DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 2 March 2016

ROMANCINTA- BAB 10



Banglo Mewah Tan Sri Yusuf
Bukit Antarabangsa  
           
            Fandi menghela nafas dan menghembuskannya perlahan. Hingga saat ini, dia masih berkira-kira,apakah keputusannya ini benar? Mengahwini seseorang yang tidak pernah dia kenali, perasaan cinta jauh sekali.
             Pada mulanya, Fandi teragak-agak untuk menerima tawaran dari Tan Sri Yusuf.  Tawaran yang datang secara tiba-tiba itu dianggap sebagai gurauan. Tetapi bila Tan Sri Yusuf membuat perjanjian berkontrak, Fandi sedar ini bukanlah permainan. Tan Sri Yusuf benar-benar memerlukan seseorang untuk menutup aib keluarganya sendiri. Tan Sri Yusuf ahli korporat ternama, sekiranya keluar berita yang anak bongsunya itu hamil luar nikah, sudah pasti itu akan memberi impak kepada Tan Sri Yusuf sekeluarga.
            Kenapa aku?
            Apakah mata dan hatinya sudah di kaburi dengan wang ringgit?
           
Mengapakah dia rela memperjudikan nasibnya demi sesuatu yang dia pun tidak pasti ?
            Satu demi satu persoalan menerjah mindanya. Fandi pun tidak tahu mengapa dia yang
menjadi pilihan Tan Sri Yusuf. Sedangkan, sebelum ini dia langsung tidak mengenali ahli korporat ternama itu secara rapat. Perkenalan mereka juga berlaku secara tidak sengaja.
            Fandi bukanlah seorang mata duitan. Malah dia sentiasa bersyukur dengan hidupnya. Gaji
bulanan yang diterima tidaklah mewah tetapi cukuplah untuk menampung hidupnya di kota lumpur
ini. Tetapi duit adalah satu keperluan, apatah lagi di zaman di mana serba-serbinya berbayar hatta
ingin ke tandas sekalipun. Tiada lagi yang percuma. Lalu, apabila kesempatan itu datang, salahkah dia kerana mengambil peluang ? Dan ini juga satu-satunya peluang yang dia ada untuk mencari Nabilah.
           
Fandi cuba merasionalkan tindakannya. Bukan dia yang menawarkan diri, tetapi Tan Sri
Yusuf yang mahukan pertolongannya. Dan ini kerja yang mungkin…mudah. Apa yang dia perlu lakukan, hanyalah bernikah dengan gadis bernama Sofea Raihana dan menjadi suami kepada gadis itu sehinggalah dia melahirkan anak. Yang pasti, anak itu bukan anaknya. Dia hanya menjadi seorang ‘pak sanggup’ untuk menutup mata dan mulut orang keliling.  Selepas itu, terpulang kepadanya sama ada untuk terus bersama Sofea Raihana ataupun memilih untuk bebas.
            Fandi meraup wajah. Hatinya terkenangkan Alya. Apa agaknya gadis itu sedang buat ketika
ini? Mungkin juga sedang berdebar menunggu hari bahagianya. Tiba-tiba, segala kenangannya
bersama Alya hadir di ingatan. Alya, rakan sepermainan semenjak kecil. Hubungan yang bermula
sebagai rakan baik akhirnya membuahkan cinta. Tetapi kini, dia terpaksa akur. Jodohnya bukan dengan Alya. Fandi memejamkan mata. Senyuman Alya, wajah Alya hadir di kotak ingatannya. 
            Aku harap kau bahagia, Alya. Fandi menarik nafas dan membuka mata. Bayangan Alya
hilang.
            Fandi memandang keliling. Jumlah tetamu yang hadir tidak ramai. Di pihak pengantin
perempuan, hanya keluarga Tan Sri Yusuf  berserta beberapa orang saksi. Begitu juga di
pihaknya. Hanya kedua-ibu bapanya saja yang hadir. Majlis yang dianjurkan benar-benar tertutup.
            Tiada hantaran dari kedua-dua belah pihak. Fandi hanya menyediakan mas kahwin yang dipersetujui sebanyak lima ratus ringgit. Malah, cincin perkahwinan juga dia beli sendirian mengikut
citarasa dan kemampuannya. Tan Sri Yusuf cuma memberikan sebentuk cincin kepunyaan Sofea
Raihana sebagai contoh.
            Sofea Raihana… 
            Mata Fandi terpaku kepada pengantin perempuan yang duduk bersimpuh tidak jauh darinya.
Wajah itu direnung.  Ini kali pertama Fandi melihat wajah bakal isterinya. Berkulit kuning-langsat,
mukanya bujur sireh. Agak manis di pandang mata. Sekali imbas, tidak pula kelihatan yang Sofea Raihana mengandung. Mungkin sebab bakal isterinya itu bertubuh kecil molek.
            Fandi merenung wajah itu agak lama. Sofea Raihana hanya memandang ke bawah. Tiada riak yang ditunjukkan. Tidak sedih, tidak gembira, tidak marah. Wajahnya kosong dan sukar di mengertikan. Terdetik di hati Fandi, adakah Sofea Raihana juga menerima pernikahan ini dengan hati terbuka? Ataupun menurut saja kemahuan Tan Sri Yusuf semata-mata ingin menutup malu?
            ‘‘Yang penting dalam hal ni…keikhlasan…” Bergema kata-kata Nazri di kepala.
            Ikhlaskah aku? Fandi menarik nafas.
            Tiba-tiba Sofea Raihana mengangkat mukanya.
           
Mereka bertentangan mata.
            Terasa ada getaran melanda jiwa secara tiba-tiba.



            Fifi terasa gelisah duduk di situ. Seakan-akan semua mata memandang ke arahnya.  Dan
akhirnya, anak mata Fifi tertancap kepada lelaki yang duduk tidak jauh darinya. Fifi membalas
renungan Fandi, tajam. Buat pertama kali, Fifi melihat wajah Muhammad Affandi, lelaki yang akan
menikahinya sebentar lagi. Fifi menarik nafas. Dia kembali menundukkan wajah.
            Terdetik persoalan di hati Fifi, mengapa begitu mudah lelaki ini menerimanya. Pasti
bersebab! Jika tidak, masakan lelaki ini sanggup menikahinya yang hamil luar nikah sedangkan,
mereka tidak pernah saling mengenali sebelum ini. Apa yang Fifi tahu, lelaki itu adalah kenalan papa.
            Fifi mencuri pandang lagi ke arah Fandi. Lelaki itu pula yang menundukkan wajah. Matanya
terpejam, seperti memikirkan sesuatu. Fifi cuba mencari keistimewaan lelaki itu. Sekadar mencari
sebab kenapa Fandi yang dipilih oleh papanya. Melihat dari gayanya, Fifi yakin Fandi bukanlah dari golongan berada seperti dia.
            Entah mat rempit mana yang papa kutip! Fikir Fifi lantas merengus.   
            “Ah, begitu mudah kau mengadili seseorang. Sedangkan kau sendiri telah hanyut sehingga mengandungkan anak tak berbapa. Bapa anak ini langsung tidak mahu bertanggungjawab!” Bagai ada suara dari dalam dirinya menempelak. Fifi terkedu sendiri.
            Fifi merintih dalam hati. Sehingga saat-saat terakhir, dia masih memikirkan Shah. Dia benar-
benar berharap bahawa lelaki yang akan menikahinya sebentar lagi adalah Shah, bukan Fandi.
            “Assalamualaikum w.b.t.” Terdengar suara memberi salam. Serentak itu, semua tetamu jemputan memandang kepada suara  yang memberi salam.
            “Alhamdulillah. Pada hari ini, kita bakal meraikan majlis pernikahan diantara Muhammad
Affandi Bin Omar dan Sofea Raihana Binti Yusuf. Di harapkan kedua-dua mempelai ini akan beroleh
kebahagiaan dan rumahtangga semoga masjid yang bakal terbina nanti sentiasa diberkati.” Ringkas mukadimah yang di berikan oleh Imam Ahmad.
            “Boleh kita mulakan?” Tanya Imam Ahmad kepada Tan Sri Yusuf dan juga Fandi. Kedua-duanya hanya mengangguk.
            “Bismillahhirahmanirrahim…”
            Nafas Fandi mula tidak teratur. Bunyi-bunyian suara di sekelilingnya juga seperti lagu yang tidak bernada. Sukar untuk Fandi menumpukan perhatian. Secara tiba-tiba, seluruh badannya terasa berpeluh-peluh. Darah di wajahnya juga hampir tiada, pucat lesi mukanya. Oksigen yang cuba dihela juga seperti tersekat-sekat.
            Janganlah aku pengsan masa menikah nanti…
           


            ‘‘Muhammad Affandi Bin Omar. Aku nikahkan dikau dengan anakku, Sofea Raihana Binti Yusuf dengan mas kahwinnya lima ratus ringgit tunai.’’
            “Aku terima nikahnya, Sofea Raihana Binti Yusuf, dengan mas kahwinnya lima ratus ringgit
tunai.”
            “Sah.”
            “Sah.”
            Dengan sekali lafaz, Sofea Raihana sudah sah menjadi isteri Fandi.  Para tetamu bersama-sama mengaminkan doa yang dibaca, agar kedua-dua mempelai ini diberkati dan dirahmati. Tetapi, benarkah pernikahan seperti ini akan diberkati dan dirahmati? Tidakkah ini satu pembohongan?
Pernikahan ini sah mengikut hukum syarak tetapi hakikatnya, perkahwinan ini adalah hanya berlandaskan kontrak semata-mata.
            Fandi menarik nafas. Sekarang, dia tak akan boleh berpatah balik. Menurut kontrak, sekiranya
dia menceraikan Sofea Raihana sebelum gadis itu bersalin, dia pula yang harus membayar seratus
ribu ringgit kepada Tan Sri Yusuf. Menurut kontrak lagi, Sofea Raihana perlu dijaga selayaknya seperti seorang isteri. Sofea Raihana tidak boleh diabaikan. Tapi, bukankah itu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai suami? Apakah sebabnya Tan Sri Yusuf meletakkan syarat-syarat begitu di dalam kontrak?
            Usai doa dibaca, Puan Sairah, ibu Fandi menyuakan cincin kepada Fandi. Fandi teragak-agak
namun cincin itu di ambil juga. Perlahan-lahan, Fandi bangun, menghampiri Sofea Raihana yang
masih menundukkan wajah.
            “Fifi.” Puan Sri Haryati menegur perlahan. Fifi mengangkat muka memandang Fandi.
Tangannya kanannya dihulurkan lalu Fandi menyarungkan cincin, sebagai tanda simbolik yang Fifi
itu adalah isterinya yang sah.
            Shah, I wish it was you. Fifi memejamkan mata.
            “Salam, Fifi.” Puan Sri Haryati menegur lagi. Sekali lagi, Fifi menghulurkan tangan kepada
Fandi lalu tangan suaminya itu dicium. Secara tiba-tiba, Fandi mengucup dahinya. Fifi terpempan,
sungguh dia tidak menyangka yang Fandi akan berbuat begitu. Air matanya turun tanpa dapat di
tahan, entah atas sebab apa, Fifi sendiri tidak pasti.

***

            Fandi duduk di halaman luar, memerhatikan suasana di banglo mewah itu. Majlis pernikahan
sudah lama tamat, di akhiri dengan sedikit jamuan ringkas. Jam juga sudah menunjukkan hampir
pukul sepuluh malam. Semua tetamu sudah pun pulang termasuk emak dan abahnya. Walaupun
berkali-kali Tan Sri Yusuf mengajak Encik Omar dan Puan Sairah untuk bermalam saja di sini, tetapi emak dan abahnya menolak dengan memberi alasan mahu menziarahi rumah saudara-mara mereka  di Kajang. Tapi, Fandi tahu, yang sebenarnya emak dan abahnya kurang selesa untuk bermalam di sini. Rumah Azwan, rumah yang disewa bersama sebelum ini di jadikan tempat persinggahan. Fandi mengeluh. Pada saat ini, dia turut berharap untuk ikut emak dan abahnya bermalam di rumah Azwan.
            Sofea Raihana pula sudah lama menghilangkan diri. Pasti berkurung diri saja di dalam
biliknya.
            “Jaga diri Fandi. Ingat, kamu dah jadi suami orang sekarang. Walau buruk macam mana pun
masa silam isteri kamu, kamu harus terima dia seikhlas hati. Kamu yang terima dia sebagai isteri,
jangan sekali-kali kamu abaikan tanggungjawab kamu sebagai suami.” Nasihat Puan Sairah bergema. Wajah sayu Puan Sairah bagai terbayang di ruangan mata. Fandi menggelengkan kepalanya tiba-tiba.
            “Meow…”
            Telinga Fandi menangkap bunyi mengiau dan serentak dengan itu, Fandi terasa kakinya bergesel dengan sesuatu. Fandi memandang ke bawah. Seekor kucing bertompok hitam putih sedang enak bermain di kakinya. Fandi tersenyum lalu membelai kepala kucing itu.
            “Itu kucing Fifi, namanya Nicki.”
            Fandi berpaling pula ke belakang, ke arah empunya suara. Kelihatan Puan Sri Haryati sedang berdiri sambil memerhatikannya. Rasa segan mula mengetuk pintu hati. Terasa juga hendak meninggalkan tempat ini dengan segera. Tapi, ke mana pula dia hendak pergi?
            “Comel…” Fandi membalas.
            “Jarang si Nicki tu nak dekat dengan orang yang dia tak kenal. Tapi, sejak akhir-akhir ni, dengan semua orang dia manja. Rindu dengan tuan dia kot. Tuan dia asyik berkurung dalam bilik…” Puan Sri Haryati berkata lagi, bagai meluahkan isi hati. Fandi hanya tersenyum sumbing, tak tahu apa yang perlu dikatakan.
           
“Kenapa termenung kat luar ni ?” Puan Sri Haryati bertanya lagi. Dia cuba untuk mengenali
anak muda ini dengan lebih dekat walaupun, terasa janggal dengan Fandi yang tiba-tiba sahaja telah menjadi sebahagian dari keluarganya.
            “Saja aje, Puan Sri…” Fandi menjawab.
            “Dah nikah pun, Fandi.
Tak payah panggil Tan Sri ke.. Puan Sri ke. Panggil papa dengan
mama.” Tan Sri Yusuf muncul lalu berdiri di sebelah isterinya. Dia kelihatan jauh lebih mesra dengan Fandi berbanding Puan Sri Haryati. Fandi hanya tersenyum dan kembali mendiamkan diri.
            “Dah malam ni, Fandi. Masuklah rehat. Mama tahu, Fandi mesti penat.” Puan Sri Haryati berkata lagi. Melalui riak wajah Fandi, Puan Sri Haryati memahami yang Fandi mungkin masih terasa kurang selesa.
            “Baiklah..Puan..err..mama…papa. Saya…masuk bilik dululah.” Fandi pantas bersetuju, segan untuk berlama-lama di sini. Sungguh dia terasa lidahnya amat kelu untuk membahasakan papa dan mama pada ibu bapa mertuanya sendiri. Fandi bangun dan segera berlalu. Dia tersenyum sedikit apabila menghampiri Tan Sri Yusuf dan isteri.
            “Fandi.”
            Beberapa tapak melangkah melepasi ibu dan bapa mertuanya, namanya dipanggil lagi. Langkah Fandi terhenti lalu dia berpaling. Puan Sri Haryati sedang merenungnya menyebabkan Fandi terkebil-kebil tanpa suara.
            “Terima kasih.”
           Kedengaran ikhlas dan sayu ucapan yang keluar dari mulut Puan Sri Haryati. Mata ibu mertuanya itu berkaca. Fandi tergamam dan tercegat beberapa ketika di situ. Walaupun hanya dengan ucapan seringkas terima kasih, hati Fandi tersentuh. Fandi malu sendiri, kerana dia sendiri belum mengetahui di mana letak keikhlasannya memperisterikan Sofea Raihana. Dalam diam, dia berjanji untuk cuba menjaga Sofea Raihana semampunya.
            ‘‘Mama…’’ Fandi bersuara sambil memandang tepat ke wajah Puan Sri Haryati.
            ‘‘InsyaAllah saya akan jalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin. Mama jangan risau ya?’’ Fandi menyambung kata. Air mata Puan Sri Haryati turun membasahi pipinya. Kata-kata Fandi tidak dibalas. Fandi juga tidak tahu apa lagi yang perlu diucapkan. Perlahan-lahan, dia meninggalkan tempat itu tanpa berkata apa-apa lagi.
           
            Langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik. Bilik isterinya di sebelah kanan manakala
biliknya di sebelah kiri. Fandi mengangkat tangan namun apabila buku limanya hampir mengenai pintu bilik Fifi, niatnya terhenti.
            “Aku bukan isteri kau, FAHAM?! Jangan sekali-kali kau berani nak sentuh aku!”
            Kata-kata Fifi ketika bertembung di tangga petang tadi mematikan niatnya. Fandi sedar,
mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain namun ayat-ayat yang keluar dari mulut Fifi langsung tidak dijangka. Mungkin ini sebabnya, Tan Sri Yusuf membuat perjanjian berkontrak. Pastinya Tan Sri Yusuf sudah menjangka yang tak mungkin Sofea Raihana dapat menerima pernikahan ini dengan mudah. Lalu, syarat-syarat di dalam kontrak diperincikan sebaik mungkin agar Fandi tidak menceraikan anaknya itu sesuka hati. Menurut kontrak, seandainya Fandi berniat untuk menceraikan Sofea Raihana, ia hanya boleh dilakukan selepas Sofea Raihana bersalin.
            Fandi mengeluh. Niatnya terus mati. Langkahnya diatur ke bilik sebelah. Pintu biliknya
dibuka, lampu bilik dihidupkan. Fandi termenung sendiri di atas katil, agak lama. Mulai dari hari ini,
banglo mewah ini akan menjadi tempat tinggalnya yang baru. Mulai hari ini, bermulalah tugasnya menjadi seorang suami. Tugas ? Suami ? Tiba-tiba dia bingung. Kalau beginilah keadaanya, bagaimanakah harus dia menjalankan tanggungjawab sebagai suami kepada Sofea Raihana ?
             Nasib kaulah Fandi. Orang lain…lepas nikah, boleh peluk bini. Kau peluk ajelah bantal peluk tu…
            Fandi menarik nafas dan dilepaskan perlahan. Lampu biliknya dimatikan lalu dia berbaring
di atas katil. Tangannya di letakkan di atas dahi, memikirkan apa saja kemungkinan yang bakal
terjadi selepas ini.



1 comment: