“Waalaikumussalam
sayang.” Jawab Nur Imanina membalas salam yang diberi Zarif Aimin. Awal si
kecil itu sampai hari ini.
“Mama Iman, ni Papa Iman bagi.” Zarif Aimin yang masih berdiri di
tepi pagar terus menghulurkan sekuntum bunga ros merah seperti hari-hari sudah.
“Aik? Bunga lagi?” Nur Imanina sambut juga bunga itu walaupun sedia
tahu pengirimnya.
Si kecil itu hanya tersengih.
“Hari-hari Papa Iman bagi mama bunga ni? Kenapa?” Tanya Nur Imanina
lembut walaupun tahu si kecil itu tidak dapat memberi jawapan. Keluhan
dilepaskan. Kerana bunga itulah dia menjadi bahan usikan Ema serta dua teman
serumahnya.
“Tak tahu.” Jawab Zarif Aimin sambil menjungkitkan dua bahunya.
“Mama, Zarif nak masuk.” Lanjut si kecil sebelum berlari masuk ke dalam kelas
apabila ada rakan memanggilnya.
Seperti beberapa hari lalu, ada sekeping kad comel yang disertakan
bersama.
Dear
Mama Iman,
Zarif
minum bergelas-gelas,
Salam
perkenalan belum awak balas. ^^,
Bibir mengoyak senyum. Nama Zarif sudah sebati dalam pantun dua
kerat yang digunakan. Bibir masih menguntum senyum. Memang dia masih belum
sambut salam perkenalan yang dihulurkan. Keraguan untuk bersahabat bersama
insan bernama lelaki masih kekal di hati. Apa yang telah ditanamkan di dalam
mindanya, ‘lelaki dan perempuan tidak boleh bersahabat!’. Dan mungkin akan
selamanya begitu.
“Kak Iman, ada call!”
Teriak Hanim dari muka pintu menyebabkan segera dia menapak.
“Siapa call?” Soalnya
seraya melangkah masuk.
“Datin Farah.” Jawab Hanim pendek. Matanya sempat singgah pada
sekuntum bunga di tangan Nur Imanina. “Ai! Orang tu dapat bunga lagi hari ni.
Tauke bunga mana pulak bagi hari ni
kak? Pagi-pagi lagi dah ada orang bagi hadiah hari jadi.” Usik Hanim diiringi
ketawa kecil. Namun tawa itu mati apabila Nur Imanina menghadiahkan cubitan
halus di lengannya. “Aduh akak ni. Garang betul semenjak dah dapat bunga ni.”
Giat Hanim lagi sebelum masuk ke ruang belakang kelas. Mengelak dari mendapat
cubitan Nur Imanina lagi.
“Waalaikumussalam Datin. Ada apa yang boleh saya tolong Datin?” Ujar
Nur Imanina sopan sebaik suara di hujung talian memberi salam. Dia hormatkan
wanita yang telah banyak membantunya selama ini. Kesenangan hidup yang dimiliki
kini hasil dari bantuan wanita itu. Jika tidak kerana peluang yang diberi untuk
bekerja di taska, mungkin kini dia masih tinggal kampung hidup dalam umpat keji
orang sekeliling.
Nur Imanina mengerutkan keningnya setelah mendengar permintaan
wanita itu. “Er… Buat susah-susah aje Datin. Inshaa Allah…” Balasnya dengan
senyuman kelat tanpa pengetahuan si pemanggil. Salam dijawab perlahan sebelum
talian diputuskan.
“Selamat hari lahir Iman.” Ucap Ema yang dari tadi berdiri tidak
jauh memerhatikannya.
Hanim dan Zura pula orang terawal yang mengucap selamat kepadanya.
Bukan sekadar ucapan malah tepat dua belas malam tadi dia disimbah dengan
sekilo tepung. Puas dia membersihkan rambutnya yang bersalut tepung malam tadi.
“Terima kasih akak.” Balas Nur Imanina yang menguntum senyum manis
buat orang yang telah banyak membantunya selama ini. Dia memeluk erat tubuh
wanita itu. Saban tahun hari lahirnya tidak pernah dilupakan oleh Ema semenjak
ketiadaan ibu bapanya. Dalam kamus hidupnya, hari lahir itu tidak lagi bermakna
sejak peristiwa hitam yang berlaku.
“Dinner nanti datang rumah
akak ya? Akak nak masak special sikit
hari ni untuk Iman.” Ujar Ema seraya meleraikan pelukan. Nur Imanina sudah
dianggap seperti adiknya sendiri. Dia tahu segala yang telah berlaku pada gadis
itu menyebabkan dia jatuh sayang kepada Nur Imanina. Dia juga tidak punya
adik-beradik lain. Hanya anak tunggal.
“Kenyanglah Iman hari ni. Jimat duit Iman. Baru Iman ingat nak
belanja akak satu family makan malam ni.” Balas Nur Imanina yang sudah
tersengih-sengih. Bunga di tangan dipusing-pusing sehingga tidak perasan Ema
yang memandang pelik.
“Amboi! Bunga lagi hari ni?” Usik Ema dengan kening sebelahnya yang
terangkat.
“Okeylah kak. Iman keluar dulu. Ada lagi murid yang tak datang tu.”
Dalih Nur Imanina yang terus berlalu. Malas menjadi bahan usikan lagi.
“Assalamualaikum Iman!” Ucap Zulaikha seraya mendapatkan Nur Imanina
yang baru menapak keluar.
“Waalaikumussalam kak. Awal hari ni? Sibuk ke hari ni kak?” Balas
Nur Imanina berbasa-basi. Walaupun baru mengenali Zulaikha, tetapi sifat ramah
wanita itu amat menyenangkan hatinya.
“Ha’ah Iman. Hari ni student
dah start exam. Kelas akak exam pukul 8 hari ni.” Terang Zulaikha.
Si comel Nur Afifi terus masuk ke dalam kelas selepas bersalaman dengan Nur
Imanina.
“Oh, iya ke…” Nur Imanina menguntum senyum. Dia kagum dengan
pensyarah muda itu. Menjadi seorang pensyarah merupakan cita-citanya dahulu.
Tetapi, impiannya itu tidak kesampaian walaupun dia memiliki keputusan SPM yang
cemerlang.
“Iman kejap ya.” Ujar Zulaikha sebelum kembali semula ke kereta
tanpa sempat Nur Imanina bertanya.
Nur Imanina hanya memerhati langkah wanita itu yang kembali dengan
satu bungkusan di tangan.
“Selamat hari lahir Iman.” Ucap Zulaikha seraya memeluknya erat.
Nur Imanina pula
sedikit terkejut mendengar ucapan wanita di hadapannya itu. “Er… Thanks akak. But how do you now?” Soalnya pelik.
“Ni hadiah untuk Iman. Khas dari akak sekeluarga.” Balas Zulaikha
yang cuba mengelak dari menjawab pertanyaan Nur Imanina. Dalam kepalanya cuba
merangka jawapan yang sesuai untuk diberi.
“Er… Kak.. Kejap.. Macam mana akak…” Kotak empat segi berikat riben
merah hati itu masih tidak disambut.
“Alah Iman. Kan Taska Nur Ilham ni ada letak profile tenaga pengajar dekat dalam website. So, hari tu akak
ada tengok profile Iman. Tu yang
teringat hari ni hari jadi Iman.” Bohong Zulaikha. Sebenarnya dia sendiri tidak
pasti sama ada profil Nur Imanina ada dinyatakan tarikh lahir ataupun tidak.
Itu sahaja yang terlintas difikirannya apabila teringat cerita suaminya
bagaimana dia mendapat tahu tentang Nur Imanina yang bekerja sebagai tenaga
pengajar di taska itu.
“Er…”
“Nah, ambil ni. Dari akak and
family. Suami akak pun kirim salam dengan Iman.” Zulaikha menarik tangan
Nur Imanina dan terus meletakkan kotak itu.
Nur Imanina pula tidak terkata apa. Belum lagi cukup sebulan dia
mengenali Zulaikha dan keluarga. Tetapi kini dia menerima hadiah hari lahir
dari wanita itu pula.
“Okeylah Iman. Akak pergi dulu. Have
a nice day! Assalamualaikum.”
Ucap Zulaikha sebelum berlalu.
“Er.. Waalaikumussalam. Thanks
kak.” Itu sahaja yang mampu diucapkan sebelum kotak yang masih tidak diketahui
isi dalamnya dipandang dengan penuh tanda tanya.
*******
“Jangan
malu-malu Iman.” Ujar Datin Farah mesra.
“Er.. Ya Datin.. Buat susah-susah aje.” Balas Nur Imanina serba
salah melihat segala jenis makanan yang sedia terhidang.
“Nek Wan! Baju!” Jerit Zarif Aimin yang berdiri di atas tangga
dengan hanya bertuala.
Mak Som yang mendengar jeritan Zarif Aimin cepat keluar dari ruang
dapur. “Zarif, Nek Som dah letak atas katil tadi.” Ujar Mak Som sambil
memandang ke wajah si kecil itu.
“Tak nak baju tu. Nak baju lain…” Balas si kecil dengan wajah yang
memuncung.
“Menagadalah Zarif ni. Pakai ajelah baju yang Nek Som dah letak tu.
Ni Mama Iman dah tunggu nak makan sama ni.” Celah Datin Farah pula.
“Ala… Tak naklah Nek Wan…” Rengek si kecil itu lagi.
“Iyalah iyalah… Nek Som carikan baju lain.” Mak Som mula memanjat
tangga mendapatkan Zarif Aimin.
“Mak Som, biarlah Iman yang tolong carikan baju Zarif boleh?” Sampuk
Nur Imanina tiba-tiba menawarkan diri. Tidak sampai hati melihat Mak Som
terkocoh-kocoh. Sudahlah wanita itu bertungkus-lumus membantu Datin Farah
masak.
“Cepatlah mama!” Sahut Zarif Aimin terus.
Datin Farah sudah menggelengkan kepala melihat kerenah cucunya itu.
“Buat susah Iman aje.. Dia memang macam tu. Manja sangat. Adalah yang dia tak
berkenan dengan baju tu.” Ujarnya kemudian sebaik Nur Imanina memanjat tangga.
Nur Imanina hanya tersenyum kecil. Dia sendiri sedia maklum akan
sikap manja si kecil itu jika di taska.
“Biasalah Datin.” Tambah Mak Som pula. “Zarif tunjukkan Mama Iman
bilik Zarif.” Sambungnya lagi.
Si kecil itu sudah tersengih-sengih.
“Jom mama. Masuk bilik Zarif.” Ujar si kecil sambil menarik jemari
Nur Imanina agar mengekorinya.
Nur Imanina hanya menurut hingga kaki menginjak ruangan atas rumah
yang agak luas. Ada empat lagi pintu yang bertutup. Di ruang tengah atas itu
lengkap dengan set sistem bunyi mewah. Mungkin ruang istirahat utama keluarga
itu. Dia memandang kagum.
Masuk pula ke ruang bilik Zarif Aimin yang pada perkiraannya lebih
besar dari bilik tidurnya sendiri. Dinding bilik berwarna biru lembut itu
dihiasi dengan potret besar si kecil itu ketika bayi. Sedang lena di dalam
dakapan kedua-dua ibu bapanya. Di sudut lain pula terdapat meja tulis yang
lengkap dengan komputer riba. Setiap rak yang ada dipenuhi dengan alat
permainan.
“Sini mama.” Tutur si kecil menunjukkan almari pakaian. Salah satu
daripada enam daun pintu yang bertutup dibuka.
Nur Imanina menggelengkan kepala perlahan. Sekali lagi dia kagum
melihat kemewahan yang ada. “Banyaknya baju Zarif. Siapa yang beli
banyak-banyak ni?” Soalnya sambil membelek setiap pasang baju yang berlipat
rapi. Dia cuba memilih baju yang sesuai untuk si kecil itu.
“Papa Iman.” Jawab si kecil itu yang sudah duduk di birai katil.
“Zarif pakai yang ni boleh?” Ujar Nur Imanina sebaik menarik sehelai
baju-t tanpa koler dipadankan dengan seluar jeans
paras lutut. Pada ketika itu sempat Nur Imanina menjeling pada jenama yang
terlekat di bahagian leher baju putih kosong itu. Hampir ke semua pakaian si
kecil dari jenama yang terkenal.
“Okey mama.” Balas Zarif Aimin senang.
“Zarif boleh pakai sendiri kan?” Tanya Nur Imanina lagi sambil
menghulurkan baju yang sudah dikeluarkan.
Si kecil itu terus menganggukkan kepala.
“Mama Iman tunggu dekat bawah.” Ujar Nur Imanina sebelum mengorak
langkah.
“Nantilah mama. Tunggu sini.” Cepat Zarif Aimin melarang.
“Eh, malulah mama nak tengok Zarif pakai baju. Mama tunggu dekat
depan tu okey?” Nur Imanina menolak lembut.
“Okey!” Balas si kecil yang sudah pun melucutkan tuala pada
tubuhnya.
Nur Imanina menanti di ruang rehat yang luas itu. Sempat juga matanya
menjeling ke arah dinding yang terhias dengan gambar keluarga. Matanya terlekat
pada wajah lelaki yang tersenyum manis. Dia tidak dapat menafikan wajah lelaki
itu memang mampu mencairkan hati mana-mana perempuan yang memandang.
Lebih-lebih lagi dengan lekuk di pipi kanan itu. Tetapi entah kenapa dia pula
yang Iman Faliq pilih untuk berkenalan sedangkan masih ramai lagi perempuan
yang lebih cantik daripadanya.
Terpandang pula sekeping gambar yang paling hujung bersebelahan
bilik Zarif Aimin. Nur Imanina mendekati gambar itu. Satu persatu wajah di
dalam gambar itu ditenung lama. Yakin itu gambar Iman Faliq ketika diusia muda.
Mereka bergambar bersama motosikal masing-masing. Dalam gambar itu juga matanya
tertangkap satu raut wajah yang amat dikenali. Bibir diketap rapat. Pelbagai
persoalan mula muncul di dalam benaknya ketika itu.
“Mama Iman, dah siap.” Teguran si kecil membuatkan Nur Imanina
sedikit tersentak. Hilang bertaburan seraut wajah yang berlegar-legar di
kepalanya tadi. Dia hampir tergelak melihat wajah Zarif yang sudah
bertompok-tompok putih.
“Comotnya anak mama ni..” Nur Imanina mendekati si kecil itu seraya
merapikan tompok bedak yang ada. “Zarif dah sikat rambut belum ni?” Tambahnya
apabila melihat rambut si kecil itu kusut berselerakan.
“Dah mama.” Jawab Zarif Aimin sambil menguis hujung rambutnya dengan
jari.
“Dah? Macam belum aje.” Kata Nur Imanina pelik.
“Dah.. Rambut macam papa.” Balas si kecil itu lagi.
Nur Imanina mengukir senyum. Baru dia perasan gaya rambut si kecil
itu sama seperti Iman Faliq.
“Papa Iman!” Terjerit si kecil apabila melihat bapa saudaranya
baharu sahaja muncul.
“Happy birthday Mama
Iman.” Ucap Iman Faliq berserta senyuman.
“Er.. Terima kasih.” Senyuman kelat sahaja yang mampu dilemparkan.
Pastinya lelaki itu tahu dari Datin Farah yang sibuk menyediakan makanan tengah
hari buatnya. “Er… Jomlah kita turun Zarif. Lama Nek Wan dah tunggu.” Ujar Nur
Imanina serba tidak kena. Dia ingin segera berlalu. Namun langkahnya mati
apabila Iman Faliq sedikit pun tidak berganjak dari atas tangga. Menghalang
laluannya. Dia pula sudah berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu. Manakala
Zarif Amin sempat pula melalui ruang kecil di sisi tubuh Iman Faliq. Takkan
pula dia ingin mengikut cara si kecil itu yang sememangnya jauh lebih kecil
darinya. “Er… Maaf..” Ucapnya takut-takut dengan harapan lelaki itu faham.
“Saya rasa, saya macam kenal awaklah.” Ujar lelaki itu dengan muka
yang berkerut. Posisinya sedikit pun tidak berubah.
Nur Imanina membuang pandang ke arah lain. ‘Ah! Ayat nak mengurat.
Bosan!’ Kutuknya dalam diam.
“Papa! Tepilah! Mama Iman nak lalu!” Jerit si kecil di hujung tangga
membuatkan Iman Faliq spontan menggerakkan tubuhnya. Hampir terleka dia menatap
wajah yang serba tidak kena itu.
“Iman! Apa lagi tunggu tu? Jom turun makan.” Kedengaran suara Datin
Farah pula.
“Ya Datin!”
“Ya Ma!”
Kedua-duanya menjawab hampir serentak.
Zarif Aimin mengekek gelak. Manakala Datin Farah melepaskan tawa
kecil.
Iman Faliq sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Nur Imanina
pula tersenyum kelat sebelum terus meloloskan diri.
……………
“Mama Iman!
Tengok papa ni.” Adu si kecil yang sudah memuncung sebaik dia muncul di ruang
rehat keluarga itu dengan puding jagung di dalam dulang. Jika diberi pilihan,
dia sanggup untuk melakukan semua kerja-kerja dapur daripada terpaksa
berhadapan dengan Iman Faliq. Ketika makan tadi dia perasan mata lelaki itu
kerap singgah ke wajahnya. Disebabkan
itu juga dia lebih banyak mendiamkan diri. Bercakap bila perlu sahaja.
“Kenapa ni?” Soalnya berbasa-basi sebaik meletakkan dulang yang dibawa di atas
meja kopi.
“Papa Iman kalahkan Zarif.” Jawab Zarif Aimin yang terus
mendapatkannya. Dia hanya mampu mengoyak senyum nipis. ‘Budak kecik, bolehlah…’ Kutuknya dalam hati
apabila melihat Iman Faliq yang tersengih-sengih kerana berjaya memenangi
permainan video. Dalam masa yang sama sempat juga matanya menjeling ke tubuh
lelaki itu yang sudah pun bertukar. Lebih santai dengan baju-t warna putih
bersama jeans hitamnya. Hampir sama pula dengan baju yang dipilih buat si kecil
itu tadi.
“Nek Wan!” Zarif Aimin mahu mengadu pula pada Datin Farah yang turut
muncul di ruang itu.
“Sudah tu. Siapa suruh Zarif lawan papa. Mestilah papa menang.”
Balas Datin Farah sambil mengeluarkan puding jagung yang dibawa oleh Nur
Imanina tadi dari dalam dulang.
“Er… Datin, saya nak mintak
diri dulu. Dah lama sangat rasanya saya dekat sini. Datin dah susah-susah hari
ni masak untuk saya..” Ucap Nur Imanina serba salah. Tidak betah dia menjadi
mangsa renungan lelaki di hadapannya saat itu.
“Alah Iman. Bukan selalu pun kan? Baru tahun ni saya rasa nak buat
lain sikit. Biasanya saya belanja makan dekat luar aje. Boring jugak kan..” Balas
Datin Farah yang semakin menyukai gadis itu. Ringan tulang membantunya berkemas
di dapur tadi. “Erm.. Awal lagi ni. Iman ada nak ke mana-mana ke?” Lanjutnya
sebaik melihat jam yang terlekat di dinding hadapannya hampir empat petang.
“Er.. Takda..”
“Alah.. Tunggu kejaplah. Kamu temankan Zarif makan dulu, saya nak
turun kejap.” Pintas Datin Farah terus yang sengaja mahu memberi peluang kepada
anak sulungnya yang diam sejak tadi. Bukan dia tidak perasan pandangan mata
Iman Faliq ketika makan tadi.
Nur Imanina tidak mampu untuk mengelak lagi. Terpaksa dia berhadapan
dengan Iman Faliq di situ. “Zarif, kan Mama Iman ajar kalau makan tu
elok-elok.” Tegurnya seraya mencapai sehelai tisu di atas meja apabila puding
yang sedang dimakan oleh si kecil sudah jatuh ke lantai.
“Mama turun ambil kain lap sekejap.” Ujarnya kemudian sebelum
bingkas. Lantai di hujung kaki si kecil itu sedikit melekit dan perlu dilap
dengan kain basah.
“Mama Iman..”
Baru sahaja kakinya memijak anak tangga yang pertama, dia segera
berpaling apabila namanya dipanggil. Dia menoleh ke arah Iman Faliq.
“Er… Awak.. Er..” Iman Faliq seperti tergagap-gagap untuk meneruskan
kata.
“Kenapa?” Soalnya tidak bernada.
“Er.. Awak period ke?”
Tutur Iman Faliq serba salah. Tompok merah yang terlekat di bahagian belakang
baju kurung yang dipakai Nur Imanina kelihatan pelik di matanya. Kontra dengan
warna merah jambu corak pada baju.
Nur Imanina ketap bibir. Wajahnya mula membahang. “Er.. Macam mana
awak..” Tidak jadi dia meneruskan kata. Termalu sendiri! Tanpa mahu
mempedulikan kata-kata lelaki itu, dia kembali mengorak langkah. Namanya tetap kedengaran menyebabkan sekali
lagi langkahnya mati. Namun dia tidak berpaling. “Ada apa lagi Encik Iman?”
Soalnya dengan suara yang tertahan. Pada hematnya, Iman Faliq sekadar ingin
bergurau walaupun dirasakan gurauan itu serba tidak kena sebab melibatkan hal
peribadinya. Mungkin dia tersalah dengar apa yang diucapkan oleh lelaki itu
tadi.
“Er.. Saya rasa awak memang period.”
Ujar Iman Faliq seraya menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Er.. Apa maksud Encik Iman ni?” Balas Nur Imanina dengan wajah yang
memerah. Mahu atau tidak dia perlu berhadapan dengan lelaki itu.
“Tu…” Iman Faliq memuncungkan mulutnya ke arah belakang baju kurung
wanita itu yang sedang merenungnya tajam.
“Apa yang tu?” Tanya Nur Imanina pelik. Kakinya melangkah setapak ke
belakang apabila Iman Faliq menghampirinya.
“Err.. Dekat belakang baju awak ni ada…” Mati kata-kata Iman Faliq
yang sudah berdiri hampir.
Serentak itu juga Nur Imanina menoleh. “Alamak!” Sepatah perkataan
itu yang terlepas di bibirnya. Bibir diketap kuat. Tidak sanggup memandang
wajah Iman Faliq saat itu. Bertambah kebas wajahnya. “Er… Maaf. Saya balik
dulu..” Ucapnya laju tanpa menunggu lama. Kakinya cepat diatur menuruni tangga
sehingga bertembung dengan Datin Farah di hujung tangga.
“Kenapa ni Iman?” Datin Farah sempat menahan dari Nur Imanina dari
terus melangkah.
No comments:
Post a Comment