saat itu.
“Tapi abang sayangkan Nur… Kita dah lama kenal Nur. Dari dulu lagi abang sayangkan Nur. Abang sanggup jaga Nur sampai bila-bila. Abang sanggup terima Nur… Kita kahwin Nur…” Pujuk Fahmi sehabis lembut dengan harapan Nur Imanina terpujuk dengan kata-katanya.
Nur Imanina merengus kasar. “Sudahlah bang. Simpan ajelah sayang abang tu untuk orang lain. Ramai lagi perempuan lain yang sesuai untuk abang. Tapi bukan Nur.” Balas Nur Imanina tegas. Meluat hatinya mendengar perkataan sayang yang meniti bibir lelaki itu. Sayang yang pernah dihulur kepada lelaki itu, telah diinjak lumat. Tidak bermakna lagi ucapan sayang yang terucap walaupun kasih sebagai seorang abang. Dia tidak rela. Padanya biarlah mereka hanya sekadar kawan. Tidak lebih dari itu.
“Tapi Nur… Abang sayangkan Nur. Abang tak pernah sayangkan perempuan lain selain Nur. Bagilah abang peluang untuk buktikannya Nur..” Rayu Fahmi lagi yang sudah menghampiri Nur Imanina. Kedegilan Nur Imanina memang mencabar egonya sebagai seorang lelaki.
“Apa yang abang nak buktikan pada Nur?” Mata tajam menentang wajah Fahmi di hadapannya.
“Abang sayangkan Nur. Nur percayalah…” Balas Fahmi yang turut sama menentang wajah yang mula memerah di hadapannya itu. Wajah ayu itu membuatkan tidur malamnya tidak lena sejak peristiwa lalu.
“Sudahlah abang.. Nur dah tak nak dengar lagi semua ni. Keputusan Nur tetap sama. Takkan berubah sikit pun.” Jawab Nur Imanina dengan suara yang sedikit mengendur. Dia menjarakkan sedikit tubuhnya dari Fahmi. Dia cuba menolak secara baik akan hasrat hati Fahmi dan pada masa yang sama berusaha mengawal diri agar tidak berlaku ketegangan antara dia dengan lelaki itu. Tidak mahu lagi mengeruhkan hubungan mereka yang sedia keruh itu. Baru sekejap tadi dia berjanji akan cuba memberi sedikit ruang hatinya kepada seorang lelaki bernama Iman Faliq. Tapi kini, dengan berani pula dia menyatakan tidak akan menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya di hadapan Fahmi.
“Nur… Susah sangat ke Nur nak maafkan abang? Tak boleh ke Nur terima abang? Abang nak bertanggungjawab atas apa yang abang dah buat pada Nur!” Fahmi merapati Nur Imanina dan menarik kasar kedua-dua bahu wanita itu agar berpaling kepadanya.
“Abang!” Nur Imanina yang terkejut dengan tindakan drastik Fahmi, cuba melepaskan diri. “Apa yang abang buat ni!” Bentaknya geram.
“Nur dengar sini. Abang sedia nak terima Nur seadanya Nur. Abang sayangkan Nur… ” Pujuk Fahmi lagi tanpa melepaskan kedua-dua belah bahu Nur Imanina. Dia mahu gadis itu tahu yang dia begitu ikhlas dan bersungguh untuk melakukan apa yang diucap sebelum ini.
Nur Imanina pula sedaya upaya melepaskan diri. Semakin kuat dia meronta, semakin kejap cengkaman Fahmi di bahunya. Sedikit pun tangan sasa itu tidak terlepas. “Abang! Lepaskan Nur! Sakitlah…” Nur Imanina menyeringai kesakitan dengan cengkaman Fahmi. Pada masa yang sama dia semakin takut melihat mata Fahmi yang memandangnya dari atas ke bawah.
“Nur terimalah abang sayang… Apa kurangnya abang… Abang sanggup terima Nur.. Abang sayangkan Nur..” Tutur Fahmi lembut sambil memegang pula kedua-dua belah pipi Nur Imanina. Merasai kehalusan kulit wajah itu menimbulkan satu perasaan lain pula di hatinya. Sungguh dia tidak sanggup melepaskan Nur Imanina lagi.
“Abang… Tolong lepaskan Nur… Bukan macam ni caranya abang nak Nur terima abang.. Lepaskan Nur bang…” Rintih Nur Imanina cuba berlembut. Dia semakin takut melihat nafas Fahmi yang dirasakan kian tidak teratur. Pandangan mata itu saja sudah cukup membuatkan Nur Imanina teringat kembali peristiwa lapan tahun lalu. Fahmi memandangnya dengan penuh bernafsu sekali. Sejuk kaki dan tanggannya apabila Fahmi semakin berani mengusap perlahan kedua-dua belah pipinya. “Abang… Lepaskan Nur abang…” Tuturnya lagi seperti ingin menangis. Bila-bila masa sahaja air matanya akan tumpah. Senyuman yang terukir di bibir Fahmi begitu menggerunkan. Seperti sedikit pun tidak terkesan dengan kata-katanya tadi.
“Nur… Abang dah lama tunggu Nur…” Ucap lelaki itu lagi. Tidak diendahkan rayuan Nur Imanina.
Nur Imanina cuba mengelak setiap kali jemari kasar Fahmi merayap di seluruh wajahnya. “Abang.. Kesiankanlah Nur..” Rayunya lagi dengan harapan Fahmi sedar apa yang dilakukan. Dia tidak mahu peristiwa lapan tahun lalu berulang kembali. Dia tidak sanggup melalui detik hitam itu sekali lagi. “Abang… Jangan macam ni…” Dia cuba memujuk lagi. Begitu hampir wajah Fahmi di hadapan wajahnya sehingga terasa nafas hangat yang menampar.
“Nur cantik sangat…” Kata Fahmi yang mula hilang kawalan. Nafsu lelakinya mula menguasai diri melihat wajah Nur Imanina yang memerah. Semakin berani tangannya bertindak. Tudung kepala yang tersarung di kepala Nur Imanina direntap hingga terurai rambut yang tersimpan kemas tadi.
“Abang… Jangan buat Nur macam ni bang…” Pinta Nur Imanina lagi yang sudah mengalirkan airmata. Dia tidak mampu lagi bertahan. Kini tubuhnya diasak hingga tersandar ke dinding pondok. Rambutnya dielus jemari kasar itu hingga meremang semua bulu romanya. Tidak tergambar apa yang akan dilakukan oleh Fahmi selanjutnya.
“Ab…” Belum sempat dia meneruskan mata, tangan Fahmi sudah menutup mulutnya.
“Abang sayang Nur. Kenapa Nur tak boleh terima abang? Kalau bukan sebab lelaki jahanam tu, Nur dah jadi milik abang…” Kata Fahmi lagi dengan dada yang mula turun naik menahan perasaan. Sudah lama Nur Imanina mendapat tempat di hatinya. Hanya gadis itu yang sering menolaknya sebelum ini kerana hanya menganggapnya sebagai abang.
Nur Imanina cuba menolak sekuat hati tubuh Fahmi yang sudah melekap ke tubuhnya. Namun, tenaga yang dimiliki tidak sekuat mana untuk menolak tubuh yang jauh lebih besar dari tubuhnya. Untuk menjerit meminta tolong, dia tidak mampu. Dalam hati tidak berhenti dia berdoa dan berharap agar ada orang membantunya di situ. Sebelah tangan Fahmi mula berani menyentuh bahagian tubuhnya yang lain membuatkan dia lebih kuat meronta. Tidak rela diperlakukan begitu. Sekuat hati dia meronta tetapi Fahmi lebih cepat bertindak. Rambutnya dicengkam kuat menyebabkan dia tidak mampu bergerak bebas. Pipinya pula menerima tamparan kuat hingga terasa ada cecair panas yang mengalir di tepi bibir.
“Sampai hati abang buat Nur macam ni… Abang kata, abang sayangkan Nur.. Nur sakit bang…” Rintih Nur Imanina. Semakin mencurah-curah air matanya membasahi pipi.
“Abang sayangkan Nur. Tapi tak salahkan kalau abang…” Fahmi semakin berani menyentuh tubuh mulus itu. Nafsu lelakinya kian memuncak apabila melihat leher putih Nur Imanina yang terdedah.
“Abang… Jangan buat Nur macam ni…” Rayu Nur Imanina lagi dalam esak tangis apabila terasa bibir Fahmi singgah ke batang lehernya. Tubuhnya yang terasak di dinding pondok kayu itu membataskan segala-segalanya.
“Toll….” Sekali lagi mulutnya ditutup.
“Sayang abang ni kenapa… Abang belum buat apa lagi sayang.. Sayang janganlah jerit. Kalau tak..”
Fahmi semakin kuat mencengkam rambut panjang Nur Imanina hingga kepalanya terhantuk kuat ke dinding pondok. Terasa pandangannya semakin kabur dan berpinar-pinar. Sakit! Sedaya upaya tangannya cuba melepaskan cengkaman tangan Fahmi di rambutnya. Kini seluruh tubuhnya terasa sakit. Bukan sahaja hantukkan di kepala sahaja diterima. Tapi, sekali lagi tangan lelaki itu dilayangkan ke wajah. Perit! Tubuhnya ditolak kuat hingga rebah ke tanah. Dan kini Fahmi sudah mula menindih tubuhnya hingga dia tidak lagi mampu bergerak.
“Ya Allah… Bantulah hambaMu yang lemah ini…” Rintihnya perlahan. Dia tidak mampu lagi bersuara apabila dirasakan kedua-dua tepi bibirnya pecah menerima tamparan kuat daripada Fahmi. Kepala yang dirasakan semakin memberat, membuatkan seluruh tenaganya kian menghilang. Tanpa ada rasa belas, lelaki itu mula melunaskan tuntutan nafsunya. Habis seluruh wajahnya menerima sentuhan kasar Fahmi. Dia tidak mampu lagi berbuat apa. Hanya hatinya merintih sedih dengan air mata yang mengalir lesu. Namun jauh di sudut hati masih tetap berharap agar apa yang dilaluinya kini hanyalah mimpi buruk semata-mata.

No comments:

Post a Comment