“Zarif, Zarif
masuk kelas dulu. Papa ada hal nak cakap dengan Mama Iman.” Bisik Iman Faliq
ketika tiba di pintu pagar taska. Mujur saat itu masih belum lagi ramai anak
murid yang datang kerana dia sengaja ingin mengambil peluang untuk bertemu
dengan Nur Imanina selepas apa yang berlaku tempoh hari.
“Okey papa!” Zarif Aimin terus berlalu tanpa banyak soal.
Nur Imanina membuang pandang ke arah lain. Sedaya upaya dia
menenangkan dirinya walaupun tetap canggung berhadapan dengan lelaki itu. Tidak
semena-mena wajahnya kebas apabila teringat kembali apa yang berlaku.
“Awak, ada macam-macam
jenis ni. Yang mana satu?” tanya suara garau itu yang kedengaran sedikit
kelam-kabut di hujung talian.
“Er.. Cari yang ada wings.”
Balas Nur Imanina dalam malu. Mujur juga lelaki itu tiada di hadapannya.
“Wings? Erm, okey. Dah
jumpa. Warna?” tanya lelaki itu lagi.
“Er… Pink.”
“Okey… Jenama?”
“Er.. Intimate…”
“Okay! Got it!”
Kepalanya digeleng tanpa sedar.
“Awak okey ke hari ni?” Iman Faliq memulakan kata. Pelik melihat Nur
Imanina tiba-tiba menggelengkan kepala.
“Er.. Macam biasa.” Jawab Nur Imanina antara mahu dengan tidak. Wajahnya
membahang. Terlupa sebentar kewujudan Iman Faliq di situ. ‘Kenapalah hari ni
kau rajin sangat hantar Zarif… Haish!’ Rungutnya dalam hati. Malu kerana hal
tempoh hari pun tidak lagi hilang. Belum pernah ada mana-mana lelaki yang
terlihat dia dalam keadaan uzur. Entah di mana harus disorok wajahnya. “Er..
Ada apa-apa yang saya boleh tolong Encik Iman?” Ujarnya berbasa-basi.
Cepat sahaja wajahnya dilarikan ke arah lain dari menatap wajah Iman
Faliq. Terlebih segak hamba Allah di hadapannya itu sehingga hilang rentak nada
jantungnya. Ditambah pula bauan yang cukup menyenangkan. Baru dia perasan
sesuatu. Aroma dari tubuh lelaki itu sama dengan aroma pada tubuh si kecil
Zarif Aimin. ‘Papa borek anak saudara rintik!’ Pelik sungguh pepatah yang
bemain dalam kepalanya.
Iman Faliq diam sebentar. Tercari-cari jawapan yang sesuai untuk
diberikan. “Er.. Saya nak mintak maaf
fasal..”
“Takpa, saya dah lupakan.” Pintas Nur Imanina cepat dengan senyuman
kelat. Tidak sanggup mendengar hal yang memalukan itu meniti bibir Iman Faliq.
“Erm, Encik Iman tak pergi kerja ke? Takut lewat pulak nanti.” Lanjutnya kemudian cepat menukar topik. Tidak mahu
Iman Faliq berlamaan lagi di situ.
“Er.. Nak pergilah ni… Erm, saya pergi dululah..” Putus Iman Faliq
akhirnya. Dia seperti ingin menampar pipinya sendiri kerana hanya itu yang
terluah dari bibirnya.
“Er… Iyalah…” Balas Nur Imanina ringkas berserta senyuman paksa
dipamerkan.
Iman Faliq pula hanya membalas dengan senyuman kecil sebelum kembali
semula ke keretanya.
“Encik Iman!” Panggil Nur Imanina sebaik Iman Faliq membuka pintu
kereta. Lelaki itu memalingkan semula wajah berserta senyuman manis. ‘Murah
dengan senyuman betul dia ni!’ Gerutu Nur Imanina dalam hati.
“Ya… Ada apa-apa yang boleh saya tolong ke Mama Iman?” Ramah Iman
Faliq membalas. Dia kembali semula mendapatkan Nur Imanina yang masih berdiri
di tepi pintu pagar.
“Er… Takda apa-apa. Saya cuma nak tanya, nanti siapa yang jemput
Zarif?” Tanya Nur Imanina teringatkan Zarif Aimin apabila ternampak lekuk di
pipi kanan Iman Faliq.
“Oh.. Erm.. Pak Hashim yang jemput nanti.” Jawab Iman Faliq ringkas
sebelum kembali semula ke kereta. “Assalamualaikum.” Ucapnya sebelum meloloskan
diri ke dalam kereta.
Nur Imanina membalas dengan senyuman nipis. Salam lelaki itu hanya
dijawab di dalam hati.
Sementara Iman Faliq yang selamat masuk ke dalam kereta terus
menghamburkan tawa. Lucu melihat wajah merah padam Nur Imanina sebentar tadi.
Bukan dia tidak perasan riak tidak senang yang terlukis. Terkenang kembali apa
yang berlaku tempoh hari membuatkan senyum di bibirnya berlanjutan. Dia tahu
yang Nur Imanina kini malu untuk berhadapan dengannya. ‘Tunggulah Mama Iman…’
Bisiknya nakal. Diharapkan rancangan yang sudah dirancang akan menjadi. Kini
terpulang kepada Zarif Aimin pula. Dia tahu anak saudaranya itu bijak memujuk.
“Selamat pagi Iman…” Sapa Zulaikha yang baru tiba menghantar
anaknya.
“Selamat pagi kak…” Jawab Nur Imanina mesra. Nur Afifi sudah pun
berlari masuk ke dalam kelas.
“Siapa tadi tu Iman? Boyfriend
eh?” Tanya Zulaikha sekadar mengusik. Dia ternampak Nur Imanina berbual dengan
seorang lelaki tadi. Bukan main lagi bergaya. Dilihat kepada kereta yang
dipakai juga sudah menunjukkan lelaki itu dari keluarga yang berada.
“Mana ada boyfriend kak.
Tu anak tuan punya taska ni.” Akui Nur Imanina jujur. Dia berasa sedikit lega
kerana Iman Faliq sudah pun beredar. ‘Gila nak mengaku boyfriend?’ Silap hari bulan dia dibuang kerja sebab terhegeh-hegeh
dengan anak bos sendiri.
“Iya ke? Macam bukan aje akak tengok. Lain macam dia pandang Iman
tadi.” Zulaikha cuba mencungkil rahsia.
“Mana ada kak. Biasa ajelah. Tadi dia datang hantar Zarif.” Terang
Nur Imanina tidak mahu Zulaikha tersalah anggap.
“Kalau ada apa-apa pun apa salahnya Iman. Sesuai akak tengok bila
dia berdiri dengan Iman tadi.” Giat Zulaikha lagi.
“Apalah akak ni. Saya kenal pun tak sampai sebulan, nak ada
apa-apanya. Dia anak boslah kak. Takkanlah dia nakkan Iman ni pekerja mak dia.
Dekat office dia tu mesti anak-anak
datuk ramai yang tunggu.” Balas Nur Imanina merendah diri. Itu salah satu
hakikat yang harus diterima.
“Mana Iman tahu?” Soal Zulaikha dengan kening terangkat.
“Er… Iman agak aje… Kan biasanya anak orang kaya kahwin dengan anak
orang kaya jugak…” Jawab Nur Imanina
dengan sengihan kelat.
“Apalah Iman ni. Cepat sangat prasangka. Entah-entah dia memang nak try tackle Iman tak? Jodoh… Mana kita
tahu Iman…” Tidak henti Zulaikha ingin mengusik.
“Mengarut ajelah akak ni. Iman berani janjilah kak. Kalau betullah
dia jodoh Iman, Iman janji Iman belanja akak sekeluarga makan.” Nur Imanina
melayan usikan Zulaikha. Dia tahu Zulaikha bukanlah serius.
“Betul nak belanja akak sekeluarga? Esok-esok kalau jadi, akak risau
Iman aje yang dah tak ingat pada akak… Maklumlah dah kahwin dengan orang kaya…”
Gurau Zulaikha lagi.
“Akak ni… Serius pulak.
Kalau nak belanja makan, hari ni pun boleh kak. Tak payah nak tunggu orang kaya
tackle saya. Kalau setakat keluarga
akak, Inshaa Allah… Saya mampu lagi kak…” Jawab Nur Imanina diiringi tawa
kecil.
“Hm… Kalau macam tu, apa kata hujung minggu ni Iman datang rumah
akak.” Ujar Zulaikha mula teruja. Datang pula satu idea di dalam kepalanya.
“Aik! Kenapa pulak Iman
yang kena datang rumah akak? Bukan ke Iman yang nak belanja?” Soal Nur Imanina
kembali.
“Memanglah Iman yang belanja. Tapi apa kata kalau Iman belanja akak
sekeluarga makan tapi Iman yang masak.
Dapat jugak akak rasa masakan Iman.”
Balas Zulaikha berserta senyuman penuh makna.
“Macam tu pulak? Erm..
Iman ni tak pandai masaklah akak.” Nur Imanina merendah diri lagi. Dia tidaklah
begitu arif memasak. Hanya masakan kampung sahaja yang diketahui. Itu pun
dipelajari dari ibu angkatnya.
“Takpalah Iman. Akak pun takdalah pandai masak. Boleh akak tolong
mana-mana yang patut. Akak dekat rumah pun selalu masak yang ringkas-ringkas
aje Iman. Suami akak dia memang tak suka makan dekat luar. Kalau akak balik
lambat pun, dia sanggup tunggu akak masak. Janji, makan dekat rumah.” Cerita
Zulaikha perihal suaminya.
“Erm.. Kalau akak dah cakap macam tu, kalau takda apa-apa, Inshaa
Allah Iman datang. Disebabkan Iman yang nak belanja, biar semua barang masak
Iman beli ya?” Ujar Nur Imanina senang.
“Akak ikut aje… Erm.. Iman, akak rasa akak dah nak kena pergilah.
Syok sangat berborak dengan Iman sampai terlupa.” Kata Zulaikha sambil melihat
jam di pergelangan tangannya. “Iman datang rumah akak nanti, bolehlah kita
borak macam-macam lagi.” Sambung Zulaikha sambil membetulkan tudung kepalanya
yang ditiup angin pagi. Cuaca agak mendung pagi itu.
“Inshaa Allah kak. Nanti kalau jadi, Iman call akak dulu ya? Alamat akak sama aje dalam profil Fifi kan?”
Tanya Nur Imanina untuk kepastian.
“Ha’ah.. Akak pergi dululah Iman. Apa-apa hal, kalau Iman tak jumpa
rumah akak ke, call aje akak okey?”
Balas Zulaikha sambil menghulur tangan untuk bersalaman.
“Mama Iman…” Panggil Zarif Aimin yang berjalan mendapatkan Nur
Imanina di tepi pagar. Nur Afifi turut sama ada.
“Ibu!” Panggil Afifi ceria.
“Anak ibu jangan nakal-nakal. Dengar cakap Cikgu Iman…” Sempat
Zulaikha berpesan. Si kecil itu hanya tersengih berdiri di sebelah Zarif Aimin.
“Okey Iman, akak gerak dulu ya. Assalamualaikum.” Ucap Zulaikha
sebelum melambaikan tangan dan masuk ke dalam kereta.
Nur Imanina membalas seadanya. “Okey, jom kita masuk kelas sayang…”
Kata Nur Imanina lembut mengajak kedua-dua anak kecil itu selepas Zulaikha
berlalu. Tidak perlu dipaksa, mereka berlumba-lumba masuk ke dalam kelas.
...............
“Zarif, Papa
Iman call. Dia nak cakap dengan
Zarif.” Kata Ema di muka pintu taska.
Ketika itu Zarif Aimin sedang duduk di buaian. Anak-anak kecil lain
sudah pun pulang. Hanya Zarif Aimin sahaja yang masih setia menanti.
“Tu, Papa Iman nak cakap.” Ujar Nur Imanina pula yang menemani si
kecil di situ. Baru sebentar tadi Datin Farah menghubunginya yang Pak Hashim
lambat sedikit tiba. Untuk mengelakkan si kecil itu memasam muka, dialah yang
terpaksa melayan.
Selang beberapa minit, dilihat Zarif Aimin membawa beg sandangnya.
“Mama… Ni Papa Iman bagi.” Kata Zarif Aimin ceria sambil
menghulurkan kotak baldu hitam sebesar tapak tangan.
“Eh, apa ni? Betul untuk mama?” Soal Nur Imanina lagi sebelum
menyambut huluran itu.
Zarif Aimin hanya menganggukkan kepala. Sebelum ini, kuntuman bunga
sahaja yang diterima. Untuk kali ini tidak pula. Nur Imanina sudah mengerutkan
dahinya. Mula serba salah. Tahulah kini kenapa lelaki itu ingin bercakap dengan
Zarif Aimin tadi. Perlahan-lahan dia membuka kotak itu. Membulat matanya
apabila melihat sepasang kerongsang berbatu biru yang dirasakan cukup unik
rekaannya. Dia perasan jenama mewah yang tertera di dalam kotak itu. Liur
ditelan kesat.
“Mama… Ni..” Zarif Aimin menghulurkan pula sekeping kad kecil.
“Ada lagi...” Keluh Nur Imanina perlahan. Dia memandang ke wajah si
kecil di hadapannya itu yang sudah tersengih-sengih. Entah apa yang disogok
oleh Iman Faliq. Suka benar nampaknya.
Dear Mama Iman,
Lekuk Zarif di pipi
kiri,
Untuk awak, selamat hari jadi.
p/s- maaf lambat. :D
Nur Imanina sembunyi senyum apabila membaca coretan ringkas yang
dititipkan. ‘Tak habis-habis dengan pantun dua kerat dia.’ Bisiknya sendiri.
Tetapi apabila terlihat akan jenama yang tertera, keluhan halus terbit di
bibirnya. Rantai emas yang terukir namanya pemberian Zulaikha beberapa hari
lalu sudah memberi tanda tanya kepadanya, kini ditambah lagi dengan hadiah Iman
Faliq. Pada hematnya, tidak perlu lelaki itu berhabis duit demi dirinya.
Melainkan mempunyai tujuan tertentu.
Pap!
Tak semena-mena dia menampar perlahan dahinya sendiri. Lupa dia mahu
bertanya tentang rantai emas yang diterima kepada Zulaikha tadi. Hish! “Erm…
Zarif…” Panggil Nur Imanina lembut. Mendayu-dayu suaranya menyebut nama si
kecil itu.
“Ya mama..” Zarif Aimin yang sudah kembali ke buaian sedang berbuai
laju, mendapatkan Nur Imanina semula.
“Zarif… Nanti, Zarif bagi balik kotak ni pada Papa Iman ya? Cakap
pada Papa Iman, Mama Iman bagi.” Kata Nur Imanina kepada si kecil.
“Tak boleh. Papa Iman kata, kalau papa dah bagi, tak boleh ambik balik.” Balas Zarif Aimin lurus.
Dia berlari semula ke buaian yang didudukinya tadi. Tetapi keluhan panjang pula
yang terzahir dari bibir Nur Imanina.
“Ala… Zarif cakaplah dengan Papa Iman, mama dah ada yang macam ni.
Mama tak nak dah…” Dia perlu memujuk si kecil itu sebaik-baiknya memandangkan
pengaruh Iman Faliq terlalu kuat. Semuanya kerana Iman Faliq!
“Tak naklah mama. Nanti Papa Iman marah Zarif. Nanti papa tak nak bawak Zarif pergi KLCC.” Akui si kecil
itu jujur.
“KLCC?” Nur Imanina kerut
dahi lagi. Ketap bibir. Dia mula geram. Anak sekecil Zarif Aimin memang
senang-senang disogok.
“Papa Iman nak bawak Zarif
pergi Petrosains nanti mama…” Beritahu si kecil itu tanpa dipinta. “Mama simpan
ajelah…” Sambung si kecil tanpa menghiraukan riak wajah Nur Imanina. “Mama, Tok
Shim dah sampai.” Lanjutnya lagi seraya memikul beg sandangnya apabila melihat
Pak Hashim keluar dari kereta.
Nur Imanina turut memandang ke arah yang sama sebelum melemparkan
senyuman tawar kepada Pak Hashim yang baru tiba.
“Bye Mama Iman! See you tomorrow!” Kata si kecil itu
selepas menyalami dan mengucup pipi Nur Imanina seperti biasa. Dia terus
berlari mendapatkan Pak Hashim yang sudah menunggu di pintu pagar.
Nur Imanina tidak berkata apa sebaliknya hanya membalas lambaian
tangan Zarif Aimin sebelum si kecil itu masuk ke dalam kereta.
“Iman…” Suara Ema menegur yang sudah pun berdiri di sisinya.
“Kak…” Lemah Nur Imanina membalas.
“Hadiah dari Papa Iman?” Soal Ema apabila melihat sebuah kotak yang
dipegang oleh Nur Imanina. Perasan akan kerutan di wajah gadis itu.
“Kak… Saya nak pulangkanlah hadiah ni kak.” Kata Nur Imanina seraya
duduk semula di kerusi batu diikuti Ema.
“La… Kenapa nak pulangkan pulak?
Kan orang dah bagi Iman.” Ema mengambil kotak itu dari tangan Nur Imanina.
“Wow! Silau mata akak. Cantiknya Iman…” Puji Ema setelah melihat isi
dalam kotak tersebut.
Nur Imanina hanya memerhati. Tipulah andai dia tidak tertarik dengan
hadiah itu. Tetapi, masalahnya kini adalah si pemberi hadiah itu.
“Iman… Takut akak tengok jenama dia… Entah berapa ratus ni. Silap
hari bulan boleh cecah ribu.” Sambung Kak Ema lagi sambil mengeluarkan salah
satu dari pasang krongsang itu dan diacukan ke tudung Nur Imanina.
“Itu salah satu masalahnya kak. Jam yang Datin Farah bagi pun
berjenama jugak. Hm… Lagi satu,
hadiah dari Kak Zu.” Tutur Nur Imanina dengan keluhan panjang. Matanya jauh
memandang ke kawasan perumahan di hadapannya. Nafas berat dilepaskan. Dalam
kepalanya pelbagai soalan yang muncul tidak berjawapan.
“Kenapa dengan hadiah Kak Zu?” Soal Ema seraya meletakkan semula
kotak tersebut ke tangan Nur Imanina.
“Rantai emas kak…” Jawab Nur Imanina lambat. Ema sudah mengerutkan
keningnya. Apa masalah dengan rantai emas? Persoalan itu hanya terluah dalam
hatinya sahaja.
“Loket rantai itu ada tulis nama Iman…” Jelas Nur Imanina yang faham
maksud pandangan Ema.
“Baguslah tu… Akak ingat apalah tadi…” Sahut Kak Ema berserta
senyuman.
“Akak tak pelik ke? Saya kenal Kak Zu tu belum lagi sampai sebulan
kak. Tapi dia tiba-tiba bagi hadiah macam tu. Kan pelik tu…” Nur Imanina
meluahkan apa yang dirasa.
“Erm… Mungkin dia dah anggap Iman macam adik dia sendiri agaknya.
Akak tengok dia mesra aje kalau berbual dengan Iman. Anak dia pun suka pada
Iman.” Balas Ema lebih positif. Tidak mahu mengusutkan lagi fikiran gadis itu.
“Hm.. Entahlah kak. Macam-macam Iman fikir.” Luah Nur Imanina lagi
sambil mengilas jam tangan yang dipakainya.
“Iman… Fasal Iman Faliq… Akak rasa dah tiba masanya Iman bukak hati Iman tu. Sampai bila Iman nak
macam ni?” Tutur Ema lembut tidak mahu mengguris hati dan perasaan Nur Imanina
yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri itu.
Nur Imanina tidak menjawab. Hanya keluhan berat sahaja yang
kedengaran.
“Akak tahu selama ni Iman tutup hati Iman tu sebab sejarah lalu.
Tapi sampai bila Iman? Hm.. Akak kadang-kadang dah tak tahu apa lagi nak cakap
dengan Iman. Iman sekarang bukan muda lagi. Takkan sampai tua Iman nak hidup
sendiri macam ni? Iman tak teringin ke nak ada anak-anak? Boleh hiburkan Iman…
Yang boleh jaga Iman bila Iman dah tua nanti.” Sambung Ema sambil menggenggam
tangan jemari halus Nur Imanina. Dia perasan mata bundar itu mula
berkaca-kaca.“Iman… Akak sayang Iman macam adik akak sendiri. Mak Ita dengan
Ayah Nan pun sayang dengan Iman. Dia orang pun nak tengok Iman bahagia macam
orang lain. Bukan macam ni…” Pujuknya lagi.
“Kak… Macam mana Iman nak teruskan hidup dengan orang lain kalau
Iman sendiri tak yakin dengan diri Iman. Iman ni bukan macam perempuan lain
kak… Iman…Iman…” Nur Imanina tidak dapat meneruskan kata-katanya apabila air
mata yang keluar mencurah-curah tidak dapat lagi ditahan. Dia terus memeluk Ema
erat.
“Akak faham Iman… Akak faham…” Lembut Ema memujuk.
“Iman dengar sini cakap akak…” Ema meleraikan pelukan dan memegang
kedua-dua bahu gadis itu. “Bukan semua lelaki macam yang Iman sangka. Tak semua
lelaki macam tu Iman. Iya… Akak tak nafikan ada sesetengah lelaki yang
berkehendakkan seseorang perempuan itu semata-mata ingin memuaskan nafsu
semata-mata. Tapi, Iman kena ingat jugak.
Ada lagi lelaki yang baik dekat luar sana untuk Iman. Allah jadikan kita ni
berpasangan dik. Andai dah takdir menentukan Iman bertemu dengan seorang lelaki
dan berkahwin, Iman tak boleh tolak. Itu ketentuan Dia…” Nasihat Ema lembut
dengan harapan gadis itu dapat mengubah persepsinya terhadap lelaki setelah apa
yang pernah berlaku dahulu.
“Iman tak tahu kak…” Balas Nur Imanina lemah seraya bangun dan masuk
ke dalam taska. Hatinya belum benar-benar terbuka untuk menerima kehadiran
mana-mana lelaki walaupun kehadiran Iman Faliq sejak-sejak akhir ini mula
mencuit hati wanitanya.
*******
“Papa!” Pekik Zarif
Aimin kuat di tepi telinga Iman Faliq membuatkan lelaki itu terus terjaga.
“Apa Zarif ni jerit-jerit.” Rungut Iman Faliq yang terpisat-pisat
menegakkan tubuh.
“Nek Wan suruh jerit kuat-kuat.” Jawab si kecil itu sambil tersengih
sebelum merebahkan tubuh di tempat pembaringan bapa saudaranya tadi.
Iman Faliq menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bola mata terhala ke
arah jam dinding di hadapannya. Sudah jam tujuh malam. Dia terlelap selepas
menunaikan solat asar yang agak lewat tadi. “Nek Wan mana?” Soalnya kemudian.
Entah bila si kecil itu masuk ke biliknya pun dia tidak sedar.
“Mengaji.” Jawab si kecil itu sepatah.
“Zarif buat apa masuk sini ni? Mama dengan daddy dah balik?” Soal
Iman Faliq lagi seraya merebahkan tubuhnya kembali di sisi si kecil itu. Terasa
mahu lena kembali kerana tubuhnya yang agak letih hari itu.
“Belum.” Sepatah juga jawapan yang diberi Zarif Aimin. Kedua-dua ibu
bapa si kecil itu memang kerap pulang lewat.
“Hm.. Zarif dah bagi belum hadiah yang papa suruh bagi pada Mama
Iman tu?” Ujarnya perlahan dengan mata terpejam. Terbayang lagi wajah Nur
Imanina yang memerah.
“Dah.” Jawab Zarif Aimin sambil mengusik hujung rambut Iman Faliq
yang terjuntai di dahi.
Iman Faliq mencelikkan mata. Wajah anak saudaranya direnung
dalam-dalam. Sedikit pelik. Semudah itu Nur Imanina menerima pemberiannya.
“Betul ni?” Lanjutnya seperti tidak percaya.
Zarif Aimin mengangguk laju. “Papa, bila nak pergi KLCC?” Soal si
kecil itu pula menagih janji yang telah dibuat.
“Nantilah.. Tunggu papa cuti.” Jawab Iman Faliq yang kembali memejam
mata dengan senyuman nipis terhias di bibirnya.
Zarif Aimin pula mula mengerutkan wajah. “Bila?” Soalnya seperti
tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh bapa saudaranya.
“Nantilah.. Esok papa kerja lagilah sayang.. Weekend la kita pergi..” Jawab Iman Faliq malas. Dia tahu anak
saudaranya itu akan terus menuntut janjinya.
“Tomorrow?”
“Eh.. Tomorrow kan Friday. Bukan weekend.” Jelas Iman Faliq yang sambil mencelikkan matanya semula.
Wajah Zarif Aimin yang sudah duduk bersila di tepinya dipandang sayang.
“Promise?” Si kecil itu
sudah menghulurkan jari kelengkeng ke arahnya.
“Promise..” Sahutnya
seraya menyangkutkan jarinya ke jari si kecil itu. “So now, Zarif keluar dulu. Papa nak mandi. Nanti kita solat
sama-sama.” Sambungnya sebelum menegakkan tubuh.
“Tak nak! Zarif nak tunggu dekat sini.” Jawab si kecil itu selamba
sambil merebahkan tubuhnya kembali.
“Takda takda. Nanti Zarif usik semua barang papa.” Iman Faliq sudah
menarik tangan si kecil itu agar bangun.
“Takda. Zarif duduk sini aje.” Zarif Aimin mengeraskan tubuhnya.
Tetap tidak mahu berganjak.
“No no no. Zarif tunggu
dekat bilik Zarif. Papa tak kira.” Iman Faliq terus sahaja mencampung tubuh itu
turun dari katil hingga si kecil itu
terjerit-jerit tidak mahu. Laju dia membawa tubuh Zarif Aimin ke bilik mamanya
yang sedia terbuka. Diletakkan tubuh kecil di atas katil itu sebelum dia deras
menapak kembali ke biliknya semula dan mengunci pintu. Entah apa yang
dibebelkan oleh mamanya pun sudah tidak dihiraukan lagi apabila dia terus masuk
ke bilik air.
No comments:
Post a Comment