DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Prolog


“Tuhan kirimkanlah aku, kekasih yang baik hati,
yang mencintai aku apa adanya...”
(Munajat Cinta – The Rock)

MASA untuk bersama semakin singkat dan
terhalang. Nampak gayanya lepas ini mereka tidak akan
dapat bertemu lagi. Tidak ada peluang untuk date macam
selalulah jawabnya. Cinta hatinya yang tampan bergaya itu
pun mungkin bakal disambar awek-awek cun di luar sana.
Wuakkk... itu yang Puteri tidak sanggup. Tapi apakan
daya? Tidak ada pilihan. Dia buat muka monyok. Jiwa yang
memang bermasalah semakin tertekan. Aduh! Kenapalah
takdir hidupnya selalu sangat macam ini? Tidak ada tuah.
Yang ada nada-nada kecewa saja. Huk huk huk...
‘Ya ALLAH! Dia pejam mata. Apa nak buat ni?
Aku sayang sangat kat Alif. Tapi semalam aku macam dah
fikir panjang tak nak teruskan hubungan dengan dia lagi.’
Wajah Alif berkerut kerana fikirannya sedang bercelaru.
Alif melepaskan keluhan kecil. Penat merenung
Puteri. Kepalanya ditundukkan ke bawah. Tidak cukup
baikkah dia selama ini? Dia jenis lelaki pendiam yang
mudah didekati tetapi sukar digoda. Dia tidak pernah
membebel dan marah-marah Puteri, kecuali nasihat dan
terus nasihat. Tetapi dia tahu, telinga perempuan macam
Puteri ni memang tidak makan saman. Keras hati. Dia juga
bukan kaki perempuan. Dalam ramai-ramai perempuan
yang menggoda, Puteri seorang saja yang berjaya
memenangi anak kunci pintu hatinya. Dia suka sifat nakal,
comel, bijak dan berjiwa seni Puteri tu. Mereka memang
sekepala dan mudah berbicara. Jarang bertengkar macam
pakwe, makwe yang lain dan selalu ketawa. Kiranya kalau
hidup berumah tangga nanti ramailah makhluk di dunia
yang cemburu dengan kebahagiaan mereka. Auww, perasan
tak boleh blah, kan?
Puterilah bidadari yang jatuh di malam gelap masa
dia duduk berdoa memohon kepada Tuhan, agar diberikan
seorang kekasih yang baik hati. Hati Alif sedikit tersenyum.
Memang mereka berkenalan pada waktu malam. Ketika
itu dia baru balik dari masjid. Puteri sesat jalan, dia
tunjukan jalan. Maklumlah, kalau tidak biasa dengan selokbelok
Putrajaya, memang pening sedikit untuk cari jalan
keluar. Puteri pula pertama kali ke situ, jadi memang
mudah sesat jalan. Sebagai tanda terima kasih, Puteri
belanja dia minum kopi di restoran yang mereka tengah
duduk itu. Dari situlah mereka bertukar nombor telefon.
Mula berbalas mesej, berjangkit ke muka buku dan
hubungan mereka berkembang menjadi cinta. Sekarang
dia yakin, itu jugalah jodohnya. Alang-alang sudah
membuka pintu hati dia tidak mahu kecewa. Permintaan
mengarut Puteri semalam dipandang sepi. Dia menganggap
Puteri belum habis fikir lagi ketika itu.
Kata Puteri, ini pertemuan mereka yang terakhir.
Tetapi pada Alif, bukan bermaksud hubungan mereka
akan berakhir. Dia tidak mahu begitu. Dua hari mereka
tidak bertemu jiwanya resah. Kalau bukan kerana Puteri
dikurung ibu kandungnya yang ala-ala ibu tiri dalam
cerita dongeng Bawang Putih, Bawang Merah itu, pasti selang
sehari mereka akan keluar bersiar-siar bersama. Argh, dua
hari sudah serindu itu, macam manalah hendak
berhadapan dengan perasaan ini selepas Puteri terbang ke
Australia?
“Puteri...” sapa Alif perlahan sebaik mengangkat
muka.
Mereka saling berpandangan.
“Apa rasanya dua hari tanpa saya?” Mungkinkah
perasaan mereka sama? Samalah, kan? Kecuali Puteri
sudah benar-benar tidak cintakan dia lagi.
Pertanyaan itu tidak ada kena mengena langsung
dengan apa yang patut mereka bincangkan. Puteri angkat
kening. Terbit senyum nakal di hujung bibir. Biasalah
dia jenis perempuan yang fleksibel. Boleh berubah mood
bila-bila masa saja.
“Rasa seronok macam makan coklat satu kontena,”
jawabnya sebal.
Alif kecilkan mata. Berani Puteri jawab macam itu?
“Betul-betullah. Orang serius dia main-main,” protesnya.
‘Oh, nak serius ke?’ omel Puteri lantas buat muka
serius.
“Soalan jenis apa tu? Kalau awak sendiri kena kurung,
apa yang awak rasa? Seronok ke?” balas Puteri yang tidak
puas hati dengan pertanyaan Alif tadi. ‘Alif ni saja nak buat
hati orang terbakar. Tak sukalah bila dia tak sensitif macam
ni,’ gumam Puteri dengan geram dalam hati.
Alif tersengih. Memanglah tidak seronok.
“Saya ingat awak rasa macam makan sekilang aiskrim,”
sendanya memancing ceria.
Puteri tersengih mengejek. Ada yang makan kerusi
kejap lagi.
“Dahlah. Lupakan semua yang tak best tu,” pinta Alif.
Tidak seronoklah kalau lepas dua hari tidak jumpa mereka
mesti bermasalah.
“Emm... tak ada mood,” balas Puteri. Kepalanya
baru saja mendarat atas lengan yang diletak atas meja.
“Laa... apasal pulak?”
“Putus asa.”
“Emm?” Alif tarik muka. Mengadalah Puteri ni.
“Awak masih fikirkan apa yang awak cakap semalam ke?”
Puteri angkat muka. Alif dipandang. Dia mengangguk
malas.
Alif mengeluh.
“Puteri... jangan fikir lagi boleh, tak?”
Puteri geleng. Tetap berdegil.
Alif mengeluh.
“Tahu tak kenapa saya cakap jangan fikir lagi?”
Puteri mengangguk.
“Sebab awak tak nak saya pergi dari hidup awak.”
Haa... tahu pun.
“Itu antara salah satu sebab. Tapi kenyataannya
saya nak awak tahu, selama kita kenal awak tu dah banyak
kali buat keputusan ikut hati. Bukan nak fikir dulu,”
beritahu Alif sedikit merungut.
Erk? Bukan perangai perempuan memang macam
tu ke? Ikut hati. Jadi lelaki kenalah ikut akal yang ada
dalam kepala tu,’ ejek Puteri dalam hati.
“Oh, jadi awak sukalah kalau saya kahwin dengan
lelaki tu?” Puteri menegakkan badan dan bersandar di
kerusi. Saja tayang muka baran kepada Alif. Dia hendak
dengar apa jawapan Alif. Ya ke tidak. Kalau ya, petang itu
sah-sah Alif akan dibawa ambulan ke hospital. Dia tibai
dengan segala yang ada di situ. Boleh ke? Hehehe... Alif tu
pemegang tali pinggan hitam tahap dua. Ah! Apapun dia
memang akan gila kalau disuruh menjadi anak yang taat dan
dipaksa mengahwini lelaki pilihan ibunya.
Alif menggeleng. Tengok, baru tegur sikit dah
melenting. Cubalah kawal perasaan sikit Cik Puteri oi!
Puteri terus pandang Alif dengan muka sama. Tetapi
dalam hati dia tersenyum melihat gelengan Alif. Dia
tahu Alif tidak akan setuju dia kahwin dengan lelaki lain.
Alif pula sebenarnya menggeleng sebab bengang dengan
apa yang dipersoalkan Puteri. Hish! Serasikah mereka
sebenarnya apabila seorang sampaikan isyarat lain,
seorang lagi terjemahkan dengan maksud yang lain?
“Lain kali janganlah bertindak terburu-buru. Biar
ajelah mummy awak dengan persiapan dia. Awak dengan
perancangan awak. Dia tak boleh kesan pun yang awak
menolak semua tu. Tahu-tahu awak dah hilang aje,” tegur
Alif. Puteri sedikit merengus. Dia salah lagi? Alif ni suka
sangat buat dia rasa kalah.
“Benda dah jadi pun. Tak boleh nak patah balik,”
cebiknya mudah.
“Memanglah... Tapi bila jadi macam ni awak nak
ambil jalan senang aje. Tak fikir pun perasaan saya.” Alif
sudah mula bengis. Terasa sabarnya tergugat. Puteri buat
hati lelakinya macam tanah liat. Boleh dilanyak sesuka hati.
Tidak ada rasa sakit. Sakitlah, woi! Kalau kita sudah cinta
pada orang tu tiba-tiba dia suruh kita lepaskan dia. Kalau
aku ni bertepuk sebelah tangan lainlah kesnya. Alif
berbicara sendiri lantas Puteri dijelingnya dengan tajam.
‘Amboi! Nak main jeling-jeling pulak pakwe aku
ni. Semua perkara aku nak selesaikan segera, mana ada
masa nak fikir akibat masa panjang,’ omel hati Puteri.
Sabar Puteri. Alif belum habis lagi tu. Dia ini kalau dapat
ceramah kau, memang kau kena tahan telingalah. Puteri
buat muka bosan.
“Sebab awak buat keputusan membelakangkan
sayalah, saya diamkan diri dua hari ni. Tapi awak fikir saya
dah tak mahukan awak. Awak ingat soal hati ni boleh
main-main ke?” Alif dah mula marah. Geram dipaksa
memikirkan hala tuju hubungan mereka semula. Apalah
salah kalau percayakan dirinya dan beri peluang untuk dia
berhadapan dengan ibu Puteri yang kedengarannya cukup
angkuh tu. Kerana sikap degil Puteri banyak simpang
yang dipenuhi selekoh merbahaya dalam hubungan mereka
bakal tercipta.
Puteri buat muka manja. Betullah apa yang Alif
cakap tu. Dia tidak sanggup kehilangan Alif, tetapi dalam
masa yang sama dia mendesak supaya hubungan mereka
diputuskan. Apa yang Puteri mahu sebenarnya?
Puteri mula menayangkan gigi. Sebenarnya dia mahu uji Alif
sahaja.
“Dahlah. Tak nak cakap lagi,” ujar Puteri kalah.
“Tak nak cakap lagi,” ejek Alif. Menyirap betul dengan
sikap Puteri yang satu ini.
Puteri tarik nafas. Sabar sajalah. Dia yang suka buat
perangai bukan-bukan.
Alif merenung tajam. Ingat kalau lari dari kenyataan
yang mereka saling mencintai dan memerlukan, boleh
bahagiakah? Silap hari bulan ada yang mereka jatuh sakit dan
merana kerana saling merindu. Wujud sepasang lagi Laila dan
Majnun atas muka bumi ni. Hampeh!
“Puteri... hati saya ni bukan batu. Sekali saya kata,
saya cintakan awak. Itu maksudnya, saya jujur dan ikhlas
mahukan hubungan yang serius!” Alif belum puas hendak
memarahi Puteri. Jika selama ini dia rasa bahagia
bersama, mustahil dia hendak biarkan kehidupannya
bertukar suram dengan melepaskannya. Puteri cahayanya.
Puteri diam. Tidak berani hendak menjawab.
Tidak berani juga untuk bertentang mata dengan Alif yang
tengah berapi. Kalau boleh dia tidak mahu masalah
mereka jadi lebih panjang dan sukar diselesaikan. Otaknya
kembali serabut.
Alif turut diam memikirkan masalah yang sengaja
dicipta Puteri. Tawar saja rasa di hatinya. ‘Ish, kenapalah
degil sangat perempuan ni? Nak kena kepit kepala bawah
ketiak dulu ke baru nak faham. Tak kan dia nak mati
lemas aku kena ikut sama? Tak boleh, tak boleh. Kalau
setakat nak berenang aje, aku bolehlah jadi pelampung
sebab dia tak reti berenang. Tapi kalau nak suruh ikut
menyelam dan tenggelam... tak boleh! Kena cepat-cepat
tarik dia ke darat ni.’
“Puteri... cubalah percaya. Bahagia tu hanya akan
abadi bila kita saling mencintai dengan sepenuh hati.
Sanggup berkorban untuk sehidup semati. Bukan awak buat
keputusan ikut suka hati dan saya kena menurut! Jadi tak
payahlah awak nak buat permintaan bukan-bukan tu. Saya tak
kan setuju. Saya hanya akan lepaskan awak kalau saya atau
awak mati aje.”
Wah, nekadnya Alif! Terkelip-kelip Puteri
memandangnya. Ketulusan hati lelaki itu buat dia terharu.
Tetapi dia masih takut untuk berharap. Dia kenal siapa
ibunya. Dia tidak mahu Alif terluka. Puteri buat muka
bermasalah dengan mata yang terkelip-kelip. Nampak
gayanya Alif memang tidak mahu faham. Degil. Rela terima
apapun yang bakal jadi asalkan mereka tidak berpisah.
“Alif...” Puteri takut-takut hendak bersuara, tetapi
dia mesti cakap juga. Yang ini yang terakhir kalinya. Kalau Alif
tetap tidak setuju, dia mungkin kena beralah.
Tajam Alif memandang.
Puteri cuba buat senyuman sedetik sebelum
menyambung kata-katanya.
“Fikirlah baik-baik. Mungkin ni jalan terbaik supaya
awak tak terseksa.” Dia menelan air liur. “Lepaskan saya dan
kita masih boleh berkawan,” pujuknya sengal.
Alif menggeleng tegas. “Seksa?” ejeknya. “Kita ni
akan lagi seksa kalau berpisah. Awak boleh pura-pura tabah
sekarang, tapi di kemudian hari nanti macam mana?”
“Alif...”
“Dah! Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Jawapan
saya muktamad! Apa nak jadi nanti tu urusan Tuhan. Selagi
kita ada peluang bersama, kita hargai,” potong Alif malas
nak layan Puteri mengarut panjang-panjang. Dia lapar
hendak makan. Sejak semalam makan roti sahaja.
Puteri jatuh bahu. Tetapi dalam hati ada sedikit
senyum. Mungkin hatinya yang tidak mahu kehilangan Alif
sedang kibar bendera kemenangan, mengejek hatinya yang
mahukan perpisahan. Hehehe... dia dah nak gila.
“Awak ni degil tau,” rungut Puteri sedikit manja.
Alif cuba senyum. Mengada-ngada betul Puteri
mencuit hatinya dengan muka comel macam tu. Arghhh...
mana tahan hati lelakinya. Cepat terpujuk.
“Sebab saya cintakan awak. Kalau saya cintakan
orang lain, semalam lagi saya dah setuju untuk berpisah,”
ujar Alif sambil mengukir senyuman. Rasanya semua yang
berbahang di hati tadi sudah mula sejuk. Lega.
Hehehe... Puteri tayang gigi. Susah untuk cari pakwe
yang setia macam Alif.
“Okey... kalau dah awak yakin sangat nak
teruskan hubungan ni hingga ke titik akhir. Apa saya nak
cakap lagi.” Puteri buat muka ceria. Cinta mereka tak kan
khiamat buat apa dia nak rasa tertekan lagi.
“Apa jadi nanti kita tengok ajelah, kan? Dah jom
pesan makanan. Lapar,” tambahnya sambil mengusap
perut. Dari tadi duduk situ mereka belum pesan apa-apa.
Budak pelayan di situ pun sudah panjang leher. Belum
puas hatilah tu tengok mereka melepak saja dan tidak beli
apa-apa.
Alif garu kepala. Puteri... Puteri...
“Last.”
Puteri buat muka tidak setuju. Alif ni tak habis lagi ke
nak bagi ceramah? Tak sukalah.
“Sayang, jodoh tu salah satu rahsia Allah SWT
yang mesti kita imani sementara menunggu terlaksananya
ketentuan daripada-Nya. Kalau dah Allah SWT tulis
nama Puteri sebagai jodoh abang, hari tu mesti datang.
Sekarang kita sabarlah dulu, ya?”
Terus Puteri tersenyum malu. Rasanya itu pertama
kali Alif memanggilnya sayang dan mengelar diri sendiri
abang selama hampir dua bulan mereka bergelar
kekasih. Ahaks... pipinya merona merah.

No comments:

Post a Comment