“Eh, Iman… Mak
Som ingat perempuan cantik manalah tadi.” Sapa Mak Som mesra yang berdiri di
tepi pintu pagar kebetulan ingin membuang sampah saat Nur Imanina turun
daripada teksi.
Nur Imanina terus mendapatkan Mak Som dan menyalami tangan orang tua
itu. Dia mula terasa serba salah kerana datang ke rumah majikannya awal pagi
itu.
“Mana kereta?” Soal Mak sedikit pelik.
“Hantar servis semalam Mak Som. Tak ambik lagi.” Jawab Nur Imanina dengan senyuman nipis.
“Oh.. Erm.. Iman ada hal dengan Datin ya?” Lanjut Mak Som sambil
memberi laluan kepada Nur Imanina untuk masuk melalui pintu kecil di sebelah
pintu pagar utama.
“Er… Taklah Mak Som.” Jawab
Nur Imanina dengan senyuman kelat. Debar hatinya saat mata terhala ke arah kereta
warna biru yang terparkir. Pastinya orang yang ingin ditemui ada di rumah. “Mak
Som, erm… Encik Iman ada tak Mak Som?” Soalnya sekadar inginkan kepastian.
Semua gara-gara hadiah yang diterima tempoh hari. Oleh sebab tidak mahu
menanggung keresahan hati berlanjutan dia muncul awal pagi itu.
“Iman keluar dengan Zarif. Tapi kejap lagi baliklah. Dia orang pergi
jogging dekat taman depan tu.” Jawab
Mak Som mesra. “Iman masuk dulu. Biar Mak Som panggilkan Datin.” Lanjutnya
sebelum terus berlalu ke ruang dapur sebaik tiba di muka pintu utama yang
ternganga luas.
“Terima kasih Mak Som..” Ucap Nur Imanina lembut sambil melangkah
masuk ke ruang tamu. Dia mula terasa tindakannya kurang wajar.
“Selamat pagi Iman…” Sapa Datin Farah yang baru keluar dari ruang
dapur. Lebar senyuman yang terukir apabila melihat susuk tubuh yang ayu
bertudung itu.
“Selamat pagi Datin.” Jawab Nur Imanina sambil mendapatkan Datin
Farah dan menyalami tangan wanita itu. Kekok dirasakan tiba-tiba.
“Jom kita ke sana…” Ajak Datin Farah sambil menarik tangan Nur
Imanina ke ruang makan. “Kata Mak Som, Iman nak jumpa Papa Iman?” Sambungnya
diiringi senyum. Sempat dia meneliti penampilan gadis itu. Sejuk mata tuanya
memandang.
“Er… Ha’ah Datin…” Balas Nur Imanina sedikit teragak-agak.
“Iman duduk sini dulu…” Kata Datin Farah sebelum terus ke ruang
dapur kembali.
“Er…Datin… Biarlah saya tolong.” Nur Imanina terus mengekori langkah
Datin Farah masuk ke dalam dapur. Tidak selesa menanti dan dilayan sebagai
tetamu. Semakin bertimpa-timpa rasa bersalah di hatinya. “Mak Som, ada apa-apa
yang Iman boleh tolong…” Ramah Nur Imanina menawarkan diri untuk membantu.
“Tak payahlah Iman… Semua dah siap ni.” Larang Datin Farah.
Dalam serba salah, Nur Imanina membantu juga Mak Som mengangkat
makanan yang sudah tersedia untuk dibawa ke ruang makan.
“Langkah kanan Iman hari ni.” Ujar Mak Som setelah meletakkan
semangkuk nasi lemak yang masih mengeluarkan asap nipis.
Nur Imanina tersenyum kelat. Serba tidak kena. Berkali-kali dia
memarahi dirinya sendiri kerana datang awal pagi itu. “Er.. Segan saya Mak Som.
Dah la datang pagi-pagi rumah orang…” Ujarnya termalu sendiri.
“Apa yang nak disegankan Iman. Bukan rumah siapa pun. Bukan selalu
Iman datang breakfast sama-sama
dengan kami. Tapi kalau datang hari-hari pun saya tak kisah selagi Iman sudi
nak makan dengan kami.” Sahut Datin Farah sambil membawa dulang berisi cawan.
Nur Imanina tersengih kelat.
“Assalamualaikum!! Nek Wan!!” Terdengar suara anak kecil memberi
salam. Kedua-duanya menoleh ke arah Zarif Aimin yang sudah terduduk di muka
pintu sedang membuka kasut sukannya.
“Sayang Nek Wan dah balik. Papa mana?” Tanya Datin Farah sudah
mendapatkan cucunya di muka pintu diikuti Nur Imanina. Berpeluh-peluh si kecil
itu.
“Mama!” Jerit Zarif Aimin riang apabila ternampak kelibat Nur
Imanina di situ.
“Ish! Busuk-busuk peluk mama dia…” Tegur Datin Farah yang suka
melihat pemandangan indah itu. Cucunya memang manja dengan Nur Imanina.
“Sorry Mama Iman…” Ucap
Zarif Aimin sambil meleraikan pelukan. Tersengih-sengih menayangkan gigi.
“Eh, awak pun ada.” Sapa satu suara yang amat dikenali. Nur Imanina
memandang sekilas ke wajah Iman Faliq yang baru sahaja tiba dengan baju yang
disimbah peluh.
“Mama, Papa Iman kalah dengan Zarif. Tadi papa suruh lumba siapa
sampai dulu dekat rumah dia menang. Zarif menang mama…” Celoteh si kecil tanpa
disuruh mengundang senyuman manis di bibir Nur Imanina. Sempat dia mengerling
ke wajah Iman Faliq yang turut tersenyum membuatkan laju dia membuang pandang
ke arah lain. Lekuk yang terserlah di pipi kanan itu mengusik hatinya.
“Hm… Sudah tu. Iman, bawak
Zarif naik mandi. Lepas ni kita boleh breakfast
sama-sama.” Ujar Datin Farah seraya berlalu ke ruang makan semula.
“Okey ma.. Tapi Iman rasa, better
mama teman Mama Iman kita ni breakfast
dulu. Takut lama pulak tunggu.” Balas
Iman Faliq yang sudah pun menapak masuk.
“Iyalah…” Balas Datin Farah pendek.
Nur Imanina yang masih tercegat di tepi pintu memerhati telatah si
kecil sedang menarik baju yang dipakai. Baru dia perasan baju yang tersarung di
tubuh si kecil itu sama dengan yang dipakai Iman Faliq. Dengan erti kata lain,
dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, sama!
“Ee.. Tak malu la Zarif ni. Kan Mama Iman tengok Zarif tu.” Tegur
Iman Faliq yang sudah berdiri di anak tangga apabila melihat anak saudaranya
terkial-kial membuka baju-t yang dipakai.
“Mama, help me mama…”
Rengek si kecil apabila butang kolar baju yang tidak dibuka sudah tersangkut.
Sukar melepasi kepala.
“Lain kali. Kalau nak bukak
baju, ni butang baju jangan lupa. Unbutton
first dear...” Ajar Nur Imanina yang sudah merendahkan diri agar sama
tinggi dengan si kecil untuk membantu.
“Thank you mama!” Ucap si
kecil seraya mengucup pipi Nur Imanina sekilas sebelum berlari mendapatkan Iman
Faliq yang memerhati dari tadi.
Nur Imanina hanya membalas dengan senyuman manis. Terlupa sebentar
kepada Iman Faliq yang menanti.
“Thanks Mama Iman.” Ucap
lelaki itu pula.
Nur Imanina hanya memandang sekilas sebelum dia terus berlalu ke
ruang makan. Rasa menyesal semakin berbuku-buku dalam hati. Selepas ini entah
apa pula yang harus dilaluinya.
“Manja betul Zarif dengan Mama Iman. Kan papa dah ajar Zarif sebelum
bukak baju.” Kata Iman Faliq sambil
memimpin si kecil itu naik ke atas. Sebenarnya muncul rasa cemburu dari celah
hatinya melihat kemesraan anak saudaranya dengan Nur Imanina.
“Forgot papa.” Jawab si
kecil selamba.
“Hm.. Zarif nanti lepas mandi terus pakai baju yang papa baru beli
semalam. Papa dah letakkan atas katil tadi.” Pesan Iman Faliq apabila tiba di
hadapan pintu bilik si kecil itu.
“Alright papa!” Jawab si
kecil akur.
“Okey.. Good boy!” Puji
Iman Faliq sebelum dia berlalu ke biliknya.
******
“Amboi! Wanginya
dua beranak ni…” Tegur Datin Farah sebaik masuk ke dalam rumah. Anak dan
cucunya sedang bersarapan.
“Zarif nak pergi KLCC.” Sahut Zarif Aimin sambil tersengih dengan
mulut yang penuh. Dua roti bakar yang diberi sudah habis dimakan.
“Mama Iman mana ma?” Soal Iman Faliq pula sebelum meneguk jus oren.
“Ada dekat luar tu tunggu kamu.” Jawab Datin Farah menyebabkan anak
sulungnya itu terus tersedak.
Zarif Aimin mengekek gelak.
“Dah kenapa kamu ni?” Datin Farah terus menghulurkan kotak tisu.
“Dia nak jumpa Iman? Pelik tu ma..” Balas Iman Faliq lambat sambil
mengelap tepi mulutnya. Terkejut dengan apa yang diberitahu.
“Pelik apanya? Ada hal penting agaknya dia nak cakap dengan kamu.”
Jawab Datin Farah sambil mengelap sisa jus oren di atas meja. “Hm.. Sebelum
kamu pergi KLCC nanti, hantarkan Iman dulu. Dia kata ada hal lepas ni.”
Lanjutnya sebelum berlalu ke ruang dapur.
“Papa, Mama Iman nak pergi KLCC ya papa?” Tanya Zarif Aimin
tiba-tiba, mengundang senyum penuh makna terhias di bibir Iman Faliq. Peluang
terbentang luas di hadapan matanya kini.
“Nanti Zarif ajak Mama Iman
kita pergi KLCC sama-sama okey?” Ujarnya sambil melebarkan senyum. Kebetulan
gadis itu tidak memandu sendiri kerana keretanya sedang diservis, peluang yang
ada tidak akan dilepaskan. Dalam masa yang sama, kepalanya ligat memikirkan hal
yang ingin disampaikan oleh gadis itu.
“Okey!” Jawab si kecil itu senang.
“Zarif dah habis makan kan? Kalau dah, pergi panggil mama. Kita
pergi sekarang. Papa nak tukar baju dulu.” Arah Iman Faliq sebelum bingkas. Dia
mahu menukar pakaiannya seketika kerana tompok jus oren yang kelihatan.
“Okey!” Tanpa banyak soal si kecil itu terus turun dari kerusi.
“Eh, nak pergi mana ni?” Sapa Nur Imanina yang muncul di muka pintu.
“Mama, Zarif nak pergi KLCC dengan mama.” Jawab si kecil itu ceria.
“Er..” Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Bukan itu yang
menjadi tujuan utamanya ke situ tadi. “Er.. Papa Iman mana?” Matanya terus
meliar mencari kelibat lelaki itu. Dia mahu segera menyelesaikan urusan yang
masih bertangguh.
“Jom.” Iman Faliq muncul kembali dengan persalinan yang lain. Baju-t
kolar warna hijau muda menjadi pilihan.
“Er.. Encik Iman.” Tergagap-gagap pula dia mahu menyampaikan
hasratnya tadi sebaik melihat wajah tenang yang sedang tersenyum itu.
“Mama kata awak ada hal nak cakap dengan saya. Apa dia?” Soal Iman
Faliq seraya mencapai kunci keretanya yang tergantung di tepi pintu.
Nur Imanina seperti teragak-agak. Hanya matanya sahaja menghantar
kelibat lelaki itu keluar untuk menghidupkan enjin kereta.
“Papa, naik kereta ni.” Ujar Zarif Aimin yang sudah lebih awal
menapak keluar sedang bersandar di tepi kereta Datin Farah.
Iman Faliq mengerutkan dahinya tiba-tiba. “Naik
kereta papalah…” Balas Iman Faliq.
“Tu for men
only papa… Mama Iman tak boleh naik.” Kata Zarif Aimin dengan mata bulatnya
terkelip-kelip memandang Iman Faliq.
“For men only?” Soal Iman Faliq lebih
kepada dirinya sendiri. Tidak faham kenapa Zarif Aimin berkata begitu.
“Tu…” Si kecil
menunjuk ke arah pelekat selebar tapak tangan yang terlekat di cermin belakang
keretanya.
Bibir mengoyak
senyum kecil. Pelekat pemberian sahabatnya Ikram pada minggu lalu yang tertulis
‘No women no cry’. Ikram mempunyai
kedai pencetakan sendiri dan pelekat itu sengaja dibuat khas buat dirinya yang
masih belum berumah tangga.
Nur Imanina
yang memerhati saat itu turut mengukir senyum. Terhibur melihat kedua-duanya
hingga hilang sebentar apa yang sedang bermain di fikirannya tadi.
“Siapa yang
kata kereta papa for men only? Tak
sama pun pada sticker tu…” Tanya Iman
Faliq sedikit pelik.
“Mama cakap…”
Petah si kecil itu menjawab.
“Mama? Mama
mana?” Iman Faliq sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Keliru pula dengan
panggilan mama yang disebut oleh anak saudaranya itu.
“Mama la…”
Jawab Zarif Aimin lurus.
Iman Faliq
menggelengkan kepala. Dia sudah dapat meneka siapa yang menyebabkan anak
saudaranya itu berkata sedemikian. Adiknya memang suka mengenakannya. Sebelum
ini Farihin Iman pernah mahu meminjam keretanya untuk menjemput seorang sahabat
di lapangan terbang. Tetapi dia yang melarang kerana kereta kesayangannya itu
belum pernah membawa mana-mana perempuan termasuklah mamanya sendiri. Farihin Iman
pun hanya sekali sahaja saat kereta wanita itu di bengkel. Itu pun dia yang
memandu. Jika ada kerja luar pula, dia lebih selesa menggunakan kereta
syarikat.
“Kita naik kereta Nek Wan la papa…” Kata si kecil itu
lagi.
“Iyalah-iyalah. Iman Faliq akhirnya mengalah. Dimatikan semula enjin
keretanya dan berpindah ke kereta mamanya.
“Dah nak pergi dah?” Muncul Datin Farah di muka pintu.
“Ha’ah ma. Tapi Iman pinjam kereta mama kejap. Kalau mama nak
keluar, mama pakai ajelah kereta Iman yang lagi satu tu. Okey?” Sahut Iman
Faliq sambil menunjuk ke arah sebuah lagi kereta miliknya yang berselimut
kerana jarang digunakan.
“Iyalah.. Kamu hati-hati bawak
kereta tu. Anak dara orang tu jaga elok-elok.” Balas Datin Farah dengan
senyuman penuh makna di bibir tuanya.
“Inshaa Allah ma… Jangan risau.” Jawab Iman Faliq sebelum menyalami
tangan Datin Farah diikuti Zarif Aimin.
“Er.. Datin..” Nur Imanina serba salah di situ sebaik Iman Faliq dan
si kecil meloloskan diri ke dalam kereta.
“Nanti Iman cakap dengan Papa Iman tu ke mana Iman nak pergi. Nanti
dia hantarkan.” Ujar Datin Farah sambil menyentuh lengan Nur Imanina. Dia tahu
gadis itu serba salah.
“Buat susah-susah Encik Iman aje Datin. Saya boleh pergi sendiri.”
Balas Nur Imanina yang tidak selesa mahu menerima bantuan lelaki itu untuk
menghantarnya ke rumah Zulaikha sebentar nanti.
“Takdanya susah Iman. Dia pun takda buat apa-apa hari ni. Jangan
risau sangat. Pergilah. Nanti lambat pulak.”
Jawab Datin Farah berserta senyuman. Dia senang melihat Nur Imanina
bergandingan dengan anaknya walaupun tahu gadis itu kurang senang.
“Er.. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Ucap Nur Imanina serba
tidak kena sebelum menyalami tangan tua majikannya.
“Waalaikumussalam. Hati-hati.” Sempat Datin Farah berpesan sebelum
Nur Imanina masuk ke dalam kereta.
……….
Iman Faliq menjeling sekilas ke sisi. Mujur juga dia memakai cermin
mata hitam. Matanya bebas memerhati segala tindak-tanduk gadis di sisinya itu.
“Ehem…” Iman Faliq cuba menarik perhatian Nur Imanina Sejak bertolak tadi,
langsung tiada bicara yang kedengaran. Si kecilnya yang duduk di belakang pula
sudah leka dengan PSP.
Nur Imanina
menoleh sekilas sebelum pandangan dibuang semula ke tengah jalan. Sebenarnya
dari tadi hatinya berdebar tidak menentu. Teragak-agak untuk memulakan kata.
“Awak kata ada
hal nak jumpa saya hari ni. Apa dia?” Tenang Iman Faliq menyusun ayat apabila
melihat gadis di sisinya itu canggung sejak tadi.
“Erm… Saya
datang sebenarnya nak… Pulangkan ni…” Jawab Nur Imanina seraya mengeluarkan
kotak baldu warna hitam yang dihadiahkan kepadanya tempoh hari.
Iman Faliq
menoleh sekilas berserta kerutan.
“Er… Saya rasa…
Saya tak boleh nak terima hadiah mahal ni Encik Iman… Encik Iman tak kenal pun
saya lagi…” Nur Imanina tergagap-gagap memberitahu apa yang tersimpan di hatinya
sejak beberapa hari lalu.
Iman Faliq
tidak menjawab. Sebaliknya dia tetap tenang memandu.
Nur Imanina
semakin tidak senang duduk apabila kata-katanya langsung tidak membalas. Kotak
baldu hitam itu masih dipegang. “Erm… Encik Iman…” Dia kembali bersuara.
“Hadiah mama
saya awak tak nak pulangkan?” Ujar Iman Faliq sinis. Geram pula rasanya bila
hadiah pemberiannya dipulangkan semula hanya atas alasan mahal dan mereka tidak
begitu kenal.
Nur Imanina
ketap bibir. Tidak tahu apa yang harus dijawab. Baru teringat yang Datin Farah
juga menghadiahkannya seutas jam yang cukup mahal dan belum tentu dia mampu
miliki.
“Tak baik tolak
rezeki Cik Iman. Rezeki pemberian Allah… Dah niat saya nak bagi awak. Awak ambik ajelah. Saya takda niat lain pun.
Kalau awak tak boleh terima sebagai hadiah hari jadi, anggap aje hadiah tu
tanda persahabatan kita. Boleh kan?” Tutur Iman Faliq tenang. Rasa bersalah
pula kerana membuatkan gadis itu terdiam.
“Tapi…”
“Kalau awak tak
nak pakai hadiah tu pun takpa… Awak
simpan aje...” Potong Iman Faliq cepat seperti berjauh hati. Dia tahu Nur
Imanina cuba mencipta pelbagai alasan untuk menolak pemberiannya.
Nur Imanina
terus senyap. Tidak tahu untuk berkata apa lagi. “Erm… Encik Iman... Saya
tak..”
“Apa buruk
sangat ke hadiah saya tu Iman, sampai awak tak nak. Saya tak paksa pun suruh
awak pakai. Saya suruh simpan aje… Tu pun susah ke?” Tebak Iman Faliq seperti
tidak berpuas hati. Dia langsung tidak memberi peluang kepada gadis itu
meneruskan kata.
Nur Imanina
terdiam. Sedikit terkejut dengan kata-kata lelaki itu.
“Papa…” Celah
Zarif Aimin tiba-tiba. Turut terkejut dengan suara bapa suadaranya yang sedikit
tinggi.
Iman Faliq
menoleh sekilas ke wajah kedua-dua insan di sisinya. Masing-masing terus
mendiamkan diri. “Kenapa awak pandang saya macam tu?” Soal Iman Faliq tiba-tiba
apabila gadis itu merenungnya.
“Er.. Encik
Iman dah salah faham…” Ujar Nur Imanina yang sudah sembunyi senyum. Teruk benar
kesannya pada Iman Faliq jika dia memulangkan semula kerongsang mahal itu.
“Salah faham?”
Iman Faliq melurutkan cermin mata hitam yang dipakai.
“Saya
sebenarnya nak cakap yang.. Saya tak boleh nak ikut Encik Iman dengan Zarif
pergi KLCC. Saya ada hal lain lepas ni.” Jawab Nur Imanina yang cuba mengawal
dari tawanya terhambur.
“Oh…” Iman
Faliq cuba mengawal perasaan. Wajahnya kebas. Tidak tahu di mana harus disorok
ketika itu. ‘Padan muka kau Iman. Gelojoh sangat!’ Marahnya sendiri dalam hati.
“Papa…” Rengek
Zarif Aimin dengan wajah yang sedikit keruh.
“Zarif kenapa?”
Soal Iman Faliq lembut.
“Dia
terperanjat agaknya bila Encik Iman tiba-tiba cakap yang tadi tu…” Sahut Nur
Imanina yang perasan si kecil itu terus berhenti bermain dengan PSPnya selepas
Iman Faliq mencelah kata-katanya tadi.
“Zarif nak buat
apa dekat KLCC nanti?” Nur Imanina cuba menarik perhatian Zarif Aimin. Kesian
dengan si kecil itu yang mungkin tidak pernah dimarahi hingga terkejut
mendengar suara Iman Faliq yang sedikit tinggi tadi.
“Petrosains
mama…” Jawab Zarif Aimin yang mula tersenyum. Sempat pula si kecil itu
menjeling bapa saudaranya.
Nur Imanina
ketawa kecil melihat perlakuan spontan Zarif Aimin. Mungkin marah dengan Iman
Faliq. “Best ke Petrosains tu?”
Soalnya lagi sengaja ingin berbual. Dia lebih senang mendengar celoteh si kecil
yang keletah itu.
“Best mama…” Jawab Zarif Aimin dengan ibu
jari di naikkan.
“Ada apa dekat
situ?” Sengaja pula dia menduga. Dia tahu si kecil itu pernah pergi ke sana.
Macam-macam yang diceritakan kepadanya sebelum ini.
“Zarif naik… Circle train mama…” Jawab si kecil itu berserta
sengihan. Namun, jawapan yang diberi mencetus tawa dari bapa saudaranya.
“Mana ada circle train.” Celah Iman Faliq dalam
sisa tawa.
“Adalah papa…
Itu pun tak tahu… Adakan mama circle
train. Papa tak tahu mama…” Balas Zarif Aimin yang sudah memuncung. Marah
apabila ditertawakan.
“Bukan circle train... Tu namanya kapsul masa.” Sahut Nur Imanina
pula membetulkan jawapan Zarif Aimin. Si kecil itu manalah tahu nama sebenar
segala peralatan dan juga barangan yang ada di situ.
“Iya ke mama?”
Zarif Aimin menyoal kembali.
“Iya sayang…
Anak mama ni kan pandai… Papa aje yang tak tahu kan…” Bijak Nur Imanina melayan
kerenah Zarif Aimin.
Zarif
Aimin terus mengekek gelak. Anak jarinya dihulurkan kepada Nur Imanina tanda
setuju dengan kata-kata Mama Imannya. Nur Imanina pula tidak menghampakan.
Disangkutkan juga anak jarinya ke jari si kecil dan mereka sama-sama tertawa.
Iman Faliq
mengerling sekilas. Telan liur dibuatnya apabila gadis itu menyebut panggilan
namanya tadi. “Tak aci betul! Zarif
kata geng dengan papa...” Ujarnya pura-pura merajuk. Padahal hatinya menyanyi
riang melihat kemesraan kedua-duanya.
“Zarif geng
dengan Mama Iman…” Jawab si kecil itu selamba sambil memeluk leher Nur Imanina
dan menghadiahkan kucupan ke pipi.
“Mama Iman aje…
Papa takda?” Kata Iman Faliq kepada si kecil.
Tanpa berlengah
Zarif Aimin turut menghadiahkan sekilas kucupan ke pipinya pula.
“Er… Encik
Iman…” Nur Imanina harus mengingatkan Iman Faliq yang dia tidak akan menyertai
dua beranak itu ke Petrosains kerana dia telah berjanji dengan Zulaikha.
“Apa kata kalau
awak buang perkataan Encik tu. Mesti lagi best
bunyinya.” Celah Iman Faliq dalam senyuman.
Nur Imanina
tersenyum kelat. “Er… Iman…” Tuturnya sedikit gagap. Rasa canggung pula
menggunakan panggilan baru itu.
“Kan sedap tu…”
Balas Iman Faliq dengan sengihan.
“Er… Saya rasa,
saya tak boleh nak ikut awak dengan Zarif pergi Petrosains. Sebab saya dah
janji dengan orang hari ni…” Ujar Nur Imanina risau menghampakan si kecil yang
sudah leka dengan PSPnya semula.
“Saya tahu…
Tadi mama dah cakap awak ada hal lain sebenarnya. Erm, awak nak pergi mana?
Boleh saya tolong hantarkan.” Iman Faliq menawarkan diri. Dia tidak keberatan
untuk menghantar ke mana sahaja destinasi wanita itu.
“Buat
susah-susah awak aje Iman. Nanti lambat pulak
nak pergi Petrosains. Awak berhentikan saya dekat depan tu aje. Nanti saya
boleh pergi sendiri…” Kata Nur Imanina yang ternampak sebuah perhentian bas
tidak jauh di hadapan.
“Mama Iman nak
pergi mana?” Sampuk si kecil tiba-tiba.
“Mama ada hal
lainlah Zarif. Dia tak dapat nak join
kita hari ni…” Terang Iman Faliq.
“Ala… Tak
naklah…” Si kecil itu sudah memuncung.
“Lain kali Mama
Iman ikut Zarif ya? Hari ni mama dah janji nak pergi rumah Fifi.” Jelas Nur
Imanina pula.
“Rumah Fifi?
Buat apa?” Petah si kecil itu terus bertanya.
“Zarif ni
sibuklah… Mama ada hal la tu dengan mama Fifi.” Jawab Iman Faliq yang faham
benar dengan perangai anak saudaranya yang akan berterusan bertanya hingga
berpuas hati.
“Ala…” Keluh
Zarif Aimin yang sudah masam mencuka.
“Awak tak payah
risaukan Zarif tu. Dia memang macam tu. Awak pun tahukan…” Sahut Iman Faliq
yang tahu gadis di sisinya itu mula serba salah. “Erm.. Rumah Fifi dekat mana?
Saya hantarkan.” Lanjutnya ikhlas.
“Er… Saya
sebenarnya nak beli barang dulu. Baru pergi rumah Fifi.” Jawab Nur Imanina
serba salah. Dia tidak mahu terlalu banyak termakan budi.
“Kalau macam
tu, awak beli barang dulu, lepas tu saya hantar pergi rumah Fifi. Lagipun,
dekat sini, susah awak nak dapat teksi.” Kata Iman Faliq sengaja mencipta
alasan kerana tahu wanita di sisinya itu sedaya upaya akan menolak bantuannya.
“Mama, Zarif
nak ikut.” Sampuk si kecil itu tiba-tiba membuatkan Iman Faliq dan Nur Imanina
berpandangan sesama sendiri sebelum masing-masing membuang pandang ke arah
lain.
“Eh, mana boleh
Zarif. Habis tu, siapa nak teman papa pergi Petrosains…” Iman Faliq cuba memujuk si kecil dari mengikut Nur
Imanina. Risau pula wanita itu tidak selesa dengan kehadiran Zarif Aimin nanti.
Nur Imanina
menjadi semakin tidak senang duduk. Bukan keberatan untuk membawa si kecil itu
bersama. Tetapi memikirkan kewujudan Iman Faliq bersamanya nanti. Entah apa
tanggapan Zulaikha jika ternampak dia bersama lelaki itu. Sebelum ini puas dia
menafikan kata-kata Zulaikha. Tetapi hari ini, seperti dia mengiyakan pula
hubungan yang ada.
“Zarif nak ikut
Mama Iman jugak…” Zarif Aimin mula
merengek.
“Zarif tak
kesiankan papa ke? Nanti takda siapa nak temankan papa naik circle train…” Iman Faliq sengaja
melirihkan nada untuk meraih perhatian si kecil.
“Zarif nak ikut
mama!” Zarif Aimin sudah mula menaikkan suaranya. Hampir menjerit.
“Er… Iman,
biarlah dia ikut saya. Lagipun, Fifi tu kawan sekelas Zarif.” Nur Imanina
akhirnya mengalah. Tidak mahu si kecil itu menangis pula nanti.
Kini Iman Faliq
pula terasa serba salah.
“Mama ajar apa
dekat sekolah? Cakap elok-elok dengan papa, mama, daddy, Nek Wan, teacher,
Nek Som… Kalau kita cakap jerit-jerit dengan our parent boleh apa Zarif? Berdo…” Tegur Nur Imanina lembut cuba
mengingatkan semula apa yang pernah diajarkan di taska.
“Sa…” Sambung
si kecil itu perlahan.
“Kalau berdosa
dengan papa kita, kita kena buat apa?” Sambung Nur Imanina lagi. Mahupun
lembut, masih ada ketegasan di situ.
“Say sorry mama…” Jawab Zarif Aimin dalam
nada yang sama.
“Say sorry to papa first. Then, you can
follow me.” Arah Nur Imanina lembut.
“I’m sorry papa…” Ucap si kecil akur lalu
menghadiahkan kucupan ke pipi Iman Faliq walaupun tanpa dipinta.
Iman Faliq
menarik senyum. Terasa bangga dengan cara Nur Imanina mengajar anak saudaranya
itu agar sentiasa beradab dengan orang tua. Lagak keibuan begitu terserlah pada
diri gadis itu.
“Sebelum kita
pergi mana-mana, kena cakap apa dulu dengan papa?” Uji Nur Imanina lagi.
“Papa, Zarif
nak ikut Mama Iman… Boleh tak papa?” Tutur si kecil itu penuh mengharap.
“Cuba Zarif
tanya Mama Iman dulu. If she say yes… So,
you can go…” Balas Iman Faliq senang. Tahu yang anak saudaranya itu
beriya-iya benar ingin mengikut Nur Imanina.
“Mama…” Seru
Zarif Aimin lembut.
“Zarif boleh
ikut mama…” Jawab Nur Imanina dengan senyuman manis. Tidak sampai hati pula
untuk menghampakan.
“Yeay! Zarif nak pergi rumah Fifi.” Sorak
Zarif Aimin gembira. Hilang wajah cemberutnya tadi.
Iman Faliq dan
Nur Imanina sekali lagi berpandangan sesama sendiri sebelum masing-masing
tersenyum. Anak sekecil Zarif Aimin, tidak lagi memahami apa. Jika A katanya,
maka A jugalah yang harus diturutkan. Lebih-lebih lagi anak manja seperti si
kecil itu.
“Sorry Iman. Saya ni susahkan awak pulak nak kena jaga Zarif. Tak mengganggu
awak ke nanti?” Ujar Iman Faliq kemudian. Lain yang dirancang, lain pula
jadinya.
“Takpalah.
Budak-budak… Biasalah tu.” Jawab Nur Imanina senang.
“Erm, awak nak
beli apa ya? Kita singgah sini boleh?” Soal Iman Faliq apabila berhenti di
lampu isyarat merah. Di sebelah kanannya tersergam bangunan pusat
membeli-belah.
“Boleh aje.
Lagi pun, rumah Fifi dah tak jauh dari sini.” Balas Nur Imanina hanya
bersetuju. “Er… Sorry Iman. Susahkan
awak aje…” Lanjutnya kemudian sebaik kereta yang dipandu lelaki itu mula
membelok sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
“Eh, apa pulak yang susahnya. Lagipun saya dah
tak jadi nak pergi Petrosains kan Zarif...” Sengaja Iman Faliq menekan
perkataan Petrosains bagi menarik perhatian anak saudaranya yang berdiri di antara
dia dan Nur Imanina. Tersengih lebar si kecil itu.
“Mama, rumah
Fifi dekat sini ke mama?” Si kecil itu bertanya dengan kerutan di wajah
menyebabkan Nur Imanina dan Iman Faliq menarik senyum apabila kereta yang
dipandu masuk ke kawasan pusat membeli belah.
“Bukanlah. Mama
Iman nak beli barang dulu. Lepas ni, baru kita pergi rumah Fifi.” Sahut Iman
Faliq sebelum memberhentikan kereta di salah sebuah petak kosong yang ada.
“Erm.. Beli fried chicken ya mama?” Ujar si kecil
itu lagi menyebabkan Nur Imanina dan Iman Faliq menahan tawa.
“Apalah Zarif
ni.. Siapa nak beli fried chicken.
Mama Iman nak beli barang lainlah.” Jawab Iman Faliq lagi sambil menggelengkan
kepala. Agak kerap juga dia membawa Zarif Aimin ke situ semata-mata mahu
membeli makanan segera itu.
Zarif Aimin
tersengih malu.
“Sudah tu..
Jom.” Ujar Iman Faliq sebaik enjin kereta dimatikan. “Sorry la Iman. Awak tahulah Zarif. Ayam aje yang dia ingat.”
Ujarnya kepada Nur Imanina yang tersenyum manis.
“Takpa.. Saya
faham.” Balas Nur Imanina sebelum keluar dari kereta. Bukan dia tidak tahu akan
kegemaran Zarif Aimin.
Dalam pada itu,
ada hati yang terusik saat melihat kemesraan yang terjalin di antara
ketiga-tiga hamba Allah yang sedang beriringan. Bibir diketap rapat dengan hati
yang mula membahang.
No comments:
Post a Comment