Lapan tahun
lalu…
“Adik memang tak nak ikut ke?” Tanya Puan Aminah yang berdiri di
muka pintu bilik Nur Imanina.
“Tak naklah ibu. Kejap lagi abang nak balik kan? Nanti dia sampai,
takda orang pulak dekat rumah. Tadi
dia kata dah nak sampai.” Jawab Nur Imanina yang sibuk mengemas buku-buku
rujukannya masuk ke dalam sebuah kotak. Siang tadi merupakan hari terakhir
peperiksaan SPMnya.
“Tadi ayah dah bagi tahu abang. Nanti pandai-pandailah dia masuk.
Abang ada kunci spare kan… Kita pun
bukan pergi lama. Ibu risau adik sorang-sorang
duduk dekat rumah ni. Ayah Nan dengan Mak Ita pun takda dekat rumah tu.” Pujuk
Puan Aminah lagi. Sempat mengaitkan jirannya sekali. Itulah jiran yang paling
rapat dengan keluarganya.
“Takpalah bu. Barang-barang pun adik tak habis kemas lagi ni.
Serabut kalau biar sepah-sepah dalam bilik ni…” Balas Nur Imanina yang masih sibuk
mengemaskan segala barang-barang persekolahannya.
“Abang tak tahu sampai pukul berapa tu. Tahu ajelah abang tu. Banyak
tempat yang disinggahnya kalau balik kampung.” Kata Puan Aminah yang masih
berusaha memujuk.
“Ala… Kejap lagi sampailah tu. Adik dah SMS dia tadi suruh balik
cepat.” Jawab Nur Imanina masih berdegil.
“Adik… Nanti kalau apa-apa jadi kan susah…” Tutur Puan Aminah seraya
mendapatkan Nur Imanina yang duduk di atas katil.
“Ibu doalah takda apa-apa jadi dengan adik. Doa seorang ibu kan yang
paling mujarab dalam dunia ni.” Seloroh Nur Imanina sambil memeluk erat ibunya.
Terasa tidak mahu dilepaskan.
“Orang cakap betul-betul dia main-main pulak…” Kata Puan Aminah sambil mengucup pipi Nur Imanina. Terasa
berat hati untuk meninggalkan anaknya keseorangan di rumah.
“Kalau ibu dengan ayah tak pergi malam ni tak boleh ke? Kan family day ayah tu lusa. Esok pun sempat
lagi kalau nak beli barang-baranglah bu.” Ujar Nur Imanina yang tahu ibu dan
ayahnya ingin ke pekan untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan buat Hari
Keluarga serta barang dapur mereka yang hampir habis.
“Mana sempat. Esok kan ayah ada mesyuarat dekat sekolah. Tak tahu
baliknya pukul berapa. Lagipun esok ibu ingat nak kukus kek buah sekali. Ada
orang tu mengidam nak makan kek buah semalam.” Balas Puan Aminah saraya
tersenyum penuh makna. Satu-satunya anak perempuan yang dia miliki gemarkan kek
buah.
“Ala... Perli la tu…” Ujar Nur Imanina sambil mengeratkan lagi
pelukannya. Pada masa yang sama dia terdengar suara ayahnya memanggil dari luar.
“Ayah dah panggil tu. Adik kalau tak nak ikut sudah la. Tapi nanti
kunci pintu betul-betul. Jangan nak suka-suka bukak pintu pada orang yang tak kenal datang rumah.” Pesan Puan
Aminah seraya mengucup lembut dahi anak bongsunya itu.
“Iyalah… Adik tahulah…” Jawab Nur Imanina yang masih lagi tidak
meleraikan pelukan.
“Ish! Macam mana ibu nak pergi kalau anak dara ibu ni tak nak
lepaskan ibu.” Tutur Puan Aminah apabila terasa pelukan anaknya lain benar.
“Kejaplah bu… Bukan selalu dapat peluk macam ni tanpa gangguan
abang…” Jawab Nur Imanina sambil tersengih. Dikucup wajah ibunya berkali-kali
sehingga Puan Aminah terasa lemas untuk bernafas.
“Ee… Malulah dah besar-besar nak manja-manja macam ni. Anak dara ibu
ni dah boleh jadi mak budak tau.” Usik Puan Aminah.
“Ala… Biarlah!” Jawab Nur Imanina selamba sambil meleraikan pelukan
walaupun hatinya terasa berat.
“Jom bu! Adik nak peluk ayah pulak.”
Ujar Nur Imanina sambil turun dari katil dan menarik tangan ibunya.
“Ish! Marah pulak Ustaz
Kamil tu nanti. Anak ibu kan dah besar.” Balas Puan Aminah.
“Biarlah! Selalu peluk time
raya aje. Setahun sekali baru dapat peluk. Biar adik peluk ayah malam ni.” Kata
Nur Imanina ceria dengan langkah dipercepatkan untuk ke ruang depan mendapatkan
ayahnya.
“Ayah!” Panggil Nur Imanina ceria seraya memeluk ayahnya yang
berdiri di muka pintu.
“Ya Allah… Kenapa ni…?” Soal Ustaz Kamil sedikit terkejut dengan
kelakuan Nur Imanina yang memeluknya erat.
“Malulah orang tengok adik…” Sahut Puan Aminah yang tersenyum
melihat wajah suaminya yang mengerutkan dahi.
“Alah… Sekejap aje.” Balas Nur Imanina pula sambil tersengih sebelum
meleraikan pelukan.
“Anak ayah ni bukan budak kecik
lagi…” Ujar Ustaz Kamil sambil menyentuh pipi Nur Imanina. “Kunci pintu ni
elok-elok. Jaga diri baik-baik. Jangan suka sangat dah habis exam.” Pesan Ustaz Kamil sebelum
menyambut huluran tangan Nur Imanina untuk bersalaman. Dikucup sekilas dahi Nur
Imanina.
“Alright boss!” Sahut Nur
Imanina ceria.
“Ibu dengan ayah pergi dulu. Adik jangan menangis pulak kalau ibu dengan ayah takda
nanti.” Seloroh Puan Aminah membuatkan Nur Imanina ketawa kecil.
“Ada-ada aje ibu ni… Takdanya adik nak menangis. Bukan ibu dengan
ayah pergi jauh pun…” Balas Nur Imanina dalam nada yang sama.
“Sudah tu. Jom kita pergi. Cepat pergi, cepat sampai nanti…” Celah
Ustaz Kamil yang sudah menanti di sisi kereta.
“Iyalah…” Balas Puan Aminah sebelum mengucup kedua-dua pipi Nur
Imanina.
“Ibu pergi dulu… Assalamualaikum…” Kata Puan Aminah lagi seraya
melepaskan tangan Nur Imanina.
“Waalaikumussalam.” Jawab Nur Imanina dengan sebak di dada yang
datang tiba-tiba. Dia memerhati sehingga kelibat kereta ayahnya hilang dalam
kepekatan malam. Rasa tidak senang di dalam hati cuba ditepis jauh.
Dia kembali semula menyambung kerja yang tergendala selepas mengunci
pintu. Jam loceng di atas meja belajar dikerling sekilas. Pukul 8 malam.
Abangnya berjanji akan tiba dalam pukul 9 nanti.
……………
Nur Imanina
terjaga apabila terdengar bunyi ketukan di pintu. Entah pukul berapa dia
terlelap selepas habis mengemas barang-barangnya tadi. Terasa lama benar dia
lena. Dia bingkas bangun apabila ketukan di pintu masih lagi kedengaran
berserta suara orang memberi salam. Tidak pasti pukul berapa ketika itu kerana
dia tidak memakai cermin mata.
“Ish! Mesti abang lupalah ni nak bawak
kunci!” Sempat lagi dia membebel sendirian sambil tangannya membuka kunci
pintu. “Abang ni kenapa balik lambat sangat. Kalau ayah…” Nur Imanina
berterusan berkata-kata dengan mata yang separa terbuka. Masih tidak perasan
tetamu yang datang.
“Hai Nur!” Ucap satu suara yang dikenali membuatkan Nur Imanina
membulatkan matanya. Sekejap-sekejap dia mengecilkan matanya untuk mengenal
pasti wajah yang berdiri di hadapannya. Dia pasti suara yang memberi salam tadi
adalah suara Fahmi.
“Er… Abang Fahmi. Ada apa datang malam-malam ni?” Soalnya dengan
sedikit kalut apabila melihat teman sekampung yang sebaya dengan abangnya itu.
Teraba-raba tangannya di kepala apabila berasakan keadaannya yang tidak
tertutup seperti kebiasaan.
“Saja nak borak-borak dengan Nur. Lama rasanya kita tak berborakkan?
Nur kan busy dengan exam. Erm… Aiman yang suruh abang
datang…” Balas Fahmi lembut dengan matanya meliar memandang Nur Imanina dari
atas ke bawah.
Dia tidak pernah melihat Nur Imanina dalam keadaan begitu sebelum
ini. Terutamanya dengan rambut panjang yang dibiar lepas bebas. Tambahan pula
dengan ketiadaan cermin mata bingkai hitam yang biasa dipakai. Terserlah
keayuan gadis yang sudah lama menjadi pilihan hati. Hanya Nur Imanina sahaja
yang tidak tahu kerana keadaan dirinya yang serba kekurangan. Belajar tidak
setinggi mana. Tidak seperti Aiman Iqbal. Naluri lelakinya tiba-tiba mencuit
tangkai hati melihat keindahan di depan mata.
“Err… Esok ajelah bang. Dah malam ni. Abang belum sampai lagi. Ibu
dengan ayah pun takda dekat rumah.” Balas Nur Imanina yang mula terasa seram
sejuk. Dia perasan pandangan mata Fahmi yang agak meliar. Sebelum itu dia
perasan ada seorang lagi lelaki yang sedang menunggu di atas motor di halaman
rumah. Dengan keadaannya yang tidak bercermin mata, pandangannya agak terbatas.
Langsung tidak dapat mengecam wajah lelaki itu.
“Ala… Sekejap aje Nur…” Kata Fahmi lagi seraya tangannya cuba
menolak daun pintu. Namun, cepat dihalang gadis itu.
“Abang… Tak elok macam ni.” Ujar Nur Imanina lembut yang mula takut.
“Tu, abang ada bawak
kawan. Dia pun satu kampus dengan Aiman. Nur janganlah takut.” Pujuk
Fahmi. Nasibnya menyebelahinya. Jika dia
tidak ternampak ibu bapa gadis itu di pekan tadi, pastinya dia tidak akan punya
peluang untuk ke situ sekali gus dapat melaksanakan janjinya. Dia terpaksa
kerana perjanjian yang telah dibuat.
“Err…Tapi abang tak sampai lagi…” Kata Nur Imanina yang sedaya upaya
akan cuba menghalang daripada Fahmi dan lelaki yang tidak dikenali itu masuk ke
rumah.
“Kalau macam tu, biar abang tunggu dekat dalam ajelah. Dekat luar ni
banyak nyamuklah Nur. Tak kesian ke dengan abang. Kawan abang tu pun jauh dia
datang. Dari KL tau. Takkan Nur tak percayakan abang…” Fahmi masih lagi
berusaha memujuk.
“Ala… Bukan Nur tak percaya. Tapi kan…” Nur Imanina mula serba
salah. Dia tahu abangnya berkawan baik dengan Fahmi. Dan sahabat abangnya itu
juga agak rapat dengan keluarganya.
“Janganlah tapi-tapi lagi…” Kata Fahmi seraya melangkah ke dalam
rumah.
“Abang…” Tidak sempat Nur Imanina menahan, Fahmi sudah pun duduk di
ruang tamu.
“Nur ni kenapa? Macamlah Nur baru kenal abang sehari.” Kata Fahmi
dengan senyuman penuh makna. Jauh di sudut hati dia tidak sanggup untuk
melakukan perkara itu. Namun, dia terpaksa.
“Er… Abang jemputlah kawan abang tu masuk dulu. Nur pergi buat air
kejap.” Kata Nur Imanina dalam serba tidak kena. Dalam hati dia berdoa agar
tiada perkara buruk berlaku ke atas dirinya. Kelam kabut dia berlalu.
Sebelum ke dapur, dia sempat masuk semula ke dalam bilik untuk
mengambil tudung kepala. Tidak selesa auratnya terdedah begitu kepada lelaki
yang bukan mahramnya. Cermin mata di atas meja belajar dicapai. Hampir
terbeliak matanya melihat jam locengnya. Hampir pukul 12 tengah malam. Spontan
jantungnya berdegup kencang. Baru tersedar waktu sudah terlalu lewat. Semakin
resah hatinya apabila kedua-dua ibu bapanya masih belum pulang.
‘Ya Allah… Apa yang Engkau cuba tunjukkan kepada ku Ya Allah…’ Desis
hatinya. Dia terduduk di birai katil. Terasa berat untuk melangkah keluar.
Telefon bimbit dicapai. Mencari nama abangnya. Namun, sempat dia terbaca SMS
yang dihantar oleh Aiman Iqbal.
+ Abang balik rumah lambat
sikit. Lepak kedai Azan kejap.
Nur Imanina ketap bibir. SMS yang dihantar pada jam 9.15 malam.
Jemarinya mula meramas sesama sendiri. Dengan tangan yang sedikit ketar, dia
mendail nombor abangnya. Lebih lima kali mencuba, panggilan tetap juga tidak
dapat disambungkan. Dia masih lagi tetap mencuba hingga tidak sedar Fahmi sudah
pun berdiri di muka pintu bilik. Apabila terdengar pintu biliknya yang tertutup,
barulah dia berpaling. Pucat lesi wajahnya melihat Fahmi yang sudah bersandar
di daun pintu.
“Apa abang buat ni?” Soalnya dalam getar suara. Pelupuk mata terasa
semakin hangat. Dia cuba menjauhkan diri apabila Fahmi semakin mendekati. “Apa
yang abang nak buat ni! Keluar dari bilik Nur!” Jeritnya yang mula menangis.
Apa sahaja yang sempat dicapai tangannya habis dilempar kepada Fahmi. Namun,
ianya sedikit pun tidak memberi kesan. Dia akhirnya tersandar di almari pakaian
apabila tiada lagi ruang untuk dia melarikan diri. “Abang.. Tolong.. Keluar
dari sini..” Rayunya perlahan dengan harapan ada rasa simpati terbit di celah
hati yang sedang dikepung nafsu syaitan itu.
Fahmi yang langsung tidak menghiraukan rintihan Nur Imanina terus
sahaja mengusap lembut pipi yang sudah berairmata itu. Cermin mata yang
tersarun dilurutkan dan dicampak jauh ke tengah bilik. “Macam ni kan cantik…”
Ucapnya penuh bernafsu. Tangannya terus mencengkam kuat kedua-dua tangan Nur
Imanina membuatkan gadis itu tidak dapat lagi bergerak bebas.
“Abang.. Lepaskan Nur.. Apa abang buat ni..” Rayu Nur Imanina tidak
henti. Air matanya semakin mencura-curah keluar tanpa dapat lagi ditahan.
“Nur cantik sangat sayang..”
Balas Fahmi yang tetap juga mengusap wajah mulus itu tanpa rasa bersalah. “Tapi
sayang.. Nur bukan milik abang malam ni….” Sambungnya lagi sambil melalukan ibu
jari ke bibir Nur Imanina. Sungguh dia tidak dapat lagi menafikan perasaannya.
Gadis itu segala-galanya cantik. Kecantikannya yang sebenar tersembunyi di
sebalik tudung kepala dan cermin mata yang dipakai selama ini.
Nur Imanina cuba meronta setiap kali jemari Fahmi merayapi wajahnya.
Namun, semakin kuat dia meronta, semakin kuat cengkaman dan asakan Fahmi ke
tubuhnya. “Apa abang cakap ni? Abang tolong lepaskan Nur… Nur merayu pada
abang… Abang janganlah buat Nur macam ni…” Rintih Nur Imanina dalam esak
tangisnya. Dia terus tetap mahu mencuba agar tiada perkara yang buruk berlaku
ke atas dirinya.
“Maafkan abang Nur. Abang terpaksa… Kalau Nur tak tolong abang,
tiada siapa yang akan tolong abang…” bisik Fahmi rapat ke telinganya membuatkan
berdiri semua bulu romanya apabila terasa nafas panas Fahmi menampar batang
leher.
“Abang Fahmi… Kesiankanlah Nur…” Pujuk Nur Imanina lagi dengan air
mata yang semakin laju menuruni pipi.
Pada masa yang sama pula pintu biliknya terkuak dari luar.
“Apa yang lama sangat kau ni!” Marah satu suara. Nur Imanina cuba
mengenal pasti wajah lelaki yang berdiri di muka pintu biliknya. Namun gagal.
Rabun jauh yang dialami membataskan penglihatannya.
“Abang… Tolonglah lepaskan Nur. Jangan buat Nur macam ni bang…” Rayu
Nur Imanina tidak henti. Dia tetap cuba meronta untuk melepaskan diri dari
cengkaman Fahmi.
“Kalau Nur melawan, lagi Nur sakit.” Balas Fahmi yang sengaja
menguatkan cengkaman tangannya.
“Hoi! Berapa lama aku nak tunggu ni!” Marah suara itu lagi.
Fahmi berpaling ke wajah Iman Faliq yang tegang di muka pintu. ‘Nama
aja Iman. Nafsu macam syaitan!’ Makinya dalam hati. “Nur dengar cakap abang ni.
Malam ni aje Nur tolong abang. Nur layan dia baik-baik. Nur buat aje apa yang
dia suruh okey? Tu aje… Senang… Tak susah.” Ujarnya selembut mungkin. Namun,
jauh di dasar hati, dia mula merintih sedih dengan apa yang dilakukan saat itu.
Dia tidak punya pilihan.
“Nur benci abang! Nur benci abang!!!” Jerit Nur Imanina sekuat hati.
Dan dengan sekuat hati juga dia meronta namun kesakitan yang diterima. Terasa
panas hujung bibirnya apabila Fahmi melayangkan tapak tangan ke wajahnya.
“Nur jangan degil boleh tak! Lebih dari ni abang boleh buat kalau
Nur degil! Ikut ajelah apa aku cakap!” Tengking Fahmi semakin hilang sabar.
Rasa hati yang bercampur-baur membuatkannya gagal mengawal perasaan.
Mengenangkan maruah kekasih hati yang terpaksa dikorbankan demi kepentingannya
sendiri, hatinya sakit. Ditambah pula dengan kemarahan lelaki yang tidak sabar
mendapat habuannya, amat menyesakkan dada.
“Abang jahat! Abang tipu Nur! Abang kata nak jaga Nur! Abang nak
sayang Nur! Abang tipu!” Jerit Nur Imanina tidak mahu kalah. Dia kecewa dengan
Fahmi. Lelaki yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri sanggup melakukan
perkara terkutuk itu kepadanya.
“Aku kata diam!” Balas Fahmi sama tinggi. Serentak itu sekali lagi
dilayangkan tapak tangannya ke wajah Nur Imanina.
“Abang penipu…”
Tutur Nur Imanina lemah. Matanya mula berpinar-pinar selepas tamparan yang agak
kuat mengenai pipinya. Terduduk lesu dia ke lantai. Bayang-bayang Fahmi
dirasakan semakin menjauh tetapi diganti pula dengan bayang lelaki lain. Dia
cuba mengenal pasti wajah lelaki itu dengan penglihatan yang semakin kabur
sebelum dirasakan semuanya bertukar menjadi gelap-gelita.
……………
“Adik… Adik!”
Panggil Aiman Iqbal berkali-kali apabila tiada sahutan selepas beberapa kali
dia memberi salam. Hati mula berdetak kencang apabila berasakan sesuatu yang
buruk telah berlaku apabila pintu rumah tidak berkunci. Rasa bersalah mula
menjentik tangkai hati apabila dia ingkar dengan arahan ayahnya untuk pulang
lebih awal. Nur Imanina sendiri ada menyuruhnya pulang awal tadi. Langkah terus
diatur ke bilik adiknya.
“Astaghfirullahal aazim…” Bisiknya apabila melihat keadaan bilik
adiknya yang berselerakan. “Adik!” Terus dia menerpa ke arah Nur Imanina yang
terbaring lesu di atas katil. Dia perasan ada kesan lebam di hujung bibir gadis
itu. “Adik! Adik! Bangun dik!” Panggil Aiman Iqbal dengan tangan yang
terketar-ketar. Dia tahu apa yang telah berlaku ke atas diri Nur Imanina
apabila melihat keadaan gadis itu yang hanya bertutup dengan kain selimut di
paras dada. Belum pernah adiknya tidur dalam keadaan begitu.
Melihat Nur Imanina yang masih tidak sedarkan diri, dia berlari ke
dapur untuk mengambil segelas air. Dengan lafaz bismillah dia menyapukan air ke
wajah adiknya. “Adik…” Panggilnya perlahan apabila Nur Imanina mula membuka
mata. Rasa bersalah semakin menggunung tinggi dalam hati. Jika dia tidak
terlalu leka menonton perlawanan bola sepak bersama-sama rakan-rakannya tadi,
mesti perkara buruk itu tidak menimpa adiknya.
“Abang….” Rintih Nur Imanina dengan suara yang hampir tidak
kedengaran apabila wajah abangnya terlayar di ruang mata. Terasa berat
kepalanya saat itu. Dengan hujung bibir yang mula membengkak, terasa sukar
untuk menuturkan kata.
“Adik kenapa?” Tanya Aiman Iqbal dengan degupan jantung yang tidak
lagi sekata.
“Abang…” Nur Imanina cuba menegakkan tubuh dan menjarakkan diri dari
abangnya. Terasa malu dengan keadaannya begitu. Seluruh tubuhnya terasa sakit.
“Adik… Siapa yang buat adik macam ni? Cakap dengan abang.” Soal
Aiman Iqbal lagi dengan suara yang tertahan. Rasa bersalah dan marah bersatu
dalam hatinya apabila melihat keadaan Nur Imanina saat itu.
“Keluarlah abang… Tinggalkan adik sorang…” Rintih Nur Imanina. Air matanya mencurah-curah keluar
tanpa dipaksa. Terasa kotor dan jijik dengan dirinya sendiri. “Keluar bang…
Keluar...!” Katanya lagi dalam esak tangis apabila Aiman Iqbal tetap cuba
mendekati. Dia sudah terperuk di sudut bilik dengan kain selimut yang membaluti
tubuh. Memeluk kedua-dua kakinya. Malu tidak terhingga dengan keadaannya
begitu.
Aiman Iqbal meraup wajahnya berkali-kali. Turun naik dadanya menahan
sakit hati yang menggunung apabila melihat keadaan Nur Imanina. Ya Allah…
Berkali-kali dia berisitighfar untuk menenangkan hati. Namun tetap juga gagal.
Perasaan marah menguasai dirinya saat itu. Dia perlu tahu siapa punya angkara
yang melakukan perkara terkutuk itu terhadap adiknya.
Pada masa yang sama terdengar suara orang memberi salam beserta
ketukan di pintu. Aiman Iqbal bingkas ke ruang hadapan apabila merasakan
ketukan di pintu semakin keras. Sempat dia menoleh sekilas ke wajah Nur Imanina
sebelum menutup pintu bilik. Terlalu keruh wajah adiknya saat itu.
“Ayah Nan, Mak
Ita…” Sapanya sebaik daun pintu dibuka. Wajahnya berkerut apabila melihat
pasangan yang berdiri di hadapannya itu. Tiada segaris senyuman pun yang
terhias di wajah kedua-duanya seperti selalu.
“Man, baru sampai ke?” Soal Encik Adnan sambil meraih bahu Aiman
Iqbal.
“Er.. Ha’ah…” Jawab Aiman Iqbal setenang mungkin.
Hal adiknya masih menjadi rahsia. Tidak sanggup untuk memberitahu
hal itu selagi ayah dan ibunya belum pulang. Sempat dikerling sekilas jam di
tangannya. Hampir pukul 2 pagi. Semakin tidak senang hatinya apabila melihat
wajah Puan Masita yang mendung. Ada sesuatu yang tidak kena dengan pasangan
itu. Dilihat wanita yang sebaya dengan ibunya itu sesekali menyeka hujung mata.
“Man, adik mana?” Soal Encik Adnan lagi.
“Er… Dia ada dekat bilik. Dah tidur agaknya.” Bohongnya yang tidak
sanggup mendedahkan perkara yang sebenar. “Err…Ayah Nan… Kenapa Mak Ita
menangis?” Soalnya dengan debar di hati. Dia tidak senang melihat keadaan ibu
angkatnya yang mula menangis.
“Man...” Encik Adnan seperti teragak-agak untuk memberitahu berita
buruk yang diberitahu oleh sahabatnya tadi.
“Kenapa ni yah?” Soal Aiman Iqbal tidak sabar. Berdegup laju
jantungnya tiba-tiba.
“Ayah dengan ibu Man dah takda Man…” Tutur Encik Adnan setenang
mungkin. Dia tidak boleh lemah di hadapan satu-satunya anak lelaki pasangan
jirannya itu. Dan anak lelaki itulah nanti yang akan memikul tanggungjawab
menjaga seorang adik perempuan selepas ini.
Ketika diberitahu oleh teman sekerjanya tentang kemalangan yang
menimpa jirannya tadi, terus dia bergegas pulang dari rumah anaknya di Kuala
Lumpur. Simpati dengan nasib yang menimpa keluarga jirannya itu.
“Ap… Apa Ayah Nan cakap ni…” Balas Aiman Iqbal dengan bibir
terketar-ketar. Terasa jantungnya berhenti berdegup apabila berita itu menyapa
gegendang telinganya. “Mak Ita…” Aiman Iqbal mendapatkan Puan Masita yang duduk
di hujung kerusi. Dilihat wanita itu sudah teresak-esak menangis.
“Man… Ayah dengan ibu accident
dekat pekan sana lepas isyak tadi Man…” Lanjut Encik Adnan apabila melihat
isterinya yang menangis.
“Ibu…” Terdengar rintihan yang cukup sayu membuatkan semua yang ada
di ruang tamu terhala ke satu sudut. Belum pun sempat mereka bersuara, Nur
Imanina sudah melurut ke lantai.
“Adik!” Aiman Iqbal terus mendapatkan Nur Imanina yang terduduk di
lantai.
Nur Imanina hanya terdiam langsung tidak bersuara. Pandangannya
kosong. Wajahnya sedikit pun tidak beriak.
Puan Masita pula semakin teresak-esak menangis apabila mengenangkan
nasib dua beradik yang masih lagi muda itu.
*******
“Aku tak kira!
Aku nak kau tunaikan semua janji kau. Kalau tak, motor kau ni jadi pengganti!”
Melengking tinggi suara Iman Faliq di hadapan Fahmi. Dia tahu Fahmi tidak
berani untuk melawan kerana rakan-rakannya lebih ramai di situ berbanding Fahmi
yang keseorangan.
Iman Faliq menuntut janji Fahmi yang akan membayar wang pertaruhan
kepadanya jika dia menang dalam perlumbaan minggu lalu. Pertaruhan yang
dilakukan agak besar sehingga Fahmi sendiri tidak mampu untuk melunaskannya.
Walaupun bukan mereka yang berlumba, namun kerana masing-masing telah
bersetuju, Fahmi tidak dapat lari lagi. Janji tetap janji.
Pada awalnya masing-masing bersetuju untuk meletakkan RM3000 ringgit
sebagai habuan. Tetapi di sebabkan oleh momokkan rakan-rakan lain, pertaruhan
mereka disertai dengan seorang perempuan sebagai taruhan tambahan. Bagi Iman
Faliq ianya tidak menjadi masalah. Jika dia tidak mampu untuk menyediakan
perempuan sebagai taruhan, dia terlebih mampu untuk menggantikannya dengan wang
ringgit.
Tetapi tidak pula pada Fahmi. Oleh kerana rasa tercabar dengan
rakan-rakan Iman Faliq, dia turut bersetuju dengan taruhan yang dibuat walaupun
pada masa yang sama dia terlalu berharap agar perlumbaan itu berpihak
kepadanya. Namun, sebaliknya pula yang berlaku. Dia harus melaksanakan segala
janji yang telah dibuat. Wang simpanannya selama ini terpaksa diserahkan kepada
Iman Faliq. Kini tinggal satu lagi habuan yang perlu dilunaskan. Untuk
menggantikannya dengan wang, dia tidak mampu. Dia tidak sanggup menggunakan
wang simpanannya yang masih berbaki kerana ianya akan dijadikan modal untuk
membuka sebuah bengkel motor di kampung itu.
“Kau tunggu apa lagi ni!” Marah Iman Faliq.
Dia sebenarnya sakit hati dan rasa tercabar dengan sindirian
rakan-rakannya yang menyatakan dia pengecut kerana tidak mahu menuntut habuan
tambahan itu minggu lalu. Pada mulanya dia tidak ambil peduli akan habuan
tambahan yang diletak. Hanya kerana rakan-rakan yang kerap menyindir, egonya
rasa tercabar. Tidak boleh tidak. Dia perlu juga menyahut cabaran walaupun
dengan rasa hati yang tidak senang. Pada masa yang sama juga, dia tidak mahu
dipandang rendah oleh rakan-rakan yang lain.
Dia akui dirinya bebas bergaul dengan ramai perempuan. Malah, dia
cukup dikenali di kampus kerana mudah bertukar-tukar teman wanita. Cuma
sejahat-jahat dirinya, dia tidak pernah lagi meniduri mana-mana gadis yang
pernah mendampinginya. Semuanya kerana kedudukan yang dimiliki. Ramai pelajar
perempuan yang ingin mendekatinya semata-mata kerana kemewahan yang ada.
“Okey…Okey… Tapi aku ada satu syarat.” Balas Fahmi yang sedikit
gerun dengan pandangan tajam Iman Faliq. Dia terpaksa mengalah.
“Apa dia?” Soal Iman Faliq kasar.
“Err… Hal ni aku dengan kau aje. Aku tak nak ada orang lain terlibat
sama.” Balas Fahmi takut-takut.
Rakan-rakan Iman Faliq yang lain sudah bersorak.
“Macam mana kita orang nak tahu kau dah tidur dengan awek tu bro?”
Tedengar salah seorang rakannya bersuara membuatkan Iman Faliq semakin panas
hati. Dia ketap bibir. Geram mendengar ada suara-suara lain pula yang cuba
memperkecilkannya.
“Baik… Tapi aku nak kau bawak
aku sekarang jugak! Cepat habis,
cepat aku takda urusan dengan kau lagi!” Kata Iman Faliq dengan jari telunjuk
di muka Fahmi. Dia cukup pantang kalau ada orang yang cuba memungkiri janji.
Cuma dia mula rasa menyesal kerana mudah mempercayai Fahmi yang baru dikenali
beberapa minggu lalu. Kini dia terpaksa pula terlibat dalam perkara-perkara
yang tidak pernah dilakukan seumur hidupnya.
Fahmi semakin serba tidak kena.
“Hoi! Kau dengar ke tak ni!” Herdik Iman Faliq kurang sabar.
“Okey… Okey… Kita pergi sekarang…” Jawab Fahmi serba-salah.
Keputusan yang dilakukan bakal memusnahkan hidupnya sendiri. Namun, dia tetap
tiada pilihan lain. Motor Honda Ex5 itu merupakan satu-satunya harta yang
dimiliki.
Fahmi dan Iman Faliq beredar dari kawasan sunyi itu diiringi dengan
sorakan dari rakan-rakannya. Tegang wajah Iman Faliq apabila mengenangkan
perkara yang akan dilakukan sebentar nanti.
No comments:
Post a Comment