“Rekodnya setakat
ini memang sangat bersih Mak Engku. Latar belakang keluarga yang amat
sederhana, tapi, amat bahagia. Dia jadi anak yatim piatu disebabkan nahas jalan
raya yang meragut nyawa kedua ibu bapanya. Waktu itu, dia masih lagi dalam
semester pertama di universiti. Cik ini tidak ada sebarang perkaitan dengan
mana – mana lelaki sejak sekolah menengah, zaman universiti, malahan sewaktu sedang
berkerja ini. Sekurang – kurangnya tidak ada yang serius, walaupun menurut
siasatan saya cik ini boleh tahan popular di kalangan lelaki.”
Engku Junaidah
cuma mengangguk – angguk. Telinga masih tekun mendengar laporan Malek Reduan.
“Ramai juga
yang ingin cuba memikat, tapi, tidak kesampaian. Budak ini kelihatan pandai
membawa diri, sangat berdikari, walaupun tidak ada sesiapa lagi dalam hidupnya.
Orangnya juga bijak, pelajarannya bagus. Kerja dengan Tuan Hud walaupun baru
sahaja tapi dapat pujian daripada pegawai – pegawai penyelia. Tinggal menyewa
dengan beberapa orang rakan dari zaman universiti. Boleh tahan cantiknya Mak
Engku! Cuma satulah saja, hidupnya macam kera sumbang, tidak berapa bergaul
kecuali dengan beberapa rakan dari universiti dan rakan sekerjanya.”
Engku Junaidah
mengangguk – angguk lagi tanda faham. Foto di tangan ditatap asyik. Betul kata
Malik Reduan, manis orangnya. Walaupun tidaklah sejelita Saffiya Safwa, tapi,
Rose Raihanah ini tidak kurang juga rupa parasnya. Padanlah juga dengan
cucunya, Hud Daniel. Inilah agaknya wanita yang bakal lahirkan cicit aku nanti!
“Bagus, Malek.
Aku mahu kau teruskan siasatan ini. Jangan lupa, perhatikan juga gelagat si
Saffiya Safwa itu.”
Tak apa akan
diteruskan siasatan ini, biar puas hati! Jangan dapat lagi menantu serupa hantu
macam Saffiya Safwa! Hasil siasatan ini akan dikongsi bersama menantunya Datin
Zara, mesti Zara pun teruja nak tahu siapa wanita pilihan Hud kali ini. Tidak
putus – putus Engku Junaidah berdoa semoga perkahwinan Hud Daniel kali ini
penuh keberkahan dan bakal memberinya cucu menantu yang baik, tidak lupa
melahirkan cicit yang ramai, bakal menjadi peneman dan mewarnakan lagi hari –
hari tuanya dengan warna – warna bahagia!
Aaminn...
####
“Assalamualaikum,
Tok, mummy, selamat pagi!”
“Waalaikumsalam.”
Erk!
Wah... Buntang
mata Engku Junaidah melihat juadah yang tersedia untuk sarapan pagi itu. Datin
Zara sempat bertukar senyum dengan ibu mertuanya. Senang hati disua dengan
senyum manis dan ramah mesra menantu baru.
“Ni semua Rose
buat?”
“Yelah Tok,
Rose yang buat sendiri, ni je yang Rose pandai, maaf ye Tok kalau tak kena
dengan selera Tok, lain kali Tok bagitau je Tok nak makan apa, mummy pun sama ye? Rose cuba untuk
sediakan,” jawab Rose Raihanah ikhlas.
Tangan kanan
spontan meraih lengan Engku Junaidah, sementara yang kiri pula menarik lembut
lengan Datin Zara. Ini baru menantu pilihan! Sempat juga Datin Zara mengangkat
kedua ibu jari tangan isyarat bagus untuk Rose Raihanah.
“Wow! Macam ni, larilah diet kita kan mak? Dah ada tukang masak special ni?” seloroh Datin Zara mesra.
“Diet tak
diet, mak dah lapar jom makan!”
Semacam lipas
kudung aksi Rose Raihanah menyediakan sarapan pada pagi itu. Almaklum, hari
pertama bangun pagi sebagai menantu, wajiblah tunjuk rajin sikit! Mujur ilmu
masakan di dada cukup untuk tidak mendapat malu. Setakat masak nasi lemak,
sambal sotong, ayam goreng rempah, sediakan roti bakar bersama mentega dan jem,
siap sekelip mata!
Erk! Kuih –
muih dua tiga jenis tu memang beli je lah, jangan nak mengarut mengaku buat
pulak, wahai Rose Raihanah, nampak sangat menipunya!
“Rose tu
penat, baru semalam nikah. Jadi pengantin baru. Kenapa tak mintak tolong
pembantu rumah?”
“Alaa... Bukan
susah sangat pun, mummy. Biarlah Rose
buat. Kasi can Mak Tam dengan Kak
Leha rehat atau buat kerja yang lain!” selesai menuang air kopi untuk Engku
Junaidah dan English Breakfast Tea
untuk Datin Zara, Rose Raihanah bangkit dari kerusinya.
“Nak ke mana
tu Rose?”
“Kejutkan
abang, tadi Rose turun bawah, abang belum bangun tidur lagi, mummy,”
Mata Engku
Junaidah dan Datin Zara tunak menghantar Rose Raihanah menuju ke tangga.
“Alhamdulillah.
Kalau terus begini gaya, bolehlah kita tarik nafas lega ya mak? Dah ada orang
yang boleh jaga Hud dengan baik. Tak pernah – pernah kita rasa air tangan
menantu dalam rumah ni, kali ni ada rezeki pulak!” tanya Datin Zara sambil
menyuap nasi lemak ke dalam mulut. Sedap! Cukup lemak dan rasa.
“Yelah! Kalau
nak harapkan si Saffiya Safwa tu, mau kebulur engkau Zara nak menunggu nasik!
Makan pun asyik makanan barat je, pun begitu bukan dia yang masak, boleh pulak
dia order delivery McDonalds untuk
kita bila minta dia sedia sarapan! Tak semenggah betul! Kita doakan ajelah biar
panjang jodoh Rose dengan Hud, mak tengok baik betul layanan budak Rose tu
dekat Hud. Panggilan dia dekat Hud pun lembut je, sejuk hati mak ni dengar!
Budak Rose tu pun ramah orangnya, lawak pun iya jugak!”
Engku Junaidah
sempat mengimbau kisah pada hari pernikahan Hud Daniel dengan Rose Raihanah
yang berlangsung semalam. Telatah cucu menantunya itu memang tidak pernah
menghampakan hati tuanya.
####
Semua pihak
bersetuju pernikahan Hud Daniel dan Rose Raihanah ini akan dijalankan dengan
sederhana. Hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang dijemput. Majlisnya akad
nikah akan diadakan di masjid, diikuti dengan kenduri tertutup di banglo tiga
tingkat kediaman keluarga Hud Daniel itu.
Pihak Rose
Raihanah hanya diwakili oleh keluarga Pak Mail, jiran sekampung Rose Raihanah
yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri, dan juga Yani Jameela, sahabat
baiknya dari zaman universiti, yang datang jauh dari negeri di bawah bayu,
Sabah. Atas permintaan Hud Daniel, perkahwinan ini harus dirahsiakan daripada
pengetahuan semua orang dari Synergy Power Corporations. Tidak dinyatakan
mengapa, Hud Daniel hanya mahu semua orang menerima keputusannya.
Rose Raihanah
hanya akur. Tahu diri sahaja, Rose!
“Psst! Kau
rasa betul tindakan aku ni, Yani?”
“Apa ni
pompuan, aku dah siap – siap lawa datang dari jauh ni, ko jangan nak buat lawak
super spontan pulak tanya – tanya soalan uji akal ni!” Rose Raihanah tersengih
– sengih mendengar kata – kata sahabatnya itu.
“Tak boleh ye?
Habis nak buat lawak camner? Lawak bodoh boleh?”
“Yang bodoh tu
engkau! Tak payah nak buat lawak sangatlah pompuan. Aku rasa ko sorang je
pengantin kat dalam dunia ni rancak bagai borak tengah – tengah majlis nikah
sendiri, hoi! Baik ko fokus ngan kadi tu, sikit masa lagi dah nak start tu!”
“Psst! Yani.
Kau rasa, Sarinah bagi tak aku hidup lagi, kalau dia tahu aku nikah secara
rahsia macam ni, sembunyikan status aku daripada semua orang, termasuk dia? Kau
rasa dia cekik tak batang leher aku?”
“Confirm!”
“Hah? Kau
janganlah takutkan aku, wei!”
“Syush!”
Sudah beberapa kali Mak Lijah, isteri Pak Mail yang sudah seperti mak sendiri
kepada Rose Raihanah, memberi amaran dengan kedua – dua anak dara itu. Bising
ya, ampun! Tertoleh – toleh kepala jemputan yang hadir, mencari tuan empunya
suara yang konon berbisik tapi suara sikit lagi boleh jadi tukang lelong kat pasar!
Selamba saja
Rose Raihanah mengangkat dua jari ‘peace’
kepada Mak Lijah. Tersenyum –senyum kambing Rose Raihanah dan Yani Jameela
apabila rasa diri jadi perhatian.
Hud Daniel
yang sedang duduk bersila menghadap tok kadi menyembunyikan senyum. Telinganya
dapat menangkap dengan baik bebelan Mak Lijah kepada dua anak dara itu. Bakal
isterinya itu memang penuh dengan kejutan. Walaupun baru saja berkenalan, ada –
ada saja telatahnya yang mencuit hati. Macam mana hati mahu menolak kenyataan?
Kenyataan yang sedikit sebanyak terhibur jugak hati ini kerana seorang Rose
Raihanah!
Mulut Rose
Raihanah itu boleh tahan riuh kalau berborak dengan sahabat baiknya Yani
Jameela. Tidak kira lah walau di mana sekalipun. Kadang – kadang macam pasangan
debat, kadang – kadang macam sedang berbalas pantun! Tidak kira di rumah, di
butik pengantin sewaktu sedang mengukur baju nikah, di dalam hotel 5 bintang
sewaktu hendak buat tempahan katering, dalam kereta, malahan sekarang dalam
masjid tengah menunggu saat ijab dan kabul pun boleh juga jadi medan
pertempuran mulut mereka berdua.
Terserlah
personaliti Rose Raihanah yang sebenar. Nampak pendiam, konon kera sumbang,
tapi, kalau kena dengan orang yang betul tak berhenti mulutnya berkicau!
“Ehem!
Baiklah, sebelum kita mula, kita kenalah tanya dulu pengantin perempuan setuju
ke tidak nak dinikahkan dengan Encik Hud Daniel bin Hail Iskandar ni? Err...
Cik Rose Raihanah binti Razlan, kan? Cik setuju dinikahkan dengan Encik Hud
Daniel bin Hail Iskandar tanpa sebarang paksaan?” Tanya tok kadi tanpa
berlengah lagi.
Tumpuan terus
diberi kepada Rose Raihanah, si pengantin perempuan yang begitu jelita
mengenakan busana moden berwarna putih krim. Rambutnya yang ikal itu, dilepas
bebas di atas bahu sebelah kiri. Wajahnya hanya dioles dengan mekap yang tipis.
Itu adalah permintaan Rose Raihanah sendiri, tidak mahu wajahnya bertukar
menjadi orang lain, biar saja nampak semulajadi.
“Setuju, tok!”
Jawab Rose Raihanah dengan agak jelas dan kuat, malah terlalu kuat hingga
bergema suaranya di ruang masjid itu.
“Wah! Semangat
betul pengantin perempuan kita ni nak kahwin ye? Untung pengantin lelaki.
Ehem!” Seloroh tok kadi lagi.
Serentak
dengan itu pinggang Rose Raihanah disiku oleh Yani Jameela. Ya! Allah, pompuan
ni, buat malu betul! Pecah gelak tetamu – tetamu yang hadir. Engku Junaidah dan
Datin Zara sempat berbalas senyum. Hud Daniel pula hanya mampu menggeleng
kepala, this is going to be very
interesting!
Matanya
mencuri pandang wanita yang sedikit masa lagi bakal menjadi miliknya, bakal
menjadi ibu kepada anak – anaknya kalau diizinkan Allah! Tidak disangka
pandangan itu bertembung dengan mata Rose Raihanah yang tersenyum simpul
kepadanya sambil mengangkat dua jari ‘peace’nya.
Aduhai! Keluar
juga sengih Hud Daniel.
####
Ingatan di
pagi hari pernikahan terhenti begitu sahaja, Ada senyum yang tersungging di
bibir. Tidak ada yang sedar dengan kehadiran Hud Daniel di sebalik dinding batu
ruang makan itu. Masing – masing sibuk mengisi perut. Sejuk hati Hud Daniel melihat
layanan baik yang diberikan oleh Rose Raihanah kepada dua wanita yang sangat
penting di dalam hidupnya.
Timbul juga
kesal mengenangkan suasana hangat penuh dengan kasih sayang itu diakui tidak
pernah wujud di antara Saffiya Safwa, Tok dan mummynya. Suasana yang selalu wujud antara tiga wanita itu,
hanyalah suasana tegang penuh dengan sindiran dan kata – kata yang menyakitkan
hati dan telinga masing – masing.
Hmm... Hud
Daniel melepaskan keluhan tanpa sedar. Entah mana perginya Saffiya Safwa hingga
ke hari ini, diikut rajuk dan amuknya hanya sempat menitip pesanan ringkas ke
telefon bimbit Hud Daniel, menyatakan yang dia ingin bercuti ke luar negara dan
tidak akan hadir di majlis perkahwinan Hud Daniel dan Rose Raihanah.
“Abang!”
“Erk?” Terhenti
lamunan Hud Daniel, pandangan berkalih ke wajah Rose Raihanah yang sedang
berdiri menguntum senyuman kepadanya.
“Jom, sarapan!
Rose ada masak nasi lemak pagi ni. Tok dan mummy
dah tunggu kat meja.” Ujar Rose Raihanah sambil dengan selamba memaut erat
lengan suaminya itu.
Nasi lemak?
Masak? Saffiya Safwa tidak pernah masak apapun untuk dia, fikir Hud Daniel.
“Abang ni,
cepatlah, Rose lapar ni tunggu abang dari tadi tak turun – turun!”
Tunggu?
Saffiya Safwa tidak pernah sekalipun menunggunya untuk bersarapan bersama –
sama, waktu sarapan untuk Hud Daniel adalah waktu tidur untuk Saffiya Safwa.
Hmm...
“Rose dah
bancuhkan kopi ‘O’ kosong takde gula untuk abang. Walaupun rasanya takdelah
macam Starbucks, tapi bolehlah tahan
jugaklah. Abang punya kesukaan kan? Alaa! Rose tau, Rose dah tanya Mak Tam
tadi.”
Hud Daniel
tertanya – tanya lagi, pernah atau tidak selama sepuluh tahun perkahwinannya
dengan Saffiya Safwa, isteri pertamanya itu bertanya tentang apa yang menjadi
kesukaannya. Setahu Hud Daniel, soalan itu sering dia yang tanyakan Saffiya
Safwa. What do you like for your birthday
present this year? What do you like me to buy from Paris? What do you want to have for our
anniversary? What itu, what ini.
Kenapa terlalu
berbeza diri kedua wanita ini? Perbezaan yang membuatkan akal Hud Daniel terus
membanding – bandingkan keduanya. Kenapa Saffiya Safwa, wanita yang dinikahi
kerana cinta selama sepuluh tahun itu, sedikitpun tidak dapat menjadi seperti
yang diharapkannya sebagai seorang isteri? Sedangkan Rose Raihanah, wanita yang
baru saja dikenalinya, boleh jadi begitu hampir menjadi wanita yang diidam
olehnya untuk seorang isteri!
Hud Daniel! What ever happened to your words
“...walaupun saya tidak harapkan perkahwinan hanya sebuah hubungan di atas
kertas, namun tidak akan wujud hubungan hati yang akan terjalin, kerana cinta
saya hanya untuk isteri saya Saffiya Safwa...?”
Hud Daniel
tiba – tiba rasa keliru dengan kata – kata yang pernah dituturkannya sendiri,
kerana Hud Daniel akui sudah mula rasa sesuatu menggebu dalam jiwa dan
sanubarinya untuk wanita bernama Rose Raihanah!
####
Leka Rose
Raihanah menyeterika pakaian suami dan diri sendiri untuk dipakai berkerja.
Lima helai kemeja, lima helai seluar slack,
dan lima pasang baju kurung kain kapas Rose Raihanah sediakan sekaligus.
Rajinnya anak Pak Lan ni!
Amboi, puji
diri sendiri Rose? Dah takde keje lain?
“Rose...”
Rose Raihanah
menoleh ke belakang, memandang Hud Daniel yang hanya berbalut dengan tuala
badan. Kening dijungkit dan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya,
dihadiahkan dengan seikhlas hati. Haisy! Seksi pulak laki Rose Raihanah ni!
“Eh! Apasal
pulak Rose yang buat kerja – kerja ni? Kenapa tak mintak bantuan dari
pembantu?” Terperanjat juga Hud Daniel melihat Rose Raihanah yang ralit
menyeterika itu.
“Takpe, Rose
yang nak buat sendiri. Rose nak semua hal makan pakai abang, atapun apa yang
berkaitan dengan abang biar Rose yang buat. Tuan Hud Daniel suami Rose
Raihanah, bukan suami Mak Tam ataupun Kak Leha!”
Aduhai! Rasa
bahagia dilayan sebaik ini. Sedikit pun Hud Daniel tidak menjangka
perkahwinannya yang kedua ini seolah – oleh memberi nafas segar dalam
kehidupannya. Baru seminggu berkahwin, macam – macam perkara baru Rose Raihanah
bawa ke dalam banglo ini. Solat berjemaah di ruang solat rumah. Ketika tiba
waktu sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam, Rose
Raihanah sentiasa pastikan semua mesti ada di atas meja makan, selagi tidak ada
apa – apa halangan.
Malam minggu
lalu, siap ajak Tok, mummy dan Hud
Daniel sendiri bersiar – siar kemudian menonton wayang! Yang pelik, tidak pula
Engku Junaidah dan Datin Zara menolak. Dilayankan saja perangai Rose
Raihanah itu. Wayang pulak cerita Harry Potter and The Half Blood Prince!
Merengek – rengek Rose Raihanah memujuk Hud Daniel untuk ikut sama menonton
wayang. Siap dengan bangga bercerita kehebatan filem tersebut dan bagaimana
Rose Raihanah tidak pernah tertinggal mengikuti filem – filemnya selama
beberapa tahun ini.
Ada – ada saja
perangai Rose Raihanah yang tidak gagal mengkagumkan Hud Daniel.
“Rose.” Panggil
Hud Daniel sedar dari lamunannya.
“Hah?”
Hud Daniel
mengurut tengkuk yang agak tegang, rasa lenguh – lenguh di badan hampir saja
hilang selepas berendam di tab mandi.
“Tahu kan,
kita kena sembunyi dulu pernikahan ni dari pengetahuan semua di Synergy Power?”
Rose Raihanah
angguk kepala, senyuman pudar sedikit demi sedikit. Yalah... Keje pembantu je
pun... malu kot CEO nak mengaku isteri? Isteri kedua pulak tu. Patut, kalau nak
mencari yang kedua, mestilah lebih vass dan vogue? Setakat Rose
Raihanah, budak kampung! Uwek! Ejek Rose Raihanah kepada diri sendiri.
“Bukan nak
rahsiakan terus. Tapi, masa perlu sesuai juga untuk sampaikan hal serumit ini.
Sebab, keadaan kita yang quite
controversial ni. Fahamkan? Bukan pasal jawatan Rose atau yang berkaitan, okay?”
Erk? Ni betul
laki aku takde sixth sense ni? Boleh
pulak baca apa yang aku tengah fikir?
“Rose faham.
Abang tak perlulah bimbang sangat. Rose pun tak nak kecoh – kecoh jugak, karang
susah nak buat kerja! Bukan abang tak tau, boleh tahan kepoh pekerja – pekerja
pompuan dalam company abang tu!”
Lega Hud
Daniel dengan penerimaan Rose Raihanah yang begitu memahami, alangkah berbeza
dengan perangai Saffiya Safwa yang suka membantah?
“Jadi, Rose ni
tak kepoh macam dioranglah?” Soal Hud Daniel tiba – tiba.
“Haisy! Abang
tak tau lagi? Pompuan melayu terakhir ni... mana ada kepoh! Orang good girl maa?”
“Perasan!” Serentak
dengan itu Hud Daniel menolak lembut kepala isterinya itu.
####
“Macam mana?”
“Macam mana
apa pulak?”
“Kahwin dengan
lelaki kaya, segak nak mampus...”
“Oitt! Laki
aku tu...ko jangan nak buat ayat bikin murka.” Terdengar suara Yani Jameela
mengekek di telefon bimbit Rose Raihanah. Rose Raihanah buat muka.
“Citer lah
pompuan oi! Laki kau tu okay ke tak okay? Dia layan kau bagus tak? Yalah,
dah kahwin bukan atas dasar cinta...”
“Kalau bukan
atas dasar cinta, atas dasar apa?” Potong Rose Raihanah laju.
“Dasar duit...
ko kan mata duitan!”
“Mangkuk!”
Pecah ketawa
Yani Jameela, disambut dengan ketawa Rose Raihanah. Tidak sedikit pun Rose
Raihanah kecil hati dengan kata – kata sahabatnya itu, dia sudah cerita semua
kisah di sebalik perkahwinan ekpresnya ini. Rasa hendak bernanah jugak telinga
menadah kata – kata berbaur makian daripada seorang Yani Jameela, anak jati
Sabah yang berketurunan Bugis itu.
Rose Raihanah
terima kenyataan, memang dia berkahwin kerana duit Hud Daniel, tapi, mereka
bukan berbuat dosa! Hakikat duit menjadi sebab dia menjadi isteri kedua Hud
Daniel tidak langsung menjejaskan layanan dan penerimaan Hud Daniel, Tok dan
mummy kepada Rose Raihanah. Untuk itu, Rose Raihanah sudah cukup bersyukur,
amanah arwah mak dan abah pun dapat diselamatkan, apalagi yang alasan untuk
tidak bersyukur?
“Serius Rose,
kau bahagia?” Kali ini intonasi suara Yani Jameela sudah berubah, hilang nada
gurauan dari mulutnya. Rose Raihanah menghela nafas panjang.
“Dia layan aku
dengan baik, Yani. Itu sudah cukup. Aku tak boleh minta lebih daripada
sepatutnya, sebab dia sudah jelaskan awal – awal lagi kat aku, tidak mungkin
ada cinta antara kami!”
“Madu engkau
dah balik?”
“Belum. Bawak
hati yang lara kot?” Rose Raihanah cuba berseloroh.
“Kau sayang
dia tak?”
“Siapa?”
“Laki engkau
lah, takkan madu kau kot?”
“Dia suami
aku, wajiblah aku sayang...”
“Cinta?”
Khali.
“Aku memang
sedang menempah bala, Yani... aku tak boleh nak bohong diri aku sendiri,
jantung aku ni, dah mula nakal nak bermain irama cinta!”
Perbualan
antara kedua sahabat melalui telefon itu sudah tamat, tapi, hati Rose Raihanah
masih gundah dengan pengakuan hatinya tadi. Macam manalah aku nak berdepan
dengan isteri pertama Hud Daniel itu? Berdebar – debar pula menanti saat itu.
####
Saffiya Safwa
menjungkit kaca mata hitam Christian Dior
nya yang melorot dari hidung. Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur, Sepang agak sibuk dibanjiri manusia. Mata melilau mencari kelibat orang
yang dinanti.
“Darling!” Jeritan
Hariz Amrey menarik perhatian Saffiya Safwa. Tanpa segan mereka berpelukan di
tengah – tengah lautan manusia. Buruk sungguh perangai kedua orang Melayu Islam
ini.
“I miss you baby.” Ujar Saffiya Safwa manja. Hariz Amrey menyungging
senyum.
“I miss you too, puas bercuti? How’s Europe?”
“Puas. Europe? Bolehlah... but now I’m back, and I got matters to handle.” Hariz Amrey faham
maksud kata – kata wanita itu, hendak bertemu empat mata dengan madulah tu!
No comments:
Post a Comment