DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 15



Ayuni pelik.  Ruang pejabatnya hari ini agak luar biasa.  Riuh rendah.  Semua staf dilihatnya berkumpul menghadap papan kenyataan pejabat. 
“Ada apa tu Mas?  Kenapa semua nampak kecoh aje.  Ada apa-apa announcement ke?” Soalan pertama yang keluar dari mulut Ayuni sebaik sahaja dia melangkah masuk ke pejabatnya. 
“Lah…kau tak baca lagi ke?” Soal Mastura, kerani akaun yang bertugas di bahagian yang sama dengannya. 
Ayuni hanya menggeleng.  Memang dia belum sempat menjengah lagi ke papan kenyataan sejak semalam kerana dia sibuk berbincang dengan Shah Iskandar tentang complain CEO syarikat terhadap laporan kewangannya yang dikatakan banyak kesilapan hingga dia  pulang agak lewat disebabkan terpaksa menyemak semula laporan tersebut.  Sudahnya, seperti yang dikatakan kepada bosnya semalam, sememangnya tiada sebarang kesilapan membuatkan Ayuni bertambah pelik kenapa Hisyam hendak mencari kesalahannya.
            “Hujung bulan ni, semua staf department kita ni diwajibkan menghadiri kursus bina semangat.  Alah…kiranya macam kursus motivasilah.  So, minggu depan giliran jabatan kita..” Jelas Mastura.
 “Memang selalu ke company buat kursus macam tu?  Dah macam budak sekolah pulak nak buat kursus motivasi bagai…” Tanya Ayuni ingin tahu.
 “Kiranya macam acara tahunanlah sebab polisi syarikat nak semua stafnya sendiri bersemangat dan produktif walaupun memang ramai yang complain macam kau cakap tu….” Sambung Mastura.
 “Semua wajib pergi ke? Siapa yang conduct kursus tu?” Ayuni bertanya lagi.         Dia ingin tahu sebab Hanis tidak pernah menyebut tentang hal ini kepadanya.  Mungkin Hanis lupa hendak memberitahunya.  Mustahil Hanis tidak tahu kerana dia sendiri telah berkhidmat lebih lima tahun dengan Menara Holding. 
“Wajib.  Mana-mana staf yang tak join kena buat surat tunjuk sebab dan dimasukkan dalam laporan prestasi.  Biasanya, yang conduct pakar-pakar motivasi yang dijemput khas company tapi yang incharge ‘Mr. CEO dan assistant CEO lah” Jelas Mastura bersungguh-sungguh kerana dia juga pernah dikenakan tindakan disebabkan tidak menghadiri kursus tersebut pada awal perkhidmatannya dahulu.
            Berderau darahnya sebaik mendengar Mastura menyebut tentang kedua-dua bosnya itu.  Rasa berkobar-kobarnya ingin menyertai kursus tersebut terus lenyap sebaik mengetahui tentang pengendali kursus itu. 
            Haruskah aku sertai? 
            Ayuni mula kebingungan.  Dia tersepit antara tanggungjawab dan perasaannya sendiri.  Dia tidak dapat membayangkan bagaimana dia harus berhadapan dengan dua lelaki itu.  Seorang yang asyik menagih cintanya dan seorang lagi yang sentiasa ingin mencari salahnya.  Namun dia sedar.  Dia harus bersikap professional walaupun sebenarnya, jauh di sudut hati dia bimbang akan dirinya sendiri. 
Manusia biasa yang punyai hati dan perasaan, sudah pasti tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.  Jika kedua-dua lelaki itu terus menekannya dengan cara masing-masing, dia bimbang akan tewas dengan nafsu amarahnya.  Cukuplah sekali pengalaman disakiti oleh insan bernama lelaki dahulu.  Walaupun, lelaki-lelaki itu secara kebetulan hadir dalam hidupnya dengan cara dan cerita yang berbeza, apa yang pasti kesemua mereka hanya mengundang episod duka dalam hidupnya. 
 Amir, lelaki yang dicintainya sepenuh hati sejak di bangku sekolah hingga pernah menjadi tunangannya suatu masa dahulu yang telah banyak mencorak peribadinya kini.  Jika dahulu, dia seorang yang mudah tewas dengan perasaannya sendiri tapi kini dia banyak belajar dari kekurangan dirinya dahulu.  Sikap terlalu percaya kepada tunangnya telah menyebabkannya membutakan mata, memekakkan telingan akan cerita-cerita tidak enak tentang Amir yang sampai kepadanya.  Kononnya percintaan sepanjang zaman menyebabkan dirinya percaya akan kesetiaan Amir terhadapnya seratus peratus. 
Dia tidak pernah terfikir yang Amir akan menduakannya setelah janji setia termeterai dengan ikatan pertunangan walaupun pada ketika itu mereka baru hendak melangkah ke menara gading.  Betullah kata orang, jauh di mata jauh di hati.  Walaupun perkara itu tidak terjadi kepadanya, tetapi tidak bagi Amir.  Ternyata percintaan semenjak zaman sekolah rendah lagi tidak mampu menghalang Amir dari jatuh cinta dengan gadis lain.  Selama ini kehidupan Amir hanya berada di dalam lingkung persekitaran kampung dan apabila telah terdedah dengan dunia luar      , Amir seperti kacang lupakan kulit.  Tambah memilukan Ayuni, keputusan Amir untuk memutuskan tali pertunangan mereka hanya melalui sepucuk surat dan tiga hari kemudian, pihak keluarga Amir datang ke rumah orang tuanya untuk menunaikan hasrat Amir secara rasmi. 
“Itu kehendak Amir dan kami tidak boleh memaksanya” Itulah jawapan mudah yang diberikan oleh pihak keluarga Amir apabila ditanya akan sebab untuk memutuskan ikatan itu.
Ayuni sudah puas menangis kerana peristiwa itu sehingga pernah suatu ketika dia hampir mengambil keputusan untuk menamatkan pengajiannya.  Tekanan perasaan yang dialaminya bukan sedikit.  Waktu itu, dirasakan dunia menjadi gelap gelita dan dia tidak mampu untuk meneruskan hidup tanpa Amir.  Mujurlah keluarga dan rakan-rakannya menjadi penyelamat. 
Ayuni terpaksa dibawa berubat secara tradisional untuk memulihkan kembali dirinya.  Kata-kata dorongan tanpa jemu yang diberikan oleh keluarga dan teman-teman rapatnya termasuk Hanis yang banyak membantunya mengubati kelukaan, dan kini dia terpaksa sekali lagi berhadapan dengan dua orang lelaki, Taufik dan Hisyam walaupun kedua-duanya hadir dalam hidupnya dengan cerita yang berbeza. 
Apa yang pasti, seolah-olah telah ditakdirkan untuk dirinya bahawa mana-mana insan yang bernama lelaki yang ada kaitan dengan dirinya, hanya akan menyebabkannya berduka sehingga dia merasa cukup fobia untuk dekat dengan mana-mana lelaki walau dalam apa keadaan sekalipun sehingga Hanis pernah menuduhnya ‘anti’ lelaki walaupun dia tidak bermaksud begitu tetapi disebabkan terlalu banyak kebetulan yang berlaku, tuduhan Hanis menjadi kelihatan benar.
Ayuni sedar, dia bukannya bodoh untuk menyamakan Amir dengan lelaki-lelaki lain yang pernah cuba untuk mendekatinya tetapi rasa sakit yang dialaminya dahulu masih berbekas sehingga kini hingga menyebabkannya berkelakuan seperti seorang yang anti kepada lelaki. 
Dia tidak berniat untuk bersikap begitu.  Mana mungkin lelaki dipisahkan dari perempuan?  Sememangnya Hawa dijadikan untuk bersama Adamnya dan dia sedar, dia tidak boleh menolak hakikat itu tetapi sehingga kini hatinya cukup degil untuk cuba membuka lembaran baru.  Dia sendiri sudah putus asa dengan dirinya sendiri.  Bukan dia tidak pernah cuba untuk memberi ruang dan peluang kepada mana-mana lelaki selepas Amir untuk mendekatinya, namun ternyata dia tewas dengan perasaannya sendiri sehingga suatu masa dahulu, dia hanya menyerahkan kepada masa dan keadaan yang menentukan. 
Jika waktu itu sudah tiba, dia akan terima sahaja mana-mana lelaki yang telah ditakdirkan untuknya kerana dia yakin apabila ‘waktu’ itu sampai, pasti hatinya sudah terbuka luas untuk lelaki itu.  Oleh itu, wahai hati bersabarlah menanti hingga ke detik itu.


No comments:

Post a Comment